PTT Outdoor
Showing posts with label Pancing. Show all posts
Showing posts with label Pancing. Show all posts

25 January, 2020

Memancing di Pontoon Muhibbah, Pulau Indah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Dah 4-5 bulan tak memancing (memang bukan pemancing tegar pun)... kali ni ikut jiran baru dan kawan-kawannya memancing santai atas pontoon (sejenis kapal platform/tongkang untuk mengangkut barang, jangan risau pontoon tu parking je tak bergerak ke mana-mana).

Lokasi : Pontoon 1, Jambatan Muhibbah Pulau Indah, Kelang (parking kereta bawah jambatan). Ada 9 pontoon di sini... pilih mana suka atau cuba risik-risik kat tekong port mana yang best.

No Telefon : Tekong Bot Isa (019 235 1044). Tambang RM10 seorang pergi balik.

Masa : Unlimited. Rasa nak balik call je tekong bot suruh jemput. Seeloknya mancing malam hingga pagi esoknya. Bila dah tengah hari panas terik, boleh rentung sebab pontoon takde bumbung.

Umpan : Udang kopek, perumpun, sotong. Kalau ada udang hidup saiz kecik lagi bagus (kami plan mancing last minit, tak sempat cari umpan hidup)

Kemudahan : Tiada kemudahan.. haha. Tandas pun tiada maka tak sesuai untuk golongan wanita mahupun kanak-kanak kalau nak memancing lama-lama.


Sini lubuk ikan paling glamer iaitu ikan gelama dan ikan duri. Buntal dan sesirat juga tak ketinggalan menyibuk. Ada juga orang pernah naikkan senangin, tebal pipi, malong, kerapu, gemang dan cencaru.

Lain kali plan nak naik pontoon lainlah pulak.




18 August, 2019

Memancing di Kelong Berkat Samudera 2.0

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Baca : Memancing di Kelong Berkat Samudera 1.0

Kali ni bawa Along mancing bersama.. kebetulan pulak trip kali ni cuti sekolah.

Perjalanan : dari jeti nelayan Kg. Banting, BNO ke kelong mengambil masa sekitar 20 minit. Dekat jeti air agak cetek dan berlumpur, kena tunggu air pasang barulah bot boleh bergerak. Ombak kuat masa ni. Naik kira-kira jam 5.30 pm dan balik keesokan harinya sekitar waktu yang sama.

Harga : kalau ambik pakej satu kelong 24 jam RM500 untuk 12 orang....  atau RM350 untuk 6 orang. Termasuk keperluan dapur seperti gas, beras, minyak masak, dan gula. Umpan, ais dan makanan lain bawa sendiri. Pertanyaan & tempahan boleh hubungi Nazrul@Ayun; 013-698 7132

Kemudahan : 1 bilik kecik untuk tidur dan solat, tandas, dapur dengan peralatan masak dan bekalan elektrik dari bateri (malam sahaja). Kelebihan guna bateri suasana tak bising berbanding pakai genset. Diingatkan tiada plug untuk mengecas hp ye... jadi bawalah powerbank sendiri siap-siap. Keluasan kelong agak besar, memang selesa memancing.

Makan : makan malam tapau je siap-siap sebelum naik bot. Supper dengan maggi. Sarapan esoknya ringan-ringan je dengan cekodok & roti cicah sardin. Untuk makan tengah hari masak special sikit; asam pedas ikan duri, gelama goreng dengan telur dadar... berselera betul makan berjemaah atas kelong.

Cuaca : Alhamdulillah cuaca baik , cuma angin agak kuat. Esoknya pulak cuaca panas, kalau pakai baju lengan pendek rentunglah jawabnya. Air agak laju juga masa ni.. tapi guna batu ladung no. 6/7/8 pun dah ok.

Umpan : sotong kurita hidup, udang hidup, udang pasar dan juga perumpun. Kalau umpan habis boleh cari umpan anak ikan bilis guna apollo kat bawah kelong. Umpan udang hidup kurang laku di sini. Nak umpan kurita boleh cuba hubungi Umpan Kurita Pasir Panjang, Sekinchan; 012-976 5336


~ Hasil : Alhamdulillah... hasil terbesar kali ni pari 8 kg... tahniah Ijat dapat lesen pari. Aku pulak dapat pari 5 kg. Along pulak baru belajar mancing.. bagi main rod kecik je untuk layan ikan duri & gelama. Ikan lain tuka dan tetanda je tapi tak banyak. Lepaslah nak buat lauk 2-3 hari, memang sedap dan manis rasa ikan segar yang belum kena bahan pengawet. Tak ketinggalan masuk senarai adalah si buntal tapi terpaksa la dicampak balik ke laut. Lain kali insya Allah kita repeat kelong ni.


03 March, 2019

Memancing di perairan Pulau Angsa & Pulau Ketam 2.0

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Trip memancing kali ni repeat di tempat yang sama hari tu... jalan cerita pun lebih kurang sama, ahli pun yang sama, cuma kali ni tambah seorang lagi sahabat yang hari tu tak dapat turut serta.


~ Hasil yang diperolehi kali ni antaranya tetanda, bolos, duri, gelama dan tak ketinggalan si buntal.... Alhamdulillah dikurniakan rezeki yang boleh tahan juga walaupun kali ni tak banyak ikan besar... dan ada ketikanya sampai terlelap kami menunggu ikan meragut umpan...

~ Lepas ni cadang nak berehat seketika dari aktiviti hanyir ni, nak menguruskan dan menyesuaikan diri dengan kehidupan baru di tempat baru, insya Allah.

14 January, 2019

Memancing di perairan Pulau Angsa & Pulau Ketam

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Trip memancing kali ni di sekitar perairan Pulau Angsa dan Pulau Ketam. Kami berlima naik bot dari Jeti Sementa, Kelang. Pakej memancing pagi sampai petang bersama tekong Iwan, RM500 satu bot, siap umpan hidup dan ais.

~ Umpan yang dibekalkan adalah sotong kurita, udang lipan dan udang hidup. Kalau nak guna umpan lain seperti pumpun atau udang pasar kenalah beli sendiri.


