22 December, 2019

Hiking : Air Terjun Bukit Wawasan, Puchong

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

22/12/2019 (Ahad) - Hiking bersama geng hiking lama masa mula berjinak-jinak dengan hobi hiking sekitar tahun 2000 dulu. Cadang nak ke Bukit Wawasan, Puchong, tapi masing-masing dah beranak pinak dan bawa anak-anak kecik bersama, kami tak ikut trek ke puncak bukit tapi ikut trek menuju air terjun... (bukan Blue Lagoon yang dilarang masuk tu).


Perjalanan ke air terjun ni kalau jalan santai-santai mengambil masa kira-kira 45 minit - 1 jam. Seronok betul budak-budak kalau jumpa air sungai... kalau tak disuruh naik memang sampai kecut diorang berendam. Waktu balik pekena air kelapa pulak di warung yang ada kat starting point.

Ada masa lain kali nak repeat ke puncak Bukit Wawasan pulak.



15 December, 2019

Hari Keluarga di Melaka

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

13-15 Disember 2019 (Jumaat - Ahad) - Hari Keluarga ofis aku bertempat di Amverton Heritage Resort, Ayer Keroh, Melaka.

~ 13 Dis (Jumaat) : Bertolak lepas subuh sebab nak jalan-jalan cari sarapan di Ayer Keroh. Tempat dituju gerai Roti Selimut Pak Ali... pekena roti welding dan roti selimutnya. Dah kenyang, kami ke Pusat Rekreasi RedTma di Tasik Ayer Keroh pula... banyak aktiviti ada di sini... berkayak, paddle boat, wall climbing, flying fox dll. Kami pilih aktiviti berkayak, harga RM5 sekepala, masa unlimited, berkayaklah satu tasik tu sampai lebam dan sampai rentung. Solat jumaat di Masjid Al-Alami MITC. Makan tengahari pekena asam pedas di Coconut Shake Batu Berendam. Check in hotel dan anak-anak mandi kolam sampai maghrib. Makan malam western di Kafe UAK.




~ 14 Dis (Sabtu) : Hari ni hujan dan mendung sepanjang hari... menghabiskan masa beraktiviti di hotel je. Sarapan, mandi manda kat kolam, acara sukaneka, majlis makan malam dan main pool kat lobi. Tengahari je keluar sekejap makan di Mango Float Royale Sungai Putat





~ 15 Dis (Ahad) : Hari terakhir, hujan lagi. Lepas sarapan, anak-anak dah malas nak mandi kolam, lagi pun kaki luka-luka akibat bergeser permukaan kasar di lantai kolam. Sekeluarga sambung tidur sampai jam 11.00 pagi, hujan-hujan ni + pulak aircond memang syok tidur. Lepas check out pun masih hujan lagi. Singgah tempat berdekatan je... puas minum madu lebah percuma di Galeri Lebah dan ke Muzium Orang Asli. Malas nak masuk bandar Melaka dah tentu jem. Lepas lunch balik dan terpaksa menempuh jem juga. Sampai rumah menjelang maghrib.

27 November, 2019

Gala Dinner

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

27 November 2019 (Rabu) - Ofis aku telah menganjurkan Majlis Gala Dinner & Awards Night bertempat di Templer Park Country Club, Rawang. Majlis bertujuan untuk meraikan dan menghargai warga kerja yang telah sepanjang tahun bekerja keras, bertungkus lumus, berhempas pulas dan bermandi keringat dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Dalam majlis makan malam bertemakan Retro ini, diadakan juga acara selingan iaitu persembahan  dari setiap unit, anugerah suka-suka untuk staf serta cabutan bertuah.



Tak sangka-sangka dah masuk kategori veteran pun masih boleh dapat anugerah hero remaja... kelakor sungguh sapa yang mengundi aku ni.. kuat diorang menganjing.. kah3.

22 November, 2019

Selamat Pengantin Baru, Yani

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


Selamat Pengantin Baru buat adik sepupuku... selamat melayari bahtera rumah tangga, semoga kekal berbahagia hingga ke akhir hayat, dan dikurniakan zuriat yang soleh & solehah... aamiin.

