PTT Outdoor
Showing posts with label Sukan/Rekreasi. Show all posts
Showing posts with label Sukan/Rekreasi. Show all posts

19 October, 2019

Bersukan di Muar

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

18-20 Oktober 2019 (Jumaat-Ahad): Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor telah menganjurkan sambutan Hari Statistik Negara 2019 dan Sambutan 70 Tahun DOSM di Muar, Johor. Pelbagai acara diadakan bersama komuniti kampung dan agensi di sekitar daerah Muar bertujuan mendekati dan meningkatkan literasi statistik di kalangan masyarakat, antaranya :

~ Pertandingan sukan bersama komuniti dan agensi (bolasepak, bola jaring, sepakraga bulatan, futsal)
~ Program Jom Sihat 10000 Langkah
~ Program Jelajah Berbasikal Stats De Tour
CSR (membersihkan parit, hiasan laman, rewang dan bantuan kepada asnaf)
~ Pertandingan mewarna, Kuiz Stats, Pameran & Stats Beyblade
~ Program 'School Outreach
~ Program 'Harvest, Pick & Eat' Nanas
~ Persembahan kebudayaan (ghazal, zapin, boria, dikir barat, pentomin)
~ solat berjemaah, majlis doa selamat dan bacaan Yasin




Sebagai pemain takraw yang agak berkaliber suatu ketika dahulu... aku dipilih untuk menyertai pasukan sepakraga bulatan lawan pasukan komuniti kampung sekitar Muar. Tapi kami taklah main sungguh-sungguh sangat untuk menjaga hati dan maruah pasukan tuan rumah.. jadi kami ambik hadiah saguhati je lah hihi.

Habis acara, aku balik awal sehari dari jadual, sepatutnya esoknya ada majlis penutup oleh menteri. Tapi aku balik awal sorang-sorang sebab nak melawat Along kat asrama... family first. 

Perjalanan terasa sangat jauh... 
Dari Muar ke TBS... naik bas ekspres 2.00 pm.
Dari TBS ke KL Sentral... naik LRT.
Dari KL Sentral ke Rawang naik komuter.
Dari Rawang ke pejabat (tinggal motor kat pejabat)... naik Grab.
Dari Pejabat balik ke rumah... naik motor.
5 jenis pengangkutan aku naik hari ni... isyak baru sampai rumah.. hihi.


30 September, 2017

Sukan Statistik Kebangsaan (SSK) 2017

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Pada 28-30 September 2017, telah berlangsung Sukan Statistik Kebangsaan (SSK) 2017 kali ke-12, yang merupakan penjenamaan semula Sukan Antara Zon (SAZ). Temasya kejohanan dwitahunan kali ini dianjurkan oleh Zon Tengah (DOSM Wilayah Persekutuan & Selangor) dan telah diadakan di Pusat Latihan Institut Penilaian Negara (INSPEN), Kajang.

Acara-acara yang dipertandingkan: Bolasepak 9-Sebelah, Futsal lelaki, wanita dan veteran, acara balapan, Sorakan, Bola Tampar lelaki & wanita, Badminton, Ping Pong, Bola Jaring, Sepak Takraw, Tarik Tali lelaki dan Boling. Ditutup dengan acara dinner Malam Perangkaan.
Aku sepatutnya main untuk 2 acara; futsal veteran dan bolasepak padang 9-sebelah (ada 2 kuota pemain veteran). Malangnya ditimpa kecederaan pangkal paha (groin) masa main acara futsal... terus tak dapat main untuk acara bolasepak 9-sebelah.


Tapi kalau tak cedera pun memang dah tak larat rasanya nak main bolasepak padang lagi... lutut dah tak mampu nak menanggung tekanan permainan intensiti tinggi ni. Memang dah patut bersara le tu. SSK akan datang mungkin cuma boleh main futsal je la kot. 


17 September, 2017

Sukan Tahunan MTI 2017

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


Sukan tahunan MTI. Nak tengok Along masuk acara apa la agaknya. Tengok fizikalnya yang chubby takkan la terpilih masuk lari 100 meter kot... hihi. Ya itu dia... masuk acara kawad kaki, sukaneka lari ikat kaki dan sepakan penalti. Walaupun tak menang kami tetap bangga dengan Along!


10 October, 2015

Hari Sukan Negara 2015

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Sementara Along berkayuh dalam acara Funride anjuran sekolahnya mengelilingi sekitar taman perumahan.....


