PTT Outdoor

30 August, 2015

Mendaki Pine Tree Hill - Twin Peak, Bukit Fraser

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Dulu pernah tertipu masa mendaki Bukit Kutu... nama je bukit tapi ketinggiannya dah taraf gunung. Kali ni mendaki Bukit Pokok Pain & Puncak Kembar pulak (pelik pulak bunyinya bila di-translate..hehe), aku tertipu lagi.

~ Ketinggian Pine Tree Hill (1448 m / 4751 kaki d.p.l) dan Twin Peak (1505 m / 4938 kaki d.p.l) sebenarnya dah boleh masuk kategori gunung. Tapi tak kiralah bukit atau gunung, dah sampai redah je lah.

~ Jam 12.30 tengah malam, dua kereta bertolak ke Bukit Fraser. Trip kali ni kami cuma berlapan, termasuk Along & Angah. Lebih kurang 2.30 pagi, sampai Bukit Fraser, tidur dalam kereta berdekatan dataran menara jam mercu tanda Bukit Fraser tu sementara menunggu subuh.

~ Lepas solat subuh di Masjid Bukit Fraser, sarapan di Kedai Makan Hamzah yang terletak di sebelah masjid. Roti canai, nasi lemak dan sambal sotongnya memang sedap.

~ Penyerahan baju merah berbintang kuning mungkin bermakna aku dah diterima secara rasmi masuk geng bintang kuning ni. Terima kasih kepada ahkak kawasan...hihi.

~ 9.00 pagi; pendakian bermula dari pintu gerbang berdekatan Rest House TNB. Info di papan tanda mengatakan trail ni sejauh 5.5 km, dan ada beberapa pondok rehat di dua km pertama trail. Ada pondok yang masih elok dan ada yang dah usang atau runtuh dihempap pokok tumbang.

~ Permulaan trail agak santai menuruni laluan tangga batu, kemudian trail mula turun naik yang agak mencabar juga. Mujur buat daytrip je, tak perlu nak pikul beban berat.

~ Selepas kira-kira sejam, akan jumpa batu tanda sempadan negeri Pahang dan Selangor. Lepas tu akan jumpa pulak pokok yang macam ada gua di bawahnya.

~ Terdapat satu tapak perkhemahan yang dekat dengan satu punca air. Tapi berdasarkan papan tanda, dikatakan punca air tersebut dah tercemar dan tak selamat diminum.


~ Menghampiri puncak, kami terpaksa memanjat tebing menegak 70-80 darjah, setinggi kira-kira 10 meter. Terima kasih kepada yang memasang tali yang memudahkan pendakian selain berpaut pada akar-akar pokok.

~ Seperti biasa, Along mendaki dengan rentak slow & steadynya, manakala Angah sentiasa laju ke depan macam tak ingat ayahnya yang mencungap kat belakang ni... memanjang nak kena sound suruh slow sikit...

~ Agak santai sebenarnya pergerakan kami dan banyak kali juga berhenti rehat. Lebih kurang jam 1.30 petang, barulah kami sampai di puncak Pine Tree Hill. Cuaca baik, suhu agak dingin tapi agak berkabus (atau mungkin berjerebu). Kawasan puncak taklah besar mana, pemandangan hampir 180 darjah.


~ Selepas sesi bergambar sakan, Perjalanan diteruskan lagi ke Twin Peak yang hanya memakan masa kira-kira 30-40 minit, trek banyak menaik dari menurun. Pemandangan kali ini 360° dan membolehkan kami menikmati pemandangan indah bukit serta gunung-ganang sekitar.

~ Perut pun dah lapar. Masak mamee slurpy + telur, memang sedap dimakan panas-panas secara berjemaah di puncak gunung. 

~ Hampir sejam lepak di puncak Twin Peak. Lepas solat jamak zuhur & asar, bersiap untuk turun. Tetiba Along nak terberak pulak, 3 ketul hasilnya kata Along. Cheiitt... itupun nak cerita ke.

~ Jam 4.00 petang, kami turun semula ke tempat permulaan. Selepas melewati puncak Pine Tree, pergerakan kami agak perlahan ketika menuruni cerun curam tadi. 