~ Mula-mula kami dibawa memancing di perairan berdekatan Pulau Angsa. Kemudian berpindah randah hinggalah ke perairan Pulau Ketam dan lokasi berdekatan rumah rakit, sangkar ikan dan lokasi berdekatan Northport. Mujurlah dapat tekong yang rajin berpindah lokasi bila ikan dah kurang mengusik umpan.

~ Alhamdulillah tak mabuk sebab waktu kami pergi ni air mati, jadi laut tenang tak bergelora sangat.  Apahal pun sebelum naik bot kena telan juga ubat mabuk sebagai ikhtiar. Ubat mabuk biasa je cap Hurix (Travel-Care). Cuaca hari tu cerah dan panas. Struktur laut pun tak begitu dalam sangat, sekitar 10-15 meter lebih kurang.

~ Hasil yang diperolehi antaranya pari, jenahak, tetanda, tuka, semilang, bolos, baguk, gerut, duri, gelama dan tak ketinggalan si buntal.... Alhamdulillah dikurniakan rezeki yang agak lumayan juga.


19 December, 2018

Memancing di Kelong Berkat Samudera, BNO Sabak Bernam

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Setelah dua kali memancing di Kelong Kupang Sabak Bernam, kali ni cuba kelong lain yang terletak berdekatan iaitu Kelong Berkat Samudera. Naik bot pun dari tempat yang sama di jeti nelayan Kg. Banting, BNO.

~ Perjalanan : dari jeti ke kelong mengambil masa sekitar 20 minit. Dekat jeti air agak cetek dan berlumpur, kena tunggu air pasang barulah bot boleh bergerak. Naik kira-kira jam 6.00pm dan balik keesokan harinya sekitar waktu yang sama.

~ Harga : kalau ambik satu kelong RM500 untuk 24 jam, maksimum boleh masuk 12 orang.... Umpan, ais dan makanan bawa sendiri. 

~ Kemudahan : 1 bilik kecik untuk tidur dan solat, tandas, dapur dengan peralatan masak dan bekalan elektrik dari bateri (malam sahaja). Kelebihan guna bateri suasana tak bising berbanding pakai genset. Diingatkan tiada plug untuk mengecas hp ye... jadi bawalah powerbank sendiri siap-siap. Keluasan kelong agak besar, memang selesa memancing.

~ Makan : makan malam tapau je siap-siap sebelum naik bot. Supper dengan maggi. Sarapan esoknya ringan-ringan je dengan roti cicah sardin. Untuk makan tengah hari masak special sikit; asam pedas ikan kitang, gelama goreng dengan keropok papadom... berselera betul makan berjemaah atas kelong.

~ Cuaca : Alhamdulillah cuaca baik, cuma dilanda hujan gerimis sekejap petang tu. Esoknya pulak cuaca panas, kalau pakai baju lengan pendek rentunglah jawabnya. Air pun tak laju sangat... guna batu ladung no.5/6/7 pun dah ok.

~ Umpan : sotong kurita hidup, udang hidup, udang pasar dan juga perumpun. Kalau umpan habis boleh cari umpan anak ikan bilis guna apollo kat bawah kelong. Umpan udang hidup kurang laku di sini.


~ Hasil : Kali ni aku tak merasa nak menaikkan ikan besar, cuma melayan tuka, gelama dan kitang. Apapun alhamdulillah hasil tangkapan kami agak lumayan... ikan bergred yang berjaya dinaikkan adalah 5 ekor pari dan 7 ekor jenahak. Ikan lain kitang, tuka, duri, sembilang, malong dan semestinya ikan paling glamour adalah gelama. Lepaslah nak buat lauk 2-3 hari, memang sedap dan manis rasa ikan segar yang belum kena bahan pengawet. Tak ketinggalan masuk senarai adalah si buntal tapi terpaksa la dicampak balik ke laut. Lain kali insya Allah boleh repeat kelong ni.


15 September, 2018

Memancing di Perairan Pulau Sembilan & Pangkor

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Baru je bulan lepas memancing di sekitar perairan Lumut, kali ni kami berlima naik bot nak pergi jauh sikit ke tengah laut di sekitar gugusan Pulau Sembilan. Kalau tengok bacaan air memang cantik masa tarikh kami pergi ni, cuaca pun cerah tapi tak disangka pulak angin kencang disusuli ombak kuat. Nak berdiri atas bot pun terhoyong-hayang camne nak mancing. Keluar juga isi perut walaupun dah makan ubat tahan muntah... hihihu. Jadi kami cuma sempat memancing sekejap je la kat sekitar Pulau Sembilan tu. Dapatlah rezeki seekor ikan Gerut yang agak besar juga mencecah 2 kg. Kedalaman air mencecah 30-40 meter... kalau pakai spinning reel jenuh juga nak menggulung...


Lepas singgah di pantai salah sebuah pulau untuk solat dan makan bekalan nasi lemak, kami meredah laut bergelora balik menuju perairan sekitar Pulau Pangkor dan dekat Pangkalan TLDM yang lautnya lebih tenang. Hasil yang diperolehi di sini antaranya ikan Tetanda, Kerapu dan tak ketinggalan Si Buntal.. Balik ke jeti belakang rumah kakak ipar menjelang maghrib. Malamnya open table dengan hasil tangkapan kami ikan Gerut masak 3 rasa...

27 August, 2018

Memancing di Perairan Lumut

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Cuti raya haji... balik rumah mertua di Ipoh. Kemudian ke rumah kakak ipar di Sitiawan... muara sungai belakang rumah dia je. Sempat join trip memancing naik bot anak sedara kakak ipar.


Kami memancing di sekitar muara Sungai Sitiawan dan Sungai Manjung serta berdekatan Pelabuhan Lumut dan Jambatan Raja Permaisuri Bainun. Pergi pagi balik petang. Berbekalkan umpan udang hidup, hasil yang diperolehi antaranya Gerut, Tuka, Gelama, Duri, Bolos... lupa pulak nak ambil gambar ikan, lagipun kurang semangat nak ambil gambar pasal ikan tak berapa besar..heheh

20 August, 2018

Memancing di Kelong Kupang, Sabak Bernam 2.0

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Kenangan menaikkan pari 4 kg dalam trip yang lepas di Kelong Kupang Sabak Bernam membuatkan terasa nak repeat lagi. Trip 2.0 kali ni dari 18-19 Ogos. Dari rumah, bersama Pali & Abg Rizal gerak ke Jeti Nelayan Sementa di Kelang untuk mengambil umpan yang dah ditempah. Kemudian baru bertolak ke Sabak Bernam untuk naik bot dari jeti nelayan Kg. Banting.