... kami sekeluarga sekadar berjogging demi menyahut seruan amalan gaya hidup sihat sempena Hari Sukan Negara yang julung kali diadakan.

16 May, 2015

Mini Karnival Sukan 4 penjuru 2015

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Jabatan Perangkaan Malaysia telah menganjurkan Mini Karnival Sukan 4 penjuru 2015 yang disertai oleh  Ibu Pejabat Jabatan Perangkaan Malaysia, Jabatan Perangkaan Negeri Selangor, Jabatan Perangkaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Bank Negara Malaysia pada 16 Mei 2015 bertempat di Pusat Latihan Inspen, Bangi.

~ 4 acara dipertandingkan iaitu bolasepak 9-sebelah, badminton berpasukan, bola tampar dan bola jaring.  

~ Dalam acara bolasepak 9-sebelah, syarat pertandingan kena ada seorang wakil pemain veteran 40-tahun ke atas. Disebabkan tahun ni aku dah cukup umur, aku dijemput dengan segala hormatnya main dengan team ni...hihi. Main 4-5 minit jadilah buat syarat... nak main full time memang tak larat.


~ Team aku JP Selangor berjaya muncul naib juara setelah menang  2 perlawanan dan kalah sekali.
    - JP Selangor 0-2 Bank Negara Malaysia
    - JP Selangor 1-0 JP WPKL
    - JP Selangor 1-0 Ibu Pejabat Jabatan Perangkaan Malaysia

18 June, 2014

Menjelajah Gunung, Sungai dan Laut di Sabah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Misi menakluk puncak Gunung Kinabalu yang gagal kerana AMS pada 2009 harus ditebus semula.
~ Terjumpa event ke sana di fb dari 13-17 Jun 2014, kebetulan dianjurkan oleh seorang kawan lama.
~ Pertama kali menggunakan KLIA2 yang baru sebulan beroperasi.

GUNUNG
~ 14-15 Jun 2014 (Sabtu-Ahad)... misi menakluk Puncak Kinabalu.
~ Line-up 20 orang - Aku, Abg Omar, Abg Shahran, Khairul & Fuziah, Rahmat, Shahrul, Rozan, Kuek & Ling, Balkiss, Loges, Azrul & Ain, Neesa, Zul, Faizal, Aishah, Allen dan Azimah.
~ Dulu ikut Timpohon, kali ni ikut trek Mesilau... lebih jauh 2km, lebih cantik dan treknya ada turun naik.
~ Makan ubat mabuk sejam sebelum mendaki, sebagai ikhtiar mengelak terkena AMS lagi.
~ Mula mendaki 9.00 am, taknak jalan laju-laju macam dulu, biar badan perlahan-lahan menyesuaikan diri dengan alititude tinggi... sampai Laban Rata 4.10 pm dalam hujan renyai.
~ Menginap di dorm Laban Rata Resthouse... satu bangunan dengan tempat makan, tak perlu jalan jauh.
~ Cuma sempat tidur-tidur ayam, 1.30 am dah kena bangun, bersarapan dan alhamdulillah kali ni tak pening.
~ 2.30 am, mula mendaki, sampai puncak Low pada 5.40 am. Alhamdulillah, misi berjaya.
~ Turun semula kali ni ikut Timpohon, sampai Kinabalu Park hampir jam 4.00 pm.
~ Bergerak ke Kota Kinabalu dan menginap di Marina Court Resort Condo.



SUNGAI
~ 16 Jun (Isnin)... misi hari ni mencuba aktiviti ekstrim berakit arus deras (white water rafting) gred 3-5 di Sungai Padas.
~ Seawal jam 6.00 am mula bergerak ke Pekan Beaufort menaiki bas Riverbug, memakan masa 1 1/2 jam.
~ Dari Beaufort perlu naik keretapi antik menuju Pekan Tenom, malangnya kepala keretapi rosak menyebabkan perancangan asal terpaksa dibatalkan.
~ Tukar plan-B, berpatah balik ke KK seterusnya ke Sungai Kiulu, Tuaran.
~ Sg. Kiulu ni gred 1-2 je, sesuai la untuk beginner macam kebanyakan dari kami.
~ Jarak 7.5 km, tempoh hampir 2 jam, makan disediakan....
~ Balik ke KK, singgah rumah kenalan Abg Omar untuk aktiviti penyampaian sijil mendaki dan makan lagi.
~ Balik ke hotel penginapan... aktiviti bebas. Ke Pasar Filipin layan seafood pulak.... makan lagi...



