PTT Outdoor

10 March, 2018

Persiapan Menjelang Kematian

Berikut adalah intipati kuliah "Persiapan menjelang kematian" bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani.. sebagai peringatan untuk diri sendiri dan juga sahabat-sahabat.

Penyesalan tidak berguna lagi dalam 3 keadaan:

1. Ketika mana melihat datangnya Malaikat Maut,

2. Bila roh sampai di halkum, dan

3. Ketika jenazah kita diturunkan di liang lahad.



Amalan-amalan yang perlu dilakukan ketika hidup... yang amat diinginkan oleh ahli kubur:
1. Perbanyakkan membaca al Quran.
2. Perbanyakkan membaca surah al-Zahrawayn (dua cahaya yang bersinar)... iaitu surah al Baqarah dan Ali Imran, kelak mendapat syafaat di Padang Mahsyar.
3. Perbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW.
4. Melazimi membaca surah Al-Mulk sebelum tidur setiap malam.
5. Melazimi membaca Ayatul Kursi selepas solat fardhu.
6. Perbanyakkan membaca Sayyidul Istighfar.
7. Sentiasa beristigfar dan bertaubat kepada Allah Taala.
8. Perbanyakkan bersedekah dan berwakaf.
9. Melazimi membaca doa Nabi Yunus a.s 40x ketika sakit menjelang kematian, pasti diberikan pahala orang yang mati syahid.
10. Mengamalkan solat sunat Dhuha setiap hari yang menghapuskan dosa-dosa terdahulu.
11. Menghidupkan akhir malam dengan solat Tahajjud.
12. Menghadiri majlis ilmu (taman syurga). Antara kelebihan mendapat ketenangan dan rahmat, dipermudahkan jalan menuju syurga, beroleh ganjaran pahala.
13. Menziarah kubur dan duduk disisinya sambil mendoakan si mati.
14. Amalkan doa 3x sehari seperti yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W
"Subhanakallahumma wabihamdika astaghfiruka wa atubu ilaih."

Amalan-amalan bagi orang sakit:
1. Melazimi zikir 40x
لا اله الا انت سبحا نك إني كنت من الضالمين
2. Perbanyakkan selawat ke atas Nabi aS.
3. Perbanyakkan membaca surah al Ikhlas. Sesiapa yang membaca surah ini hingga kematiannya, tidak akan mendapat fitnah kubur dan diamankan dari himpitan kubur dan dipermudahkan melintasi titian sirat menuju syurga.
4. Lazimi membaca al Hauqalah, akan termasuk dalam kalangan umat Muhammad yang tidak dihisab dan tidak diazab.
لا اله إلا الله والله أكبر ولا حول ولا قوة إلا بالله العلي العضيم.
5. Membaca zikir-zikir yang warid daripada Nabi S.A.W.
6. Sentiasa berada dalam keadaan berwudu' dan bersugi serta memakai bau-bauan.
7. Hadapkan muka ke arah kiblat semasa berzikir, membaca Qur'an dan sebagainya.

Amalan ketika menziarah orang sakit:
1. Mendoakan keselamatan kepada pesakit.
2. Sentiasa pastikan pesakit berada dalam keadaan wudu'... "Janganlah engkau tidur melainkan dalam keadaan berwudu' kerana roh akan dibangkitkan seperti pada saat ia dicabut."
3. Bacalah surah Yaasin di samping orang sakit/nazak.
4. Bacalah surah al-Ra'du di samping orang sakit/nazak.
5. Ucap kalimah syahadah berulang kali di telinga orang yang sedang nazak.
لا إله إلا الله محمد رسول الله
6. Ketika menutup mata seseorang yang baru meninggal dunia, bacalah;
بسم الله وعلى ملة رسول الله

Semoga rahmat dan kasih sayang Allah Ta'ala sentiasa menaungi kita!


05 March, 2018

Mendaki Bukit Senaling, Kuala Pilah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Info : 
~ Bukit Senaling terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Senaling - Inas, daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Bukit Senaling menjadi viral di kalangan pendaki sejak setahun dua kebelakangan ini disebabkan oleh pemandangan awan karpet yang terbentuk di sekitar puncak bukit tersebut. 

