PTT Outdoor

21 November, 2012

5 Hari 4 Malam: Jelajah Kedah/Perlis, Hari 2

Baca: 5 Hari 4 Malam: Jelajah Kedah/Perlis, Hari 1

HARI KEDUA, 14 NOV. 2012 (RABU)

~ Masih di Ulu Legong Hot Spring. Pagi tu sempat lagi mandi kolam air panas sekejap. Lepas tu masak sarapan... paling mudah masak maggi + telur je le, kadang-kadang takpe jangan makan selalu... tak elok untuk tumbesaran budak-budak.

~ Dari Ulu Legong Hot Spring, Baling terus menuju ke kaki Gunung Jerai, Yan (berdekatan pekan Gurun) sejauh hampir 70 km. Kemudian dari kaki gunung nak ke puncak sejauh 12km, kami melalui jalan sempit yang berliku-liku, lebih kurang macam jalan nak naik Genting tapi lebih sempit. Di sesetengah laluan hanya satu lorong dibuka kerana kerja pembaikan sedang dijalankan disebabkan tanah runtuh.

Sampai je kat puncak, ada satu resort tempat menginap iaitu The Regency Jerai Hill Resort. Pada ketinggian 986 meter dari aras laut, sebenarnya resort ni bukanlah puncak sebenar kerana puncak sebenar setinggi 1217 meter ada menara pemancar radio dan dilarang masuk. Masa kami sampai tu, cuaca nyaman dan agak dingin tapi berkabus, jadi tak nampak la pemandangan dari atas gunung. Orang kata kalau hari cerah boleh nampak pemandangan indah petak-petak sawah padi, rangkaian pulau-pulau di laut serta sebahagian daerah Yan dan Kuala Muda. 



Kami lepak sambil minum di Restoran Puncak Kedah kira-kira sejam di sini kemudian turun semula dan singgah di Muzium Perhutanan Sungai Teroi, tak jauh dari resort tu. Ada macam-macam maklumat dan pameran pasal hutan ada kat muzium ni.

~ Dari Gunung Jerai kami meneruskan perjalanan ke Pantai Murni, Yan sejauh 30km. Pantai ni sesuai untuk tempat melepak je petang-petang, tak sesuai untuk mandi-manda sebab pantainya berlumpur.Kemudahan semua ada seperti surau, medan selera dan taman permainan. Kat Yan ni juga banyak gerai menjual air nira nipah... cuaca masa tu pulak memang panas terik, kami pun singgah pekena air nira nipah sejuk, memang menyegarkan.

~ Seterusnya kami menuju Air Terjun Seri Perigi, cuma 5km dari Pekan Yan. Merupakan air terjun tertinggi di Kedah iaitu melebihi 100 meter. Air terjunnya boleh nampak dari jalanraya Guar Chempedak ke Yan. Bila jumpa air terjun, anak-anak mulalah merengek nak mandi tapi tak dapatlah nak tunaikan sebab kesuntukan masa. Lagipun semalam kan dah puas mandi-manda.

~ Kat Pekan Yan ni, kami mengisi minyak di stesen minyak Buraqoil (aku pun baru tau kewujudannya sejak sampai Kedah ni). Rupanya stesen minyak ni diwujudkan khusus untuk pengusaha stesen minyak kecil di kawasan luar bandar, dan kini semakin berkembang di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan.
~ Lepas solat jamak zuhur & asar, kami ke Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Merbok, 21 km dari Yan. Dah dua muzium kami pergi hari ni. Rasanya ingat lagi zaman sekolah rendah dulu, kalau subjek sejarah mesti ada cerita pasal kesan peninggalan sejarah tamadun Hindu-Buddha kat Lembah Bujang ni.

~ Dah dekat jam 4.00 petang tapi belum lunch lagi ni... masa untuk jalan-jalan cari makan. Sebelum ke Kedah ni dah survey satu restoran yang diwar-warkan sedap kat area Sungai Petani. Jom kita ke Restoran Bawal, Padang Temusu sejauh 6 km dari pusat bandar Sungai Petani... mula-mula pening juga nak mencarinya. Rupanya senang je nak cari, dari pusat bandar Sungai Petani jalan terus ikut jalan menuju ke Butterworth, restoran ni sebelah kiri.