LAUT
~ 17 Jun (Selasa)... aktiviti santai di Pulau Sapi.
~ aktiviti yang ada di pulau ni...snorkeling, selam skuba, flying fox merentasi laut antara Pulau Sapi dan Pulau Gaya dan juga parasailing (naik payung terjun yang ditunda dengan bot).
~ aktiviti sampingan... sesi mencuci mata melihat 'pemandangan indah' di tepi pantai dan upacara mandi tepung untuk seorang birthday girl dalam grup kami.
~ Balik semula ke KK untuk check-out dan sempatlah lagi untuk shopping sementara menunggu penerbangan balik ke KL pada jam 7.25 pm.



Terima kasih kepada semua yang bersama aku mencapai misi menakluk puncak Kinabalu.
Maafkan segala keterlanjuran perbuatan mahupun perkataan.
Terima kasih juga kepada bro Bazri yang sudi menghantar dan menjemput di airport.
Jumpa lagi.


31 May, 2014

Catatan Perjalanan Mei 2014

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Buat entri bergambar je, malas nak tulis panjang-panjang sebab kesibukan melampau.


1/5/2014 (Khamis) - Seluruh Malaysia bercuti hari ni untuk menyambut harijadi Along yang ke-10. Tapi Along (dan Angah juga) mengambil keputusan untuk menyambutnya dengan cara berbeza, iaitu menemani ayahnya (dan kawan-kawan) menjalani latihan untuk misi Kinabalu di Bukit Broga dan Gunung Tok Wan, Semenyih. Balik rumah barulah ada sambutan kecil-kecilan sambil dijamu dengan kek pavlova hasil air tangan ibunya. Selamat hari jadi Along!


10/5/2014 (Sabtu) - Jogging di Taman Tasik Perdana atau nama barunya Taman Botani Perdana. Ingatkan ramai yang training sama, rupanya cuma 3 orang yang datang.


24/5/2014 (Sabtu) - Gunung Datuk menjadi gunung kedua berjaya ditawan oleh Along & Angah selepas Gunung Tok Wan. Turun semula petangnya, berkhemah semalaman di kaki gunung.


27/5/2014 (Selasa) - Secara rasmi diberi peluang meningkatkan potensi diri setahap lebih tinggi. Alhamdulillah, ini anugerah berganda setelah dipilih menerima anugerah khidmat cemerlang. Peningkatan dalam kerjaya bermakna tanggungjawab makin bertambah. Sibuk nak mampus mengalahkan PM le aku lepas ni... haha.


31/5/2014 (Sabtu) - Selesai majlis kenduri kahwin keluarga sebelah mertua di Sitiawan... sebelum balik Ipoh singgah santai di Pantai Teluk Batik.


08 February, 2014

Kejohanan Futsal Tertutup JP Selangor Siri 1/2014

Entri ini disalin-tampal dari blog kelab sukan ofis aku... tak sangka team aku boleh Champion! :D
8 Feb. 2014 (Sabtu) - Kelab Sukan, Kebajikan dan Sosial (KSKS) Jab. Perangkaan Malaysia Negeri Selangor telah menganjurkan Kejohanan Futsal Tertutup Siri 1/2014 bertempat di Sport Planet, Sek. 16 Shh Alam.  
Kejohanan ini juga dijadikan sebagai medan pemilihan pemain untuk mewakili Jabatan dalam Kejohanan Futsal Jemputan Piala Pengarah Jabatan Audit Negeri Selangor yang akan diadakan pada 01 Mac 2014 nanti.
Setiap seksyen dan pejabat operasi diwajibkan menghantar satu pasukan untuk menyertai kejohanan futsal ini. POG tidak ketinggalan menghantar pasukan yang dirasakan terkuat untuk mencabar kejuaraan. Penyertaan ditaja sepenuhnya oleh K-POG, menyebabkan para pemain diselubungi tekanan yang agak tinggi untuk memberikan yang terbaik.
Tanpa disangka-sangka, pasukan POG telah berjaya menjadi juara kejohanan dengan rekod tanpa kalah dalam kesemua 6 perlawanan. Keputusan kejohanan adalah seperti berikut :
Pejabat Operasi Gombak vs Harga; 0-0
Pejabat Operasi Gombak vs Pejabat Operasi Kajang; 2-2
Pejabat Operasi Gombak vs Rangka; 4-1
Pejabat Operasi Gombak vs Ekonomi; 2-0
Pejabat Operasi Gombak vs PSH Ekonomi; 3-0
Pejabat Operasi Gombak vs PSH Isirumah; 6-2
 

