PTT Outdoor
Showing posts with label Takziah. Show all posts
Showing posts with label Takziah. Show all posts

31 December, 2016

Catatan Perjalanan Oktober - Disember 2016

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Lama juga tak jenguk blog ni disebabkan kesibukan kerja yang melampaui batas menjelang hujung tahun... sampaikan beberapa hari terpaksa bermalam di pejabat. Dah lama tak menulis malaspun melanda. Jadi aku longgokkan saja dalam satu entri secara suku tahunan beberapa peristiwa penting dalam hidup aku sekeluarga.

5 Oktober 2016 (Rabu) : Along ada lawatan sekolah ke Legoland, sempena meraikan kemerdekaan baru habis UPSR. Nak pergi sekeluarga tak berapa mampu, bagilah dia pergi dengan kawan-kawan sekolahnya, guna baki simpanan duit rayanya dan kami cuma perlu tambah sikit duit belanja je.


20-22 Oktober 2016 (Khamis-Sabtu) : Menghadiri sesi taklimat & review pasal kerja di Hotel DePalma, Kuala Selangor. Hari kedua, roommate terpaksa balik kerana ada hal yang tak dapat dielakkan. Daripada aku duduk sorang-sorang baik angkut anak bini datang sini, dapat juga anak-anak mandi kolam. Balik wajib singgah Bukit Melawati menziarahi lotong-lotong di sana.


9 November 2016 (Rabu): Angah pulak ada lawatan ke A Famosa Water Theme Park, Melaka. 
Tak bawa handphone jadi takde la gambar.

15-17 November 2016 (Selasa-Khamis) : Aina terpaksa bermalam kat wad selama 2 malam. Bermula dengan demam & selsema, masuk hari ketiga pernafasan makin pendek-pendek. Doc sahkan kena jangkitan kuman kat paru-paru, 2 hari berterusan kena masuk gas. Malam pertama ayah jaga, malam kedua ibunya pulak temankan. Alhamdulillah hari ketiga dah beransur sembuh dan boleh keluar hospital.


17 November 2016 (Khamis) : Keputusan UPSR Along dah keluar. Cuma ayah dapat temankan Along ambik result, ibunya masih kat wad jaga Aina. Alhamdulillah, Along dapat 2A 1B 3C. Kira ok lah tu, ada juga A-nya. Tahniah Along. Tapi dengar khabarnya 1 Malaysia ramai cikgu, mak bapak dan pelajar yang meroyan pasal keputusan UPSR merosot selepas diperkenalkan format baru. Rilek la, UPSR je punnn... masih jauh lagi perjalanan hidup anak-anak tu. Tak cemerlang dalam UPSR tak semestinya akan gagal dalam hidup.

Keputusan PSRA kat sekolah agama pun ok lah juga. Pangkat keseluruhannya Jayyid... kira baik juga tu walaupun tak capai tahap Mumtaz.


19 November 2016 (Sabtu) : Selamat hari jadi Aina yang ke 7 tahun... sambut secara sederhana kat rumah je. Alhamdulillah mujur dah keluar wad. Semoga membesar dengan sihat menjadi anak yg solehah, penyejuk mata ayah dan ibu.


25-26 November 2016 (Sabtu-Ahad) : Balik Ipoh menziarahi pak mertua yang kini terlantar di wad, disahkan kanser hati tahap 4. Semoga Apak diberi kekuatan dan kesabaran menghadapi ujian ini.


4 Disember 2016 (Ahad) : Cadangnya nak balik Ipoh lagi minggu ni menziarahi pak mertua, tapi dikhabarkan esok (Isnin) anak-anaknya nak bawa apak berubat di KL, jadi kami tunggu ziarah kat KL je lah. Jadi kami tukar plan pergi melawat pameran MAHA kat Serdang. Dah beberapa tahun dianjurkan, baru kali ni rasa nak pergi. Tak banyak gerai yang kami singgah... orang penuh sesak, cuaca panas terik, pening dan serabut dibuatnya... kena menapak jauh pulak tu dari tempat parking... rasanya ni pertama dan terakhir kot melawat MAHA ni...


6 Disember 2016 (Selasa) : Semalam pak mertuaku tak jadi dibawa berubat ke KL, dia sendiri yang taknak pergi berubat jauh-jauh. Pagi ni dapat berita apak dah nazak. Kira-kira jam 11.00 pagi, apak menghembuskan nafas terakhir pada usia 81 tahun (1935-2016) ketika kami masih dalam perjalanan balik ke Ipoh. Dikebumikan petang tu juga selepas solat asar. Innalillahi wainna ilaihi raaji'uun. Semoga roh apak dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan di kalangan orang beriman. Al-Fatihah.


