PTT Outdoor
Showing posts with label Sekolah. Show all posts
Showing posts with label Sekolah. Show all posts

12 January, 2019

Sekolah Sesi 2019

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Ini sekadar catatan persekolahan anak-anak.

Along : Sedar tak sedar tahun ni anak bujang aku ni dah tingkatan 3... dah membesar lebih tinggi dari ibunya. Tahun ni balik ke asrama lewat 2 minggu dari sekolah biasa sebab menunggu bangunan asrama baru dan kompleks pengajian yang baru dibina siap sepenuhnya... Kompleks maahadnya ada kemudahan serba lengkap tapi dalam suasana kampung yang lebih tenang. Semoga lebih bersemangat dalam belajar dan hafazannya.

Angah : Dah naik tingkatan 1 tahun ni... bersekolah sesi petang je. Dah tak sekolah agama ni pagi ada banyak masa terluang... bolehlah dipertanggungjawabkan untuk basuh baju sekolah sendiri... belajar berdikari macam Along. Tahun lepas sibuk dengan exam PSRA & UPSR, tahun ni bolehlah bertenang sikit. Keputusan PSRA; Angah dapat 2A dengan pangkat keseluruhannya Jayyid... kira baik juga tu walaupun tak capai tahap Mumtaz... tahniah Angah. Keputusan UPSR pulak, alhamdulillah lulus semua subjek walaupun takde A... tahniah Angah. UPSR je punnn... masih jauh lagi perjalanan hidup tu, tak berapa cemerlang dalam UPSR tak semestinya akan gagal dalam hidup... Bila dua orang anak dah masuk sekolah menengah ni, tetiba terasa makin tua pulak kih3.

Aina : Dah masuk tahun 4 anak dara ayah ni. Tahun ni Aina macam biasa bersekolah agama sesi pagi dan sekolah kebangsaan sesi petang. Tahun ni terpaksa hantar Aina ke taska transit lepas habis sekolah agama sebab ibunya dah tak boleh kerap sangat keluar pejabat ambik dan hantar anak-anak. Bos baru garang katanya.


Harapan ayah dan ibu semoga dipermudahkan segala urusan anak-anak dalam pelajaran. Yang penting jaga akhlak,  insya Allah berjaya dunia akhirat.

Sekian kisah 3 beradik kembali ke sekolah.

P/S - Tahun ni dah boleh pakai kasut sekolah warna hitam... memang sangat memudahkan sebab tak perlu kerap basuh (dah masuk 2 minggu sekolah pun masih tak kotor). 4-5 tahun lepas masa anak-anak kecik lagi dan kasut sekolah diorang bapaknya ni tolong basuhkan, aku pernah hantar cadangan kat FB Menteri Pendidikan yang dulu agar dipertimbangkan tukar kasut kepada warna hitam. Walaupun mungkin cadangan aku masa tu dibakulsampahkan tapi alhamdulillah zaman menteri baru ni cadangan aku terlaksana akhirnya... heheh.


27 October, 2018

Angah dah Merdekaaa!!!

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

13 Oktober 2018 (Sabtu) : Angah ikut rombongan sekolah agamanya ke Gua Tempurung & The Lost World of Tambun, sempena meraikan kemerdekaan baru habis exam PSRA dan nak berseronok dengan kawan-kawan sekolahnya sebelum meninggalkan alam sekolah rendah. 




15 Oktober 2018 (Isnin) : Angah hadir temuduga dan ujian kemasukan ke maahad tempat Alongnya belajar sekarang. Ada ujian bertulis dan juga ujian hafazan di mana calon diberi 1 mukasurat Al-Quran untuk dihafal dalam masa 1 jam. Tapi masa ujian Angah nervous pulak dapat ingat 2 ayat je katanya. Takpelah, insya Allah rezeki Angah kat tempat lain lah tu ye...

27 Oktober 2018 (Sabtu) : Angah ikut rombongan sekolah kebangsaan sempena meraikan kemerdekaan baru habis exam UPSR pulak katanya... kali ni ke Sunway Lagoon.. Betul-betul lepas geram ni lepas penat belajar.

Mujurlah Angah ni jenis rajin menabung, jadi ayah ibu cuma tambah duit separuh + duit belanja je.. Jadi Aina pun kenalah ikut contoh rajin menabung macam Angah ni. Tak bolehlah nak harap ayah ibu je keluar semua belanja... semoga anak-anak dapat pengajaran kalau nak sesuatu kena usaha jangan semua nak kena suap je.

23 September, 2018

UPSR & PSRA 2018: Good Luck Angah!

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Minggu depan si Angah bakal menduduki UPSR2 minggu lepas habis UPSR ni, ada satu exam lagi; Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) pulak. Banyak program yang dijalankan pihak sekolah untuk kecemerlangan pelajar. Antaranya program motivasi, bengkel menjawab soalan, kelas tuisyen setiap malam isnin & selasa, kelas tambahan setiap sabtu, dan juga menganjurkan program solat hajat & bacaan surah Yasin bersama ibu bapa.

~ Si Angah pun nampaknya ada juga usaha nak belajar, walaupun nampak macam penat dengan macam-macam program, selain petangnya kena sekolah agama pulak. Dalam exam percubaan, walaupun keputusannya taklah berapa cemerlang, ada juga nampak peningkatannya.




~ Sebagai ibu bapa pulak, usaha terakhir cumalah menitipkan doa dan memberi galakan dan motivasi agar lebih bersemangat belajar dan menjawab soalan dengan baik. Bagi kami, tak perlu memberi tekanan dalam mengejar kecemerlangan kerana bakat, minat dan kecenderungan anak-anak memang berbeza antara satu sama lain. Kalau tak berapa cemerlang dalam peperiksaan tak semestinya akan gagal dalam hidup. Walaupun kejayaan anak-anak dalam pelajaran memberi kepuasan dan kebanggaan kepada ibubapa, tapi kami lebih bahagia kalau anak-anak menjadi anak yang soleh, manusia yang berakhlak mulia dan memberi manfaat kepada orang lain. 