~ Hari beransur gelap dan berkabus. Si Angah yang tadinya becok mulutnya dah makin diam je, pewai le tu. Along masih steady. Setelah mendaki semula tangga batu yang kali ni dirasakan sangat jauh, akhirnya kami sampai di starting point pada jam 8.30 malam.


 ~ Selesai membersihkan diri, kami lepak makan di Medan Selera Bukit Fraser. Along dan Angah dah pewai sangat sampai tertidur kat meja makan. Tahniah buat Along & Angah kerana berjaya mengharungi pendakian paling tinggi dan paling panjang setakat ni. Pertama kali diorang trekking sampai malam.

~ Lepas makan terus balik. Semua dah lelap dalam kereta, kepenatan dan kepeningan melalui jalan Bukit Fraser yang berliku-liku tu. Selamat sampai rumah jam 2.00 pagi.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE-58.... MERDEKA!

23 August, 2015

Bolasepak Persahabatan: Statistik FC Zon Tengah vs DETURA FC

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Perlawanan persahabatan ini menjadi medan latihan terakhir pemain skuad 9-sebelah Zon Tengah dalam sukan antara zon Jabatan Perangkaan Malaysia yang akan berlangsung dari 3-6 September 2015 di UIAM cawangan Pahang di Kuantan.

~ Sebagai pemain yang memenuhi 1 kuota pemain veteran dalam skuad ni, cadangnya datang nak main sekejap je, tapi ramai pulak pemain lain yang muda-muda tak dapat datang atau datang lambat sikit, lama pulak la pakcik kena main... ishhh3.


~ Perlawanan diadakan di Padang C, Institut Sukan Negara (ISN) Bukit Jalil. antara Statistik FC Zon Tengah menentang Kelab Detura FC. Perlawanan berkesudahan pasukan kami menang 6-5...

~ Dah macam main futsal pulak banyak jaringan dan banyak bolos. Dalam situasi ni ada dua kemungkinan, iaitu pasukan ni sama kuat... ataupun sama-sama tak kuat...hihihi...

22 August, 2015

Mendaki Bukit Tabur Far East

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ 22 Ogos 2015; aktiviti hiking kali ni di Bukit Tabur Far East, Taman Melawati.

~ Starting point; masuk ikut jalan belakang Zoo Negara, berdekatan Jalan L5, Taman Tropika Kemensah, Ulu Kelang. Sekitar kawasan tempat kami parking tu kerja-kerja pembinaan meratakan tanah untuk projek perumahan sedang dijalankan. Jadi kalau datang sekali lagi pasti starting point ni akan berubah, dah penuh dengan rumah kediaman.

~ Mula mendaki kira-kira pukul 8.30 am. Selepas melalui tapak pembinaan, kami 10 orang mula mendaki melalui kawasan dusun buah yang luas menghijau milik persendirian. Awas, ada berbelas ekor anjing berkawal di dusun ni. Mujur cuma anjing biasa, kuat menyalak tapi sebenarnya eksyen je lebih. Tapi harap jangan ada yang gatal tangan nak petik buah kat sini... takut-takut lepas ni tuan punya dusun bela rottweiler pulak lagi naya.

~ Di penghujung dusun, barulah jumpa trek hutan. Setelah hampir 30 minit pendakian, sampai ke checkpoint pertama iaitu persimpangan menuju Bukit Tabur Extreme (simpang ke kanan) dan Bukit Tabur Far East (ikut simpang kiri).

~ Dari sini, perjalanan ke Puncak Tabur Far East, treknya agak curam dan kemudian agak mendatar namun perlu berhati-hati kerana treknya berbatu manakala di kiri dan kanan trek adalah gaung yang agak curam…

~ Tiba di puncak Tabur Far East, pemandangan di sini memang sangat menarik. Di sebelahnya pemandangan empangan Klang Gate manakala di sebelah lagi pemandangan sekitar kawasan Taman Melawati hingga pusat bandaraya KL.

~ Dari puncak Far East, kami meneruskan perjalanan kira-kira 15 minit ke penghujung rabung yang memisahkan Bukit Tabur East dan Far East. Dari sini boleh nampak jelas pendaki-pendaki lain yang sedang mendaki Bukit Tabur East.


