20 November, 2012

5 Hari 4 Malam: Jelajah Kedah/Perlis, Hari 1

" Katakanlah: Kembaralah kamu di atas muka bumi, dan lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan dengan suatu bentuk; kemudian Allah menjadikannya berbentuk lain dari asal kejadian. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu."
(Surah Al-Ankabut: ayat 20)

Sempena cuti sekolah hujung tahun yang panjang ni, takkan nak biarkan hidup anak-anak dihabiskan dengan memerap kat rumah dan taska je kan, jadi inilah masa yang sesuai untuk menyahut seruan ayat di atas, bawa anak bini mengembara melihat dunia yang Allah ciptakan untuk kita nikmati ni.

Kebetulan pulak aku tak pernah sampai ke Kedah (cuma lalu highway je) dan dah lebih 10 tahun tak pergi Perlis, maka inilah catatan pengembaraan kami sekeluarga menjelajah negeri Kedah & Perlis. Aku ajak juga seorang rakan sepejabat aku yang masih bujang, anak Bajau bernama Rozan yang ingin menjelajah seluruh Semenanjung sebelum beliau bertukar balik ke Sabah suatu hari nanti. Boleh juga aku 'mempergunakan' dia untuk berkongsi perbelanjaan minyak dan tol... jimat sikit... kui3.



HARI PERTAMA, 13 NOV. 2012 (SELASA) - CUTI DEEPAVALI

~ Malam tadi jam 11.30pm, kami bertolak dari rumah dan singgah di Rawang untuk mengambil Rozan di rumahnya. Ikut perancangan aku, mula-mula nak jelajah sebelah selatan Kedah dulu iaitu daerah Kulim. Sampai di Kulim jam 4.00 pagi, lepak tidur-tidur ayam kat Masjid Kulim sementara menunggu waktu Subuh.

~ Lepas solat Subuh, bersarapan kat Cinonie Corner, dataran Medan Selera Kulim. Menu sarapannya biasa-biasa je seperti nasi lemak, roti canai, murtabak, kuih muih dll. Sebab nak lain sikit aku makan la lempeng kelapa yang dimakan dengan gulai ikan kembung. Kat sebelah utara lempeng ni dipanggil peknga, singkatan dari perkataan 'tempek dalam belanga'... sedap dimakan panas-panas.

~ Selesai sarapan, masa mengundurkan kereta nak keluar parking, tiba-tiba terlanggar tiang lampu pulak. Bila pulak orang letak tiang ni, rasanya masa nak masuk tadi takde...(ayat nak cover malu sebab memang tak perasan langsung tiang tu...huhu). Nasib baik cuma retak sikit kat lampu belakang je.

~ Lepas tu, kami menuju destinasi pertama ke Hutan Lipur Sungai Sedim, 25 km dari Kulim. Tempat ni memang terkenal dengan aktiviti berakit arus deras (white-water rafting). Kalau tengok jeramnya pun memang nampak mencabar. Kat tempat ni juga ada Tree Top Walk, sebuah titian kanopi sepanjang 925 meter dan setinggi 40-50 meter dari aras tanah. Bukan selalu dapat berjalan sama tinggi dengan pucuk pokok-pokok tinggi dalam hutan, selain dapat juga melihat pemandangan Sg. Sedim yang mengalir deras kat bawah titian. Tapi bagi siapa yang gayat dinasihatkan jangan tengok bawah le. Bayaran masuk bagi dewasa RM10.00, kanak-kanak 7-12 tahun RM6.00. Masa dari 9.00 am - 5.00 pm.


