PTT Outdoor
Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

10 May, 2018

Alkisah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ 9 Mei 2018 (Rabu) - PRU ke-14 kali ni aku dan Orang Rumah dah tukar tempat mengundi di kawasan tempat bermastautin. Dah tak perlu pening nak balik mengundi di kampung dan terjebak dalam kesesakan jalan raya. Bagi aku kalau dah bermastautin dan dah ada alamat tetap di tempat lain, bawa-bawalah tukar alamat di IC dan tukar sekali tempat mengundi. Biarlah orang kampung sendiri yang memilih pemimpin yang mereka suka, tak perlu orang luar tolong pilihkan, mereka mungkin tak faham kehendak dan situasi sebenar penduduk tempatan.

~ Entah apa yang difikirkan oleh orang yang pilih dan tetapkan hari pertengahan minggu iaitu hari Rabu sebagai tarikh pilihan raya kali ni. Dikata bangang nanti marah pulak. Tapi memang menyusahkan bagi orang yang balik mengundi jauh di kampung. Mujur la pihak yang menang isytiharkan cuti tambahan.

~ PRU kali ni nampak lain macam betul semangat orang pelbagai lapisan umur keluar mengundi. Paling ketara golongan muda yang makin ramai keluar mengundi... nak tukar kerajaan katanya.. hihi. Akibatnya... punyalah panjang barisan orang beratur, terpaksa beratur 2 jam setengah baru dapat mengundi... aduii.

~ Dakwat kekal di jari kali ni bertahan lama sampai lebih 2 minggu, tak macam dakwat masa PRU-13 yang lalu, basuh dengan sabun biasa pun boleh hilang.

betul tu ... (kalau tak dipandang dari sudut politik)
~ Keputusannya, semua dah tau. Buat julung-julung kalinya kerajaan BN yang dah memerintah selama lebih 60 tahun akhirnya tumbang dan bertukar jadi pembangkang. Bagi pengundi atas pagar macam aku, elok juga jatuh kali ni... biar tersedar dari lena bahawa kuasa di tangan rakyat. Kepercayaan rakyat terhakis bila banyak sangat kisah penyelewengan semasa memerintah. Rakyat inginkan kerajaan yang mentadbir secara lebih adil, telus, tidak korup serta tidak berdasarkan perkauman melampau. Sebagai pihak yang kalah, ini masanya untuk jadi pembangkang yang baik. Yang tak betul ditegur dan cadangkan jalan penyelesaian. Yang betul dan elok walaupun dibuat oleh pihak lawan sewajarnya dipuji... janganlah semua benda nak dibangkang je.

~ Kerajaan PH yang dah menang, cukup-cukuplah tu berpolitik. Jangan dipersiakan kepercayaan dan amanah yang diberi oleh rakyat. Buktikan kerajaan baru ni lebih baik dari yang lama. Agak-agak sama je lebih kurang, rakyat takkan teragak-agak tukar balik kerajaan 5 tahun akan datang.



10 May, 2013

Alkisah PRU-13

SEBELUM MENGUNDI :

~ Hari Sabtu nak balik kampung tu, kereta pulak meragam... bateri kong! Terbang juga RM200++. Rupanya dah lebih 4 tahun hayat bateri tu... gila power. Memang dah sampai masa diganti.

~ Sempat hadir majlis kenduri kahwin sahabat bini aku, petang Sabtu baru balik kampung. Mujur jalan tak berapa jem sebab sek-sek Kelate & Ganu dah balik lebih awal. Di tol Gombak, puak-puak PR memeriahkan suasana dengan 'flashmob'nya.


SEMASA MENGUNDI :

~ Ahad, 5/5/2013, 9.00 pagi; keluar rumah dengan semangat berkobar-kobar untuk memangkah. Sampai di tempat mengundi, cari saluran 4, punyalah panjang barisan orang beratur, dekat 2 jam baru dapat mengundi. Suratkhabar yang aku beli pun dah habis setiap mukasurat aku baca sepanjang masa beratur tu.

PRU kali ni nampak semangat betul orang keluar mengundi. Sama ada Ini Kali lah atau Lain Kali lah, mahu Ubah atau Kekal, semua ada pilihan masing-masing. Aku mengundi untuk P.088 dan N.31.