~ Perjalanan turun ikut jalan yang sama masa naik tadi. Macam biasa trip pendakian ke Bukit Tabur pasti akan berakhir dengan pekena Nasi Ayam Taman Melawati + cendol + ABC... ganti balik kalori yang dah banyak terbakor tadi.

09 August, 2015

Jangkitan kuman di paru-paru (pneumonia)

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Petang Sabtu, 8/8/2015; dalam perjalanan balik kampung sebab nak menghadiri jamuan raya sambil reunion sekolah menengah aku dulu, singgah klinik berdekatan rumah sebab si Angah dah dua hari batuk-batuk. Mulanya ingatkan batuk biasa je, tapi bila nampak dia bernafas agak laju dan pendek-pendek, lepas tu mengadu sakit kat dada dan perut bila batuk, kena hantar klinik juga ni.

~ Di klinik, lepas masuk oksigen pun masih tiada perubahan. Nak kata asma tak pernah pulak ada sejarah asma. Doktor buat surat rujuk ke hospital... mungkin ada jangkitan kat paru-paru. Balik rumah dulu, ibunya siapkan apa yang patut... barulah aku dan Angah berdua je ke hospital. Bila dah kena rujuk ke hospital ni confirm kena masuk wad rasanya... kensel la balik kampung petang tu.

~ Mulai lepas maghrib sampailah keesokan paginya, Angah ditempatkan di wad pemerhatian. Ada la 4-5 kali masuk oksigen, masuk air sebab bimbang dehidrasi, masuk ubat, buat ujian darah dan x-ray. Akhirnya jam 10 pagi baru dibenarkan balik rumah sebab dah beransur sembuh dan jangkitan belum begitu serius, hanya perlu teruskan makan ubat je... alhamdulillah.


~ Apapun, bila anak-anak batuk, selsema atau demam lebih dari dua hari cepat-cepatlah bawa ke klinik atau hospital sebelum melarat lebih teruk atau mungkin ada jangkitan lebih serius yang membahayakan nyawa. Sebelum ni aku sendiri pun tak ambil tau sangat tentang jangkitan kuman pada paru-paru ni, jadi bila dah terkena pada anak sendiri barulah nak ambil peduli...huhu.


Jangkitan Kuman di Paru-Paru (Pneumonia)
Sumber: MyHealth, Kementerian Kesihatan Malaysia

Pengenalan
Sistem pernafasan manusia terbahagi kepada bahagian atas dan bahagian bawah. Bahagian bawah terletak di dalam dada dan terdiri daripada saluran pernafasan dan pundi-pundi udara (air sacs).

Jangkitan kuman di paru-paru boleh melibatkan saluran pernafasan (bronchitis) dan pundi-pundi udara (pneumonia). Secara amnya, jangkitan kuman di tisu paru-paru dikenali sebagai pneumonia. Ia adalah jangkitan kuman yang biasa dikalangan kanak-kanak kecil dan orang-orang tua.

Ia disebabkan oleh virus atau bakteria. Kadang-kala ia juga disebabkan oleh jangkitan awal pada sistem pernafasan di bahagian atas (batuk dan selesema) yang merebak ke bahagian bawah sistem pernafasan.
Jangkitan kuman ini boleh melibatkan keadaan yang tidak serius hinggalah kepada keadaan yang membahayakan nyawa.

Tanda dan gejala
Ini bergantung kepada sebab, umur dan penyakit yang berkaitan dengan seseorang kanak-kanak itu.
Secara amnya, kanak-kanak akan mengalami:
  • Demam panas.
  • Batuk dengan atau tanpa kahak.
  • Sakit dada.
  • Tiada selera makan, tidak mahu makan.
  • Rasa tidak sihat, sering merengek.
  • Pernafasan laju atau susah bernafas.
  • Muntah atau cirit-birit.

Adakah jangkitan kuman paru-paru ini serius?
Jangkitan kuman paru-paru boleh menjadi sangat serius dalam masa yang singkat terutamanya dikalangan kanak-kanak kecil.

Kanak-kanak boleh mengalami kekurangan air (dehidrasi) atau kekurangan oksigen. Kanak-kanak yang mengalami tanda-tanda berikut perlu dimasukkan ke hospital:
  • Pernafasan laju.
  • Sukar untuk bernafas.
  • Bibir menjadi biru.
  • Batuk berdarah.
  • Tidak boleh makan atau minum atau tidak kencing.

