PTT Outdoor
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

30 June, 2020

Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Penangan virus pandemik Covid-19, bermulalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan Malaysia untuk mengekang penularan wabak ni... pertama kali dalam sejarah Malaysia ni rasanya.

~ Disebabkan semua pejabat kerajaan, sekolah dan premis perniagaan bukan keperluan diarah tutup, maka berkurunglah kita di rumah masing-masing... Hanya ketua keluarga boleh keluar beli barang keperluan dan setiap kali nak masuk kedai diwajibkan pakai pelitup muka, pencuci tangan dan ada penjarakan sosial. Aku pun 2-3 hari sekali je baru keluar ke kedai sebab malas nak beratur panjang... sekali keluar tu pun ambil masa 4-5 jam sebab kena beratur lama dan kena pergi 4-5 kedai nak mencukupkan barang keperluan.

~ Walaupun ofis tutup, kerja tetap kena jalan... malah rasanya macam lebih banyak dari biasa. Ada pro & kontranya Bekerja Dari Rumah (BDR) ni... Seronok pasal dapat lebih masa bersama keluarga, tak perlu menyabung nyawa di jalanraya dan tak perlu terkejar nak punch kad. Tapi dalam masa yang sama kerja dah tak tentu masa kadang kena berjaga sampai 2-3 pagi bila dah dekat dateline, bos pulak tanya pasal kerja dah tak kira masa... demi tugas layankan saja... buktikan pada bos kita boleh BDR... kalau boleh BDR sampai pencen pun aku sanggup.

~ Masa lapang aku banyak dihabiskan dengan bertukang dan berkebun di tanah depan rumah aku yang sekangkang kera. Nanti kalau rajin aku buat satu posting lain hasil pertukangan dan kebun aku tu. Si ibu pulak banyak menghabiskan masa dengan memasak macam-macam resepi. Manakala anak-anak sibuk dengan kelas online Google Classroom dan menyiapkan tugasan dari cikgu masing-masing. Terpaksalah mak bapak berkongsi hp dengan anak-anak. Habis kerja sekolah main gajet atau tengok tv pulak berjam-jam... sesekali bermain permainan saidina & sahibba sekeluarga. Sambil-sambil tu dapat juga melatih anak-anak bergotong-royong mengemas rumah, cuci bilik air, belajar memasak menu mudah dengan ibunya.. serta tolong ayah bertukang dan berkebun. Ada hikmahnya PKP ni, dapat mengeratkan lagi hubungan ibu bapa dan anak-anak dengan meluangkan lebih masa bersama.

~ 24/4/2020 - bermulanya 1 Ramadhan. Tiada bazar Ramadhan tapi kalau malas nak masak boleh je order online. Alhamdulillah dapat bersolat terawih dan witir berjemaah sekeluarga setiap malam. Gilir-gilir jadi imam, bilal dan siak dengan anak-anak bujang.

~ 1/5/2020 - Happy B'day Along. Pertama kali dapat sambut b'day dia di rumah selepas 4 tahun tinggal di asrama.

~ 24/5/2020 - Pertama kali dalam hidup menyambut hari raya Aidilfitri di rumah sendiri sebab sekatan perjalanan, tak dibenarkan balik kampung rentas negeri... Malam sebelum raya sempat bakar lemang dengan beberapa jiran untuk hidangan di pagi raya. Pertama kali juga jadi imam dan khatib solat sunat Aidilfitri... kalau tak kerana PKP mana ada orang nak bagi aku jadi imam solat raya hehe. Selesai solat dan khutbah raya, sesi video call bersama keluarga yang jauh di mata. Walaupun masa raya ni dalam tempoh PKP Bersyarat di mana dibenarkan berziarah sesama jiran terdekat dan saudara mara dalam negeri yang sama... dengan syarat patuhi SOP penjarakan sosial serta tak lebih 20 orang dalam satu rumah, tapi kami memilih tak keluar ke mana-mana... kurangkan risiko setakat yang boleh.

~ 1/6/2020 - Ulangtahun perkahwinan yang ke-17. Dah boleh masuk bertugas di pejabat, tapi siapa nak mohon BDR dibenarkan, dengan syarat bagi justifikasi kukuh seperti terpaksa menjaga anak kecik sebab taska tutup dan sebagainya. Aku pun tak melepaskan kesempatan mohon BDR juga selagi ada peluang hihi... Masuk pejabat 2x seminggu je... yang penting kerja jalan dan selesai seperti yang diamanahkan.


~ 26/6/2020 - Baru berkesempatan balik kampung menziarahi keluarga setelah sekian lama. Balik semula dengan membawa bersama kucing baru dari kampung... si Oneng.


Catatan PKP 

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
18 Mac -12 Mei 2020

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)
13 Mei - 9 Jun 2020

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)
10 Jun - 31 Ogos 2020

~ Semua pejabat di seluruh Malaysia diarah tutup dan kerja-kerja dilaksanakan sepenuhnya dari rumah. 
~ Kedai menjual keperluan asas dan makanan sahaja boleh dibuka, dengan hanya beberapa orang sahaja dibenarkan berada di dalam kedai. Pelanggan perlu mematuhi SOP penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan pencuci tangan. Sebelum masuk kedai perlu daftar dan diambil suhu badan sebelum dibenarkan masuk kedai. Maka terpaksalah beratur panjang setiap kali ke kedai.
~ Pita pelekat dilekatkan di atas lantai kedai untuk menentukan jarak selamat 1 meter di antara pelanggan.
~ Ramai orang memakai penutup muka dan sarung tangan apabila keluar rumah.     
~ Restoran dan kedai-kedai makan ditutup, hanya dibenarkan bungkus sahaja. 
~ Semua premis perniagaan termasuk kilang-kilang selain daripada ‘Servis Keperluan’ (Essential Services) yang disenaraikan mestilah menutup premis masing-masing.
~ Semua sekolah dan institusi pendidikan ditutup sepenuhnya dan pembelajaran dilaksanakan secara atas talian melalui Google Classroom/Meet/Whatsapp/Telegram. Ibu bapa terpaksalah bergilir guna gajet dengan anak-anak.
~ Semua acara sukan di seluruh dunia dibatalkan serta merta... tak meriah rasanya tak dapat tengok live bola.
~ Semua aktiviti pelancongan dan acara hiburan dibatalkan.
~ Majlis perkahwinan dan pelbagai sambutan majlis yang melibatkan perhimpunan ramai tidak dibenarkan.
~ Tiada lagi solat berjemaah di masjid dan surau, dan rumah-rumah ibadat ditutup.
~ Taman permainan kanak-kanak ditutup.
~ Berlakunya pembelian panik barangan keperluan termasuk topeng muka dan cecair pembersih tangan.
~ Sekatan jalan raya oleh polis & tentera di lokasi strategik dan pergerakan terhad kepada urusan penting sahaja tidak melebihi radius 10 km dari tempat kediaman.
~ Harga minyak jatuh sehingga RM1.25 seliter, tapi apa guna sebab tak boleh nak ke mana-mana.
~ Tiket kapal terbang murah, namun tidak boleh keluar melancong.
~ Sidang media dari Kementerian Kesihatan bagi kemaskini kes baru, yang telah sembuh dan pesakit yang meninggal dunia dilakukan setiap hari.
~ Jalan raya menjadi kosong tanpa kelibat manusia.
~ Pekerja kesihatan menjadi takut untuk pulang ke rumah dan berjumpa keluarga bimbang menjangkiti ahli keluarga.
~ Bantuan Prihatin Nasional oleh Kerajaan dimasukkan dalam akaun masing-masing. Alhamdulillah tq PM. Sedikit sebanyak dapat meringankan beban terutamanya untuk yang terkesan dengan sekatan aktiviti perniagaan.

