PTT Outdoor

05 September, 2011

Syawal 1432 / 2011

Salam Syawal.

- Raya tahun ni jatuh di pertengahan minggu, serentak pulak dgn cuti Hari Merdeka. Jadi cuma perlu ambil cuti rehat selama 2 hari, dapat 9 hari cuti berturut-turut. "Untunglah orang kerja gomen...", kata jiran aku yg kerja dgn swasta dan dah kena kerja pada raya ketiga. "Nak buat camne bang, dah nasib saya dapat cuti lelama...", kata aku, heheh!

- 4 hari diperuntukkan utk beraya di rumah mertua di Perak, dan 4 hari lagi di kampung aku sendiri di Pahang, adil lagi saksama, sama rata dan sama rasa!

- Syukur, dalam perjalanan balik beraya tahun ni, tak terlibat dgn kesesakan yg teruk, begitu juga semasa balik dari kampung. Tahun ni juga tak ditimpa tragedi dihempap pokok macam tahun lepas. Selamat pergi dan selamat balik, alhamdulillah!


- Tahniah buat Along kerana cuma kantoi puasa 2 hari je tahun ni. Itupun sebab 1 hari tu tak bangun sahur dan 1 hari lagi tu cuaca panas sangat. Kira hebatlah bagi budak umur 7 tahun, ditambah pulak hari2 'digoda' oleh adik-adiknya si Angah & Aina yg selamba je makan minum depan dia.

- Di musim raya ni aku masih lagi ada terdengar dialog ni: "Selamat hari raya, maaf zahir je ye...batin tarak!". Nampaknya masih ada lagi yg tak paham bahawa 'batin' dalam dialog seperti di atas bukanlah bermaksud keterlanjuran dari segi penggunaan tenaga batin ke atas orang lain, tapi bermaksud keterlanjuran yg menyakitkan hati atau menyinggung perasaan orang lain... ada fahammm???

- Masih belum terlambat rasanya utk aku mohon maaf zahir batin atas segala keterlanjuran, baik tutur kata mahupun perbuatan kepada semua yg mengenali aku tapi tak sempat berjumpa, juga kepada pengunjung blog ni kalau ada.

SELAMAT HARI RAYA.

.

31 July, 2011

Nafas Baru Ramadhan

- Esok dah puasa. Dah janji dengan anak bini dan juga dengan diri sendiri untuk cuba lagi berhenti merokok bermula 1 Ramadhan ni. Ini percubaan kedua setelah percubaan pertama Ramadhan dua tahun lepas cuma mampu bertahan sampai hari raya ketiga je kat kampung, tewas dengan godaan sedara mara, ipar duai dan sahabat handai yang bertalu-talu menghembuskan asap kat aku... bedebah sungguh mereka itu!

- Tapi kali ni aku betul2 berazam nak berhenti. Cukuplah dah lebih 20 tahun bersahabat dengan jin. Aku rasa tak perlu guna alat bantuan untuk berhenti (seperti terapi gantian nikotin dsb), yang penting hati kita ni kena kuat untuk melawan ketagihan.
- Hari ini, 8.30 malam...sebelum ke surau menunaikan solat terawih, aku lepak bersendirian di suatu sudut tembok yang agak suram kerana tidak mahu sebarang gangguan, aku sedang menikmati sedutan-sedutan dan hisapan-hisapan terakhir... sedutan dan hisapan yang dalam-dalam, yang sungguh-sungguh... sebagai tanda perpisahan aku dan dia...

- Aku pasti ramai yang senyum sinis kalau terbaca statement kat atas tu. Elehh...boleh percaya ke si Ali perokok tegar ni nak berhenti merokok! Heheh... sebenarnya aku pun tak berapa yakin aku boleh berhenti tapi aku saja je tulis macam tu sebab nak cuba bersikap positif, buat-buat konfiden je la sebagai faktor pendorong dan perangsang. Tolong doakan aku berjaya kawan!


Selamat bersahur, berpuasa, berbuka dan menghayati Ramadhan.

.

25 July, 2011

Keselamatan di Hari Kejadianku

- Hari lahir setiap tahun kita sambut dan kita ingat. Hari mati kita tak tau entah bila, walaupun tarikh sebenarnya dah ada tertulis di 'sana'. Setahun dua kebelakangan ni baru aku tersedar bahawa setiap kali hari jadi, umur aku sebenarnya makin pendek, entah berapa lama lagi nak hidup aku ni agaknya. Kalau ikut purata jangka hayat rakyat Malaysia, sisa hidup aku cuma tinggal lebih kurang 30 tahun lagi... itupun kalau sempat.