Setinggi-tinggi ucapan tahniah dan jutaan terima kasih kepada semua peserta yang sama-sama menjayakan kejohanan ini. Kepada pasukan yang tidak berjaya, masih ada ruang dan peluang pada siri akan datang. Yang penting, tujuan utama kejohanan ini adalah untuk mengeratkan silaturahim di antara kakitangan di samping memupuk budaya hidup sihat di kalangan anggota JP Selangor.


30 November, 2013

Catatan Perjalanan November 2013

Kalau entri blog dah macam gini gayanya... longgok sebulan punya cerita dalam satu entri,  itu tandanya tuan blog dah dilanda penyakit malas... hahaa... Tapi sebab dah terjebak dalam dunia blogging, teruskan aje lah. Bila ada kelapangan masa barulah update. Walaupun blog ni takde pengunjung sangat pun, selagi terdaya aku akan terus berblog mencatat perjalanan hidup aku sebagai kenangan untuk anak cucu aku. Layan entri bergambar je lah!


2/11/13 (Sabtu) - Mendaki Bukit Broga bersama rakan-rakan JP Selangor. Kalau tahun lepas Along sorang je ikut, kali ni bawa si Angah sekali... tahniah Angah berjaya sampai ke puncak. Kalau tahun lepas Along laju je mendaki tinggal ayah jauh, tapi tahun ni mencungap dia nak sampai puncak... maklum le fizikal dah makin debab... hehe



3/11/13 (Ahad) - Pahang juara Piala Malaysia kali ke-3 (selepas 1983 & 1992) bila menewaskan pasukan pilihan Kelantan 1-0. Terima kasih kepada Matias Conti yang menjaringkan gol cantik hasil hantaran budak Lepih, Alex. Harap-harap janganlah sampai kena tunggu 21 tahun lagi nak julang piala seterusnya. Hogoh Pahang Hogoh!!



9/11/2013 (Sabtu) - Sementara si ibu & anak daranya menyertai aktiviti 'ladies outing' di Melaka, si ayah & anak-anak bujangnya menghadiri Majlis Kecemerlangan di sekolah. Along dapat no.2 dalam kelas sekolah agama, sekolah kebangsaan pulak no.20++. Si Angah pulak dua-dua sekolah dia pulun no.20++... takpe, tingkatkan usaha anak-anakku... kalau ayah ibu paksa belajar sangat nanti tertekan pulak korang...


 9/11/2013 (Sabtu) - Habis je majlis anugerah cemerlang si Along, si ayah & anak2 bujangnya pulak sempat ke Glory Beach Resort, Port Dickson, menghadiri reunion rakan sekolah masa form 6. Sebelum tu sempat singgah di Muzium ATM, PD, kemudian terjun kolam kat resort. Malam, bertemu sahabat2 lama sambil sibuk ber-BBQ. Ramai sahabat yang berjaya dalam bidang masing2, mungkin aku je la yang tak berapa nak menjadik... haha. Sambil reunion ni jugak diorang bercadang nak tubuhkan koperasi alumni. Serah pada yang pakar , bab ni i follow je lah. Tak dapat nak bersembang lama, 10.30 malam terpaksa balik sebab esoknya aku ada program lain.


 10/11/2013 (Ahad) -  Program Sahabat Statistik bersama Komuniti Taman Widuri 2, Bukit Beruntung. Satu usaha untuk memperkenalkan lagi fungsi Jabatan Perangkaan kepada masyarakat.


17/11/2013 (Ahad) - Cuti sekolah hujung tahun sudah bermula. Terlanjur menghadiri kenduri sambut menantu En.Manan (rakan sekerja) di Semenyih, masa nak balik singgah Broga Rabbit Farm.... ladang arnab terbesar di Malaysia. Tapi bukan hanya ada arnab semata-mata, banyak lagilah haiwan ternakan lain. Tiket masuk RM5 sekepala... bawah 2 tahun masuk percuma.