Itulah antara perkara-perkara yang berlaku ketika peringkat awal PKP, sebelum dilonggarkan sikit demi sikit ketika PKPB & PKPP - buat renungan sepanjang hidup di bumi Allah Taala... begini rasanya bila sebahagian nikmat hidup ditarik balik buat seketika...


14 June, 2018

Alkisah Ramadhan 2018

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Along dah Tingkatan 2... tahun kedua duduk asrama. Kalau tahun lepas dapat cuti sambut awal Ramadhan di rumah. Tahun ni dapat berpuasa di rumah masa hujung Ramadhan je, sebab cuti diawalkan sempena pilihanraya (PRU-14). Tapi Along kata dah boleh sesuaikan diri bersahur, berpuasa dan berbuka dengan kawan-kawan di asrama.

~ Angah pulak dah darjah 6, takde masalah dah untuk berpuasa penuh... tahniah Angah. Aina (darjah 3) pulak tahun ni ada peningkatan. Tahun lepas cuma 10 hari puasa penuh, tahun ni cuma tinggal puasa 2 hari je... tahniah juga Aina. Waktu bangun sahur pun senang je nak kejutkan mereka.

~ 14-15 Ramadhan kami sekeluarga menyertai rombongan 3 kereta ke Johor Bahru menziarahi Yeop,  abang ipar yang terlantar koma akibat serangan jantung. Menginap semalaman di homestay. 4 hari kemudian selepas kami balik ke rumah, beliau dijemput menemui Penciptanya. Kali ni hanya Orang Rumah yang dapat menziarahi bersama adik beradiknya. Aku tak dapat turut serta sebab anak-anak sedang menghadapi peperiksaan. Innalillahi wainna ilaihi raaji'uun. Semoga roh Allahyarham dicucurkan rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan di kalangan para solihin.


~ Ramadhan kali ni hanya 4-5 kali kami berbuka di luar... Sekali di majlis iftar bersama rakan-rakan sepejabat aku, sekali dengan geng sepejabat orang rumah, dan sekali di KFC (Along teringin nak berbuka KFC katanya)... Dua kali lagi di masjid ramai-ramai bersama Along dan jemaah lain. Ke bazar ramadhan pun cuma 4-5 kali setakat membeli kuih muih dan air je... alhamdulillah jimat sikit belanja.

~ Seperti biasa, waktu berbuka kami sekeluarga tak makan nasi, hanya menjamah makanan seperti mi, murtabak, roti john, kuih-muih, buah-buahan dan semestinya kurma... itupun dah cukup kenyang. Waktu sahur baru makan nasi.

Semoga ibadah kita semua di bulan Ramadhan ini diterima Allah dan diberi kesempatan untuk dapat berjumpa lagi Ramadhan tahun depan... aamiin.



25 July, 2017

Alkisah Ramadhan & Syawal 2017

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ 25 Julai 2017, bersamaan 1 Zulkaedah 1438 (Isnin) - ♪♪Happy Birthday to me-4x♫♫. Terima kasih kepada semua sahabat yang mengucapselamat di FB & whatsapp... aku doakan semoga segala doa yang baik-baik yang sahabat semua doakan untuk aku akan berbalik kepada sahabat semua... agar kita semua sama-sama dipanjangkan umur dengan kesihatan yang baik, dicukupkan rezeki, dipermudahkan segala urusan dan paling penting hidup kita diberkati, dirahmati dan diredhai oleh-Nya... agar berjaya dan bahagia dunia dan akhirat... aamiin.

~ Semalam hari terakhir bulan Syawal. Bersawang dah blog ni lama tak update... sibuk melampau campur malas sebenarnya... haha.


Ramadhan

~ Along dah Tingkatan 1... tahun pertama duduk asrama. 4 hari pertama Ramadhan dapat cuti untuk sambut puasa di rumah. Lepas tu bersahur, berpuasa dan berbuka dengan kawan-kawan di asrama je lah. Memang rasa lain bila tak cukup korum waktu berbuka. Apatah lagi Along... sampai menitik air mata katanya terkenang berbuka dengan keluarga kat rumah. Tabahlah Along.

~ Angah (11 tahun) pulak kali pertama berjaya berpuasa penuh... tahun lepas kantoi sehari sebab sakit perut... tahniah Angah. Aina (8 tahun) pulak baru belajar puasa setengah hari. Walaupun sering mengadu penat dan dahaga, dapat juga 10 hari puasa penuh. Waktu bangun sahur pun taklah susah sangat nak kejutkan mereka. Walaupun belum wajib berpuasa, nak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tiada sebarang unsur paksaan untuk mereka berpuasa... cuma menggunakan teknik pujukan,  teknik melekakan dengan bawa ronda-ronda naik motor sebelum waktu berbuka, atau suruh tidur sekejap sementara menunggu waktu berbuka kalau rasa penat sangat.

~ Angah pulak berjaya solat terawih 8 rakaat tak tinggal, berbanding tahun lepas 4 rakaat je lepas tu tidur kat  belakang... Tahniah Angah, tahun depan boleh tambah solat witir pulak.

~ Awal Ramadhan kami sekeluarga ke Kota Tinggi, Johor menziarahi Yob,  abang ipar yang terlantar sakit. Semoga beliau cepat sembuh.

