PTT Outdoor
Showing posts with label Ulangtahun. Show all posts
Showing posts with label Ulangtahun. Show all posts

30 June, 2020

Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Penangan virus pandemik Covid-19, bermulalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan Malaysia untuk mengekang penularan wabak ni... pertama kali dalam sejarah Malaysia ni rasanya.

~ Disebabkan semua pejabat kerajaan, sekolah dan premis perniagaan bukan keperluan diarah tutup, maka berkurunglah kita di rumah masing-masing... Hanya ketua keluarga boleh keluar beli barang keperluan dan setiap kali nak masuk kedai diwajibkan pakai pelitup muka, pencuci tangan dan ada penjarakan sosial. Aku pun 2-3 hari sekali je baru keluar ke kedai sebab malas nak beratur panjang... sekali keluar tu pun ambil masa 4-5 jam sebab kena beratur lama dan kena pergi 4-5 kedai nak mencukupkan barang keperluan.

~ Walaupun ofis tutup, kerja tetap kena jalan... malah rasanya macam lebih banyak dari biasa. Ada pro & kontranya Bekerja Dari Rumah (BDR) ni... Seronok pasal dapat lebih masa bersama keluarga, tak perlu menyabung nyawa di jalanraya dan tak perlu terkejar nak punch kad. Tapi dalam masa yang sama kerja dah tak tentu masa kadang kena berjaga sampai 2-3 pagi bila dah dekat dateline, bos pulak tanya pasal kerja dah tak kira masa... demi tugas layankan saja... buktikan pada bos kita boleh BDR... kalau boleh BDR sampai pencen pun aku sanggup.

~ Masa lapang aku banyak dihabiskan dengan bertukang dan berkebun di tanah depan rumah aku yang sekangkang kera. Nanti kalau rajin aku buat satu posting lain hasil pertukangan dan kebun aku tu. Si ibu pulak banyak menghabiskan masa dengan memasak macam-macam resepi. Manakala anak-anak sibuk dengan kelas online Google Classroom dan menyiapkan tugasan dari cikgu masing-masing. Terpaksalah mak bapak berkongsi hp dengan anak-anak. Habis kerja sekolah main gajet atau tengok tv pulak berjam-jam... sesekali bermain permainan saidina & sahibba sekeluarga. Sambil-sambil tu dapat juga melatih anak-anak bergotong-royong mengemas rumah, cuci bilik air, belajar memasak menu mudah dengan ibunya.. serta tolong ayah bertukang dan berkebun. Ada hikmahnya PKP ni, dapat mengeratkan lagi hubungan ibu bapa dan anak-anak dengan meluangkan lebih masa bersama.

~ 24/4/2020 - bermulanya 1 Ramadhan. Tiada bazar Ramadhan tapi kalau malas nak masak boleh je order online. Alhamdulillah dapat bersolat terawih dan witir berjemaah sekeluarga setiap malam. Gilir-gilir jadi imam, bilal dan siak dengan anak-anak bujang.

~ 1/5/2020 - Happy B'day Along. Pertama kali dapat sambut b'day dia di rumah selepas 4 tahun tinggal di asrama.

~ 24/5/2020 - Pertama kali dalam hidup menyambut hari raya Aidilfitri di rumah sendiri sebab sekatan perjalanan, tak dibenarkan balik kampung rentas negeri... Malam sebelum raya sempat bakar lemang dengan beberapa jiran untuk hidangan di pagi raya. Pertama kali juga jadi imam dan khatib solat sunat Aidilfitri... kalau tak kerana PKP mana ada orang nak bagi aku jadi imam solat raya hehe. Selesai solat dan khutbah raya, sesi video call bersama keluarga yang jauh di mata. Walaupun masa raya ni dalam tempoh PKP Bersyarat di mana dibenarkan berziarah sesama jiran terdekat dan saudara mara dalam negeri yang sama... dengan syarat patuhi SOP penjarakan sosial serta tak lebih 20 orang dalam satu rumah, tapi kami memilih tak keluar ke mana-mana... kurangkan risiko setakat yang boleh.