Menunya lain sikit la dari biasa... seperti gulai ikan bawal, gulai sembilang, kari rusa, kari itik, asam pedas ikan pari (semua dalam claypot) dll. Lauk-lauk ni hanya dimasak selepas pesanan dibuat, boleh pesan mengikut set, nak add-on lauk lain pun boleh. Selain tu ada lauk-pauk yang digoreng seperti ayam kampung, ikan bawal dll. 


Kami pesan set kari rusa, add-on gulai sembilang dihidang dengan bawal goreng dan ulam-ulaman dan sambal belacan... memang menyelerakan tambah pulak perut tengah kebulur ni. Untuk menghilang dahaga.. aku cuba jus amra (kedondong) + asam boi... sungguh menyegarkan. Awas kalau anak-anak kecik pesan ice-blended, gelasnya cukup tinggi dijamin bapaknyalah yang terpaksa menghabiskannya. Banyak pulak aku cerita pasal restoran ni, taukenya patut bagi aku makan free lain kali.




~ Seterusnya kami menuju Pantai Merdeka, Kuala Muda... kira-kira 30 km dari Sungai Petani. Kawan aku kata kat sini memang sesuai untuk berkhemah sambil memancing waktu malam. Joran pun ada standby dalam kereta. Jadi kami cadang nak berkhemah je kat sini.


Kami sampai dah dekat pukul 6.00 petang. Masa mula-mula sampai ingat nak naik bot pergi Tanjung Dawai, tapi memandangkan dah lewat dan bot terakhir untuk balik ke Pantai Merdeka pukul 7.00 petang, kami tangguhkan pergi esok je lah. 


Kebetulan pulak masa ni sedang diadakan Pesta Pantai Merdeka selama sebulan lebih, maka penuhlah umat manusia mengunjungi gerai-gerai jualan kat sini... memang meriah. Kemudahan serba lengkap kat sini... taman permainan, surau, tempat letak kereta yang luas, medan selera semua ada. Cuma kalau nak mandi-manda kat pantai macam tak berapa sesuai la sebab pantainya berlumpur.

Lepas siap pasang khemah dan solat jamak maghrib dan isyak, jalan-jalan sekitar gerai jualan (macam biasa inilah aktiviti yang paling diminati oleh bini aku), kemudian lepak makan ringan-ringan kat medan selera (nak makan berat masih kenyang lagi makan kat Restoran Bawal tadi). 


Menu special kat sini adalah mee udang laut, order sepinggan kongsi dengan bini aku (sekadar nak merasa)... memang sedap, udangnya segar tapi sayang cuma letak 2 ekor saiz sederhana. Kalau boleh aku nak yang kena selak udang baru nampak mee barulah sempoi. Minuman special pulak semestinya ABC Gunung Jerai berharga RM 5.00... semua gerai ada jual cuma rupanya lain-lain sikit la. Memang tinggi ABC ni, boleh kongsi 2-3 orang cuma agak leceh masa nak 'meruntuhkan' gunung ni... 


Lepas makan sempat juga kami mencuba urutan refleksologi kat salah satu gerai... RM 20.00 untuk setengah jam, lega sikit rasa lenguh kaki. Tiba-tiba hujan turun, mujur  tak berapa lebat kami pun lepak dalam khemah je...anak dara aku dan ibunya terus tidur. 



Aku, Rozan dan anak-anak bujang aku lepak atas tembok batu tepi pantai sambil bersembang dan layan lagu Cinta Pantai Merdeka yang memang aku download khas dalam handphone untuk didengar bila sampai kat sini...owh syahdunya... kui3. Entah berapa kali ulang lagu tu sampai anak-anak aku dah boleh hafal liriknya. Kalau bab hafal lagu bukan main terang hati korang ye... cer kalau suruh hafal surah ke..sifir ke... hmmphhh...