~ Perjalanan : dari jeti ke kelong cuma mengambil masa sekitar 15 minit. Dekat jeti air agak cetek dan berlumpur, kena tunggu air pasang barulah bot boleh bergerak. Naik kira-kira jam 5.00pm dan balik keesokan harinya sekitar waktu yang sama.

~ Harga : kalau ambik satu kelong RM400 untuk 24 jam, maksimum boleh masuk 8 orang je... lebih-lebih takut roboh pulak. Bajet sorang  untuk kelong RM50 tak termasuk umpan.

~ Kemudahan : 1 bilik kecik untuk tidur dan solat, tandas, dapur dengan peralatan masak dan bekalan elektrik dari genset (malam sahaja). Tiada plug untuk mengecas hp ye... jadi bawalah powerbank sendiri siap-siap.

~ Makan : makan malam tapau je siap-siap sebelum naik bot. Sarapan ringan-ringan je dengan roti atau cekodok. Untuk makan tengah hari masak special sikit; asam pedas ikan kitang, gelama goreng dengan keropok papadom... berselera betul makan atas kelong.

~ Cuaca; Alhamdulillah, cuaca baik dan tak hujan, cuma angin bertiup agak kuat sepanjang 24 jam kami di kelong ni. Sampai melayang papadom kami ditiup angin...

~ Umpan : sotong kurita hidup, udang hidup, udang pasar dan juga perumpun sarang. Kalau umpan habis boleh cari umpan anak ikan bilis, selar dll guna apollo kat bawah kelong.


~ Hasil : Alhamdulillah sekali lagi aku dapat menaikkan seekor pari seberat 3kg++. Hasil tangkapan lain bersama kawan-kawan adalah seperti Jenahak, Tetanda, Kerapu, Gerut, Kitang, Tuka, Duri dan semestinya ikan paling glamour adalah gelama. Lepaslah nak buat lauk 2-3 hari, memang sedap dan manis rasa ikan segar yang belum kena bahan pengawet. Tak ketinggalan masuk senarai adalah si Buntal yang boleh tahan juga banyaknya tapi terpaksa la dicampak balik ke laut.

25 March, 2018

Memancing di Rakit To' Wan

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Dah lama tak mancing laut. Nak mancing atas bot dah tentu mabuk. Jadi pancing kat kelong @ rumah rakit pun jadi la.

Lokasi: Rakit To' Wan. Naik dari jeti nelayan Kg. Teluk Nipah, Pulau Indah, Klang... kemudian kena naik bot kira-kira 10 minit ke rakit yang terletak di laluan air laut antara 2 buah pulau iaitu Pulau Indah dan Pulau Carey.

Pemancing terlibat: 14 orang.

Masa: 12 jam; kami memancing dari 9.00 pagi hingga 9.00 malam. Kalau nak memancing malam, masuk 9.00 malam, sampai 9.00 pagi esoknya. 

Harga & kemudahan: Rakit To' Wan ada 3 rakit... Ania, Senangin & Sembilang. Kami ambil Rakit Senangin, harga & kemudahannya boleh rujuk gambar di bawah.




Umpan: Udang hidup, udang pasar, umpun-umpun dan juga isi ikan.

Hasil tangkapan:  Ikan duri, tetuka, anak tetanda dan yang paling banyak semestinya ikan gelama. Turut memeriahkan suasana bila dapat si pengacau umpan iaitu ikan buntal dan sesirat. Spesis sasaran lain di sini seperti senangin dan sembilang takde pula yang sangkut. Apapun ikan gelama tu lepaslah nak buat lauk, memang sedap makan ikan segar yang belum kena ubat.

20 September, 2017

Memancing di Kelong Kupang, Sabak Bernam

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Dah lama tak mancing laut. Nak mancing atas bot dah tentu mabuk. Jadi pancing kat kelong pun jadi la. Lokasi dituju... Kelong Kupang Sabak Bernam. Naik dari jeti nelayan Kg. Banting... bukan kat Banting tapi kat area BNO Sabak Bernam.

Harga kalau ambik satu kelong RM400 untuk 24 jam, maksimum boleh masuk 8 orang je... lebih-lebih takut roboh. Bajet sorang  untuk kelong RM50 tak termasuk umpan. Kemudahan lengkap; bilik untuk tidur, tandas, dapur dan bekalan elektrik dari genset.


Umpan; sotong kurita hidup, udang hidup, udang lipan, udang & sotong pasar dan juga isi ikan.

Hasil; Seekor pari seberat 4kg++, Tetuka, Tetanda, Senangin, Kitang dan semestinya paling banyak gelama & ikan duri. Lepaslah nak buat lauk 2-3 hari, memang sedap makan ikan segar belum kena ais & ubat.


24 April, 2017

Memancing di Kolam Pancing D'Kali, Batang Kali

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Baru nak berjinak-jinak memancing di kolam pancing air tawar, kami sekeluarga menghabiskan cuti hujung minggu dan juga sempena pertabalan Agong yang baru di Kolam Pancing D'Kali, Batang Kali.

~ Orang Rumah dan anak-anak pun bersemangat nak ikut memancing, layankan aje. Nak mancing siang mungkin ramai orang, jadi kami buat keputusan datang waktu malam.


~ Kat kolam ni siap ada pondok kecik lengkap dengan lampu dan kipas meja, jadi kami siap bawa toto senang anak-anak nak tidur bila dah ngantuk. Kalau hp habis bateri pun boleh cas guna plug yang ada. Tandas pun ada berdekatan pondok.

~ Bayaran memancing malam adalah RM45 untuk satu joran, boleh mancing selama 7 jam. Kalau siang harga lain sikit; RM35 untuk 3 jam dan tambahan RM6 untuk setiap jam berikutnya. Harga tu juga dah termasuk ranking jackpot untuk ikan terberat.