~ 1/6/2020 - Ulangtahun perkahwinan yang ke-17. Dah boleh masuk bertugas di pejabat, tapi siapa nak mohon BDR dibenarkan, dengan syarat bagi justifikasi kukuh seperti terpaksa menjaga anak kecik sebab taska tutup dan sebagainya. Aku pun tak melepaskan kesempatan mohon BDR juga selagi ada peluang hihi... Masuk pejabat 2x seminggu je... yang penting kerja jalan dan selesai seperti yang diamanahkan.


~ 26/6/2020 - Baru berkesempatan balik kampung menziarahi keluarga setelah sekian lama. Balik semula dengan membawa bersama kucing baru dari kampung... si Oneng.


Catatan PKP 

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
18 Mac -12 Mei 2020

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)
13 Mei - 9 Jun 2020

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)
10 Jun - 31 Ogos 2020

~ Semua pejabat di seluruh Malaysia diarah tutup dan kerja-kerja dilaksanakan sepenuhnya dari rumah. 
~ Kedai menjual keperluan asas dan makanan sahaja boleh dibuka, dengan hanya beberapa orang sahaja dibenarkan berada di dalam kedai. Pelanggan perlu mematuhi SOP penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan pencuci tangan. Sebelum masuk kedai perlu daftar dan diambil suhu badan sebelum dibenarkan masuk kedai. Maka terpaksalah beratur panjang setiap kali ke kedai.
~ Pita pelekat dilekatkan di atas lantai kedai untuk menentukan jarak selamat 1 meter di antara pelanggan.
~ Ramai orang memakai penutup muka dan sarung tangan apabila keluar rumah.     
~ Restoran dan kedai-kedai makan ditutup, hanya dibenarkan bungkus sahaja. 
~ Semua premis perniagaan termasuk kilang-kilang selain daripada ‘Servis Keperluan’ (Essential Services) yang disenaraikan mestilah menutup premis masing-masing.
~ Semua sekolah dan institusi pendidikan ditutup sepenuhnya dan pembelajaran dilaksanakan secara atas talian melalui Google Classroom/Meet/Whatsapp/Telegram. Ibu bapa terpaksalah bergilir guna gajet dengan anak-anak.
~ Semua acara sukan di seluruh dunia dibatalkan serta merta... tak meriah rasanya tak dapat tengok live bola.
~ Semua aktiviti pelancongan dan acara hiburan dibatalkan.
~ Majlis perkahwinan dan pelbagai sambutan majlis yang melibatkan perhimpunan ramai tidak dibenarkan.
~ Tiada lagi solat berjemaah di masjid dan surau, dan rumah-rumah ibadat ditutup.
~ Taman permainan kanak-kanak ditutup.
~ Berlakunya pembelian panik barangan keperluan termasuk topeng muka dan cecair pembersih tangan.
~ Sekatan jalan raya oleh polis & tentera di lokasi strategik dan pergerakan terhad kepada urusan penting sahaja tidak melebihi radius 10 km dari tempat kediaman.
~ Harga minyak jatuh sehingga RM1.25 seliter, tapi apa guna sebab tak boleh nak ke mana-mana.
~ Tiket kapal terbang murah, namun tidak boleh keluar melancong.
~ Sidang media dari Kementerian Kesihatan bagi kemaskini kes baru, yang telah sembuh dan pesakit yang meninggal dunia dilakukan setiap hari.
~ Jalan raya menjadi kosong tanpa kelibat manusia.
~ Pekerja kesihatan menjadi takut untuk pulang ke rumah dan berjumpa keluarga bimbang menjangkiti ahli keluarga.
~ Bantuan Prihatin Nasional oleh Kerajaan dimasukkan dalam akaun masing-masing. Alhamdulillah tq PM. Sedikit sebanyak dapat meringankan beban terutamanya untuk yang terkesan dengan sekatan aktiviti perniagaan.

Itulah antara perkara-perkara yang berlaku ketika peringkat awal PKP, sebelum dilonggarkan sikit demi sikit ketika PKPB & PKPP - buat renungan sepanjang hidup di bumi Allah Taala... begini rasanya bila sebahagian nikmat hidup ditarik balik buat seketika...


05 June, 2013

Ulangtahun ke-10: Jelajah Kuantan-Pekan-Rompin

~ Ketika berpuluh ribu rakyat Pahang dan Elephant Army berkonvoi ke Stadium Bukit Jalil untuk menyokong pasukan Tok Gajah menentang pasukan Harimau Selatan di separuh akhir Piala F.A, aku sekeluarga pula menyongsang arus menuju Kuantan.