Apakah rawatan untuk jangkitan di paru-paru?
Jenis rawatan bergantung kepada tahap jangkitan. Kebanyakannya adalah tidak serius dan disebabkan oleh virus, oleh itu sistem pertahanan badan memainkan peranan utama untuk melawan penyakit ini. Apabila jangkitan kuman ini disebabkan oleh bakteria, antibiotik akan diberi oleh doktor.

Untuk jangkitan yang tidak serius, ubat boleh diberi dalam bentuk pil.
Anda boleh mencuba rawatan ini di rumah:
  • Paracetamol/Panadol.
  • Rehat yang secukupnya.
  • Minum air yang banyak.
Sekiranya jangkitan menjadi lebih serius ubat akan diberikan melalui suntikan. Jika jangkitan kuman di paru-paru ini berlarutan atau menjadi kritikal, anak anda perlu dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan oksigen, antibiotik dan sokongan perubatan yang lain.

Apakah langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan jangkitan kuman ini?
Mengekalkan amalan cara hidup sihat. Amalan kebersihan diri dan persekitaran yang baik. Teruskan penyusuan susu ibu. Mengambil immunisasi boleh mencegah jangkitan kuman di paru-paru. Contohnya:
  • Vaksin batuk kokol (pertussis) dan demam campak (measles) - wajib untuk semua kanak-kanak di bawah Program Immunisasi Kanak-Kanak Negara (National Childhood Immunization Programme).
  • Vaksin influenza - untuk kanak-kanak tertentu yang berisiko tinggi contohnya masalah pernafasan yang kronik, penyakit jantung dan masalah kurang pertahanan badan.
  • Vaksin pneumococcal - untuk kanak-kanak yang berisiko tinggi contohnya kanak-kanak yang tiada limpa, sakit buah pinggang yang kronik dan kanak-kanak yang menerima rawatan yang melemahkan sistem pertahanan badan.
Jika anda merasa anak anda termasuk dalam golongan kanak-kanak berisiko tinggi, sila dapatkan nasihat doktor.

Semakan akhir : 26 April 2012
Penulis : Dr. Chan Kwai Cheng
Penyemak : Dr. Norzila bt. Mohamed Zainudin

31 July, 2015

Bolasepak Persahabatan: Statistik FC Zon Tengah vs TRWLK

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


~ Perlawanan persahabatan ini menjadi medan pemilihan pemain untuk mewakili skuad 9 sebelah Zon Tengah dalam sukan antara zon Jabatan Perangkaan Malaysia yang akan berlangsung dari 3-6 September 2015 di UIAM cawangan Pahang di Gambang.

~ Sempatlah aku main sekejap, sekadar untuk memberi sokongan kepada pemain-pemain muda, dan sekadar untuk memenuhi 1 kuota pemain veteran dalam skuad ni.. hihi.

~ Perlawanan diadakan di atas permukaan padang tiruan berwarna biru di NPNG Sports Centre, Damansara Damai antara Statistik FC Zon Tengah menentang Kelab Penyokong Kelantan The Red Warriors Lembah Kelang (TRWLK) berkesudahan TRWLK menang 2-1.


25 July, 2015

Melangkah ke usia 40 tahun

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera. 

Alhamdulillah... masih diberi kesempatan untuk menikmati kehidupan pada usia 40 tahun... bermakna makin singkat tempoh aku transit kat dunia ni. Aku kongsikan info ni sebagai peringatan untuk diri sendiri dalam menghabiskan sisa-sisa hidup aku yang entah berapa lama lagi agaknya..


Oleh Tuan Ibrahim Tuan Man

(Petikan dari Harakahdaily.net) 


Bila ada persoalan tentang umur 40 tahun manusia, saya terfikir sejenak. Belum pernah saya membincangkannya dengan sesiapa sebelum ini. 

Bila saya cuba mengajak kepada perbincangan, ramai yang berkata itu cuma psikologi barat untuk menggambarkan kehidupan mesti enjoy dan berseronok, dan pada umur ini barulah fikir tentang masa depan.



