PTT Outdoor

30 December, 2017

Road Trip 7 Hari 7 Malam Jelajah Johor - Hari 1

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Baca:
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Intro



SUNGAI BULOH, SELANGOR -  MERSING, JOHOR

~ 21/12/2017; Khamis - Dimulakan dengan solat Isyak, solat sunat musafir serta memohon doa agar dikurniakan kesihatan dan cuaca yang baik (maklumlah hujung tahun musim tengkujuh), mohon juga dicukupkan perbelanjaan serta mohon dilindungi dari segala keburukan. 

~ 8.45 malam; kami memulakan perjalanan sejauh 381km ke Mersing. Dari lebuhraya PLUS keluar Tol Ayer Hitam, seterusnya ikut jalan biasa ke Mersing. Selepas bandar Kluang menuju Mersing jalan agak berliku dan sunyi tak banyak kereta, tak berani bawa laju.

22/12/2017; Jumaat2.30 pagi; tiba di Masjid Jamek Bandar Mersing yang terletak atas bukit. Bentang toto di ruang luar masjid, tidur sekejap sementara tunggu waktu subuh. Selesai solat subuh, layan pemandangan sunrise sebahagian bandar Mersing dari atas bukit. Lupa pulak hari ni cuti hujung minggu bagi negeri Johor... patut nampak lengang je pagi ni.




~ 7.15 pagi; 1.5km ke Taman Rekreasi Mersing yang terletak tepi laut, ada mercu tanda Gerbang Mahkota sesuai untuk bergambar. Kemudian ronda-ronda sekitar Jeti Mersing. Kalau nak ke pulau-pulau sekitar Mersing termasuk ke Pulau Tioman akan naik feri dari sini.

~ 8.00 pagi; 11.4km jalan-jalan cari makan sarapan ke kedai makan Nasi Goreng Tidur, Jalan Air Papan. Kedai kayu tanpa papan tanda tapi ada dalam waze ni pernah viral juga, khabarnya menu istimewanya nasi goreng yang dihidang bersama semangkuk sup daging sedap sangat sampai boleh tertidur dibuatnya. Bila dah rasa sendiri, terbukti memang sedap, mujurlah tak sampai tertidur. Roti jala dan kuah kari ayam pilihan Angah pun sedap.



~ 9.00 pagi; 9km menyusuri jalan tepi pantai menghala ke Mersing melalui Jalan Makam. Ada beberapa gerai menjual keropok lekor, keropok kering dan satar. Kami singgah di gerai Perusahaan Keropok Hj Ramli, beli sikit produk keropok untuk makan sendiri dan juga untuk jiran depan rumah yang tolong bagi makan kucing kami si Oyen sepanjang seminggu ketiadaan kami.

~ 9.30 pagi; 11.5km berpatah balik menuju Pantai Air Papan. Ada banyak chalet di sini. Cuaca cerah tapi keadaan ombak agak kuat, mungkin tanda permulaan musim tengkujuh. Bendera merah pun dah berkibar tanda amaran dilarang untuk mandi-manda. Khabarnya banyak kes lemas juga di pantai ni. Jadi kami lepak-lepak ambik angin dan bergambar je di pantai ni.



~10.30 pagi; 13.5km ke Teluk Gorek Chalet & Campsite, Pantai Teluk Gorek, Kg Tanjung Resang, Endau. Tempat yang sangat sesuai untuk berkhemah, lengkap segala kemudahan seperti wakaf dengan tempat untuk bbq, tandas, bilik mandi, dewan, surau dan lampu yang menerangi kawasan khemah. Kalau tak minat berkhemah boleh tidur di chalet. Bayaran untuk berkhemah adalah RM5/seorang tak kira umur, manakala sewa wakaf RM20 untuk 24 jam. Selesai pasang khemah dan hammock, bagi peluang anak-anak mandi laut sekejap. Ombak di Pantai Teluk Gorek ni tak sekuat seperti di Pantai Air Papan tadi, mungkin sebab terletak di kawasan berteluk... pantainya pun landai  jauh sampai ke tengah.

~ 1.00 tengahari; 1km ke Masjid Tanjung Resang. Solat jumaat, dijamak bersama asar. Aina dan ibunya tinggal di khemah. Lepas solat kami ambil diorang untuk jalan-jalan cari makan tengah hari.

~ 2.30 petang; 13km ke Pantai Penyabung, Endau. Makan nasi dengan seafood celup tepung di Gerai Ikan Celup Tepung di medan selera depan Jeti Penyabung. Pekena ikan, ketam dan udang celup tepung segar dan panas-panas memang menyelerakan. Keropok lekor dan pisang goreng cicah sambal kicap ala Johor pun ada. Harga pun agak murah, contohnya harga ketam celup tepung RM3-5 seekor ikut saiz... memang puas hati makan.