1 Jun 2013 (Sabtu)

~ Hari ini genap 10 tahun aku dan isteri melayarkan bahtera  merentasi samudera, ditemani 3 orang anak kapal yang perangainya bermacam ragam. Syukur kepada-Nya kerana bahtera kami jarang sekali dilanda ribut membadai mahupun ombak bergelora. Semoga bahtera ini terus kekal utuh hingga selamat tiba di pelabuhan terakhirnya iaitu sebuah tempat yang bernama alam barzakh.... seterusnya hingga ke syurga... aamiinn.

~ Kebetulan sekarang cuti sekolah, ambil peluang bawa anak bini jalan-jalan, destinasi yang dituju adalah sekitar daerah Kuantan, Pekan dan Rompin. Walaupun aku anak jati Pahang, ada dua tempat dalam Pahang ni yang belum pernah aku jejaki iaitu daerah Pekan dan Rompin.

~ Destinasi pertama dituju ialah pantai Teluk Cempedak, Kuantan... pantai yang banyak bongkah batu besar ni memang indah... teringat kenangan zaman remaja pernah berkhemah di pantai ni.


~ Dari Teluk Cempedak, jalan-jalan cari makan sebab perut dah berbunyi minta diisi. Singgah di Warung Paksu & Maksu di Tanjung Lumpur (sebelah Pondok Polis Peramu). Gerai nampak biasa je tapi apahal la banyak kereta parking depan warung ni... mesti ada 'sesuatu' ni. Rupanya macam-macam makanan Pantai Timur ada di warung ni. Nasi dagang, nasi minyak, nasi kerabu, pulut kuning cicah kari ayam, laksam, sata, otak-otak, keropok lekor, makanan laut yang digoreng celup tepung dan pelbagai jenis kuih tradisional. Harganya pulak memang sangat berpatutan... kami siap tapau sata lagi. Oh, syok mentekedarah, sampai lupa nak ambil gambar. Lepas makan, jangan lupa mensyukuri nikmat dengan mengerjakan suruhan-Nya, kami solat jamak di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

~ Selesai solat, bergegas ke Caribbean Bay Suites, Bukit Gambang Resort City, tempat penginapan yang aku dah tempah sebelum ke sini. Tiada perancangan untuk bermandi-manda di Bukit Gambang Waterpark, sekadar mahu menginap di sini sebab kebanyakan hotel lain yang aku survey semuanya penuh. Penginapan di sini jenis apartment 2 bilik, memang sesuai rasanya untuk kami laki bini yang nak berbulan madu kali kedua sempena meraikan ulangtahun ke-10 ni. Nak bulan madu berdua-duaan, tak sampai hati pulak rasanya nak meninggalkan anak-anak dan menyusahkan orang lain menjaga mereka.

~ Masa nak check-in, begitu ramai manusia lain yang menunggu giliran, siap kena ambil nombor lagi... almaklumlah musim cuti sekolah ni. Nombor giliran yang aku ambil, ada dekat 200 orang lagi sebelum giliran aku... gila nak menunggu, mau sampai malam ni. Nasib baik ada seorang kakitangan hotel yang bersimpati melihat muka seposen kami sekeluarga, lalu menghulurkan 2 tiket dewasa komplimentari  untuk masuk ke Bukit Gambang Safari Park, satu tarikan baru di sini. Katanya pergilah berjalan-jalan dulu sementara nak tunggu check in, terima kasih kepada beliau. Tambah RM54 lagi (RM18 seorang) untuk tiket masuk anak-anak, memang agak mahal tapi berbaloi dengan keseronokan yang dirasai anak-anak.

semuanya haiwan betul... kecuali singa & rimau le...

~ Dari 4.00 petang hingga 8.30 malam, kami menjelajah seluruh Bukit Gambang Safari Park, termasuk menyaksikan persembahan haiwan dan pertunjukan api. Makan malam nasi beriani di restoran yang ada dalam Safari Park ni je. Anak-anak pun dah letih, masa untuk check-in hotel.