~ Hanya ikan bersaiz 5kg ke bawah yang boleh dibawa balik. Tapi kalau tak nak bawa balik pun takpe, boleh dijual semula kepada pihak kolam dengan harga RM1 untuk ikan bersaiz 8kg ke atas dan RM2 untuk ikan bersaiz 8kg ke bawah. Kalau dapat ikan besar, tak perlu susah payah, boleh panggil je pekerja kolam untuk tangguk ikan bawa naik dan bawa ke tempat timbang.

~ Ada dua buah kolam di sini. Kolam A yang lebih besar untuk ikan-ikan bersaiz mega mencecah 20-30 kg, manakala kolam B kecik sikit. Kolam terletak bersebelahan sungai, ada saluran paip air dari sungai masuk ke kolam jadi ikannya tak berbau hanyir sangat.

~ Jenis ikan: rohu, pacu, tongsan, patin, mekong, cat fish dan talapia pun ada.

~ Umpan kolam air tawar ni nak cerita agak complicated juga. Ada pelbagai resepi campuran dedak, roti dan pallet dengan pelbagai campuran perisa untuk menarik ikan. Kena try & error. Boleh tanya kawan-kawan yang lebih berpengalaman dan boleh google je resepi.


~Hasilnya: 6 ekor ikan rohu termasuk seekor yang agak besar seberat lebih 5kg, 4 ekor pacu dan seekor tongsan seberat 7kg++. Seronok Orang Rumah dan anak-anak dapat tarik ikan besar.


18 September, 2016

Cuti Aidil Adha @ Sitiawan - Morib - KLCC

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ 11-13 September; Along baru habis periksa UPSR, sekolah pun bercuti seminggu sempena Aidil Adha. Kami laki bini pun ambik cuti seminggu. Balik beraya bersama mertua di rumah kakak ipar di Sitiawan. Lepas solat raya, sempat memancing di sungai belakang rumah kakak ipar. Dapatlah ikan duri sebesar lengan budak 4-5 ekor, jadilah dapat lepas gian lama tak mancing.

~ 14-15 Sept.; Balik dari beraya di Perak, bawa anak-anak bercuti 2H 1M di Gold Coast pulak... bukan di Australia tapi di Morib je. Sebelum tu buat Mykad Along di JPN Shah Alam sempena cukup umur 12 tahun. Lepas tu terus ke Morib. Nak chek-in hotel pun makan masa sejam setengah, almaklum le cuti sekolah. Mujur water theme park tu buka sampai 11.00 malam. Maka dari malam sambung pulak siang esoknya anak-anak mandi manda dengan gumbira sampai kecut.

~ 17 Sept; Ada sikit urusan di KL. Selesai urusan, singgah ronda-ronda di KLCC. Kesian si Along & Aina tak pernah ke KLCC katanya, cuma si Angah je yang pernah pergi sini masa ikut rombongan sekolahnya ke Petrosains. Nama je duduk dekat dengan KL tapi anak-anak ada yang tak pernah jejak kaki tengok bangunan tertinggi kat Malaysia ni...kih3. Kalau takde hal penting aku memang dah malas nak masuk KL ni... sesak dan serabut. Tapi singgah juga la kali ni demi anak-anak.


Wassalam.


09 May, 2015

Memancing di lombong Tanjung Tualang

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Dah lama tak memancing, joran yang ada boleh reput kalau dibiarkan saja. Kebetulan ada kawan nak memancing di lombong... apalagi, i followww!


~ Lokasi: Negeri Perak memang terkenal dengan banyak bekas lombongnya. Kami memancing di salah sebuah lombong yang banyak bertaburan di sekitar Tanjung Tualang, yang lebih dikenali sebagai Bandar Udang Galah, Perak.

~ Umpan: Dedak, palet, roti, cacing... bagus ikan kat sini tak memilih umpan sangat semua dia bedal. 

~ Hasil tangkapan: Ikan patin remaja, rohu, leekoh, jelawat dan sudah tentu talapia. Tangkapan terberat adalah ikan rohu seberat 3kg. Keseluruhan hasil tangkapan kami berenam dari pagi sampai ke petang rasanya mencecah 30-40 kg.

Alhamdulillah atas kurniaan rezeki dari-Nya. Walaupun kepala berpinar sebab cuaca sangat panas terik, 2-3 kali mata bom lebur akibat tersangkut dan joran reput aku tu patah, rasa macam nak repeat lagi sebab sambutan ikan-ikan kat sini sangat mesra... hehe.

18 June, 2013

Memancing di Tasik Kenyir

Catatan trip memancing di Tasik Kenyir menaiki boat house bersama rodong-rodong (kawan-kawan) sekampung...

Tarikh: 15-17 Jun 2013 (Sabtu-Isnin)

Pemancing terlibat: 18 orang, termasuk seorang wanita (isteri kepada ketua komplot Abg. Umar) yang bertindak sebagai tukang masak. 

Kemudahan yang disediakan dalam rumah bot sepanjang trip:
- 4 buah bot kecil, 2 buah bilik lengkap tilam dan bantal, tandas, dapur yang lengkap dengan peralatan memasak, bbq dan pinggan mangkuk, siaran Astro dan karaoke.

Umpan: Ikan hidup, isi ikan, dedak, roti, cengkerik, sawit peram, umpan tapa & gewang pelbagai jenis untuk casting.

Hasil tangkapan: Toman, Sebarau, Belida, Baung, Lampam, Rong, Potok, ikan buntal pun ada... lupa pulak nak kira berapa ekor tapi memang banyaklah jugak terutamanya ikan lampam.

Hari Pertama:
- 8.30 pagi, bertolak dari jeti Pengkalan Gawi, kata tekong perjalanan ke lokasi yang dituju mengambil masa lebih kurang 5 jam. Masa terluang diisi dengan acara setting joran, menetapkan peraturan untuk acara jackpot dan tidur. Jam 12.30 tengahari baru sampai di pintu masuk Taman Negara Terengganu di jeti Tanjung Mentong. Selesaikan urusan permit masuk di sini dan teruskan perjalanan sejam lagi. 