19 October, 2019

Bersukan di Muar

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

18-20 Oktober 2019 (Jumaat-Ahad): Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor telah menganjurkan sambutan Hari Statistik Negara 2019 dan Sambutan 70 Tahun DOSM di Muar, Johor. Pelbagai acara diadakan bersama komuniti kampung dan agensi di sekitar daerah Muar bertujuan mendekati dan meningkatkan literasi statistik di kalangan masyarakat, antaranya :

~ Pertandingan sukan bersama komuniti dan agensi (bolasepak, bola jaring, sepakraga bulatan, futsal)
~ Program Jom Sihat 10000 Langkah
~ Program Jelajah Berbasikal Stats De Tour
CSR (membersihkan parit, hiasan laman, rewang dan bantuan kepada asnaf)
~ Pertandingan mewarna, Kuiz Stats, Pameran & Stats Beyblade
~ Program 'School Outreach
~ Program 'Harvest, Pick & Eat' Nanas
~ Persembahan kebudayaan (ghazal, zapin, boria, dikir barat, pentomin)
~ solat berjemaah, majlis doa selamat dan bacaan Yasin




Sebagai pemain takraw yang agak berkaliber suatu ketika dahulu... aku dipilih untuk menyertai pasukan sepakraga bulatan lawan pasukan komuniti kampung sekitar Muar. Tapi kami taklah main sungguh-sungguh sangat untuk menjaga hati dan maruah pasukan tuan rumah.. jadi kami ambik hadiah saguhati je lah hihi.

Habis acara, aku balik awal sehari dari jadual, sepatutnya esoknya ada majlis penutup oleh menteri. Tapi aku balik awal sorang-sorang sebab nak melawat Along kat asrama... family first. 

Perjalanan terasa sangat jauh... 
Dari Muar ke TBS... naik bas ekspres 2.00 pm.
Dari TBS ke KL Sentral... naik LRT.
Dari KL Sentral ke Rawang naik komuter.
Dari Rawang ke pejabat (tinggal motor kat pejabat)... naik Grab.
Dari Pejabat balik ke rumah... naik motor.
5 jenis pengangkutan aku naik hari ni... isyak baru sampai rumah.. hihi.


08 September, 2019

Masuk rumah baru di tahun baru

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

1/9/19 bersamaan 1 Muharam 1441 Hijrah (Ahad)... tarikh yang cantik untuk berhijrah di tahun baru Hijrah. Hari ni kami sekeluarga berpindah ke rumah baru. Setelah 13 tahun tinggal di apartment, ada rezeki lebih sikit dapatlah beli rumah teres 2 tingkat dalam taman yang sama, tak jauh dari apartment lama.

Ada lah sikit tanah sekangkang kera... bolehlah nak bercucuk tanam pokok serai, pandan, kunyit, cili dan herba-herba lain sikit-sikit. Malas nak tanam pokok bunga, bukan boleh makan hasilnya, kecuali pokok herba berbunga yang berguna macam misai kucing, bunga telang biru dll. Cuba juga tanam beberapa pokok buah dalam pasu seperti mangga, longan, kundang madu, bidara epal & 4 jenis limau (kasturi, nipis, purut & lemon)... harapnya berbuahlah nanti. Kalau ada tanah luas sikit memang macam-macam aku nak tanam, silap-silap ketum pun aku tanam... memang jiwa peladang jaya nak buat macam mana.

(gambar update selepas 4-5 bulan berpindah)

Rumah apartment lama tu aku sewakan aje... belum sempat diiklankan dah ada yang bertanya nak sewa.. Alhamdulillah.

Baca : Amalan masuk rumah baru

30 August, 2019

Bola : Kembali dari Persaraan

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Akhirnya kembali beraksi main bola padang setelah lama tak beraksi. Itupun cuma untuk mencukupkan kuota pemain veteran je..

