21 November, 2012

5 Hari 4 Malam: Jelajah Kedah/Perlis, Hari 2

HARI KEDUA, 14 NOV. 2012 (RABU)

~ Masih di Ulu Legong Hot Spring. Pagi tu sempat lagi mandi kolam air panas sekejap. Lepas tu masak sarapan... paling mudah masak maggi + telur je le, kadang-kadang takpe jangan makan selalu... tak elok untuk tumbesaran budak-budak.

~ Dari Ulu Legong Hot Spring, Baling terus menuju ke kaki Gunung Jerai, Yan (berdekatan pekan Gurun) sejauh hampir 70 km. Kemudian dari kaki gunung nak ke puncak sejauh 12km, kami melalui jalan sempit yang berliku-liku, lebih kurang macam jalan nak naik Genting tapi lebih sempit. Di sesetengah laluan hanya satu lorong dibuka kerana kerja pembaikan sedang dijalankan disebabkan tanah runtuh.

Sampai je kat puncak, ada satu resort tempat menginap iaitu The Regency Jerai Hill Resort. Pada ketinggian 986 meter dari aras laut, sebenarnya resort ni bukanlah puncak sebenar kerana puncak sebenar setinggi 1217 meter ada menara pemancar radio dan dilarang masuk. Masa kami sampai tu, cuaca nyaman dan agak dingin tapi berkabus, jadi tak nampak la pemandangan dari atas gunung. Orang kata kalau hari cerah boleh nampak pemandangan indah petak-petak sawah padi, rangkaian pulau-pulau di laut serta sebahagian daerah Yan dan Kuala Muda. 



Kami lepak sambil minum di Restoran Puncak Kedah kira-kira sejam di sini kemudian turun semula dan singgah di Muzium Perhutanan Sungai Teroi, tak jauh dari resort tu. Ada macam-macam maklumat dan pameran pasal hutan ada kat muzium ni.

~ Dari Gunung Jerai kami meneruskan perjalanan ke Pantai Murni, Yan sejauh 30km. Pantai ni sesuai untuk tempat melepak je petang-petang, tak sesuai untuk mandi-manda sebab pantainya berlumpur.Kemudahan semua ada seperti surau, medan selera dan taman permainan. Kat Yan ni juga banyak gerai menjual air nira nipah... cuaca masa tu pulak memang panas terik, kami pun singgah pekena air nira nipah sejuk, memang menyegarkan.

~ Seterusnya kami menuju Air Terjun Seri Perigi, cuma 5km dari Pekan Yan. Merupakan air terjun tertinggi di Kedah iaitu melebihi 100 meter. Air terjunnya boleh nampak dari jalanraya Guar Chempedak ke Yan. Bila jumpa air terjun, anak-anak mulalah merengek nak mandi tapi tak dapatlah nak tunaikan sebab kesuntukan masa. Lagipun semalam kan dah puas mandi-manda.

~ Kat Pekan Yan ni, kami mengisi minyak di stesen minyak Buraqoil (aku pun baru tau kewujudannya sejak sampai Kedah ni). Rupanya stesen minyak ni diwujudkan khusus untuk pengusaha stesen minyak kecil di kawasan luar bandar, dan kini semakin berkembang di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan.
~ Lepas solat jamak zuhur & asar, kami ke Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Merbok, 21 km dari Yan. Dah dua muzium kami pergi hari ni. Rasanya ingat lagi zaman sekolah rendah dulu, kalau subjek sejarah mesti ada cerita pasal kesan peninggalan sejarah tamadun Hindu-Buddha kat Lembah Bujang ni.

~ Dah dekat jam 4.00 petang tapi belum lunch lagi ni... masa untuk jalan-jalan cari makan. Sebelum ke Kedah ni dah survey satu restoran yang diwar-warkan sedap kat area Sungai Petani. Jom kita ke Restoran Bawal, Padang Temusu sejauh 6 km dari pusat bandar Sungai Petani... mula-mula pening juga nak mencarinya. Rupanya senang je nak cari, dari pusat bandar Sungai Petani jalan terus ikut jalan menuju ke Butterworth, restoran ni sebelah kiri.


Menunya lain sikit la dari biasa... seperti gulai ikan bawal, gulai sembilang, kari rusa, kari itik, asam pedas ikan pari (semua dalam claypot) dll. Lauk-lauk ni hanya dimasak selepas pesanan dibuat, boleh pesan mengikut set, nak add-on lauk lain pun boleh. Selain tu ada lauk-pauk yang digoreng seperti ayam kampung, ikan bawal dll. 