- Sebaik selesai makan tengahari dan rumah bot ditambat di lokasi strategik berhampiran tebing, masing-masing terus memulakan aktiviti memancing sampai ke malam. Petangnya, keempat-empat bot kecik digunakan untuk meredah lubuk oleh kaki-kaki casting.






Hari Kedua:
- Pagi ni grup kami berpecah, ada yang memancing di rumah bot, ada yang meneruskan aktiviti casting, dan aku ikut grup trekking ke hulu Sungai Trenggan, kononnya untuk memburu kelah. Tapi sampai ke petang yang dapat cuma anak ikan rong je... Balik ke boat house memancing ikan lampam je lah...


- Lewat petang, sebuah bot belum balik ke rumah bot, hantar sebuah bot untuk rescue, rupa-rupanya terkandas sebab masalah enjin. Malamnya sambung memancing dari atas boat house je sampai ke pagi, sambil diserikan dengan acara bermain kad dan dihiburkan dengan bunyi gajah dari dalam hutan berhampiran tebing.




Hari Ketiga:
- Awal pagi sempat lagi memancing. 9.00 pagi tekong menghidupkan enjin menandakan masa untuk balik ke pangkalan.



Alhamdulillah, rata-rata semuanya dapat merasa tarikan ikan tak kira lah kecil atau besar. Terima kasih kepada tukang masak yang menyediakan makanan tepat pada masa dari pagi hingga ke malam tanpa mengenal penat lelah. Terima kasih juga kepada rodong-rodong kerana sudi memberi tunjuk ajar dan ilmu memancing kepada bapak budak baru belajar ini, kalau salah tolong jolokkan.

Jumpa lagi di trip lain.

* Semua gambar dicilok dari FB rodong-rodong.

30 September, 2012

Memancing di bawah Jambatan Pulau Indah

22 Sept.(Sabtu) & 29 Sept 2012(Sabtu lagi).

- Aku bukanlah pemancing tegar, baru nak belajar2 mancing aje pun. Dah lama tak mancing. Ada pulak member ajak mancing..on je lah. Nah ambik kau... sampai 2 minggu berturut-turut pergi mancing kat tempat yg sama.

- Lokasinya kat bawah Jambatan Pulau Indah, Port Klang, iaitu jambatan yg menghubungkan tanah besar dgn Pulau Indah (nama je indah, tapi takde la indah manapun). (Peta Lokasi). Ada 2 jambatan sebelah menyebelah iaitu jambatan jalanraya dan jambatan keretapi. Yang ada laluan ke bawah jambatan adalah jambatan jalanraya. Jambatan sepanjang 2 km tersebut mempunyai hampir 20 batang tiang besar di mana tapaknya boleh dinaiki oleh pemancing utk memancing dengan selesa. Jambatan keretapi takde laluan bawah tapi ramai juga yg memancing dari atas jambatan.

gi beli umpan pumpun dulu  kat Laguna Park, orang asli jual...
yg baju merah tu bukan la org asli, dia org jawa...

- Jadi sesapa nak mancing dengan kos murah boleh le mancing kat sini. Hanya perlu bayar RM 1 utk menggunakan kemudahan laluan yg disediakan. Suka hati lah nak pilih tiang yg mana satu dan ikut sukalah nak bawak berapa batang joran pun. Setiap hujung minggu memang ramai jugak orang memancing. Boleh parking kenderaan di kawasan terbuka kat bawah jambatan tu. Gerai makan pun ada.

- Macam mana nak pergi ke tiang-tiang tu? Tangga ada disediakan untuk menaiki terowong siling penyelenggaraan (maintenance roof). Dari satu tiang ke satu tiang, jaraknya agak-agak lebih kurang 50 meter. Jaraknya aku agak-agak je le sebab belum ada orang yg terlebih rajin nak mengukurnya.

pandangan dalam terowong (kiri) & dari bawah jambatan (kanan)

Maintenance roof tu pulak ngam-ngam shj. tingginya untuk orang dewasa standard asia berjalan dari satu tiang ke tiang yang lain. Bila berjalan di roof tersebut, kita akan nampak permukaan laut di bawah kaki kita, kira-kira 10 meter tingginya. Atas kepala pulak kita akan rasa gegaran kuat, almaklumlah kat atas tu kan jalanraya ke Pulau Indah yg memang jadi laluan lori-lori kontena terutamanya.

- Di setiap tiang, tangga turun naik disediakan tapi mulai tiang ke-4 tangganya memang menegak je 90 darjah... memang masalah sikit bagi orang yg gayat. Kena hati-hati dan memang tak sesuai utk bawa budak-budak. Tepi tangga tu juga ada disediakan tali utk turunkan segala peralatan memancing. Buat masa ni orang mancing sampai tiang ke-7 je (kalau aku tak silap kira) sebab kalau nak ke tiang ke-8 ada lantai kayu yg patah.

- Komplot pertama aku pergi berdua je dgn sahabat aku si Fais, port kat tiang no.7 sebab tiang-tiang sebelum tu agak ramai orang. Start mancing pukul 6.00 ptg sampai 10.00 mlm. Minggu kedua pulak aku komplot dgn si Fais juga tambah pulak dgn sahabat lama si Rashid. Kali ni pergi awal sikit pukul 4.00 ptg sampai 10.00 mlm port kat tiang ke-4. Lepas maghrib datang pulak si Aie dan lepas tu sepupu Rashid.

gambar2 ni dicilok dari blog si Fais, harap2 dia tak tau

- Spesis ikan yg biasa dinaikkan kat sini? Spesis yang aku & de geng naikkan hanyalah gelama & duri je. Tapi hasil tinjauan kat blog-blog pancing, biasa juga orang dapat sembilang, tetanda, gerut-gerut, senangin, kurau dan tebal pipi. Umpan yg biasa digunakan adalah udang hidup, udang mati (udang kopek), pumpun/perumpun dan juga hirisan isi ikan. Waktu sesuai utk memancing adalah waktu air mati, yg terbaik adalah masa air surut separuh dan masa air mula nak pasang.

ikan gelama adalah ikan paling glamour kat sini
gaul garam kunyit... goreng pun sodaaappp...
- Tips penting kalau nak mancing kat sini, kalau nak mancing sampai malam jangan lupa bawa lampu suluh, seelok-eloknya lampu yg boleh pakai kat kepala (headlamp)... selain utk diguna bawah jambatan, perlu juga utk berjalan balik dalam terowong yg gelap gelita tu. Mulai senja banyak gila nyamuk kat situ. Jangan lupa bawa sarang telur utk dibakar... dia punya asap memang banyak. Setakat asap ubat nyamuk tak jalan punya.   Lagi satu yg paling penting, jangan lupa bawa baldi (dan tali) utk ceduk air buat ambil wudhu'... mancing-mancing juga... solat jangan dilupa beb...!!! Tak berkat hasil tangkapan kalau tak solat!!!