Liga KPPA@Cyberjaya :
28 Jun - DOSM FC 0-1 MAKSAK
5 Julai - DOSM FC 0-2 Kementerian Pengangkutan (MOT) FC


Liga MAKSWIP 11 Sebelah@Presint 8 Putrajaya :
13 Julai - DOSM FC 1-1 Kementerian Kesihatan (KKM)
               DOSM FC 0-1 IMIGRESEN FC
               DOSM FC 1-0 Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB)



Perlawanan Persahabatan :
30 Ogos - DOSM POG FC 0-4 Red Giants FC


Lutut pun dah berapa kuat tak bolehlah nak beraksi seperti dulu-dulu... main pun sekejap je agak-agak pancit aku keluar le.. hihi.


18 August, 2019

Memancing di Kelong Berkat Samudera 2.0

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Baca : Memancing di Kelong Berkat Samudera 1.0

Kali ni bawa Along mancing bersama.. kebetulan pulak trip kali ni cuti sekolah.

Perjalanan : dari jeti nelayan Kg. Banting, BNO ke kelong mengambil masa sekitar 20 minit. Dekat jeti air agak cetek dan berlumpur, kena tunggu air pasang barulah bot boleh bergerak. Ombak kuat masa ni. Naik kira-kira jam 5.30 pm dan balik keesokan harinya sekitar waktu yang sama.

Harga : kalau ambik pakej satu kelong 24 jam RM500 untuk 12 orang....  atau RM350 untuk 6 orang. Termasuk keperluan dapur seperti gas, beras, minyak masak, dan gula. Umpan, ais dan makanan lain bawa sendiri. Pertanyaan & tempahan boleh hubungi Nazrul@Ayun; 013-698 7132

Kemudahan : 1 bilik kecik untuk tidur dan solat, tandas, dapur dengan peralatan masak dan bekalan elektrik dari bateri (malam sahaja). Kelebihan guna bateri suasana tak bising berbanding pakai genset. Diingatkan tiada plug untuk mengecas hp ye... jadi bawalah powerbank sendiri siap-siap. Keluasan kelong agak besar, memang selesa memancing.

Makan : makan malam tapau je siap-siap sebelum naik bot. Supper dengan maggi. Sarapan esoknya ringan-ringan je dengan cekodok & roti cicah sardin. Untuk makan tengah hari masak special sikit; asam pedas ikan duri, gelama goreng dengan telur dadar... berselera betul makan berjemaah atas kelong.

Cuaca : Alhamdulillah cuaca baik , cuma angin agak kuat. Esoknya pulak cuaca panas, kalau pakai baju lengan pendek rentunglah jawabnya. Air agak laju juga masa ni.. tapi guna batu ladung no. 6/7/8 pun dah ok.

Umpan : sotong kurita hidup, udang hidup, udang pasar dan juga perumpun. Kalau umpan habis boleh cari umpan anak ikan bilis guna apollo kat bawah kelong. Umpan udang hidup kurang laku di sini. Nak umpan kurita boleh cuba hubungi Umpan Kurita Pasir Panjang, Sekinchan; 012-976 5336


~ Hasil : Alhamdulillah... hasil terbesar kali ni pari 8 kg... tahniah Ijat dapat lesen pari. Aku pulak dapat pari 5 kg. Along pulak baru belajar mancing.. bagi main rod kecik je untuk layan ikan duri & gelama. Ikan lain tuka dan tetanda je tapi tak banyak. Lepaslah nak buat lauk 2-3 hari, memang sedap dan manis rasa ikan segar yang belum kena bahan pengawet. Tak ketinggalan masuk senarai adalah si buntal tapi terpaksa la dicampak balik ke laut. Lain kali insya Allah kita repeat kelong ni.


27 July, 2019

Kembara WSC @ Sg Chiling

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

27 Julai 2019 (Sabtu)- Bawa Aina pergi hiking bersama rakan-rakan sepejabat ke Santuari Ikan Sungai Chiling, Kuala Kubu Baru, Selangor. Ada acara simbolik penyerahan bendera kembara kepada HQ Shah Alam.



01 May, 2019

Futsal Tertutup DOSM Selangor 2019

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

1 Mei 2019 (Rabu) - Kejohanan Futsal Tertutup DOSM Selangor telah dianjurkan bertempat di Frenzy Sports Arena, Seksyen 16, Shah Alam.

