PTT Outdoor
Showing posts with label Hari Raya. Show all posts
Showing posts with label Hari Raya. Show all posts

30 June, 2020

Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Penangan virus pandemik Covid-19, bermulalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan Malaysia untuk mengekang penularan wabak ni... pertama kali dalam sejarah Malaysia ni rasanya.

~ Disebabkan semua pejabat kerajaan, sekolah dan premis perniagaan bukan keperluan diarah tutup, maka berkurunglah kita di rumah masing-masing... Hanya ketua keluarga boleh keluar beli barang keperluan dan setiap kali nak masuk kedai diwajibkan pakai pelitup muka, pencuci tangan dan ada penjarakan sosial. Aku pun 2-3 hari sekali je baru keluar ke kedai sebab malas nak beratur panjang... sekali keluar tu pun ambil masa 4-5 jam sebab kena beratur lama dan kena pergi 4-5 kedai nak mencukupkan barang keperluan.

~ Walaupun ofis tutup, kerja tetap kena jalan... malah rasanya macam lebih banyak dari biasa. Ada pro & kontranya Bekerja Dari Rumah (BDR) ni... Seronok pasal dapat lebih masa bersama keluarga, tak perlu menyabung nyawa di jalanraya dan tak perlu terkejar nak punch kad. Tapi dalam masa yang sama kerja dah tak tentu masa kadang kena berjaga sampai 2-3 pagi bila dah dekat dateline, bos pulak tanya pasal kerja dah tak kira masa... demi tugas layankan saja... buktikan pada bos kita boleh BDR... kalau boleh BDR sampai pencen pun aku sanggup.

~ Masa lapang aku banyak dihabiskan dengan bertukang dan berkebun di tanah depan rumah aku yang sekangkang kera. Nanti kalau rajin aku buat satu posting lain hasil pertukangan dan kebun aku tu. Si ibu pulak banyak menghabiskan masa dengan memasak macam-macam resepi. Manakala anak-anak sibuk dengan kelas online Google Classroom dan menyiapkan tugasan dari cikgu masing-masing. Terpaksalah mak bapak berkongsi hp dengan anak-anak. Habis kerja sekolah main gajet atau tengok tv pulak berjam-jam... sesekali bermain permainan saidina & sahibba sekeluarga. Sambil-sambil tu dapat juga melatih anak-anak bergotong-royong mengemas rumah, cuci bilik air, belajar memasak menu mudah dengan ibunya.. serta tolong ayah bertukang dan berkebun. Ada hikmahnya PKP ni, dapat mengeratkan lagi hubungan ibu bapa dan anak-anak dengan meluangkan lebih masa bersama.

~ 24/4/2020 - bermulanya 1 Ramadhan. Tiada bazar Ramadhan tapi kalau malas nak masak boleh je order online. Alhamdulillah dapat bersolat terawih dan witir berjemaah sekeluarga setiap malam. Gilir-gilir jadi imam, bilal dan siak dengan anak-anak bujang.

~ 1/5/2020 - Happy B'day Along. Pertama kali dapat sambut b'day dia di rumah selepas 4 tahun tinggal di asrama.

~ 24/5/2020 - Pertama kali dalam hidup menyambut hari raya Aidilfitri di rumah sendiri sebab sekatan perjalanan, tak dibenarkan balik kampung rentas negeri... Malam sebelum raya sempat bakar lemang dengan beberapa jiran untuk hidangan di pagi raya. Pertama kali juga jadi imam dan khatib solat sunat Aidilfitri... kalau tak kerana PKP mana ada orang nak bagi aku jadi imam solat raya hehe. Selesai solat dan khutbah raya, sesi video call bersama keluarga yang jauh di mata. Walaupun masa raya ni dalam tempoh PKP Bersyarat di mana dibenarkan berziarah sesama jiran terdekat dan saudara mara dalam negeri yang sama... dengan syarat patuhi SOP penjarakan sosial serta tak lebih 20 orang dalam satu rumah, tapi kami memilih tak keluar ke mana-mana... kurangkan risiko setakat yang boleh.

~ 1/6/2020 - Ulangtahun perkahwinan yang ke-17. Dah boleh masuk bertugas di pejabat, tapi siapa nak mohon BDR dibenarkan, dengan syarat bagi justifikasi kukuh seperti terpaksa menjaga anak kecik sebab taska tutup dan sebagainya. Aku pun tak melepaskan kesempatan mohon BDR juga selagi ada peluang hihi... Masuk pejabat 2x seminggu je... yang penting kerja jalan dan selesai seperti yang diamanahkan.


~ 26/6/2020 - Baru berkesempatan balik kampung menziarahi keluarga setelah sekian lama. Balik semula dengan membawa bersama kucing baru dari kampung... si Oneng.