~  Apa-apapun, selamat menjawab periksa Angah!!

27 August, 2018

Cuti Sekolah Ogos 2018

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Kisah anak-anak sebelum cuti :

~ Along :
Kira-kira setahun lapan bulan belajar di maahad, alhamdulillah dah berjaya hafaz 13 juzuk. Walaupun kata ustaznya dia agak slow berbanding kawan-kawan lain, bagi aku kira hebatlah juga dapat sampai ke tahap tu... bukan senang tu... sekurang-kurangnya kalau dibandingkan dengan ayahnya ni dia lagi hebat la.. kih3. Selain aktiviti rutin, sebelum cuti Along dan kawan-kawan ada aktiviti luar di Taman Pertanian Bukit Cerakah dan juga di Sg. Bil, Tanjung Malim selama 3 hari 2 malam. Antara aktivitinya termasuk pengisian kerohanian, mandi sungai, memancing dan main paintball... seronok betul katanya.

~ Angah :
Tahun yang sibuk bagi Angah sebab akan menghadapi 2 exam besar... UPSR & PSRA. Dari kelas tambahan setiap sabtu dan tuisyen malam 2x seminggu anjuran sekolah, bengkel teknik menjawab UPSR di UITM selama 3h2m hinggalah menghadapi peperiksaan percubaan... ayahnya yang tengok ni pun penat kepala otak. Mujurlah cikgu-cikgunya ada anjurkan aktiviti luar ke Shah Alam main bowling dan melawat muzium untuk melegakan sikit tekanan budak-budak. Sabolah Angah ye...

~ Aina :
Sebagai budak darjah 3 takdelah tekanan sangat. Sempat juga dia ikut rombongan sekolahnya ke Kilang Coklat & Biskut Beryl's dan Farm in the City di Seri Kembangan. Bagi duit belanja RM50 dihabiskan dengan jayanya memborong coklat dan biskut... alhamdulillah dia ingat juga kami yang mereput duduk kat rumah je ni.. hihi.


Cuti Sekolah

~ Cuti sekolah datang lagi, serentak pula dengan cuti raya haji. Raya puasa dah balik kampung aku, raya haji ni balik rumah mertua di Ipoh pulak.

~ Raya kedua... sempat ke Cameron Highlands balik hari... Antara yang sempat disinggahi... ladang teh Cameron Valley di Kuala Terla, layan orang rumah dan maknya tengok bunga-bunga di Taman Agroteknologi Mardi, Tanah Rata, pekena ais krim strawberi di Ladang Strawberi Al-Mashoor dan semestinya sebelum balik kena shopping buah strawberi, sayuran dan ubi keledek dulu kalau tak orang rumah tak nak balik...hihi. Syukur sangat perjalanan balik petang tu berjalan lancar walaupun laluan sebelah melekat jem teruk orang baru nak naik... kesian...!!!


~ Sempat juga berjalan ke rumah kakak ipar di Sitiawan dan sempat juga ikut trip memancing dari pagi sampai petang. Nanti cerita kemudian la dalam next entry.


08 January, 2018

Sekolah Sesi 2018

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Ini sekadar catatan persekolahan anak-anak.

Along : Tahun ni Along dah masuk tingkatan 2. Sudah berpindah ke kompleks pengajian dan asrama yang baru dibina... dalam suasana kampung yang lebih tenang. Semoga lebih bersemangat dalam belajar dan hafazannya.

Angah : Angah dah tahun 6, tahun yang sibuk sebab nak menghadapi UPSR & PSRA di sekolah agama. Tahun ni dah kena pergi kelas tambahan kat sekolah yang wajib kena pergi setiap Sabtu. Nampaknya kalau kami nak balik kampung atau nak ke mana-mana kena merancang dulu melainkan ada kecemasan. Tahun ni juga dah perlu pergi kelas tuisyen subjek Math & B.I yang memang agak lemah.

Aina : Dah masuk tahun 3 anak dara ayah ni. Terasa begitu cepat masa berlalu. Tahun ni Aina bersekolah kebangsaan sesi petang, tak sama dengan Angah yang bersekolah sesi pagi.

Harapan ayah dan ibu semoga dipermudahkan segala urusan anak-anak dalam pelajaran. Bagi kami asalkan anak-anak dah usaha dan belajar, tak dapat A pun tak apa (kalau dapat A itu bonuslah). Selebihnya serahkanlah pada takdir. Kalau result cemerlang tapi akhlak buruk pun tak guna juga. Yang paling penting taat pada perintah Allah dan ajaran Rasul-Nya, tinggi akhlaknya, taat dan hormat pada ibu bapa dan guru, insya Allah berjaya dunia akhirat.

Sekian kisah 3 beradik kembali ke sekolah.



21 December, 2017

Cuti Sekolah Akhir Tahun 2017

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Cuti sekolah datang lagi. Inilah antara aktiviti anak-anak sepanjang cuti sekolah akhir tahun ni:

~ 1-3 Disember; Angah menyertai Kem Cuti Sekolah Aku Anak Hebat selama 3 hari 2 malam di Kem Rimba Ulu Tamu, Batang Kali. Sanggup dia menawarkan untuk bayar separuh kos yuran guna duit simpanannya. Semoga menjadi anak yang lebih hebat lepas balik dari kem ni. Kalau tak hebat juga siaplah Angah..haha!

