PTT Outdoor
Showing posts with label Berkhemah. Show all posts
Showing posts with label Berkhemah. Show all posts

23 December, 2018

Berkhemah di The Nahara, Kalumpang 2.0

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Keseronokan berkhemah di The Nahara, Kalumpang tiga tahun lepas membuatkan anak-anak ajak repeat. Kebetulan cuti panjang 4 hari sempena krismas dan on de way balik kampung di Ipoh, kami singgah berkhemah semalaman di The Nahara.


~Tempat ni diselenggara dengan baik... persekitaran cantik dan bersih. Tempat parking pun banyak, ada banyak wakaf untuk lepak dan buat bbq, chalet, tandas yang bersih, surau, padang, tapak khemah dan sungai yang bersih.


~ Bayaran untuk berkhemah (bawa sendiri) adalah RM15 sekepala untuk dewasa dan RM7 untuk kanak-kanak. Kalau takde khemah boleh sewa. Boleh juga sewa chalet pada harga RM150 dan RM300 satu malam atau banglo 5 bilik berharga RM1800 satu malam... sesuai untuk keluarga yang datang ramai-ramai. 

~ Kami sampai lebih kurang jam 3.30 petang. Anak-anak sempat mandi sekejap je sebab tetiba hujan lebat masa aku dan orang rumah baru nak pasang khemah. Mujur hujan petang je, malam dan keesokannya cuaca baik... berendamlah anak-anak sampai kecut.



~ Kami berkhemah bersebelahan wakaf/gazebo yang kami sewa dengan harga RM40, tapi cuma dapat sewa untuk 12 jam je sampai 7.00 pagi esoknya sebab lepas tu dah ada orang lain tempah. Lain kali kalau nak guna wakaf kena tempah dulu sebab bilangan wakaf agak terhad. Ada juga wakaf yang lebih besar sewanya RM60.

~ Makanan : Dinner nasi lauk ayam panggang dalam kuali ajaib & sosej je. Sarapan maggi & roti john. Lunch pulak nasi lauk ikan pari hasil pancingan kelong berkat baru-baru ni. Alhamdulillah juga rezeki kami memang murah dengan makanan yang dihantar oleh jiran wakaf sebelah... mi goreng dan macaroni carbonara, terima kasih bebanyak... semoga murah rezeki kalian.




20 March, 2017

Berkhemah di Air Terjun Sungai Pandan, Kuantan

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Entri Sebelum : Mendaki Bukit Panorama, Sungai Lembing

19 Mac 2017 (Ahad)

~ Dah penat mendaki Bukit Panorama, kita mandi air terjun pulak menyegarkan diri. Dari Sungai Lembing, kami menuju Air Terjun Sungai Pandan (lebih dikenali sebagai Air Terjun Panching oleh penduduk tempatan), kira-kira 31 km dari Sg. Lembing. Dari arah Sg. lembing, masuk simpang kanan ke Jalan Panching.
~ Menyusuri Jalan Panching menempuhi ladang kelapa sawit. Simpang ke Air Terjun Sg Pandan terletak di sebelah kanan, di antara Felda Sg Panching Utara dan Felda Sg Panching Selatan.
~ Dari simpang masuk ke dalam jaraknya kira-kira 3 km, mula-mula akan jumpa Kuari Bukit Bekelah. Jalan tak berapa elok. Kemudian sampai di pintu masuk air terjun, akan jumpa pondok bayaran tiket.

~ Bayaran masuk ; RM2 dewasa, kanak-kanak 7-12 tahun RM1, bawah umur 7 tahun percuma je. Bayaran parkir ada 2 pilihan; ke kanan percuma tapi jauh sikit nak berjalan ke air terjun (kira-kira 200 meter je), atau ke kiri bayar RM3, boleh parkir di dalam kawasan padang yang berdekatan dengan sungai dan kemudahan tandas, surau dan gerai.
~ Bagi kami yang bercadang nak berkhemah ni; bayarannya RM8 dewasa, kanak-kanak 7-12 tahun RM5 seorang... serta deposit kebersihan RM20 (boleh dituntut masa nak balik nanti).
 ~ Aku pernah berkhemah di air terjun ni pada tahun 1996 masa zaman bujang dulu dengan kawan-kawan (kira punya kira rupanya dah 20 tahun berlalu). Masa tu masuk percuma je dan kawasan air terjun ni pun belum dimajukan.
~ Persekitaran boleh dikatakan bersih, banyak tong sampah disediakan. Tapi macam tempat-tempat lain juga, mesti ada manusia jenis 'tak sekolah' yang buang/tinggal sampah merata.