Catatan PKP 

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
18 Mac -12 Mei 2020

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)
13 Mei - 9 Jun 2020

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)
10 Jun - 31 Ogos 2020

~ Semua pejabat di seluruh Malaysia diarah tutup dan kerja-kerja dilaksanakan sepenuhnya dari rumah. 
~ Kedai menjual keperluan asas dan makanan sahaja boleh dibuka, dengan hanya beberapa orang sahaja dibenarkan berada di dalam kedai. Pelanggan perlu mematuhi SOP penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan pencuci tangan. Sebelum masuk kedai perlu daftar dan diambil suhu badan sebelum dibenarkan masuk kedai. Maka terpaksalah beratur panjang setiap kali ke kedai.
~ Pita pelekat dilekatkan di atas lantai kedai untuk menentukan jarak selamat 1 meter di antara pelanggan.
~ Ramai orang memakai penutup muka dan sarung tangan apabila keluar rumah.     
~ Restoran dan kedai-kedai makan ditutup, hanya dibenarkan bungkus sahaja. 
~ Semua premis perniagaan termasuk kilang-kilang selain daripada ‘Servis Keperluan’ (Essential Services) yang disenaraikan mestilah menutup premis masing-masing.
~ Semua sekolah dan institusi pendidikan ditutup sepenuhnya dan pembelajaran dilaksanakan secara atas talian melalui Google Classroom/Meet/Whatsapp/Telegram. Ibu bapa terpaksalah bergilir guna gajet dengan anak-anak.
~ Semua acara sukan di seluruh dunia dibatalkan serta merta... tak meriah rasanya tak dapat tengok live bola.
~ Semua aktiviti pelancongan dan acara hiburan dibatalkan.
~ Majlis perkahwinan dan pelbagai sambutan majlis yang melibatkan perhimpunan ramai tidak dibenarkan.
~ Tiada lagi solat berjemaah di masjid dan surau, dan rumah-rumah ibadat ditutup.
~ Taman permainan kanak-kanak ditutup.
~ Berlakunya pembelian panik barangan keperluan termasuk topeng muka dan cecair pembersih tangan.
~ Sekatan jalan raya oleh polis & tentera di lokasi strategik dan pergerakan terhad kepada urusan penting sahaja tidak melebihi radius 10 km dari tempat kediaman.
~ Harga minyak jatuh sehingga RM1.25 seliter, tapi apa guna sebab tak boleh nak ke mana-mana.
~ Tiket kapal terbang murah, namun tidak boleh keluar melancong.
~ Sidang media dari Kementerian Kesihatan bagi kemaskini kes baru, yang telah sembuh dan pesakit yang meninggal dunia dilakukan setiap hari.
~ Jalan raya menjadi kosong tanpa kelibat manusia.
~ Pekerja kesihatan menjadi takut untuk pulang ke rumah dan berjumpa keluarga bimbang menjangkiti ahli keluarga.
~ Bantuan Prihatin Nasional oleh Kerajaan dimasukkan dalam akaun masing-masing. Alhamdulillah tq PM. Sedikit sebanyak dapat meringankan beban terutamanya untuk yang terkesan dengan sekatan aktiviti perniagaan.

Itulah antara perkara-perkara yang berlaku ketika peringkat awal PKP, sebelum dilonggarkan sikit demi sikit ketika PKPB & PKPP - buat renungan sepanjang hidup di bumi Allah Taala... begini rasanya bila sebahagian nikmat hidup ditarik balik buat seketika...


14 July, 2018

Alkisah Syawal 2018

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Berakhirlah Syawal... baru sempat nak update kisah raya kami.

~ Tahun ni giliran beraya di Pahang dulu. Balik kampung sehari sebelum raya... mujur tak jem sangat. Beraya sekitar Bera - Mentakab - Lanchang. Petang raya ketiga selepas menghadiri kenduri kahwin Mat Lija sepupu aku, balik ke rumah kami di Sg Buloh... balik menjenguk kucing kami yang ditinggalkan seekor diri... si Oyen.



~ Raya keempat balik Ipoh pulak. Beraya di sekitar Ipoh, Grik (sekaligus menghadiri kenduri kahwin anak saudara isteri), Pengkalan Hulu & Sitiawan. Kat Sitiawan rumah kakak ipar sempat juga ikut naik bot pergi memancing berlima di sekitar perairan Lumut. Dapatlah juga kami beberapa ekor ikan gelama, tetanda, merah dan tuka.




~ Dalam perjalanan dari Ipoh nak balik ke rumah, sempat singgah makan durian di Gopeng, bawa anak-anak mandi manda di Refarm, Kampar, dan singgah makan di Restoran Nasi Bamboo Sg.Klah, Sungkai.



~ Lepas raya di kampung, sibuk pula menghadiri rumah terbuka sahabat-sahabat. Terima kasih kepada yang sudi mengundang, semoga bertambah murah rezeki dan dipermudahkan segala urusan korang sekeluarga.

~ Salam Aidilfitri, maaf zahir batin dari kami sekeluarga buat semua yang mengenali kami. Maaf atas segala keterlanjuran perkataan mahupun perbuatan.


25 July, 2017

Alkisah Ramadhan & Syawal 2017

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ 25 Julai 2017, bersamaan 1 Zulkaedah 1438 (Isnin) - ♪♪Happy Birthday to me-4x♫♫. Terima kasih kepada semua sahabat yang mengucapselamat di FB & whatsapp... aku doakan semoga segala doa yang baik-baik yang sahabat semua doakan untuk aku akan berbalik kepada sahabat semua... agar kita semua sama-sama dipanjangkan umur dengan kesihatan yang baik, dicukupkan rezeki, dipermudahkan segala urusan dan paling penting hidup kita diberkati, dirahmati dan diredhai oleh-Nya... agar berjaya dan bahagia dunia dan akhirat... aamiin.

~ Semalam hari terakhir bulan Syawal. Bersawang dah blog ni lama tak update... sibuk melampau campur malas sebenarnya... haha.


Ramadhan

~ Along dah Tingkatan 1... tahun pertama duduk asrama. 4 hari pertama Ramadhan dapat cuti untuk sambut puasa di rumah. Lepas tu bersahur, berpuasa dan berbuka dengan kawan-kawan di asrama je lah. Memang rasa lain bila tak cukup korum waktu berbuka. Apatah lagi Along... sampai menitik air mata katanya terkenang berbuka dengan keluarga kat rumah. Tabahlah Along.

~ Angah (11 tahun) pulak kali pertama berjaya berpuasa penuh... tahun lepas kantoi sehari sebab sakit perut... tahniah Angah. Aina (8 tahun) pulak baru belajar puasa setengah hari. Walaupun sering mengadu penat dan dahaga, dapat juga 10 hari puasa penuh. Waktu bangun sahur pun taklah susah sangat nak kejutkan mereka. Walaupun belum wajib berpuasa, nak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tiada sebarang unsur paksaan untuk mereka berpuasa... cuma menggunakan teknik pujukan,  teknik melekakan dengan bawa ronda-ronda naik motor sebelum waktu berbuka, atau suruh tidur sekejap sementara menunggu waktu berbuka kalau rasa penat sangat.

~ Angah pulak berjaya solat terawih 8 rakaat tak tinggal, berbanding tahun lepas 4 rakaat je lepas tu tidur kat  belakang... Tahniah Angah, tahun depan boleh tambah solat witir pulak.

~ Awal Ramadhan kami sekeluarga ke Kota Tinggi, Johor menziarahi Yob,  abang ipar yang terlantar sakit. Semoga beliau cepat sembuh.

~ Pertengahan Ramadhan balik Pahang pulak, berpuasa bersama keluarga di kampung. Mak nampak seronok berbuka ramai-ramai dengan anak cucunya.