~ 4-8 Disember; Aina pulak menyertai Kem Pra-Tahfiz yang diadakan di surau berdekatan dari pagi sampai ke petang. Antara programnya Teknik Hafazan, Tahsin Wuduk dan Solat, Akhlak Islami, Sirah Nabi dan Sahabat, sukan memanah serta pelbagai aktiviti dalam kumpulan. Lebih baik daripada duduk di rumah khusyuk bermain gajet je.

~ 14 Disember; kami sekeluarga menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang maahad Along. Dapat juga dia satu anugerah markah tertinggi bagi subjek Pendidikan Islam... tahniah Along. Cuti sekolah Along ni lewat 2 minggu dari cuti sekolah biasa. Jadi hari ni baru dia boleh balik rumah.

~ 17 Disember; pagi masuk acara Larian Menjunjung Kasih, petangnya memenuhi permintaan anak-anak yang nak tengok wayang cerita Star Wars: The Last Jedi. Layankan je lah sekali-sekala.


~ 21 Disember; selamat hari lahir yang ke-11 buat Angah. Doa yang sama seperti biasa... "Ya Allah, sihatkanlah dan panjangkanlah umur anak kami ini, terangkanlah hatinya, teguhkanlah imannya, baguskanlah amal perbuatannya, cukupkanlah rezekinya, dekatkanlah menuju kebaikan, jauhkanlah dari keburukan. Ya Allah, kabulkanlah doa kami ini, agar anak-anak kami menjadi anak yang soleh dan solehah, yang sentiasa taat kepadaMu dan berbakti kepada kedua orang tuanya... serta diberkati dan dirahmati kehidupan mereka dunia akhirat... Aamin ya rabbal ‘Aalamiin"


15 January, 2017

Along dah sekolah menengah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Pejam celik pejam celik, tahun ni Along dah naik sekolah menengah , Angah dah tahun 5, Aina pulak dah masuk tahun 2.

Selamat menempuh alam sekolah menengah buat Along. Walaupun terpaksa berkorban berjauhan dengan keluarga, belajar berdikari dan belajar di sekolah yang bukan aliran biasa, ayah dan ibu sentiasa doakan Along berjaya mencapai cita-cita serta menjadi insan berjaya di dunia dan akhirat.


1. Depan asrama penginapan... rumah berkembar 2 tingkat.
2. Belajar berdikari basuh baju sendiri...
3. Makan berjemaah dengan kawan-kawan di dewan makan.
4. Sesi orientasi dalam kelas.
5. Dapat sentiasa solat berjemaah di masjid.
6. Riadah tiap-tiap petang, harap dapat turun berat badan.


31 December, 2016

Catatan Perjalanan Oktober - Disember 2016

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Lama juga tak jenguk blog ni disebabkan kesibukan kerja yang melampaui batas menjelang hujung tahun... sampaikan beberapa hari terpaksa bermalam di pejabat. Dah lama tak menulis malaspun melanda. Jadi aku longgokkan saja dalam satu entri secara suku tahunan beberapa peristiwa penting dalam hidup aku sekeluarga.

5 Oktober 2016 (Rabu) : Along ada lawatan sekolah ke Legoland, sempena meraikan kemerdekaan baru habis UPSR. Nak pergi sekeluarga tak berapa mampu, bagilah dia pergi dengan kawan-kawan sekolahnya, guna baki simpanan duit rayanya dan kami cuma perlu tambah sikit duit belanja je.


20-22 Oktober 2016 (Khamis-Sabtu) : Menghadiri sesi taklimat & review pasal kerja di Hotel DePalma, Kuala Selangor. Hari kedua, roommate terpaksa balik kerana ada hal yang tak dapat dielakkan. Daripada aku duduk sorang-sorang baik angkut anak bini datang sini, dapat juga anak-anak mandi kolam. Balik wajib singgah Bukit Melawati menziarahi lotong-lotong di sana.


9 November 2016 (Rabu): Angah pulak ada lawatan ke A Famosa Water Theme Park, Melaka. 
Tak bawa handphone jadi takde la gambar.

15-17 November 2016 (Selasa-Khamis) : Aina terpaksa bermalam kat wad selama 2 malam. Bermula dengan demam & selsema, masuk hari ketiga pernafasan makin pendek-pendek. Doc sahkan kena jangkitan kuman kat paru-paru, 2 hari berterusan kena masuk gas. Malam pertama ayah jaga, malam kedua ibunya pulak temankan. Alhamdulillah hari ketiga dah beransur sembuh dan boleh keluar hospital.


17 November 2016 (Khamis) : Keputusan UPSR Along dah keluar. Cuma ayah dapat temankan Along ambik result, ibunya masih kat wad jaga Aina. Alhamdulillah, Along dapat 2A 1B 3C. Kira ok lah tu, ada juga A-nya. Tahniah Along. Tapi dengar khabarnya 1 Malaysia ramai cikgu, mak bapak dan pelajar yang meroyan pasal keputusan UPSR merosot selepas diperkenalkan format baru. Rilek la, UPSR je punnn... masih jauh lagi perjalanan hidup anak-anak tu. Tak cemerlang dalam UPSR tak semestinya akan gagal dalam hidup.

Keputusan PSRA kat sekolah agama pun ok lah juga. Pangkat keseluruhannya Jayyid... kira baik juga tu walaupun tak capai tahap Mumtaz.


19 November 2016 (Sabtu) : Selamat hari jadi Aina yang ke 7 tahun... sambut secara sederhana kat rumah je. Alhamdulillah mujur dah keluar wad. Semoga membesar dengan sihat menjadi anak yg solehah, penyejuk mata ayah dan ibu.


25-26 November 2016 (Sabtu-Ahad) : Balik Ipoh menziarahi pak mertua yang kini terlantar di wad, disahkan kanser hati tahap 4. Semoga Apak diberi kekuatan dan kesabaran menghadapi ujian ini.