~ Ketinggian bukit ini hanya 394m /1293 kaki sahaja dan pendakian hanya mengambil masa lebih kurang 1 jam hingga 1 jam setengah bergantung kepada kemampuan masing-masing. Laluan trail boleh dikatakan santai-santai sahaja... bukitnya tak terlalu curam, sesuai untuk beginner dan anak-anak kecil.

~ Aktiviti pendakian diuruskan oleh Persatuan Belia Kg. Ulu Senaling iaitu US Hikers. Bayaran RM15 dikenakan kepada setiap peserta yang ingin mendaki, atau RM20 jika inginkan pakej buffet sarapan pagi. Pendaftaran masuk perlu dibuat kerana jumlah pendaki dihadkan  kepada 200 pendaki sahaja dalam sehari bagi mengelakkan kesesakan semasa berada di puncak serta faktor keselamatan. Walaupun ada terdengar suara-suara tak berpuas hati dengan kadar bayaran dan rasa macam tak perlu pun ada jurupandu arah, tapi dah masuk tempat orang ikut sahajalah, sekurang-kurangnya permit masuk hutan simpan dah diuruskan dan dapat juga membantu menjana ekonomi penduduk tempatan.


4 Mac 2018 (Ahad) 


~ 1.00 amTiba di Petronas Senaling... tempat berkumpul. Perjalanan dari KL bersama Awe sahabat lama, mengambil masa lebih kurang 2 jam. Melelapkan mata dalam kereta seketika sementara menunggu jurupandu US Hikers tiba jam 5.00 pagi.

~ 5.45 am - dari Petronas Senaling, dibawa kira-kira 2 km ke tempat parkir kenderaan iaitu tempat permulaan pendakian berhampiran rumah penduduk kampung. Kena daftar masuk dulu sebelum memulakan pendakian, senarai nama diperiksa terlebih dahulu bagi memastikan pendaki yang telah mendaftar sahaja yang dibenarkan mendaki.

~ 6.00 am - Kumpulan kami geng baju merah seramai 13 orang memulakan pendakian menyusuri jalan tanah merah melalui tanah milik persendirian yang merupakan kawasan penanaman semula kelapa sawit. 

~ 6.40 am - Berhenti seketika menunaikan solat subuh di pertengahan pendakian. Kemudian teruskan perjalanan dan berhenti di satu tempat lapang menikmati pemandangan waktu fajar.

~ 7.00 am - Mula memasuki trail hutan dan kemudian melalui kawasan permatang.

7.30 am - Setelah berjalan dengan rentak santai-santai je, akhirnya sampai di puncak. Terdapat beirut di sini (kalau ada yang tak tau, beirut bermaksud penanda puncak berbentuk segitiga yang diperbuat dari besi). Suhu nyaman dengan angin dingin bertiup sesekali. Pemandangan 360 darjah. Alhamdulillah dalam pendakian kali pertama ni dapat menikmati pemandangan matahari terbit dan awan karpet yang luas terbentang berlatarbelakangkan bukit-bukau saujana mata memandang... subhanallah indahnya. Ada sahabat yang kata pernah naik 4 kali tapi belum ada rezeki nak tengok pemandangan awan karpet tu.



~ 9.30 am - Setelah puas bergambar dan sempat juga terjebak dalam aktiviti senaman panama dance yang sedang viral sekarang ni, kami mula bergerak turun dan sampai di parkir kereta kira-kira setengah jam kemudian. Sebolum bertolak balik, singgah makan nasik dongan gulai masak lomak cili api kek medan selero Kolo Pilah... ehh tetibo tercakap nogoghi lak ni.. kih3.

Kepada mereka yang ingin menikmati pemandangan awan karpet dengan pendakian yang santai, Bukit Senaling merupakan tempat yang sesuai. Sila hubungi US Hikers melalui no. telefon seperti yang terpapar di banner di atas untuk sebarang pertanyaan berkaitan pendakian Bukit Senaling. Jangan tanyo den yo... tak ghoti den nak jawab!


23 February, 2018

Program Pemantapan Strategi @ Institut Perakaunan Negara, Sabak Bernam

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

21-23 Februari 2018 - meninggalkan anak bini bermukim 3 hari 2 malam di Institut Perakaunan Negara (IPN), Sabak Bernam.