~ Sampai-sampai je, anak-anak terus terjun sungai. Di bahagian bawah air terjun ni dibina empangan yang membentuk kolam takungan yang cetek, sesuai untuk kanak-kanak, tapi kualiti air agak keruh berbanding di bahagian atas kawasan air terjun. Takpe, mula-mula ni mandi kat bawah dulu. Tengahari ni kami makan burger dan air kelapa je yang dibeli dari gerai berdekatan.
~ Lepas solat jamak zuhur & asar, barulah kami naik ke kawasan air terjun. Boleh naik jambatan gantung di sebelah kanan, atau terus sahaja pun boleh sampai ke air terjun.
~ Memang cantik air terjun ni. Tengok gambar tak sama dengan tengok sendiri keindahan air terjun ni. Kolam air terjun ni pun cuma separas pinggang hingga dada orang dewasa (paras air boleh berubah selepas hujan). Boleh juga duduk bawah aliran deras air terjun menikmati urutan percuma. Anak-anak kecik pun boleh mandi di sebelah tepi yang cetek. Boleh main istana pasir. Boleh tangkap ikan, udang dan ketam kecik di celah batu... buat main je, lepas tu lepaskanlah balik. Memancing ikan adalah dilarang.




Layan pemandangan dalam video ni; boleh nampak keseluruhan kawasan air terjun dari atas sampai bawah



~ Dah puas berendam di air terjun, jam 5.00 petang kami turun semula untuk carik port pasang khemah dan buat bbq. Port strategik dijumpai di bawah pokok ceri, sebelah kolam empangan, berdekatan surau dan tandas. Boleh pasang khemah di mana-mana sahaja asalkan tak menghalang laluan. Selesai pasang khemah, anak-anak sambung mandi... berendamlah korang puas-puas.
~ Menjelang jam 6.00 petang, kedengaran tiupan wisel oleh petugas menandakan waktu beriadah di air terjun dah tamat (rujuk waktu riadah dalam gambar di atas). Nampaknya hanya kami 6 orang sekeluarga yang akan berkhemah malam tu. Mungkin sebab esok Isnin hari bekerja. Ini air terjun kami yang punya. Kata abang tauke gerai kat situ, memang jarang orang berkhemah kat air terjun ni. Bekalan elektrik pun takde, waktu malam memang gelap gelita.
~ Sebelum maghrib, dah siap 'pagar' kawasan khemah, bbq daging kambing dan ayam pun dah siap, nasi pun dah siap masak. Lepas solat jamak maghrib & isyak berjemaah, makan pulak secara berjemaah diterangi cahaya pelita ayam dan lampu khemah. Lepas makan, sempat main sahibba se-round bersama anak-anak.
~ Walaupun keadaan sekeliling gelap gelita , cuaca baik malam ni dengan bintang bertaburan di langit. Menjelang jam 10.00 malam, mata pun dah kuyu. Tidur bertemankan bunyi unggas hutan dan deruan air terjun... memang 'heaven'!




20 Mac 2017 (Isnin)

~ Lepas solat subuh, masak sarapan simple je... maggi dan green tea latte. Lepas sarapan, naik semula ke air terjun bagi peluang anak-anak mandi-manda puas-puas sampai kecut dan menggigil sampai jam 11.30 pagi. Turun sambung mandi lagi kat kolam bawah sambil kami berkemas dan buka khemah.
~ 1.20 pm; bertolak pulang dengan berat hati... rasa nak lepak lama lagi... rasa nak duduk sini terus pun ada...hihi.


27 December, 2015

Berkhemah di The Nahara, Kalumpang

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Balik je dari menghadiri kem cuti sekolah, bagi anak-anak tenangkan fikiran pulak dengan membawa mereka berkhemah di The Nahara, Kalumpang. Boleh berkubang, berendam, terjun dan bergayut puas-puas.