~ Pertengahan Ramadhan balik Pahang pulak, berpuasa bersama keluarga di kampung. Mak nampak seronok berbuka ramai-ramai dengan anak cucunya.


Syawal

~ Tahun ni giliran beraya di Perak dulu rumah mertua. Tahun pertama beraya tanpa arwah pak mertua. Along dapat cuti 9 hari. Balik kampung sehari sebelum raya. Perjalanan yang biasanya 2 jam jadi 6 jam akibat kesesakan. Tiada pilihan... redah sajalah.

~ Lepas subuh di pagi raya pertama, orang rumah aku kata Aina yang dah 2-3 hari selsema mengadu susah nak bernafas... nafas berbunyi dan pendek-pendek. Bergegas cari klinik tapi awal pagi semua tutup... pagi raya lagipun. Terus ke hospital Ipoh... setelah lama sesi soal jawab dengan doktor, kena buat ujian darah dan masuk gas... akhirnya menjelang tengahari kena masuk wad. Hantar orang rumah balik. Biar aku je yang jaga Aina kat wad. Biar ibunya duk rumah je boleh juga tolong-tolong mak mertua aku kat dapur. Aina disahkan kena jangkitan paru-paru dan ada tanda-tanda awal asthma. Tengahari raya kedua baru dibenarkan balik... alhamdulillah. 'Meriah' betul tahun ni terpaksa beraya dalam wad.

~ Petang raya ketiga, balik ke rumah kami di Sg Buloh... balik menjenguk kucing- kucing... si Oyen, Taro dan seekor lagi kucing kecik yang baru dikutip... Zero... (nama kucing semua anak-anak yang bagi nama).
 
~ Raya keempat balik Pahang pulak. Beraya di sekitar Triang, Temerloh, Mentakab dan Lanchang.


Salam Aidilfitri, maaf zahir batin dari kami sekeluarga buat semua yang mengenali kami. Maaf atas segala keterlanjuran perkataan mahupun perbuatan. Mohon dihalalkan yang termakan dan terminum. 
Semoga diizinkan bertemu lagi dengan Ramadhan dan Syawal tahun depan... aamiin.


04 August, 2016

Alkisah Ramadhan & Syawal 2016

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Hari ni hari terakhir dalam bulan Syawal 1437H. Bersawang dah blog ni lama tak update... sibuk melampau campur malas sebenarnya... haha.

Ramadhan

~ Along (12 tahun) macam biasa berjaya berpuasa penuh tahun ni tanpa sebarang rungutan lapar dahaga. Angah (10 tahun) pulak berjaya berpuasa selama 28 hari, tertinggal sehari sebab sakit perut katanya. Aina (7 tahun) pulak baru belajar puasa setengah hari. Walaupun sering mengadu penat dan dahaga, dapat juga 10 hari puasa penuh. Waktu bangun sahur pun taklah susah sangat nak kejutkan mereka. 

~ Tahniah kepada Along, Angah dan Aina. Walaupun belum wajib berpuasa, nak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tiada sebarang unsur paksaan untuk mereka berpuasa... cuma menggunakan teknik pujukan, teknik melekakan dengan bawa ronda-ronda naik motor sebelum waktu berbuka dan juga menjanjikan sedikit ganjaran duit raya lebih sikit dari ayah dan ibunya ni.

~ Tahniah buat Along kerana berjaya mencapai azamnya tak nak tinggal solat terawih dan witir. Angah pulak dapat solat terawih 4 rakaat je lepas tu tidur kat belakang... penat le tu.


Syawal



~ Tahun ni giliran beraya di Pahang dulu. Balik kampung dua hari sebelum raya. Beraya sekitar Bera - Mentakab - Lanchang. Petang raya kedua, balik ke rumah kami di Sg Buloh... balik menjenguk kucing- kucing... si Oyen, Taro & Tompok.

~ Raya ketiga balik Ipoh pulak. Cuma beraya di sekitar Ipoh je. Memandangkan dah raya ke -3, ramai ipar duai yang tak sempat berjumpa... tapi masih tetap meriah. Owh... ada juga sambutan hari lahir untuk ahli keluarga yang lahir bulan Julai... terima kasihhh.

~ Alhamdulillah tahun ni tak terperangkap dalam trafik jem!

~ Birthday tahun ni jatuh dalam bulan Syawal. Terima kasih kepada semua sahabat yang mengucapselamat di FB & whatsapp... aku doakan semoga segala doa yang baik-baik yang sahabat semua doakan untuk aku akan berbalik kepada sahabat semua... agar kita semua sama-sama panjang umur, murah rezeki, dipermudahkan segala urusan dan paling penting hidup kita diberkati, dirahmati dan diredhai oleh-Nya... amiin.

~ Salam Aidilfitri, maaf zahir batin dari kami sekeluarga buat semua yang mengenali kami. Maaf atas segala keterlanjuran perkataan mahupun perbuatan. Mohon dihalalkan yang termakan dan terminum. Mohon dihalalkan segala hutang piutang jika ada.. (bab nak halalkan hutang ni payah la kot... haha)


31 July, 2014

Catatan Perjalanan Julai 2014 (Ramadhan & Syawal)

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

19 Julai (Sabtu) - 21 Ramadhan, majlis berbuka puasa bersama rakan sepejabat & keluarga masing-masing. Orang lain buat majlis iftar di restoran/hotel... kami buat di pejabat shj... lebih murah dan menjimatkan. Menunya meriah juga... nasi beriyani, daging kambing panggang sendiri, ayam masak merah, daging masak hitam, dalca, acar, mi kari, murtabak raja, kek lapis Sarawak, sagu santan dan pelbagai kuih-muih dan pencuci mulut lain.



25 Julai (Jumaat) - 27 Ramadhan, hari lahir yang ke.... huh??? .. setahun lagi bakal mencecah angka 4 siri. Apapun... yang bertambah hanya angka... hakikatnya umur aku di dunia ni makin berkurangan. Tak perlu ada sambutan... hanya berbuka seperti biasa.

27-30 Julai (Ahad-Rabu) - Aidilfitri di Pahang. Aku ada banyak keluarga yang wajib diziarahi. Maka kawasan beraya juga agak luas meliputi Lanchang-Mentakab-Temerloh-Bera-Jerantut. Kebetulan pulak sekarang musim buah... jadi kena juga beraya sambil mengutip buah di dusun. Nasib tak baik kena sengat tebuan 3 das semasa memanjat pokok rambutan... terpaksa lepak sejam di unit kecemasan untuk mendapatkan suntikan anti-bisa....huhu.



