PTT Outdoor

31 December, 2013

Catatan Perjalanan Disember 2013

Cuti sekolah akhir tahun bulan Disember ni aku agak sibuk menghadiri kursus/taklimat di sana-sini, dari Rabu hingga Jumaat selama tiga minggu berturut-turut.


2-14 Dis. 2013 - Tak sempat nak bawa anak bini jalan-jalan. Maka lebih baik anak-anak dihantar menyertai kem cuti sekolah, ada juga aktiviti yang boleh mengisi masa lapang, mengasah otak serta mendapat ilmu baru selama dua minggu. Antara aktiviti dari pagi sampai ke petang seperti mengaji, hafazan, asas tajwid, aktiviti kreatif, team building dan sukaneka. Hari terakhir kena bermalam di kem, ada BBQ, qiyamullail & kuliah subuh..



14 Dis. 2013 - Ada bagusnya juga buat ibadah aqiqah dengan Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd baru- baru ni, dapat pulak pergi kursus percuma. Memang rugi kalau tak pergi. Dapat juga menambah ilmu tajwid dan dapat juga merasa jadi student UIA biarpun cuma sehari.


15 Dis. 2013 - Setahun yang lalu, kami sekeluarga sungguh terpesona menonton filem The Hobbit: An Unexpected Journey, maka tahun ni layan jugalah sekuel keduanya The Hobbit: The Desolation of Smaug. Tahun depan kita layan sekuel terakhirnya pulak.

18-20 Dis. 2013 -  Minggu ketiga berkursus pula di Hotel Impian Morib. Asyik kena tinggal je kali ni bawa anak bini sekali. Biarkan diorang mandi kolam puas-puas. Oopps, tiada gambar sebab habis di-delete oleh si Aina.

21 Dis.2013 - Selamat Hari Lahir ke-7 buat Angah. Semoga menjadi anak yang soleh serta berjaya di dunia dan akhirat. Tak perlu sambutan besar-besaran untuk membuktikan kami semua sayangkan Angah. Cukup hanya dengan dua ketul permainan B-Daman kegemarannya serta sebiji Japanese Cotton Cheesecake hasil air tangan ibunya sendiri... dihabiskan dengan sekali hadap je kek yang sedap tu.

Selamat tahun baru 2014... tahun yang penuh ketidaktentuan... khabarnya harga macam-macam barangan dan perkhidmatan bakal naik. Perkhidmatan awam pun bakal melaksanakan dasar penjimatan... apa pun kesannya... nanti kita hadaplah satu persatu!

30 November, 2013

Catatan Perjalanan November 2013

Kalau entri blog dah macam gini gayanya... longgok sebulan punya cerita dalam satu entri,  itu tandanya tuan blog dah dilanda penyakit malas... hahaa... Tapi sebab dah terjebak dalam dunia blogging, teruskan aje lah. Bila ada kelapangan masa barulah update. Walaupun blog ni takde pengunjung sangat pun, selagi terdaya aku akan terus berblog mencatat perjalanan hidup aku sebagai kenangan untuk anak cucu aku. Layan entri bergambar je lah!


2/11/13 (Sabtu) - Mendaki Bukit Broga bersama rakan-rakan JP Selangor. Kalau tahun lepas Along sorang je ikut, kali ni bawa si Angah sekali... tahniah Angah berjaya sampai ke puncak. Kalau tahun lepas Along laju je mendaki tinggal ayah jauh, tapi tahun ni mencungap dia nak sampai puncak... maklum le fizikal dah makin debab... hehe



3/11/13 (Ahad) - Pahang juara Piala Malaysia kali ke-3 (selepas 1983 & 1992) bila menewaskan pasukan pilihan Kelantan 1-0. Terima kasih kepada Matias Conti yang menjaringkan gol cantik hasil hantaran budak Lepih, Alex. Harap-harap janganlah sampai kena tunggu 21 tahun lagi nak julang piala seterusnya. Hogoh Pahang Hogoh!!



9/11/2013 (Sabtu) - Sementara si ibu & anak daranya menyertai aktiviti 'ladies outing' di Melaka, si ayah & anak-anak bujangnya menghadiri Majlis Kecemerlangan di sekolah. Along dapat no.2 dalam kelas sekolah agama, sekolah kebangsaan pulak no.20++. Si Angah pulak dua-dua sekolah dia pulun no.20++... takpe, tingkatkan usaha anak-anakku... kalau ayah ibu paksa belajar sangat nanti tertekan pulak korang...