~ 3.30 petang; 18km ke Bandar Endau, sempadan Johor - Pahang. Cari ATM, bekalan air mineral serta beli ayam dan sosej untuk bbq malam nanti.

~ 5.00 petang; 26km balik ke Teluk Gorek Chalet & Campsite, bagi anak-anak sambung main pasir dan mandi laut puas-puas sampai menjelang senja.



~ 7.30 malam; Lepas solat jamak maghrib dan isyak di surau, dinner ala-bbq tapi guna stove panggang dalam kuali ajaib je... malas nak bakar arang... hehe. Nak makan nasi pun malas jadi kami meratah ayam & sosej je... kenyang juga. Lepas makan, layan video lama-lama dalam tablet... terhibur dengan telatah lucu Along, Angah & Aina masa kecik-kecik dulu.



~ 10.30 malam, mata aku dah mengantuk almaklumlah malam tadi memandu dapat tidur sejam dua je bila sampai masjid. Orang rumah dan anak-anak tidur dalam khemah, aku pulak tidur dalam hammock je... memang syok tidur bertemankan bunyi ombak dan nyamannya hembusan angin malam...

Sekian, catatan hari pertama.


29 December, 2017

Road Trip 7 Hari 7 Malam Jelajah Johor - Intro

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Sempena cuti sekolah hujung tahun 2017 ni, kami sekeluarga berkesempatan untuk buat road trip menjelajah negeri Johor, antara negeri yang banyak tempat menarik tapi tak pernah kami jelajahi. Hanya sekadar singgah di satu dua tempat waktu menghadiri kenduri kahwin atau menziarahi sanak saudara.

~ Objektif utama pastilah untuk meluangkan lebih masa berkualiti dengan anak-anak sambil jalan-jalan tengok tempat orang. Makin jauh berjalan, makin luas pengetahuan dan pengalaman. Walaupun kos memang agak tinggi juga, bagi kami duit boleh dicari dan boleh juga korek tabung... tapi pengalaman yang dikutip sepanjang pengembaraan pasti tak dapat dijual beli.

~ Seminggu lamanya aku merancang perjalanan dengan bantuan profesor Google. Kalau ikut perancangan asal, nak jelajah semua 10 daerah di Johor bermula dari daerah paling utara iaitu Segamat. Diikuti daerah Ledang, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai dan akhir sekali daerah Pontian.

~ Tapi bila dapat jemputan kenduri kahwin saudara di Tangkak dalam daerah Ledang yang berdekatan dengan Segamat, pada hari ketiga seperti dalam perancangan kami di Johor (hari ketiga sepatutnya akan ke daerah Mersing), maka terpaksa merombak semula jadual perjalanan kami dengan mengecualikan daerah Segamat. Lagipun bagi kami setelah buat survey, kat Segamat macam tak berapa banyak tempat menarik untuk dijelajahi... hehe mintak maaf ye orang Segamat. Mungkin lain kali pulak kami ke sini ye.



~ Ini ringkasan perjalanan kami :

Hari 1; 22/12/2017 (Khamis malam & Jumaat)
Sungai Buloh, Selangor - Mersing, Johor.

Hari 2; 23/12/2017 (Sabtu)
Mersing - Kluang

Hari 3; 24/12/2017 (Ahad)
Kluang - Muar - Ledang - Batu Pahat

Hari 4; 25/12/2017 (Isnin)
Batu Pahat - Kota Tinggi

Hari 5; 26/12/2017 (Selasa)
Kota Tinggi - Johor Bahru

Hari 6; 27/12/2017 (Rabu)
Johor Bahru

Hari 7; 28/12/2017 (Khamis)
Johor Bahru - Kulai - Pontian - Batu Pahat - Sungai Buloh


~ Hari jumaat 29/12/2017 nak tak nak memang kena balik juga sebab ada hari orientasi sekolah untuk pengambilan buku teks, pembayaran yuran dan kenal kelas baru Angah dan Aina. Mujurlah Along balik ke asrama lewat seminggu dari sekolah biasa.

~ Nanti bila ada masa lapang atau bila rajin, beransur-ansur akan aku cerita panjang sikit catatan perjalanan kami yang akan aku letak linknya di sini... sebagai kenangan pengembaraan kami sekeluarga buat tatapan anak cucu nanti.


21 December, 2017

Cuti Sekolah Akhir Tahun 2017

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Cuti sekolah datang lagi. Inilah antara aktiviti anak-anak sepanjang cuti sekolah akhir tahun ni:

~ 1-3 Disember; Angah menyertai Kem Cuti Sekolah Aku Anak Hebat selama 3 hari 2 malam di Kem Rimba Ulu Tamu, Batang Kali. Sanggup dia menawarkan untuk bayar separuh kos yuran guna duit simpanannya. Semoga menjadi anak yang lebih hebat lepas balik dari kem ni. Kalau tak hebat juga siaplah Angah..haha!