Setiap seksyen dan pejabat operasi jabatan aku telah menghantar satu pasukan untuk menyertai kejohanan futsal ni. Kejohanan dijalankan secara liga sepusingan, di mana setiap pasukan bermain sebanyak 5 perlawanan, diikuti dengan 1 perlawanan penentuan kedudukan.


Bermain untuk team juara bertahan 3x berturut-turut, tahun ni sekali lagi berjaya ke final. Dalam final yang mendebarkan, hampir saja mempertahankan kejuaraan kerana dah mendahului 2-1 ketika game tinggal beberapa saat nak habis, namun kelekaan saat akhir menyaksikan team lawan berjaya menjaringkan gol penyamaan dan juara terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti. Aku pulak jadi punca kekalahan penalti tak masuk..huhu. Takpelah tahun ni rezeki kami cuma naib juara je.


01 April, 2019

Angah@ Kem Aku Anak Hebat 8.0

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


Dua tahun lepas, Angah pernah menghadiri kem motivasi ni. Barangkali merasakan diri belum cukup hebat, tahun ni dia nak pergi lagi kem ni. Kali ni kem 3 hari  2 malam ni diadakan dari 29-31 Mac 2019 di Kem 25 RAMD Bentong... wah, ada latihan ala tentera ni kot.

Objektif Utama Kem Motivasi ini adalah :
1. Membentuk semangat setiakawan dan kerjasama berkumpulan
2. Membina sahsiah dan keyakinan diri.
3. Membentuk jati diri jitu.

Antara aktivitinya : Ikhtiar hidup, latihan jasmani, night walk, pengucapan awam, jungle trekking, teori pertolongan cemas, kawad kaki, dapur kita - belajar memasak, sukaneka, qiyamullail, tazkirah & solat berjemaah.



Begitulah padatnya aktiviti sepanjang 3 hari 2 malam. Penat tapi seronok kata Angah. Semoga Angah menjadi anak yang hebat. Dah dua kali pergi ni kalau tak hebat lagi tak tau laa.


03 March, 2019

Memancing di perairan Pulau Angsa & Pulau Ketam 2.0

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Trip memancing kali ni repeat di tempat yang sama hari tu... jalan cerita pun lebih kurang sama, ahli pun yang sama, cuma kali ni tambah seorang lagi sahabat yang hari tu tak dapat turut serta.


~ Hasil yang diperolehi kali ni antaranya tetanda, bolos, duri, gelama dan tak ketinggalan si buntal.... Alhamdulillah dikurniakan rezeki yang boleh tahan juga walaupun kali ni tak banyak ikan besar... dan ada ketikanya sampai terlelap kami menunggu ikan meragut umpan...

~ Lepas ni cadang nak berehat seketika dari aktiviti hanyir ni, nak menguruskan dan menyesuaikan diri dengan kehidupan baru di tempat baru, insya Allah.

02 March, 2019

Futsal Tertutup POG 2019

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


~ Gambar-gambar di atas tu masa kejohanan futsal dengan rakan-rakan sepejabat. Sementara tengah ramai anggota sambilan ni bolehlah dapat 5 team. Bukan mudah mengerah kudrat bermain menentang anak-anak buah yang lebih muda yang laju lagi padu... mencungap pakcik wehh. Apapun secara tak sengaja dapat juga merasa bergelar naib juara... hehe.


10 February, 2019

Taman Alam Kuala Selangor & Faridah Mentarang Bakar

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Hujung minggu... selepas bersarapan di luar, pandu punya pandu punya pandu tanpa dirancang tetiba kami sampai di pintu masuk Taman Alam Kuala Selangor. Alang-alang sampai kami masuklah. Dari pintu masuk kami trekking menyusuri denai hutan dan pelantar kayu dalam hutan paya bakau sejauh 3.5 km pergi balik. Apa ada di sini? Malas nak cerita, klik je link kat atas tu.