Sekian utk komplot kali ni. Kira oklah sebab tak kumpau lagi membangau. Next komplot ingat nak repeat Kelong Greenway. Ada sapa nak join?

17 June, 2012

Kelong Greenway @ Pulau Ketam

16 Jun; Balik je dari kursus, join trip mancing la pulak kat Kelong Greenway, lokasinya berdekatan Pulau Ketam, Port Klang. Trip last minute ni cuma disertai 4 org... aku, Aie, Fais & Ashim.


Perjalanan Pergi :
Keluar dari rumah pukul 7.00 pg. menuju Port Klang. Singgah Pasar Jln.Meru beli umpan udang & sotong sikit. Sampai jeti Southport Port Klang, parking kereta kat situ kena bayar RM 3.00. Kawan2 pun belum sampai lagi, lepak minum dulu. Bila kawan2 sampai, diorang pun belum minum lagi...lepak minum lagi. Lagipun sebenarnya feri pertama dari Port Klang ke Pulau Ketam 8.45 am dah terlepas, terpaksalah tunggu feri kedua 9.30 am. Tambangnya RM7.00 sehala...

Dari Jeti Port Klang ke Jeti Pulau Ketam ke Kelong Greenway:
Perjalanan naik feri ke P.Ketam ambik masa dlm setengah jam je..ferinya laju gak..agak selesa macam feri gi Langkawi je... aircondnya pun sejuk giler. Sampai kat jeti P.Ketam, tunggu bot nak ke kelong pulak. Kali ni naik bot nelayan je yang dipandu sendiri oleh tauke kelong tu, Mr. Calvin. Dari jeti nak sampai ke kelong makan masa 15 minit..


Kelong Greenway : 10.45am; sampai je kat kelong terus si Calvin collect duit..satu kepala RM20 untuk memancing sampai pukul 4.00 ptg.. Kalau nak mancing semalaman siap dgn bilik kena bayar  RM60 sekepala.. kelong ni memang agak selesa tempatnya, lengkap semua kemudahan... ais pun disediakan.

Apa lagi..masing2 dah tak sabar2 memancing..yg dpt lesen memula si Aie..baru 10 minit letak joran, dapat  ikan merah je.... Lepas tu joran Ashim pulak ntah mcm mana boleh naikkan ketam pulak.. ni baru betul, mancing kat Pulau Ketam mesti la dpt ketam. Lepas tu suasana sunyi sepi je... joran aku pun tak diusik langsung. Tengahari pulak hujan lebat dlm setengah jam.

Lagipun air tak berapa cantik sgt, mungkin disebabkan kelong ini terapung di tengah2 kuala antara dua buah pulau menyebabkan arus di sini laju dari masa ke semasa. .air laut dah mcm air kat jeram, batu ladung no.10 pun boleh hanyut..aku try tambah batu no.8 dah jadi 18 dah ni, pun hanyut gak... Suasana sunyi sepi berterusan sampai ada yang terlelap atas buaian gantung yg disediakan... bosan le tu.

Pukul 3.00 ptg, baru le ada rasa ikan cuit umpan...karau punya karau memang rasa ada ikan ni.. last2 tersangkut pulak kat tali sauh... tarik punya tarik patah le pulak rod murah aku tu...adehh. Nasib baik ada spare sebatang lagi... lepas tu ada la si Fais & Aie naikkan 3-4 ekor ikan duri... aku & Ashim cuma meleleh air liur je... biasa le adat memancing... kali ni takde rezeki.


4.00 ptg; bersiap nak balik. Kali ni naik speed boat pulak lebih kurang 5 minit je dah sampai jeti P.Ketam. Sempat sembang dgn pemandu bot tu, dia kata ikan2 kat P.Ketam ni memang standard makan masa air surut je... waktu petang menjelang malam memang time ikan makan. Lain kali kalau nak mancing sini memang kena bermalam le  nampaknya. Sampai jeti P.Ketam, feri dah ada menunggu. 5.00 ptg sampai jeti Port Klang.

Perjalanan Balik :
Yg pasti semua tengah kebulur nasi.. mana taknya atas kelong makan kudap2 aje.. mana boleh tahan. Kitorang pun sepakat pergi makan kat medan selera kat Tanjung Harapan. Lepas tu lepak kejap kat Kolam Pancing Sea Lion, seronok gak tengok orang naikkan ikan2 besar macam siakap, jenahak, senangin, kerapu dll... tapi yg pasti kena sediakan wang besar jugak... RM75 utk 3 jam memancing... ada berani?


Trip Seterusnya :
Ishh... tak puas hati betul trip kali ni kumpau... ada masa sesuai nak repeat balik tempat ni... tapi nak bermalam pulak!!! Sapa nak join???

01 May, 2012

Memancing & Mencandat lagi @ Terengganu

28-30 April 2012 (Sabtu-Isnin) - Cuti panjang sempena Hari Pekerja.

- Jumaat malam hantar anak bini balik kampung, Sabtu lepas subuh patah balik ke Rawang ambik kawan2 seperjuangan... Bazri, Ijat, Rozan & Shahrul. Trip kali ni juga disertai oleh Mat Din, Aie, Zulham, Pak Arab & 2 orang kawan, Afiq, Peja, Ustaz dan Hairi & bininya. Macam trip yang dulu juga, menginap kat Faizal Jusoh Inn...

- Trip kali ni harap2 tak mabuk lagi mintaknya. Ubat tahan mabuk Novomin dah siap beli 2 papan. Kalau mabuk gak kali ni mungkin next trip kena telan ubat sepapan sekaligus. :)

- Sepatutnya naik bot pada tengahari Ahad, tapi bot yang patut kami naik rosak pulak. Bot gantian yang baru balik dari laut pulak macam2 hal nak kena buat... cuci dalam bot, isi minyak, isi ais, cari umpan dll. Maka petangnya baru dapat naik bot. Penat menunggu...