~Tempat ni nampaknya diselenggara dengan baik... persekitaran cantik dan bersih. Tempat parking pun banyak, ada banyak wakaf untuk lepak dan BBQ, chalet, tandas yang bersih, surau, padang, sungai yang bersih dan tak banyak batu serta tapak khemah untuk team building atau hari keluarga.

~ Kami berkhemah berdekatan dengan sekumpulan otai-otai yang mengadakan hari keluarga sambil reunion. Selain masak sendiri, malam tu rezeki kami memang murah dengan makanan yang dihantar oleh grup otai-otai tu... siap ada lemang dan rendang lagi tu, pagi esoknya pulak dapat merasa sarapan ubi rebus cicah sambal.... alhamdulillah, terima kasih bebanyak. Cuma malam tu kena tunggu sampai pukul 12.30 malam baru dapat tidur lena sikit... sampai otai-otai habis berkarok.. hehe.


~ Bayaran untuk berkhemah (bawa sendiri) adalah RM15 sekepala untuk dewasa dan RM7 untuk kanak-kanak. Kalau takde khemah boleh sewa. Boleh juga sewa chalet pada harga RM150 satu malam atau banglo 5 bilik berharga RM1800 satu malam... sesuai untuk keluarga yang datang ramai-ramai. 

15 March, 2015

Berkhemah di Pantai Morib

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Cuti sekolah selama seminggu dah bermula. Ke mana nak bawa anak-anak untuk mengisi masa cuti mereka ni? Bajet pun tak berapa ada... Almaklum bulan lepas dapat gaji awal sangat sempena raya cina, bulan ni pulak gaji macam biasa... Azab juga menunggu gaji sebulan lebih... camni la nasib orang makan gaji... Fikir punya fikir, bawa je anak-anak pergi berkhemah di Pantai Morib, Banting.

~ Pantai Morib ni terbahagi dua sebenarnya... pantai lama dan pantai baru. Yang meriah, diperindahkan dan lengkap semua kemudahan adalah di pantai lama. Manakala di pantai baru hanya ada sedikit kemudahan seperti gerai makan dan tandas awam. Simpang ke pantai baru tu tak jauh pun dari pantai lama dekat selekoh tu. Disebabkan pantai lama khabarnya tak boleh berkhemah, maka ramai yang berkhemah di pantai baru. Pantainya landai dan agak berlumpur. Bila surut airnya jauh ke tengah. Bolehlah untuk anak-anak main pasir, kutip cengkerang dan main layang-layang petang-petang. Kalau nak mandi-manda kena tunggu sampai air betul-betul pasang baru air rapat ke tepi pantai.

~ Lepas makan malam di gerai, kebetulan pulak diadakan Karnival Gegar Selangorku di pantai Morib ni. Ada gerai pameran & jualan, talk show dan juga aktiviti main dengan arnab. Malam tu juga ada pulak Konsert Otai Nasyid (Hijjaz, Far-East, Shoutul Amal) vs Otai Rock (Nizam Laksamana, Nai Dinamik, Nik Putera)... Memang layan, ada juga aktiviti nak dibuat malam tu.

14-15 Mac 2015, Camping@Pantai Morib

~ Tamat konsert dalam pukul 11.00 malam, kami balik ke khemah pasang unggun api. Ada pulak sesi karaoke berdentum-dentum dari gerai makan berdekatan khemah kami. Anak-anak dah tertidur kepenatan, mak bapaknya pulak pukul 1.00 lebih baru dapat tidur lepas sesi karaoke tamat.

~ Pagi esoknya, sarapan masak sendiri je... mihun sup segera dan roti tortilla tuna... simple tapi mengenyangkan. Air oren twister je. Lepas sarapan, bagi anak-anak main air sekejap. Pantai yang landai serta air paras buku lali je memang sesuai untuk aktiviti jogging dalam air. Selesai berkemas, balik rumah. Harap anak-anak semua berpuas hati dengan aktiviti musim cuti kita kali ni... :)


24 March, 2014

Camping D'Surau

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Cuti sekolah seminggu sudah bermula. Bila seorang anak yang baru berumur 10 tahun minta nak menyertai program berkhemah di surau, malah menawarkan untuk membayar yuran penyertaan menggunakan duit tabungan sendiri... apa lagi ayahnya nak cakap... pergilah anakku Along!


