Seminggu lagi menjelang trip hardcore mendaki Gunung Chamah & Ulu Sepat, hanya sempat jogging dua kali dan training di Gunung Angsi, Negeri Sembilan (ketinggian 825 meter/2076 kaki). Bersama-sama Along, Angah, Kecik, Faliq & Jiha carpool sekereta, kami mendaki ikut trek dari kawasan perkelahan Hutan Lipur Ulu Bendul yang jaraknya ke puncak sejauh lebih kurang 6km. Kalau ikut satu laluan lagi dari Bukit Putus, jarak perjalanan kurang separuh iaitu kira-kira 3km. Dah alang2 nak training baik ikut yang jauh terus.
Kami mula mendaki dengan santai pada jam 10.00 pagi menyusuri trek yang agak landai di tepi sungai. Selepas kira2 sejam kami sampai di Kem Tangga Batu (atau nama glamernya Jeram Kak Lang...). Dari sini kena lintas sungai dua kali. Bila jumpa marking '60 minit ke puncak' barulah trek agak mencanak. Si Angah tiada masalah cuma si Along seperti biasa perlu diberi banyak kata2 perangsang... almaklumlah badan makin subur.
Tak berapa jauh dari puncak kami terpaksa melalui Bukit Botak, kawasan tebing yang licin dan curam... mujurlah ada disediakan tali utk memanjatnya. Kami sampai di puncak hampir jam 2.00 petang. Hanya ada 5-6 orang pendaki lain yg kami jumpa di puncak. Berehat sebentar di puncak sambil menikmati bihun goreng dan cempedak goreng yang dimasak oleh ibu mereka subuh2 tadi.
Jam 2.30 petang kami turun semula. Ketika dah nak hampir sampai, hujan turun agak lebat. Sempat mandi sungai sekejap membersihkan diri. Lepas tu lepak makan di Medan Selera Hutan Lipur Ulu Bendul. Lepas maghrib baru bergerak balik KL.
Alhamdulillah, tamatlah trip latihan di Gunung Angsi. Tahniah buat Along & Angah.