31 Julai - 2 Ogos (Khamis-Sabtu) - Aidilfitri di Perak. Cuma beraya di sekitar Ipoh & Bidor. Memandangkan dah raya ke -4, ramai ipar duai yang tak sempat berjumpa... tapi masih tetap meriah. Owh... ada juga sambutan hari lahir untuk ahli keluarga yang lahir bulan Julai... terima kasihhh.



Salam Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.
Sekian adanya.

07 August, 2013

Alkisah Ramadhan 2013

~ Sedar tak sedar, Ramadhan tahun ini bermakna dah dua tahun aku berjaya berhenti merokok. Walaupun begitu, tak semestinya aku bebas dari sebarang risiko penyakit. Kalau masih dikelilingi kawan-kawan dari spesis 'naga berapi', ditambah pula macam-macam bahan beracun dalam makanan kita, risiko penyakit tetap ada cuma sekurang-kurangnya ada juga usaha untuk mengurangkan risiko penyakit berkaitan merokok.


~ Hari lahir aku tahun ni jatuh dalam bulan Ramadhan ... Tak sedar dua tahun lagi bakal mencecah 40 tahun sebab jiwa rasa macam masih remaja... haha. Terima kasih bini tercinta kerana sudi membelanja berbuka puasa di luar. Terima kasih kepada semua sahabat yang mengucapselamat di FB... aku doakan semoga segala doa yang baik-baik yang sahabat semua doakan untuk aku akan berbalik kepada sahabat semua... agar kita semua sama-sama panjang umur, murah rezeki, dipermudahkan segala urusan dan paling penting hidup kita diberkati dan dirahmatiNya... amiin.

~ Along (9 tahun) berjaya berpuasa penuh tahun ni tanpa sebarang rungutan lapar dahaga. Kalau penat sangat balik sekolah dia tidur kejap sementara menunggu waktu berbuka. Angah (7 tahun) pulak berjaya berpuasa selama 24 hari, walaupun sering mengadu penat. Waktu bangun sahur pun taklah susah sangat nak kejutkan mereka. Tahniah kepada Along dan Angah. Walaupun belum wajib berpuasa, nak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tiada sebarang unsur paksaan untuk mereka berpuasa... cuma menggunakan teknik pujukan, teknik melekakan dengan bawa ronda-ronda naik motor sebelum waktu berbuka dan juga menjanjikan sedikit ganjaran duit raya lebih sikit dari ayah dan ibunya ni.

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin.




16 August, 2012

Cerita Ramadhan 2012


Hari Jadi

- 5 Ramadhan bersamaan 25 Julai; menjadi 'birthday boy' untuk kali ke 37... Boy??? Haktuih... tak sedar diri le tu!

- Apapun syukur Alhamdulillah masih diberi peluang untuk bernafas sampai hari ni... Aku kena ingatkan diri aku umur cuma bertambah dari segi nombornya... tapi jangka masa hidup aku kat dunia ni dah makin sikit sebenarnya...

 - Terima kasih kpd lebih 2600 kawan2 yang buat ucapan kat wall FB aku...  maaf tak larat nak balas semua sebab ramai sangat... (nampak benor nipunya kawan2 kat FB sampai 2600, lu ingat lu artis???).

-  Raikan dgn berbuka kat luar la kononnya... tapi baru makan separuh,  terus terbantut selera bila orang rumah aku hampir termakan bangkai seekor anak lipas kat dlm salah satu lauk. Panggil tauke kedai & slow talk suruh dia tengok sendiri, tak jadi le nak marah pasal tauke kedai minta maaf dan nak masak yg lain... err takpe lah bang..dah terbantut selera ni... kamipun blah dan bayar dengan harga selepas diskaun.

- Gambar di atas sekadar hiasan semata... tapi memang ada kena mengena dgn yg hidup tapi tidak yg mati... menggantikan hp lama yang dah 'kong'. Terima kasih biniku, susah2 aje :D


Puasa di Kampung

-Memandangkan tahun ni giliran beraya kat kampung-kampung aku (wahh banyaknya kampung), maka sempena cuti Nuzul Quran selama 3 hari aku cuba menghiburkan hati bini aku dengan balik ke kampungnya kat Ipoh (ehh kampung ke?) ... dapatlah berbuka dengan lebih meriah bersama keluarga tercinta... Nanti raya ke-4 atau ke-5 barulah balik semula beraya ke sini.


Belajar Puasa

- Bagi Along dah takde  masalah... nampak steady je. Cuma kalau hari sekolah (petang), balik tu memang agak melepek je le dia sementara tunggu waktu berbuka. Tahun lepas masa darjah 1 pun cuma kantoi 3 hari je. Tahun ni ayah yakin Along boleh puasa penuh. Ada satu hari tu satu famili terlajak tak bangun sahur pun Along masih mampu bertahan... syabas.

- Angah pulak dah sekolah tadika... dah boleh mula belajar puasa. Setakat ni setengah hari dulu. Kalau hari cuti bolehlah lajak sikit sampai pukul 2/3/4/5... tapi susah juga nak tahan kalau tengok adiknya si Aina tanpa rasa bersalah makan depan dia... nak rasa bersalah apanya si Aina baru dua tahun lebih la... :)

- Masuk hari ke-16 Ramadhan, barulah Angah berjaya berpuasa sehari penuh. Itupun tak larat nak dengar rungutan dan rengekan kelaparan dan kehausan dia. Agak banyak songeh budak ni. Setakat 27 Ramadhan ni, baru 4-5 hari dia berjaya berpuasa sehari penuh... semuanya masa cuti kat rumah... kalau hari sekolah payah sikitlah nak pantau.

Kursus/Taklimat

-8 & 9 Ogos, dua hari kena pergi P.O Kajang kerana dipaksa mendengar taklimat ICDT/ICT. Malas nak bawa motor, aku naik je komuter sampai Kajang. Apa la kejadahnya buat taklimat masa bulan puasa ni... dah tentu ramai yang terangguk-angguk dan tersengguk-sengguk tanda  setuju.... tido le tu! Hari kedua masa nak balik sempat la tapau sate burung unta, rusa & perut babat kat Restoran Sate Emas Kajang.


Nak pindah pejabat

- Akan mula berpindah selepas balik dari cuti raya ni. Sekarang agak sibuk dengan kerja2 pelupusan dan pembungkusan. Perpindahan sepenuhnya dijangkakan pada 1 Sept. Lokasi baru letaknya di tempat yang agak sibuk... betul2 di depan TESCO.