2 Jun 2013 (Ahad)

~ Lepas bersarapan di hotel, bagi peluang anak-anak mandi di kolam renang hotel selama 2 jam sebelum check-out. Destinasi kami seterusnya, menuju daerah Pekan yang merupakan bandar diraja Pahang dan kawasan parlimen Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak. Memandangkan kesuntukan masa, kami hanya sempat singgah di Muzium Sultan Abu Bakar.

sekitar Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan

~ Dari Pekan, kami meneruskan perjalanan sejauh 75 km menuju Kampung Leban Condong, Kuala Rompin. Tujuannya hanya satu iaitu untuk menikmati keenakan udang galah Rompin yang terkenal itu sebelum balik ke KL petang ni. Ada beberapa gerai makan yang terletak di R&R Leban Condong ni (berhampiran simpang ke Muadzam Shah) yang menyediakan hidangan udang galah.


~ Gerai Makan Azizah menjadi pilihan kami. Khabarnya tersohor juga gerai ni sebab pernah masuk TV3. Di sebelahnya Gerai Mak Ngah pun agak famous juga. Kita boleh pilih udang yang dah siap masak atau nak suruh dia masak ikut selera kita pun boleh. Berbagai jenis masakan udang galah ada di sini sama ada masak bercili, masak tomato, masak halia,  masak lemak cili api ataupun goreng kunyit. Harga antara 50-70 sekilogram ikut saiz dan gred. Kalau udang saiz besar, 4-5 ekor pun dah cecah sekilo. Dapat rasa seekor pun dah puas makan. Udang saiz sederhana pulak setengah kilo pun dah cukup. Rasanya memang manis, segar dan dihidang pulak panas-panas... pehh memang mengancam. Kalau nak beli yang mentah untuk dibawa pulang pun boleh.

~ Lepas makan, kami ronda-ronda sekitar bandar Kuala Rompin, kira-kira 16 km dari Kg. Leban Condong. Selain terkenal sebagai Bandar Udang Galah, perairan Kuala Rompin juga terkenal sebagai ''Destinasi Antarabangsa Sukan Memancing Ikan Layaran". Berdekatan bandar Kuala Rompin ada sebuah pantai tempat bersantai iaitu Pantai Hiburan. Tak taulah hiburan apa yang ada kat sini, tapi petang-petang memang ramai yang datang lepak, mandi-manda dan main layang-layang.

~ 1 km dari Pantai Hiburan, ada sebuah tempat penginapan iaitu Rompin Beach Resort. Kami mengambil keputusan tergempar untuk bermalam di sini memandangkan keadaan perut aku (dan biniku juga) yang bergelora, tak begitu selesa untuk memandu pulang sejauh 320 km. Mungkin sebab banyak makan udang galah kot... tapi baru je makan takkan dah sakit perut. Jadi suspek utamanya adalah macam-macam makanan yang disumbat masa sarapan kat Caribbean Bay Suites, Bukit Gambang pagi tadi. Mujur anak-anak ok sebab diorang makan sikit je. Takpe esok ambik m.c je lah. Masaklah kalau bos aku tau ni, jangan marah bos...haha!

~ Lepas 'melabur' sepuas-puasnya di bilik penginapan berbentuk chalet, bawa anak-anak mandi-manda... dari kolam renang, kemudian ke pantai dan ke kolam renang semula.

kolam dan pantai
~ Malamnya, singgah di sebuah gerai di medan selera Kuala Rompin (sebelah Pasaraya Tunas Manja). Pelanggan takde la ramai sangat tapi servis memang lembab dan selepas hampir sejam menunggu, awek pelayan tu dengan selambanya kata bahan-bahan untuk masak nasi goreng yang kami pesan dah habis... pergghh... Aku terus bayar harga air sambil berterima kasih banyak-banyak pada tauke kedai. Walaupun tauke kedai langsung tak minta maaf tapi aku agak kagum dengan diri sendiri kerana berjaya mengawal diri dari mencarutkan beliau. Akhirnya ikut cadangan anak-anak pergi makan KFC lagi cepat siap... huhu. (Tak perlu rasanya aku sebut nama gerai tu, tak nak menjejaskan rezeki dia... mungkin ada hikmah di sebaliknya yang kita tak tau).