Berdasarkan tentatif program selama 2 hari 1 malam, aktiviti-aktivitinya dapat meningkatkan jatidiri, memupuk nilai kemanusiaan, nilai beragama dan nilai bertuhan... semoga menjadi anak yang soleh Along!

* sekarang ayah dah malas nak menulis panjang-panjang.


08 April, 2013

Berkhemah di Santuari Ikan Sungai Chiling

6-7 April 2013 (Sabtu-Ahad) - Cubaan membuat pakatan tak rasmi untuk perkhemahan keluarga di Sungai Chiling sambil 'reunion' dengan beberapa sahabat lama sepergunungan tidak kesampaian. Mungkin sibuk dengan urusan masing-masing, hanya Wak Rashid sekeluarga yang berkelapangan untuk turut serta. Apadahal, dua keluarga berkhemah bersama pun dah cukup meriah.

~ Sungai Chilling ni terletak 14 km dari pekan Kuala Kubu Bharu, jalan menuju ke Fraser Hill. Lepas Empangan Sungai Selangor dan lepas satu jambatan kecik, nampak banyak kereta parking tepi jalan kira dah sampailah tu. Jalan masuknya melalui pintu gerbang tertulis Santuari Ikan Sungai Chiling. Tempat ni dibuka untuk pelawat hanya pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad dari 8.00 pagi hingga 6.00 petang. Hari lain tutup untuk kerja-kerja pemuliharaan.

~ Dari pintu masuk kena trekking lebih kurang 500 meter sampailah jumpa tapak perkhemahan yang cukup luas dan lengkap dengan kemudahan tandas, surau, wakaf dan kaunter pendaftaran. Tempat ni sekarang dijaga oleh Jabatan Perikanan. Dah lebih 10 tahun tak ke sini, nampak banyak perubahan bila tempat ni dimajukan. Bayaran masuk cuma RM 1 seorang.

ada peta takkan sesat kot...
banyak pantang larangnya tuu...

~ Tapi kalau nak berkhemah kena bayar deposit minimum RM 150 sekumpulan atau RM 10 seorang bagi kumpulan melebihi 15 orang. Tujuan dikenakan deposit adalah untuk menjaga kebersihan tapak perkhemahan. Kalau balik tinggalkan sampah bersepah maka hanguslah deposit jawabnya. Masa kami sampai selepas asar, ramai pelajar dari UPSI turut berkhemah di sini.

~ Dah siap pasang khemah, 'ground & fly sheet', lepaskan anak-anak yang dah tak sabar-sabar nak mandi sungai. Sungai di tapak perkhemahan ni memang jernih dan agak cetek, sesuai untuk budak-budak mandi. Banyak ikan kelah dan tengas berkeliaran dan akan mendekati kita kalau ditabur makanan. Makanan ikan boleh dibeli di kaunter pendaftaran pada harga RM 2 sebungkus kecil, kalau bawa sendiri lagi menjimatkan sebab kalau anak-anak yang bagi, sekejap je habis makanan ikan tu ditaburnya. Ikan-ikan di sini bersaiz agak kecil, mungkin ada ikan saiz besar di lubuk-lubuk tertentu.

geramnya tengok ikan kelah ni.... rasa macam nak tebar jala je...
santai petang

~ Dilarang sama sekali memancing ikan di sini.  Kalau ada berani dan sanggup ambil risiko didenda atau penjara atau kedua-duanya sekali, silakan memancing tapi kalau kantoi jangan kata aku yang suruh. 10 tahun dulu masa tempat ni belum diwartakan sebagai santuari ikan kelah, aku pernah memancing kat air terjun tingkat ketiga paling atas. Meleleh air liur bila tengok sekumpulan besar ikan kelah dan tengas sebesar lengan tapi seekor pun tak menyangkut, mungkin sebab umpan tak sesuai (masa tu kalau tak silap aku pakai cengkerik je).

ada berani???