SELEPAS MENGUNDI :

~ Esoknya telah diisytiharkan cuti umum oleh kerajaan (sementara) Selangor. Petang lepas mengundi aku terus balik KL... tak nak terlibat dalam jem kalau balik esok.

~ Dakwat kekal yang dijanjikan akan mampu bertahan sekurang-kurangnya 3 hari nampaknya hanya mampu bertahan sampai menjelang malam. Kekal la sangat! Itu baru kena air dan sabun biasa je tu.

~ Keputusan di kawasan tempat aku mengundi:

PARLIMEN P.088 TEMERLOH
Nasrudin Hassan Tantawi (PAS) - 28267 undi, menewaskan Dato' Saifuddin Abdullah (BN) - 27197 undi. Majoriti : 1070

DUN N.30 MENTAKAB
Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji (DAP) - 7882 undi, menewaskan Chuah Boon Seong (BN) - 6328 undi. Majoriti : 1554

DUN N.31 LANCHANG
Dato' Mohd Sharkar Shamsudin (BN) - 10393 undi menewaskan Ahmad Nizam Hamid (PKR) - 9266 undi. Majoriti : 1127

DUN N.32 KUALA SEMANTAN
Syed Hamid Syed Mohamed (PAS) - 12101 undi menewaskan Mohammad Anuar Mohd. Yunus (BN) - 9416 undi. Majoriti : 2685

~ Keputusan di Parlimen; BN menang 133 kerusi manakala PR mengumpul 89 (DAP:38, PKR:30, PAS:21), menambah 7 kerusi berbanding PRU-12. BN membentuk kerajaan pusat hanya dengan majoriti mudah.

~ Di peringkat negeri, PR kehilangan Kedah tapi kekal menguasai tiga lagi negeri - Selangor, Penang dan Kelantan semuanya menang majoriti lebih 2/3.

~ Walaupun menang, BN tak dapat 2/3 majoriti di Perak, Terengganu, Kedah & N.Sembilan.

~ 4 orang menteri kabinet, 3 timbalan menteri dan 2 menteri besar tewas.

~ P.89 Bentong; BN menang tipis dengan majoriti cuma 379 undi. Kempunan aku nak tengok orang kena potong telinga lepas terjun sungai... haha!

~ Pihak BN terus mengaitkan kemenangan tipis mereka disebabkan 'Tsunami Cina'. Orang Cina yang beralih menyokong pembangkang dianggap pengkhianat dan tak mengenang budi. Tak habis-habis dengan politik perkauman dan tak sudah-sudah mengungkit mintak jasa dikenang. Tak sedar ke bahawa mereka berpeluang membuat jasa sebab rakyat yang memilih mereka?

~ Pihak PR pulak terus mengaitkan kekalahan tipis mereka di beberapa tempat disebabkan ada unsur-unsur penipuan, pengundi hantu serta meragui ketelusan SPR. Kalau itu yang mereka percaya dan ada bukti kukuh, silalah buat bantahan melalui saluran yang betul. Kalau keputusan muktamad tak memihak mereka... silalah redha memang itu dah ditakdirkan, cukup-cukuplah membantah dan mulakanlah kerja jadi pembangkang yang baik.

sumber: FB... untuk renungan bersama

PANDANGAN AKU :

~ Pengaruh PR yang makin meningkat bukanlah semata-mata disebabkan tsunami Cina, tapi tsunami rakyat Malaysia yang inginkan perubahan. Bagi aku ini disebabkan:
  • Kesedaran politik rakyat tak kira bangsa semakin meningkat. Mereka inginkan kerajaan yang mentadbir secara lebih adil, telus, tidak korup serta tidak berdasarkan perkauman melampau. Ciri-ciri tu mereka tak nampak diamalkan oleh kerajaan BN sekarang walaupun kerajaan BN diterajui Tok Jib memperkenalkan macam-macam dasar transformasi terutama dengan program-program 1Malaysianya. 
  • BN kalah teruk di banyak kawasan bandar. Aku rasa ramai rakyat yang tinggal di bandar dan tertekan dengan kos sara hidup yang makin tinggi sikit sebanyak terpengaruh juga dengan manifesto PR yang berjanji untuk menurunkan kos sara hidup rakyat. Mereka tak heran dengan BR1M yang cuma dapat sekali selonggok tu sebaliknya lebih tertarik dengan manfaat yang dapat dinikmati secara berterusan seperti janji untuk turunkan harga kereta dan harga minyak, hapuskan tol, saman AES dan PTPTN, air percuma, pendidikan percuma dll.