4 Disember 2016 (Ahad) : Cadangnya nak balik Ipoh lagi minggu ni menziarahi pak mertua, tapi dikhabarkan esok (Isnin) anak-anaknya nak bawa apak berubat di KL, jadi kami tunggu ziarah kat KL je lah. Jadi kami tukar plan pergi melawat pameran MAHA kat Serdang. Dah beberapa tahun dianjurkan, baru kali ni rasa nak pergi. Tak banyak gerai yang kami singgah... orang penuh sesak, cuaca panas terik, pening dan serabut dibuatnya... kena menapak jauh pulak tu dari tempat parking... rasanya ni pertama dan terakhir kot melawat MAHA ni...


6 Disember 2016 (Selasa) : Semalam pak mertuaku tak jadi dibawa berubat ke KL, dia sendiri yang taknak pergi berubat jauh-jauh. Pagi ni dapat berita apak dah nazak. Kira-kira jam 11.00 pagi, apak menghembuskan nafas terakhir pada usia 81 tahun (1935-2016) ketika kami masih dalam perjalanan balik ke Ipoh. Dikebumikan petang tu juga selepas solat asar. Innalillahi wainna ilaihi raaji'uun. Semoga roh apak dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan di kalangan orang beriman. Al-Fatihah.


13-14 Disember 2016 (Selasa -Rabu): Bercuti 2H 1M di Genting Highland yang dah ditempah sebulan sebelumnya. Tujuan utama  demi memenuhi permintaan Along yang nak tengok pertunjukan Ultraman Live @ Genting... sebagai kenangan terakhir menutup zaman kanak-kanaknya... katanya la.  Lagipun tak lama lagi dah nak masuk asrama berpisah dengan keluarga. Oklah layankan saja setakat yang ayah dan ibu termampu...


21 Disember 2016 (Rabu) : Hantar dua ekor kucing kami, Oyen & Taro ke klinik untuk disunatkan (dikasi). Sebagai kucing jantan yang dah meningkat dewasa, si Oyen nampaknya dah mula memancut dalam rumah merata-merata untuk menanda kawasan jajahan takluknya. Orang kata lepas dikasi ni kucing jantan tak memancut dah... harapnya betullah. Dah alang-alang ke klinik baik bawa Taro sekali jalan.

Selamat hari jadi Angah yang ke 10 tahun... Semoga membesar dengan sihat menjadi
anak yg soleh, penyejuk mata ayah dan ibu.


Sekian adanya, selamat tahun baru 2017.


03 September, 2016

UPSR 2016: Good Luck Along!

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Anak sulung aku bakal menduduki UPSR bermula pada 5 September 2016. Tahun ni dah buat format baru dengan 6 subjek yang wajib diambil oleh calon. Banyak program yang dijalankan pihak sekolah untuk kecemerlangan pelajar. Antaranya program motivasi, bengkel menjawab soalan, kelas tuisyen setiap malam isnin & selasa, kelas tambahan setiap sabtu, dan juga menganjurkan program solat hajat & bacaan surah Yasin bersama ibu bapa.

~ Si Along pun nampaknya ada juga usaha nak belajar, walaupun nampak macam penat dengan macam-macam program, selain petangnya kena sekolah agama pulak. Dalam exam percubaan, walaupun keputusannya taklah berapa cemerlang, ada juga nampak peningkatannya.




~ Sebagai ibubapa pulak, usaha terakhir cumalah menitipkan doa dan memberi galakan dan motivasi agar lebih bersemangat belajar dan menjawab soalan dengan baik. Bagi kami, tak perlu memberi tekanan dalam mengejar kecemerlangan kerana bakat, minat dan kecenderungan anak-anak memang berbeza antara satu sama lain. Kalau tak berapa cemerlang dalam peperiksaan tak semestinya akan gagal dalam hidup. Walaupun kejayaan anak-anak dalam pelajaran memberi kepuasan dan kebanggaan kepada ibubapa, tapi kami lebih bahagia kalau anak-anak menjadi manusia yang berakhlak mulia dan memberi manfaat kepada orang lain.

~ 2 minggu lepas habis UPSR ni, ada satu exam lagi; Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) pulak. Apa-apapun, selamat menjawab Along. 


09 January, 2016

Selamat menempuh alam persekolahan... Aina

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Ini sekadar catatan persekolahan anak-anak, sebab bapaknya ini mudah lupa.

~ Aina : Bermula dengan hari orientasi pada hari tahun baru 2016, bermulalah juga alam persekolahan anak bongsu kami, Aina yang dah masuk tahun 1. Terasa begitu cepat masa berlalu. Alhamdulillah, dah boleh membaca, menulis dan mengira sikit-sikit walaupun hanya dihantar ke tadika ketika umur 6 tahun je... kira oklah tu. Kami laki bini cuma ambil cuti 2 hari je untuk menguruskan persekolahan anak-anak. Selesai bayar yuran dan ambil buku teks sementara dia menduduki ujian diagnostik, temankan pula dia makan bekalan di kantin. Nak ajar membeli di kantin, penuh  sesak pulak kantin tu dengan ibu bapa yang sibuk nak duduk dan beratur sekali. Tak apalah Aina, tahun ni biar ibu sediakan bekal je. Terima kasih kepada ibu yang gigih bangun awal untuk menyediakan sarapan dan bekalan, walaupun bekal tu kadang-kadang simple je macam kuih, roti, telur atau sosej, jadilah buat alas perut. Lepas makan, Aina dah boleh terus ditinggalkan di kelas tanpa buat muka sedih atau menangis, sama macam abang-abangnya juga dulu. Begitu juga masa hantar ke sekolah agama pada petangnya pun nampak seronok je dia walaupun nampak penat sikit. Tahun ni Aina bersekolah kebangsaan sesi pagi, sama dengan Alongnya. Pagi ke sekolah kebangsaan ayah hantar, petangnya balik dari sekolah agama ayah jemput, tengah hari ibunya uruskan. Selamat menempuh alam persekolahan... Aina.