13-14 Disember 2016 (Selasa -Rabu): Bercuti 2H 1M di Genting Highland yang dah ditempah sebulan sebelumnya. Tujuan utama  demi memenuhi permintaan Along yang nak tengok pertunjukan Ultraman Live @ Genting... sebagai kenangan terakhir menutup zaman kanak-kanaknya... katanya la.  Lagipun tak lama lagi dah nak masuk asrama berpisah dengan keluarga. Oklah layankan saja setakat yang ayah dan ibu termampu...


21 Disember 2016 (Rabu) : Hantar dua ekor kucing kami, Oyen & Taro ke klinik untuk disunatkan (dikasi). Sebagai kucing jantan yang dah meningkat dewasa, si Oyen nampaknya dah mula memancut dalam rumah merata-merata untuk menanda kawasan jajahan takluknya. Orang kata lepas dikasi ni kucing jantan tak memancut dah... harapnya betullah. Dah alang-alang ke klinik baik bawa Taro sekali jalan.

Selamat hari jadi Angah yang ke 10 tahun... Semoga membesar dengan sihat menjadi
anak yg soleh, penyejuk mata ayah dan ibu.


Sekian adanya, selamat tahun baru 2017.


19 August, 2014

Al-fatihah buat Mokde

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Salam takziah buat sepupu-sepupuku di atas pemergian Mokde (23.11.1949-18.08.2014). Setelah lama menderita sakit, semoga arwah tenang di sana. Al-fatihah.

 "Tiap-tiap yang bernyawa akan merasakan mati.
Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan." - (Ali Imran:185).

20 September, 2013

Al-Fatihah...selamat jalan Abah

KUANTAN, 19 Sept (Bernama) -- Seorang warga emas Yeo Ah Lark @ Ahmad bin Abdullah, 71, meninggal dunia selepas dirempuh sebuah motosikal ketika melintas jalan di Km 157, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Temerloh malam tadi. 
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian pada 10.40 malam itu, warga emas yang tinggal di Taman Lanchang Indah, Temerloh berkenaan menyeberangi jalan untuk ke kedai makan. 
"Pada masa yang sama, penunggang motosikal terbabit, Mohamad Solehin Mohd Rezal, 17, yang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.
"Mangsa yang parah di badan itu dikejarkan ke Klinik Kesihatan Lanchang untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia sejurus kemudian," katanya.
Mohamed Fauzi berkata Mohamad Solehin turut mengalami kecederaan parah akibat nahas terbabit dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Katanya kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA

Innalillahi wainna ilaihi raajiuun. Semoga roh arwah abah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan di kalangan orang beriman. Aamiin.


18 October, 2012

Kelebihan meninggal dunia di Mekah

~ Buka email pagi ni, dapat berita mengejutkan, seorang rakan sekerja telah kembali ke rahmatullah, bukan sebarang tempat tapi di tanah suci Makkah. Serta merta terkenang keseriusan beliau meng'query kami pasal salah isi borang. Selamat jalan Rohana bt Darus aka Kak Yong. Semoga ditempatkan di kalangan orang-orang yang dirahmati dan diredhaiNya.

Innalillahi wainna ilaihi raaji'uun...
Al-Fatihah.

KELEBIHAN MENINGGAL DUNIA DI MAKKAH

Lazimnya jika seseorang meninggal dunia di Makkah, sudah tentu jenazahnya tidak akan dibawa pulang ke tanah air masing-masing. Sebaliknya terus dikebumikan di tanah suci Makkah. Bolehlah dianggap ini sebagai satu peluang yang Allah SWT berikan kepada kita untuk disemadikan di Makkah.
Kebiasaannya rakyat Malaysia yang meninggal dunia di Makkah, adalah sewaktu mereka sedang mengerjakan ibadah umrah atau ibadah haji. Beginilah ‘perjalanan’ yang perlu anda lalui sekiranya anda meninggal dunia di Makkah. Di sini, anda disemadikan tanpa batu nisan, memungkinkan tiada ahli keluarga yang dapat menziarahi anda di kemudian hari di sebabkan lokasi kubur anda tidak diketahui.
Bolehkah kita bercita-cita untuk mati di Makkah atau Madinah?

