PTT Outdoor
Showing posts with label Peristiwa. Show all posts
Showing posts with label Peristiwa. Show all posts

01 April, 2021

Tammat... The End!!!

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Setelah kira-kira 15 tahun berlalu sejak pertama kali menulis dalam blog ni pada 2006... dengan 420 posting, aku buat keputusan... ini adalah posting terakhir dalam blog ni. Dah hilang mood nak menulis lagi ditambah pulak dengan kesibukan kerja melampau dan situasi tak menentu kesan PKP & Covid-19. 

Blog ni pun dibuat suka-suka je...bukanlah blog popular pun... dan tujuan asal aku buat blog ni hanyalah sekadar untuk mencatat peristiwa dalam hidup aku... bukanlah untuk menguar-uarkan sangat kat orang lain. Lagipun macam aku tulis kat sebelah kiri ni, aku ni kekadang pelupa orangnya... maka aku buat blog ni sebagai diari untuk mencatat perjalanan hidup aku buat tatapan anak cucu. 

Blog ni juga mungkin akan kekal untuk suatu jangka masa sebab mungkin ada info bermanfaat kepada orang lain... segala yang baik-baik adalah dari-Nya. Kalau ada yang buruk tu adalah disebabkan kelemahan aku sendiri... ampun maaf dipinta.

Sekian adanya.


30 June, 2020

Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Penangan virus pandemik Covid-19, bermulalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan Malaysia untuk mengekang penularan wabak ni... pertama kali dalam sejarah Malaysia ni rasanya.

~ Disebabkan semua pejabat kerajaan, sekolah dan premis perniagaan bukan keperluan diarah tutup, maka berkurunglah kita di rumah masing-masing... Hanya ketua keluarga boleh keluar beli barang keperluan dan setiap kali nak masuk kedai diwajibkan pakai pelitup muka, pencuci tangan dan ada penjarakan sosial. Aku pun 2-3 hari sekali je baru keluar ke kedai sebab malas nak beratur panjang... sekali keluar tu pun ambil masa 4-5 jam sebab kena beratur lama dan kena pergi 4-5 kedai nak mencukupkan barang keperluan.

~ Walaupun ofis tutup, kerja tetap kena jalan... malah rasanya macam lebih banyak dari biasa. Ada pro & kontranya Bekerja Dari Rumah (BDR) ni... Seronok pasal dapat lebih masa bersama keluarga, tak perlu menyabung nyawa di jalanraya dan tak perlu terkejar nak punch kad. Tapi dalam masa yang sama kerja dah tak tentu masa kadang kena berjaga sampai 2-3 pagi bila dah dekat dateline, bos pulak tanya pasal kerja dah tak kira masa... demi tugas layankan saja... buktikan pada bos kita boleh BDR... kalau boleh BDR sampai pencen pun aku sanggup.

~ Masa lapang aku banyak dihabiskan dengan bertukang dan berkebun di tanah depan rumah aku yang sekangkang kera. Nanti kalau rajin aku buat satu posting lain hasil pertukangan dan kebun aku tu. Si ibu pulak banyak menghabiskan masa dengan memasak macam-macam resepi. Manakala anak-anak sibuk dengan kelas online Google Classroom dan menyiapkan tugasan dari cikgu masing-masing. Terpaksalah mak bapak berkongsi hp dengan anak-anak. Habis kerja sekolah main gajet atau tengok tv pulak berjam-jam... sesekali bermain permainan saidina & sahibba sekeluarga. Sambil-sambil tu dapat juga melatih anak-anak bergotong-royong mengemas rumah, cuci bilik air, belajar memasak menu mudah dengan ibunya.. serta tolong ayah bertukang dan berkebun. Ada hikmahnya PKP ni, dapat mengeratkan lagi hubungan ibu bapa dan anak-anak dengan meluangkan lebih masa bersama.

~ 24/4/2020 - bermulanya 1 Ramadhan. Tiada bazar Ramadhan tapi kalau malas nak masak boleh je order online. Alhamdulillah dapat bersolat terawih dan witir berjemaah sekeluarga setiap malam. Gilir-gilir jadi imam, bilal dan siak dengan anak-anak bujang.

~ 1/5/2020 - Happy B'day Along. Pertama kali dapat sambut b'day dia di rumah selepas 4 tahun tinggal di asrama.

~ 24/5/2020 - Pertama kali dalam hidup menyambut hari raya Aidilfitri di rumah sendiri sebab sekatan perjalanan, tak dibenarkan balik kampung rentas negeri... Malam sebelum raya sempat bakar lemang dengan beberapa jiran untuk hidangan di pagi raya. Pertama kali juga jadi imam dan khatib solat sunat Aidilfitri... kalau tak kerana PKP mana ada orang nak bagi aku jadi imam solat raya hehe. Selesai solat dan khutbah raya, sesi video call bersama keluarga yang jauh di mata. Walaupun masa raya ni dalam tempoh PKP Bersyarat di mana dibenarkan berziarah sesama jiran terdekat dan saudara mara dalam negeri yang sama... dengan syarat patuhi SOP penjarakan sosial serta tak lebih 20 orang dalam satu rumah, tapi kami memilih tak keluar ke mana-mana... kurangkan risiko setakat yang boleh.