betul tu ... (kalau tak fikir dari segi politik)

~ Kepada semua pihak, cukup-cukuplah tu berpolitik. Kepada yang menang, ini masa untuk menjalankan amanah yang telah rakyat beri. Kepada pihak yang kalah, ini masanya untuk jadi pembangkang yang baik. Yang tak betul ditegur dan cadangkan jalan penyelesaian. Yang betul dan elok walaupun dibuat oleh pihak lawan sewajarnya dipuji. janganlah semua benda nak dibangkang je.

~ Kepada tuan punya blog ni, cukuplah 2 entri ni je cerita pasal politik. Syok sendiri je lebih. Kau ingat kau bagus sangat ke sampai nak jadi penganalisis politik? Kalau nak buat entri pasal politik juga, tunggulah 5 tahun lagi kalau panjang umur. Haha!

02 May, 2013

Menjelang PRU-13: Pandangan Dari Atas Pagar!

Hari ini dalam sejarah... sebuah entri pertama dalam blog ini berkenaan politik...

~ Aku berasal dari Pahang, tinggal dan cari makan di Selangor. Terus terang, aku tak begitu minat dunia politik.. . sekadar jadi pemerhati...  sekadar mengambil tahu secara luaran tapi tak begitu mendalami. Nak cerita pasal politik pun tak pandai sebenarnya. Bagi aku politik lebih banyak menyebabkan perpecahan sesama manusia. Siapa pun yang memerintah sama saja. Setiap manusia ada baik buruknya, mana ada yang sempurna... begitu juga dengan orang politik tanpa mengira dari parti mana pun... baik Barisan mahupun Pakatan. (disebabkan sekarang ni belum ada kerajaan yang sah, hanya kerajaan sementara... biar aku sebutkan dua pihak ni sebagai Barisan dan Pakatan).

kredit : gambar dari FB, pemilik asal sila tuntut hakmilik dengan menyertakan link... :)

~ Maka aku memilih untuk menjadi golongan atas pagar. Aku percaya ramai lagi macam aku... dari rakyat marhain macam aku hinggalah golongan berpendidikan tinggi dan profesional. Ada yang kata golongan ni 'silent majority'. Ada yang kata golongan macam kami tak ada pendirian... macam lalang. Siapa cakap? Memilih untuk duduk atas pagar itulah pendirian kami. Dari atas pagar, aku dapat melihat dan menilai kebaikan dan keburukan kedua belah pihak secara lebih adil. Aku bebas untuk mengkritik mana yang salah dan memuji mana yang benar... tanpa perlu taksub atau menjaga kepentingan mana-mana pihak.

~ Aku menjadi pengundi berdaftar sebaik sahaja melepasi syarat umur  21 tahun. Pernah berpeluang menjadi kerani tempat mengundi pada PRU-10 tahun 1999, pilihanraya yang hangat dan panas selepas DSAI dipecat dari kerajaan. Aku dapat peluang tu sebab mengikut kawan aku yang jadi pengurus tempat mengundi. Sebagai petugas tempat mengundi, aku dijanjikan untuk mengundi secara pos, tapi sampai ke sudah tak dapat pun kertas undi pos tu.... Adakah ada tangan ghaib yang tolong pangkah untuk aku? Entahlah, tiada bukti untuk menuduh! Masa tu aku pun tak ambil tau sangat, janji dapat elaun! Haha!


Pandangan aku tentang Barisan:

~ Tak dapat dinafikan sebagai kerajaan yang telah memerintah selama lebih setengah abad, kerajaan ini sangat berpengalaman mentadbir dan dah banyak berjasa dalam memajukan negara. Di zaman PM baru ni pun, banyak pembaharuan diperkenalkan terutama dengan beratus-ratus program 1Malaysianya yang bagi aku secara teorinya memang bagus dan mesra rakyat. Tapi jasa-jasa itu bukanlah untuk diungkit dan dibangga-banggakan kerana memang itulah tanggungjawab sesebuah kerajaan kepada rakyatnya.

