~ Petang Sabtu, 8/8/2015; dalam perjalanan balik kampung sebab nak menghadiri jamuan raya sambil reunion sekolah menengah aku dulu, singgah klinik berdekatan rumah sebab si Angah dah dua hari batuk-batuk. Mulanya ingatkan batuk biasa je, tapi bila nampak dia bernafas agak laju dan pendek-pendek, lepas tu mengadu sakit kat dada dan perut bila batuk, kena hantar klinik juga ni.
~ Di klinik, lepas masuk oksigen pun masih tiada perubahan. Nak kata asma tak pernah pulak ada sejarah asma. Doktor buat surat rujuk ke hospital... mungkin ada jangkitan kat paru-paru. Balik rumah dulu, ibunya siapkan apa yang patut... barulah aku dan Angah berdua je ke hospital. Bila dah kena rujuk ke hospital ni confirm kena masuk wad rasanya... kensel la balik kampung petang tu.
~ Mulai lepas maghrib sampailah keesokan paginya, Angah ditempatkan di wad pemerhatian. Ada la 4-5 kali masuk oksigen, masuk air sebab bimbang dehidrasi, masuk ubat, buat ujian darah dan x-ray. Akhirnya jam 10 pagi baru dibenarkan balik rumah sebab dah beransur sembuh dan jangkitan belum begitu serius, hanya perlu teruskan makan ubat je... alhamdulillah.
~ Apapun, bila anak-anak batuk, selsema atau demam lebih dari dua hari cepat-cepatlah bawa ke klinik atau hospital sebelum melarat lebih teruk atau mungkin ada jangkitan lebih serius yang membahayakan nyawa. Sebelum ni aku sendiri pun tak ambil tau sangat tentang jangkitan kuman pada paru-paru ni, jadi bila dah terkena pada anak sendiri barulah nak ambil peduli...huhu.
Jangkitan Kuman di Paru-Paru (Pneumonia)
Sumber: MyHealth, Kementerian Kesihatan Malaysia
Pengenalan
Sistem pernafasan manusia terbahagi kepada bahagian atas dan bahagian
bawah. Bahagian bawah terletak di dalam dada dan terdiri daripada
saluran pernafasan dan pundi-pundi udara (air sacs).Jangkitan kuman di paru-paru boleh melibatkan saluran pernafasan (bronchitis) dan pundi-pundi udara (pneumonia). Secara amnya, jangkitan kuman di tisu paru-paru dikenali sebagai pneumonia. Ia adalah jangkitan kuman yang biasa dikalangan kanak-kanak kecil dan orang-orang tua.
Ia disebabkan oleh virus atau bakteria. Kadang-kala ia juga disebabkan oleh jangkitan awal pada sistem pernafasan di bahagian atas (batuk dan selesema) yang merebak ke bahagian bawah sistem pernafasan.
Jangkitan kuman ini boleh melibatkan keadaan yang tidak serius hinggalah kepada keadaan yang membahayakan nyawa.
Tanda dan gejala
Ini bergantung kepada sebab, umur dan penyakit yang berkaitan dengan seseorang kanak-kanak itu.Secara amnya, kanak-kanak akan mengalami:
- Demam panas.
- Batuk dengan atau tanpa kahak.
- Sakit dada.
- Tiada selera makan, tidak mahu makan.
- Rasa tidak sihat, sering merengek.
- Pernafasan laju atau susah bernafas.
- Muntah atau cirit-birit.
Adakah jangkitan kuman paru-paru ini serius?
Kanak-kanak boleh mengalami kekurangan air (dehidrasi) atau kekurangan oksigen. Kanak-kanak yang mengalami tanda-tanda berikut perlu dimasukkan ke hospital:
- Pernafasan laju.
- Sukar untuk bernafas.
- Bibir menjadi biru.
- Batuk berdarah.
- Tidak boleh makan atau minum atau tidak kencing.
Apakah rawatan untuk jangkitan di paru-paru?
Untuk jangkitan yang tidak serius, ubat boleh diberi dalam bentuk pil.
Anda boleh mencuba rawatan ini di rumah:
- Paracetamol/Panadol.
- Rehat yang secukupnya.
- Minum air yang banyak.
Apakah langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan jangkitan kuman ini?
Mengekalkan amalan cara hidup sihat. Amalan kebersihan diri dan
persekitaran yang baik. Teruskan penyusuan susu ibu. Mengambil
immunisasi boleh mencegah jangkitan kuman di paru-paru. Contohnya:- Vaksin batuk kokol (pertussis) dan demam campak (measles) - wajib untuk semua kanak-kanak di bawah Program Immunisasi Kanak-Kanak Negara (National Childhood Immunization Programme).
- Vaksin influenza - untuk kanak-kanak tertentu yang berisiko tinggi contohnya masalah pernafasan yang kronik, penyakit jantung dan masalah kurang pertahanan badan.
- Vaksin pneumococcal - untuk kanak-kanak yang berisiko tinggi contohnya kanak-kanak yang tiada limpa, sakit buah pinggang yang kronik dan kanak-kanak yang menerima rawatan yang melemahkan sistem pertahanan badan.
| Semakan akhir | : | 26 April 2012 |
| Penulis | : | Dr. Chan Kwai Cheng |
| Penyemak | : | Dr. Norzila bt. Mohamed Zainudin |


No comments :
Post a Comment
Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
namun jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen untuk memudahkan komunikasi... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen... terima kasih.