~ Menjelang maghrib hujan renyai-renyai mula turun dan kadang kala agak lebat. Tanpa dirancang kedua-dua keluarga berkongsi makanan seadanya. Menu malam ni nasi berlauk kari sardin, kari ayam, ayam BBQ, sosej dan sayur kubis masak kicap. Ahh, dalam hutan makan apa pun sedap. Kekenyangan melanda... malam pun masih muda, tapi hujan masih belum reda... apa lagi tidur le jawabnya... (ada unsur-unsur pantun di situ nampaknya).

santapan malam

~ Ahad, menu sarapan pagi ni agak mewah... nasi goreng, mi segera, sandwich dan roti john. Anak-anak terutamanya perlu makan banyak sebab hari ni akan banyak menggunakan tenaga nak mandi sungai sampai kecut. 


~ Kelihatan ramai yang mula trekking naik ke air terjun, memakan masa kira-kira 45 minit dan kena melintasi sungai 6 kali termasuk 1 jambatan gantung (sungai yang sama sebenarnya, cuma kena lintas banyak kali sebagai jalan pintas ke air terjun). Selepas 3.00 petang tak dibenarkan mendaki ke air terjun atas sebab-sebab keselamatan. Petang-petang selalu hujan, khabarnya di sini bila hujan sering berlaku kejadian kepala air, kalau terkandas atau dilanda kepala air buruk padahnya.

pandangan dari atas jambatan gantung berdekatan tapak perkhemahan
mandi la puas-puas...

~  Memandangkan aku bawa anak kecik, lain kali je lah aku trekking ke air terjun, tunggu anak-anak besar sikit. Lebih kurang jam 3.00 petang, elok-elok siap je berkemas nak balik, hujan turun... nasib baik sempat lipat khemah semua.

OK, cukup setakat ni... lepas ni nak camping di mana pulak?

 

04 March, 2013

Berkhemah di Hutan Rekreasi Sungai Congkak

Sabtu, 2 Mac. 2013

~ Menghadiri dua kenduri kahwin rakan sekerja di daerah Hulu Langat. Satu di Bandar Sunway Semenyih (Izwan dan pasangannya) dan satu lagi di Bandar Tasik Kesuma, Beranang (Man Parpu menerima menantu).

~ Alang-alang sudah berada di daerah yang banyak sungai dan air terjun ni, ambil kesempatan untuk bawa anak bini berkhemah di Hutan Rekreasi Sungai Congkak. Dapat juga meluangkan masa berkualiti bersama keluarga setelah meninggalkan mereka terkontang-kanting selama 8 hari kerana menyertai misi Trans Titiwangsa V2 baru-baru ni.

~ Ada sedikit halangan dalam perjalanan bila Jalan Sungai Lalang, jalan pintas dari Pekan Semenyih ke Pekan Bt. 18 Hulu Langat sedang ditutup kepada lalulintas kerana tanah runtuh. Terpaksa berpatah balik ikut Lebuhraya Cheras-Kajang dan sampai di Sungai Congkak pada jam 6.10 petang.

~ Bayar RM10 untuk satu tapak khemah, RM5 bayaran parking (boleh bawa kereta masuk dan parking tepi sungai) dan RM2 (bayaran cukai kepala untuk dewasa RM1 sekepala)... sangat berbaloi-baloi untuk satu percutian keluarga yang murah dan adventure.

~ Waktu kami sampai di tapak perkhemahan Zon 1 & 2, ramai juga rupanya kumpulan pelajar yang berkhemah di sini... oklah tu meriah sikit. Dapat pulak tapak khemah yang strategik berdekatan sungai. Dalam pada kami laki bini sibuk memasang dan merasmikan khemah jumbo 6-man-tent yang baru dibeli, anak-anak diberi peluang main air sekejap sebelum menjelang maghrib.

~ Khemah dah siap dipasang, toto pun dah siap dibentang (amboi mewahnya khemah), hujan pulak turun renyai-renyai. Terpaksa pulak pasang fly untuk tempat memasak. Malam ni cadangnya nak buat bbq, segala lauk pauk dan bahan-bahan untuk memasak telah tersedia... tapi sayangnya beras pulak lupa dibawa. Maafkan ayah yang sengal ini... huhu! Akhirnya hidangan kami anak beranak malam tu cuma meratah ayam panggang, sosej dan dimakan bersama ban kacang merah... oh, tak lupa juga bersama air kundur Lo Han Kuo, sejenis minuman yang baru aku kenali sejak balik dari misi Trans V2... layan jugak minum air kundur panas-panas dalam hutan ni.. hehe.

