PTT Outdoor
Showing posts with label Hiking. Show all posts
Showing posts with label Hiking. Show all posts

01 December, 2020

Hobi Mendaki Gunung (Hiking)

Dan Kami jadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan di celah-celahnya jalan-jalan laluan, supaya mereka mendapat petunjuk.(Surah Al-Anbiyaa':31)
  
 
Ini cerita tentang sedikit pengalaman mendaki gunung… dari kacamata seorang pendaki yang taklah berapa tegar! (naik gunung dalam setahun tu ada la 4-5 kali je). Mungkin sikit sebanyak boleh dijadikan panduan kepada pendaki-pendaki baru. Entri ini agak panjang, kalau rajin baca, tak nak sudah! Tujuan aku tulis entri ni pun cuma untuk mendokumentasikan dan berkongsi pengalaman aku dengan anak cucu aku nanti je.


ASAL-USUL

~ Masa zaman sekolah asrama tahun 1994 kat Muar dulu, aku dan kawan-kawan pernah la buat satu aktiviti perkhemahan haram masa cuti hujung minggu kat air terjun Gunung Ledang (kononnya haram pasal pergi berkhemah tanpa pengetahuan cikgu dan warden). Nak ke campsite tu kami terpaksa mendaki entah berapa puluh ratus anak tangga (kalau tak silap nama tempat tu Bukit Semput…cheh..patut pun semput nak sampai ke situ!). Campsite tepi air terjun tu juga terletak dalam laluan untuk mendaki Gunung Ledang. Bila tengok ramai pendaki lalu dekat campsite kami tu, teringin pulak aku nak join. Tapi aku nak mendaki dengan sapa? Geng aku nak lepak air terjun je.  Mulai hari tu la aku pasang impian untuk mendaki gunung suatu hari nanti. 


MULA TERJEBAK

~ Tahun 1996, join xpdc ke Taman Negara Kuala Tahan dgn kawan-kawan sekerja (masa ni kerja kat Genting Highlands). Kat sini ada la mendaki satu bukit... Bukit Teresik yang ketinggiannya cuma lebih kurang 335 meter dari paras laut (dpl).

~ Tahun 1999,  kelab sukan pejabat aku menganjurkan aktiviti mendaki Gunung Datuk di Rembau, Negeri Sembilan.  Gunung yang taklah berapa tinggi tu menjadi gunung pertama berjaya aku daki sampai ke puncaknya. 

~ Tahun 2001, aku join satu grup mendaki, Discovery Challenge (DC) Group yang agak aktif menganjurkan aktiviti mendaki pada masa tu. Zaman tu kalau nak join aktiviti mendaki kena tengok iklan trip yang disiarkan dalam suratkhabar Utusan... tak macam sekarang bersepah trip kalau tengok kat FB. Sepanjang tahun 2001 tu boleh dikatakan setiap bulan aku join xpdc mendaki dengan grup ni sehinggalah tahun 2003.

~ Tahun 2003; tak sangka pulak seorang gadis yang aku jumpa atas puncak gunung akan menjadi jodoh aku. Gadis yang kini bukan gadis lagi itu sudah menjadi ibu kepada 3 orang anak aku. 3-4 tahun lepas kahwin, seingat aku cuma 4-5 kali aku mendaki... itupun gunung-gunung yang berdekatan je yang boleh buat daypack. Kesibukan menguruskan rumahtangga, anak-anak yang masih kecil, kekangan masa di samping faktor kewangan yang tak berapa ada lebihan, menyebabkan aku terpaksa berehat seketika dari aktiviti mendaki. Lagipun bapak mithali macam aku takkan la tergamak pergi berpoya-poya meninggalkan anak bini…chewah!  

~ Aku pernah juga terfikir nak beri nama anak aku dengan nama Bahlawan, perkataan Arab bermaksud Pendaki Gunung. Tapi sebab rasa macam pelik je, tak jadilah aku nak bagi nama tu…hehe! Tapi kalau korang sanggup silakan… cuba bagi nama anak korang Muhammad Bahlawan bin Meon… atau Nur Bahlawani bt Buntat… hmm… nampak macam ok jugak! Hihi!


Gunung Stong-Baha-Ayam, Dabong, Kelantan


TARIKAN

~ Apa yang best sangat mendaki gunung ni? Aku rasa aku ni termasuk dalam kategori pencinta alam semulajadi kot... masa kecik suka main dalam hutan belukar (sebab kampung sebelah hutan) melastik dan menjebak burung, suka tengok pokok menghijau, suka bau dan bunyi-bunyi dalam hutan... rasa tenang je lepak dalam hutan ni, mungkin sebab tu lah aku mudah jatuh cinta dengan aktiviti mendaki gunung ni. 

~ Aktiviti mendaki gunung ni memang banyak dugaan dan cabarannya. Tapi segala kesukaran dan kepenatan terubat sekelip mata bila dapat menikmati keindahan alam ciptaan-Nya sepanjang perjalanan menuju puncak, melalui kawasan air terjun bertingkat-tingkat, dengan kepelbagaian flora dan faunanya. Perasaan bila sampai ke puncak  pulak sukar nak digambarkan… terasa bebas dan puas. Segala susah payah dan penat lelah terbalas bila dapat menikmati keindahan panorama dari puncak gunung. Bayangkan dapat makan, minum dan tidur di atas awan, menikmati pemandangan matahari terbit dan terbenam dari puncak gunung, melihat hamparan luas bumi dari tempat tinggi, menikmati cuaca dingin dan menghirup udara nyaman tanpa pencemaran… hanya orang yang dah sampai ke puncak je yang tahu nikmatnya. 

~ Dapat mengeratkan silaturahim dan berjumpa kenalan baru dari berbagai lapisan masyarakat yang mempunyai minat yang sama. Semasa mendaki tak ada pangkat mahupun gelaran, semua sama dan setaraf. Perjalanan untuk sampai ke puncak mengambil masa dan sudah pasti dapat melihat ‘wajah’ sebenar rakan mendaki. Orang kata keperibadian sebenar seseorang akan terserlah apabila kepenatan atau berada dalam situasi susah. Jadi menerusi aktiviti pendakian juga kita boleh belajar mengenai hubungan sesama manusia... silap-silap boleh bertemu jodoh macam aku… hehe. Dari pemerhatian aku, ramai lagi rakan-rakan pendaki yang juga bertemu jodoh sesama sendiri.

~ Dapat memupuk semangat kerjasama misalnya semasa aktiviti memasak, ambil air, cari kayu, pasang khemah, merentas halangan, membantu rakan yang cedera atau mengalami keletihan melampau (kalau istilah di gunung biasanya disebut pewaidan sebagainya. Bila pergi ramai-ramai dalam satu kumpulan, semangat setiakawan itu penting. Perlu ambil berat keadaan kawan-kawan lain sepanjang pendakian pergi dan balik... bukan hanya mementingkan diri sendiri untuk mencari kepuasan peribadi.

~ Walaupun selepas balik dari mendaki gunung, boleh dikatakan seluruh badan akan rasa sakit-sakit, tapi rasa kejang, lenguh dan sengal itu hanyalah bersifat sementara. Dalam jangka panjang aktiviti ini dapat menyihatkan dan menguatkan stamina dan otot badan kita serta dapat mencegah penyakit, seperti menyihatkan jantung, melancarkan perjalanan darah, mengurangkan risiko serangan strok, mencegah kanser, osteoporosis, darah tinggi, kencing manis, depresi, membakar lemak dan melangsingkan badan. Bagaimanapun dengan syarat mestilah amalkan juga gaya hidup sihat, menjaga makan minum serta tak merokok. Ini tidak, tengah pewai berhenti jap hisap rokok, lepas je mendaki mesti melantak tak ingat punya...hihi. Info lanjut rujuk di SINI.

~ Bagi yang gayat, inilah peluang untuk mencabar diri melawan ketakutan berada di tempat tinggi.

~ Aktiviti mendaki gunung ni juga mengajar aku satu perkara; seberat manapun cabaran dan halangan yang kita hadapi di depan kita, asalkan kita optimis dan bermotivasi, kita akan mampu mencapainya. Mendaki juga menguji kesabaran, mendidik diri terus berusaha dan lebih berdikari. 



di puncak Gunung Santubong, Sarawak

CABARAN

~ Aktiviti mendaki gunung ni betul-betul menguji ketahanan mental dan fizikal. Pendakian bukan setakat membawa badan saja, tapi juga kena angkut bebanan beg berisi barangan keperluan seperti pakaian, makanan, khemah dan beberapa peralatan lain, khususnya pendakian yang memerlukan kita bermalam dalam hutan beberapa hari. Sesetengah gunung juga tiada punca air untuk minuman, jadi nak tak nak terpaksa angkut air dari bawah. Kadang-kadang terpaksa pulak bawa beg rakan pendaki lain yang cedera, kejang otot atau pewai (biasanya dialami oleh pendaki baru atau yang dah lama tak hiking… itulah orang suruh training tak nak training!).