- Lepas sejam perjalanan, nampak macam nak hujan. Bot berhenti dan tekong bot kata bolehlah nak mancing sekejap sementara menunggu hari gelap baru pergi port mencandat. Kepala pun aku rasa macam ok je takde pulak rasa pening.

- Belum sempat ikan nak cuit umpan, tiba2 ribut melanda pulak dah... hujan lebat disusuli kilat dan petir sabung menyabung, ombak pulak makin mengganas.... Kepala pun dah lalok... layan baring je la.

- Malam (ntah pukul berapa) bila ribut dah berhenti... hujan renyai2 je... ombak pun dah tak berapa kuat... kawan2 pun dah mula mencandat sambil memancing. Aku pun menggagahkan diri layan candat. Tapi tak sampai 5 minit, termuntah juga akhirnya... cheh... dasar pemabuk tak boleh bawak gi laut. Aku rasa kalau tak kena ribut tadi rasanya aku mampu bertahan. Nasib baik bukan aku sorang yang mabuk, takde la malu sangat. :)

- Sambung baring kat lantai bot, tak peduli apa dah walaupun dalam hujan renyai, sambil menyaksikan Rozan mencandat tangannya sendiri... nasib baik trip kali ni spesel sikit sebab ada pegawai perubatan ikut sekali... Lantak kaulah Rozan... aku pun dah lalok, cari tempat tidur kat bahagian atas bot...tidur lena sampai pagi.

- Isnin, terbangun 5.30 pagi....kepala rasa dah segar. Sambung mancing je la, nak mencandat dah takde selera. Selain sotong, banyak juga la ikan yang berjaya kami naikkan.... kerisi, bulus, selar, kerapu dll. Paling gempak tentulah si Ijat yang berjaya menaikkan tenggiri sesat walaupun cuma pakai umpan isi udang je...

- Lebih kurang pukul 10.00 pagi... suasana dah makin sunyi... takde sapa yang dapat ikan. Jangankan rentap umpan, cuit pun tak. Heran juga sebab kawasan tu tempat unjam ikan. Tekong bot pulak pemalas tak nak pindah tempat. Terus balik jeti.

1. Bot belum jalan, posing dulu.     2. Tumpang bergambar dgn tenggiri 4 kilo 
3. Ntah ikan apa yg aku dapat ni      4. Hasil tangkapan

- Tengahari; dari jeti, terus jalan2 cari makan kat Nasi Kukus Sempoi Alias kat Gong Badak. Masakannya memang sedap tapi tak pasti sama ada sebab rasanya memang sedap atau sebab dah kebulur makan apapun rasa sedap je. Lepas tu balik ke Faizal Jusoh Inn lepak2, mandi & bahagi2kan hasil tangkapan.

- Petang; pergi Losong beli keropok lekor untuk dibawa balik. Kemudian konvoi 3 kereta balik KL. Singgah beli air tuak (nira kelapa) & makan malam kat mana ntah...Paka kot. Teruskan perjalanan....sampai R&R Temerloh kul 2.00 pagi Selasa. Mata dah ngantuk tukar pilotlah pulak bagi Bazri bawak,  sampai Rawang 4.00 pagi, terus balik Ipoh nak ambik anak bini. Sampai Ipoh sambung tidur... petangnya baru balik KL.

Sekian.

20 November, 2010

Aidil Adha @ Kuala Gula Sanctuary Resort

- Cuti panjang sempena Aidiladha, sempatlah bercuti-cuti Malaysia sambil memancing pada raya kedua bersama keluarga sebelah isteri aku kat Kuala Gula Santuary Resort, Perak. Menginap semalaman kat chalet atas air (tebing muara sungai). Kebetulan dapat family room (chalet 2 bilik dengan ruang tamu yang luas), cukup selesa bagi famili aku seramai 10 orang tu. Nak masuk 20 orang pun rasanya boleh muat, bawak je toto tidur reramai kat ruang tamu. Malangnya family room tu ada satu je kat resort ni, kalau nasib baik atau booking awal dapatlah. Dalam bilik air pun ada tab mandi, maka sebab nak mandi sungai tak boleh, aku biarkan anak-anak aku berkubang dalam tab mandi tu puas-puas... lantak koranglah.


gambar yang indah ni dipinjam dari brader Seme

-  Paling best boleh memancing dari balkoni chalet je. Memang best la bagi kaki pancing. Bagi yang tak minat memancing, bolehlah join trip naik bot menyusuri paya bakau sambil tengok spesis burung penghijrah. Kalau tak minat juga... senang cerita tak payahlah datang.

- Aku start memancing petang... malam berhenti sekejap pergi makan seafood yang fresh kat restoran terapung sebelah kawasan resort. Kat tepi restoran tu ada sangkar ikan, boleh pilih nak makan ikan apa (siakap, kerapu, sembilang dll) dan boleh mintak nak masak stail apa... tauke restoran takkan marah asalkan kita bayar. Pastikan pakai seluar panjang lengkap berstokin & berkasut sebab kat bawah meja makan banyak nyamuk... adehhh, tak tenang jiwa aku nak melantak! Kalau tiba-tiba restoran tu bergegar macam nak runtuh, itu tandanya sedang dihentam ombak yang terhasil selepas bot lalu... Jangan panik macam mak mertua aku... hehe!

- Lepas makan, hujan renyai-renyai kadang-kadang lebat, sambung balik memancing sampai pukul 3.00 pagi.Dapat ikan kecik-kecik je... gelama & ikan duri lebih 20 ekor... kalau nasib baik macam jiran chalet sebelah aku, dapatlah menaikkan ikan tuka & sembilang.



Dah malas nak cerita, lagi gambar & info pergi ke page FB Kuala Gula Sanctuary Resort

31 May, 2010

Mencandat Sotong di Terengganu

Catatan pengalaman pertama kali mencandat sotong:
Geng Pencandat POG & POK: Ali, Bazri, Ijad, Ayu, Wani, Hey, Zaty, Khairul, Hairi, Din, Faizal & Ustaz.