Syawal

~ Tahun ni giliran beraya di Perak dulu rumah mertua. Tahun pertama beraya tanpa arwah pak mertua. Along dapat cuti 9 hari. Balik kampung sehari sebelum raya. Perjalanan yang biasanya 2 jam jadi 6 jam akibat kesesakan. Tiada pilihan... redah sajalah.

~ Lepas subuh di pagi raya pertama, orang rumah aku kata Aina yang dah 2-3 hari selsema mengadu susah nak bernafas... nafas berbunyi dan pendek-pendek. Bergegas cari klinik tapi awal pagi semua tutup... pagi raya lagipun. Terus ke hospital Ipoh... setelah lama sesi soal jawab dengan doktor, kena buat ujian darah dan masuk gas... akhirnya menjelang tengahari kena masuk wad. Hantar orang rumah balik. Biar aku je yang jaga Aina kat wad. Biar ibunya duk rumah je boleh juga tolong-tolong mak mertua aku kat dapur. Aina disahkan kena jangkitan paru-paru dan ada tanda-tanda awal asthma. Tengahari raya kedua baru dibenarkan balik... alhamdulillah. 'Meriah' betul tahun ni terpaksa beraya dalam wad.

~ Petang raya ketiga, balik ke rumah kami di Sg Buloh... balik menjenguk kucing- kucing... si Oyen, Taro dan seekor lagi kucing kecik yang baru dikutip... Zero... (nama kucing semua anak-anak yang bagi nama).
 
~ Raya keempat balik Pahang pulak. Beraya di sekitar Triang, Temerloh, Mentakab dan Lanchang.


Salam Aidilfitri, maaf zahir batin dari kami sekeluarga buat semua yang mengenali kami. Maaf atas segala keterlanjuran perkataan mahupun perbuatan. Mohon dihalalkan yang termakan dan terminum. 
Semoga diizinkan bertemu lagi dengan Ramadhan dan Syawal tahun depan... aamiin.


18 September, 2016

Cuti Aidil Adha @ Sitiawan - Morib - KLCC

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ 11-13 September; Along baru habis periksa UPSR, sekolah pun bercuti seminggu sempena Aidil Adha. Kami laki bini pun ambik cuti seminggu. Balik beraya bersama mertua di rumah kakak ipar di Sitiawan. Lepas solat raya, sempat memancing di sungai belakang rumah kakak ipar. Dapatlah ikan duri sebesar lengan budak 4-5 ekor, jadilah dapat lepas gian lama tak mancing.

~ 14-15 Sept.; Balik dari beraya di Perak, bawa anak-anak bercuti 2H 1M di Gold Coast pulak... bukan di Australia tapi di Morib je. Sebelum tu buat Mykad Along di JPN Shah Alam sempena cukup umur 12 tahun. Lepas tu terus ke Morib. Nak chek-in hotel pun makan masa sejam setengah, almaklum le cuti sekolah. Mujur water theme park tu buka sampai 11.00 malam. Maka dari malam sambung pulak siang esoknya anak-anak mandi manda dengan gumbira sampai kecut.

~ 17 Sept; Ada sikit urusan di KL. Selesai urusan, singgah ronda-ronda di KLCC. Kesian si Along & Aina tak pernah ke KLCC katanya, cuma si Angah je yang pernah pergi sini masa ikut rombongan sekolahnya ke Petrosains. Nama je duduk dekat dengan KL tapi anak-anak ada yang tak pernah jejak kaki tengok bangunan tertinggi kat Malaysia ni...kih3. Kalau takde hal penting aku memang dah malas nak masuk KL ni... sesak dan serabut. Tapi singgah juga la kali ni demi anak-anak.


Wassalam.


04 August, 2016

Alkisah Ramadhan & Syawal 2016

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Hari ni hari terakhir dalam bulan Syawal 1437H. Bersawang dah blog ni lama tak update... sibuk melampau campur malas sebenarnya... haha.

Ramadhan

~ Along (12 tahun) macam biasa berjaya berpuasa penuh tahun ni tanpa sebarang rungutan lapar dahaga. Angah (10 tahun) pulak berjaya berpuasa selama 28 hari, tertinggal sehari sebab sakit perut katanya. Aina (7 tahun) pulak baru belajar puasa setengah hari. Walaupun sering mengadu penat dan dahaga, dapat juga 10 hari puasa penuh. Waktu bangun sahur pun taklah susah sangat nak kejutkan mereka. 

~ Tahniah kepada Along, Angah dan Aina. Walaupun belum wajib berpuasa, nak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tiada sebarang unsur paksaan untuk mereka berpuasa... cuma menggunakan teknik pujukan, teknik melekakan dengan bawa ronda-ronda naik motor sebelum waktu berbuka dan juga menjanjikan sedikit ganjaran duit raya lebih sikit dari ayah dan ibunya ni.

~ Tahniah buat Along kerana berjaya mencapai azamnya tak nak tinggal solat terawih dan witir. Angah pulak dapat solat terawih 4 rakaat je lepas tu tidur kat belakang... penat le tu.


Syawal



~ Tahun ni giliran beraya di Pahang dulu. Balik kampung dua hari sebelum raya. Beraya sekitar Bera - Mentakab - Lanchang. Petang raya kedua, balik ke rumah kami di Sg Buloh... balik menjenguk kucing- kucing... si Oyen, Taro & Tompok.

~ Raya ketiga balik Ipoh pulak. Cuma beraya di sekitar Ipoh je. Memandangkan dah raya ke -3, ramai ipar duai yang tak sempat berjumpa... tapi masih tetap meriah. Owh... ada juga sambutan hari lahir untuk ahli keluarga yang lahir bulan Julai... terima kasihhh.

~ Alhamdulillah tahun ni tak terperangkap dalam trafik jem!

~ Birthday tahun ni jatuh dalam bulan Syawal. Terima kasih kepada semua sahabat yang mengucapselamat di FB & whatsapp... aku doakan semoga segala doa yang baik-baik yang sahabat semua doakan untuk aku akan berbalik kepada sahabat semua... agar kita semua sama-sama panjang umur, murah rezeki, dipermudahkan segala urusan dan paling penting hidup kita diberkati, dirahmati dan diredhai oleh-Nya... amiin.