Kami pesan set kari rusa, add-on gulai sembilang dihidang dengan bawal goreng dan ulam-ulaman dan sambal belacan... memang menyelerakan tambah pulak perut tengah kebulur ni. Untuk menghilang dahaga.. aku cuba jus amra (kedondong) + asam boi... sungguh menyegarkan. Awas kalau anak-anak kecik pesan ice-blended, gelasnya cukup tinggi dijamin bapaknyalah yang terpaksa menghabiskannya. Banyak pulak aku cerita pasal restoran ni, taukenya patut bagi aku makan free lain kali.




~ Seterusnya kami menuju Pantai Merdeka, Kuala Muda... kira-kira 30 km dari Sungai Petani. Kawan aku kata kat sini memang sesuai untuk berkhemah sambil memancing waktu malam. Joran pun ada standby dalam kereta. Jadi kami cadang nak berkhemah je kat sini.


Kami sampai dah dekat pukul 6.00 petang. Masa mula-mula sampai ingat nak naik bot pergi Tanjung Dawai, tapi memandangkan dah lewat dan bot terakhir untuk balik ke Pantai Merdeka pukul 7.00 petang, kami tangguhkan pergi esok je lah. 


Kebetulan pulak masa ni sedang diadakan Pesta Pantai Merdeka selama sebulan lebih, maka penuhlah umat manusia mengunjungi gerai-gerai jualan kat sini... memang meriah. Kemudahan serba lengkap kat sini... taman permainan, surau, tempat letak kereta yang luas, medan selera semua ada. Cuma kalau nak mandi-manda kat pantai macam tak berapa sesuai la sebab pantainya berlumpur.

Lepas siap pasang khemah dan solat jamak maghrib dan isyak, jalan-jalan sekitar gerai jualan (macam biasa inilah aktiviti yang paling diminati oleh bini aku), kemudian lepak makan ringan-ringan kat medan selera (nak makan berat masih kenyang lagi makan kat Restoran Bawal tadi). 


Menu special kat sini adalah mee udang laut, order sepinggan kongsi dengan bini aku (sekadar nak merasa)... memang sedap, udangnya segar tapi sayang cuma letak 2 ekor saiz sederhana. Kalau boleh aku nak yang kena selak udang baru nampak mee barulah sempoi. Minuman special pulak semestinya ABC Gunung Jerai berharga RM 5.00... semua gerai ada jual cuma rupanya lain-lain sikit la. Memang tinggi ABC ni, boleh kongsi 2-3 orang cuma agak leceh masa nak 'meruntuhkan' gunung ni... 


Lepas makan sempat juga kami mencuba urutan refleksologi kat salah satu gerai... RM 20.00 untuk setengah jam, lega sikit rasa lenguh kaki. Tiba-tiba hujan turun, mujur  tak berapa lebat kami pun lepak dalam khemah je...anak dara aku dan ibunya terus tidur. 



Aku, Rozan dan anak-anak bujang aku lepak atas tembok batu tepi pantai sambil bersembang dan layan lagu Cinta Pantai Merdeka yang memang aku download khas dalam handphone untuk didengar bila sampai kat sini...owh syahdunya... kui3. Entah berapa kali ulang lagu tu sampai anak-anak aku dah boleh hafal liriknya. Kalau bab hafal lagu bukan main terang hati korang ye... cer kalau suruh hafal surah ke..sifir ke... hmmphhh...

Masa tu dah pukul 1.00 pagi tapi makin ramai pulak orang datang lepak sambil memancing. Geram pulak tengok orang memancing. Adehh, macam mana boleh tak teringat langsung nak beli umpan masa mula-mula sampai petang tadi. Kalau tak, boleh juga layan tarikan ikan gelama. Geram punya pasal, aku ajak Rozan buat muka selamba pergi tanya kat gerai-gerai makan tadi kalau-kalau ada udang atau sotong lebih.Tapi malangnya yang tinggal cuma udang laut gred A untuk menu mee udang, jadi tak berani le aku nak beli dah tentu mahal.


Kecewa... masuk khemah... lalu tidur sambil diulit lagu Cinta Pantai Merdeka dalam mimpi.



.....bersambung Hari Ketiga....




No comments :

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
tapi jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen...

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...