~ 1/6/2020 - Ulangtahun perkahwinan yang ke-17. Dah boleh masuk bertugas di pejabat, tapi siapa nak mohon BDR dibenarkan, dengan syarat bagi justifikasi kukuh seperti terpaksa menjaga anak kecik sebab taska tutup dan sebagainya. Aku pun tak melepaskan kesempatan mohon BDR juga selagi ada peluang hihi... Masuk pejabat 2x seminggu je... yang penting kerja jalan dan selesai seperti yang diamanahkan.


~ 26/6/2020 - Baru berkesempatan balik kampung menziarahi keluarga setelah sekian lama. Balik semula dengan membawa bersama kucing baru dari kampung... si Oneng.


Catatan PKP 

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
18 Mac -12 Mei 2020

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)
13 Mei - 9 Jun 2020

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)
10 Jun - 31 Ogos 2020

~ Semua pejabat di seluruh Malaysia diarah tutup dan kerja-kerja dilaksanakan sepenuhnya dari rumah. 
~ Kedai menjual keperluan asas dan makanan sahaja boleh dibuka, dengan hanya beberapa orang sahaja dibenarkan berada di dalam kedai. Pelanggan perlu mematuhi SOP penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan pencuci tangan. Sebelum masuk kedai perlu daftar dan diambil suhu badan sebelum dibenarkan masuk kedai. Maka terpaksalah beratur panjang setiap kali ke kedai.
~ Pita pelekat dilekatkan di atas lantai kedai untuk menentukan jarak selamat 1 meter di antara pelanggan.
~ Ramai orang memakai penutup muka dan sarung tangan apabila keluar rumah.     
~ Restoran dan kedai-kedai makan ditutup, hanya dibenarkan bungkus sahaja. 
~ Semua premis perniagaan termasuk kilang-kilang selain daripada ‘Servis Keperluan’ (Essential Services) yang disenaraikan mestilah menutup premis masing-masing.
~ Semua sekolah dan institusi pendidikan ditutup sepenuhnya dan pembelajaran dilaksanakan secara atas talian melalui Google Classroom/Meet/Whatsapp/Telegram. Ibu bapa terpaksalah bergilir guna gajet dengan anak-anak.
~ Semua acara sukan di seluruh dunia dibatalkan serta merta... tak meriah rasanya tak dapat tengok live bola.
~ Semua aktiviti pelancongan dan acara hiburan dibatalkan.
~ Majlis perkahwinan dan pelbagai sambutan majlis yang melibatkan perhimpunan ramai tidak dibenarkan.
~ Tiada lagi solat berjemaah di masjid dan surau, dan rumah-rumah ibadat ditutup.
~ Taman permainan kanak-kanak ditutup.
~ Berlakunya pembelian panik barangan keperluan termasuk topeng muka dan cecair pembersih tangan.
~ Sekatan jalan raya oleh polis & tentera di lokasi strategik dan pergerakan terhad kepada urusan penting sahaja tidak melebihi radius 10 km dari tempat kediaman.
~ Harga minyak jatuh sehingga RM1.25 seliter, tapi apa guna sebab tak boleh nak ke mana-mana.
~ Tiket kapal terbang murah, namun tidak boleh keluar melancong.
~ Sidang media dari Kementerian Kesihatan bagi kemaskini kes baru, yang telah sembuh dan pesakit yang meninggal dunia dilakukan setiap hari.
~ Jalan raya menjadi kosong tanpa kelibat manusia.
~ Pekerja kesihatan menjadi takut untuk pulang ke rumah dan berjumpa keluarga bimbang menjangkiti ahli keluarga.
~ Bantuan Prihatin Nasional oleh Kerajaan dimasukkan dalam akaun masing-masing. Alhamdulillah tq PM. Sedikit sebanyak dapat meringankan beban terutamanya untuk yang terkesan dengan sekatan aktiviti perniagaan.

Itulah antara perkara-perkara yang berlaku ketika peringkat awal PKP, sebelum dilonggarkan sikit demi sikit ketika PKPB & PKPP - buat renungan sepanjang hidup di bumi Allah Taala... begini rasanya bila sebahagian nikmat hidup ditarik balik buat seketika...


27 November, 2019

Gala Dinner

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

27 November 2019 (Rabu) - Ofis aku telah menganjurkan Majlis Gala Dinner & Awards Night bertempat di Templer Park Country Club, Rawang. Majlis bertujuan untuk meraikan dan menghargai warga kerja yang telah sepanjang tahun bekerja keras, bertungkus lumus, berhempas pulas dan bermandi keringat dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Dalam majlis makan malam bertemakan Retro ini, diadakan juga acara selingan iaitu persembahan  dari setiap unit, anugerah suka-suka untuk staf serta cabutan bertuah.



Tak sangka-sangka dah masuk kategori veteran pun masih boleh dapat anugerah hero remaja... kelakor sungguh sapa yang mengundi aku ni.. kuat diorang menganjing.. kah3.

08 September, 2019

Masuk rumah baru di tahun baru

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

1/9/19 bersamaan 1 Muharam 1441 Hijrah (Ahad)... tarikh yang cantik untuk berhijrah di tahun baru Hijrah. Hari ni kami sekeluarga berpindah ke rumah baru. Setelah 13 tahun tinggal di apartment, ada rezeki lebih sikit dapatlah beli rumah teres 2 tingkat dalam taman yang sama, tak jauh dari apartment lama.