~ 4-8 Disember; Aina pulak menyertai Kem Pra-Tahfiz yang diadakan di surau berdekatan dari pagi sampai ke petang. Antara programnya Teknik Hafazan, Tahsin Wuduk dan Solat, Akhlak Islami, Sirah Nabi dan Sahabat, sukan memanah serta pelbagai aktiviti dalam kumpulan. Lebih baik daripada duduk di rumah khusyuk bermain gajet je.

~ 14 Disember; kami sekeluarga menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang maahad Along. Dapat juga dia satu anugerah markah tertinggi bagi subjek Pendidikan Islam... tahniah Along. Cuti sekolah Along ni lewat 2 minggu dari cuti sekolah biasa. Jadi hari ni baru dia boleh balik rumah.

~ 17 Disember; pagi masuk acara Larian Menjunjung Kasih, petangnya memenuhi permintaan anak-anak yang nak tengok wayang cerita Star Wars: The Last Jedi. Layankan je lah sekali-sekala.


~ 21 Disember; selamat hari lahir yang ke-11 buat Angah. Doa yang sama seperti biasa... "Ya Allah, sihatkanlah dan panjangkanlah umur anak kami ini, terangkanlah hatinya, teguhkanlah imannya, baguskanlah amal perbuatannya, cukupkanlah rezekinya, dekatkanlah menuju kebaikan, jauhkanlah dari keburukan. Ya Allah, kabulkanlah doa kami ini, agar anak-anak kami menjadi anak yang soleh dan solehah, yang sentiasa taat kepadaMu dan berbakti kepada kedua orang tuanya... serta diberkati dan dirahmati kehidupan mereka dunia akhirat... Aamin ya rabbal ‘Aalamiin"


17 December, 2017

Larian Menjunjung Kasih Jambatan Ketiga Klang 2017.

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Tahun ni tak pernah lagi masuk acara larian, dah nak hujung tahun ni masuk la satu acara larian...
Larian Menjunjung Kasih Jambatan Ketiga Klang kategori Veteran 10km sempena perasmian jambatan baru tersebut yang dinamakan Jambatan Raja Muda Nala, Klang. Turut serta dua orang rakan sepejabat.

Dimeriahkan dengan perasmian oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj yang turut menyertai larian dalam acara Fun Run 5km . Aku punya la mencungap selamba je dia potong aku... hihi.





Catatan masa kali ni 1jam: 21minit: 33saat... jauh ketinggalan di belakang juara dari benua Afrika (tak pasti la dari Kenya/Uganda/Ethiopia dsb) yang mencatat masa kira-kira 30 minit je. Tak kisahlah yang penting sampai garisan penamat pun dah kira kejayaan besar dah tu.



19 November, 2017

Selamat hari lahir ke-8, Aina!

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Balik dari hari keluarga di PD, terus melawat Along kat masjid sebelah asrama dia. Makin bulat pulak nampaknya dia, alhamdulillah makan terjaga... silap-silap terlebih makan agaknya.

Kebetulan pulak hari ni hari jadi Aina ke-8, sambut bersama Along sekalilah. Seronok betul Aina dengan hadiah hari lahir yang dah lama dia idam-idamkan... sepasang hamster lengkap dengan sangkarnya yang dinamakannya Koko & Kiki. Jaga-jaga... Si Oyen duk perati je tu... jangan sampai kena ngap!!!


Selamat hari lahir buat satu-satunya puteri kami ni. "Ya Allah, sihatkanlah dan panjangkanlah umur anak kami ini, terangilah hatinya, teguhkanlah imannya, baguskanlah amal perbuatannya, cukupkanlah rezekinya, dekatkanlah menuju kebaikan, jauhkanlah dari keburukan. Ya Allah, kabulkanlah doa kami ini, agar anak kami menjadi anak yang soleh dan solehah, yang sentiasa taat kepadaMu dan berbakti kepada kedua orang tuanya... Amin ya rabbal ‘Alamiin"

Family Day POG @ Port Dickson

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

17-19 November 2017 - Hari keluarga ofis aku di Akar Beach Resort, Port Dickson. Meriah dan seronok sungguh suasana sepanjang 3 hari 2 malam tersebut dengan aktiviti mandi manda di kolam dan pantai, acara sukaneka, bertukar-tukar hadiah, cabutan bertuah, sempat juga mendaki Bukit Batu Putih di Tanjung Tuan, memancing di pantai (walaupun tak dapat ikan) dan menikmati hidangan makan malam ala steamboat & bbq di Restoran Embok Village.



Pagi ahad sempat la bagi Angah & Aina mandi kolam lagi sekejap, kemudian terus balik untuk melawat Along kat asrama. Tak syok rasanya bercuti-cuti tanpa Along. Tapi apakan daya Along tak boleh balik, tengah periksa lagipun.


Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...