Masa tu dah pukul 1.00 pagi tapi makin ramai pulak orang datang lepak sambil memancing. Geram pulak tengok orang memancing. Adehh, macam mana boleh tak teringat langsung nak beli umpan masa mula-mula sampai petang tadi. Kalau tak, boleh juga layan tarikan ikan gelama. Geram punya pasal, aku ajak Rozan buat muka selamba pergi tanya kat gerai-gerai makan tadi kalau-kalau ada udang atau sotong lebih.Tapi malangnya yang tinggal cuma udang laut gred A untuk menu mee udang, jadi tak berani le aku nak beli dah tentu mahal.


Kecewa... masuk khemah... lalu tidur sambil diulit lagu Cinta Pantai Merdeka dalam mimpi.



.....bersambung Hari Ketiga....




20 November, 2012

5 Hari 4 Malam: Jelajah Kedah/Perlis, Hari 1

" Katakanlah: Kembaralah kamu di atas muka bumi, dan lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan dengan suatu bentuk; kemudian Allah menjadikannya berbentuk lain dari asal kejadian. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu."
(Surah Al-Ankabut: ayat 20)

Sempena cuti sekolah hujung tahun yang panjang ni, takkan nak biarkan hidup anak-anak dihabiskan dengan memerap kat rumah dan taska je kan, jadi inilah masa yang sesuai untuk menyahut seruan ayat di atas, bawa anak bini mengembara melihat dunia yang Allah ciptakan untuk kita nikmati ni.

Kebetulan pulak aku tak pernah sampai ke Kedah (cuma lalu highway je) dan dah lebih 10 tahun tak pergi Perlis, maka inilah catatan pengembaraan kami sekeluarga menjelajah negeri Kedah & Perlis. Aku ajak juga seorang rakan sepejabat aku yang masih bujang, anak Bajau bernama Rozan yang ingin menjelajah seluruh Semenanjung sebelum beliau bertukar balik ke Sabah suatu hari nanti. Boleh juga aku 'mempergunakan' dia untuk berkongsi perbelanjaan minyak dan tol... jimat sikit... kui3.



HARI PERTAMA, 13 NOV. 2012 (SELASA) - CUTI DEEPAVALI

~ Malam tadi jam 11.30pm, kami bertolak dari rumah dan singgah di Rawang untuk mengambil Rozan di rumahnya. Ikut perancangan aku, mula-mula nak jelajah sebelah selatan Kedah dulu iaitu daerah Kulim. Sampai di Kulim jam 4.00 pagi, lepak tidur-tidur ayam kat Masjid Kulim sementara menunggu waktu Subuh.

~ Lepas solat Subuh, bersarapan kat Cinonie Corner, dataran Medan Selera Kulim. Menu sarapannya biasa-biasa je seperti nasi lemak, roti canai, murtabak, kuih muih dll. Sebab nak lain sikit aku makan la lempeng kelapa yang dimakan dengan gulai ikan kembung. Kat sebelah utara lempeng ni dipanggil peknga, singkatan dari perkataan 'tempek dalam belanga'... sedap dimakan panas-panas.

~ Selesai sarapan, masa mengundurkan kereta nak keluar parking, tiba-tiba terlanggar tiang lampu pulak. Bila pulak orang letak tiang ni, rasanya masa nak masuk tadi takde...(ayat nak cover malu sebab memang tak perasan langsung tiang tu...huhu). Nasib baik cuma retak sikit kat lampu belakang je.

~ Lepas tu, kami menuju destinasi pertama ke Hutan Lipur Sungai Sedim, 25 km dari Kulim. Tempat ni memang terkenal dengan aktiviti berakit arus deras (white-water rafting). Kalau tengok jeramnya pun memang nampak mencabar. Kat tempat ni juga ada Tree Top Walk, sebuah titian kanopi sepanjang 925 meter dan setinggi 40-50 meter dari aras tanah. Bukan selalu dapat berjalan sama tinggi dengan pucuk pokok-pokok tinggi dalam hutan, selain dapat juga melihat pemandangan Sg. Sedim yang mengalir deras kat bawah titian. Tapi bagi siapa yang gayat dinasihatkan jangan tengok bawah le. Bayaran masuk bagi dewasa RM10.00, kanak-kanak 7-12 tahun RM6.00. Masa dari 9.00 am - 5.00 pm.