~ Jadi sesapa yang nak join aktiviti ni sepatutnya mempunyai kesihatan dan kekuatan fizikal yang baik dan pastikan badan tu betul-betul fit, buatlah latihan kecergasan (jogging, main bola, berenang, dsb) sebelum ikut mana-mana  aktiviti mendaki. Jangan lupa juga buat regangan (warming up) sebelum memulakan pendakian bagi mengelak kecederaan. Berjalanlah mengikut langkah sendiri dan ambil masa serta tahu had kekuatan fizikal anda. Sebaiknya setiap pendaki membawa sendiri bekalan ubatan asas untuk kegunaan peribadi seperti pil sakit kepala, sakit perut, sakit otot, plaster, krim antiseptik dan minyak angin mengikut keperluan masing-masing. Bagus juga bawa Oral Rehydration Salts (ORS) atau air 100 Plus untuk mencegah dehidrasi dan menggantikan kehilangan garam galian dari badan seterusnya mengelakkan kekejangan otot. Kekuatan mental juga penting. Sentiasa berfikiran positif dan sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi sebarang situasi. Jangan terlalu mementingkan nak cepat sampai puncak. Jangan terlalu memaksa diri, berehatlah sekejap bila penat atau bila jantung berdegup laju. Jalan perlahan kalau tak mampu laju, insyaAllah lama-lama sampai juga ke puncak nanti. Kalau mental tak kuat, tak sampai setengah pendakian maka ramai la yang merengek nak balik. Mulalah terlintas di fikiran; “Apa kejadah la yang aku buat kat gunung ni… duk rumah tengok tv kan lagi bagus…!!!”.

~ Cuaca ekstrim juga memberi cabaran yang amat getir. Banyak kali juga aku mendaki sambil menahan kesejukan dalam hujan, kadang-kadang disertai juga angin kencang. Kalau tiada tempat berteduh nak tak nak redah sajalah. Jangan lupa bawa baju hujan atau payung. Kalau kena hujan ditambah pulak suhu kawasan pergunungan yang memang sejuk, juga boleh menyebabkan hipotermia... kalau serius boleh membawa maut tu. Aku pernah tengok rakan pendaki aku kena hipotermia tapi masa tu tak tau nak buat apa cuma tukar pakaian dia kepada pakaian kering, sapu minyak angin panas, selimutkan dan bagi minuman panas... alhamdulillah ok. Selain tu, mungkin kita pernah dengar pendaki maut disambar petir seperti yang pernah berlaku di Gunung Rajah. Itupun salah satu risiko tapi bagi aku cuma kes terpencil sebab kalau tak mendaki pun ada juga yang mati kena petir. Ajal maut kan di tangan Tuhan, kalau dah nak mati tu tak kira tempat. Apapun kita perlulah mengambil langkah sepatutnya untuk mengelakkan perkara buruk dari berlaku. Jika angin kuat, hujan lebat, guruh atau petir, tangguh dan hentikan aktiviti atau perjalanan. Cari tempat perlindungan berdekatan dan elakkan berlindung berhampiran pokok besar. Jika berlaku ribut petir ketika kita berada di puncak, cepat-cepatlah turun semula ke aras yang lebih rendah. 

~ Keadaan laluan/trek – Sebelum memulakan pendakian, sebaik-baiknya dapatkan maklumat berkenaan keadaan laluan/trek/rentis, cuaca, peralatan yang perlu dan peraturan/permit memasuki hutan. Lain gunung lain keadaan laluan yang akan ditempuhi. Di sesetengah gunung, kita perlu menyusuri jalan pembalakan semata-mata untuk ke kaki gunung (kadang-kadang terpaksa naik kenderaan 4WD). Ada juga yang kena ikut laluan berbatu, berselut, trek runtuh, semak berduri, merangkak di bawah akar/balak tumbang/buluh, tebing curam di kawasan rabung atau permatang (laluan sempit manakala kiri kanan terdapat gaung yang dalam), memanjat tebing menggunakan tali, trekking waktu malam atau laluan naik turun bukit silih berganti. Seboleh-bolehnya pastikan aktiviti hiking / trekking tamat sebelum hari gelap. Jika terpaksa berjalan dalam gelap pastikan berjalan dalam satu kumpulan yang besar. Selain tu, selepas hujan laluan akan menjadi sangat licin. Kadang-kadang kita perlu beberapa kali meredah air untuk menyeberangi sungai.  Kemungkinan anak sungai yang sebelumnya mudah kita seberangi tiba-tiba bertukar menjadi sungai besar lagi deras airnya dilanda kepala air. Terkandaslah jawabnya macam yang aku pernah alami di Gunung Stong dan Endau-Rompin. Sentiasa berhati-hati bila cuaca nampak mendung di hulu sungai. Sentiasa perhatikan tanda-tanda seperti air sungai yang tiba-tiba naik mendadak, bunyi air lebih kuat dari biasa, air sungai bertukar menjadi keruh disertai dengan kelodak ranting dan daun-daun mati di permukaan air. Kalau ada tanda-tanda tu cepat-cepatlah beredar dari dalam sungai ke tempat selamat sebab kepala air ni datang sekelip mata je.

~ Kemalangan – Biasalah bagi aktiviti yang agak ekstrim macam ni, risiko kemalangan dan kecederaan tak dapat dielakkan manakala sesetengahnya berlaku disebabkan kecuaian sendiri. Jatuh tergelincir hingga mengalami kecederaan serius dan terpaksa diselamatkan pasukan penyelamat adalah perkara yang biasa kita dengar.  Malah ada juga kes kematian pendaki akibat kemalangan semasa mendaki. Pernah juga berlaku kematian akibat kebocoran gas dalam khemah seperti yang pernah berlaku di Gunung Korbu. Perkara penting sebelum mendaki... beritahu rakan atau keluarga berkenaan perancangan perjalanan kita. Kemudian laporkan diri di balai polis berdekatan untuk kemudahan semua pihak jika berlaku kemalangan. Sentiasalah berhati-hati ketika melangkah. Mata kena sentiasa mengawasi persekitaran agar dapat mengesan bahaya lebih awal. Dulu-dulu aku kalau turun dari puncak gunung, biasanya aku berlari je pasal nak cepat sampai ke kaki gunung atau sebab nak ‘rescue’ kawan-kawan yang cedera atau pewai. Sebagai pendaki yang walaupun taklah berapa otai, aku nak juga nasihatkan pendaki-pendaki muda supaya tak payahlah main terjah begitu. Bukan saja terdedah kepada kemalangan tapi juga memberi kesan kepada lutut bila korang semakin berumur. Kalau semua kau main lompat je lama-lama tangkap lutut juga woo! Inilah yang aku tengah menanggung ni…adehh sakitnya lutut pakcik!

~ Misteri Nusantara – Sedangkan kat kampung dan bandar pun ada unsur-unsur ghaib lagi mistik, inikan pulak kat hutan dan gunung…  memang sah tempat tinggal kegemaran makhluk jin . Tapi setakat ni aku belumlah pernah ternampak, terdengar mahupun terhidu apa-apa yang pelik semasa mendaki gunung. Tengok rakan pendaki yang kena rasuk tu pernahlah. Bukan nak cakap besar dan aku pun bukannya berani sangat... hihi, jadi lagi bagus la tak mengalami perkara-perkara mistik ni. Tapi kalau dengar cerita kawan-kawan memang banyak cerita seram ni. Antaranya terjumpa makhluk berambut panjang mengilai atas pokok, terjumpa ahli keluarga yang dah lama meninggal, terserempak lembaga menyerupai muka kita sendiri atau muka kawan-kawan tapi sebenarnya kawan tu tengah syok tidur kat khemah, disesatkan hingga berpusing-pusing di laluan yang sama, dan macam-macam lagilah! Malas dah aku nak cerita banyak-banyak nanti korang terkencing pulak...hehe. Yang penting jaga tutur kata dan kelakuan sepanjang berada dalam hutan dan gunung. Jangan takbur mahupun celupar. Kalau mengalami perkara-perkara misteri, tunggulah selesai hiking, barulah bercerita kepada kawan-kawan. Amalkan juga membaca doa dan ayat-ayat Al-Quran sebagai pendinding diri sebelum memulakan perjalanan dalam hutan... sebagai ikhtiar semoga dilindungi dari segala keburukan, insya Allah. Antara yang boleh diamalkan: 

  • Sebelum mula hiking atau sambil berjalan masa mula hiking, baca Bismillah 6 (1.Bismillahir rahmanir rahim. 2. Bismillahis syaafi. 3. Bismillahil kaafi. 4. Bismilahil mu'aafi. 5. Bismillahil lazi la yadhurru ma'asmihi...dan seterusnya. 6. Bismillahi tawakkaltu 'alallah... dan seterusnya). 
  • Diikuti surah Al-Fatihah, Al-Baqarah ayat 1-5, Al-Baqarah 255 (Ayatul Kursi), ayat-ayat akhir Al-Baqarah 284-286, kemudian ditutup dengan 4 Qul (Al-Kafirun, Al-Ikhlas, Al-Falaq & An-Naas).
  • Sambil berjalan menghayati keindahan alam, kalau takde kawan nak bersembang, atau dah pewai tak larat nak sembang, baik amalkan Zikir Rabbaniyah, ada 7 zikir untuk diamalkan... sila google sendiri bacaan zikir tersebut.
  • Kalau rasa nak melepas hajat baik yang kecik mahupun yang besar, tak payahlah minta izin tok  nenek tumpang kencing/berak... syirik tu. Bila pulak tok nenek kita kahwin dengan puak-puak tu? Baca je basmalah dan doa masuk tandas yang biasa kita baca pun boleh. Adapun amalan beri salam kepada Nabi Sulaiman (salaamun 'alaa Sulaiman fil 'aalamiin) tiada nas ditemui dalam Al-Quran atau hadith sahih, tapi mungkin boleh diamalkan sebagai ikhtiar... wallahu 'a'lam. Satu lagi jangan melepas hajat di dalam lubang-lubang kerana dikatakan lubang adalah antara tempat tinggal kegemaran jin.
  • Waktu nak tidur, baca Ayat Kursi dan basmalah 21x... insya Allah dilindungi sampai pagi.
  • Kalau ditakdirkan ternampak juga... bacalah doa "Al 'anuka bila'natillah" (Laknatlah engkau dengan laknat daripada Allah), atau kalau terdengar bunyi yang pelik-pelik... bacalah doa "Au'zubikalimaatillahi taammaati minsyarrima khalaq, wamin syarri syayaatin wa'in yahdhuruun" (Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah Yang Maha Sempurna, daripada sebarang kejahatan apa yang diciptakan, dan juga dari kejahatan syaitan-syaitan bila mereka menjelma). Untuk sebutan lebih tepat sila google sendiri doa yang tersebut di atas.
  • (Ini sekadar petua & ikhtiar, Allah jua yang berkuasa menentukan)


