PTT Outdoor
Showing posts with label Blog/Internet. Show all posts
Showing posts with label Blog/Internet. Show all posts

11 March, 2010

Hati-hati guna Facebook

Ramai kawan2 aku dah ada akaun Facebook. Malah ada yg dah jadi FB addict...sehari tak buka FB boleh menggigil satu badan. Papahal pun ni aku nak share info pasal FB yg aku rasa bagus untuk pengetahuan kita bersama.
Facebook : Nasihat Penggunaan 
Facebook (FB) adalah salah satu ’social networking’ sama macam friendster, myspace, googlebuzz dan banyak lagi. Bila kita dah sign up untuk join FB, secara otomatiknya kita adalah salah seorang daripada komuniti FB. Maka, kita bertanggungjawab ke atas diri kita dan orang lain yang ada dalam komuniti FB. 

Kita kena ingat, orang lain yang guna FB mungkin tak sama macam kita guna FB. Ada orang guna untuk tambah kawan, cari kawan lama, jaringan bisnes, informasi, urusan rasmi dan sebagainya. Secara tak langsung, nak tak nak memang kita kena hormat pengguna-pengguna lain.  
Banyak isu timbul bila Mark Zuckerberg perkenalkan laman sesawang FB ni. Tak kurang juga teori konspirasi yang berbagai-bagai. Nak percaya boleh, tak nak pun tak mengapa. Tapi, beberapa perkara perlu kita ambil perhatian. Antaranya:
  • Pihak Facebook Corp. dapat mengetahui setiap benda yang kita masukkan dalam profile kita. Ini termasuklah gambar, maklumat, aktiviti, kegemaran, jaringan dan sebagainya. Sebab itulah timbul teori FB dijadikan sebagai medium untuk monitor pengguna. Benda ini mungkin hanya teori tapi tak mustahil.   
  • Gambar-gambar, posting-posting dan maklumat-maklumat yang kita masukkan atau orang lain masukkan untuk kita akan terdedah kepada siapa saja (jika tidak diprivasikan). Risiko untuk diri anda di’dajal’kan oleh orang adalah sangat tinggi.  
gambar hiasan

Oleh sebab itu, setelah menggunakan FB untuk beberapa ketika, saya melihat beberapa kebejatan dalam penggunaan laman sesawang ini. Berikut adalah beberapa nasihat saya untuk pengguna-pengguna FB:
  1. Elakkan memasukkan semua maklumat peribadi secara terperinci ke dalam profile anda. Ia mungkin dieksploitasi oleh pihak yang anda tidak ketahui (termasuk FB Corp.).  
  2.  Sekiranya anda tak mahu maklumat peribadi terdedah, lebih elok privasikan laman anda (jika anda bukan ikon masyarakat).
  3. Setiap gambar manusia yang anda post adalah hak milik orang yang ada dalam gambar tersebut. Kalau nak post, pastikan minta izin dulu. Boleh jadi orang itu tak suka gambarnya dimasukkan.
  4. Elakkan tag nama orang dekat gambar-gambar yang tak masuk akal atau tiada kena mengena atau dengan tujuan seronok-seronok. Ingat, sesetengah orang tak guna FB untuk seronok-seronok. 
  5. Kalau anda kemaruk membuat maksiat, tak perlulah mempamerkan segala-galanya di laman anda. Simpanlah aib anda dalam hard disc masing-masing. Jangan sampai nanti orang boleh jadikan modal fitnah. (walaupun masa tu anda dah bertaubat nasuha.) 
  6. Jika anda terlibat dengan aktiviti-aktiviti subversif (cth: parti pembangkang, HAMAS etc.) yang boleh jadi tidak disukai oleh mana-mana pihak dan anda tak mahu diketahui oleh pihak itu, elakkan memasukkan maklumat dan gambar-gambar berkaitan secara ekstrim. Cukuplah untuk anda simpan sendiri-sendiri. (cth: gambar tokoh-tokoh, senapang, bom etc.) 
  7. Jangan mulakan wall post yang provokatif sampai beratus-ratus orang bergaduh kerananya. 
  8. Jika anda berminat dengan games-games yang ada dalam FB, tak perlulah forward kepada semua kawan-kawan anda yang ada dalam senarai. Boleh jadi mereka tak mahu mencemarkan laman mereka dengan games-games tak masuk akal itu. Penat pulak mereka nak remove satu persatu. 
  9. Jangan forward kuiz-kuiz yang mengarut. Kalau nak forward juga, pilihlah kepada siapa anda nak forward, iaitu friends yang anda rasa nak main kuiz itu juga. 
  10. Jangan post urusan-urusan peribadi dekat wall. Cukuplah dengan personal message atau email. 
  11. Jika anda dapat mesej berantai, pastikan mesej itu benar-benar sahih dan tepat. Jika tidak atau kurang pasti, JANGAN forward kepada semua orang walaupun dinyatakan dalam mesej tersebut. Tak perlu risau atau rasa bersalah. (juga boleh diaplikasi dalam YM) 
  12. Elakkan accept friend request tanpa mengetahui siapa yang request. Boleh jadi orang itu adalah musuh atau pemfitnah besar. 
  13. Jangan join group-group yang mengarut atau tiada hala tuju dan yang lebih penting, JANGAN invite orang lain untuk join group-group yang mengarut. 
  14. Jika anda ingin meringkaskan penggunaan FB tanpa dicemari games, quiz, application yang tak diingini, gunakan FB Lite 
  15. Elakkan membazir masa yang lama dengan FB. Hidup ni bukan hanya untuk alam virtual. 
  16. Gunakan laras bahasa yang elok dan sopan. Jangan maki hamun orang walaupun orang itu ternyata salah.
    Beberapa pihak mungkin mampu memanipulasi FB untuk kepentingan tertentu. Data mining, intrusion of privacy, violation of intellectual properties adalah isu-isu biasa di negara maju. Nyata sekali, kerajaan-kerajaan taghut, syarikat-syarikat besar, individu-individu berkepentingan mampu mengeksploitasi FB untuk tujuan tertentu terutama dalam isu monitoring dan data mining
    Risiko untuk maklumat dan gambar-gambar dalam FB digunakan untuk tujuan jahat adalah sangat tinggi. Mungkin bukan sekarang, mungkin juga pada masa depan. Berfikirlah dahulu sebelum jari-jemari mengklik tetikus dan menekan papan kekunci. 
    Bukan semua perkara dalam FB tidak baik. Tak dinafikan banyak juga kebaikannya. Terpulang kepada tujuan dan cara penggunaan. 