 9/11/2013 (Sabtu) - Habis je majlis anugerah cemerlang si Along, si ayah & anak2 bujangnya pulak sempat ke Glory Beach Resort, Port Dickson, menghadiri reunion rakan sekolah masa form 6. Sebelum tu sempat singgah di Muzium ATM, PD, kemudian terjun kolam kat resort. Malam, bertemu sahabat2 lama sambil sibuk ber-BBQ. Ramai sahabat yang berjaya dalam bidang masing2, mungkin aku je la yang tak berapa nak menjadik... haha. Sambil reunion ni jugak diorang bercadang nak tubuhkan koperasi alumni. Serah pada yang pakar , bab ni i follow je lah. Tak dapat nak bersembang lama, 10.30 malam terpaksa balik sebab esoknya aku ada program lain.


 10/11/2013 (Ahad) -  Program Sahabat Statistik bersama Komuniti Taman Widuri 2, Bukit Beruntung. Satu usaha untuk memperkenalkan lagi fungsi Jabatan Perangkaan kepada masyarakat.


17/11/2013 (Ahad) - Cuti sekolah hujung tahun sudah bermula. Terlanjur menghadiri kenduri sambut menantu En.Manan (rakan sekerja) di Semenyih, masa nak balik singgah Broga Rabbit Farm.... ladang arnab terbesar di Malaysia. Tapi bukan hanya ada arnab semata-mata, banyak lagilah haiwan ternakan lain. Tiket masuk RM5 sekepala... bawah 2 tahun masuk percuma.


19/11/2013 (Selasa) - Selamat hari lahir ke-4 buat anak daraku ini... semoga hidupmu diberkati dan dirahmati Allah hendaknya dan menjadi anak yang solehah.  Hanya sambutan kecil-kecilan dengan 3 biji kek kecik (yang nampak macam besor) serta big-box pizza hut. 
 


Jumpa lagi bulan Disember... haha.

27 October, 2013

Jalan-jalan @ Bukit Fraser

Aku seorang kuli. Kekadang hari sabtu dan ahad pun kena kerja. Untungnya kerja aku ni jenis kerja di luar pejabat... meronda-ronda masuk kampung orang, jadi tak le bosan sangat terperuk di pejabat.

Penat berlari dalam StatsRun pun tak hilang lagi, tapi demi tugas untuk negara aku gagahkan kaki (dan hati) untuk keluar bekerja di hari minggu di kawasan berdekatan Kuala Kubu Baru. Angkut anak bini sekali. Habis kerja, tanpa dirancang bawa anak bini jalan-jalan ke Bukit Fraser.

Udara nyaman dan segar kat sini, memang sesuai untuk rehatkan minda. Sempat kami sekeluarga bermain golf sembilan lubang di sini. Oh, bunyi lagak macam orang kaya tapi sebenarnya kami cuma bermain mini golf... hahaa. Untuk kanak-kanak sebenarnya tapi mak bapaknya pun tak pernah seumur hidup pegang kayu golf, jadi belasah je main sama-sama... hahaa. Nampak macam senang tapi sebiji bola pun tak dapat dimasukkan kecuali bola yang parking betul-betul tepi lubang...


Selepas penat bermain golf (cheh penat la sangat), hujan turun agak lebat dan kami berteduh sambil mengisi perut di restoran berdekatan. Tapi dalam perjalanan turun, ketiga-tiga anak aku tewas kepeningan dengan keadaan jalan yang bengkang bengkok dan berselekoh tajam... habis keluar balik apa yang dimakan tadi... Bini aku pun pening, dah tobat tak nak datang lagi... hahaa... Habis tu bila pulak kita nak main golf lagi ni???


26 October, 2013

Larian Statistik (StatsRun) 2013 - Putrajaya

Tak pernah-pernah masuk acara larian, tetiba masuk acara larian StatsRun sejauh 10km. Saja seronok-seronok berlari ramai-ramai sambil nak cari stamina sebab bulan 12 nanti nak naik gunung standard hardcore lagi. Sempat le jogging 2-3 kali sebagai persediaan seminggu sebelumnya.

Hari kejadian; lari lebih kurang 100 meter, berjalan pulak 50 meter sebab pancit... dan gitulah seterusnya hingga selamat sampai ke garisan penamat sejam setengah kemudian... alhamdulillah. Untuk rekod, catatan masa juara adalah kira-kira 30 minit je... jadi aku ketinggalan sejam jugak la... hahahaaaa


What? Statistics Run 2013 (StatsRun 2013)

When? 26 Oct 2013 (Saturday) 7:30am flag off

Where? (START/FINISH) Kompleks Sukan Air, Precint 6, Putrajaya

Who? Organised by Persatuan Perangkawan, Persatuan Penolong Pegawai Perangkaan, Kesatuan Pembantu Perangkaan Jabatan Perangkaan Malaysia collaboration with Perbadanan Putrajaya

Why? In celebration of the 2013 International Year of Statistics (IYOS 2013). The main objective of StatsRun 2013 is to create awareness amongst the public on the importance of statistics for the nation’s planning and development.