~ Sesat/tersasar – Aku belum pernah, dan tak ingin mengalaminya. Selain disesatkan secara misteri, sesat juga berlaku biasanya disebabkan pendaki terpisah agak jauh dengan rakan-rakan lain, berpunca daripada tahap kecergasan masing-masing yang berbeza. Dah tertinggal tak tahu jalan pulak, tu yang jadi sesat tu. Kadang-kadang kita terleka melihat keindahan alam, atau leka bergambar/ambil gambar… sedar-sedar dah kena tinggal seterusnya tersesat. Sebaiknya elakkan jalan berseorangan, jangan berpecah dan sentiasa bersama kumpulan... paling kurang 2-3 orang. Kalau rasa nak membuang hajat, beritahu kawan dan tinggalkan beg di tepi trek menandakan kita off trek sekejap untuk memerut (biasanya kalau sweeper nampak dia akan tunggu). Jika rasa dah tersesat jangan panik, berehat sebentar dan banyakkan berdoa agar diberi petunjuk dan pertolongan dari-Nya, kemudian berpatah balik supaya anda mudah dicari dan ditemui. Tinggalkan juga tanda/ jejak bahawa anda pernah melalui jalan itu seperti mematahkan ranting pokok, membuat tanda anak panah dari kayu atau menyusun batu-batu kecil yang akan memudahkan pasukan pencari dan penyelamat mencari anda. Sangat penting juga bawa wisel untuk beri isyarat jika tersesat. Sebaiknya juga bawa bekalan makanan kecemasan yang memberi tenaga seperti kurma, coklat, biskut dan sebagainya. Info lanjut boleh rujuk di SINI. Kalau kita ingat kisah yang terjadi kepada Umaisarah pada tahun 2009 yang sesat berbelas hari dalam hutan semasa mendaki Gunung Tahan, kira respek jugalah pengalaman dia ‘survive’ dalam hutan tu. Ada juga yang hilang terus tanpa dapat dikesan seperti yang berlaku kepada Hassan Ayat yang hilang ketika menuruni Gunung Yong Yap... juga pada tahun 2009. Kalau tersesat/disesatkan sampai berpusing-pusing di tempat yang sama, ada juga orang tua bagi petua...

  • Baca Isti'azah (A'uuzubillahi minasy syaitonirrojim) 3x
  • Baca Ayat Penggerak (Bismillahi lazii laa yadhurru ma'asmihi... sampai habis) 3x
  • Baca surah Ad-Dhuha 11x atau lebih... insya Allah ditunjukkan jalan keluar.
  • (Ini sekadar petua & ikhtiar, Allah jua yang berkuasa menentukan)

~ Haiwan liar – Hutan memanglah tempat dia. Banyak haiwan dan serangga berbisa atau menyebabkan kegatalan seperti ular, lipan, kala jengking, lebah, tebuan, penyengat, ulat bulu dan semut yang boleh memudaratkan kita dalam hutan. Haiwan yang tak berbisa tapi menghisap darah seperti pacat, agas dan nyamuk pun boleh mencabar kesabaran kita. Kalau dah dalam hutan tu, lebih baik korang berharap tak terserempak dengan haiwan buas seperti harimau, beruang, babi hutan atau gajah.  Walaupun orang kata haiwan-haiwan ni seboleh-bolehnya cuba mengelak dari terserempak dengan manusia, tapi kalau dah terserempak mungkin buruk padahnya. Jika terserempak dengan hidupan liar, elakkan pertembungan secara berhadapan. Sebaik-baiknya berundur perlahan-lahan dan jangan sesekali membuat pergerakan yang boleh membuatkan hidupan liar terkejut dan rasa tercabar. Pengalaman aku, pernahlah juga diserang penyengat, pernah juga terhidu betapa hamisnya bau pak belang dan dengar ngaumannya, dan biasa juga terjumpa kesan tapak kaki harimau, beruang, babi hutan dan gajah, kadang-kadang dengan najisnya yang masih baru. Elok diamalkan doa menghindari haiwan buas atau berbisa ketika nak masuk hutan sebagai ikhtiar. Bacalah doa dari ayat 79 surah As-Saffat... Salaamun 'alaa Nuuhin fil 'aalamiin (kesejahteraan dilimpahkan atas Nuh di seluruh alam) bersempena dengan peristiwa Nabi Nuh yang membawa berbagai jenis haiwan buas dan berbisa dalam bahtera di mana haiwan-haiwan tersebut tidak berkelahi sesama sendiri mahupun menyerang manusia. (Ini pun sekadar petua & ikhtiar, Allah jua yang berkuasa menentukan)

~ AMS – Bila berada di ketinggian melebihi 2400 meter (8000 kaki)  dari aras laut, sesetengah orang akan mengalami gejala Acute Mountain Sickness (AMS). Tanda-tandanya seperti pening kepala, loya-loya dan muntah-muntah. Aku pun tak pasti punca sebenar gejala ni sebab pendaki yang betul-betul fit pun boleh kena AMS, jadi aku rasa tahap kecergasan bukan faktornya. Kemungkinan besar disebabkan sistem badan tak sempat atau agak lambat menyesuaikan diri dengan perubahan altitud, kekurangan oksigen dan suhu persekitaran. Aku pernah rasa kena AMS ni masa pertama kali mendaki Gunung Kinabalu dulu. Almaklumlah masa tu jiwa dan tenaga muda, mendaki dari Timpohon ke Laban Rata hanya makan masa kira-kira 4 jam je (kebiasaannya orang buat antara 5-8 jam). Sampai je Laban Rata terus pening, berterusan sampai keesokannya. Ada juga rakan yang muntah-muntah. Azabnya menahan sakit kepala sampaikan aku terpaksa hantuk kepala kat batu untuk melegakan kesakitan. Agak hilang kewarasan masa tu tapi tetap berdegil untuk teruskan pendakian ke puncak. Dah makan ubat pun takde kesan. Kalau ikut kata guide, takde cara lain…hentikan pendakian, turun balik ke aras yang lebih rendah dan berehat… insya Allah ok. Jadi untuk pendakian kali kedua ke Kinabalu aku belajar dari pengalaman, jalan rilek-rilek je supaya badan dapat beransur-ansur sesuaikan diri dengan perubahan altitud... alhamdulillah tak kena AMS sampai ke puncak. Bagaimanapun, kalau mendaki gunung-gunung yang lebih tinggi (ABC, EBC dsb), kalau kita ada tanda-tanda kena AMS ni seeloknya turunlah balik ke aras yang lebih rendah untuk mengelakkan risiko kena HACE & HAPE (kesan susulan dari AMS yang lebih serius - sila google sendiri untuk info lanjut). Boleh koma dan membawa maut katanya.


 Gunung Kinabalu


PESANAN CINTAI ALAM SEKITAR

~ Ramai pendaki gunung yang mendakwa mereka pencinta alam sekitar, tapi cakap tak serupa bikin sebab dalam masa yang sama turut mencemarkan alam sekitar. Yang merokok tu gi hisap jauh-jauh sikit, respek la orang yang tak merokok yang nak menghirup udara nyaman di puncak gunung. Seharusnya kita sentiasa mengamalkan bawa keluar apa-apa yang dibawa masuk. Tin-tin makanan, bekas dan pembungkus plastik termasuklah puntung-puntung rokok jangan sesekali ditinggalkan. Sisa makanan hendaklah ditanam di dalam lubang sekurang-kurangnya 30 cm dan dikambus semula tanpa meninggalkan sebarang kesan. Jangan tinggalkan apa-apa sampah di atas trek, terutamanya bungkusan makanan yang dibuka ketika berhenti rehat, walaupun cuma sekecil pembungkus gula-gula. Semasa berjalan, kutip apa jua sampah / bahan asing yang tidak sepatutnya berada atas trek dan simpan untuk pelupusan yang sepatutnya. Selain itu, tuala wanita/tisu basah hendaklah dibersihkan dan dibungkus sebaiknya, dinasihatkan dibawa keluar dan elakkan dibuang di dalam hutan sebab bahan-bahan tu ambil masa lama nak mereput. Naik gunung punyalah gagah, takkan nak bawa turun sampah pun tak mampu kan?

