22 November, 2012

5 Hari 4 Malam: Jelajah Kedah/Perlis, Hari 3

HARI KETIGA, 15 NOV. 2012 (KHAMIS) – CUTI MAAL HIJRAH


~ Salam Maal Hijrah 1434.

~ Selesai solat subuh, anak-anak terus pergi tepi pantai. Pemandangan kat Pantai Merdeka ni memang cantik berlatarbelakangkan Tanjung Dawai dan Gunung Jerai, tapi tak sesuai untuk mandi sebab pantainya berlumpur dan airnya agak kotor. Jadi aktiviti yang boleh budak-budak ni buat hanyalah main-main tepi pantai... melihat-lihat hidupan tepi pantai seperti umang-umang, ketam dan tapak sulaiman... serta mengutip cengkerang.


~ Lepas kemaskan khemah, nak mandi pun bilik air belum buka lagi. Kami buat keputusan menuju ke Tanjung Dawai yang terletak di seberang kuala sungai (atau laut) Pantai Merdeka (yang tak sempat pergi petang semalam). Untuk ke sana, perlu naik bot laju yang disediakan oleh persatuan nelayan kat situ... perjalanannya cuma ambil masa lebih kurang 10 minit. Setiap penumpang tak kira kecik besar kena tambang RM2 sehala. Seronok le untuk anak-anak dapat naik bot.

Kat Tanjung Dawai ni ada arked menjual hasil-hasil laut seperti ikan masin, ikan bilis, keropok, belacan dan pastinya juga ikan segar baru naik dari laut tapi dijual murah.

Perut dah lapar, apa-apa hal pun kena cari sarapan dulu. Malangnya kedai-kedai kat medan selera arked ni baru nak dibuka... mungkin menumpukan untuk makanan tengahari. Yang ada cuma sebuah gerai biasa menjual menu sarapan yang biasa... nasi lemak, mi goreng dan nasi kerabu, kira bolehlah untuk mengisi perut.

Lepas sarapan, ternampak satu bakul penuh dengan belangkas hidup kat salah satu gerai makan tadi, harganya RM10 seekor siap bakar tapi sayangnya peralatan memasaknya belum siap... agak kempunan la nak rasa makan belangkas... huhu. Lepas tu ronda-ronda sekejap kat arked tu, bini aku pun macam tak berminat nak beli ikan bilis ke apa...jadi cuma beli keropok sebagai kudapan dalam kereta nanti.


Lepas tu balik semula ke Pantai Merdeka...  dengan bangganya juga kami telah menjejakkan kaki ke semua tempat yang disebut dalam lirik lagu Cinta Pantai Merdeka tu... iaitu Gunung Jerai, Tanjung Dawai dan Pantai Merdeka itu sendiri... hohoho! Ehh macam mana aku boleh terjebak layan lagu ni pulak... sebelum ni tak minat langsung pasal lagu ni lembik semacam je. Mungkin bila dah sampai pantai ni baru terasa 'semangat' lagu ni kot.
~ Dari Pantai Merdeka kami menuju pula ke Alor Setar. Sempat singgah di Tugu Peringatan Tsunami, Kota Kuala Muda yang dibina dari perahu-perahu yang rosak dan dihanyutkan dalam tragedi tsunami yang melanda tahun 2004 serta meragut 12 nyawa penduduk sekitar Kota Kuala Muda. Al-Fatihah.
~ Sepanjang perjalanan dari Pantai Merdeka ke Alor Setar ikut jalan lama sejauh 90 km... puaslah menikmati pemandangan sawah padi seluas saujana mata memandang. 

~ Dah sampai Alor Setar tak singgah mana pun, kami terus ke Muzium Padi, dekat Gunung Keriang, kira-kira 8 km dari Alor Setar. Bayaran masuk dewasa RM3, kanak-kanak RM1, manakala kamera apa jenis pun kena bayar RM2. Agak kelakar bila resit bayaran untuk kamera tu perlu ditunjukkan/diikat pada jari setiap kali nak ambil gambar... siap ada staff muzium yang akan memerhati dan memeriksa siapa ambil gambar tanpa resit di tangan.

Selain pameran tentang segala benda berkaitan tanaman padi, yang paling menarik kat muzium ni pastinya pelantar berputar kat aras 3 di mana kita dapat melihat panorama/lanskap jelapang padi dalam bentuk mural... memang cantik dan muralnya pun memang 'real' macam gambar sebenar.

~ Lepas tu ronda-ronda sekitar Taman Rekreasi Gunung Keriang (tak jauh dari Muzium Padi tu). Ada banyak kedai jual batu kristal yang dipungut dari dalam gua Gunung Keriang ni. Tapi kami cuma tinjau dari dalam kereta je sebab takde niat nak beli dan lagipun dah pukul 2.00 pm lebih, perut dah bagi signal minta diisi. Kami berpatah balik ke bandar Alor Setar dan singgah makan kat satu kedai nasi campur, lupa pulak apa nama kedai tu, tapi kedai biasa-biasa je... asal boleh isi perut sudah.