Ada lah sikit tanah sekangkang kera... bolehlah nak bercucuk tanam pokok serai, pandan, kunyit, cili dan herba-herba lain sikit-sikit. Malas nak tanam pokok bunga, bukan boleh makan hasilnya, kecuali pokok herba berbunga yang berguna macam misai kucing, bunga telang biru dll. Cuba juga tanam beberapa pokok buah dalam pasu seperti mangga, longan, kundang madu, bidara epal & 4 jenis limau (kasturi, nipis, purut & lemon)... harapnya berbuahlah nanti. Kalau ada tanah luas sikit memang macam-macam aku nak tanam, silap-silap ketum pun aku tanam... memang jiwa peladang jaya nak buat macam mana.

(gambar update selepas 4-5 bulan berpindah)

Rumah apartment lama tu aku sewakan aje... belum sempat diiklankan dah ada yang bertanya nak sewa.. Alhamdulillah.

Baca : Amalan masuk rumah baru

25 December, 2015

Kem Cuti Sekolah Pra-Tahfiz

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Cuti sekolah hujung tahun dah hampir ke penghujung. Cukuplah sebulan si Along & Angah bersukaria menghabiskan masa cuti dengan main je kerjanya.  Kini masa untuk mengisi masa dengan aktiviti yang lebih berfaedah. Dari 21-25 Disember, hantar Along & Angah menyertai Kem Cuti Sekolah Pra-Tahfiz.

~ Antara aktivitinya; latihan menghafaz Juz Amma, tahsin solat, latihan dalam kumpulan, sukan memanah dan sebagainya.


29 March, 2015

Gotong-Royong Perdana Cegah Denggi

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

SUNGAI BULOH, 29 Mac. - Bagi mengelak penularan demam denggi, lebih 100 penduduk Pangsapuri Rose di sini menganjurkan gotong-royong membersihkan kawasan sekitar perumahan tersebut.
Mereka membersihkan longkang dan membuang sampah sarap yang boleh menakung air sekali gus menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor, Tn Hj Mohd Maskor b. Tumiran yang merasmikan program gotong-royong tersebut berkata, peningkatan kes denggi sejak kebelakangan ini adalah membimbangkan dan ia perlu diberi perhatian serius oleh orang ramai.

"Kawasan persekitaran yang kotor menjadi faktor utama kepada pembiakan nyamuk aedes dan masyarakat sewajarnya mengambil inisiatif membersihkan kawasan kediaman masing-masing selain bekerjasama dalam usaha mencegah denggi."


"Langkah paling berkesan ialah memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes bagi mencegah denggi dan pada masa sama masyarakat juga perlu peka dengan kawasan kejiranan mereka agar sentiasa bersih dan ceria," katanya.

Beliau berkata, program yang diadakan tersebut secara tidak langsung dapat menangani penularan demam denggi selain mewujudkan komuniti yang mengutamakan kebersihan dan kesejahteraan setempat. "Penduduk diingatkan supaya memastikan pasu bunga dan tempat yang menakung air sentiasa bersih dan bebas daripada jentik-jentik kerana ia merupakan faktor penyumbang kepada masalah denggi," ujarnya.

11 January, 2015

Misi Bantuan Pasca Banjir @ Kelantan

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Dari 6-10 Januari, aku berkesempatan menyertai Misi Bantuan Pasca Banjir (kerja-kerja pembersihan) bersama rakan-rakan sekerja selama 5 hari di sekitar negeri Kelantan, iaitu antara negeri yang paling teruk terjejas. Sungguh menginsafkan bila melihat kesan-kesan kemusnahan teruk di sekitar Gua Musang, Kuala Krai, Kota Bharu dan Tumpat, pastinya peristiwa ini memberi kesan mendalam terhadap mangsa-mangsa yang terlibat.

 antara kesan-kesan kemusnahan selepas banjir

geng sukarelawan kami

Sukar dibayangkan perasaan mereka yang menjadi mangsa musibah ini, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Semoga mereka tabah dan sabar menghadapi ujian ini. Diharapkan berkat usaha kami para sukarelawan ini dapat sedikit sebanyak meringankan bebanan mereka. 

BACA: 'Bah Kuning'... Tragedi Tragis Dalam Lipatan Sejarah Kelantan


16 February, 2014

Mari menubuhkan koperasi sambil reunion @ Port Dickson

Bila sahabat-sahabat lama masa sekolah ramai yang berjaya dalam bidang masing-masing terutamanya yang bergiat dalam bisnes, ada cadangan untuk menubuhkan koperasi alumni sekolah. Tujuannya supaya bila bergerak atas nama koperasi, mudah sikit nak mendapatkan projek yang lebih besar serta mudah sikit nak uruskan sebab boleh buat secara bersama. Maka dapatlah menjana lebih pendapatan untuk koperasi sambil memberi faedah lebih besar untuk ahli.

Sebagai pekerja gomen yang biasa-biasa je, apa sangat yang mampu aku buat selain hanya menyokong usaha kawan-kawan dari belakang, jadi ahli biasa sudahlah. Untuk menjalankan aktiviti koperasi kita serahkan pada yang pakar.