~ Di tempat-tempat yang disediakan tandas, gunakan kemudahan yang ada sebaik mungkin, selenggarakan dengan sempurna selepas guna dan sebelum meninggalkan kawasan perkhemahan yang terdapat kemudahan tandas. Jika tiada tandas, jangan buang air besar merata-rata mahupun dalam sungai, kesian orang di hilir sungai terpaksa menghadapi risiko penyakit bawaan najis anda. Bayangkan anda di tempat mereka. Sebaiknya lupuskan sisa buangan anda dengan menggali lubang dan timbus setelah selesai, jangan lupa letakkan kayu/batu penanda untuk mengelakkan rakan anda tergali tempat yang sama... kes naya tu. Kalau nak kencing, ni aku kongsi satu petua...jangan sekali-kali kencing di dalam air tak kira lelaki mahupun perempuan. Maksudnya jangan kencing sewaktu kemaluan kita terendam dalam air. Bila berada di sungai dan line tak clear ni yang selalu korang buat kan? Ini sekadar petua orang-orang tua tanpa ada bukti saintifik lah. Rasionalnya mungkin sebab bila tekanan yang tinggi dari dalam pundi kencing bertembung pulak dengan tekanan tinggi dalam air di luar, mungkin dalam jangka panjang akan melemahkan atau merosakkan sistem perkumuhan dan pembiakan kita.. huhu. Terpulanglah nak percaya ke tak. Apapun itulah yang aku amalkan... Kalau nak cover tak nak bagi orang perasan, ni pakcik nak ajar... duduklah atas batu atau berdiri dalam air dengan kemaluan berada ngam-ngam di atas paras air, kemudian tangan tu buat-buatlah kocak air sikit sambil menyanyikan lagu "suriram ram suuriram ram ram... suriraam yang maniss" (taktik nak alihkan perhatian)... lepas tu kencing je dalam seluar insya Allah orang tak perasan...selesai hajat boleh sambung berendam... hihi... terbongkar pulak rahsia.

~ Tinggalkan dan biarkan apa yang dilihat atau ditemui seperti segala batuan, bahan galian, tumbuhan, hidupan liar, serangga, bahan sejarah atau artifak dalam keadaan semulajadi. Jangan gatal-gatal nak bawa balik, nanti 'ada' yang suruh pulangkan balik di tempat asalnya tak pasal-pasal kena datang balik. Jangan juga gatal tangan nak menconteng/mengukir nama 'Saya Was Here' pada papan tanda, pondok, batu atau batang pokok sebab tiada siapa peduli mahupun respek anda dah berjaya sampai ke situ tapi dalam masa yang sama mencemarkan pemandangan semulajadi yang indah. Bak kata pepatah orang putih ni; "Bring Out What You Bring In, Take Nothing But Photograph, Leave Nothing But Footprints, Keep Nothing But Memories & Waste Nothing But Your Time."

~ Dan apa guna mencintai alam sekitar... kalau dalam masa yang sama tak mencintai Pencipta alam ini. Buatlah segala suruhan-Nya, tinggalkan segala larangan-Nya. Mendaki...mendaki juga, solat jangan dilupa... tinggalkan maksiat, batas pergaulan hendaklah dijaga.


SEDIKIT PENCAPAIAN

~ Gunung Kinabalu, Sabah (via Timpohon & Mesilau) – 4095 meter / 13435 kaki
~ Gunung Trus Madi (via Tambunan), Sabah - 2642 m / 8669 k
~ Gunung Tambuyukon, Sabah - 2579 m / 8461 k
~ Gunung Murud, Sarawak - 2423 m / 7950 k
~ Gunung Mulu, Sarawak - 2376 m / 7795 k)
~ Gunung Tahan, Pahang (via Merapoh-Kuala Tahan) - 2187 m / 7175 k
~ Gunung Korbu, Perak - 2183 m / 7162 k
~ Gunung Yong Belar, Perak-Kelantan - 2181 m / 7156 k
~ Gunung Gayong, Perak - 2173 m / 7129 k
~ Gunung Chamah, Kelantan - 2171 m / 7123 k
~ Gunung Yong Yap, Perak-Kelantan - 2167 m / 7110 k
~ Gunung Ulu Sepat, Perak - 2161 m / 7089 k
~ Gunung Irau, Pahang -  2110 m / 6923 k
~ Gunung Gerah, Perak-Kelantan - 2103m / 6898 k
~ Gunung Bilah, Perak-Kelantan - 2081m / 6830 k
~ Gunung Bieh, Perak - 2073 / 6800 k
~ Gunung Junction, Perak-Pahang-Kelantan - 2071 m / 6796 k
~ Gunung Gedung, Pahang - 2065 m / 6776 k
~ Gunung Brinchang, Pahang -  2031 m / 6663 k
~ Gunung Siku, Pahang - 1916 m / 6286 k
~ Gunung Tok Nenek, Perak - 1904 m / 6248 k
~ Gunung Rajah, Pahang (via Chamang) - 1684 m / 5526 k
~ Gunung Reskit, Pahang - 1666 m / 5466 k
~ Gunung Bubu, Perak - 1657 m / 5437 k
~ Gunung Tangga 15, Pahang - 1539 m / 5049 k
~ Twin Peak, Bukit Fraser, Pahang-Selangor - 1505 m / 4938 k
~ Gunung Ayam, Kelantan - 1504 m / 4934 k
~ Gunung Nuang, Selangor (via Ulu Langat & Janda Baik) - 1493 m / 4898 k
~ Gunung Pangkin, Pahang - 1462 m / 4797 k
~ Pine Tree Hill, Bukit Fraser, Pahang-Selangor - 1448 m / 4751 k
~ Gunung Bunga Buah, Selangor -  1430 m / 4692 k
~ Gunung Baha, Kelantan - 1410 m / 4626 k
~ Gunung Stong, Kelantan - 1399 m / 4590 k
~ Gunung Ulu Semangkuk, Selangor - 1394 m / 4558 k
~ Gunung Ledang, Johor (via Sagil) - 1276 m / 4186 k
~ Gunung Api (Pinnacles), Sarawak - 1245 m / 4085 k
~ Gunung Kenderung, Perak - 1223 m / 4013 k
~ Gunung Telapak Buruk, N.Sembilan - 1193 m / 3913 k
~ Gunung Gap, Selangor - 1183 m / 3868 k
~ Bukit Kutu, Selangor - 1053 m / 3455 k
~ Gunung Berembun (CBL),Terengganu - 1038 m / 3405 k  
~ Gunung Berembun, N.Sembilan - 1014 m / 3326 k
~ Gunung Datuk, N.Sembilan -  885 m / 2904 k
~ Gunung Angsi, N.Sembilan (via Ulu Bendul & Bukit Putus) - 825 m / 2707 k
~ Bukit Berkelah, Pahang -818 m / 2684 k
~ Gunung Santubong, Sarawak – 810 m / 2658 k
~ Bukit Kledang, Perak - 800 m / 2640 k
~ Gunung Tok Wan, Selangor - 675 m / 2215 k
~ Gunung Rajah, Taman Negara Pahang - 576 m / 1890 k
~ Gunung Baling, Kedah - 546 m / 1791 k
~ Gunung Tempurung, Perak (xplorasi gua) - 497 m / 1631 k
~ Gunung Senyum, Pahang (xplorasi gua) - 486 m / 1595 k
~ Bukit Broga, Selangor - 400 m / 1312 k
~ Bukit Putih (Bkt Apek), Selangor - +-400 m (1312 k) 
~ Bukit Saga, Selangor - +-400 m (1312 k) 
~ Bukit Tabur (West, East, Far-East & Extreme), Selangor - 357-396 m / 1171-1299 k
~ Bukit Senaling, N.Sembilan - 394 m / 1293 k
~ Bukit Teresik, Pahang - 335 m / 1099 k
~ Bukit Senorang, Kemayan, Pahang - 315 m / 1033 k
~ Bukit 300, Teluk Batik, Perak - 300 m / 984 k
~ Bukit Panorama, Pahang - 291 m / 955 k
~ Bukit Batu Putih, Gopeng - 255 m / 837 k 
~ Bukit Dua Ringgit, Selangor - 250 m / 820 k
~ Bukit Cherakah/Bukit Botak, Selangor - 214 m / 702 k
~ Bukit Saputangan, Shah Alam - 204 m / 669 k
~ Puncak Denai 3 Puteri, Kota Damansara - 197 m / 646 k
~ Bukit Sri Bintang, Damansara - 150 m / 492 k
~ Bukit Jugra, Selangor - 120 m / 394 k
~ Bukit Batu Putih, Port Dickson - 75 m / 246 k


Trans (merentasi beberapa gunung dalam satu perjalanan):

~ Trans Murud : via Ba' Kelalan - Bario
~ Trans Tahan : via Merapoh-Kuala Tahan (G.Tahan-Gedung-Reskit-Tangga 15-Pangkin-Rajah)
~ Trans Titiwangsa V2 (G.Yong Yap-Bubu-Tok Nenek-Korbu-Gayong-Junction-Yong Belar)
~ Trans Chamah-Ulu Sepat (Kelantan-Perak)
~ Trans Jelawang 3G : G.Stong-G.Ayam-G.Baha (Kelantan)
~ Trans Gerah-Bieh-Bilah (Perak-Kelantan)
~ Trans Naning : G.Datuk-Rembau-Gagak-Puncak 701-Puncak 705-Tampin Utara-Tampin Selatan (N9)
~ TransNasional....??? Itu bas ekspress daaa.....

Ada pro & kontra tentang istilah trans ni sebenarnya, ada yang kata mesti naik tempat lain turun tempat lain barulah boleh dianggap trans. Ada yang kata asalkan mendaki/merentasi beberapa gunung dalam satu perjalanan dan turun di laluan yang sama semasa naik pun dah boleh dianggap trans. Bagi aku, kalau dalam kamus pun tiada definisi yang jelas maksud trans ni, boleh je pakai mana-mana pendapat tu... tak perlu berbalah... takde faedah!