19/11/2013 (Selasa) - Selamat hari lahir ke-4 buat anak daraku ini... semoga hidupmu diberkati dan dirahmati Allah hendaknya dan menjadi anak yang solehah.  Hanya sambutan kecil-kecilan dengan 3 biji kek kecik (yang nampak macam besor) serta big-box pizza hut. 
 


Jumpa lagi bulan Disember... haha.

07 July, 2013

Bakal jaguh badminton?

Bekas pemain no.1 dunia, Roslin Hashim (berbaju biru)
sedang mengendalikan klinik badminton di sekolah Along

Adakah Along akan menjadi sehebat Roslin suatu hari nanti...
 atau mewarisi sifat 'tangan bangku' seperti ayahnya ini? 
Sama-sama kita tunggu 10-15 tahun lagi... haha.

20 June, 2013

Sukan Tahunan 2013

Err... sukaneka tahunan sebenarnya yang Angah sertai tu. Untuk murid tahap 1-3 cuma diadakan acara sukaneka. Sukan tahunan yang ada acara lumba lari tu diadakan pada hari berasingan, khusus untuk murid-murid tahun 4-6.


Apapun, tahniah kepada Angah kerana memenangi pingat pertama dalam hidup beliau. Apa pun warna pingatnya, ayah dan ibu tetap berbangga.

08 June, 2013

Bowling POG 2013

Setiap tahun ofis aku akan mengadakan kejohanan bowling tertutup. Dan seperti biasa aku hanya mahu bermain sambil bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan. Nak mencabar kejuaraan tu aku tak berminat sangat (padahal memang tak terrer pun haha).


Cerita penuh di SINI

30 June, 2012

Mini SUPES 2012

Mini Sukan Perangkaan Selangor 2012. Main futsal & karom berpasukan.


Acara futsal... rasanya masih boleh bersaing lagi... walaupun terpaksa guna knee-guard... balik rumah baru terasa azab sakitnya lutut.

Dalam acara karom single... agak teruja dapat menewaskan dua-dua otai macam dalam gambar atas tu...

Dua-dua acara jadi naib johan je!

15 June, 2012

Cuti Sekolah Jun 2012

Huh, dah sebulan tak update blog ni... kononnya sibuk mengalahkan menteri.

Entri bergambar ni sekadar nak mencatat peristiwa2 yg terjadi sepanjang cuti sekolah pertengahan tahun 2012 selama 2 minggu... semuanya dilonggokkan dalam 1 entri ini...


1-2 Jun (Jum-Sabtu); Pergi kenduri kahwin kat rumah kakak ipar kat Bangi. Selamat Pengantin Baru Wawa & Wan, semoga kekal bahagia hingga ke akhir hayat... 1 Jun juga bermakna aku & isteri pernah menjadi pengantin baru tapi peristiwa tu dah 9 tahun berlalu. Sila ucapkan 'happy anniversary' kpd aku & isteri.



4 Jun (Isnin);  cuti sekolah ni Along mintak nak duduk kampung ayahnya sampai hujung minggu ni... seronok le tu duduk kat kampung. Ambik cuti bawa anak-anak dan adik-adik sepupu mandi-manda kat Bukit Gambang Waterpark. Petangnya terus balik KL. Nampaknya minggu depan kena balik kampung lagi ambik Along.
 


9 Jun (Sabtu); Petang ada kejohanan bowling tertutup anjuran ofis aku. Disebabkan tak terrer lagipun main setahun sekali je, aku main sekadar untuk memeriahkan acara.... Tapi bini aku walaupun tak terrer juga, ntah macam mana tahun lepas bini aku termenjadi juara kategori wanita...rupanya ramai lagi yg tak terrer... kiranya dialah yg paling terrer di kalangan yg tak terrer tu...huhu. Tahun ni dia jatuh no.5 mungkin sebab yg tak terrer tu dah berlatih bersungguh-sungguh utk menterrerkan diri masing-masing gamaknya. Habis acara dah nak maghrib, terus balik kampung nak jemput Along balik.




10 Jun (Ahad); Hari ni hari terakhir cuti sekolah. Dari kampung, sempat singgah makan kenduri kahwin sahabat lama kat Gombak. Selamat pengantin baru Khairul Ikhsan & isterinya... semoga kekal bahagia hingga ke syurga....