Dalam sebuah hadith Nabi SAW ada disebut:
Maksudnya: “Barangsiapa yang mampu untuk mati di Madinah maka lakukanlah. Sesungguhnya aku akan memberi syafaat kepada sesiapa yang mati di sana.”
(riwayat Ahmad dan At-Tirmizi)

Menurut riwayat al-Tabarani, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
“Sesiapa antara kamu yang mungkin mampu untuk meninggal dunia di Madinah, meninggallah di sana.
Sesungguhnya sesiapa yang meninggal dunia di sana, aku menjadi saksi atau pemberi syafaah kepadanya pada hari kiamat.”
(Sabiq, 2000: I: 522-24)

Ini menunjukkan satu perkara yang diharuskan oleh Islam, di mana ulama telah meng-istinbat (mengeluarkan) hukum dari hadith tersebut seperti yang dijelaskan oleh Al-Imam An-Nawawi, Ibnu Hajar dan lain-lain bahawasanya HARUS untuk berniat untuk mati di tempat yang baik dan dalam keadaan yang baik.

Apatah lagi di Madinatul Munawwarah, ganjarannya sangat jelas iaitu Nabi akan memberi syafaat.
Jadi kita berdoa kepada ALLAH SWT agar kita mati di dalam keadaan yang baik dan di tempat (Makkah,Madinah) yang baik. Semoga kita termasuk di kalangan yang bernasib baik di beri peluang untuk disemadikan di tanah suci Makkah atau Madinah...Aamiin.

Sumber: Perkongsian FB Ustaz Nasir



19 September, 2010

Al-Fatihah untuk Allahyarham M.Rajoli


Innalillahi wainna ilaihi raaji'uun...

Pelakon veteran versatile berusia 65 tahun, M Rajoli yang mengidap kanser di kelenjar otak atau lymphoma sejak tiga tahun lalu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang pada pukul 10.45 malam (17 September 2010)

Aku bukanlah peminat arwah... tapi ada sesuatu yg menarik arwah tinggalkan untuk kita yang masih hidup ni menghayatinya...  dan memang pun bacaan talkin tu sebenarnya untuk orang yg masih hidup mengambil pengajaran... yg dah mati tu nak diajar apa lagi...dah terlambat dah...



* Video di atas adalah babak bacaan Talqin oleh arwah sewaktu berlakon di dalam filem Esok Untuk Siapa puluhan tahun yang lepas (ketika masih muda, hensem dan sihat lagi).

Al-Fatihah kepada Allahyarham dan salam Takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin!

04 December, 2009

Al-Fatihah & Selamat Kembali

Innalillahi wainna ilaihi raajiuun. Seseorang yang aku kenali telah kembali bertemu Pencipta-nya dalam satu kemalangan ngeri. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Ini petikan Harian Metro, 3/12/2009:

Kereta putus dua diseret lori

SEREMBAN: Sebuah kereta Perodua Kancil terputus dua dengan bahagian belakangnya diseret sebuah lori tangki kosong, hangus dalam kemalangan di Bukit Mantin, di Batu 7 Jalan Seremban-Mantin, dekat sini, malam kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 11.05 malam itu, pemandu kereta yang dikenali sebagai Muhammad Mohd Rashid, 25, dari Kampung Batu 8, Mantin mati di tempat kejadian akibat cedera parah. Difahamkan, kereta yang dipandu mangsa terperosok ke bawah lori tangki berkenaan hingga menyebabkan bahagian depan kenderaan berat terbabit turut hangus. 
Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kakitangan Jabatan Perangkaan Shah Alam, Selangor itu dikatakan dalam perjalanan pulang dari Seremban ke rumahnya di Mantin, manakala lori terbabit dari arah bertentangan.
Aku rasa Allahyarham mungkin antara orang yang bertuah sebab ditakdirkan mati muda...bermakna kurang melakukan dosa. Agaknyalah...dosa pahala bukan bidang kuasa kita..dan ini hanya pendapat peribadi aku.
Sebut pasal mati, aku memang takut sangat. Sebab? Sikit sangat rasanya kebaikan & amalan aku nak dibawa ke 'sana' nanti. Bila nak berubah? Ntahlah!

Al-Fatihah.

26 March, 2008

Achik dalam kenangan 1963-2008

Siapa Achik dalam hidup aku? 
Mak & Abah aku berpisah sejak aku baru dilahirkan. Kemudian aku & Mak aku tinggal bersama Atuk & Nenek aku, dengan 4 orang adik-adik mak aku yg belum kahwin iaitu Makteh, Maktam, Achik & Busu. Selepas Mak aku kahwin lain, diikuti oleh Makteh & Maktam bertemu jodoh masing2, maka tinggallah aku bersama Atuk, Nenek, Achik mak saudaraku & Busu bapa saudaraku.

Disebabkan Atuk & Nenek aku pun kian uzur, maka Achik & Busu lah yg bekerja menanggung perbelanjaan keluarga. Boleh dikatakan Achik & Busulah yang membesarkan aku dan menanggung persekolahan aku. Malah Achik agak lambat bertemu jodoh (pertengahan 30-an), katanya menunggu aku habis sekolah baru dia nak fikir pasal kahwin.