Agenda:
~ Pembentangan Pencapaian & Sasaran Kerja Tahunan.
~ Idea Mining and Idea Unveiling Pemantapan Strategi DOSM Selangor ke arah persediaan Banci Penduduk dan Perumahan 2020.
~ aktiviti pengukuhan pasukan (team building). 
~ dan aktiviti paling seronok... aktiviti riadah FitDOSM waktu petang. Sempatlah berbasikal sekitar kampung dan pantai Sg.Lang, berkayak di tasik dalam IPN dan memanah.
Sekian catatan ringkas je... (malas).


18 February, 2018

Selamat Pengantin Baru, Cu

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ 16 Februari 2018 (Jumaat); cuti raya cina, bertolak ke rumah abang ipar di Kota Tinggi, Johor untuk menghadiri majlis kahwin adik ipar bongsu. Mujur jalan tak jem sangat. Malam pertama bermalam 3-4 keluarga di homestay berdekatan.

~ 17 Februari 2018 (Sabtu); dilangsungkan majlis akad nikah dan jamuan makan dalam satu majlis ringkas. Majlis yang ringkas macam ni lah yang terbaik lagi berkat dan patut diamalkan oleh bakal-bakal pengantin... mak bapak pengantin pun sila take note... anak-anak bukan untuk 'dijual'.

Selamat pengantin baru buat Cu dan pasangannya Shafiq, semoga berkekalan bahagia hingga ke akhir hayat dan hingga ke syurga. Semoga dikurniakan kesihatan yang baik, dicukupkan rezeki serta dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah. Perkahwinan juga boleh menjadi pencetus untuk kita membuat perubahan ke arah menjalani kehidupan yang lebih baik.



Petang selepas majlis dan selesai tolong-tolong kemas kerusi meja, kami bertolak pula ke JB. Bermalam di rumah anak buah isteri yang menetap di sana. Malamnya dibawa jalan-jalan cari makan di gerai Bubur Nasi Istimewa No.1 di Taman Sentosa. Lepas tu ke Danga Bay, bawa anak-anak lepak di mini theme park sekejap.

~ 18 Februari 2018 (Ahad); sebelum berangkat pulang, sempat singgah di kilang Otak-Otak JB Mr Noh, membeli otak-otak yang khabarnya sedap dan tersohor di JB dengan keaslian resepinya. Beli yang frozen, sampai rumah nanti baru panggang. Terbukti memang sedap.


08 January, 2018

Sekolah Sesi 2018

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Ini sekadar catatan persekolahan anak-anak.

Along : Tahun ni Along dah masuk tingkatan 2. Sudah berpindah ke kompleks pengajian dan asrama yang baru dibina... dalam suasana kampung yang lebih tenang. Semoga lebih bersemangat dalam belajar dan hafazannya.

Angah : Angah dah tahun 6, tahun yang sibuk sebab nak menghadapi UPSR & PSRA di sekolah agama. Tahun ni dah kena pergi kelas tambahan kat sekolah yang wajib kena pergi setiap Sabtu. Nampaknya kalau kami nak balik kampung atau nak ke mana-mana kena merancang dulu melainkan ada kecemasan. Tahun ni juga dah perlu pergi kelas tuisyen subjek Math & B.I yang memang agak lemah.

Aina : Dah masuk tahun 3 anak dara ayah ni. Terasa begitu cepat masa berlalu. Tahun ni Aina bersekolah kebangsaan sesi petang, tak sama dengan Angah yang bersekolah sesi pagi.

Harapan ayah dan ibu semoga dipermudahkan segala urusan anak-anak dalam pelajaran. Bagi kami asalkan anak-anak dah usaha dan belajar, tak dapat A pun tak apa (kalau dapat A itu bonuslah). Selebihnya serahkanlah pada takdir. Kalau result cemerlang tapi akhlak buruk pun tak guna juga. Yang paling penting taat pada perintah Allah dan ajaran Rasul-Nya, tinggi akhlaknya, taat dan hormat pada ibu bapa dan guru, insya Allah berjaya dunia akhirat.

Sekian kisah 3 beradik kembali ke sekolah.



31 December, 2017

Road Trip 7 Hari 7 Malam Jelajah Johor - Hari 7

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Baca:
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Intro
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 1
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 2
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 3
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 4
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 5
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 6



JOHOR BAHRU - KULAI - PONTIAN - BATU PAHAT - SUNGAI BULOH

~ 28/12/2017; Khamis - Hari terakhir di Johor. Malam tadi dah makan besar... pagi ni sarapan maggi & mamee hot cup dalam bilik hotel je. New Boutique Hotel ni tak sediakan pakej sarapan. Hari ni keluar lewat sikit.