~ Salam Aidilfitri, maaf zahir batin dari kami sekeluarga buat semua yang mengenali kami. Maaf atas segala keterlanjuran perkataan mahupun perbuatan. Mohon dihalalkan yang termakan dan terminum. Mohon dihalalkan segala hutang piutang jika ada.. (bab nak halalkan hutang ni payah la kot... haha)


21 July, 2015

Salam Aidilfitri 2015

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Salam Aidilfitri, maaf zahir batin dari kami sekeluarga buat semua yang mengenali kami. Maaf atas segala keterlanjuran perkataan mahupun perbuatan. Mohon dihalalkan yang termakan dan terminum. Mohon dihalalkan segala hutang piutang jika ada.. (bab nak halalkan hutang ni payah la kot... haha)


~ Tahniah buat Angah yang berjaya puasa penuh tahun ni. Aina pulak baru belajar puasa setengah hari, itupun bila hari cuti je, masa kat sekolah tadika tak larat katanya. Along pulak dah masuk tahun ke-3 dia puasa penuh.

~ Tahun ni giliran beraya rumah mertua di Ipoh. Tak begitu meriah kali ni kerana raya pertama kebanyakan ipar duai beraya dulu di rumah mertua masing2.

~ Malamnya lepak di Dataran KTM Ipoh... waktu malam memang meriah kat sini dengan aktiviti main kasut roda dan skuter kecik. Kasut roda boleh disewa RM5 sejam manakala skuter kecik RM10 selama 20 minit. Kalau jatuh terseliuh boleh juga urut kaki kat sorang tukang urut yang selalu lepak sini, harga cuma RM10 selama setengah jam. Kat Dataran KTM ni juga ada air pancut dengan lampu berwarna-warni menambahkan lagi suasana 'happening' kat sini.

~ Petang raya kedua, balik ke rumah kami di Sg Buloh... balik menjenguk kucing2.

~ Raya ketiga hingga kelima baru balik Pahang kampung koi yg tercinta... hihi. Raya2 pun sempat masuk dusun kutip durian.

~ Alhamdulillah tahun ni tak terperangkap dalam trafik jem!

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.


31 July, 2014

Catatan Perjalanan Julai 2014 (Ramadhan & Syawal)

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

19 Julai (Sabtu) - 21 Ramadhan, majlis berbuka puasa bersama rakan sepejabat & keluarga masing-masing. Orang lain buat majlis iftar di restoran/hotel... kami buat di pejabat shj... lebih murah dan menjimatkan. Menunya meriah juga... nasi beriyani, daging kambing panggang sendiri, ayam masak merah, daging masak hitam, dalca, acar, mi kari, murtabak raja, kek lapis Sarawak, sagu santan dan pelbagai kuih-muih dan pencuci mulut lain.



25 Julai (Jumaat) - 27 Ramadhan, hari lahir yang ke.... huh??? .. setahun lagi bakal mencecah angka 4 siri. Apapun... yang bertambah hanya angka... hakikatnya umur aku di dunia ni makin berkurangan. Tak perlu ada sambutan... hanya berbuka seperti biasa.

27-30 Julai (Ahad-Rabu) - Aidilfitri di Pahang. Aku ada banyak keluarga yang wajib diziarahi. Maka kawasan beraya juga agak luas meliputi Lanchang-Mentakab-Temerloh-Bera-Jerantut. Kebetulan pulak sekarang musim buah... jadi kena juga beraya sambil mengutip buah di dusun. Nasib tak baik kena sengat tebuan 3 das semasa memanjat pokok rambutan... terpaksa lepak sejam di unit kecemasan untuk mendapatkan suntikan anti-bisa....huhu.



31 Julai - 2 Ogos (Khamis-Sabtu) - Aidilfitri di Perak. Cuma beraya di sekitar Ipoh & Bidor. Memandangkan dah raya ke -4, ramai ipar duai yang tak sempat berjumpa... tapi masih tetap meriah. Owh... ada juga sambutan hari lahir untuk ahli keluarga yang lahir bulan Julai... terima kasihhh.



Salam Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.
Sekian adanya.

16 August, 2013

Salam Syawal 2013


Salam Aidilfitri
Maaf Zahir Batin
dari kami sekeluarga

16 September, 2012

Cerita Syawal 2012

Lama tak update blog ni pasal malas melanda...

my dad is not orang felda!
- Tahun ni giliran beraya di kampung2 aku dulu. Kalau beraya kat felda agak mewah la sikit tahun ni sebab orang felda baru je dihempap durian runtuh... sampaikan kalau join tahlil dari rumah ke rumah pada raya pertama pun dapat beg cenderamata, selain duit raya untuk budak2 yg agak lebih dari biasa. Saudara mara yg duk kampung pun ada la sikit merasa tempias2 duit durian runtuh tu. Terima kasih le ingat juga kat kami. :D

- Sebagai suami yg adil lagi saksama, pastinya tak sanggup melihat si isteri berlinangan air mata dan air hidung kerana terkenangkan ayah bondanya. Maka pada raya ke-4 baliklah pulak ke rumah mertua... dan kemudian bersama beraya ke rumah saudara mara sebelah isteri di sekitar Ipoh, Penang & Sitiawan.

- Balik dari cuti raya, sibuk pulak dgn urusan berpindah ke pejabat baru yg lebih strategik lokasinya, dekat sesangat dgn Tesco. Kepada En. Bos tak payah nak risau sangat, kalau dah depan mata takkanlah kemaruk sangat kami nak mengular hari2 kat Tesco tu. Yang penting perjalanan aku pergi balik kerja aman damai je sebab ikut hiway Guthrie & Latar yg tak banyak kenderaan lalu.

- 4 September/17 Syawal; b'day biniku yg tercinta... Selain beli kek yg comey saiznya (cukup le utk makan anak beranak je) dan belikan hadiah spesel (rahsia la apa ke bendanya), aku offer diri aku yg pemalas ni utk masak. Apa nak masak? Kena la masak yg spesel sikit. Nanti aku cari resepi dlm google. Tuu dia... ketam goreng telur masin & ikan dory sweet sour...Nasib la anak bini aku.. sedap tak sedap kena telan juga sebab hati ayah kena dijaga... :) Bukan selalu ayah masak ni. Tapi elok je takde pulak anak bini aku sakit perut.. kira ok la tu...hihi.