3 Jun 2013 (Isnin)

~ Lepas solat subuh, ajak anak-anak ke pantai menikmati pemandangan matahari terbit di pantai Rompin. Lepas bersarapan di hotel, bagi anak-anak mandi kolam selama 2 jam lagi. Lepas check-out, kami menuju pekan Tanjung Gemok. Terdapat jeti ke Pulau Tioman di sini dan juga jambatan menyeberangi Sungai Endau yang merupakan sempadan negeri Pahang-Johor. 

indahnya 'sunrise' di pantai Rompin

~ Kemudian berpatah balik menuju Kuala Rompin. Ternampak papan tanda Taman Negeri Endau-Rompin sejauh 28 km melalui Felda Selendang. Singgah nak tengok apa yang ada kat sana. Setelah melalui jalan berbukit bukau dan jalan yang rosak dilanyak lori, sampai juga kami di pintu masuk Taman Negeri Endau-Rompin dari sebelah negeri Pahang. Sunyi sepi je keadaan di sini tanpa pengunjung, mungkin sebab kami datang pada hari Isnin, sebab tu takde orang kot. Yang menarik di sini cuma ada jeram untuk mandi-manda, mujurlah anak-anak tidur lena dalam kereta. Kalau tak, panjang ceritanya, diorang ni spesis yang pantang jumpa air. Dapat bergambar kat papan tanda pun cukuplah. Menurut seorang kakitangan jabatan perhutanan yang bertugas di situ, hujung minggu ramai juga pengunjung yang berkhemah di sini, banyak aktviti hutan boleh dilakukan... boleh rujuk di SINI.



~ Hari pun dah tengah hari, kami singgah sekali lagi di Gerai Makan Azizah, untuk menikmati masakan udang galah sepuas-puasnya, bukan selalu datang sini jadi belasahlah cukup-cukup. Lepas makan, masa untuk pulang ke KL. Singgah solat jamak di Masjid Muadzam Shah.

Perjalanan kami sejauh hampir 900 km : A.Sungai Buloh - B.Kuantan - C.Bukit Gambang - D.Pekan -
E.Kg. Leban Condong - F.Endau - G.Taman Negeri Endau-Rompin - H. Muadzam Shah - I.Sg.Buloh...

~ Alhamdulillah, selamat sampai di rumah hampir menjelang maghrib.


15 June, 2012

Cuti Sekolah Jun 2012

Huh, dah sebulan tak update blog ni... kononnya sibuk mengalahkan menteri.

Entri bergambar ni sekadar nak mencatat peristiwa2 yg terjadi sepanjang cuti sekolah pertengahan tahun 2012 selama 2 minggu... semuanya dilonggokkan dalam 1 entri ini...


1-2 Jun (Jum-Sabtu); Pergi kenduri kahwin kat rumah kakak ipar kat Bangi. Selamat Pengantin Baru Wawa & Wan, semoga kekal bahagia hingga ke akhir hayat... 1 Jun juga bermakna aku & isteri pernah menjadi pengantin baru tapi peristiwa tu dah 9 tahun berlalu. Sila ucapkan 'happy anniversary' kpd aku & isteri.



4 Jun (Isnin);  cuti sekolah ni Along mintak nak duduk kampung ayahnya sampai hujung minggu ni... seronok le tu duduk kat kampung. Ambik cuti bawa anak-anak dan adik-adik sepupu mandi-manda kat Bukit Gambang Waterpark. Petangnya terus balik KL. Nampaknya minggu depan kena balik kampung lagi ambik Along.
 


9 Jun (Sabtu); Petang ada kejohanan bowling tertutup anjuran ofis aku. Disebabkan tak terrer lagipun main setahun sekali je, aku main sekadar untuk memeriahkan acara.... Tapi bini aku walaupun tak terrer juga, ntah macam mana tahun lepas bini aku termenjadi juara kategori wanita...rupanya ramai lagi yg tak terrer... kiranya dialah yg paling terrer di kalangan yg tak terrer tu...huhu. Tahun ni dia jatuh no.5 mungkin sebab yg tak terrer tu dah berlatih bersungguh-sungguh utk menterrerkan diri masing-masing gamaknya. Habis acara dah nak maghrib, terus balik kampung nak jemput Along balik.