~ Angah : Tahun ni Angah dah tahun 4. Sekolah kebangsaan sesi petang maka paginya ke sekolah agama. Pagi dia ke sekolah naik basikal je sebab jarak ke sekolah agama tak berapa jauh dan melalui jalan dalam taman perumahan yang tak sesak sangat. Tengah hari dihantar oleh ibunya pulak ke sekolah kebangsaan sambil jemput Aina balik sekolah. Petangnya pulak ayah jemput. Nak lepaskan dia naik basikal ke sekolah kebangsaan belum konfiden lagi sebab jalan ke sana agak sibuk. Semoga tahun ni lebih rajin belajar sebab pencapaian tahun lepas agak merosot... banyak main-main le tu. Memang kami ni bukan ibu bapa yang terlalu tegas dengan pencapaian pelajaran anak-anak. Kedudukan anak dalam kelas dapat no. 2nd last pun masih boleh senyum lagi... bukanlah tak pentingkan pelajaran tapi budak tu baru tahun 4, tak nak lah beri tekanan sangat nanti tertekan pulak budak tu...

 
~ Along : Tahun ni Along dah tahun 6, tahun yang sibuk sebab nak menghadapi UPSR & PSRA. Sejak dari tahun 5 Along dah ke sekolah kebangsaan dan sekolah agama naik basikal je. Tahun ni dah kena pergi kelas tambahan kat sekolah yang wajib kena pergi setiap Sabtu. Nampaknya kalau kami nak balik kampung atau nak ke mana-mana kena merancang dulu melainkan ada kecemasan. Tahun ni juga dah perlu pergi kelas tuisyen sebab Along memang agak lemah dalam subjek Math & B.I... macam mak bapaknya juga...huhu.  Bagi ayah tak dapat A pun tak apa, asalkan anak-anak dah usaha dan belajar, selebihnya serahkanlah pada takdir. Kalau dapat A itu bonus. Kalau result cemerlang tapi akhlak buruk pun tak guna juga. Yang paling penting taat pada perintah Allah dan ajaran Rasul-Nya, tinggi akhlaknya, taat dan hormat pada ibu bapa dan guru, insya Allah berjaya dunia akhirat. Sekarang pun Along (dan Angah juga) dah mula berdikari... sejak darjah 3 kasut basuh sendiri, lepas makan basuh pinggan dan cawan sendiri dan kadang-kadang pinggan ayah dan ibu pun dibasuhnya, Along pun dah mula belajar goreng telur... makanan kegemarannya... sekurang-kurangnya meringankan sikit tugas ayah dan ibu. Tapi walau macam manapun jaga-jaga Along, sebab tahun ni ada dua peperiksaan besar, ayah dan ibu terpaksa kena tegas juga... haha.  


Sekian kisah 3 beradik kembali ke sekolah.

15 November, 2015

Majlis Graduasi Tadika Aina

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ 15/11/2015 - Kami sekeluarga menghadiri majlis graduasi & konsert tadika Aina.

~ Acara: Dimulakan dgn persembahan tarian setiap kelas yg ada kat tadika tu, termasuk persembahan kelas Aina...owh, ada bakat juga anak aku tu menari tarian tradisional. Lepas tu diakhiri dgn acara penyampaian sijil.


~ Tahun depan Aina dah darjah 1.... cepat sungguh masa berlalu.

12 January, 2015

Kembali ke sekolah: Perkara-perkara yang Ayah dan Ibu Mahu Anak-Anak Tahu

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Walaupun sesi persekolahan 2015 ditangguhkan seminggu akibat musibah banjir besar, anak-anak nampaknya tak sabar nak kembali bersekolah, terutamanya si Aina yang akan masuk tadika... Selamat kembali bersekolah buat Along (Tahun 5) dan Angah (Tahun 3), serta selamat masuk sekolah tadika untuk Aina.


  
Berikut adalah entri yang diedit dari aminin.my, buat renungan untuk anak-anak ayah dan ibu....
Moga apa yang dikongsi ini menjadi iktibar dan pedoman, dari kecik sampai besar.

24 Perkara Ayah dan Ibu Mahu Anak-Anak Tahu
1. Dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak orang sudah ditenggelamkannya. Oleh itu, jadikanlah taqwa sebagai kapalnya. Janganlah engkau menangguhkan taubat kepada Allah kerana mati itu akan datang tiba-tiba.
2Hendaklah engkau selalu berada di majlis para ulama’ dan dengarlah kata-kata para hukama (orang yang bijaksana), kerana Allah menghidupkan jiwa yang mati dengan hikmat sepertimana menghidupkan bumi yang mati dengan hujan yang lebat.
3Cari orang yang boleh gembirakan kamu dan berbaik-baiklah dengan mereka. Ketawa itu ibarat vitamin. Dan kita sentiasa perlukan vitamin untuk badan kita.
4. Bacalah bahan bacaan seperti sajak dan puisi. Agar kamu dapat belajar bahasa yang indah-indah. Dalami ilmu agama sebanyak mungkin. Sekurang-kurangnya doalah kesejahteraan kami, sekali sehari pun sudah memadai buat kami.

5. Jangan sekali-kali berbohong mengenai perkara yang benar-benar penting. Pembohongan pertama akan menyebabkan anda perlu untuk berbohong sekali lagi dan sekali lagi untuk menutup kebenaran. Dan setiap kali anda akan menyimpang jauh dan merumitkan keadaan sendiri.