~ Dah dekat jam 11.00 pagi tapi belum mandi pagi lagi ni...hehe. Subuh tadi cuma basuh muka je kat Masjid Kulim. Lalu kami ke Air Terjun Lata Bukit Hijau, Baling... kira-kira 38 km dari Sungai Sedim untuk mandi pagi. Air terjunnya memang cantik bertingkat-tingkat, ada 5 tingkat semuanya tapi kami mandi kat bahagian bawah je pasal ada budak kecik susah sikit la nak naik tinggi-tinggi. Tapi sayang sekali kawasan persekitaran macam tak terjaga... sampah-sarap bersepah tak dikutip. Kami kat sini lebih kurang sejam je, sebab airnya sejuk... anak-anakpun dah menggigil tak boleh tahan kecuali si Along yang agak banyak lemaknya.


~ Lepas mandi, perut pun dah lapar. jalan-jalan cari makan kat Baling, 24km dari Lata Bukit Hijau. Pusing punya pusing jumpalah satu kedai makan yang biasa-biasa je... asal boleh isi perut sudah...

~ Lepas solat jamak zuhur dan asar, kami ke destinasi seterusnya iaitu sebuah tempat yang sebelum ni tak sangka ada kat Malaysia ni... Ladang Anggur Tasik Beris, Sik... kira-kira 40 km dari Baling. Ladang anggur kat Sik ni rupanya yang terbesar di Asia Tenggara. Selama ni ingatkan anggur ni cuma boleh hidup kat negara beriklim sejuk je. Bayaran masuk RM 4.00 untuk dewasa dan RM 2.00 bagi kanak-kanak 7-12 tahun.

~ Kalau nak rasa pengalaman petik sendiri buah anggur, bayarannya RM 50.00 sekilo... pergghh... takpelah, beli yang dah siap petik dah la. Kami beli sikit anggur segar dari ladang sekadar untuk merasa ... 1 paket RM 15.00 ada campuran buah anggur merah, hitam dan hijau, ada yang manis ada juga yang agak masam. Pemandangan Tasik Beris kat tepi ladang pun memang cantik, cuma cuaca kat sini tersangatlah panas membahang.


~ Lebih kurang jam 5.00 pm, kami bertolak ke Taman Rekreasi Air Panas Ulu Legong atau dalam bahasa mat salehnya Ulu Legong Hot Spring, Baling... lebih kurang 30km dari Ladang Anggur Tasik Beris. Bayaran masuk untuk dewasa cuma RM 4.00, kanak-kanak 7-12 tahun pulak RM 2.00 je, bayar sekali je boleh mandi sampai esoknya... sebab tempat ni dibuka 24 jam. Disebabkan kami dah bercadang nak berkhemah kat sini, jadi kena sewa tapak khemah RM 5.00 bagi 1 tapak... penginapan yang murah lagi menjimatkan. Kalau nak bermalam kat chalet pun boleh, tapi ramai yang pacak khemah je kat tepi kolam atau kat mana-mana je dalam kawasan ni, asalkan bukan kat laluan orang ramai.

~ Sementara aku nak pasang khemah, anak-anak dah tak sabar-sabar terus terjun kolam dulu. Ada 4-5 buah kolam termasuk kolam untuk kanak-kanak dengan tahap kepanasan air yang berbeza-beza. Kolam 1 yang berpagar adalah yang paling panas, kalau rasa kulit tebal bolehlah cuba terjun.
 

 ~ Lepas makan malam kat gerai berdekatan, anak-anak sambung mandi lagi. Aku pun terpaksalah temankan diorang mandi... tapi sampai pukul 10.00 malam aku suruh diorang naik pasal mata aku dah tak larat. Dari malam tadi aku belum tidur lagi ni. Menjelang tengah malam makin ramai umat manusia yang datang. Jam 2-3 pagi pun masih riuh rendah orang mandi-manda. Nak tidur pun tak berapa lena. Memang pun waktu terbaik nak datang sini adalah waktu malam (gila apa siang hari nak mandi air panas). Tempat ni memang terbaik la untuk berekreasi bersama keluarga. Kalau dekat dengan rumah, dah tentu tiap-tiap minggu aku datang.