- 11 Sept/24 Syawal; Ada bola friendly Malaysia vs Vietnam kat Stadium Shah Alam. Tiba2 terasa macam nak gi tengok bola. Dah lebih 2-3 tahun rasanya tak gi stadium. Maka pergilah kami 3 beranak ke sana, jumpa pulak sahabat aku si Fais. Walaupun permainan Malaysia macam _________ (semua dah tengok aksi diorang & keputusan game tu kan, jadi isilah sendiri tempat kosong dengan apa2 perkataan yg korang suka!),  tapi yg penting dapat rasa semula suasana meriah tengok bola kat stadium... terutama si Angah yg pertama kali gi stadium dan sibuk meniup vuvuzelanya.

(UPDATE: sehari lepas game ni, FAM telah mengharamkan vuvuzela di semua stadium. Elok sangat le tu... memekak sungguh. Aku pun mcm mana boleh terlayan rengekan anak2 nak beli menatang tu).


- Raya tahun ni tak berapa ramai kawan2 yg buat open house. Mungkin sebab nak save bajet khususnya kawan2 yg keje gomen gaji lambat lagi... Cuma gi beberapa open house kawan2, open house taska anak2 dan majlis raya kejiranan aku je. Dari satu segi bagus juga tak banyak open house sebab dapat mengelakkan pembaziran, mengelakkan makan berlebihan dan tak perlu tersangkut dlm trafik jem di sana sini. Agak2 nak beraya rumah aku datang je la.. sila call dulu dan kalau agak2 tak bersedia aku kata jangan datang je... huhu kejamnya!

- 16 Sept; Hari Malaysia bersamaan hari terakhir Syawal. Pergi majlis kenduri kahwin En. Roslan Misai Perang kat Gombak... bukan beliau yg kahwin tapi anaknya. Sempat la juga jumpa kawan2 dari HQ Shah Alam & P.O Kajang.

- Itu je la cerita raya tahun ni. Nak pergi kira duit raya anak2... Setakat ni masih belum dibelanjakan lagi. Cadangnya sebahagian besarnya nak simpan je dalam SSPN.

Wassalamu...

07 November, 2011

Salam Aidil Adha

Ahad, 6 November

~ Cuti 3 hari sempena Aidil Adha 1432. Kami hanya beraya di rumah sendiri, tak balik kampung atas beberapa sebab yang tak dapat dielakkan. Lepas solat raya bersama anak-anak bujang aku, balik ke rumah menikmati juadah raya masakan bini aku... nasi himpit, kuah kacang recycle & rendang ayam pencen. Kemudian ke surau pulak membantu melapah lembu korban sampai ke tengah hari. Setelah mendapat habuan sedikit daging, baliklah ke rumah dan melepak saja di rumah tak ke mana-mana.


Isnin, 7 November

~ Masih cuti. Bawa anak bini ke Bukit Melawati, Kuala Selangor. Kalau hari biasa boleh bawa kereta sampai ke puncak. Tapi pada hari minggu disediakan perkhidmatan keretapi, tambang RM3 (dewasa) & RM1 (kanak-kanak). Seronok betul anak-anak aku bergurau senda dengan lotong-lotong jinak yang memang banyak kat puncak Bukit Melawati ni. Tapi sebenarnya jinak-jinak lotong ni pun ada makna...iaitu hanya jika kita beri makan seperti kacang panjang, kacang tanah, isi keledek dan pisang yang banyak dijual kat atas tu. Kalau tangan kosong kita ni tak dipedulikannya pun.


 ~ Dah penat main dengan lotong, turun balik dengan keretapi dan singgah Taman Ikan Air Tawar di Taman Alam Kuala Selangor, di kaki Bukit Melawati je. Lepas tu perut pun dah lapar, pergi makan sate kat Satay Hut, Tanjung Karang. Perut dah kenyang...balik!

25 September, 2011

Suatu hari di Penghujung Raya

Hari ni rumah aku dikunjungi sahabat2 laa zaman sekolah dulu. Walaupun Syawal dah hampir di penghujung, diorang ni masih bersemangat nak beraya rumah sahabat2 lama. Seronok juga sesekali berjumpa mengimbau kenangan pahit manis masa zaman persekolahan, selain berkongsi perkembangan terbaru masing2.



Terima kasihlah kepada Azam, Rizal, Sidah, Senah & Mazni bersama keluarga masing2 sebab sudi singgah menceriakan suasana hujung2 raya kat rumah aku. Rumah banglo aku yang besar tu tiba2 jadi sempit pulak dengan kehadiran korang beramai2. Hehe!

Harap dimaafkan kalau ada sebarang kekurangan… sama ada kurang selesa, kurang sedap, kurang sopan mahupun kurang ajar… maaf zahir batin. Tahun depan datanglah lagi.

.

05 September, 2011

Syawal 1432 / 2011

Salam Syawal.

- Raya tahun ni jatuh di pertengahan minggu, serentak pulak dgn cuti Hari Merdeka. Jadi cuma perlu ambil cuti rehat selama 2 hari, dapat 9 hari cuti berturut-turut. "Untunglah orang kerja gomen...", kata jiran aku yg kerja dgn swasta dan dah kena kerja pada raya ketiga. "Nak buat camne bang, dah nasib saya dapat cuti lelama...", kata aku, heheh!

- 4 hari diperuntukkan utk beraya di rumah mertua di Perak, dan 4 hari lagi di kampung aku sendiri di Pahang, adil lagi saksama, sama rata dan sama rasa!

- Syukur, dalam perjalanan balik beraya tahun ni, tak terlibat dgn kesesakan yg teruk, begitu juga semasa balik dari kampung. Tahun ni juga tak ditimpa tragedi dihempap pokok macam tahun lepas. Selamat pergi dan selamat balik, alhamdulillah!


- Tahniah buat Along kerana cuma kantoi puasa 2 hari je tahun ni. Itupun sebab 1 hari tu tak bangun sahur dan 1 hari lagi tu cuaca panas sangat. Kira hebatlah bagi budak umur 7 tahun, ditambah pulak hari2 'digoda' oleh adik-adiknya si Angah & Aina yg selamba je makan minum depan dia.