Ramai tidak sedar dalam al-Quran ada menyentuh tentang usia ini. Tentu ada yang sangat penting, perlu diperhatikan dan diambil serius akan perkara ini. Allah swt. berfirman,


حَتَّى إَذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِيْنَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِى أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِى أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِى فِى ذُرِّيَّتِى إِنِّى تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّى مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ

“Apabila dia telah dewasa dan usianya sampai empat puluh tahun, ia berdoa, “Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.” (al-Ahqaf: 15)

Usia 40 tahun disebut dengan jelas dalam ayat ini. Pada usia inilah manusia mencapai puncak kehidupannya baik dari segi fizikal, intelektual, emosi, mahupun spiritualnya. Benar-benar telah meninggalkan usia mudanya dan melangkah ke usia dewasa yang sebenar.

Doa yang terdapat dalam ayat tersebut dianjurkan untuk dibaca oleh mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas. Di dalamnya terkandung penghuraian yang jelas bahawa mereka; telah menerima nikmat yang sempurna, kecenderungan untuk beramal yang positif, telah mempunyai keluarga yang harmoni, kecenderungan untuk bertaubat dan kembali kepada Allah

Pada ayat yang lain, firman Allah;

أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُمْ مَا يَتَذَكَّرُ فِيْهِ مَنْ تَذَكَّرَ وَجَاءَكُمُ النَّذِيْرُ


"Apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam tempoh yang cukup untuk berfikir bagi orang-orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepadamu pemberi peringatan? "(al-Fathir: 37)


Menurut Ibnu Abbas, Hasan al-Bashri, al-Kalbi, Wahab bin Munabbih, dan Masruq, yang dimaksud dengan “umur panjang dalam tempoh yang cukup untuk berfikir” dalam ayat tersebut tidak lain adalah ketika berusia 40 tahun.


Menurut Ibn Kathir, ayat ini memberikan petunjuk bahawa manusia apabila menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Apabila itu berlaku menjelang usia 40 tahun, maka Allah memberikan janjiNya dalam ayat selepas itu: (maksudnya) Kematangan.


Usia 40 tahun adalah usia matang untuk kita bersungguh-sungguh dalam hidup. Mengumpulkan pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang kejahilan ketika usia muda, lebih berhati-hati, melihat sesuatu dengan hikmah dan penuh penelitian. Maka tidak hairan tokoh-tokoh pemimpin muncul secara matang pada usia ini. Bahkan Nabi s.a.w, seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas:


“Dibangkitkan Rasulullah s.a.w pada usia 40 tahun” (riwayat al-Bukhari).

Nabi Muhammad saw. diutus menjadi nabi tepat pada usia 40 tahun. Begitu juga dengan nabi-nabi yang lain, kecuali Nabi Isa as. dan Nabi Yahya as.

Mengapa umur 40 tahun begitu penting?

Menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyah usia manusia diklasifikasikan menjadi 4 (empat) period, iaitu:
1. Kanak-kanak ( sejak lahir hingga akil baligh )
2. Muda atau syabab ( sejak akil baligh hingga 40 tahun )
3. Dewasa ( 40 tahun hingga 60 tahun )
4. Tua atau syaikhukhah ( 60 tahun hingga mati )

Usia 40 tahun adalah usia ketika manusia benar-benar meninggalkan masa mudanya dan beralih kepada masa dewasa penuh. Kenyataan yang paling menarik pada usia 40 tahun ini adalah meningkatnya minat seseorang terhadap agama sedangkan semasa mudanya jauh sekali dengan agama. Seolah-olah macam satu fitrah di usia ini ramai yang mula menutup aurat dan mendekati kuliah-kuliah agama.