Laaa….. itu je senarai gunung yang berjaya didaki? Chehh…sembang macam la otai sangat… keh3.


ANAK-ANAK

Sementara tu, anak-anak pun aku dah pernah bawa mendaki bukit dan gunung, tapi cuma level yang mudah-mudah je dulu. Nak melentur buluh biarlah dari rebungnya... biar lebih kenal alam semulajadi, biar lebih mencintai alam sekitar dan biar diorang lebih lasak.

~ Along : Bukit Broga, Bukit Apek, Gunung Tokwan, Gunung Angsi, Gunung Datuk, Pine Tree Hill & Twin Peak.

~ Angah : Bukit Broga, Bukit Apek, Gunung Tokwan, Gunung Angsi, Gunung Datuk, Pine Tree Hill & Twin Peak, Gunung Gap & Gunung Ulu Semangkuk.

~ Aina : Bukit Batu Putih, PD, Gunung Gap & Gunung Ulu Semangkuk.

Itu je setakat ni. Takpe banyak masa lagi bagi diorang untuk menjelajah gunung-gunung lain... itu pun kalau berminat.


KASUT

Dari dulu hingga kini, kasut getah atau adidas kampung tetap menjadi pujaan hatiku. Murah, tahan lasak, kalis air, cengkaman terbaik di semua jenis permukaan! Walaupun mungkin kurang selesa dipakai oleh sesetengah orang, bagi aku ok je. Yang penting gunakan kasut getah yang lebih satu saiz dari saiz kaki kita dan pakai stokin dua lapis... untuk mengelakkan melecet dan tak makan kuku. Bagi yang tak selesa pakai kasut getah, belilah kasut hiking yang elok sikit dan sesuai dengan kaki. Kasut getah memang terbaik la bagi aku untuk gunung-gunung kat Malaysia ni. Untuk gunung-gunung luar negara aku tak pasti lah sebab setakat ni aku cuma mampu mendaki gunung dalam negara je..


BEG


Karrimor Discovery 65L Rucksack

Dibeli pada tahun 1996 berharga RM250++ kalau tak silap. 


Inilah satu-satunya beg hiking yang aku ada dan masih dipakai sampai sekarang.

Masih elok maklumlah aku bukan pendaki tegar, guna beg ni pun 4-5 kali setahun je.

Sekarang dah boleh dianggap barang 'rare' ni. Selagi masih elok, belum terfikir nak beli beg baru walaupun beg zaman sekarang ni lebih selesa dipakai.





di puncak Gunung Tahan


SASARAN

~ Tujuan utama aku melibatkan diri dalam aktiviti outdoor, khususnya mendaki gunung ni adalah untuk menikmati keindahan alam ciptaan-Nya, mencabar diri keluar dari kehidupan selesa di rumah serta cuba mengamalkan gaya hidup sihat.


~ Tak kiralah bukit mahupun gunung, jika ada kelapangan masa dan bajet aku akan pergi. Tapi tak salah rasanya untuk menetapkan sasaran mendaki gunung yang lebih mencabar untuk mencari pengalaman baru, merasai cabaran yang berbeza di tempat dan suasana/pemandangan yang berbeza serta sekadar untuk memenuhi kepuasan diri... bukanlah untuk dibangga-banggakan sebab dah beribu-ribu orang lain mempunyai pencapaian yang jauh lebih hebat.

~ Sasaran untuk mendaki tujuh puncak tertinggi  di Semenanjung Malaysia (G7) dengan ketinggian melebihi 7000 kaki iaitu Gunung Tahan, Korbu, Yong Belar, Gayong, Chamah, Yong Yap & Ulu Sepat sudahpun tercapai.

~  Kemudian lima puncak tertinggi di Malaysia yang kesemuanya terletak di Pulau Borneo (G5 atau disebut juga Big 5) iaitu Gunung Kinabalu, Trusmadi, Tambuyukon, Murud & Mulu juga sudah berjaya dijejaki. 

~ Bila 7 puncak tertinggi di semenanjung (G7) digabungkan dengan 5 puncak tertinggi di  Borneo (G5), dikenali juga sebagai puncak G12.

~ Sekarang sedang mencari kelapangan masa untuk tambah lagi 4 gunung di semenanjung dengan ketinggian menghampiri 7000 kaki atau melebihi 2100 m (digelar G7-11 bila digabung dengan gunung-gunung G7) iaitu Gunung Batu Putih, Irau, Benum dan Gerah. Setakat ni hanya puncak Gunung Irau dan Gunung Gerah yang mampu dijejaki.


~ Buat masa ni aku cuma mampu hiking dalam negara je lah dulu. Kalau ada rezeki lebih bolehlah mendaki gunung-gunung di negara jiran sekitar Asia Tenggara, seperti Indonesia, Vietnam, Filipina dll. Nak juga merasa mendaki gunung berapi macam di Indonesia.

~ Kalau ada rezeki lebih lagi dan badan masih bertenaga, teringin juga nak merasa mendaki gunung bersalji macam di Banjaran Himalaya seperti Annapurna Base Camp (ABC), Island Peak, K2 Base Camp atau Everest Base Camp (EBC)... tapi kena menabung lama tu sebab kosnya agak tinggi dan memakan masa yang agak lama (kena ambik cuti panjang tu).


~ Nak mendaki 7 Summit (puncak tertinggi di 7 benua)??? Rasa macam dah di luar kemampuan diri dan kewangan dah tu...huhu.

~ Sama ada sasaran tu dapat direalisasikan atau tidak, kita kena berangan-angan dulu. Ada rezeki insya Allah jadi. Yang pasti aku sentiasa ada perasaan rindu nak menikmati suasana di dalam hutan dan puncak gunung,  jadi kalau panjang umur dan kaki masih kuat, belum rasa nak bersara lagi sebab faktor umur tak boleh dijadikan alasan dan penghalang. Malu aku kat pendaki-pendaki yang lebih otai yang aku pernah jumpa kat trek... umur dah  60-70 tahun pun masih aktif mendaki. Respek!

Wassalam.

22 February, 2020

Hiking : Bukit Dua Ringgit

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Baru dilantik jadi team leader program The Biggest Loser (TBL) untuk staf kat ofis aku. Jadi kena rancanglah beberapa aktiviti untuk peserta. Selain kawal pemakanan, buat workout dan jogging, rancang juga aktiviti hiking santai sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk diorang.

Hiking pertama kami ke Bukit Dua Ringgit, Bukit Sentosa, Rawang.

~ Starting point : berdekatan Stesen Pencawang Elektrik TNB, Bukit Sentosa. Pagi-pagi boleh nampak banyak kereta parking di bahu jalan tepi bukit.

~ Ketinggian : 250 meter dari aras laut... kira-kira 20-30 minit untuk sampai ke puncak bergantung kepada stamina masing-masing.

~ Bayaran masuk : Percuma je. Tak perlu bayar dua ringgit walaupun namanya Bukit Dua Ringgit (asal usul namanya belum dapat dipastikan).

~ Trek: Permulaan trek berbatu yang sedikit menegak, sebelum masuk ke trek hutan sikit. Trek mudah, sesuai untuk seisi keluarga. Jangan risau ada penanda arah. Boleh turun balik ikut trek yang sama masa naik atau ikut jalan lain yang lebih mendatar (kalau jumpa simpang, ikut kanan) hingga jumpa tempat permulaan.

~ Pemandangan dari puncak : Sekitar kawasan perumahan Bukit Sentosa, Bukit Beruntung, Pekan Serendah, Genting Highlands dan Banjaran Titiwangsa. Lagi menarik kalau naik awal pagi, boleh tengok pemandangan matahari terbit.


~ Semoga berjaya mencapai berat badan ideal buat semua peserta program TBL dalam tempoh 4 bulan akan datang. Dah bakar kalori lepas mendaki tadi, kami tambah balik kalori kat gerai makan depan Masjid Bukit Sentosa... tak jauh dari starting point tadi.. haha.




11 January, 2020

Hiking : Bukit Cherakah & Bukit Botak, Puncak Alam

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Hari ni hiking di Bukit Cherakah & Bukit Botak, Puncak Alam bersama anak bujang. Walaupun tak berapa jauh dari rumah tapi baru hari ni berkesempatan ke sini. Dua bukit ni boleh didaki dalam satu masa, boleh dikatakan dalam kategori mudah, tak perlu risau tersesat kerana terdapat penanda arah dan sesuai untuk beginner dan seisi keluarga.

~ Starting Point : Boleh Waze Hiking Trail Bukit Botak, Puncak Alam (berdekatan tangki air). Trek permulaan melalui ladang kelapa sawit.

~ Sepanjang perjalanan akan jumpa menara talian penghantaran elektrik, Kem Paet, puncak Bukit Cherakah setinggi 214 meter, Kem Tagar dan seterusnya Bukit Botak (tak pasti ketinggiannya). Perjalanan memakan masa kira-kira 45 minit - 1 jam, kalau jalan santai-santai.


~ Sebaiknya datang awal pagi, kalau lewat sikit bersedialah untuk berpanas di Bukit Botak yang tandus tu.


22 December, 2019

Hiking : Air Terjun Bukit Wawasan, Puchong

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

22/12/2019 (Ahad) - Hiking bersama geng hiking lama masa mula berjinak-jinak dengan hobi hiking sekitar tahun 2000 dulu. Cadang nak ke Bukit Wawasan, Puchong, tapi masing-masing dah beranak pinak dan bawa anak-anak kecik bersama, kami tak ikut trek ke puncak bukit tapi ikut trek menuju air terjun... (bukan Blue Lagoon yang dilarang masuk tu).