Majlis Berbuka Puasa

- 22 Ramadhan (11 Ogos) ofis aku buat majlis berbuka kat Kelab Golf Perangsang, Templer Park... secara ala buffet. Makan dan makan dan makan sampai muntah... Itulah antara keburukan makan secara buffet. Biasanya kita terpaksa makan hingga lupa diri sebab banyak sangat pilihan dan sebab nak mengimbangi kos mahal yang dah dibayar.


- 24 Ramadhan;majlis iftar geng ofis bini aku pulak... ala buffet juga tapi yang ni tak payah bayar... semua ditanggung. Tak berapa ada gambar sebab sibuk mentekedarah.

Itu sajalah cerita Ramadhan tahun ni.

21 July, 2012

Salam Ramadhan 2012

Marhaban Ya Ramadhan. Syukur Alhamdulillah, aku dan korang masih diberi peluang untuk bertemu Ramadhan tahun ni. Masuk je 1 Ramadhan tahun ni bermakna dah genap setahun aku berjaya berhenti merokok... boleh dikatakan antara pencapaian terhebat dalam hidup aku.

Ingat senang ke nak berhenti merokok? Kalau hati dan semangat tak kuat macam korang jangan harap le boleh berhenti. Kalau rasa tercabar sila cuba berhenti, bulan Ramadhan ni lah masa paling sesuai!


Dengan berkat Ramadhan ni, aku nak berpesan terutamanya kepada diri sendiri dan kepada sahabat2 yg sampai (sama ada yg sengaja mahupun yg tersesat) ke blog aku ni, marilah kita sama2 melakukan perubahan dalam hidup kita ke arah yang lebih baik dari sebelum ni.

Ingat balik apa tujuan kita diciptakan. Takkanlah hidup kita ni hanya utk kerja cari duit, makan, tidur, berak dan berseronok memuaskan macam2 nafsu semata-mata. Dah lama sangat kita lalai mengejar keseronokan dan kenikmatan dunia sampai kita lupa hidup kita ni sementara je.

“Ketahuilah bahwa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.�? (al-Hadiid: 20)

Tak dapat ubah banyak... ubah sikit2 dulu pun jadilah janji ada perubahan. Nak berubah jangan bertangguh-tangguh, ntah-ntah esok lusa mati... apa pun tak boleh!

Pesanan di atas memang nampak macam nak tunjuk bagus tapi percayalah alibukansetan ni ikhlas menegur sebab sayangkan sahabat2nya.

Selamat berpuasa dan kalau ada salah silap harap dimaafkan. Blog ni cuti sebulan kot.

31 July, 2011

Nafas Baru Ramadhan

- Esok dah puasa. Dah janji dengan anak bini dan juga dengan diri sendiri untuk cuba lagi berhenti merokok bermula 1 Ramadhan ni. Ini percubaan kedua setelah percubaan pertama Ramadhan dua tahun lepas cuma mampu bertahan sampai hari raya ketiga je kat kampung, tewas dengan godaan sedara mara, ipar duai dan sahabat handai yang bertalu-talu menghembuskan asap kat aku... bedebah sungguh mereka itu!

- Tapi kali ni aku betul2 berazam nak berhenti. Cukuplah dah lebih 20 tahun bersahabat dengan jin. Aku rasa tak perlu guna alat bantuan untuk berhenti (seperti terapi gantian nikotin dsb), yang penting hati kita ni kena kuat untuk melawan ketagihan.
- Hari ini, 8.30 malam...sebelum ke surau menunaikan solat terawih, aku lepak bersendirian di suatu sudut tembok yang agak suram kerana tidak mahu sebarang gangguan, aku sedang menikmati sedutan-sedutan dan hisapan-hisapan terakhir... sedutan dan hisapan yang dalam-dalam, yang sungguh-sungguh... sebagai tanda perpisahan aku dan dia...

- Aku pasti ramai yang senyum sinis kalau terbaca statement kat atas tu. Elehh...boleh percaya ke si Ali perokok tegar ni nak berhenti merokok! Heheh... sebenarnya aku pun tak berapa yakin aku boleh berhenti tapi aku saja je tulis macam tu sebab nak cuba bersikap positif, buat-buat konfiden je la sebagai faktor pendorong dan perangsang. Tolong doakan aku berjaya kawan!


Selamat bersahur, berpuasa, berbuka dan menghayati Ramadhan.

.

04 September, 2010

Majlis Berbuka P.O.G @ Aroma Ikan Bakar Jeram & Selamat Hari Lahir Isteriku

- Kali kedua dalam bulan Ramadhan ni berbuka puasa kat Medan Ikan Bakar Aroma, Pantai Jeram, Kuala Selangor (nama je pantai tapi takde sapa nak mandi kat sini, air berselut & berlumpur). Apa2hal, masakan kat sini memang marvellous! Datang & rasa sendiri laa. (aku promote sambil mengharap tauke Aroma terbaca lalu aku boleh makan free lain kali, haha)


- Sebelum ni berbuka dgn geng ofis bini aku (free). Kali ni dgn geng ofis aku pulak (keluar duit sendiri). Huhu! Kebetulan pulak hari ni b'day bini aku, maka lepas berbuka sempat la potong kek.

- Selamat hari lahir biniku, semoga sihat selalu, panjang umur, murah rezeki lalu terus berbahagia bersama lakimu & anak-anakmu!

Itu saja, bulan puasa kurangkan mencarut!

01 September, 2010

Harapan Ramadhan 2010


- Berbanding dgn lagu raya yg berlambak2... rasanya inilah satu2nya lagu Ramadhan yg mantop lagi syahdu. Maka terpaksalah  aku layan lagu ni je setiap Ramadhan sambil mengharapkan lirik lagu ni memberi keinsafan dan menghilangkan sikit sifat2 kesyaitanan dan kejembalangan dlm diri aku.

- Satu perubahan drastik bermula 1 Ramadhan ni adalah... aku berazam nak membina 'rumah baru' dan aku berjaya mendirikan 'tiang-tiang' yg WAJIB didirikan tanpa meninggalkan sebatang 'tiang' pun (walaupun 'tiang' tu tak seteguh mana). Sebelum ni (dah lama sangat sebenornya) 'tiang-tiang' tu selalu diabaikan dan dah hampir reput dimamah anai-anai. Alang-alang dah dapat hidayah ni harap-harap dapatlah diteruskan selepas Ramadhan ni.