    Gambar Hiasan
    Tahukah anda?
    1. FB merupakan laman sesawang kedua paling popular selepas google.com.
    2. Di kebanyakan negara termasuk Malaysia, FB merupakan laman yang paling popular.
    3. FB mempunyai lebih daripada 400 juta pengguna aktif dan bilangan mereka meningkat setiap hari.
    4. Lebih 3 bilion gambar dimuat naik ke dalam FB setiap bulan.
    5. Lebih 35 juta pengguna meng’update’ status mereka setiap hari.
    6. Secara purata pengguna menggunakan lebih 40 minit sehari untuk FB.

    Isu terbaru di Malaysia. Contoh wall post yang provokatif. Elakkan.
    Wallaahua’lam.
    Kredit: Jalan Juang

    01 January, 2006

    Salam Kenal


    Assalamualaikum.

    Tentang blog...

    Selamat datang ke blog suka-suka aku ni...sekadar untuk mengisi masa lapang. Biasanya aku online antara 10.00pm hingga 12.00am-1.00am...bila anak bini dah tidur tapi aku jenis tak reti nak tidur awal dan tv/astro pulak takde cerita yang boleh layan.

    Aku bukannya pandai sangat pasal internet ni. Mula-mula aku melayari internet kat rumah aku ni percuma je. Aku pun tak tau macam mana boleh ada internet kat laptop aku ni, mungkin tumpang tempias-tempias wireless network/wifi jiran-jiran aku kot (Baca: Hukum Guna Wifi Jiran). Cuma kekadang takde network, kekadang laju, kekadang slow nak mampus, tak kisahlah bukannya aku bayar pun! Dekat 2 tahun juga la aku pakai internet free, tapi lepas pindah rumah lain, terpaksa la juga guna berukband.

    Disebabkan suatu hari tu aku tak tau nak tengok apa lagi dah dalam internet ni, maka aku cuba-cubalah buat blog. Mula-mula saja suka-suka tapi lama-lama rasa macam best pulak...walaupun mungkin sekadar syok sendiri je. Rasa nak berkongsi pasal peristiwa-peristiwa penting sepanjang perjalanan hidup aku dan apa yang berlaku di sekeliling aku dengan kawan-kawan, keluarga dan semua yang mengenali aku, yang ingin mengenali aku kecuali yang tak hingin mengenali aku.

    Mungkin juga bila aku dah arwah nanti, blog ni boleh dijadikan kenang-kenangan untuk anak cucu aku. Owh...reti jugak ayah/atuk mereka ni berblog ye... Dengan adanya blog ni juga, dapat refresh balik apa yang aku dah buat sepanjang hidup aku. Maklumlah bila dah tua mungkin aku jadi semakin pelupa. Mana le tau nanti, anak cucu bertanya; "Apa ayah/atuk buat masa muda-muda dulu ye? Maka senang la aku nak jawab...layarilah http://alibukansetan.blogspot.com/ ngeh3...!!!