Mesyuarat Agung Permulaan penubuhan koperasi ni dijalankan di Restoran D'Oasis, Port Dickson pada 15 Feb.2014. Ada seorang wakil dari Suruhanjaya Koperasi untuk memantau dan membantu perjalanan mesyuarat. Untuk pengetahuan, dalam mesyuarat pertama bila nak menubuhkan koperasi, agendanya adalah:

1.   Perlantikan Pengerusi Mesyuarat.
2.   Persetujuan menubuhkan koperasi.
3.   Permohonan bagi didaftarkan sebagai Koperasi.
4.   Pemilihan Undang-Undang Kecil Koperasi.
5.   Pemilihan Anggota Lembaga.
6.   Pemilihan anggota yang akan turut sama menandatangani permohonan pendaftaran (sekiranya bilangan anggota Lembaga kurang dari 10 orang).
7.   Menimbang dan meluluskan belanjawan tahunan koperasi.
8.   Meluluskan elaun yang diberikan kepada anggota Lembaga dan saraan yang dibayar kepada mana-mana anggota Lembaga yang dilantik sebagai pengarah subsidiarinya, jika ada.
9.   Meluluskan perlantikan suatu panel yang tidak kurang daripada dua orang juruaudit, yang merupakan juruaudit yang diluluskan oleh Suruhanjaya atau pegawai Suruhanjaya, untuk mengaudit akaun koperasi.
10. Menimbang dan meluluskan ruang lingkup dan had pelaburan yang dibiayai oleh kumpulan wang lebihan koperasi.
11. Menentukan had maksimum keterhutangan koperasi.


Bagus juga hadir mesyuarat koperasi ni. Sambil bermesyuarat, sambil bertemu sahabat-sahabat lama yang hampir 20 tahun tak jumpa, sambil dapat juga bawa mertua dan kakak ipar sekeluarga bercuti (sewa satu apartment 3 bilik di Glory Beach Resort).


13 February, 2014

Pembicaraan Pembahagian Harta Pusaka

Perebutan dan pergaduhan adik beradik disebabkan oleh harta pusaka sudah begitu sinonim dengan masyarakat Melayu. Isunya ialah pergaduhan kerana harta dan perebutan tanah pusaka peninggalan orang tua yang sudah meninggal dunia. 
Talian persaudaraan menjadi buruk dan boleh terputus kerana perselisihan dan pertengkaran mengenai siapa yang lebih berhak terhadap harta dan tanah pusaka. Hakikatnya Islam telah datang menyelesaikan masalah mengenai warisan harta apabila Allah swt telah mengajarkan kepada Rasulullah saw berkaitan pengurusan pusaka kematian di dalam al-Quran. 
Allah swt telah berfirman yang bermaksud :
“Bagi orang lelaki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan.” (An-Nisa : 7) 
Manakala Nabi saw juga pernah bersabda daripada Ibnu Abbas ra dengan sabdanya yang bermaksud : "Hendaklah kamu membahagi-bahagikan harta (pusaka) di antara ahli waris itu berdasarkan Kitabullah.” (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud) 
Membahagikan harta menurut panduan Al-Quran dan As-Sunnah ialah suatu kewajipan sebagai amanah daripada Allah swt dan sebagai bukti keimanan manusia kepada keadilan Islam. Hal ini juga merupakan salah satu perintah yang termasuk dalam ayat-ayat yang mewajibkan manusia berhukum dengan hukum Allah swt. 
Malangnya, dalam masyarakat kita hari ini khususnya orang Melayu, pembahagian harta pusaka tidak dilakukan secara telus dan adil mengikut hukum syarak sebaliknya dipengaruhi oleh unsur-unsur penipuan dan penyelewengan. Hal ini terjadi kerana didorong oleh sifat tamak, dengki dan penyakit hati yang dikaburi oleh kemewahan harta dan kecintaan kepada dunia yang menyebabkan manusia lupa kepada azab dan janji-janji seksa bagi mereka yang melanggar amanah dan perintah daripada Allah swt. 
Allah swt berfirman yang bermaksud :
“Dan kamu memakan harta pusaka dengan cara mencampur baurkan (yang halal dan yang bathil), Dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan. Jangan (berbuat demikian). apabila bumi digoncangkan berturut-turut, Dan datanglah Tuhanmu; sedang Malaikat berbaris-baris. Dan pada hari itu diperlihatkan neraka Jahannam; dan pada hari itu ingatlah manusia, akan tetapi tidak berguna lagi perbuatan mengingat itu baginya." (Al-Fajr : 19-23) 
Daripada Abdullah bin Umar ra yang berkata secara marfu yang bermaksud : “Sesiapa yang mengambil tanah orang lain tanpa hak walaupun sedikit maka dia pasti akan ditenggelamkan dengannya di hari kiamat sehingga ke tujuh lapis bumi.” (Riwayat Bukhari) 
Begitu juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ya’la bin Murrah ra bahawa Rasulullah saw bersabda : “ Sesiapa yang menzalimi orang lain dengan mengambil tanahnya walau sejengkal maka nescaya Allah akan membuatkan dia menggali tanah tersebut dan dalam riwayat yang lain menyebut : “Tanah itu akan dihadirkan sebanyak tujuh lapis bumi yang dalam lalu dibebankan kepadanya pada hari kiamat sehingga seluruh manusia diadili.” (hadis riwayat Tibrani) 
Syaitan telah menjadikan tanah pusaka sebagai alat untuk menjadikan manusia saling bergaduh, memutuskan silaturrahim dan perhubungan darah yang sepatutnya terikat utuh dan kukuh. Akhirnya manusia yang tamak itulah yang akan menjadi bahan bakar api neraka. 
Dalam masyarakat kita bukanlah perkara yang ganjil dan pelik perbuatan menipu dalam persoalan harta khasnya yang melibatkan urusan tanah pusaka. Betapa ramai orang yang mengubah geran, jumlah tanah dan ada yang sampai menukar nama pemilik tanah kepada namanya sendiri demi tamakkan harta. 
Nabi saw pernah bersabda : “Allah melaknat orang yang mengubah batu penanda batas tanah.” (Hadis riwayat Muslim) 
Ketahuilah wahai saudara-saudari sekalian, sesungguhnya adalah tidak berbaloi berebut tanah pusaka yang akhirnya membawa petaka dan bala bencana serta seksa neraka. Biarlah rugi di dunia kerana tidak mendapat warisan harta asalkan kita terselamat daripada seksa dan neraka Allah swt.  
Sesungguhnya syurga itu amatlah nikmat jika dibanding dengan segala harta dan pusaka.

