PTT Outdoor

31 May, 2014

Catatan Perjalanan Mei 2014

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Buat entri bergambar je, malas nak tulis panjang-panjang sebab kesibukan melampau.


1/5/2014 (Khamis) - Seluruh Malaysia bercuti hari ni untuk menyambut harijadi Along yang ke-10. Tapi Along (dan Angah juga) mengambil keputusan untuk menyambutnya dengan cara berbeza, iaitu menemani ayahnya (dan kawan-kawan) menjalani latihan untuk misi Kinabalu di Bukit Broga dan Gunung Tok Wan, Semenyih. Balik rumah barulah ada sambutan kecil-kecilan sambil dijamu dengan kek pavlova hasil air tangan ibunya. Selamat hari jadi Along!


10/5/2014 (Sabtu) - Jogging di Taman Tasik Perdana atau nama barunya Taman Botani Perdana. Ingatkan ramai yang training sama, rupanya cuma 3 orang yang datang.


24/5/2014 (Sabtu) - Gunung Datuk menjadi gunung kedua berjaya ditawan oleh Along & Angah selepas Gunung Tok Wan. Turun semula petangnya, berkhemah semalaman di kaki gunung.


27/5/2014 (Selasa) - Secara rasmi diberi peluang meningkatkan potensi diri setahap lebih tinggi. Alhamdulillah, ini anugerah berganda setelah dipilih menerima anugerah khidmat cemerlang. Peningkatan dalam kerjaya bermakna tanggungjawab makin bertambah. Sibuk nak mampus mengalahkan PM le aku lepas ni... haha.


31/5/2014 (Sabtu) - Selesai majlis kenduri kahwin keluarga sebelah mertua di Sitiawan... sebelum balik Ipoh singgah santai di Pantai Teluk Batik.


26 April, 2014

Hari Keluarga POG @ Restu Ibu Resort

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

26 April 2014 (Sabtu) - Hari Keluarga ofis aku diadakan di Resort Restu Ibu, Kg Ulu Kalong, Ulu Yam. Memang meriah. Datang bertiga dengan anak-anak bujang je... si ibu terpaksa duduk rumah bersama anak perempuannya yang dijangkiti 'chickenpox'.



Aktiviti - lebih kurang samalah macam hari keluarga lain... main-main (sukaneka), mandi-manda, bakar-bakar (bbq), makan-makan, cabut-cabut (cabutan bertuah)... cuma nyanyi-nyanyi je yang takde sebab ada sikit masalah teknikal.

10 April, 2014

Khutbah Terakhir untuk renungan bersama

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Setiap jumaat kita akan mendengar khutbah di masjid tapi cuba hayati Khutbah Terakhir Nabi Muhammad S.A.W ini:

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini."

"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang. Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kami sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula."

"Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' hendaklah dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalama perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil."

"Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai hak atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kami yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina."

"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat daripada harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu. "

"Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tiada seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh. Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada satu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu lakukan. Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sesekali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku."

"Wahai manusia, tiada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu. Sesugguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku."

"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikannya pula kepada orang lain dan orang yang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitu seterusnya. Semoga orang yang terakhir yang menerimanya lebih memahami kata-kataku ini dari mereka yang mendengar terus dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya aku telah sampaikan risalahMu kepada Hamba-hambaMu."


24 March, 2014

Camping D'Surau

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Cuti sekolah seminggu sudah bermula. Bila seorang anak yang baru berumur 10 tahun minta nak menyertai program berkhemah di surau, malah menawarkan untuk membayar yuran penyertaan menggunakan duit tabungan sendiri... apa lagi ayahnya nak cakap... pergilah anakku Along!


Berdasarkan tentatif program selama 2 hari 1 malam, aktiviti-aktivitinya dapat meningkatkan jatidiri, memupuk nilai kemanusiaan, nilai beragama dan nilai bertuhan... semoga menjadi anak yang soleh Along!

* sekarang ayah dah malas nak menulis panjang-panjang.