~ Sebelum ke Kedah ni, aku ada contact sorang sahabat lama, rakan sekerja yang sekarang dah bertukar balik ke kampung halamannya kat sini. Mulanya nak mintak tolong survey homestay murah-murah kat Aloq Setaq ni. Sekali dia offer homestay dia punya sendiri daa... sebuah rumah teres setingkat kat Taman Wira Mergong.

Lokasinya sangat strategik cuma 4 km dari pusat bandar Alor Setar. Rumah 3 bilik/2 bilik air ni dilengkapi dengan air-cond kat bilik tidur utama, peti sejuk, tv dan kelengkapan memasak. Kalau datang ramai dan bilik tak cukup, boleh bentang toto tidur je kat ruang tamu. Setelah dua malam berturut-turut tidur dalam khemah, malam ni kami akan tidur dengan selesa kat homestay pulak.

Kalau ada yang berminat boleh contact Aznizam Homestay, 019-5754554. Maklumat lanjut tentang kadar sewa dan gambar homestay bolehlah check kat  blog dia.

~ Lepas solat jamak zuhur dan asar, kami keluar semula untuk meronda bandar Alor Setar. Mula-mula naik Menara Alor Setar, menara telekomunikasi ke-2 tertinggi di Malaysia dan ke-19 di dunia. Bayaran untuk dewasa RM8, kanak-kanak 6-12 tahun RM4. Dari atas menara bolehlah nak tengok pemandangan bandaraya Alor Setar dan sebahagian negeri Kedah, sampaikan Gunung Jerai, Selat Melaka malah Pulau Langkawi pun boleh nampak kalau cuaca cerah.

~ Orang kata kalau pergi Alor Setar tak lengkap dan tak sah kalau tak singgah shopping kat Kompleks Pekan Rabu. Sila klik link yang aku bagi tu sebab boleh layan lagu Pekan Rabu dalam loghat Kedah dan ada cerita tentang benda-benda yang ada kat Pekan Rabu tu. Banyak kali dengar syok juga layan lagu tu... 

Kat sini kami cuma beli ikan pekasam dan serunding, selebihnya cuma 'window shopping' je. Bini aku pun macam takde minat nak beli apa-apa kat sini. Itu sangat tidak bagus kerana tidak dapat menjana ekonomi para peniaga kat sini tapi amat bagus untuk ekonomi keluarga aku.... kui3. Dah penat meronda... tekak pun dah kering... lepak kat medan selera Pekan Rabu sambil layan cendol & laicikang lagi syok.


~ Setakat tu je yang sempat kami ronda kat Alor Setar hari ni. Anak bini dah kepenatan dan kepeningan, mungkin sebab cuaca kat Kedah masa kami pergi ni panasnya semacam. Kami balik ke homestay untuk berehat dan membersihkan diri. Dalam 2-3 hari ni mandi pun ala koboi je... kat homestay bolehlah mandi puas-puas.

~ Malam; tuan rumah, Aznizam dengan rela hati nak bawak kami jalan-jalan cari makan. Cakap je nak makan jenis apa kat Alor Setar ni dia boleh bawak kat tempat yang best. Anak bini kata nak makan ala-western la pulak... layan aje lah.  

Kami makan kat Gemilang Burger, tapi bukanlah macam gerai burger tapi dah macam restoran juga aku tengok. Lokasinya aku tak ingat kat mana dan bila aku google... ada beberapa cawangan lain rupanya dan memang tempat lepak malam-malam yang popular  kat Alor Setar ni (terutama bila ada game EPL).

Menunya pun bukanlah burger semata-mata tapi semua menu western food ada... Antara yang kami makan... chicken chop dan lamb chop. Apa lagi nak dikata... western food kat KL pun berlambak. Sedap memang sedap tapi bertambah-tambah sedapnya bila Aznizam dengan rela hati tanpa aku paksa telah membelanja kami makan malam tu. Inilah contoh tuan rumah yang pandai melayan tetamunya... dan sebagai tetamu yang mahu menjaga hati tuan rumah, aku pun dengan rela hati menerima pembelanjaan itu tanpa sebarang bantahan... (hehehe kenalah bodek sikit).. terima kasih Zam...

~ Perut dah kenyang... balik homestay dan tidur dengan lenanya dalam bilik berhawa dingin. Agak teruja dan hampir lupa diri la sebab sejak dua malam lepas tidur berhimpit dalam khemah je.



... bersambung lagi Hari Keempat...

4 comments :

  1. Sebenarnya aku baca entri ni dah pat kali dah. Nak ambik info sebab bini aku dah kalut nak berjalan/jelajah ke Perlis macam Tuan buat tu. Terhibur je rasa. Dan terima kasih sebab aku dapat part-part penting untuk buat rujukan. Mungkin cuti sekolah nanti nak mulakan trip.

    ReplyDelete
  2. Sama2 tuan...alhamdulillah kalau ada info yg dpt mmbantu... tapi kalau ada info yg dah tak relevan mahap la ye

    ReplyDelete
  3. sempoi tuan...buat sesaper yang nak datang...,memang banyak info berguna...
    bab lagu Cinta Pantai Merdeka tu..ada nostalgia..uhuhuhuhuhuh

    ReplyDelete
  4. tq tuan anon... kena pegi pantai merdeka baru real dpt rasa semangat lagu ni.. hehe

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
tapi jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen... terima kasih.

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...