... bersambung akan datang... hari kedua...


19 November, 2012

Selamat Hari jadi ke-3, Aina


Hanya sambutan kecil-kecilan di rumah untuk anak daraku yang sorang ni

18 November, 2012

Selamat Pengantin Baru Ayo


Semoga adikku ini bersama isterinya bahagia hingga ke akhir hayat

11 November, 2012

Majlis Graduasi Tadika Angah

~ Cuti sekolah dah bermula. Tiba-tiba tersepit antara nak menghadiri dua acara pada masa yang sama... iaitu mengikut rombongan ke Penang (majlis perkahwinan adik lelaki (tiri) aku atau menghadiri hari konvokesyen anak kedua aku (konvo tadika je daa). 

~ Terpaksalah utamakan majlis konvo tadika si Angah, sekali seumur hidup je tu. Kenduri kahwin adik aku tu aku pergi sebelah lelaki je nanti. 


~ Acara: Disebabkan ini tadika sekular, maka acaranya pun acara keduniaan je lah. Dimulakan dgn persembahan tarian setiap kelas yg ada kat tadika tu, termasuk persembahan si Angah...owh, ada bakat juga anak aku tu menari. Lepas tu penyampaian sijil, dan diakhiri dgn acara makan-makan beramai-ramai.


~ Tahun depan Angah dah darjah 1.... cepat sungguh masa berlalu.

08 November, 2012

Cuti sekolah datang lagi

Tak belajar dah

Lepas je habis periksa, budak-budak sekolah dah tak belajar dah... boleh bawa permainan dan boleh main je sepanjang waktu persekolahan... kata si Along. Sama je baik sekolah agama mahupun sekolah kebangsaan. Jadi banyak hari jugalah si Along memonteng malas nak ke sekolah.


Keputusan

Keputusan peperiksaan akhir tahun untuk Tahun 2 dah dapat. Along dapat no. 31/42.... OK lah tu, ada juga peningkatan berbanding dengan periksa setengah tahun dulu, no. 41/42. Mungkin bagi sesetengah mak bapak akan malu kalau anaknya dapat nombor berpuluh-puluh. Tapi bagi aku ok je, asalkan dia dah berusaha... mungkin setakat tu je kemampuan budak tu.

Angah pulak dapat no.3/7 kat sekolah tadika dia. Terlambat daftar punya pasal maka terpaksalah dia sekolah sesi petang yang cuma ada 7 murid je dalam kelas dia. Sejak dah pandai mengeja dan membaca ni... habis semua benda nak diejanya....


Putus cinta

Suatu malam, beberapa hari sebelum cuti sekolah, bawa famili makan di luar. Tiba-tiba si Along kata takde selera nak makan... sebab baru putus cinta. Awek dia sejak zaman sekolah tadika dah kena rampas dek budak lain. Adehhh... tak sangka pulak aku kena berdepan situasi macam ni seawal anak aku ni baru darjah 2. Oooo... patutlah periksa dapat nombor berpuluh-puluh, kecik-kecik dah pandai nak bercinta... Ibunya pulak siap tergelak macam nak putus urat kentut... sampai menangis pulak budak tu kena gelak. Aku ni nak gelak ke tak... gelak dalam hati je la... kih..kih..kih... Kalau aku gelakkan dia juga nanti lain kali mesti tak nak dah dia cerita apa-apa atau meluahkan perasaan dia kat famili.


Perancangan masa cuti

Dah lama tak bawa anak bini gi jalan-jalan jauh sikit, masa cuti nilah yang sesuai. Nantilah aku fikir nak bawa  jalan ke mana. Tapi tiba-tiba aku ternampak pulak banner majlis khatan perdana beramai-ramai.

Heh... siaplah 2 orang anak bujang aku tu....



Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...