6. Melakukan perkara yang salah adalah lebih baik daripada langsung tidak melakukan apa-apa. Kamu akan tetap membuat kesilapan di dalam hidup. Soalan sebenar adalah apa yang kamu akan belajar daripada kesilapan kamu, itu paling penting.

7. Tahanlah kemarahan kerana marah itu menyakitkan perasaan orang lain. Kita tidak tahu orang yang kita marahi itu mungkin orang yang dikasihi Allah. Menyakiti kekasih Allah itu buruk padahnya.

8. Anak gadisku sayang.. Perempuan harus menjaga kesucian diri ,jika kita biarkan orang lain merenggutnya,maka derita itu akan kita bawa seumur hidup kita.
9. Buat anak lelaki, jangan memberi komitmen kepada si gadis jika belum betul-betul bersedia nak berkahwin, baik dari segi kemampuan kewangan, persediaan mental, emosi dan diri sendiri.
 10. Anak lelakiku, hormati wanita sebaik-baiknya. Jangan berkasar kerana wanita itu lembut dan kekasaran seorang lelaki itu amat menyakitkan. Jangan terlalu lembut kerana kelembutan yang keterlaluan tidak membantu meluruskan kehidupan seorang wanita yang kamu cintai.

 11. Menangis lah jika kamu mahu menangis. Tak salah jika kamu mahu menitiskan air mata untuk perkara yang mengembirakan atau menyedihkan kamu sekali-sekala. Lelaki juga manusia.

 12. Cari jalan untuk mengembirakan dan membuat kamu selesa tubuh badan kamu. Kamu tidak perlu tubuh badan seperti atlet untuk menjadi lelaki sejati. Yang penting, kamu gunakan badan kamu dengan sebaik mungkin dan jaga ia.
13. Melihat video atau gambar-gambar tidak senonoh mungkin menyeronokkan bagi kamu, tapi sesungguhnya ia merosakkan akal. Jika anda melakukan hubungan intim dengan orang yang anda sayang dan ambil berat serta secara halal, itu adalah seribu kali lebih indah dan menyeronokkan. Maka sabarlah dan habiskan pelajaranmu dulu.
 14. Jangan tergopoh-gapah untuk berkahwin kerana penceraian itu amat menyedihkan jika kamu berada di dalamnya. Perkahwinan yang bahagia tidak semestinya pada umur yang masih muda, tetapi tetap akan bahagia pada umur 50 tahun jika itu takdirnya.

 15. Lihat kedalam mata si dia apabila kamu jatuh cinta untuk mendalami hati dan perasaan si dia.

16.Jangan mudah jatuh cinta tanpa kenal budi bicara. Pandai-pandailah membawa diri,di luar sana banyak sekali orang-orang yang tidak kamu kenal dengan baik, walaupun kamu rasa ‘mengenal’ orang yang kamu cintai, jangan sampai kamu serahkan mahkota diri kamu padanya sebelum pernikahan terjadi. Kami harap anak-anak kami tahu menjaga maruah diri dan maruah keluarga. Itu saja yang kami minta.
17. Habiskan sebahagian dari masa kamu setiap tahun dengan orang yang kurang bernasib baik daripada kamu. Ia akan mengisi hati kamu dengan kesyukuran dan akan membuatkan kamu lebih menghargai kehidupan kamu. Usah merasa rugi apabila memberi kerana nikmat yang bakal dikembalikan Allah pada orang yang pemurah itu tidak ternilai harganya.

18. Cari kerja yang membuatkan kamu bahagia. Jika anda boleh mengubah dunia dalam proses itu, ia adalah lebih baik.

19. Anakku, jika kamu dapat peluang untuk mengembara ke seluruh negara atau ke seluruh dunia, pergilah. Ambil pengalaman dengan suasana berbeza dan bersama orang yang berbeza. Kamu akan belajar lebih lagi berbanding dengan orang yang sama kamu jumpa setiap hari.

20. Wang dan kuasa merupakan kombinasi yang baik, tetapi mereka tidak akan mengisi kekosongan kamu seperti keluarga kamu memberikan kegembiraan kepada kamu.

21. Hidup dengan gembira, jangan menyerah kalah dan sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan yang kamu inginkan.

22. Selalu ingat yang ibu dan bapa selalu menyayangi kamu dan sentiasa berada di belakangmu biar apa pun yang terjadi.

23. Jangan lupakan keluarga kalau dah berjaya nanti. Ibu dan ayah tak mahu kamu menjadi seorang yang berjaya tetapi melupakan keluarga.

24. Tiga orang yang tidak dapat dikenali melainkan pada tiga keadaan. Orang yang lemah lembut melainkan ketika marah, orang yang berani melainkan ketika berperang dan saudara maramu melainkan ketika engkau berhajat dan memerlukan pertolongan daripadanya.

15 November, 2014

Tahniah Angah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Tahniah buat Angah kerana berjaya mendapat kedudukan yang baik dalam kelas pada peperiksaan akhir tahun sekolah agama... Kalau tahun lepas si Along yang naik pentas, tahun ni prestasinya agak merosot jadi dia 'pass'kan pada adiknya pulak naik pentas terima anugerah.


Semoga anak-anak ayah dan ibu beroleh ilmu yang bermanfaat lagi berkat... supaya dapat diamalkan dan menjadi bekalan untuk berjaya di dunia dan akhirat. Aamiin.


30 November, 2013

Catatan Perjalanan November 2013

Kalau entri blog dah macam gini gayanya... longgok sebulan punya cerita dalam satu entri,  itu tandanya tuan blog dah dilanda penyakit malas... hahaa... Tapi sebab dah terjebak dalam dunia blogging, teruskan aje lah. Bila ada kelapangan masa barulah update. Walaupun blog ni takde pengunjung sangat pun, selagi terdaya aku akan terus berblog mencatat perjalanan hidup aku sebagai kenangan untuk anak cucu aku. Layan entri bergambar je lah!