~ Walaupun dah banyak berjasa, bukan rahsia lagi  bahawa banyak juga penyelewengan berlaku yang aku perhatikan di sekeliling aku, malah para pemimpinnya makin angkuh dan bercakap besar bahawa hanya mereka yang mampu memerintah negara dengan baik. Menjelang PRU-13, beberapa pemimpin Barisan bercakap besar mendakwa lawan mereka bakal hilang wang pertaruhan. Malah MB negeri asal aku pun berani dan sanggup dipotong telinganya kemudian terjun sungai kalau Barisan kalah... bagi aku ini sangat memualkan!


Pandangan aku tentang Pakatan:

~Terus terang sejak kebelakangan ni hati aku lebih dekat dengan perjuangan menegakkan Islam. Cuma aku agak ragu-ragu dan masih samar dengan masalah ketidaksepakatan sesama mereka dalam beberapa isu dan sudah tentu isu moral para pemimpinnya seperti yang dituduh serta bukti-bukti video yang mereka dakwa fitnah tu... Dah jadi budaya orang Melayu Islam, jika berani bersumpah dengan nama Allah untuk melaknat diri sendiri, aku melihat dia di pihak yang benar... jadi apa nak takut bersumpah jika mereka di pihak yang benar? Kepada yang berani bersumpah, aku harap kebenaran akan ditunjukkan untuk mereka. Tapi kalau tak benar, semoga mereka dilaknati Allah kerana berani mempersendakan kekuasaan Allah.

~ Pihak Barisan sendiri mendakwa Pakatan tak akan mampu mentadbir negara. Ehh memanglah, sebab tak diberi peluang. Kalau aku tengok secara kasar pentadbiran kerajaan Pakatan di 4 negeri tu, tidaklah pulak sampai negeri-negeri tu hancur punah ditadbir mereka. Memanglah akan ada sikit sebanyak kekurangan sebab mana ada kerajaan di dunia ni yang sempurna.

~ Aku ada kawan di Penang dan Kedah, yang memilih untuk jadi golongan atas pagar juga. Menurut mereka keadaan sebenar taklah seteruk seperti yang digambarkan media pro-Barisan, malah dalam beberapa situasi lebih baik dan telus dari kerajaan sebelumnya. Contohnya pemberian kontrak dibuat secara tender terbuka...  jika cukup syarat, kontraktor yang sebelum ni diketahui pro-Barisan pun boleh dapat projek. Begitu juga di Penang misalnya, walaupun ditadbir oleh Cina, peruntukan untuk perbelanjaan menegakkan syiar Islam juga ditambah setiap tahun...  Apapun, itu hanyalah sekadar dengar-dengar cakap orang je, aku tak berada di tempat kejadian jadi aku memilih untuk tak ambil berat sangat.

~ Lagi baik aku cerita apa yang aku alami sendiri di Selangor ni. Tak perlulah aku  cerita pasal data-data ekonomi atau laporan audit negeri yang semakin baik... sebab bagi orang biasa, manalah nak faham sangat, mungkin itu sekadar dakwaan pemimpin yang cuma membentangkan data yang baik-baik atau ditokok tambah....

~ Lebih baik aku bagi contoh yang mudah; misalnya acara sambutan tahun baru masihi dan sambutan merdeka yang sebelum ini di bawah kerajaan lama lebih mesra maksiat dengan konsert di sana sini, tapi sejak kerajaan Pakatan memerintah... sambutan diisi dengan acara bercirikan Islam... serta menjemput penceramah terkenal. Majlis-majlis ilmu juga lebih subur di sana sini. Di masjid tempat aku ni, hari-hari ada majlis ilmu (bukan ceramah berunsur politik), antara nak pergi  dengan tak nak je. Aku yang pernah hidup di zaman jahiliah ni rasa sejuk je hati hidup dalam suasana macam ni. Begitu juga dengan bekalan air percuma walaupun manfaatnya tak sebesar mana (sebelum ni bil air rumah aku tak lebih RM10 pun), tapi itu bukti benda tu boleh dilaksanakan walaupun pada awalnya kerajaan sebelumnya mendakwa Selangor akan muflis jika bagi air percuma kepada rakyat.