Kalau lepak lama sikit mungkin boleh jumpa kawan-kawan lama. Tapi tak dapat nak lepak lama sikit sebab kena bergegas pergi kursus selama 3 hari kat Institut Latihan Statistik Malaysia, Sungkai (naik kenderaan jabatan).Walaupun malas nak berkursus  tapi terpaksa pergi juga.

Tammat...

21 April, 2012

Saya suka SukaSukan

Hari ni orang rumah aku dikerah bertugas membantu majlis perasmian kedai barangan sukan baru, SukaSukan di kawasan perumahan aku ni. Khabarnya pemilik kedai ni bercita-cita tinggi nak membuka sebuah kedai SukaSukan di setiap kawasan perumahan seluruh negara. Kira gempaklah juga kawasan rumah aku ni dipilih untuk diwujudkan cawangan pertamanya.

Majlis perasmian pembukaan kedai sukan SukaSukan ni diserikan lagi dengan kemunculan ikon popular, Upin & Ipin. Selain tu 2 selebriti, Zed Zaidi dan Radhi OAG turut hadir memeriahkan majlis itu yang juga mengadakan pertandingan mewarna, timang bola serta acara cabutan bertuah selain diskaun istimewa bagi pelanggan di hari pembukaannya. Sayangnya majlis perasmiannya tak kena masa sebab aku belum gaji...huhu... Dapat gaji nanti aku mesti beli kasut futsal satu!


Apapun, nampak teruja sungguh si Along, Angah & Aina dapat jumpa Upin & Ipin. Cuma Along agak kecewa sebab tewas dalam pertandingan mewarna... Sabarlah Along, nanti ayah akan anjurkan pertandingan mewarna yang mana pesertanya dihadkan cuma 3 orang je, iaitu Along, Angah & Aina... ayah gerenti Along boleh menang punya...hehe.

19 December, 2010

Bowling POG @ PTGC

Acara: Kejohanan Bowling Tertutup Pejabat Operasi Gombak

Tarikh: 18 Disember 2010

Lokasi: Perangsang Templer Golf Club, Rawang

Tunjuk gambar je, malas nak cerita pasal aku kalah.. tapi bini aku pulak juara kategori wanita...aaarrrggghh malu2

13 June, 2009

Kejohanan Bowling Tertutup P.O.G

Hari ni aku menyertai Kejohanan Bowling Tertutup yang berlangsung di Perangsang Templer Golf Club (PTGC),Templer Park. Tertutup bermakna hanya untuk kakitangan pejabat aku, juga untuk suami2/isteri2/aweks/balaks dan kaum kerabat mereka shj. Ia juga bermakna nama2 seperti Shalin Zulkifli, Zandra Aziela, Siti Safiyah Amirah dll (sekadar menyebut beberapa nama, itupun yg perempuan je yg aku tau) tidak dijemput sama sekali.

 Aku bermain sekadar untuk memeriahkan dan menyibukkan suasana je sebab aku sedar tangan aku bukan dalam kategori tangan yg lurus, maka balingan aku pun selalunya lebih terarah menuju ke pin sebelah kiri sekali, kanan sekali dan kadang2 tak kena pin langsung... (terjun longkang lah tu!) Ngeh3 Selain acara bowling, ada juga pertandingan mewarna untuk budak2 (dan mak2 budak juga???) dan cabutan bertuah (yang aku tak bertuah). Selesai acara, bawak anak2 aku mandi kolam renang di tempat yg sama.


Itu shj gambar yg sempat diambil. Aku terpaksa menumpukan perhatian sepenuhnya mengelakkan bola terjun longkang.

17 May, 2009

Outdoor Games SUPES 2009

Main bolasepak 9-sebelah yang dijalankan secara liga sepusingan, 7 minit setiap separuh masa. Sebagai pemain yang dah termasuk dalam kategori 'kuda tua', aku jadi supersub ajelah...tak larat nak main full time, separuh masa ke-2 baru masuk. Main utk team Biru.

Keputusan perlawanan:

Biru vs Hijau : Menang 2-0
Biru vs Kuning : Seri 0-0
Biru vs Merah : Menang 1-0

Kuning vs Hijau : 1-0
Kuning vs Merah : 0-0
Hijau vs Merah : 1-0

1. The Champion, Biru
2. Kuning
3. Hijau
4. Merah

Keputusan acara2 lain...aku tak tau dan tak ambil tahu.