- Apapun setakat hari ni (22 Ramadhan), 'tiang-tiang' yg SUNAT didirikan sempena Ramadhan ni baru 2-3 batang je aku mampu pacakkan. Takpe...aku concentrate yg wajib dulu. Ada yg tak paham tiang apa? Adehhh...sila hantukkan kepala korang ke dinding semoga dapat ilham lepas tu.

- Aku cerita kejayaan aku ni bukan sebab nak tunjuk bagus, cuma mengharapkan sesiapa saja yang sampai ke blog aku ni terutama kawan-kawan aku yg dah jauh sesat dan lalai tu, marilah bersama-sama aku buat 'rumah baru' dan kita mulakan dgn mendirikan 'tiang'nya dulu... dan tolong jangan suspek aku dah buang tabiat ke hapa. Kita sama-sama tak perfect tapi tak salah saling ingat mengingati.

Habis cerita pasal tiang!


- Ramadhan tahun ni banyak kali juga aku sekeluarga berbuka kat luar tanpa mengeluarkan sebarang belanja kecuali duit minyak & tol. Bini aku kerja dgn syarikat pemaju perumahan maka selalulah staff syarikat tu dibelanja berbuka puasa oleh supplier, sub-contractor & consultant yg biasa berurusan dgn syarikat tu. Sebagai suami  mithali maka aku sentiasa rela menemani biniku melahap & melantak hidangan buffet mahupun alacarte antaranya di Club House, PJ Hilton, Aroma Ikan Bakar di Jeram dan D'Chiengmai Sungai Buloh. Beberapa jemputan berbuka lain terutama di hotel area KL terpaksa dihampakan kerana malas nak pergi area KL dan juga sebab si Along membebel rindukan masakan air tangan ibunya... hehe.

 
- Bazar Ramadhan? Ada la 4-5 kali beli makanan & air kat bazar Ramadhan (sekadar nak bertukar selera). Selebihnya bini aku masak sendiri.

- Alhamdulillah, anak sulung aku yg umur 6 tahun tu dah mula belajar berpuasa tahun ni. Mula-mula setengah hari, lepas hari kelima dia dah berjaya puasa penuh walaupun aku tak bertegas sangat suruh dia puasa penuh. (almaklumlah baru nak belajar puasa). Setakat hari ni ada la 2-3 kali tinggal puasa, itupun sebab tak tahan dahaga sebab cuaca panas sangat agaknya dan mungkin juga sebab tak tahan digoda oleh adiknya yg makan minum dgn rakusnya depan dia.

- Baju raya? Semua kaum Adam dalam rumah aku hanya pakai baju melayu raya tahun lepas je. Masih muat lagi untuk anak-anak bujang aku dan masih hensem lagi untuk aku. Cuma belikan 2-3 helai t-shirt baru je untuk diorang & bapaknya juga. Kaum Hawa pulak, sentiasa akan rasa gatal-gatal seluruh badan kalau pakai baju lama (agaknya) maka nak juga beli baju baru. Ooppss... raya tahun ni aku dah ada anak dara rupanya... aku belikan la sepasang baju kurung biru supaya menepati warna tema raya tahun lepas tu...hehe.

- Kuih raya? Dikelilingi oleh kawan-kawan dan jiran-jiran yg bisnes kuih raya (di pejabat aku, pejabat bini aku & jiran-jiran kat rumah aku) maka banyak jugalah menempah kuih raya & kerepek untuk jaga hati kawan-kawan dan menjaga silaturrahim sesama insan... hehe! Aku risau tak terhabis pulak nanti... boleh buat stok sampai raya Deepavali pulak nanti.

- Cuti raya? Ofis aku dan ofis bini aku sepakat untuk memberi cuti raya selama 11 hari untuk kami raya sakan.... yabedabeduuuu! Kepada sesiapa yg tak boleh cuti raya lelama, aku akhiri dgn ucapan..."jangan jeles!"

19 August, 2010

Khutbah Rasulullah Menjelang Ramadhan

Entri ini untuk peringatan kepada diri sendiri... dan sesiapa juga yang sanggup membuka hatinya untuk diperingatkan!

“Wahai manusia,
sungguh telah datang pada kalian bulan Allah dengan membawa berkah rahmat dan maghfirah. Bulan yang paling mulia di sisi Allah. Hari-harinya adalah hari-hari yang paling utama. Malam-malamnya adalah malam-malam yang paling utama. Jam demi jamnya adalah jam-jam yg paling utama.




Inilah bulan ketika kamu diundang menjadi tetamu Allah dan dimuliakan oleh-Nya. Di bulan ini nafas-nafasmu menjadi tasbih, tidurmu ibadah, amal-amalmu diterima dan doa-doamu diijabah. Bermohonlah kepada Allah Rabbmu dengan niat yang tulus dan hati yang suci agar Allah membimbingmu untuk melakukan shiyam dan membaca Kitab-Nya.

Celakalah orang yang tidak mendapat ampunan Allah di bulan yang agung ini. Kenanglah dengan rasa lapar dan hausmu, kelaparan dan kehausan di hari kiamat. Bersedekahlah kepada kaum fuqara dan masakin. Muliakanlah orang tuamu, sayangilah yang muda, sambungkanlah tali persaudaraanmu, jaga lidahmu, tahan pandanganmu dari apa yang tidak halal kamu memandangnya dan pendengaranmu dari apa yang tidak halal kamu mendengarnya. Kasihilah anak-anak yatim, niscaya dikasihi manusia anak-anak yatimmu.

Bertaubatlah kepada Allah dari dosa-dosamu. Angkatlah tangan-tanganmu untuk berdoa pada waktu shalatmu karena itulah saat-saat yang paling utama ketika Allah Azza wa Jalla memandang hamba-hamba-Nya dengan penuh kasih; Dia menjawab mereka ketika mereka menyeru-Nya, menyambut mereka ketika mereka memanggil-Nya dan mengabulkan doa mereka ketika mereka berdoa kepada-Nya.

Wahai manusia!
Sesungguhnya diri-dirimu tergadai karena amal-amalmu, maka bebaskanlah dengan istighfar. Punggung-punggungmu berat karena beban (dosa)-mu, maka ringankanlah dengan memperpanjang sujudmu.

Ketahuilah, Allah Ta’ala bersumpah dengan segala kebesaran-Nya bahwa Dia tidak akan mengadzab orang-orang yang shalat dan sujud, dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari manusia berdiri di hadapan Rabbal-alamin.