Salah satu keistimewaan usia 40 tahun tercermin dari sabda Rasulullah saw;


لعَبْدُ الْمُسْلِمُ إِذَا بَلَغَ أَرْبَعِيْنَ سَنَةً خَفَّفَ اللهُ تَعَالَى حِسَابَهُ ، وَإِذَا بَلَغَ سِتِّيْنَ سَنَةً رَزَقَهُ اللهُ تَعَالَى الْإِنَابَةَ إِلَيْهِ ، وَإِذَا بَلَغَ سَبْعِيْنَ سَنَةً أَحَبَّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ ، وَإِذَا بَلَغَ ثَمَانِيْنَ سَنَةً ثَبَّتَ اللهُ تَعَالَى حَسَنَاتِهِ وَمَحَا سَيِّئَاتِهِ ، وَإِذَا بَلَغَ تِسْعِيْنَ سَنَةً غَفَرَ اللهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ وَشَفَّعَهُ اللهُ تَعَالَى فِى أَهْلِ بَيْتِهِ ، وَكَتَبَ فِى السَّمَاءِ أَسِيْرَ اللهِ فِى أَرْضِهِ – رواه الإمام أحمد


“Seorang hamba muslim bila usianya mencapai 40 tahun, Allah akan meringankan hisabnya (perhitungan amalnya). Jika usianya mencapai 60 tahun, Allah akan memberikan anugerah berupa kemampuan kembali (bertaubat) kepadaNya. Bila usianya mencapai 70 tahun, para penduduk langit (malaikat) akan mencintainya. Jika usianya mencapai 80 tahun, Allah akan menetapkan amal kebaikannya dan menghapus amal keburukannya. Dan bila usianya mencapai 90 puluh tahun, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan dosa-dosanya yang dahulu, Allah juga akan memberikan pertolongan kepada anggota keluarganya, serta Allah akan mencatatnya sebagai tawanan Allah di bumi. (riwayat Ahmad)


Hadis ini menyebut usia 40 tahun paling awal memiliki komitmen terhadap penghambaan kepada Allah swt. sekaligus konsisten terhadap Islam, maka Allah swt. akan meringankan hisabnya. Orang yang usianya mencapai 40 tahun mendapatkan keistimewaan berupa hisabnya diringankan. Tetapi umur 40 tahun merupakan saat harus berhati2 juga. Ibarat waktu, orang yang berumur 40 tahun mungkin sudah masuk senja. Abdullah bin Abbas ra. dalam suatu riwayat berkata, “Barangsiapa mencapai usia 40 tahun dan amal kebajikannya tidak mantap dan tidak dpt mengalahkan amal keburukannya, maka hendaklah ia bersiap-siap ke neraka.”


Imam asy-Syafi’i tatkala mencapai usia 40 tahun, beliau berjalan sambil memakai tongkat. Jika ditanya, jawab beliau, “Agar aku ingat bahwa aku adalah musafir. Demi Allah, aku melihat diriku sekarang ini seperti seekor burung yang dipenjara di dalam sangkar. Lalu burung itu lepas di udara, kecuali telapak kakinya saja yang masih tertambat dalam sangkar. Komitmenku sekarang seperti itu juga. Aku tidak memiliki sisa2 syahwat untuk menetap tinggal di dunia. Aku tidak berkenan sahabat-sahabatku memberiku sedikit pun sedekah dari dunia. Aku juga tidak berkenan mereka mengingatkanku sedikit pun tentang hiruk pikuk dunia, kecuali hal yang menurut syara’ lazim bagiku. Di antara aku dan dia ada Allah.”


Lantas, apa yang harus kita lakukan menginjak usia 40 tahun?

1. Meneguhkan tujuan hidup
2. Meningkatkan daya spiritual
3. Menjadikan uban sebagai peringatan
4. Memperbanyak bersyukur
5. Menjaga makan dan tidur
6. Menjaga istiqamah dalam ibadah.

Jika ada yang mengatakan bahawa: Life began at forty, saya cenderung berpendapat kehidupan yang dimaksudkan ialah kehidupan terarah kepada mendekatkan diri kepada penciptaNya dengan sebenar-benarnya. Tetapi satu perkara yang kita harus sentiasa sedar bahawa kematian memanggil kita bila-bila masa tanpa tanda, tanpa alamat dan tanpa mengira usia. Jika kita beranggapan harus menunggu usia 40 tahun untuk baru memulakan kehidupan yang dimaksudkan di atas, maka rugi dan sia-sia lah hidup kita jika umur kita tidak panjang.


Maksud sabda Nabi Muhammad S.A.W ,” Orang yang bijak adalah orang yang selalu mengingati mati”.

 
Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...