PTT Outdoor

22 December, 2019

Hiking : Air Terjun Bukit Wawasan, Puchong

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

22/12/2019 (Ahad) - Hiking bersama geng hiking lama masa mula berjinak-jinak dengan hobi hiking sekitar tahun 2000 dulu. Cadang nak ke Bukit Wawasan, Puchong, tapi masing-masing dah beranak pinak dan bawa anak-anak kecik bersama, kami tak ikut trek ke puncak bukit tapi ikut trek menuju air terjun... (bukan Blue Lagoon yang dilarang masuk tu).


Perjalanan ke air terjun ni kalau jalan santai-santai mengambil masa kira-kira 45 minit - 1 jam. Seronok betul budak-budak kalau jumpa air sungai... kalau tak disuruh naik memang sampai kecut diorang berendam. Waktu balik pekena air kelapa pulak di warung yang ada kat starting point.

Ada masa lain kali nak repeat ke puncak Bukit Wawasan pulak.



15 December, 2019

Hari Keluarga di Melaka

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

13-15 Disember 2019 (Jumaat - Ahad) - Hari Keluarga ofis aku bertempat di Amverton Heritage Resort, Ayer Keroh, Melaka.

~ 13 Dis (Jumaat) : Bertolak lepas subuh sebab nak jalan-jalan cari sarapan di Ayer Keroh. Tempat dituju gerai Roti Selimut Pak Ali... pekena roti welding dan roti selimutnya. Dah kenyang, kami ke Pusat Rekreasi RedTma di Tasik Ayer Keroh pula... banyak aktiviti ada di sini... berkayak, paddle boat, wall climbing, flying fox dll. Kami pilih aktiviti berkayak, harga RM5 sekepala, masa unlimited, berkayaklah satu tasik tu sampai lebam dan sampai rentung. Solat jumaat di Masjid Al-Alami MITC. Makan tengahari pekena asam pedas di Coconut Shake Batu Berendam. Check in hotel dan anak-anak mandi kolam sampai maghrib. Makan malam western di Kafe UAK.




~ 14 Dis (Sabtu) : Hari ni hujan dan mendung sepanjang hari... menghabiskan masa beraktiviti di hotel je. Sarapan, mandi manda kat kolam, acara sukaneka, majlis makan malam dan main pool kat lobi. Tengahari je keluar sekejap makan di Mango Float Royale Sungai Putat





~ 15 Dis (Ahad) : Hari terakhir, hujan lagi. Lepas sarapan, anak-anak dah malas nak mandi kolam, lagi pun kaki luka-luka akibat bergeser permukaan kasar di lantai kolam. Sekeluarga sambung tidur sampai jam 11.00 pagi, hujan-hujan ni + pulak aircond memang syok tidur. Lepas check out pun masih hujan lagi. Singgah tempat berdekatan je... puas minum madu lebah percuma di Galeri Lebah dan ke Muzium Orang Asli. Malas nak masuk bandar Melaka dah tentu jem. Lepas lunch balik dan terpaksa menempuh jem juga. Sampai rumah menjelang maghrib.

27 November, 2019

Gala Dinner

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

27 November 2019 (Rabu) - Ofis aku telah menganjurkan Majlis Gala Dinner & Awards Night bertempat di Templer Park Country Club, Rawang. Majlis bertujuan untuk meraikan dan menghargai warga kerja yang telah sepanjang tahun bekerja keras, bertungkus lumus, berhempas pulas dan bermandi keringat dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Dalam majlis makan malam bertemakan Retro ini, diadakan juga acara selingan iaitu persembahan  dari setiap unit, anugerah suka-suka untuk staf serta cabutan bertuah.



Tak sangka-sangka dah masuk kategori veteran pun masih boleh dapat anugerah hero remaja... kelakor sungguh sapa yang mengundi aku ni.. kuat diorang menganjing.. kah3.