2/11/13 (Sabtu) - Mendaki Bukit Broga bersama rakan-rakan JP Selangor. Kalau tahun lepas Along sorang je ikut, kali ni bawa si Angah sekali... tahniah Angah berjaya sampai ke puncak. Kalau tahun lepas Along laju je mendaki tinggal ayah jauh, tapi tahun ni mencungap dia nak sampai puncak... maklum le fizikal dah makin debab... hehe



3/11/13 (Ahad) - Pahang juara Piala Malaysia kali ke-3 (selepas 1983 & 1992) bila menewaskan pasukan pilihan Kelantan 1-0. Terima kasih kepada Matias Conti yang menjaringkan gol cantik hasil hantaran budak Lepih, Alex. Harap-harap janganlah sampai kena tunggu 21 tahun lagi nak julang piala seterusnya. Hogoh Pahang Hogoh!!



9/11/2013 (Sabtu) - Sementara si ibu & anak daranya menyertai aktiviti 'ladies outing' di Melaka, si ayah & anak-anak bujangnya menghadiri Majlis Kecemerlangan di sekolah. Along dapat no.2 dalam kelas sekolah agama, sekolah kebangsaan pulak no.20++. Si Angah pulak dua-dua sekolah dia pulun no.20++... takpe, tingkatkan usaha anak-anakku... kalau ayah ibu paksa belajar sangat nanti tertekan pulak korang...


 9/11/2013 (Sabtu) - Habis je majlis anugerah cemerlang si Along, si ayah & anak2 bujangnya pulak sempat ke Glory Beach Resort, Port Dickson, menghadiri reunion rakan sekolah masa form 6. Sebelum tu sempat singgah di Muzium ATM, PD, kemudian terjun kolam kat resort. Malam, bertemu sahabat2 lama sambil sibuk ber-BBQ. Ramai sahabat yang berjaya dalam bidang masing2, mungkin aku je la yang tak berapa nak menjadik... haha. Sambil reunion ni jugak diorang bercadang nak tubuhkan koperasi alumni. Serah pada yang pakar , bab ni i follow je lah. Tak dapat nak bersembang lama, 10.30 malam terpaksa balik sebab esoknya aku ada program lain.


 10/11/2013 (Ahad) -  Program Sahabat Statistik bersama Komuniti Taman Widuri 2, Bukit Beruntung. Satu usaha untuk memperkenalkan lagi fungsi Jabatan Perangkaan kepada masyarakat.


17/11/2013 (Ahad) - Cuti sekolah hujung tahun sudah bermula. Terlanjur menghadiri kenduri sambut menantu En.Manan (rakan sekerja) di Semenyih, masa nak balik singgah Broga Rabbit Farm.... ladang arnab terbesar di Malaysia. Tapi bukan hanya ada arnab semata-mata, banyak lagilah haiwan ternakan lain. Tiket masuk RM5 sekepala... bawah 2 tahun masuk percuma.


19/11/2013 (Selasa) - Selamat hari lahir ke-4 buat anak daraku ini... semoga hidupmu diberkati dan dirahmati Allah hendaknya dan menjadi anak yang solehah.  Hanya sambutan kecil-kecilan dengan 3 biji kek kecik (yang nampak macam besor) serta big-box pizza hut. 
 


Jumpa lagi bulan Disember... haha.

20 June, 2013

Sukan Tahunan 2013

Err... sukaneka tahunan sebenarnya yang Angah sertai tu. Untuk murid tahap 1-3 cuma diadakan acara sukaneka. Sukan tahunan yang ada acara lumba lari tu diadakan pada hari berasingan, khusus untuk murid-murid tahun 4-6.


Apapun, tahniah kepada Angah kerana memenangi pingat pertama dalam hidup beliau. Apa pun warna pingatnya, ayah dan ibu tetap berbangga.

16 May, 2013

Selamat Hari Guru, Cikgu!

Assalamualaikum,

Kepada semua guru yang pernah menurunkan ilmu kepadaku, mendidikku, menasihatiku, memuji kebaikanku, menegur kesilapanku, menahan kesabaran dengan kenakalanku, memarahiku, melempangku, merotan punggung dan tapak tanganku, mencubit perutku, memulas puting tetekku, menarik 'sideburn'ku, mendendaku dengan hukuman berdiri atas kerusi... ketuk ketampi dan jalan itik, menggunting sampai tobek-tobek rambutku, memotong sampai ke lutut sebelah kaki seluar sekolah potongan ala jeansku..... dan macam-macam lagi...

terima kasih kerana menjadikan aku seorang 'manusia'.... hanya Allah yang dapat membalas jasamu cikgu...!!!



Selamat hari guru kepada semua insan bergelar guru. Semoga dengan didikanmu, anak-anakku juga bakal menjadi 'manusia'.


hadiah dari anak-anakku untuk guru mereka... 

Daripada Abu Umamah al -Bahili, Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah, malaikat dan ahli (penduduk) langit dan bumi; hinggakan semut di dalam lubang dan juga ikan paus ( meliputi seluruh haiwan di darat dan di laut ) mendoakan kebaikan ke atas orang yang mengajar perkara yang baik kepada manusia". (Riwayat al-Tirmizi)


22 March, 2013

Selamat tinggal taska transit dan van sekolah...

Cuti sekolah penggal pertama dah bermula. Sejak dua hari terakhir persekolahan, Along dah mula naik basikal ke sekolah. Dah Tahun 3 ni bolehlah mula belajar berdikari. Lepas habis sekolah agama paginya, balik sendiri ke rumah... segala kunci telah dibekalkan. Makanan sebelum pergi ke sekolah petang pun ibunya dah sediakan pagi sebelum ke pejabat... walaupun makanan mungkin dah sejuk tapi Along kata dia tak kisah.