    Rasanya aku akan banyak menulis (kalau rajin) tentang diri aku, atau keluarga aku, atau kawan-kawan aku, atau perkara-perkara yang berlaku di sekeliling aku saja dan aku tak berminat sangat nak cerita hal orang lain... atau cerita pasal isu semasa... atau isu politik... kecuali yang ada kena mengena dengan hidup aku. Lagipun dah terlalu banyak blog lain yang cerita pasal isu-isu tu semua...

    Tapi aku rasa tak berbakat sangat dalam penulisan... aku hanya mampu menulis sesedap rasa dan sesuka hati aku dalam gaya bahasa yang biasa-biasa , menggunakan bahasa rojak, atau dalam bahasa pasar yang mungkin kasar dan tunggang-langgang. Aku juga akan cuba sedaya upaya untuk tidak memaki hamun dan mencarut dalam blog ni.... Kalau sudi, baca! Tak sudi, sudah! Aku tak rugi...kau pun tak untung!

    Tentang aku...

    Aku?
    Ali b. Ahmad. Nama yang amat popular untuk dijadikan contoh kalau nak buat ayat, sejak dari masuk tadika sampailah menempuhi alam pekerjaan. Nama ini diberi oleh arwah atuk aku sempena kedatangan petinju legenda pujaannya Muhammad Ali ke KL bertarung menentang Joe Bugner pada 1975, tahun aku dilahirkan. Lahir di Temerloh dan kini menetap di Sungai Buloh.

    Status?
    Buat para gadis mahupun janda, harap maaf kerana aku telah dimiliki oleh seorang gadis (yang kini tidak gadis lagi). Ipoh mali talak sombong. Belum teringin menambah isteri, cuma ingin menambah zuriat...baru dikurniakan dua orang putera. (Update: Nov. 2009 tambah sorang puteri).




    Keluarga?
    Agak 'complicated' untuk diceritakan. Tapi aku ceritalah juga sikit. Abah aku berketurunan Cina muallaf dan mak aku Melayu dari etnik Jawa. Aku tak pasti apa keturunan sebenar aku tapi aku isytihar diri aku Melayu je la pasal aku tak reti cakap cina (kecuali sepatah dua perkataan mencarut), aku tak tau cakap jawa kecuali beberapa patah perkataan (seperti wes mangan atau wes ngombey) dan jiwa aku Melayu habis.

    Abah & mak berpisah selepas baru 2 bulan anak tunggal mereka dilahirkan (aku la tu), dan sejak itu aku dibesarkan oleh arwah atuk & nenek sebelah mak, diasuh dan ditanggung oleh mak2 saudara & bapak saudara hinggalah aku bersekolah dan bekerja. Atuk & nenek sebelah abah aku, tak taulah macam mana salasilahnya, mungkin ada di China agaknya dan akupun malas nak ambil tau. Kalau ambik tau lebih-lebih nanti tak pasal-pasal tiba-tiba dapat tau aku ni keturunan pemimpin komunis Mao Tze-Tung ke hapa, tak ke cilake tu...

    Semasa umur aku 4 tahun, mak aku kahwin lagi dengan seorang duda beranak 4 dan melahirkan 2 orang anak lagi. Umur aku 5 tahun, abah pulak kahwin lagi dengan seorang anak dara dan memperolehi 6 orang anak. Jadi masa sekolah dulu kalau orang tanya berapa orang adik beradik aku, agak terkial-kial untuk aku menjawabnya...nanti aku kira jap...errr...lebih kurang 12-13 macam tu la (termasuk adik beradik tiri). Pening??? Tu la aku dah cakap tadi, memang 'complicated' kan? Cukuplah setakat tu untuk tidak menambahpeningkan aku dan korang!

    Pendidikan?
    Tak setinggi mana, cuma ada sijil tinggi dan pernah bersekolah di sekolah yang tingginya 4 tingkat. Aku dah serik belajar tinggi-tinggi sebab aku pernah 'jatuh'. Gayat la tinggi-tinggi sangat.

    Pekerjaan?
    Bertugas di sebuah jabatan kerajaan, tidak berpangkat tapi kuli biasa sahaja... yang selalu diarah-arah oleh bosnya. Rasa-rasa boleh ikut aku ikut... rasa-rasa tak boleh ikut aku lawan...

    Itu sajalah yang aku rasa nak kongsikan. Tahniah kepada sesiapa yang berjaya membaca sampai habis. Ini bermakna kau memang berminat untuk mengenali aku.

    Hubungi Aku? 
    Email je... aliahmad.5809[at]yahoo.com 
    kalau nak cari kat fesbuk taip je  Pokli Ali Aloque


    TQ

    Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

    Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

    Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...