Tulisan di atas disalin/diedit dari tulisan Ustaz Emran Ahmad, untuk renungan kita bersama. 

Aku baru lepas hadir pembicaraan pembahagian harta pusaka peninggalan arwah abahku di pejabat KPTG. Alhamdulillah semua waris yang berhak iaitu ibu tiri dan adik beradik aku (sebapa) dapat hadir, pembicaraan pun berlangsung dengan lancar tanpa sebarang pertikaian, semua bermuafakat untuk membahagikan harta secara sama rata. Harta pun taklah sebanyak mana. Mana yang aku rasa patut lepaskan, aku lepaskan... harta bukan boleh dibawa masuk kubur. Alhamdulillah pembicaraan ini dah selesai dan semoga keluarga ini terus harmoni.


31 August, 2013

Pertandingan Bunga Api Antarabangsa Putrajaya 2013

~ Selepas menghadiri rumah terbuka terakhir untuk syawal tahun ni di rumah kakak ipar di Bangi, singgah di Putrajaya sebab nak bawa anak-anak tengok Pertandingan Bunga Api Antarabangsa Putrajaya 2013. Ada 6 negara yang mengambil bahagian iaitu Malaysia, China, Korea Selatan, UAE, USA dan Perancis.

~ Sampai di Putrajaya menjelang maghrib, kami menunaikan kewajiban di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi). Lepas tu mula mencari lokasi terbaik untuk menyaksikan pertunjukan.

~ Pertandingan ni sebenarnya diadakan di Pusat Maritim Putrajaya Presint 5 (dekat PICC), tapi tak perlulah nak pergi sampai ke sana. Ada satu lokasi yang sangat strategik untuk menyaksikan pertunjukan dengan jelas, iaitu di...

  oh sebelum tu layan dulu gambar-gambar indah yang diambil oleh jurukamera amatur ni...



~ Lokasi yang dimaksudkan tadi adalah di Persiaran Tasik, Cyberjaya, Letak kereta tepi jalan, lepas tu lepak tepi tasik. Lagi bagus bawa tikar, boleh tengok sambil baring je. Khabarnya pertunjukan bermula pukul 9.00 malam, tapi dekat 10.00 malam baru nak mula. Apapun memang puas hatilah menyaksikan persembahan bunga api selama 25 minit tanpa henti, terutama bagi 3 beradik tu.

03 March, 2012

Suatu Hari di One Utama

~ Aktiviti utama: Seorang anak buah bini aku yg bekerja di kedai Mothercare bagi info ada 'sale' kat situ. Belilah sikit baju anak-anak.


~ Aktiviti sampingan: bawak budak-budak tengok ikan kat kolam ikan koi, lepak kat kedai coklat sebab ada maskot yg bagi coklat percuma kat budak-budak, lunch makan donat je.. kemudian sebelum balik lepak kat Secret Garden, taman bunga atas bumbung One Utama.

 

02 January, 2012

Selamat Tahun Baru Kapir 2012.

- Pantas betul rasanya masa berlalu. Pejam celik pejam celik dah masuk tahun baru 2012. Agak menyedihkan tahun masehi lebih diberi perhatian berbanding tahun hijrah. Tak caya biar aku tanya tahun ni tahun berapa hijrah? Mesti korang (termasuk aku sendiri) terkial-kial nak jawab lalu terpaksa tengok kalendar untuk pastikan tahunnya. Tu belum kira yang tak berapa hafal bulan-bulan dalam takwim hijrah lagi. Nak buat macam mana, itulah realitinya yang kita amalkan di Malaysia ni.

 jangan jadi macam azam mamat ni

-  Azam tahun baru? Aku tak biasa berazam sebenarnya tapi setahun dua ni aku cuba gak la pasang azam. Apa salahnya kalau nak berazam menjadi insan yang lebih baik. Azam tahun lepas nak berhenti merokok dah tercapai.

Azam tahun ni nak menggantikan balik apa yang dah banyak tertinggal dan sengaja ditinggalkan masa dulu-dulu, selagi masih berpeluang. Biasalah kita manusia selalu lalai dan lupa. Renung-renungkan sendiri dan kalau tak faham jugak... apa nak buat biar aku sorang yang faham sudah!




- Ehh dah takde idea  nak tulis. Aku cilok aje le beberapa corat-coret tahun baru oleh kawan-kawan dari wall FB aku, mungkin boleh jadi inspirasi untuk aku dan korang :



Ekin Saleh :: SeLamAt TaHun Baru semua WaRga Fb - HijRah Itu PerLu unTuK PeRuBahAn Yg LeBih BaIk 


semoga tahun baru datang dgn kehidupan yg baru. Amin.. :)


Talib Dato Mansor  Harap tahun baru ini disambut sederhana sahaja kerana yang penting tahun baru islam yg perlu kite ingat sudah pun memulakan tahun barunya...anyway,happy new year to all my frenz...:)

Dira Ziq  Happy new year... Slmt berazam baru, semangat baru n enjoy 4 better life.. Lupakan kisah silam n fikirkan utk jd yg lebih baik...insyaAllah


Ini Aizuddin  SELAMAT TAHUN BARU 2012. 
Semoga Tahun Baru lebih baik dari Tahun Lepas...