Jumaat; 28 Mei 2010.

Konvoi 4 kereta membawa 12 bakal pencandat tiba di Kuala Terengganu lebih kurang 7.30 am, selepas 7-8 jam perjalanan (termasuk berhenti ngeteh, isi minyak, terkencing terberak dsb). Rasa letih dan mengantuk menguasai diri. Singgah sarapan pekena nasi dagang/nasi minyak & keropok lekor...baru segar sikit. Pastu pergi ke tempat penginapan rasmi geng pencandat...rumah member (Peja) kat KT utk berehat. Cuba sedaya upaya utk tidur tapi tak berjaya. Lepas makan tengahari cuba lagi tidur tapi dapat tidur2 ayam je. 4.00 pm; telan pil mabuk Novomin 2 biji...harap2 tak mabuk laut la.



6.00 pm; naik bot dari Jeti Pulau Duyong. Jarak perjalanan kira-kira 5-10 batu nautika dari jeti (lebih kurang 30-45 minit) ke lubuk/kandang sotong. Sampai di lokasi, kelihatan sudah banyak bot nelayan sedang mencandat. Baru je bot parking...Peja...menjadi anak melayu pertama memuntahkan isi perutnya...tahniah. Aku masih steady lagi.


alat candat

Lepas tu masing2 sibuk dgn aktiviti mencandat. Lepas berjaya menaikkan seekor sotong, aku dah mula rasa pening dibuai ombak. Dan akhirnya aku menjadi anak melayu kedua dlm bot tu yg mabuk laut...huhu! Mungkin aku kena makan pil mabuk sepapan baru berkesan agaknya. Sambil terbaring melayan pening, sempat lagi aku menaikkan seekor sotong.



10.00 pm; Sotong2 macam dah kenyang je.. (baru dapat 2 ekor je). Satu hari tak tidur, mata pun dah ngantuk + pening, aku pun terus landing tepi jamban layan tidur.


jamban paling mencabar di dunia... kalau kuda-kuda tak kuat, habislah bersepah!


Sabtu; 29 Mei 2010

4.30 am; Terjaga dari tidur, ada 2-3 orang member masih mencandat. Aku pun sambung mencandat. Lepas naikkan seekor lagi sotong... tinggal aku sorang yg berjaga, sambung tidur balik.

8.00 am; Bertolak balik ke jeti. Hasil tangkapan kurang memuaskan, 12 orang pencandat hanya mampu menaikkan lebih kurang 5kg sotong. Tekong bot sendiri mengakui musim ni sotong agak kurang. Nasib baik juga tekong bot mencandat sama, boleh juga top up hasil tangkapan.

9.30 am; singgah sarapan nasi minyak... rasa pelik juga pagi2 makan nasi minyak.


10.30 am; singgah mandi sungai.

1.00 pm; balik ke tempat penginapan rasmi (rumah Peja)

3.00 pm; makan tengahari kat Manir (rumah Ustaz). Menikmati lauk sotong hasil tangkapan sendiri.

5.00 pm; ronda2 sekitar Masjid Kristal & beli keropok lekor.
 
9.00 pm; BBQ hasil tangkapan sotong & ikan... walaupun rasa macam tak banyak, tapi puas jugalah makan sotong & ikan fresh.



Ahad; 30 Mei 2010.

9.30 am; Acara shopping sakan sebelum balik KL (bagi yg berduit) sekitar Pasar Payang, kilang batik & keropok lekor. Lepas lunch, balik KL. Singgah Kemaman pekena satar. Sampai KL 12.00 am... penat!

 
Info

# Mencandat sotong adalah satu kaedah tradisi menangkap sotong tanpa menggunakan umpan dan hanya menggunakan sejenis peralatan dinamakan candat.

# Acara candat sotong biasanya bermula pada April hingga Julai setiap tahun, manakala perairan Terengganu adalah lokasi tumpuan di mana beberapa lokasi seperti Cendering, Marang, Setiu, Besut, Dungun dan Kemaman dan Kuala Terengganu banyak dipenuhi spesies sotong.

# Waktu terbaik untuk candat sotong ketika mula terbenamnya matahari sehingga fajar menyinsing dan jangan terkejut jika dikatakan seseorang nelayan mampu membawa balik antara sehingga 50 kilogram hingga beratus kilogram sotong semalam jika kena lubuknya.

# Sejenis alat yang dipanggil candat diperbuat daripada timah untuk menjadi tiruan seperti udang. Jenis lain umpan candat diperbuat daripada plastik yang berkilat, bercahaya serta berwarna-warni untuk menarik perhatian sotong yang sifatnya memang tertarik pada cahaya.

# Kebiasaannya, candat diikat dengan lapan hingga 10 mata pancing. Antara nama candat yang biasa digunakan ialah candat buntal, twist, udang, umpan dan candat Siam.

# Perbezaan bagi setiap candat ini ialah dari segi bentuk dan penggunaannya bergantung kepada kesesuaian. Setiap jenis candat mampu menaikkan pelbagai spesies sotong seperti sotong torok, sotong telur, sotong jarum, sotong mengabang, sotong katak dan sebagainya.

# Setiap kali mencandat, lampu akan dihalakan ke arah laut bagi menarik perhatian sotong, manakala candat pula akan dicampak ke dalam air.

# Bagi menarik perhatian sotong, umpan candat perlu digerakkan serta ditarik bagi menarik perhatian sotong seolah-olah umpan itu adalah sumber makanan.

31 May, 2009

The Woods lagi...berkhemahlah pulak!

The Woods lagi! Hari tu balik hari, kali ni 'camping' la pulak satu malam. Saja nak lepas gian lama tak 'camping', juga untuk 'melasakkan' lagi anak-anak aku. Tapi takde sesiapa yang berkhemah di situ selain kami, walaupun tapak khemah punyalah banyak. Nasib baik juga waktu malam taklah gelap gelita sebab tapak perkhemahan agak terang disinari lampu kalimantang yang dipasang tauke resort.



Gambar2 ni dah cukup menceritakan segalanya...

Ada berani? Aku ada satu khemah lebih, jom 'camping'!
Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...