2 tahun lepas (2006) 
Achik disahkan mengidap kanser payudara tahap 3, tahap yang boleh dikira agak terlewat dikesan. Selepas menjalani pembedahan membuang sebelah payudaranya, hospital menjadi rumah keduanya untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan susulan kemoterapi dan radioterapi, berulang alik antara Hospital Sultan Haji Ahmad Shah,Temerloh (HSHAS) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kalau ada appointment di HKL, biasanya Achik datang seorang, aku jemput di stesen bas dan tidur rumah aku semalaman. Pagi esoknya aku hantar ke HKL. Pernah sekali tu Achik masuk wad di HKL selama sebulan untuk rawatan radioterapi, maka sebulan jugalah HKL menjadi rumah kedua aku. Aku sajalah satu-satunya sedara rapat Achik kat KL ni. Dalam sebulan tu, ada sekali aku bawa Achik balik kampung sekejap jenguk anak2 dia yang tiga orang tu. Kesian pulak tengok budak2 tu, kecik2 dah terpisah dengan maknya.

Setelah menjalani rawatan demi rawatan, tahap kesihatan Achik mula menunjukkan perkembangan positif. Badan yang kurus sudah kembali berisi sikit. Badan yang dulunya lemah2 kembali bertenaga, dah boleh buat kerja2 rumah seperti biasa. Dah boleh bawa motor menghantar anak2 ke sekolah. Begitu juga rambut yang habis gugur setelah kemoterapi dah tumbuh semula. Namun begitu, masih perlu berulang alik ke HSHAS & HKL untuk ambil ubat dan menjalani pemeriksaan & pemantauan susulan.


Februari 2008 
Tak semena-mena dapat berita Achik kemalangan, jatuh motor masa jemput anak2 balik sekolah. Kaki retak, bersimen sampai ke paha. Nasib baik juga anak2 dia tak apa-apa.


Mac 2008 
8/3/08 - Balik kampung sempena Pilihanraya Umum ke-12 dan menghadiri kenduri kahwin sepupu aku. Singgah melawat Achik, hanya terlantar tak bermaya. Katanya hanya demam saja.

15/3/08 – Dapat panggilan dari kampung mengatakan Achik dah seminggu masuk wad di HSHAS, mengalami bengkak paru-paru & apendik. Masa melawat dia, aku tengok agak teruk keadaannya.

22/3/08 – Balik kampung lagi. Achik dah makin teruk. Rupanya sel-sel kanser kembali menyerang, kali ni dah merebak ke seluruh badan. Kata doktor tiada harapan lagi untuk pulih. Minta bawa balik ke rumah sajalah. Bawa balik ke rumah naik kereta aku dalam hujan lebat. Tak sangka Achik yang kelihatan dah beransur sembuh tiba-tiba jadi begini. Tiada siapa menduga kemalangan tempoh hari menjadi pencetus semua ini.

24/3/08 – Terpaksa balik KL atas tuntutan kerja walaupun berat rasa hati nak meninggalkan Achik. Sayu aku tengok keadaan Achik yang cuma mampu terbaring lemah tak bermaya, mata kuning, perut makin membuncit, seluruh badan membengkak...petanda seluruh organ dalamannya sudah terjejas diserang kanser. Masa nak balik, aku peluk cium dia 2-3 kali, katanya tak cukup...dia minta cium 10 kali. Aduh, sebaknya dada aku dan aku penuhi permintaannya.

26/3/08 – Malam tadi Makteh beritahu, Achik dah tenat sangat. Pagi ni kemas2 nak balik kampung. Tapi dalam perjalanan, Makteh call mengatakan Achik dah meninggal pada 8.15 am, bersamaan dengan tarikh harijadi Mak aku. Innalillahi wainna ilaihi raajiuun... Kami sekeluarga (terutama suami dan anak2nya) merelakan dia pergi kerana tak sanggup lagi melihat dia menderita. Dikebumikan selepas Zuhur. Malam buat kenduri tahlil.

arwah Achik (kanan sekali)

TAK TERNILAI JASA & PENGORBANAN ACHIK (DAN BUSU) MEMBANTING TULANG MEMBESARKAN DAN MENYEKOLAHKAN AKU.  AKU ANGGAP ACHIK SEPERTI MAK AKU SENDIRI. TERKILAN JUGA RASANYA TAK DAPAT MEMBALAS JASA ACHIK. TAPI APAKAN DAYA... SEMOGA ROH ACHIK DIAMPUNI DAN DICUCURI RAHMAT...AAMIIN 


INNALILLAHI WAINNA ILAIHI RAAJI'UUN...

AL-FATIHAH.
Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...