Allissya Fazzlynn   Thn 2011 bakal melabuhkn tirainya. Segala suka duka yg pernah d lalui biarlah mjadi kekuatan dlm menempuh hari2 yg mendtg. Yg manis biarlah d jadikn memori trindah manakala yg pahit biarkan berlalu pergi. D harapkn thn 2012 mberi sinar baru yg lebih indah lg bermakna bg kita semua….

Ridzwan Razali  berehat di kg halaman..amat mendamaikan..selamat menyambut tahun baru 2012 kawan2...semoga lebih berjaya & bahagia..;)


Harimau Malaya  selamat tahun baru 2012 kpd semua peminat setia harimau malaya....semoga team harimau kita lebih garang di tahun akan datang....


 
Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah
As salamu'alaikum shbt FB yg d kasihi. Tahun 2012 d ambang pintu. Ini mungkin tahun terakhir kita d muka bumi. Azamlah utk jadi yg terbaik, membantu bukan membantutkan, mendoakan bukan mengutuk org, cari kebaikan bukan keburukan org, memaafkan bukan dendam, jadi sbb      turunnya Hidayah Allah bukan daayah setan, dapat redha Allah dan redha insan, bahagia d dunia n cemerlang di akhirat. Maaf zahir batin, moga Allah rahmati kita semua. Amin, wassalam.

Azam 2012...aku nak kaWen...!!!!! Cpt msk meminang!!!!


Hafizalharun Pakharun  PERINGATAN PENTING!!!!!!!!JGN MASUK @ KE TANDAS PADA 31/12/2011 JAM 23.59 KERANA SESUATU PEKARA AKAN B'LAKU IAITU ANDA HANYA BOLEH KELUAR PADA TAHUN HADAPAN....

Mario Marshmellow   Okay goodbye 2011 & welcome 2012. Seperti biasa, apebile tahun baru semua poyo2 nak buat azam baru. Padahal azam yg tahun2 lepas x tercapai lagi pon. LOL :P


Muriza Hazrul   Menjelang, DUA SIFAR SATU DUA...adakah azam 2011 telah dilaksana?apa pung...tanamkan azam dan tingkatkan usaha untuk DUA SIFAR SATU DUA yg lebih cemerlang...meh turun ramai2 ke Dataran Kemerdekaan Shah Alam untuk menyusuri hari-hari akhir 2011 menjelang 1 1 DUA SIFAR SATU DUA with Ustaz Azhar Idrus

  United 2 - 3 Blackburn... apa cilakak lawan team cikai boleh kalah ni??? tempat sendiri lak tu....


Cukup le tu! Banyak lagi sebenarnya tapi dah malas nak kopipes!

12 November, 2011

27 February, 2011

Team Building @ Dusun Eco Resort

Dalam kesibukan kerja, sempat jugalah ofis aku mengadakan program team building kat Dusun Eco Resort, Bentong, dengan tujuan untuk meningkatkan semangat berpasukan dan silaturrahim sesama rakan sekerja aku di P.O Gombak. Disertai juga 6 org wakil dari P.O Kajang. Ni aku buat catatan sikit:

Hari Pertama;  26 Feb. 2011 (Sabtu) 

~ 8.30 am, berkumpul dan bertolak dari pejabat, sampai di Dusun Eco Resort pada 9.30 am. Check in dan sarapan nasi bungkus. Lepas tu pasang khemah, bagi taklimat sikit & pembahagian kumpulan. Aktiviti pertama, rentas halangan. Ada 12 halangan yang agak mencabar perlu ditempuhi. Tapi aku rasa halangan terakhirlah yg paling mencabar bila terpaksa merangkak dlm kubang berlumpur. Masing2 dah macam khinzir je baunya.

~ Habis je aktiviti rentas halangan, terus buat aktiviti kedua iaitu berakit. Peserta dibahagi dua kumpulan dan kena buat rakit sendiri (bahan2 buluh, tali & pelampung dibekalkan). Walaupun rakit kumpulan aku siap paling awal, tapi bila sampai giliran aku naik je... 2-3 kali rakit tu terbalik. Balancing lari kot!



~ Lepas berakit, balik ke khemah, masak utk makan tengahari. Nasib baik ada staff veteran yg tak larat join aktiviti yg tolong masak... legalah sikit kami yang kepenatan ni. Terima kasih kpd Chef Dir & Co. Kalau dah dalam hutan ni masak bodoh2 pun semuanya sedap dibaham. Lepas makan, aktiviti bebas... semestinya diisi dengan aktiviti meniduri diri masing2.

~ Petang, aktiviti riadah ringan2... main sepakraga bulatan & mandi kolam.

~ Malam diiisi dgn program kerohanian; solat maghrib & isya' berjemaah, diselitkan dgn kuliah maghrib secara santai oleh al-fadhil bos kami sendiri... Lepas tu aktiviti bakor-membakor ayam utk dinner & aktiviti berkumpulan secara santai juga sebelum tido.