~ Selesai menjelajah hutan menjelang tengah hari, tetiba perut pulak buat hal. Bukan sakit perut tapi lapar. Pandu punya pandu punya pandu menghala ke Sekinchan tanpa dirancang tetiba kami sampai pulak di depan kedai Faridah Mentarang BakarAlang-alang sampai kami makanlah nasi lauk mentarang bakar, semilang asam pedas dan belut goreng kunyit. 



~ Perut dah kenyang, masa untuk balik. Nak balik kenalah rancang, tak bolehlah pandu punya pandu macam tadi, melencong ke mana-mana tak sampai rumah pulak nanti, hehe.


14 January, 2019

Memancing di perairan Pulau Angsa & Pulau Ketam

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Trip memancing kali ni di sekitar perairan Pulau Angsa dan Pulau Ketam. Kami berlima naik bot dari Jeti Sementa, Kelang. Pakej memancing pagi sampai petang bersama tekong Iwan, RM500 satu bot, siap umpan hidup dan ais.

~ Umpan yang dibekalkan adalah sotong kurita, udang lipan dan udang hidup. Kalau nak guna umpan lain seperti pumpun atau udang pasar kenalah beli sendiri.


~ Mula-mula kami dibawa memancing di perairan berdekatan Pulau Angsa. Kemudian berpindah randah hinggalah ke perairan Pulau Ketam dan lokasi berdekatan rumah rakit, sangkar ikan dan lokasi berdekatan Northport. Mujurlah dapat tekong yang rajin berpindah lokasi bila ikan dah kurang mengusik umpan.

~ Alhamdulillah tak mabuk sebab waktu kami pergi ni air mati, jadi laut tenang tak bergelora sangat.  Apahal pun sebelum naik bot kena telan juga ubat mabuk sebagai ikhtiar. Ubat mabuk biasa je cap Hurix (Travel-Care). Cuaca hari tu cerah dan panas. Struktur laut pun tak begitu dalam sangat, sekitar 10-15 meter lebih kurang.

~ Hasil yang diperolehi antaranya pari, jenahak, tetanda, tuka, semilang, bolos, baguk, gerut, duri, gelama dan tak ketinggalan si buntal.... Alhamdulillah dikurniakan rezeki yang agak lumayan juga.


12 January, 2019

Sekolah Sesi 2019

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Ini sekadar catatan persekolahan anak-anak.

Along : Sedar tak sedar tahun ni anak bujang aku ni dah tingkatan 3... dah membesar lebih tinggi dari ibunya. Tahun ni balik ke asrama lewat 2 minggu dari sekolah biasa sebab menunggu bangunan asrama baru dan kompleks pengajian yang baru dibina siap sepenuhnya... Kompleks maahadnya ada kemudahan serba lengkap tapi dalam suasana kampung yang lebih tenang. Semoga lebih bersemangat dalam belajar dan hafazannya.

Angah : Dah naik tingkatan 1 tahun ni... bersekolah sesi petang je. Dah tak sekolah agama ni pagi ada banyak masa terluang... bolehlah dipertanggungjawabkan untuk basuh baju sekolah sendiri... belajar berdikari macam Along. Tahun lepas sibuk dengan exam PSRA & UPSR, tahun ni bolehlah bertenang sikit. Keputusan PSRA; Angah dapat 2A dengan pangkat keseluruhannya Jayyid... kira baik juga tu walaupun tak capai tahap Mumtaz... tahniah Angah. Keputusan UPSR pulak, alhamdulillah lulus semua subjek walaupun takde A... tahniah Angah. UPSR je punnn... masih jauh lagi perjalanan hidup tu, tak berapa cemerlang dalam UPSR tak semestinya akan gagal dalam hidup... Bila dua orang anak dah masuk sekolah menengah ni, tetiba terasa makin tua pulak kih3.

Aina : Dah masuk tahun 4 anak dara ayah ni. Tahun ni Aina macam biasa bersekolah agama sesi pagi dan sekolah kebangsaan sesi petang. Tahun ni terpaksa hantar Aina ke taska transit lepas habis sekolah agama sebab ibunya dah tak boleh kerap sangat keluar pejabat ambik dan hantar anak-anak. Bos baru garang katanya.