09 May, 2009

Futsal SUPES 2009

- Hari ni bermula Sukan Tahunan tempat kerja aku... Dijalankan setiap minggu selama 3 minggu berturut-turut. Kakitangan seramai lebih kurang 500 orang dibahagikan kepada 4 pasukan. Ada pasukan Biru, Merah, Kuning & Hijau. Macam rumah sukan zaman sekolah dulu la pulak...

 Jadual Acara Sukan:
 9 Mei: Futsal Lelaki & Perempuan

 17 Mei: Bolasepak 9-sebelah, bolatampar L & P, bolajaring & tarik tali L & P.
Sepaktakraw digugurkan atas sebab-sebab yang tidak diketahui...

 24 Mei: Indoor Games; Ping Pong, karom, catur, dam aji, bola PS2 & bowling.

Aku cadangkan tahun depan masukkan acara snooker(tanpa unsur-unsur perjudian!)

 - Aku sebagai seorang atlet yang serba boleh (semua sukan boleh main tapi tak terrer) dijemput khas untuk mewakili pasukan Biru dalam acara futsal, bolasepak 9-sebelah, karom & bowling.

 - Hari ini dalam acara Futsal yang dipecahkan kepada 2 kumpulan secara liga... aku main untuk pasukan Biru A yang hanya menduduki tempat ke-3 dlm kumpulan (1 menang,1 seri & 1 kalah). Tak layak ke separuh akhir. Gambar lain kali aku upload (kalau jumpa carik)

25 June, 2006

Sukan Antara Zon yg suwey

Jabatan aku mengadakan Sukan Antara Zon seluruh Malaysia. Kali ni Zon Selatan dipilih jadi tuan rumah. Venue pertandingan dan penginapan selama 3 hari 2 malam bertempat di Ayer Keroh, Melaka. Menginap di chalet INB Ayer Keroh.

 23 Jun (Jumaat) – Petang lepas kerja, bertolak ke Ayer Keroh. Singgah Bangi tinggalkan anak bini di rumah kakak dia. Malam baru sampai Ayer Keroh. Beberapa pertandingan indoor sudah dijalankan seperti badminton, ping pong & bolatampar. Jadi penyokong je lah. Lepas tu lepak Bandar Melaka...sokong peserta bowling sekejap. Agak2 dah bosan pergi main snooker pulak. Ooops, snooker tak termasuk dalam senarai acara.

 24 Jun (Sabtu) – Acara perasmian kejohanan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Ali Rustam. Aku dan beberapa kawan memonteng pasal bangun lambat. Tak berdisiplin punya atlit. Lepas perasmian bermulalah acara2 lain seperti futsal, bolajaring, sepaktakraw dll. Aku main sepaktakraw je yg dijalankan secara format kalah mati. Main tekong...servis kuda belang (bawah sikit la taraf kedahsyatannya kalau nak dibandingkan dengan servis kuda). Lawan regu tuan rumah Zon Selatan, kalah 17-21, 18-21...bungkus!

gaya angkuh sebelum perlawanan

hayunan servis kuda belang

feeder, suap bola baik punya satu...

aksi killer aku selepas menggulung bola (bukan gulung net)

masa untuk digulung pulak... terus gulung tikar

Habis je game dapat pulak berita buruk. Kereta yg aku parking bawah pokok besar (sebab dah takde parking) kena hempap dahan reput sebesar betis. Bergegas aku gi tengok kereta. Menurut saksi di tempat kejadian (macam kes jenayah pulak), ada pulak 2-3 ekor beruk melompat2 atas dahan reput tu. Habis berkecai cermin belakang kereta aku. Terpaksalah pinjam duit kelab sukan dulu untuk hantar repair. Pagi esok baru boleh siap.

cobaaaannn...

25 Jun (Ahad) – Check out hotel. Lepas majlis penutup + penyampaian hadiah + makan, pergi bengkel ambik kereta pastu terus balik. Terbang juga RM 400 kos tukar cermin. Rupanya harga cermin belakang lebih mahal dari yg depan. Alasannya cermin belakang jarang pecah berbanding cermin depan. Itu kata pomen lah. Kalau dia kencing maka kena kencinglah aku. Bila tanya kawan2 pun semua tak pernah pecah cermin belakang. Lain kali kena ambik insurans cermin ni. Huhu

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...