Hari Kedua;  27 Feb. 2011 (Ahad)
~ Lepas solat subuh berjemaah, sarapan & mengemaskan khemah masing2, bersiap sedia utk check-out dari tapak perkhemahan. Acara yg wajib dah habis, kaum ibu termasuklah bos aku memilih utk terus balik ke pangkuan laki bini masing2.

~ 15 peserta lelaki yg tinggal memutuskan utk main paintball. Perjalanan ke gelanggang paintball sungguh mencabar, kena mendaki 200 anak tangga. Tapi rasa teruja mengatasi segalanya sebab kebanyakannya tak pernah main paintball (termasuk aku). Kami diberi 150 biji peluru (RM 35.00).

~ Memandangkan ini pengalaman pertama, kami minta pada instructor supaya permainan dijalankan secara 'no rules'... main la sampai habis peluru. Dah kena tembak pun takde hal boleh main lagi... sampai ada mamat yg gila menembak habis peluru dlm masa tak sampai 3 minit. Syok juga main perang2 ni, teringat zaman kecik2 dulu.



~ SETAKAT NI JE LAH AKU BOLEH CERITA PASAL MAIN PAINTBALL NI. AKU DAH KENA 3 DAS TEMBAKAN. SATU KAT DADA, SATU KAT KAKI DAN SATU LAGI BETUL2 TEPAT KAT KEPALA. KALAU PELURU BETUL KIRANYA AKU DAH MATI SYAHID DAH NI.

~ Habis je game paintball tu, terus balik dan singgah Hutan Lipur Lentang utk membersihkan diri.

~ Kesimpulannya, boleh dikatakan program team building ni SUKSES! Sekian adanya.

06 February, 2011

Raya Cina yang sesak gila... Ramai yang masuk perlumbaan endurance

~ Tahun Baru Cina, cuti panjang 4 hari, balik Ipoh menunaikan tanggungjawab sebagai anak & menantu menziarahi orang tua kat kampung.

~ Khamis, 3 Feb; pagi raya pertama (ehh macam aidilfitri pulak), perjalanan balik Ipoh berjalan lancar walaupun banyak kenderaan.

~ Jumaat, 4 Feb; menziarahi saudara mara sebelah isteri yang sihat mahupun yang sakit di sekitar Sitiawan. Dalam perjalanan balik sempat singgah pantai Teluk Batik bawa anak mandi-manda. Masa nak balik, tersangkut lebih sejam semata-mata nak keluar dari pantai ke simpang kem TLDM Lumut... sampai Ipoh dah malam... adehhhh!


Sabtu, 5 Feb; 5.00 petang balik KL, kalau balik esok mungkin lagi sesak teruk (kononnya). Tapi aku silap perhitungan, bukan sebab matematik aku lemah... tapi mungkin sebab beribu lagi orang yang fikir sama macam aku... perjalanan dari Ipoh ke KL yang biasanya 2-3 jam dah jadi 7 jam... Hiway dan jalan lama sama je sesaknya. Pukul 12.00 malam baru sampai rumah, adehhh! (lagi). Nasib baik esok cuti lagi, kalau tak gerenti ambik MC.

~ Rupanya ramai lagi kawan-kawan yang senasib... banyak update di status Fesbuk masing-masing  yang mengeluh tersangkut dalam perjalanan dari kampung selama berbelas-belas jam, terutamanya dari utara dan timur. Luar biasa sungguh. Gila wehh sorang kawan aku memandu dari Gerik, Perak ke KL selama 11 jam (biasanya 4 jam). Gila wehh (sekali lagi) sorang jiran aku memandu dari Kota Bharu nak balik ke KL selama 18 jam... nak dekat 24 jam dah tu. Banyak juga kereta yang tersadai (kira terkeluar dari perlumbaan lah tu) akibat kehabisan minyak atau kerosakan enjin.

MORALNYA: 

TERIMALAH HAKIKAT MACAM NI LAH MALAYSIA BILA CUTI MUSIM PERAYAAN, SEMUA NAK BALIK KAMPUNG. KALAU TAK NAK TERSANGKUT DALAM KESESAKAN, DUDUK RUMAH DIAM-DIAM LAGI BAGUS! 

08 January, 2011

Menjejak asal-usul

~ Sabtu, 8 Januari 2011, berkesempatan menghadiri majlis perkahwinan kat kampung atuk sedara aku kat Tangkak, Johor. Aku angkut sekali pak sedara & mak sedara aku menjejaki kampung mereka yang telah berpuluh tahun tak dijejaki. Kami bertolak dari Mentakab selepas Subuh (ikut Triang-Bahau-Gemas-Segamat) dan tiba di Tangkak pada 11 am.

~ Sebenarnya arwah nenek aku (termasuk mak aku & adik beradiknya) berasal dari Johor. Pada tahun 70-an mereka berhijrah ke Pahang sampailah sekarang. Kesempitan hidup dan pertambahan ahli keluarga menyebabkan kebanyakan anak-anak arwah nenek aku tak pernah balik ke kampung kelahiran mereka, yang mana masih ramai lagi waris keturunan mereka di sana. Tu pasal mereka sungguh teruja bila berkesempatan menjenguk kampung kelahiran mereka...terkenang nostalgia lama.