Perjalanan ke air terjun ni kalau jalan santai-santai mengambil masa kira-kira 45 minit - 1 jam. Seronok betul budak-budak kalau jumpa air sungai... kalau tak disuruh naik memang sampai kecut diorang berendam. Waktu balik pekena air kelapa pulak di warung yang ada kat starting point.

Ada masa lain kali nak repeat ke puncak Bukit Wawasan pulak.



27 July, 2019

Kembara WSC @ Sg Chiling

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

27 Julai 2019 (Sabtu)- Bawa Aina pergi hiking bersama rakan-rakan sepejabat ke Santuari Ikan Sungai Chiling, Kuala Kubu Baru, Selangor. Ada acara simbolik penyerahan bendera kembara kepada HQ Shah Alam.



27 October, 2018

Hiking ke Denai Tiga Puteri, Kota Damansara

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Rasa gatal-gatal pulak kaki lama tak hiking, dapat layan hiking kat bukit pun jadilah asalkan dapat keluar peluh. Pergi berdua je dengan si Shahrul.

~ Starting point ada dua tempat : Yang pertama di Jalan Rimba Riang 9/1, Seksyen 9. Yang kedua pulak dari Jalan Merbah 10/1, depan SMK Seksyen 10, Kota Damansara. Nak senang google/waze je Kota Damansara Community Forest Reserve.

~ Di sepanjang bahu jalan biasanya penuh dengan kereta yang diparkir. Datang lambat kena park jauh  sikit la. Mujur kami naik motor je terus parkir depan pintu masuk. Kemudian kena mendaftar masuk di pondok pendaftaran. Masa balik pun kena daftar keluar.

~ 9.00 am; kami mula mendaki... jalan lenggang kangkung santai-santai je dan sempat berhenti lepak di tepi air terjun kecil. Ada beberapa trail yang boleh dipilih berpandukan papan tanda yang disediakan, insya Allah tak sesat.

~ Trek boleh kata santai je sesuai untuk beginner mahupun anak-anak cuma jarak yang agak panjang dan ada lah sikit trek yang mendaki. Boleh hiking, jogging malah popular juga di kalangan geng trail runners dan basikal MTB.  Cuma kena hati-hati dengan basikal yang kadang-kadang turun meluncur laju.

~ 11.30 am: selamat sampai Puncak Denai Tiga Puteri, ketinggian kira-kira 197 meter dari paras laut (kalau ikut apps altimeter kat hp). Dah dekat nak sampai puncak tadi barulah ada trek mendaki sikit tapi ada disediakan tali yang memudahkan pendakian.


~ Ramai juga puteri kat atas ni, ingatkan tiga je. Lepak setengah jam menikmati pemandangan Lebuhraya NKVE dan sekitar Damansara sebelum turun semula ke starting point.


30 September, 2018

Mendaki Gunung Siku, Cameron Highlands

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

INFO: 

~ Gunung Siku terletak di Cameron Highlands, Pahang, berketinggian 1916 meter / 6286 kaki dari paras laut.

~ Pendakian gunung ni bolehlah dikatakan dalam kategori mudah, kerana sebenarnya tempat permulaan pendakian dari kebun sayur sudah pun berada di ketinggian kira-kira 1500 meter dpl, jadi cuma perlu mendaki kira-kira 400 meter je lagi dan memakan masa kira-kira 2 jam setengah ke 3 jam bergantung kepada tahap stamina masing-masing.

~ Untuk mendaki gunung ni perlu memohon permit memasuki hutan simpan kekal dari Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.


29 SEPTEMBER 2018 (SABTU)

~ 2.00 am - Tiba di tempat berkumpul, Masjid Kg. Raja... . Perjalanan dari KL bersama 2 sahabat ikut jalan Simpang Pulai memakan masa kira-kira 3 jam. Sempat melelapkan mata dalam kereta sementara menunggu waktu subuh. 

~ 7.00 am - Sarapan di gerai bersebelahan masjid. Kesemua 12 orang geng baju oren berkumpul di sini dan berjumpa Tawau, guide kami yang berasal dari Tawau. 2 orang lagi geng kami sepasang suami isteri yang sepatutnya turut serta tak dapat bersama kami kali ni sebab diuji dengan kejadian kereta pancit dan breakdown semasa dalam perjalanan di Jalan Tapah awal pagi tadi.

~ 8.00 am - Menaiki kereta menuju tempat permulaan mendaki di sebuah kebun sayur di Blue Valley sejauh kira-kira 5 km.

~ 8.10 am - Tiba di tempat permulaan. Dah bersusun kereta parking di bahu-bahu jalan tanah, asalkan jangan sampai menghalang laluan lori-lori sayur. Seterusnya dengar sikit taklimat pendakian oleh si Tawau, senaman regangan dan doa.


~ 8.30 am - Memulakan pendakian, perlu 
melalui jalan tanah berlumpur mengambil masa lebih kurang 20 minit berjalan kaki, mujurlah separuh perjalanan ada pekerja kebun sayur sudi tumpangkan kami naik 4WD.


~ 8.50 am - Menyeberangi anak sungai di tepi kebun sayur.

~ 9.00 am -  Tiba di pintu rimba dan mula memasuki trek hutan, single trek dan jelas kelihatan. Trek licin sebab hujan malam tadi.

~ 11.00 am - Tiba di kawasan mossy forest. Kata abang guide, dari mossy forest ke puncak dah tak jauh, kira-kira sejam pendakian je lagi. Tapi banyak kawasan mossy yang cantik-cantik maka banyak kalilah kami berhenti untuk bergambar. Tak terasa penat, tambah pulak dihiburkan dengan keletah dan nyanyian si Mikail yang baru berumur 3 tahun, anak peserta geng baju purple. 

~ 1.10 pm - Alhamdulillah, selamat tiba di puncak Gunung Siku dalam cuaca redup. Dari puncak boleh nampak view puncak  Gunung Yong Belar, Gunung Korbu dan kebun-kebun sayur di sekitar Cameron Highlands. Kawasan puncaknya sempit... maka padat dan meriah dengan pendaki-pendaki dari geng baju merah, purple dan kami geng oren. Nak bergambar kat signboard kenalah ikut giliran. Sempat juga mengisi perut dengan bekalan makanan yang dibawa.

~ 2.00 pm - Dah puas bergambar sakan, kami memulakan perjalanan turun dengan santai juga dan perlu lebih berhati-hati kerana trek licin... sesapa yang ada ilmu mengapungkan diri atau ilmu terbang bolehlah dipraktikkan di sini..hehe. 

~ 5.00 pm - Selamat tiba di tempat permulaan. Boleh dikatakan trek Gunung Siku ni agak santai dan cerunnya taklah pacak sangat.



Menginap semalaman di apartment dan balik keesokan harinya. Sempatlah shopping teh, strawberi dan sayur-sayuran di pasar malam dan pasar pagi di Brinchang dan sempat juga pekena Nasi Lemak Abang Strawberry kat Kg Taman Sedia sebelum bertolak balik ikut Jalan Tapah.

Terima kasih kepada geng baju oren sudi ajak ikut trip ni... next trip baju kaler apa pulak kita?


02 May, 2018

Mendaki Gunung Murud (Trans Murud: Ba' Kelalan - Murud - Bario)

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

24 April 2018 (Selasa) - 1 Mei 2018 (Selasa) - Ini catatan pendakian ke Gunung Murud, Sarawak; dengan 14 orang line-up : Sham Castello (Nature Explorer) sebagai Gogo/Guide, Big, Kak Am, Ika, Eddy, Pak Ali, Mustakim, John Lai, Shariman, A'an, Desmond, Hamdan, Dr Lim dan aku... diiringi juga 2 orang guide tempatan dari suku kaum Lun Bawang iaitu Gukang dan anaknya Wilson.

INFO :
~ Gunung Murud terletak di dalam kawasan Taman Negara Pulong Tau di Tanah Tinggi Kelabit, Bahagian Limbang, Sarawak.
~ Ketinggian Gunung Murud adalah 2423 meter atau 7950 kaki dari paras laut (dpl), merupakan gunung tertinggi di Sarawak dan keempat tertinggi di Malaysia. 
~ Di kalangan pendaki Malaysia, Gunung Murud termasuk dalam kategori Big 5 iaitu gelaran bagi 5 puncak tertinggi di Malaysia yang kesemuanya terletak di Borneo (Sabah dan Sarawak). Biasa juga digelar dalam kategori G12 bila digabung dengan 7 gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia (G7).
~ Trans Murud adalah dalam kategori pendakian agak hardcore kerana tempoh pendakian yang agak panjang sehingga 4-5 hari, jarak laluan pula jauhnya lebih 60 km merentasi dari tempat permulaan di Ba' Kelalan dan berakhir di Bario, maka perlu buat persediaan fizikal dan mental yang cukup. Ada juga yang buat dari Bario - Ba' Kelalan bergantung kepada penganjur.
~ Gunung Murud dianggap gunung suci oleh penduduk tempatan. Setiap dua tahun sekali pada bulan Julai, penganut Kristian suku kaum Lun Bawang dari Ba' Kelalan akan datang beramai-ramai ke Church Camp dan sekitar kawasan puncak Gunung Murud untuk menjalankan upacara keagamaan mereka. Sebelum ni dibuat setiap tahun tapi beberapa tahun kebelakangan ni diubah kepada dwitahunan bagi memberi peluang warga tua yang dah tak berapa larat nak mendaki untuk menyertai upacara keagamaan yang diadakan di Ba' Kelalan sahaja (info dari guide kami).