- Di musim raya ni aku masih lagi ada terdengar dialog ni: "Selamat hari raya, maaf zahir je ye...batin tarak!". Nampaknya masih ada lagi yg tak paham bahawa 'batin' dalam dialog seperti di atas bukanlah bermaksud keterlanjuran dari segi penggunaan tenaga batin ke atas orang lain, tapi bermaksud keterlanjuran yg menyakitkan hati atau menyinggung perasaan orang lain... ada fahammm???

- Masih belum terlambat rasanya utk aku mohon maaf zahir batin atas segala keterlanjuran, baik tutur kata mahupun perbuatan kepada semua yg mengenali aku tapi tak sempat berjumpa, juga kepada pengunjung blog ni kalau ada.

SELAMAT HARI RAYA.

.

22 September, 2010

Beberapa Hari di Hari Raya 2010 + Tragedi Dihempap Pokok

Itulah tajuk lagu raya terbaru dari M.Nasir, setelah menyedari orang kita dah tak raya sehari dua... tapi raya sakan selama sebulan. (sila jangan percaya sebab fakta tu rekaan aku semata-mata).

Ini cerita raya aku...

- Tahun lepas dah beraya kampung isteri aku dulu. Sebagai suami yg adil lagi saksama... maka tahun ni raya kat kampung aku kat Mentakab la pulak.

- Balik kampung sehari sebelum raya, nasib baik jalan clear... mungkin sebab ramai rakyat Terengganu & Kelantan dah balik lebih awal... bagus sebab tak menyusahkan aku!

- Sampai kat kampung tempat aku dibesarkan dah petang, lemang semua dah siap masak... ayam dah siap disiang & dibasuh nak masak rendang malam nanti (semua dah disetelkan oleh bapak-bapak & mak sedara aku), melepak je lah menunggu waktu berbuka.

- Raya pertama... disebabkan jatuh hari Jumaat, maka dua kali lah ke masjid untuk solat sunat raya & solat jumaat. Antara waktu tu lepak kat rumah je melayan kawan-kawan & budak-budak yg datang beraya.


Petang balik pulak ke rumah mak aku kat Bera. Dalam perjalanan berlaku satu tragedi yg hampir menamatkan riwayat aku anak beranak. Angin takde ribut pun takde tapi tiba-tiba sebatang pokok yg boleh tahan besarnya tumbang menghempap kereta aku yg tengah bergerak tu. Tak sempat buat apa-apa tekan brek je dan terhenti kira-kira 10 meter selepas  pokok tu (sambil membawa bersama dahan pokok yg patah tersangkut atas kereta aku).


Nak tambah sedapkan cerita & menambah malang, kat pokok tu pulak ada sarang penyengat... dan masa tu pulak cermin tingkap tak tutup. Kena sengat juga lah anak-anak aku  1 das setiap seorang, manakala bapaknya kena 3 das (err...betul ke penjodoh bilangan yg aku pakai utk kira jumlah sengatan tu?). Meraung-raunglah anak aku pertama kali merasa disengat penyengat.

Nasib baik kereta belakang sempat brek, nasib baik hanya dihempap bahagian hujung pokok dengan ranting & dahan sebesar lengan je... dan nasib baik jugalah cermin depan tak pecah, kereta boleh jalan lagi, cuma pecah bumper, lampu dan kemek sikit kat bahagian pintu, bumbung & bonet depan.... alhamdulillah panjang lagi umur aku anak beranak... mesti DIA nak beri peringatan la tu.

ooppss...berhenti kejap ambik gambar... tadi tengah blur lupa nak ambik gambar kereta

- Lepas tu cerita raya aku biasa-biasa saja. Tidur rumah mak aku dua malam. Raya ke-3 balik semula ke kampung aku. Raya ke-4 balik Ipoh pulak kampung bini aku, dalam perjalanan tu sempatlah singgah beraya kat rumah abah & makcik aku.

percaya tak, dalam keadaan kereta yg ghompong ( bermaksud rongak dalam dialek Pahang) macam ni...
selamba je aku drive dari Mentakab ke Ipoh, cuma gantung no. plate je... haha...

- Lepak Ipoh 4 hari 3 malam, tapi aku langsung takde beraya ke rumah sedara-mara/kawan-kawan, sebaliknya sibuk menziarahi kedai spare part, kedai potong & kedai aksesori kereta sekitar Ipoh dalam usaha untuk cuba mengembalikan rupa paras kereta buruk aku yg dah tak berapa hensem tu.

Sekian adanya.

01 December, 2009

Aina Alyssa demam Kuning

Lepas keluar dari wad pada petang Khamis, 19 Nov, ingatkan anak & bini aku dah boleh rilek berpantang kat rumah je. Tapi rupanya hari-hari kena berulang alik ke klinik kesihatan untuk buat blood test bagi memantau tahap demam kuning/jaundis pada anak aku.

~ 22 Nov.2009, Ahad; Tahap kuning makin tinggi. Aina terpaksa ditahan di wad NICU Hospital Sg. Buloh (termasuk ibunya sekalilah). Dibogelkan, mata ditutup dan diletak bawah lampu biru (phototerapi).



~ 24 Nov.2009, Selasa; Setelah lebih kurang 30 jam duk bawah lampu (aku tengok kat meter lampu tu), kuning dah turun sikit dan petang ni dah boleh keluar wad. Lega, tak payah ulang alik hospital lagi.

~ 25 Nov.2009, Rabu; Pagi pergi Jabatan Pendaftaran Shah Alam, daftar kelahiran & buat surat beranak. Sebulan lagi datang ambik MyKid pulak. Hari ni Aina dah genap umur 7 hari. Ikut sunnah, cukur rambut sampai botak. Tak payah majlis cukur jambul. Bagi menyusu kenyang-kenyang, bila dah lena, dengan lafaz bismillah, aku sendiri cukur sampai botak...selamat. Simple-simple sudah, tak payah nak beradat sangat.