~ Arwah nenek aku ada dua orang adik yang masih hidup, sorang kat Tangkak, Johor (yang ada kenduri tu) dan sorang lagi kat Sg. Rambai, Melaka. Berbeza negeri tapi sebenarnya jarak antara dua kampung tu 5-6 km je. Sempatlah kami pergi kedua-duanya dan dapat beramah mesra dengan kedua-dua orang tua yang dah berumur lebih 80 tahun tu. Anak-anak aku pun masih sempat bertemu dengan moyang saudaranya. Lepas ni ntah bila berjumpa lagi... ntah-ntah tak jumpa dah.

~ Apapun kami pergi balik hari je pasal sorang pak sedara aku tu ada kerja yang tak dapat dielakkan. Perjalanan sehari suntuk dari selepas solat Subuh dan sampai ke rumah tepat jam 12.00 malam membuatkan aku terkapar keletihan.... gila wehh aku drive sorang-sorang!

09 May, 2010

Selamat Hari Ibu, Mak, Mama, Mummy, Amma, Umi...

Hari ni Hari Ibu. Aku tak berminat sangat nak terlibat dgn benda2 macam ni. Bagi aku kalau nak menghargai jasa ibu biarlah hari-hari, tak perlu khususkan satu hari utk mengenang jasa & pengorbanan seorang ibu. Itu pendapat aku le. Kalau org lain nak sambut pun takde salahnya.

Tapi bila fikir balik... apa yg aku rasa mungkin tak sama dgn apa yg mak aku rasa. Risau gak dia berkecil hati, last2 aku call gak dia utk wish 'Selamat Hari Ibuuuuuu'. ..kui3. Terima kasih mak kerana melahirkan aku. Walaupun mak tak berkesempatan men'ternak' aku sejak kecik sampailah aku dah tua bangka ni... tapi bagi aku mak tetap 'de best mom in the world'.


Ini kad yg dibuat sendiri oleh si Along utk ibunya... projek kat tadika dia la tu. Seminggu sebelum tu dia dah kecoh nak bagi surprise utk ibunya... dan ibunya pun buat2 la terkejut bila dapat kad ni...hehe! Pesanan utk Along: lain kali kalau nak buat surprise jangan kecoh2...bagi je terus... !

14 March, 2010

Hijrah lagi...

Atas beberapa sebab, terutamanya tak larat nak melayan kerenah seorang makcik jiran sebelah, aku pindah semula ke rumah sendiri yg aku sewakan sebelum ni, kebetulan rumah tu baru dikosongkan oleh penyewa. Lebih kurang dekat dua tahun jugalah merasa duduk rumah teres dua tingkat. Anak ketiga pun lahir di sini.

Sekarang pindah duduk apartment balik,  seminggu dua jugalah sibuk mengemas & packing barang.

selamat tinggal rumah lama...

selamat tinggal pokok pisang... banyak kali juga dapat makan hasilnya

selamat tinggal kucing2ku J-lo & Jibam...
bagi free je sangkar kat jiran aku, dgn syarat tolong jaga kucing2 ni sekali...

rumah sekarang...

Lepas ni tak tau pindah mana lagi, rasanya tak kot...

01 January, 2009

Selamat Tahun Baru 2009

Selamat Tahun Baru 2009. Jangan tanya apa azam aku sempena tahun baru ni. Aku tak pernah ada azam baru sebab aku rasa mengarut je azam tahun baru ni. Kalau aku rasa nak berubah kepada sesuatu yg lebih baik maka aku akan lakukan sekarang juga...atau sekejap lagi...atau esok...atau lusa... tapi kenapa perlu aku tunggu sampai tiba tahun baru? Korang macam mana? Terpulang!

20 October, 2007

Pindah Rumah baru

Sejak merantau ke KL , aku hanya tinggal di rumah flat/apartment je sejak dari zaman bujang. Dari rumah Flat Seksyen 17 PJ, ke Flat Bukit Angkasa Pantai Dalam, ke Kompleks Belia Bandaraya kat Cheras dan akhir sekali kat Flat Taman Kosas, Ampang.

 Bila dah kahwin, sewa rumah kampung kat Kg Melayu Subang. Setahun lebih juga duduk situ. Seronok tinggal dalam suasana kampung. Anak sulung aku si Aiman pun lahir masa duduk situ. Julai 2005, pindah ke rumah sendiri, beli apartment di Saujana Utama, Sg Buloh. Dah syok duduk area kampung, duduk la kat rumah banyak tingkat balik. Nak buat camno, itu je yg termampu dimiliki.

Aiman tengah nenen kat rumah lama

Lepas 2 tahun duduk apartment sendiri (anak kedua si Aliff pun lahir masa duduk sini)...terasa bosan pulak. Rasa macam terkurung je. Anak2 kecik aku nak main kat bawah, aku pun kena turun sekali perhatikan diorang. Bila dah naik ke rumah sure malas nak turun balik. Nekad, hari ni pindah rumah baru. Sewa rumah teres 2 tingkat, dalam taman yg sama, tak jauh dari apartment lama. Rumah baru ni kedudukannya strategik. Dekat dengan kedai runcit, pasar malam, pasar tani, taska & sekolah. Senang bila anak2 dah sekolah nanti. Ada juga tanah sekangkang kera bolehlah nak bercucuk tanam pokok serai, pandan, kunyit, cili, dll sikit2.

kat rumah baru...boleh mandi ujan
 
nak mandi kolam pun takde masalah...

Kata mak aku, “apa la 'pandai' sangat ko ni...dah ada rumah sendiri gi duduk menyewa pulak”. Tak kisahlah mak, janji aku selesa...hehe. Rumah apartment aku tu aku sewakan aje.
Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...