Wahai manusia,
barangsiapa di antaramu memberi buka kepada orang-orang mukmin yang berpuasa di bulan ini, maka di sisi Allah nilainya sama dengan membebaskan seorang budak dan dia diberi ampunan atas dosa-dosa yang lalu.
(Seorang sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, tidaklah kami semua mampu berbuat demikian.” Rasulullah meneruskan khotbahnya, “Jagalah dirimu dari api neraka walau pun hanya dengan sebiji kurma. Jagalah dirimu dari api neraka walau pun hanya dengan seteguk air.”)

Wahai manusia,
siapa yang membaguskan akhlaknya di bulan ini, ia akan berhasil melewati Sirathal Mustaqim pada hari ketika kaki-kaki tergelincir. Siapa yang meringankan pekerjaan orang-orang yang dimiliki tangan kanannya (pegawai atau pembantu) di bulan ini, Allah akan meringankan pemeriksaan-Nya di hari kiamat. Barangsiapa menahan kejelekannya di bulan ini, Allah akan menahan murka-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya.

Barangsiapa memuliakan anak yatim di bulan ini, Allah akan memuliakanya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Barangsiapa menyambungkan tali persaudaraan (silaturahim) di bulan ini, Allah akan menghubungkan dia dengan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Barangsiapa memutuskan kekeluargaan di bulan ini, Allah akan memutuskan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya.

Barangsiapa melakukan shalat sunat di bulan ini, Allah akan menuliskan baginya kebebasan dari api neraka. Barangsiapa melakukan shalat fardu baginya ganjaran seperti melakukan 70 shalat fardu di bulan lain.
Barangsiapa memperbanyak shalawat kepadaku di bulan ini, Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangan meringan. Barangsiapa di bulan ini membaca satu ayat Al-Quran, ganjarannya sama seperti mengkhatam Al-Quran pada bulan-bulan yang lain.

Wahai manusia!
Sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagimu, maka mintalah kepada Tuhanmu agar tidak pernah menutupkannya bagimu. Pintu-pintu neraka tertutup, maka mohonlah kepada Rabbmu untuk tidak akan pernah dibukakan bagimu. Setan-setan terbelenggu, maka mintalah agar ia tak lagi pernah menguasaimu.”

(Aku –Ali bin Abi Thalib yang meriwayatkan hadits ini– berdiri dan berkata, “Ya Rasulullah, apa amal yang paling utama di bulan ini?” Jawab Nabi, “Ya Abal Hasan, amal yang paling utama di bulan ini adalah menjaga diri dari apa yang diharamkan Allah”.)

Sumber dari inbox email aku.

11 August, 2010

Gelagat lelaki Muslim yang baligh, berakal dan tidak uzur tapi tak reti-reti nak puasa di bulan Ramadhan!

Assalamualaikum & Salam Ramadhan kpd sesiapa yg sesat ke sini.

(Biasanya sempena menyambut Ramadhan, orang tulis yg baik-baik je...tapi aku nak tulis cerita yg buruk-buruk je...tapi di sebalik setiap keburukan tu pasti ada pengajarannya kan???)

Panjang juga tajuk kali ni...kalau korang perasan lengkap dengan syarat wajib puasa tu. Kenapa la agaknya mereka ni tak puasa? Lu pikir la sendiri...masing-masing dah besar panjang. Aku cuma nak kongsikan gelagat mereka yang tak puasa tu, sekadar untuk renungan kita bersama.

  • Bila dah tak puasa, mana nak cari makan? Kalau kat rumah, selain dari selongkar nasi sejuk + lauk semalam,  dah tentu la masak sendiri... Apa saja yang ada, maggi pun bolehlah, tak pun masak nasik goreng bodo je. Kalau ditanya konon nak masak untuk berbuka puasa. Woi mamat, apa ke jadah pukul 12.00 tengahari masak untuk berbuka?
  • Kalau kat luar, dah tentu kedai mamak la yang dicari. Ada yg pasang runner dari golongan awek atau kawan yg non muslim...Ada juga yg jenis selamba gi beli sendiri. Berani-berani takut tapi selamba je tapau nasi + lauk kari, takde kemaluan betul. Nak cover line bungkus dalam plastik hitam. Kalau tak nak lama-lama, minta nombor telefon mamak, order dulu ...mamak siapkan...sampai kedai terus bayar. Kedai mamak ni pun satu celaka, siang hari bulan puasa pun buka kedai (kebanyakannya), maka bertambah galaklah kaki ponteng puasa. Kadang-kadang pintu depan ada tutup, pintu belakang ada buka juga (baca ikut slang mamak).
  • Kalau tak kedai mamak, kedai runcit/kedai serbaneka juga jadi pilihan. Dengan muka tak malu sambar saja roti/pizza/bun dengan air kotak. Bila nak bayar, tauke kedai/cashier pun tersenyum-senyum...apahal? Oops lupa, tambah pulak rokok sekotak. Sesetengah kaki ponteng puasa tak kisah sangat pasal makan, tapi tak dapat pekena rokok yang diorang tak boleh tahan... boleh menggigil satu badan...
  • Makanan dah ada tapi nak makan kat mana??? Ada yang tapau makan kat rumah (siap berjemaah dgn kawan2 lagi... sepakat betul setan2 ni). Ada yang cari port tersorok di tempat kerja. Ada yang makan dalam kereta sama ada kat tempat parking atau makan sambil memandu. Ada yang cover line makan kat restoran cina. Ada yang makan dalam semak. Ada yg makan kat pusat snooker, kedai mesin judi, mahupun kat kolam pancing. Paling busuk sekali ada juga yang tergamak makan dalam jamban. Puih! Ni mesti teringat zaman sekolah dulu, ponteng puasa minum air paip dlm jamban.
  • Tanda2 kantoi: Kalau tadinya lemah longlai, tiba2 mamat ni segar bugar semacam je... Lalu je mamat ni ada bau rokok... atau bau kari mamak... atau ada bau petai...kalau bercakap terselit pulak cebisan cili celah gigi...... heheh... confirm tak pose! 
  • Alasan bila terkantoi/tertangkap: sebab2 kesihatan (gastrik la paling popular), kena makan ubat, pagi tadi tak sempat sahur, beli makanan utk anak (siap bawa anak gi beli makanan...padahal bapaknya yg melantak), beli makanan utk org sakit... kerja berat... dan macam2 alasan lagilah (org tak puasa ni memang kreatif lagi inovatif mencipta alasan)

Cukuplah setakat tu! Lagi banyak aku tulis, lagi banyak aku mengarut & mencarut nanti...dan lagi kurang pahala puasa aku.