~ 26 Nov.2009, Khamis; Masih kena pergi klinik buat blood test. Petang, bini aku dah start berurut, 3 kali mulai hari ni. Aku seperti biasa menjalankan tugas-tugas seorang surirumah & bapak mithali. Chehh! Bagi peluang bini rilek sementara aku bercuti panjang ni.

~ 27 Nov.2009, Jumaat; Hari Raya Aidil Adha. Raya di rumah sendiri je sebatang kara, huhu...Tiada sambutan. Bawa anak-anak bujang pegi solat raya. Lepas tu balik lepak kat rumah je. Nasib baik jiran sebelah bagi ketupat & rendang, ada la sikit suasana raya. Petang masak mi rebus, akak tiri aku nak datang tengok baby.

~ 1 Dis.2009, Selasa; Setelah bercuti panjang selama 13 hari, esok dah start kerja. Arrgghhh malasnya. Lepas ni bini aku kena pandai-pandai la menguruskan diri sendiri & baby.

09 October, 2009

Kemeriahan Majlis Jamuan Raya P.O Gombak

Acara: Majlis Jamuan Aidilfitri di tempat kerja aku.

Kehadiran: Semua anggota tetap & sambilan P.O Gombak

Jemputan: Big boss, boss-boss, boss kecik, chief-chief & staff admin dari HQ Shah Alam & P.O Kajang.

Tema Pakaian: Baju raya laa...

Aturcara: Makan, melantak, mencekik, mentekedarah dsb sambil dihiburkan dengan sumbangan lagu karaoke yang sumbang oleh staff-staff tuan rumah.

Menu: Macam-macam ada...menu utamanya nasi tomato, lemang & rendang, satay & nasi himpit dll. Semuanya cukup makan malah boleh makan 2nd round pastu boleh tapau lagi. Cleaner Indon & security guard Bangla pun dapat makan. Malas nak cerita, tengok je la gambar-gambar ni:



Gambar-gambar dicilok dari facebook boss aku...hehe, jangan marah boss!

30 September, 2009

Alkisah Raya 2009

- Raya tahun ni giliran beraya di kampung isteri (taman perumahan sebenarnya). Sejak kahwin aku dan isteri tiada masalah nak beraya kampung siapa dulu. Aku selalu tak faham kenapa ada suami isteri selalu berkrisis pasal nak beraya kampung sendiri je. Berkorbanlah sikit, tolak ansur dan ikut sajalah giliran, apa susah? Kalau tiap-tiap tahun kau nak beraya kampung sendiri je, aku cadangkan kau kahwinlah dengan anak yatim piatu yang tak ada kampung, adik beradik mahupun saudara mara.

- 29 Ramadhan/19 September:
Kami sekeluarga balik ke Ipoh sehari sebelum raya. Musim raya seperti biasa, perjalanan 2-3 jam boleh menjadi 4-5 jam... Di Lebuhraya Utara-Selatan nampak sayup-sayup di depan sana kenderaan beratur panjang tersangkut dalam kesesakan. Lari ikut jalan lama sama saja sesaknya. Nak sangat raya kat kampung, terima saja hakikat tu dan jangan banyak membebel. Kalau tak nak traffic jam tahun depan kau cubalah raya kat KL... "Insya Allah kau boleh bentang toto baring atas jalan"...kata kawan aku yang pernah beraya kat KL.

- 1 Syawal/20 September:
Beraya di rumah mertua tak lah meriah sangat (atau sebenarnya tak meriah langsung...hehe). Lepas solat raya, balik rumah untuk sessi bermaaf-maafan. Lepas tu melepak je tengok tv. Tiada kelibat budak-budak datang beraya kerana dikelilingi jiran-jiran India dan Cina. Cuba contact beberapa kawan di Ipoh tapi tak dijawab, mungkin sibuk atau mereka tak bagi aku datang beraya, huhu. Akibat kebosanan yang amat sangat, aktiviti hari raya pertama aku penuhi dengan acara melantak/mentekedarah/mencekik lemang dan rendang, serta nasi himpit dan kuah kacang buatan mertua aku yang sedap tu, tengok tv, juga baca suratkhabar dan koleksi majalah Mastika kegemaran mertua aku. Malam pulak tengok bola perlawanan 'derby' antara Manchester United vs Manchester City dengan ipar-ipar dan pak mertua yang juga kaki bola. Kesudahannya M.U menang 4-3... Yay!

- 2 Syawal/21 September: 
Pagi sampai tengahari masih melepak di rumah. Petang barulah keluar beraya ke rumah rakan sepejabat di Kuala Sepetang, Taiping sampai malam.

- 3 Syawal/22 September: 
Pagi sampai tengahari, keluar beraya dengan keluarga mertua ke rumah saudara mara di sekitar Ulu Chepor dan Taman Meru, Jelapang. Petang lepas Asar, balik ke rumah sendiri di Sungai Buloh untuk menjenguk anak-anak yang mungkin kelaparan (anak kucing daa...)

- 4-7 Syawal/23-26 September:
Balik ke kampung-kampung aku di Pahang. Disebabkan abah & mak aku berpisah sejak aku masih kecil serta masing-masing dah kahwin lain, maka ada 3 tempat yang wajib aku singgah/ziarah/balik beraya;... iaitu rumah abah aku di Lanchang, rumah mak aku di sebuah perkampungan Felda di Bera, serta rumah pusaka peninggalan arwah atuk & nenek tempat aku dibesarkan di Mentakab. Tak lupa juga rumah saudara mara lain.

Sedikit gambar dalam mood raya


- 8 Syawal/27 September:
Sudah balik ke rumah sendiri di Sungai Buloh. Alhamdulillah, selamat dalam perjalanan pergi dan balik. Hari ni hari terakhir cuti raya. Keluarga mertua pulak datang beraya kat rumah aku. Esoknya dah mula kerja. Terasa malas nak mula kerja bila dah cuti lama. Apapun, disebabkan orang Melayu raya selama sebulan, aku dengan rela hati akan sudi memenuhi undangan rumah terbuka kawan-kawan sepanjang bulan Syawal ni. Rumah aku??? Aku tak pernah buat majlis rumah terbuka, tapi rumah aku sentiasa terbuka untuk kawan-kawan datang beraya. Sila telefon dulu sebelum datang. Tapi disebabkan keadaan isteri aku yang sedang memboyot ni, tiada jaminan untuk dihidangkan menu istimewa dan kau harus bersedia & rela untuk makan saja apa yang ada. Wassalam

14 September, 2009

Selamat Hari Raya Aidil Fitri & Top 5 lagu-lagu raya pilihan aku

Seminggu lagi menjelang raya, ramai sibuk membuat persiapan. Membeli-belah keperluan raya, baju raya, kuih raya, perabot raya, pergi bank tukar duit raya...dan lain-lain kehendak yang semuanya pasal nak raya sakan.