HARI PERTAMA (24 APRIL 2018, SELASA)
KL - MIRI - GUA NIAH - MIRI
~ 7.00 am - Menaiki penerbangan Air Asia dari KL - Miri.
~ 9.15 am - Tiba di Miri. Sewa van. Check in Lixion Homestay, Miri.
~ 12.00 pm - Hari ni santai-santai je. Lunch nasi lalapan di restoran Damai Setia, Miri. Kemudian naik van bertolak ke Gua Niah sejauh 80 km. Singgah solat di Masjid Al-Jabbar Niah.
~ 2.00 pm - Tiba di pintu masuk Taman Negara Niah, bayaran masuk RM10 seorang. Perlu naik bot untuk ke seberang sungai, ada buaya di sungai ni katanya. Kemudian mula hiking menjelajah Gua Niah menyusuri pelantar kayu. Mulai dari Traders Cave, Great Cave hingga ke gua hujung sekali iaitu Painted Cave. Trail 4.1km sehala... pergi balik dah 8.2 km.
~ 5.30 pm - Balik ke Miri, rancang nak singgah di Pantai Tusan, Bekenu, jarak 46 km.
~ 6.15 pm - Tiba di Pantai Tusan menjelang senja, layan pemandangan matahari terbenam dan bergambar di tebing batu berbentuk kepala kuda.
~ 8.30 pm - Tiba di Miri, dinner nasi lalapan lagi di Restoran Muara, sebelum balik ke homestay.

di airport dan Gua Niah...

Pantai Tusan...


HARI KEDUA  (25 APRIL 2018, RABU)
MIRI - BA'KELALAN
~ 8.45 am - Dalam hujan, kami berlapan (Big, Kak Am, Ika, Eddy, Pak Ali, Mustakim, John dan aku) menaiki pesawat MASwings jenis Twin Otter berkapasiti 19 penumpang ke Ba' Kelalan. Pesawat ringan ni ada had berat maksimum. Setiap kali sebelum naik, setiap penumpang dan bagasi perlu ditimbang berat masing-masing takut terlebih berat... Transit sebentar 20 minit di Lawas untuk menurun dan mengambil penumpang sebelum meneruskan perjalanan ke Ba' Kelalan. Bagaimanapun, 6 orang lagi (Sham, Shariman, A'an, Desmond, Hamdan dan Dr Lim), terpaksa naik pesawat lain dari Miri ke Lawas sahaja akibat kehabisan tiket penerbangan terus ke Ba' Kelalan. Kemudian dari Lawas perlu naik pikap 4x4 ke Ba' Kelalan ikut jalan tanah/balak yang memakan masa 6-7 jam perjalanan.
~ 10.15 am - Tiba di airport Ba' Kelalan, kawasan pedalaman di tengah belantara yang dikelilingi bukit-bukau. Check-in tempat penginapan bersebelahan airport di Apple Lodge yang dimiliki Pak Tagal. Ba' Kelalan berada di ketinggian 915m dpl... suhu pun agak nyaman kira-kira 20°C. Ba' Kelalan juga pernah terkenal sebagai kawasan penanaman epal, tapi masa kami pergi ni penanaman epal dah terhenti kerana ada masalah ketiadaan tenaga mahir dalam penjagaan ladang epal. Lepas lunch, lepak & tidur je sebab hujan. Hajat nak jalan-jalan ke Long Bawan, pekan di sempadan sebelah Kalimantan, Indonesia yang jaraknya cuma kira-kira sejam perjalanan tak kesampaian kerana tiada kenderaan 4x4 tersedia masa tu.
~ 4.00 pm - Geng naik 4x4 selamat tiba setelah mengharungi perjalanan jauh kira-kira 6-7 jam melalui jalan tanah sejauh kira-kira 130 km yang sungguh mencabar!
~ Malam - Dinner makan nasi dari beras adan Ba' Kelalan yang sedap dan lembut. Lepas tu agihan ration & sedikit taklimat untuk pendakian esok oleh guide, Mr. Gukang.

Dari Miri ke Apple Lodge...

"nanti on trek jangan banyak tanya lagi pasal berapa jauh jarak... berapa jam lagi nak sampai... 
semua info dah ada kat tshirt ni"... kata abang gogo... hehe


HARI KETIGA (26 APRIL 2018, KHAMIS)
BA'KELALAN - LEPO BUNGA - CHURCH CAMP (JARAK : 18.2km)
~ Sarapan bihun goreng & kuih cakoi yang disediakan Apple Lodge.
~ 8.30 am - Misi pendakian bermula. Bertolak dari Ba' Kelalan menuju Lepo Bunga menaiki 4x4 ikut jalan tanah yang masih dalam pembinaan yang menghubungkan Ba' Kelalan - Bario.
~ 10.30 am - Tiba Lepo Bunga, ketinggian 1694 meter dpl. Ada bangunan Stesen Penyelidikan dan Pusat Pelawat Taman Negara Pulong Tau, tapi dah terbiar... penuh dengan longgokan tahi burung.
~ 10.50 am - Mula trekking menyusuri trek hutan menuju Kem Gereja (Church Camp)... dijangka mengambil masa kira-kira 4 jam. Menurut guide, trek tidaklah begitu sukar kerana cerun bukit taklah begitu tinggi. Selepas tiba di Jambatan Sukacita, terdapat laluan pelantar kayu dibina untuk memudahkan penganut Kristian dari Ba' Kelalan datang ke Church Camp untuk menjalankan upacara keagamaan mereka.
~ 12.20 pm - Tiba Jambatan Sukacita. Makan lunch pack.
~ 1.10 pm - Teruskan perjalanan. Pelantar kayu banyak yang dah usang dan reput, sebahagiannya telah diganti dengan pelantar besi.
~ 3.00 pm - Tiba di Batu Linanit yang berada di ketinggian 2150 meter dpl. Kabus tebal dan hujan mula turun.
~ 4.00 pm - Tiba Church Camp dalam hujan. Ketinggian 2100 meter dpl. Suhu sejuk sekitar 15-16°C.  Terdapat banyak rumah kayu dibina tersusun dan dihubungkan dengan laluan pelantar kayu. Terdapat sebuah gereja besar di sini iaitu Gereja Haleluya. Boleh dikatakan setiap keluarga dari Ba' Kelalan ada sebuah rumah di Church Camp... dibina menggunakan kayu dari hutan sekitar, hanya zink diangkut dengan tenaga manusia dari bawah untuk dijadikan bumbung. Kami 14 orang ditempatkan dalam sebuah rumah.
~ Malam - Makan malam nasi beras adan dari Ba' Kelalan, lauk daging salai masak lemak cili api, sayur bendi celur cicah budu, masakan air tangan chef kami, Big... terbaik!

 dari Ba' Kelalan ke Lepo Bunga

dari Lepo Bunga... Jambatan Sukacita... Batu Linanit 

Church Camp


HARI KEEMPAT (27 APRIL 2018, JUMAAT)
CHURCH CAMP - BUDUK MURUD - CHURCH CAMP (JARAK : 9.1km)
~ Sarapan mi goreng.
~ 8.00 am - Memulakan perjalanan pendakian daypack ke puncak Gunung Murud. Trek lecak dan berlumpur. Sesekali menyusuri anak sungai... di beberapa tempat terdapat banyak buih terbentuk dalam sungai.
~ 9.30 am - Berhenti rehat di sebuah air terjun kecil yang juga menjadi sebahagian trek.
~ 11.00 am - Tiba di Kebun Batu (Rock Garden) dalam hujan. Terdapat banyak formasi batuan pelbagai bentuk di sini.
~ 11.40 am - Alhamdulillah... berjaya tiba di puncak Gunung Murud, ketinggian 2423 meter dpl. Pemandangan indah 360 darjah... boleh nampak puncak Gunung Batu Lawi dan Gunung Mulu, Brunei serta gunung-ganang di sebelah Kalimantan, Indonesia. Hilang segala kepenatan mendaki. Mujur juga hujan dah berhenti. Makan lunch pack dan sesi bergambar kenangan dengan pelbagai aksi. Alhamdulillah juga, dengan izin-Nya aku dapat menamatkan G12... sekadar untuk kepuasan dan pencapaian peribadi, bukanlah untuk dibanggakan.
~ 12.30 pm - Turun semula ke Church Camp... hujan turun semula. Anak sungai tadi dah jadi macam air terjun pulak... mujurlah masih boleh diredah.
~ 3.30 pm - Tiba di Church Camp. Pendakian ke puncak tadi boleh dikatakan santai, trek tidaklah begitu curam. Hari masih awal dapatlah kami berehat lama sikit.
~ Malam - Dinner lauk ikan pekasam & ikan masin, sayur petola campur suhun. Kena pulak dengan air lo han kuo panas... memang menyelerakan... dalam hutan makan apa pun sedap.

menuju puncak... jumpa sungai buih... buat parti buih dulu la...