How far? 10KM (Men & Women Open and Men & Women Veteran) 3KM (Men & Women VVIP and Fun Run)



5W1H disalin-tampal dari SINI

18 October, 2013

Alhamdulillah...selamat diaqiqah...

"Tiap-tiap anak itu tertebus (terpelihara daripada kemudaratan dan kemungkaran) dengan aqiqahnya... " (maksud hadis Rasulullah s.a.w)
gambar ihsan dari korbanaqiqah.com.my

Maka ketahuilah olehmu wahai anak-anakku Along, Angah dan Aina, pada hari ini 18 Oktober 2013, bersamaan 13 Zulhijjah 1434H, ayah telah menyempurnakan pelaksanaan aqiqah untuk kamu bertiga. Tapi bukan di sini anak-anakku, tapi nun jauh di negara Kemboja.

Kenapa jauh sangat sampai ke Kemboja???

~ Korban dan Aqiqah dilaksanakan ditempat yang ramai umat Islam miskin. Masyarakat Melayu Champa merupakan kaum minoriti dengan jumlah penduduk 500 ribu daripada 13 juta rakyat Kemboja. Pengislaman orang-orang Cham bermula sejak tahun 1000 Masihi lagi. Umat Islam di Kemboja masih dirundung kemiskinan yang melarat serta tahap pendidikan yang rendah.  
~ Program ini memudahkan peserta menunaikan tuntutan agama. Harga yang murah. Yuran penyertaan RM270 untuk satu bahagian lembu atau RM530 untuk satu ekor kambing bagi ibadah korban. Manakala untuk ibadah aqiqah pula RM270 untuk satu bahagian lembu atau RM530 untuk satu ekor kambing. Yuran penyertaan Aqiqah telahpun termasuk kos jamuan Aqiqah.  
~ Sijil penyertaan yang disahkan oleh Pengerusi Program dan Mufti Kerajaan Kemboja. Biasanya pengesahan pelaksanaan akan diperolehi oleh peserta dalam tempoh 14 hingga 30 hari daripada tarikh penyertaan.

Terima kasih kepada Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd yang menguruskan pelaksanaan ibadah aqiqah ini. Semoga diterima dan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t.

Sesiapa yang berminat, maklumat lanjut di SINI.


07 October, 2013

Jalan-jalan @ Melaka

4-6 Oktober 2013, kami sekeluarga sempat bercuti ke Melaka. Hari Jumaat malam lepas kerja, kami bertolak ke Melaka. Sampai di hotel yang telah ditempah kira-kira jam 9.00 malam. Hotel kami berdekatan Dataran Pahlawan, di mana terletaknya tempat-tempat tarikan pelancong utama seperti Menara Taming Sari, Duck Tour, Mahkota Parade dll.

Memandangkan semua tempat tu kami dah pernah pergi, kami memutuskan naik beca berhias menuju tempat tarikan yang belum pernah kami pergi, iaitu River Cruise Melaka. Khabarnya kalau naik waktu malam lebih cantik pemandangan sebahagian bandaraya Melaka. Malas nak cerita tengok je la gambar.

terang benderang.... banyak guna elektrik Melaka ni

Pagi Sabtu, lepaskan anak-anak mandi kolam sampai tengah hari. Lepas checkout, dalam perjalanan balik singgah Pantai Pengkalan Balak. Tetiba rasa macam malas nak balik... cari chalet tidur semalam lagi. Sayangnya lupa bawa khemah, kalau bawak boleh belasah berkhemah je kat sini. Tapi kat pantai ni ada banyak chalet. Hari ni puaslah anak-anak aku mandi... pagi sampai tengah hari mandi kolam hotel, sebelum checkout mandi dalam bathtub bilik hotel, petang sampai senja mandi laut pulak... Malam, makan seafood di Restoran Nelayan Pantai Kundur... memang santai makan di meja makan yang terletak di atas pasir pantai.

mandi... mandi... mandi

Pagi Ahad, lepas subuh bermalas-malasan tidur balik di chalet. 10.00 pagi lebih terus 'brunch'. Singgah sekejap di Pusat Konservasi Penyu, Pantai Padang Kamunting (sebelah Pantai Pengkalan Balak). Anak-anak boleh dapat info pasal penyu di sini, dan boleh tengok beberapa ekor penyu hidup dalam kolam takungan. Lepas tu balik.

mengenal penyu

Tak banyak tempat pun kami pergi, banyak masa dihabiskan dengan mandi... mandi... mandi. Sampai kecut dan rentung bebudak tu, haha!



Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...