Pesan ayah & ibu; hati-hati tunggang basikal  tu dan lepas habis sekolah terus balik rumah... (pesanan standard oleh mana-mana ibu bapa pun).

11 January, 2013

Angah dah sekolah

~ Rasanya baru bulan lepas Angah sambut harijadi yang ke-6 tahun, tiba-tiba dah sekolah Tahun 1 pulak. Oh lupa pulak, Angah kan lahir hujung tahun. Sama macam masa si Along nak masuk Tahun 1 dulu, kami laki bini masing-masing ambil cuti 2 hari untuk merasa nikmatnya menghantar anak masuk sekolah.... Nikmatnya tersangkut dalam trafik-jem, nikmatnya bersesak-sesak dengan para mak bapak mendengar taklimat pihak sekolah (sementara anak menduduki ujian diagnostik) dan nikmat juga beratur panjang membayar yuran dan mengambil buku teks...

~ Angah kemain semangat lagi nak sekolah, nasib baik tak susah sangat nak kejutkan dia pagi-pagi. Kejutkan 2-3 kali je terus bangun gi mandi dengan abangnya. Kat kelas pun tak perlu ditunggu lama-lama. Kami cuma tunggu dia sampai waktu rehat je sebab nak tunjukkan kantin sekolah. Kononnya nak ajar dia beli makanan kat kantin tapi malangnya kantin terlalu sesak dengan mak bapak budak lain, samalah tu nak ajar anak masing-masing beli makanan. Takpelah Tahun 1 ni Angah bawak bekal je lah ye. Lepas waktu rehat kami laki bini pun balik sebab Angah kata ayah dan ibu dah boleh balik... heh baguslah.


~ Sebelah petangnya hantar ke sekolah agama pulak. Waktu nak balik, muka Angah masam je... "kenapa lama sangat kena sekolah ni?"... tanya Angah. Penat le tu, maklumlah masa sekolah tadika tahun lepas masa belajarnya 3-4 jam je... Sabarlah Angah, lama-lama nanti biasalah tu.


SELAMAT MENEMPUH ALAM PERSEKOLAHAN, ANGAH DAN SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH, ALONG (DAH TAHUN 3).

11 November, 2012

Majlis Graduasi Tadika Angah

~ Cuti sekolah dah bermula. Tiba-tiba tersepit antara nak menghadiri dua acara pada masa yang sama... iaitu mengikut rombongan ke Penang (majlis perkahwinan adik lelaki (tiri) aku atau menghadiri hari konvokesyen anak kedua aku (konvo tadika je daa). 

~ Terpaksalah utamakan majlis konvo tadika si Angah, sekali seumur hidup je tu. Kenduri kahwin adik aku tu aku pergi sebelah lelaki je nanti. 


~ Acara: Disebabkan ini tadika sekular, maka acaranya pun acara keduniaan je lah. Dimulakan dgn persembahan tarian setiap kelas yg ada kat tadika tu, termasuk persembahan si Angah...owh, ada bakat juga anak aku tu menari. Lepas tu penyampaian sijil, dan diakhiri dgn acara makan-makan beramai-ramai.


~ Tahun depan Angah dah darjah 1.... cepat sungguh masa berlalu.

08 November, 2012

Cuti sekolah datang lagi

Tak belajar dah

Lepas je habis periksa, budak-budak sekolah dah tak belajar dah... boleh bawa permainan dan boleh main je sepanjang waktu persekolahan... kata si Along. Sama je baik sekolah agama mahupun sekolah kebangsaan. Jadi banyak hari jugalah si Along memonteng malas nak ke sekolah.


Keputusan

Keputusan peperiksaan akhir tahun untuk Tahun 2 dah dapat. Along dapat no. 31/42.... OK lah tu, ada juga peningkatan berbanding dengan periksa setengah tahun dulu, no. 41/42. Mungkin bagi sesetengah mak bapak akan malu kalau anaknya dapat nombor berpuluh-puluh. Tapi bagi aku ok je, asalkan dia dah berusaha... mungkin setakat tu je kemampuan budak tu.

Angah pulak dapat no.3/7 kat sekolah tadika dia. Terlambat daftar punya pasal maka terpaksalah dia sekolah sesi petang yang cuma ada 7 murid je dalam kelas dia. Sejak dah pandai mengeja dan membaca ni... habis semua benda nak diejanya....


Putus cinta

Suatu malam, beberapa hari sebelum cuti sekolah, bawa famili makan di luar. Tiba-tiba si Along kata takde selera nak makan... sebab baru putus cinta. Awek dia sejak zaman sekolah tadika dah kena rampas dek budak lain. Adehhh... tak sangka pulak aku kena berdepan situasi macam ni seawal anak aku ni baru darjah 2. Oooo... patutlah periksa dapat nombor berpuluh-puluh, kecik-kecik dah pandai nak bercinta... Ibunya pulak siap tergelak macam nak putus urat kentut... sampai menangis pulak budak tu kena gelak. Aku ni nak gelak ke tak... gelak dalam hati je la... kih..kih..kih... Kalau aku gelakkan dia juga nanti lain kali mesti tak nak dah dia cerita apa-apa atau meluahkan perasaan dia kat famili.


Perancangan masa cuti

Dah lama tak bawa anak bini gi jalan-jalan jauh sikit, masa cuti nilah yang sesuai. Nantilah aku fikir nak bawa  jalan ke mana. Tapi tiba-tiba aku ternampak pulak banner majlis khatan perdana beramai-ramai.

Heh... siaplah 2 orang anak bujang aku tu....



Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...