Rock Garden 

puncak Gunung Murud


HARI KELIMA (28 APRIL 2018, SABTU)
CHURCH CAMP - LONG BELABAN - LONG  REPUN (JARAK : 13.8km)
~ Hari ni bangun awal sebab nak bergerak awal, perjalanan jauh hari ni... trek banyak menurun kata guide.
~ 7.00 am - Selepas bersarapan bihun sup, mula mendaki berpatah balik ke Batu Linanit untuk menikmati pemandangan. Trek agak pacak juga.
~ 8.00 am - Tiba di Batu Linanit, pemandangan cantik kalau tiba awal pagi... selepas 9.00 am biasanya berkabus. Dari sini boleh nampak puncak Gunung Murud, Batu Lawi & Mulu... sesi foto lagi.
~ 9.00 am - Teruskan perjalanan melalui Jambatan Sukacita hingga bertemu simpang trek ke  Ba' Kelalan - Bario. Ambil simpang kanan untuk ke Bario. Trek agak mencabar... menuruni cerun curam dan licin... ada yang kecuramannya hampir 80-85 darjah.
~ 12.30 pm - Berhenti makan lunch pack di satu kawasan permatang.
~ 1.00 pm -  Teruskan perjalanan.
~ 2.35 pm - Tiba di Long Belaban, perlu menyeberangi sungai yang agak besar. Trek selepas Long Belaban kena 2-3 kali meredah anak sungai & kawasan berpaya, trek kurang jelas dan mengelirukan... mungkin sebab hutan ni jarang dimasuki orang.
~ 4.30 pm -  Berhenti solat jamak zuhur dan asar.
~ 4.50 pm - Teruskan perjalanan... trek hari ni banyak sang pacat berkeliaran.
~ 5.30 pm - Tiba di persimpangan jalan balak. Belok ke kanan mengikuti trek balak menuju Long Repun kira-kira 2 km... banyak kesan jejak rusa sepanjang trek.
~ 6.15 pm - Tiba di Long Repun. Ada sebuah pondok usang berdinding separuh tempat pemburu berteduh, bolehlah untuk kami tumpang bermalam. Punca air dari sungai yang sedikit jauh di bawah sana... Dapat juga makan buah limau bali yang dipetik dari pokok yang tumbuh di tepi pondok.
~ Malam - Dinner lauk masak lemak nenas ikan masin, sayur kacang botor dan dah tentu bersama nasi dari beras adan Ba' Kelalan yang sedap dan lembut tu. Malam ni tidur tak berapa lena sebab bertemankan agas. Tidur pulak di tepi laluan keluar masuk, ada seekor dua pacat dapat masuk dalam sleeping bag hingga kekenyangan... dan seekor lagi bermain-main di tepi bibir... rasa sejuk je... haru betul.

selamat tinggal Church Camp 

Batu Linanit... boleh nampak puncak Batu Lawi dan Murud

Long Belaban & Long Repun


HARI KEENAM (29 APRIL 2018, AHAD)
LONG REPUN - PA' LUNGAN (JARAK : 9.7km)
~ Sarapan nasi lemak telur goreng & sambal bilis.
~ 9.00 am - Bertolak dari Long Repun ikut jalan balak lagi.
~ 9.45 am - Tiba di pengakhiran trek balak. Masuk ke trek hutan dan mula mendaki anak gunung.
~ 10.30 am - Tiba di puncak anak gunung yang berada di ketinggian 1313 meter dpl... regroup.
~ 10.45 am - Teruskan perjalanan menuruni anak gunung.
~ 11.20 am - Tiba di kaki anak gunung. Berpisah dengan guide Gukang & Wilson yang akan berpatah balik ke Ba' Kelalan kerana ada urusan peribadi.
~ 11.50 am - Teruskan perjalanan menuju Pa' Lungan. Perlu meredah trek becak dan banyak pacat. Bila dah nak sampai Pa' Lungan, kena lalu kawasan berpaya sedalam paras lutut/paha, hati-hati bila meniti titian kayu yang tenggelam dalam air... salah pijak berkubang dalam payalah jawabnya.
~ 2.10 pm - Akhirnya bertemu semula tamadun manusia... tiba di Pa'Lungan, sebuah perkampungan suku kaum Kelabit yang dikelilingi bukit bukau. Kami terus ke tempat menginap, Batu Ritung Lodge, dimiliki Auntie Supang. Sebelum masuk ke homestay, masing-masing sibuk membuang pacat yang hinggap dalam kasut, seluar dan baju di tepi kolam. Kemudian dijamu dengan kelupis, sejenis makanan tradisi Sarawak yang merupakan beras pulut yang dikukus, uniknya ia dibungkus dalam daun isip (sejenis pokok renek berdaun lebar yang banyak ditanam oleh kaum Kelabit untuk dijadikan pembungkus makanan). Suhu di Pa' Lungan juga agak nyaman kerana berada pada ketinggian 1130 meter dpl.
~ 4.30 pm - Melawat monumen bersejarah Batu Ritung, kira-kira 10 minit berjalan kaki dari lodge.
~ 5.30 pm - Jalan-jalan keliling kampung, tenang je suasana kampung ni.. penduduk pun ramah-tamah.
~ Malam - Makan malam disediakan pihak lodge... menu ayam masak lada hitam, ikan semah goreng, sayur & sambal hijau power. Lepas makan, sesi perkongsian pendapat dan pengalaman  sepanjang trip.

dari Long Repun ke Pa' Lungan 

sekitar Pa' Lungan


HARI KETUJUH (30 APRIL 2018, ISNIN)
PA' LUNGAN - BARIO (JARAK : 11.9km)
~ Sarapan disediakan Batu Ritung Lodge ... nasi goreng lauk ikan masin, telur masin & kelupis. Sebelum bertolak masing-masing sempat tapau kelupis untuk dimakan dalam perjalanan...sedap juga dimakan dengan ikan masin.
~ 7.00 am - Bertolak dari Pa' Lungan ke Bario ikut jalan tanah/trek balak... trek kebanyakannya landai, tapi agak memenatkan dan membosankan juga layan trek balak ni.
~ 10.20 am - tiba di persimpangan jalan bersimen, diangkut pula naik pikap 4x4 menuju pekan Bario.
~ 10.30 am - tiba di tempat penginapan, Tarawe Lodge... dimiliki Uncle Lian. Bario sebuah pekan kecil dikelilingi bukit-bukau yang bersih, tenang dan damai. Suhu di Bario agak nyaman juga kerana berada di kawasan tanah tinggi kira-kira 1000 meter dpl.
~ 11.30 am - lunch di gerai medan selera pekan Bario... makan nubaq layaq (macam nasi himpit lembut yang dibungkus dalam daun isip), boleh dimakan dengan aneka jenis lauk, sambal & sayur macam makan nasi juga.
~ 1.30 pm - Lepas makan sampai ke petang lepak di Tarawe Lodge sahaja, sambil menikmati nanas Bario yang manis, dicicah pula dengan garam bukit.. memang terbaik. Bario memang terkenal dengan hasil tanaman beras, nanas dan garam bukit. Petang selepas hujan, sempatlah shopping sikit beras Bario, beras merah, nanas dan garam gunung sebagai buah tangan.
~ Malam - Dinner nasi beras Bario, lauk sambal sotong, sayur labu goreng, kari terung & petai rebus... sungguh menyelerakan masakan chef Big ni...

dari Pa' Lungan ke Bario... 

Tarawe Lodge...


HARI KELAPAN (1 MEI 2018, SELASA)
BARIO - MIRI- KL
~ 7.00 am - Sempat mendaki bukit berhampiran Tarawe Lodge... menikmati pemandangan ladang nanas, sawah padi dan kampung-kampung berdekatan sekitar Bario.
~ 7.30 am - Dibawa Ms Supang, tuan rumah Tarawe Lodge ronda-ronda kawasan perkampungan di sekitar Bario menaiki 4x4 pulak.
~ 8.30 am - Bertolak ke Bario Airport. Sarapan di gerai makan tepi airport. Makan nubaq layaq lagi... kali ni dari nasi beras merah dimakan dengan ikan goreng dan sambal petai... terbaik.
~ 9.20 am - Sekali lagi menaiki pesawat MASwings jenis Twin Otter berkapasiti 19 penumpang untuk balik ke Miri. Dalam pesawat, bolehlah nampak pemandangan Gunung Murud, Batu Lawi dan Mulu dari udara pulak.
~ 11.00 am - Tiba di Miri Airport. Naik Grab ke Restoran Muara lagi lunch nasi lalapan, ke Sarawak Handicraft beli souvenir, lepas tu lepak airport je. Terjumpa sahabat gunung bersama rakan-rakannya baru balik dari Gunung Mulu.
~ 7.35 pm - Flight Air Asia Miri - KL.
~ 9.30 pm - Tiba di KLIA2. Xpdc tamat.

selamat tinggal Bario... dan Sarawak...

belanja sikit gambar aneka flora yang ditemui sepanjang perjalanan...
gambar fauna tak payahlah kot... pacat dan agas je yang banyak... hehe...



NOTA:
* Jarak perjalanan keseluruhan dari Ba' Kelalan - Murud - Bario adalah kira-kira 62km (termasuk naik 4x4 dari Ba' Kelalan ke Lepo Bunga).
* Sedikit info: long dalam dialek tempatan bermaksud kuala, pa' = sungai, buduk = puncak, ba' = padi.
* Lagu alarm setiap pagi 'Dari Penarik ke Kuala Setiu' masih lagi terngiang-ngiang di telinga ni.
* Terima kasih kepada gogo/guide Sham Castello atas segala ilmu dan tunjuk ajar, Chef Big yang masak sedap-sedap & juga semua line up... anda semua memang terbaik!
* Terima kasih Abg Hamdan & Kak Am dan Ika sudi belanja gambar-gambar cantik sepanjang trip... dan juga Mus (pinjam gambar peta kat belakang t-shirt kita tu).
* Maaf jika ada perkataan/perbuatan yang mengguris perasaan, niat hanya untuk gurauan semata-mata. Minta dihalalkan yang termakan terminum, jumpa lagi!


Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...