08 March, 2014

Selamat Pengantin Baru Dillah

Selamat Pengantin Baru buat sepupuku Dillah....
Selamat menyambut menantu sulung buat Pakteh & Makteh...
Semoga berkekalan hingga ke akhir hayat...

02 March, 2014

Trekking ke Air Terjun Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu

Pada 2 Mac 2014 (Ahad),  aku dan Angah bersama beberapa rakan sepejabat iaitu Bazri, Rohaizad, Faizal & isteri, Shahrul serta Rozan & sepupunya berkesempatan menyertai aktiviti trekking di Air Terjun Sungai Chilling, Kuala Kubu Bharu. Sempena musim kemarau dan mungkin rumah masing-masing sedang mengalami catuan air, kelihatan mereka begitu bersemangat untuk mencari ketenangan (atau mencari air) di air terjun ini.

Setelah membeli sedikit bekalan makanan di Pasar Peladang Kuala Kubu Baru, perjalanan diteruskan. Air Terjun Sungai Chilling ini terletak kira-kira 14 km dari pekan Kuala Kubu Bharu, mengikuti jalan menuju ke Bukit Fraser. Selepas Empangan Sungai Selangor dan selepas melalui satu jambatan sempit,  akan jumpalah jalan masuknya di sebelah kanan jalan melalui pintu gerbang tertulis Santuari Ikan Sungai Chiling. Tempat ini dibuka untuk pelawat hanya pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad dari 8.00 pagi hingga 6.00 petang. Hari-hari lain ditutup untuk kerja-kerja pemuliharaan.


Faizal dan isterinya telah menunggu kami di pintu gerbang tersebut. Dari pintu masuk tersebut kena trekking pula lebih kurang 500 meter sampailah jumpa tapak perkhemahan yang cukup luas dan lengkap dengan kemudahan tandas, surau, wakaf dan kaunter pendaftaran. Santuari ini dijaga dan diuruskan oleh Jabatan Perikanan. Bayaran masuk cuma RM 1 seorang.

Aku pernah berkhemah sekeluarga di sini tahun lepas, ceritanya di SINI

9.00 pagi, kami memulakan trekking ke air terjun menyusuri laluan yang agak landai, memakan masa kira-kira 45 minit dan perlu melintasi anak sungai 6 kali termasuk 1 jambatan gantung (sungai yang sama sebenarnya, cuma kena lintas banyak kali sebagai jalan pintas ke air terjun). Selepas 3.00 petang tak dibenarkan mendaki ke air terjun atas sebab-sebab keselamatan. Petang-petang selalu hujan, khabarnya di sini bila hujan sering berlaku kejadian kepala air, kalau terkandas atau dilanda kepala air buruk padahnya.



seronok betul angah mandi air terjun & main dengan ikan kelah

Di sepanjang sungai banyak ikan kelah dan tengas berkejar-kejaran dan akan mengerumuni kita kalau ditabur makanan. Makanan ikan boleh dibeli di kaunter pendaftaran tadi pada harga RM 2 sebungkus. Dilarang sama sekali menangkap ikan di sini dengan apa cara sekalipun, sama ada memancing, menjala, menyauk, menuba mahupun jika ilmu anda hebat dan mampu menangkap ikan menggunakan tangan kosong. Hukumannya agak berat iaitu boleh didenda sehingga RM 10,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali. 

Terdapat tiga tingkat air terjun di sini. Tingkat paling bawah paling ramai pengunjung, tingkat kedua sangat curam dan tiada laluan, manakala untuk ke air terjun tingkat ketiga perlu mendaki melalui laluan yang agak curam di tepi air terjun serta tidak begitu sesuai untuk kanak-kanak.

 Tapi alang-alang dah sampai, kami terus menuju air terjun tingkat ketiga di mana terdapat kolam yang besar untuk berenang dan berendam. Selepas itu kami turun semula dan singgah sebentar di air terjun pertama yang dipenuhi pengunjung.  Memikirkan tidak selesa untuk mandi di situ, kami mencari lokasi lain yang lebih baik untuk berenang dan berendam sepuas-puasnya sebelum meneruskan perjalanan balik menjelang tengah hari. 


Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...