Media: 

~ Setiap hari kita dihidangkan dengan laporan yang amat berat sebelah dan terlalu berlebihan. Media arus perdana yang pro- Barisan melaporkan segalanya indah-indah dan segalanya berjalan lancar di pihak Barisan manakala segala-galanya buruk dan busuk di pihak Pakatan. Begitu juga sebaliknya media pro-Pakatan akan melaporkan yang baik-baik sahaja di pihak mereka manakala pihak Barisan digambarkan sangat kotor lagi busuk. Sama juga dengan media sosial dan blog, jarang sekali yang bebas dan tidak memihak.

~ Alangkah indahnya kalau ada media yang melaporkan berita yang seimbang, adil dan benar. Setakat yang aku nampak, cuma sebuah akhbar yang melaporkan berita yang agak seimbang mengenai PRU-13 ni iaitu Sinar Harian. Kedua-dua belah pihak diberi ruang .. Tapi kalau dah masing-masing mengaku di pihak yang benar, keliru dan celaru juga kita jadinya. Akhirnya terpulang kepada kebijaksanaan masing-masing untuk menilai mana yang benar mana yang fitnah. Nak buat macam mana, kita hidup di akhir zaman di mana fitnah bermaharajalela. Kalau rasa tak berapa bijak, percayalah mana-mana pihak yang kita rasa betul kemudian berdoa dan berharaplah supaya apa/siapa yang kita percaya itu di pihak yang benar.


Lain-lain:

~ Bagi aku cara berkempen dengan mengibarkan beribu-ribu bendera dan poster di sepanjang jalan seperti yang diamalkan sekarang ni dah ketinggalan zaman dan membazir.... Kononnya nak bagi meriah la kot. Kalau poster besar yang menerangkan manifesto atau akujanji dan dipasang di tempat-tempat strategik tu aku boleh terima lagi. Tapi kalau bendera dan poster muka calon dipasang berderet rapat-rapat sepanjang jalan naik menyemak pulak. Aku tak pasti berapa juta agaknya diperuntukkan kedua-dua pihak untuk buat bendera dan poster ni. Kan lebih baik duit tu dibelanjakan untuk benda-benda yang lebih berfaedah. Pulak tu ada yang sampai bergaduh rebut kawasan nak pasang bendera dan poster.. ada yang mati jatuh pokok... Baru-baru ni ada yang mati tercucuk buluh bendera kat leher... tak pasal-pasal orang lain jadi mangsa.

~ Pada 6 Mei, jika pihak Barisan diberi peluang kekal mentadbir negara 5 tahun lagi... situasi akan kekal seperti biasa dan mungkin lebih baik. Jika Pakatan pulak yang dipilih rakyat, tak semestinya negara akan hancur seperti yang digembar-gemburkan. Takkanlah orang dalam Pakatan terlalu bodoh dan bengap sampai nak menghancurkan negara dan menyusahkan rakyat. Bagi aku tak salah nak tukar kerajaan. Bila ada situasi kerajaan boleh ditukar, maka kerajaan yang dipilih pastinya akan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat sebab takut dijatuhkan. Kalau kerajaan yang dipilih menyusahkan rakyat, kita tarik balik sokongan kita dalam pilihanraya akan datang.

~ Ehh panjang pulak cerita pasal politik ni... itu cuma pandangan aku berdasarkan realiti yang aku nampak... setiap orang ada pandangan masing-masing, dan tak salah pun kalau berbeza pendapat.

~ Akhir kata selamat mengundi. Tak tau nak undi calon mana? Sila solat istikharah! Kemudian sama-samalah kita berdoa calon yang kita pilih adalah calon yang tepat dan boleh membawa ke arah kebaikan. Semoga PRU-13 ni berjalan lancar, harap semuanya berfikiran matang... tak perlu timbulkan kekecohan dan kacau-bilau.

kredit: azriff.com

~ Aku dah ada calon yang aku nak pangkah (pastinya bukan tiga orang kat atas tu)... tapi masih 50/50. Kepada tukang kempen dan perayu undi dari pihak Barisan dan Pakatan, anda masih berpeluang untuk mendapat 1 undi berharga dari aku. Marilah berkempen dan pujuk aku dengan lemah lembut... lagi bagus kalau bawak buah tangan... hahaha!

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...