~ Dah dekat jam 11.00 pagi tapi belum mandi pagi lagi ni...hehe. Subuh tadi cuma basuh muka je kat Masjid Kulim. Lalu kami ke Air Terjun Lata Bukit Hijau, Baling... kira-kira 38 km dari Sungai Sedim untuk mandi pagi. Air terjunnya memang cantik bertingkat-tingkat, ada 5 tingkat semuanya tapi kami mandi kat bahagian bawah je pasal ada budak kecik susah sikit la nak naik tinggi-tinggi. Tapi sayang sekali kawasan persekitaran macam tak terjaga... sampah-sarap bersepah tak dikutip. Kami kat sini lebih kurang sejam je, sebab airnya sejuk... anak-anakpun dah menggigil tak boleh tahan kecuali si Along yang agak banyak lemaknya.


~ Lepas mandi, perut pun dah lapar. jalan-jalan cari makan kat Baling, 24km dari Lata Bukit Hijau. Pusing punya pusing jumpalah satu kedai makan yang biasa-biasa je... asal boleh isi perut sudah...

~ Lepas solat jamak zuhur dan asar, kami ke destinasi seterusnya iaitu sebuah tempat yang sebelum ni tak sangka ada kat Malaysia ni... Ladang Anggur Tasik Beris, Sik... kira-kira 40 km dari Baling. Ladang anggur kat Sik ni rupanya yang terbesar di Asia Tenggara. Selama ni ingatkan anggur ni cuma boleh hidup kat negara beriklim sejuk je. Bayaran masuk RM 4.00 untuk dewasa dan RM 2.00 bagi kanak-kanak 7-12 tahun.

~ Kalau nak rasa pengalaman petik sendiri buah anggur, bayarannya RM 50.00 sekilo... pergghh... takpelah, beli yang dah siap petik dah la. Kami beli sikit anggur segar dari ladang sekadar untuk merasa ... 1 paket RM 15.00 ada campuran buah anggur merah, hitam dan hijau, ada yang manis ada juga yang agak masam. Pemandangan Tasik Beris kat tepi ladang pun memang cantik, cuma cuaca kat sini tersangatlah panas membahang.


~ Lebih kurang jam 5.00 pm, kami bertolak ke Taman Rekreasi Air Panas Ulu Legong atau dalam bahasa mat salehnya Ulu Legong Hot Spring, Baling... lebih kurang 30km dari Ladang Anggur Tasik Beris. Bayaran masuk untuk dewasa cuma RM 4.00, kanak-kanak 7-12 tahun pulak RM 2.00 je, bayar sekali je boleh mandi sampai esoknya... sebab tempat ni dibuka 24 jam. Disebabkan kami dah bercadang nak berkhemah kat sini, jadi kena sewa tapak khemah RM 5.00 bagi 1 tapak... penginapan yang murah lagi menjimatkan. Kalau nak bermalam kat chalet pun boleh, tapi ramai yang pacak khemah je kat tepi kolam atau kat mana-mana je dalam kawasan ni, asalkan bukan kat laluan orang ramai.

~ Sementara aku nak pasang khemah, anak-anak dah tak sabar-sabar terus terjun kolam dulu. Ada 4-5 buah kolam termasuk kolam untuk kanak-kanak dengan tahap kepanasan air yang berbeza-beza. Kolam 1 yang berpagar adalah yang paling panas, kalau rasa kulit tebal bolehlah cuba terjun.
 

 ~ Lepas makan malam kat gerai berdekatan, anak-anak sambung mandi lagi. Aku pun terpaksalah temankan diorang mandi... tapi sampai pukul 10.00 malam aku suruh diorang naik pasal mata aku dah tak larat. Dari malam tadi aku belum tidur lagi ni. Menjelang tengah malam makin ramai umat manusia yang datang. Jam 2-3 pagi pun masih riuh rendah orang mandi-manda. Nak tidur pun tak berapa lena. Memang pun waktu terbaik nak datang sini adalah waktu malam (gila apa siang hari nak mandi air panas). Tempat ni memang terbaik la untuk berekreasi bersama keluarga. Kalau dekat dengan rumah, dah tentu tiap-tiap minggu aku datang.


... bersambung akan datang... hari kedua...


No comments :

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
tapi jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen...

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...