~ Malam tu, walaupun khemah tu dah cukup luas, tidur kami laki bini tak begitu lena kerana terdapat sejenis gangguan... iaitu sering disiku, dilutut, dan disepak oleh anak-anak. Adehh... lasak betullah Along,Angah dan Aina ni tidur.



Ahad, 3 Mac. 2013

~ 6.45 pagi, lepas solat subuh, anak-anak dah tak sabar-sabar nak mandi sungai. Ishh biar betul, rileklah dulu gelap lagi tu. Jam 7.30 baru aku benarkan mandi. Naik sekejap untuk bersarapan, menu pagi ni mi segera je tapi dicampur dengan telur, isi ayam panggang dan sosej lebihan bbq malam tadi.

~ Menu untuk tengah hari; masak sayur kacang buncis campur sotong, sambal tumis sotong dan telur dadar... dimakan bersama nasi lemak kosong yang aku beli kat luar tadi... yeay.. dapat juga makan nasi.

~ 3.00 petang... mula berkemas untuk pulang. Rasanya anak-anak dah cukup puas main air dari 7.30 pagi sampai pukul 3.00 petang. Apa? Tak puas lagi... satu badan dah kecut tu takkan tak cukup lagi. Takpe lain kali kita datang camping kat sini lagi... ada sesapa nak join?

20 February, 2012

Berkhemah di Pantai Bagan Lalang

~ Ini aktiviti yg tak dirancang. Petang Sabtu...bosan tiada aktiviti. Tanya bini nak ke ke mana kita? "Dah lama tak pergi Bagan Lalang". Jom! Sebelum tu pastikan anak-anak siapkan kerja sekolah. Bawak la sekali khemah, toto & pakaian lebih... kita camping je la.

~ Kami sampai dah dekat pukul 6.00 petang. Cari port berkhemah dekat dgn tandas, surau dan medan selera. Nanti senang nak mandi, solat & melantak. Anak-anak terus bukak baju main kat pantai sampai senja, kecuali si Angah mandi sekejap je sebab katanya kesejukan rasa macam nak demam...pulak dah. Ayah & ibu mereka pulak bertungkus-lumus memasang khemah 6-man-tent yg dah bertahun tak diguna. Dah siap, bentangkan toto pulak... fuh memang luas, mewah dan selesa khemah ni. Kat sebelah kiri kanan ramai juga orang yg berkhemah... oklah tu meriah sikit.

~ Malam; lepas maghrib jalan-jalan cari makan kat kedai makan berdekatan khemah...seberang jalan je. Lepas tu lepak je kat khemah bersembang dan menyanyi anak beranak sambil menikmati unggun api dari jauh (budak-budak khemah sebelah punya). Pukul 11.00 mlm, semua dah ngantuk....penat le tu.


~ 1.30 pagi... terjaga bila rasa khemah bergoyang kuat ditiup angin yg agak kencang juga... macam nak hujan je. Ditambah pulak berkhemah bawah pokok rhu... deruan angin terdengar begitu kuat. Mungkin ada yg tak tau daun pokok rhu kalau ditiup angin akan menghasilkan bunyi 'rhuuuuuu'.... dari situlah pokok tu mendapat nama. Lepas tu hujan mula turun walaupun tak berapa lebat... apalagi.. sambung tidur la, anak-anak pun dah lena tak sedar apa dah.

~ Esoknya, sarapan roti canai beli kat gerai berdekatan. Lepas tu bagi peluang anak-anak berkubang lagi kat pantai. Aku cakap berkubang sebab pantainya agak berselut. Agak-agak matahari pun dah terik, bersiap dan berkemas untuk balik. Kalau dibiar lagi lama... rentung la anak-anak aku ni kena 'sunburn'.


.