10 Jun (Ahad); Hari ni hari terakhir cuti sekolah. Dari kampung, sempat singgah makan kenduri kahwin sahabat lama kat Gombak. Selamat pengantin baru Khairul Ikhsan & isterinya... semoga kekal bahagia hingga ke syurga....


Kalau lepak lama sikit mungkin boleh jumpa kawan-kawan lama. Tapi tak dapat nak lepak lama sikit sebab kena bergegas pergi kursus selama 3 hari kat Institut Latihan Statistik Malaysia, Sungkai (naik kenderaan jabatan).Walaupun malas nak berkursus  tapi terpaksa pergi juga.

Tammat...

01 June, 2011

Lagu untuk biniku

Biniku
Seri mewangi bagai disiram selautan kasturi

Biniku
Termanis senyummu biar ku telan selautan hempedu
Dialah biniku selalu

Tak peduli kata orang terhadap dirinya
Aku tahu dia biniku
Tak peduli nista yang terlempar padaku
Dia tahu dia biniku

Cinta kan bermakna jika sama saling memahami
Cinta kan bercahaya jika disulami cinta suci

Binikuku
Terindah padamu kerna tak pernah meminta selain cinta
Dialah biniku selama-lamanya

Di kala hidup ini rasa tak bermaya
Dia datang membawa harapan
Di kala hari-hariku menjadi gelita
Dia datang membawa cahaya

Cinta ku bermakna kerna sama saling memahami
Cinta ku bercahaya kerna disulami cinta suci
Biniku...

Itulah lagu untuk biniku, diubahsuai dari lagu Gadisku (Search)... sempena ulangtahun ke-8 perkahwinan kami. Nak berjiwang sangat aku tak berapa reti, jadi lirik di atas jelas menerangkan maksudnya.

.

01 June, 2009

6th Anniversary

Hari ni Hari Ulangtahun perkahwinan kami yang ke-6. Ambil cuti rehat untuk meluangkan masa keluar berdua-duaan dengan isteri (anak-anak hantar taska...hahaha). Alhamdulillah syukur pada Allah kerana telah 'meminjamkan' aku (yang tak berapa baik ini) seorang wanita yang agak baik untuk menjadi isteri dan ibu kepada anak-anakku. Semoga rumahtangga ini berkekalan supaya dapat menyambut pula ulangtahun ke-10...ke-15...ke-20...ke-25...ke-30...blablabla... Insya Allah.

01 June, 2008

Ulangtahun perkahwinan ke-5 dan Ulangtahun TUDM ke-50

Tak sedar dah 5 tahun usia perkahwinan aku & biniku. Hanya sambut dengan sebiji kek ulangtahun dan kemudian kami pergi ke Pangkalan TUDM Subang. Hari ni juga sambutan ulangtahun jubli emas TUDM. Tengok pameran kapalterbang, jet, peralatan ketenteraan dan paling best tentulah pertunjukan udara. Syok betul tengok Sukhoi buat akrobatik.

poster dicilok dari website TUDM

Masa demonstrasi serangan udara, yang tak bestnya si Aiman punyalah takut dengar bunyi jet dan dentuman bom, menggigil dia macam nak terkencing je. Tapi memang pun masa bom tu jatuh ke bumi, tanah tempat kami berpijak rasa bergegar...serta merta terbayang macam ni lah agaknya suasana kat medan perang sebenar...macam kat Palestin tu. Si Aliff pulak aku tak tau apa perasaan dia...tengok muka dia suka pun tak...takut pun tak...cuma tercengang je. Malas cerita panjang, tengok je gambar2 ni...

helikopter tua...nuri

mana pergi mak bapak diorang nih

naik heli kecik, apakenama ntah...allouette kot...

jet pejuang lama...skyhawk

hawk...

mig-29N

sukhoi

sukhoi & mig-29

apa nama ntah kapalterbang banyak kipas ni...

jangan berebut, nanti ayah belikan sebijik...

cuaca panas betul...berteduh bawah kapal terbang

besarnya peluru

pameran model2 kapalterbang penumpang pun ada

ehh... terjumpa pulak si Ramlan, kawan satu sekolah dulu, dah jadi mejar kau ye...

cukuplah tu...malas nak upload dah...
Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...