22 November, 2019

Selamat Pengantin Baru, Yani

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


Selamat Pengantin Baru buat adik sepupuku... selamat melayari bahtera rumah tangga, semoga kekal berbahagia hingga ke akhir hayat, dan dikurniakan zuriat yang soleh & solehah... aamiin.

19 October, 2019

Bersukan di Muar

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

18-20 Oktober 2019 (Jumaat-Ahad): Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor telah menganjurkan sambutan Hari Statistik Negara 2019 dan Sambutan 70 Tahun DOSM di Muar, Johor. Pelbagai acara diadakan bersama komuniti kampung dan agensi di sekitar daerah Muar bertujuan mendekati dan meningkatkan literasi statistik di kalangan masyarakat, antaranya :

~ Pertandingan sukan bersama komuniti dan agensi (bolasepak, bola jaring, sepakraga bulatan, futsal)
~ Program Jom Sihat 10000 Langkah
~ Program Jelajah Berbasikal Stats De Tour
CSR (membersihkan parit, hiasan laman, rewang dan bantuan kepada asnaf)
~ Pertandingan mewarna, Kuiz Stats, Pameran & Stats Beyblade
~ Program 'School Outreach
~ Program 'Harvest, Pick & Eat' Nanas
~ Persembahan kebudayaan (ghazal, zapin, boria, dikir barat, pentomin)
~ solat berjemaah, majlis doa selamat dan bacaan Yasin




Sebagai pemain takraw yang agak berkaliber suatu ketika dahulu... aku dipilih untuk menyertai pasukan sepakraga bulatan lawan pasukan komuniti kampung sekitar Muar. Tapi kami taklah main sungguh-sungguh sangat untuk menjaga hati dan maruah pasukan tuan rumah.. jadi kami ambik hadiah saguhati je lah hihi.

Habis acara, aku balik awal sehari dari jadual, sepatutnya esoknya ada majlis penutup oleh menteri. Tapi aku balik awal sorang-sorang sebab nak melawat Along kat asrama... family first. 

Perjalanan terasa sangat jauh... 
Dari Muar ke TBS... naik bas ekspres 2.00 pm.
Dari TBS ke KL Sentral... naik LRT.
Dari KL Sentral ke Rawang naik komuter.
Dari Rawang ke pejabat (tinggal motor kat pejabat)... naik Grab.
Dari Pejabat balik ke rumah... naik motor.
5 jenis pengangkutan aku naik hari ni... isyak baru sampai rumah.. hihi.


08 September, 2019

Masuk rumah baru di tahun baru

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

1/9/19 bersamaan 1 Muharam 1441 Hijrah (Ahad)... tarikh yang cantik untuk berhijrah di tahun baru Hijrah. Hari ni kami sekeluarga berpindah ke rumah baru. Setelah 13 tahun tinggal di apartment, ada rezeki lebih sikit dapatlah beli rumah teres 2 tingkat dalam taman yang sama, tak jauh dari apartment lama.

Ada lah sikit tanah sekangkang kera... bolehlah nak bercucuk tanam pokok serai, pandan, kunyit, cili dan herba-herba lain sikit-sikit. Malas nak tanam pokok bunga, bukan boleh makan hasilnya, kecuali pokok herba berbunga yang berguna macam misai kucing, bunga telang biru dll. Cuba juga tanam beberapa pokok buah dalam pasu seperti mangga, longan, kundang madu, bidara epal & 4 jenis limau (kasturi, nipis, purut & lemon)... harapnya berbuahlah nanti. Kalau ada tanah luas sikit memang macam-macam aku nak tanam, silap-silap ketum pun aku tanam... memang jiwa peladang jaya nak buat macam mana.

(gambar update selepas 4-5 bulan berpindah)

Rumah apartment lama tu aku sewakan aje... belum sempat diiklankan dah ada yang bertanya nak sewa.. Alhamdulillah.

Baca : Amalan masuk rumah baru

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...