Penulisan ini adalah hasil pemerhatian & sedikit pengalaman sendiri penulis yg bergelar alibukansetan ini, yg suatu masa dulu juga pernah berperangai macam setan dan berkawan dgn setan, tapi kini sedang cuba berubah menjauhi setan & the geng, baik yg berbentuk setan (macamlah aku pernah jumpa) mahupun yg berbentuk manusia. A'uzubillahi minasy syaithoonir rojiim...


Selamat Berpuasa kpd semua umat Islam.... dan selamatlah puasa aku hendaknya. 



DOWNLOAD RAMADHAN HANDBOOK (PANDUAN IBADAH PUASA)


06 September, 2009

Alkisah Ramadhan 2009

Salam 16 Ramadhan.



Puasa Ramadhan
Terus terang saja, aku berjaya berpuasa penuh hanya dalam 2-3 tahun kebelakangan ini saja. Sebelum itu tak pernahnya cukup, ada je kantoinya. Mungkin sebab kurangnya penerapan keimanan semasa zaman kanak-kanak (aku bukanlah terdidik dalam persekitaran yang baik-baik macam kau), ditambah pula kenakalan zaman remaja dan seterusnya menjadi kebiasaan bila usia mencecah dewasa. Dan aku tak peduli apa anggapan kau terhadap aku. Apa yang penting (bukan kerjasama...dah basi dah ayat wonderpet tu)...apa yang penting aku mahu, cuba dan sedang berubah menjadi lebih baik...walaupun mungkin tak sebaik kau.



Solat Tarawih
Agaknya blog ni tak ber'update dalam bulan Ramadhan ni mungkin sebab tuan punya blog ni menumpukan sepenuh perhatian untuk beribadah. Hmmm...tak juga. 

Sehingga pertengahan Ramadhan ni, baru 4-5 kali aku ke masjid untuk bertarawikh. Dari pemerhatian aku yang jahil ni, di awal Ramadhan begitu ramai yang bertarawikh. Bila dah pertengahan, jemaah tarawikh semakin kurang...kurang dan kurang...kenapa agaknya ye??? Ke mana pulak mereka ni pergi??? 

Bazar Ramadhan 
Sehingga 16 Ramadhan, baru 4 kali aku ke bazar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka. Aku dan isteri ada sedikit masalah mental dalam memutuskan makanan yang patut dibeli. Rambang mata dibuatnya, tengok tu sedap...tengok ni pun sedap... Akhirnya hanya beli sejenis kuih atau sekeping murtabak atau sebuku roti john dan sebungkus air. Belum pernah lagi beli lauk pauk sebab dah serik terkena semasa Ramadhan yang lepas-lepas... Ada yang mahal nak mampus...ada yang tak sedap langsung...ada yang dah nak basi... Lebih baik lah kami masak sendiri...tak sakit hati. 

Berbuka 
Kebiasaannya kami berbuka hanya dengan minum air, sedikit kurma dan sedikit kuih-muih. Selepas solat maghrib barulah makan yang berat-berat. Kalau terus berbuka dengan makanan berat...alamatnya tersandar dan terbongkanglah macam ular sawa lepas tu... 

Berbuka di luar 
Setakat ni baru dua kali berbuka puasa di luar. Itu pun sebab isteri aku dah blur tak tau nak masak apa dah. Sekali-sekala perlu juga bertukar selera. 

Sahur 
Isteri aku bangun pukul 4.45 am...dialah yang biasanya memasak menu ringkas untuk bersahur. Aku yang bangun pukul 5.00 am ni hanya jadi tukang kemas, tukang makan dan tukang basuh pinggan je. Kalau hari bekerja, memang tak tidur terus selepas subuh...kalau tidur alamatnya terlajak perahulah jawabnya. Tapi bila hari cuti, lepas subuh sambung tidur balik lah... (jangan ikut perangai ni...tak elok tu!) 

Mendidik anak berpuasa 
Anak sulung aku baru umur 5 tahun...ikutkan aku biarlah dulu budak tu. Tunggulah Ramadhan tahun depan bila dah umur 6 tahun bolehlah mula belajar berpuasa suku hari/setengah hari/sepenuh hari. Ada sesiapa yang nak kongsi pengalaman mengajar anak berpuasa??? 

Mengandung dan Puasa 
Islam membenarkan wanita mengandung untuk tidak berpuasa jika bimbang memudaratkan bayi dalam kandungan. Namun beberapa kajian (orang yang kaji bukan aku!) menunjukkan berpuasa semasa mengandung sememangnya selamat asalkan mengamalkan pemakanan seimbang. Isteri aku yang mengandung dah masuk 7 bulan memilih untuk berpuasa. Nampaknya tahun ni isteri aku bakal berpuasa penuh. Taknak cerita banyak pasal ni, di luar bidang kuasa aku! Maklumat lanjut boleh rujuk di SINI 

Cukuplah coretan aku pasal Ramadhan ni. Selamat berpuasa dan semoga puasa aku pun selamat.

17 September, 2008

17 Hari Tanpa Asap Rokok

Hari ni 17 Ramadhan, hari Nuzul al-Quran. Sudah 17 hari juga aku tak berasap. Ini percubaan pertama aku nak berenti merokok, sempena bulan puasa yang orang kata waktu terbaik untuk berhenti bersahabat dengan jin.

Mula-mula memang macam ayam berak kapur...serba tak kena, terutama lepas berbuka. Biasanya lepas berbukalah masa untuk balas dendam setelah seharian berpuasa. Confirm sekurang-kurangnya hisap dua batang bersambung puntung. Dah dekat waktu maghrib je terus aku kunci pintu pagar, satu percubaan untuk menahan diri dari keluar ke kedai beli rokok.

Solat terawikh pun kantoi...huhu! Masuk 17 hari ni dah boleh tahan sikit. Perubahan ketara yang dapat aku rasa...pernafasan terasa lebih lapang dan ringan je. Tapi cabaran terbesar adalah bila dah raya nanti. Aku dapat bayangkan setan-setan yang bertopengkan kawan-kawan aku, saudara mara aku dan ipar duai aku...akan menghasut dan menggoda aku biar terjebak semula ke lembah yg hina itu (hehe hinanya). Harap-harap semangat aku kuat untuk melawan godaan itu. Kita tunggu dan lihat!
Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...