Harapan ayah dan ibu semoga dipermudahkan segala urusan anak-anak dalam pelajaran. Yang penting jaga akhlak,  insya Allah berjaya dunia akhirat.

Sekian kisah 3 beradik kembali ke sekolah.

P/S - Tahun ni dah boleh pakai kasut sekolah warna hitam... memang sangat memudahkan sebab tak perlu kerap basuh (dah masuk 2 minggu sekolah pun masih tak kotor). 4-5 tahun lepas masa anak-anak kecik lagi dan kasut sekolah diorang bapaknya ni tolong basuhkan, aku pernah hantar cadangan kat FB Menteri Pendidikan yang dulu agar dipertimbangkan tukar kasut kepada warna hitam. Walaupun mungkin cadangan aku masa tu dibakulsampahkan tapi alhamdulillah zaman menteri baru ni cadangan aku terlaksana akhirnya... heheh.


05 January, 2019

Berkelah di Air Terjun Serendah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Sekolah dah buka, tapi Along masih bercuti sampai minggu depan sebab maahadnya buka lambat sikit berbanding sekolah biasa. Jadi sementara cukup korum ni, bawa anak-anak berkelah lagi, kali ni di Air Terjun Serendah pula.

~ Air terjun ni jaraknya cuma kira-kira 4 km dari simpang lampu isyarat Kg. Dato' Harun, Serendah. Kena lalu Kg Orang Asli dan Pusat Serenti Serendah. Sekarang dah ada apps Waze tak payah cerita banyaklah kot pasal arah nak ke sini.

~ Kami keluar awal pagi. Tak jauh sebelum sampai air terjun, akan jumpa Kolam Pancing Mando di sebelah kiri. Memang dah rancang nak singgah memancing, hajatnya nak bagi peluang anak-anak merasa tarik ikan besar. Sempatlah bancuh umpan dedak perisa strawberi semalam. Memancing 3 jam kena bayar RM35 satu joran. Persekitaran kolam bersih dan cantik, disediakan juga pondok-pondok kecil lengkap dengan kipas. Namun rezeki tak menyebelahi, membangaulah kami selama 3 jam tu termasuk 3-4 orang pemancing lain termenung tak dapat ikan. Padahal banyak je ikan berjoget-joget di tengah kolam. Cuma ada sorang pakcik tu yang dapat naikkan 2 ekor patin. Mungkin umpan kami tak menepati citarasa ikan-ikan di sini.

~ Kecewa memancing, kami ke air terjun pulak. Bayaran masuk cuma RM1 je untuk satu kereta. Di sini ada gerai makanan, surau, tapak perkhemahan yang luas, taman permainan kanak-kanak, pondok rehat serta tandas yang bersih. Di depan air terjun ada 3 pondok batu yang sentiasa lembab kena percikan air terjun... siapa cepat dia dapat.


~ Air terjunnya jernih, sejuk dan menyegarkan. Walaupun rendah je tapi deras airnya terutama di bawah air terjun yang katanya ada pusaran air. Terdapat juga tempat cetek yang sesuai untuk kanak-kanak tapi kena sentiasa perhatikan supaya tak pergi ke tempat yang agak dalam. Khabarnya pernah juga berlaku kes kematian di sini akibat kejadian kepala air. Jadi sentiasalah peka dengan keadaan cuaca... agak-agak nampak cuaca gelap atau hujan tu cepat-cepatlah naik.

~ Waktu kami di sini alhamdulillah cuaca baik... dapatlah anak-anak mandi-manda puas-puas sebelum berangkat balik menjelang jam 3.00 pm.


01 January, 2019

Selamat datang Nine

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Memperkenalkan... ahli keluarga baru kami... anak kucing betina yang baru dipungut dari kampung di Pahang.

~ Sebab asal dari Pahang, dan sebab dia kucing betina... kita bagilah nama dia Nine (sebutannya Ni-Ner), sempena nama anak tok lebai dalam lagu Makwe Koi... hehe.


~ Harapnya kehadiran Adik Nine dapatlah diterima dengan baik oleh Abang Oyen... wah makin obes nampaknya Abang Oyen sekarang ni.


Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...