27 February, 2011

Team Building @ Dusun Eco Resort

Dalam kesibukan kerja, sempat jugalah ofis aku mengadakan program team building kat Dusun Eco Resort, Bentong, dengan tujuan untuk meningkatkan semangat berpasukan dan silaturrahim sesama rakan sekerja aku di P.O Gombak. Disertai juga 6 org wakil dari P.O Kajang. Ni aku buat catatan sikit:

Hari Pertama;  26 Feb. 2011 (Sabtu) 

~ 8.30 am, berkumpul dan bertolak dari pejabat, sampai di Dusun Eco Resort pada 9.30 am. Check in dan sarapan nasi bungkus. Lepas tu pasang khemah, bagi taklimat sikit & pembahagian kumpulan. Aktiviti pertama, rentas halangan. Ada 12 halangan yang agak mencabar perlu ditempuhi. Tapi aku rasa halangan terakhirlah yg paling mencabar bila terpaksa merangkak dlm kubang berlumpur. Masing2 dah macam khinzir je baunya.

~ Habis je aktiviti rentas halangan, terus buat aktiviti kedua iaitu berakit. Peserta dibahagi dua kumpulan dan kena buat rakit sendiri (bahan2 buluh, tali & pelampung dibekalkan). Walaupun rakit kumpulan aku siap paling awal, tapi bila sampai giliran aku naik je... 2-3 kali rakit tu terbalik. Balancing lari kot!



~ Lepas berakit, balik ke khemah, masak utk makan tengahari. Nasib baik ada staff veteran yg tak larat join aktiviti yg tolong masak... legalah sikit kami yang kepenatan ni. Terima kasih kpd Chef Dir & Co. Kalau dah dalam hutan ni masak bodoh2 pun semuanya sedap dibaham. Lepas makan, aktiviti bebas... semestinya diisi dengan aktiviti meniduri diri masing2.

~ Petang, aktiviti riadah ringan2... main sepakraga bulatan & mandi kolam.

~ Malam diiisi dgn program kerohanian; solat maghrib & isya' berjemaah, diselitkan dgn kuliah maghrib secara santai oleh al-fadhil bos kami sendiri... Lepas tu aktiviti bakor-membakor ayam utk dinner & aktiviti berkumpulan secara santai juga sebelum tido.



Hari Kedua;  27 Feb. 2011 (Ahad)
~ Lepas solat subuh berjemaah, sarapan & mengemaskan khemah masing2, bersiap sedia utk check-out dari tapak perkhemahan. Acara yg wajib dah habis, kaum ibu termasuklah bos aku memilih utk terus balik ke pangkuan laki bini masing2.

~ 15 peserta lelaki yg tinggal memutuskan utk main paintball. Perjalanan ke gelanggang paintball sungguh mencabar, kena mendaki 200 anak tangga. Tapi rasa teruja mengatasi segalanya sebab kebanyakannya tak pernah main paintball (termasuk aku). Kami diberi 150 biji peluru (RM 35.00).

~ Memandangkan ini pengalaman pertama, kami minta pada instructor supaya permainan dijalankan secara 'no rules'... main la sampai habis peluru. Dah kena tembak pun takde hal boleh main lagi... sampai ada mamat yg gila menembak habis peluru dlm masa tak sampai 3 minit. Syok juga main perang2 ni, teringat zaman kecik2 dulu.



~ SETAKAT NI JE LAH AKU BOLEH CERITA PASAL MAIN PAINTBALL NI. AKU DAH KENA 3 DAS TEMBAKAN. SATU KAT DADA, SATU KAT KAKI DAN SATU LAGI BETUL2 TEPAT KAT KEPALA. KALAU PELURU BETUL KIRANYA AKU DAH MATI SYAHID DAH NI.

~ Habis je game paintball tu, terus balik dan singgah Hutan Lipur Lentang utk membersihkan diri.

~ Kesimpulannya, boleh dikatakan program team building ni SUKSES! Sekian adanya.

31 May, 2009

The Woods lagi...berkhemahlah pulak!

The Woods lagi! Hari tu balik hari, kali ni 'camping' la pulak satu malam. Saja nak lepas gian lama tak 'camping', juga untuk 'melasakkan' lagi anak-anak aku. Tapi takde sesiapa yang berkhemah di situ selain kami, walaupun tapak khemah punyalah banyak. Nasib baik juga waktu malam taklah gelap gelita sebab tapak perkhemahan agak terang disinari lampu kalimantang yang dipasang tauke resort.



Gambar2 ni dah cukup menceritakan segalanya...

Ada berani? Aku ada satu khemah lebih, jom 'camping'!
Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...