~ 9.20 pagi; 31km ke Johor Premium Outlet (JPO), Indahpura, Kulai. Tempat shopping pakaian ori jenama antarabangsa. Singgah sini nak tengok-tengok je dah alang-alang sampai Johor ni. Walaupun orang kata harga agak murah bila ada sale barang yang dah agak outdated, tapi bagi aku tetap mahal juga. Tapi sempat jugalah orang rumah sambar kasut Vincci sepasang... buat menggantikan kasutnya yang dah haus akibat banyak sangat berjalan sepanjang kat Johor ni... hihi. Sebelum meninggalkan JPO singgah makan crepe & aiskrim... makan ringan-ringan pun kenyang. Waktu operasi JPO ni dibuka dari 10am-10pm. Kawasan luas meliputi 130 outlet, sedialah untuk berjalan jauh kalau nak datang sini ye…



~ 11.45 pagi ; 67km ke Taman Negara Tanjung Piai, Pontian. 1.20 tengah hari baru sampai. Merupakan penghujung paling selatan tanah besar benua Asia. Buka 8.30am-6pm. Kawasan hutan paya bakau yang kaya dengan flora dan fauna. Boleh dijelajahi dengan berjalan kaki atas laluan pelantar kayu hingga sampai di glob iaitu mercu tanda yang didirikan untuk menandakan telah sampai di penghujung paling selatan tanah besar benua Asia. Ada satu lagi laluan boleh diikuti yang berakhir di penghujung jeti memancing. Keseluruhan taman ni boleh dijelajahi dalam masa kira-kira 45 minit - 1 jam. Tapi bagi aku tak berapa selesa nak menjelajah taman negara ni... perut buat hal...hihi..huhu!



~ 2.30 petang; 30km ke bandar Pontian. Solat jamak zuhur dan asar di Masjid Jamek Bandar Pontian. Kemudian singgah makan tengah hari di restoran Nasi Ayam Haji Ali, Taman Merdeka, Pontian. Sedap juga nasi ayamnya, kuah sos dan kicap nasi ayamnya tersedia atas meja boleh tambah sendiri.

~ 5.00 petang; Masa untuk balik… 73km menuju Ayer Hitam, ikut jalan lama tepi laut menghala ke Batu Pahat, melalui pekan Ayer Baloi, Benut dan Rengit. Sampai Ayer Hitam singgah gerai durian makan kat situ juga, siap ada lebih kami tapau dalam bekas plastik.

~ 6.40 petang; 276km (kira-kira lagi 3 jam perjalanan) untuk balik ke rumah… Dari Ayer Hitam memasuki Lebuhraya PLUS. Singgah solat jamak maghrib dan isyak di Kawasan Rehat Pagoh. Alhamdulillah selamat sampai di rumah pada jam 10.40 malam. Penat tapi puas.


FAKTA

* Jumlah jarak keseluruhan perjalanan pergi dan balik sepanjang jelajah 
meliputi 9 daerah di Johor selama 7 hari 7 malam ni adalah 1905 km

* Sepanjang 7 malam pengembaraan kami ni, kami bermalam di 7 jenis penginapan yang berbeza juga. Malam pertama sebaik sampai di Mersing kami bermalam di masjid, kemudian berkhemah di Mersing, diikuti homestay di Kluang, chalet di Batu Pahat, tumpang rumah saudara di Kota Tinggi, bermalam di kelong Ulu Tiram, dan akhir sekali hotel di JB... menarik kan?

* Kos petrol, tol & parkir, penginapan, bayaran tiket masuk tempat-tempat menarik, makan minum, ada shopping sikit-sikit dan perbelanjaan lain seperti dobi, umpan memancing, cenderahati dan sebagainya = Lebih kurang RM3200

Sekian catatan perjalanan untuk jelajah kali ni. Kami bukanlah orang kaya. Kena menabung lama juga untuk mencapai impian pengembaraan kami. Tujuan utama perkongsian pengalaman ni pun sebagai kenangan pengembaraan kami sekeluarga buat tatapan anak cucu nanti. Mungkin juga boleh menjadi panduan atau inspirasi kepada orang lain kalau ada yang berminat. Wassalam.

"Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan kepada Allah jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula."
(Surah Al-Mulk: ayat 15)



Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...