Raya punya pasal, jangan sampai bergolok bergadai atau sampai menghulurkan salam aidilfitri kepada ahlong sudahlah ye...cukuplah berbelanja ala kadar mengikut kemampuan sendiri.

 Seminggu dua sebelum raya ni, suasana nak raya dihangatkan lagi dengan alunan lagu-lagu raya lama dan baru. Dalam banyak-banyak lagu raya, lagu lama juga yang lebih diminati, lebih menusuk kalbu dan lebih membuatkan orang yang mendengarnya tak sabar-sabar nak raya...cheh!

Akhir kata Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang mengenali aku...dengan rasa rendah diri aku mohon maaf zahir batin atas segala keterlanjuran, terkasar bahasa (termaki, terkutuk, tercarut...), terkasar perbuatan (terlempang, terpukul) , terambil barang, ter'pau duit kawan2 dan semua 'ter' lain yang sewaktu dengannya. Dan dengan hati tulus ikhlas aku juga memaafkan segala dosa dan kesilapan kau, kau dan kau terhadap aku... jangan buat lagi ye.

Layan Top 5 lagu-lagu raya yang paling aku minat ni...


1. Suasana Hari Raya (Anuar & Ellina)
Lagu raya yang rancak ni diminati sejak zaman aku masih berhingus. Maklumlah penyanyinya pun budak-budak, maka kesannya terasa lebih dekat dengan budak-budak juga.




2. Suatu Hari Di Hari Raya (M.Nasir)
Sebuah lagi lagu raya yang rancak tapi mempunyai lirik yang sungguh syahdu... "Suatu hari di hari raya, ku lihat wajah suci ibuku, ku lihat wajah kasih ayahku, ku gembira. Mungkin inilah dia kebahagiaan."




3. Dari Jauh Kupohon Maaf (Sudirman)
Lagu raya yang hampir menyebabkan aku dibuang kerja tahun 1996 masa pertama kali kena kerja pada hari raya. Masa tu kerja di Genting Highlands, hari cuti lagi ramai orang datang, mana nak dapat cuti. Dengar je lagu ni time kerja, terasa sayu je hati ni terus aku cabut selamba je balik kampung. Bila balik bertugas, boss tambah 'cuti' lagi 1 hari (gantung kerja)... haha





4. Ku Pohon Restu Ayah Bonda (Al-Jawaher)
Ramai yang tak tau penyanyi asal lagu ni terutama generasi baru. Tapi versi Mamat pun OK juga. Cuma rasa lain macam dengan lirik ni... "Kan ku sujud di kakimu, bila kita bertemu,.". Huh? Boleh ke sujud sesama manusia?




5. Kepulangan Yang Dinanti (Aman Shah)
Adakah mak aku ternanti-nanti kepulangan (kedatangan lebih tepat) anaknya ini? Mestilah...aku kan anak jantan kesayangan...hehe. Apapun aku suka irama lagu ni.




Berhati-hati di jalanraya & lebuhraya, jangan sampai terlanggar balairaya di kampung anda. Wassalam...

09 December, 2008

Aidil Adha @ Taman Rekreasi Gunung Lang

Cuti raya haji lepas balik beraya di Ipoh, rumah mertua. Biasalah raya haji ni suasana raya tak begitu meriah. Cuti pun singkat, di kampung saudara mara pun tak ramai yang balik. Lepas solat raya dan tengok penyembelihan korban di masjid, tiada aktiviti nak dibuat. Ronda punya ronda sekitar Ipoh ntah camne sampai kat Taman Rekreasi Gunung Lang. Walaupun bini aku orang Ipoh tapi dia pun tak pernah sampai sini, appadaa!

Sedikit info dari Wikipedia...

Gunung Lang yang terletak hanya lima kilometer dari bandar Ipoh adalah salah satu gunung batu kapur yang banyak terdapat di negeri Perak, khususnya di Lembah Kinta. Gunung Lang telah dijadikan kawasan rekreasi oleh Majlis Bandaraya Ipoh(MBI) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan pada tahun 1999. Taman ini dilengkapi dengan tiga buah tasik buatan dari bekas lombong bijih timah.


Tasik yang tenang menghijau dipenuhi dengan pelbagai ikan air tawar 
seperti kap, koi, lampam, patin, keli, talapia.. dll


Naik bot menuju ke seberang... 

mula bergerak meninggalkan jeti 


di pertengahan perjalanan
  
ini nakhodanya...


ada kawan aku orang Ipoh kata, menjelang maghrib tempat ni agak 'keras'...


'keras' bukan sebab banyak batu ye!...sekadar peringatan, tak nak percaya sudah!

latarbelakang: rumah tradisional Perak


taman permainan...awasi anak-anak, banyak monyet di sini



tunggu bot...nak balik dahh...


Cara ke sana:
Jika anda dari bandar Ipoh, anda perlu mengikuti Jalan Kuala Kangsar yang menuju ke Kuala Kangsar. Hanya 5 minit dari dari bandar Ipoh. Jika anda dari Kuala Lumpur, anda hanya perlu keluar dari Lebuh raya Utara Selatan di susur keluar Ipoh Utara 1 km dari situ anda akan temui papan tanda Taman Rekreasi Gunung Lang.

Tempat letak kereta luas di tepi tasik secara percuma. Tambang untuk menaiki bot : RM3 bagi dewasa, RM2 bagi pelajar sekolah menengah, RM1 pelajar sekolah rendah, RM0.50 sen bagi kanak-kanak dan warga emas RM1.50 untuk ke pulau itu sejauh kira-kira 300 meter. Lebih kurang 10 minit je naik bot. Makanan ikan pun banyak dijual di sana.

Maklumat lanjut di Wikipedia


Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...