- Keseronokan menikmati kelazatan duniawi juga boleh dikatakan sudah puas dirasai...nasib baik nyawa tak dicabut  masa hidup dalam zaman kesesatan dulu... Syukur sebab aku masih diberi peluang bertaubat, dan menginsafi bahawa semua kelazatan dunia hanyalah sementara... dan juga menginsafi bahawa tujuan utama aku dijadikan dan dihidupkan di sini, hanyalah untuk mencari bekalan sebanyak mungkin untuk dibawa ke alam yang kekal abadi di sana.

- Sebab tu sejak setahun dua kebelakangan ni, aku buat tindakan drastik untuk cuba berubah menjadi manusia yang lebih baik dari sebelum ni. Pedulikanlah kalau orang pandang sinis sambil kata " dia ni dah buang tebiat nak mampus ke hapa"... Tapi aku tak pulak kata sekarang ni aku ni dah baik sangat macam malaikat. Kan aku dah kata tadi aku cuma CUBA berubah menjadi lebih baik, sedangkan hakikat sebenarnya memang payah nak mengubah sifat buruk yang dah sebati menjadi darah daging. Takpelah, janji ada usaha untuk berubah ye tak?


- Sempena hari jadi aku ni, macam biasa bini aku belikan kek sebijik untuk aku percikkan air liur masa meniup lilin bersama anak-anak. Ni lagi satu aku pelik dengan bini aku ni... kenapa setiap kali hari jadi mesti kena ada kek? Tak boleh ke buat benda-benda lain.... pulut kuning ke, bubur lambuk ke...kambing golek ke? Kui3...apahal pun terima kasih lah kepada biniku yang bersusah payah membuat.... ehh membeli kek untuk lakimu ini. Err... tahun depan buat pulut kuning macam dalam gambar belah kanan tu pulak ye...nampak macam kek jugak apa...

- Sekarang dah jarang buka FB. Sekali buka ehh berderet rupanya sahabat-sahabat yang ucap selamat hari jadi kat aku. Terima kasih bebanyaklah kepada sahabat-sahabatku Ekin Saleh, Nawawi, Norita, Azamuddin, Hasni, Syed Shairazi, Hasnah, Nany, Zainora, Hazwani, Raiham, Noor Aini, Syafaliza, Azam, Faizul Joe, Azizul Hap Seng, Norhafiza, Mieen Edy, Ikhsan, Pugal, Wan Maizurina, Farry, Rafiqie, Aliena Suria, Maslina, Eyma, Rizaudin, Shahrizal, Syed al-Fatah & Fain Rosli.

- Aku pun doakan korang semua pun panjang umur dan dimurahkan rezeki, yang paling penting semoga hidup kita  semua ni diberkati dan dirahmati Allah. Kalau hidup je lama, rezeki pun banyak tapi tak berkat tak guna jugak kan?


24 July, 2011

Hantu Durian

22-24 Julai 2011 (Jumaat-Ahad) 

- Lepas habis kerja petang Jumaat tu, kemas barang sikit nak balik kampung aku...ada majlis tahlil di rumah mak sedara aku.. Bertolak pukul 8.00 lebih, sampai kampung dah 10.30 malam, anak bini dah lena tidur dalam kereta...kenduri pun dah habis. Maka tugas aku malam tu adalah cuba menghabiskan makanan yang tak habis, mengemas apa yang patut, dan esoknya ambik kontrak basuh pinggan mangkuk & periuk belanga. Mujurlah tak berapa banyak sangat yang perlu dibasuh sebab sekarang ni kat kawasan kampung2 pun hidangan kenduri dah dibuat secara buffet je, dah susah nak jumpa makan berhidang. Biasalah, manusia dah semakin malas dan semua kerja nak senang. Kalau kenduri besar sikit, dah ramai yang pakai pinggan & cawan pakai buang je, memang 'mesra tuan rumah' walaupun tak 'mesra alam sekitar'.

Lihatlah betapa serasinya kami...bentuk pun hampir seiras
- Sekarang musim durian tengah menjadi-jadi. Sepanjang 3 hari kat kampung ni puaslah melantak durian....bangun tidur pekena durian, sebelum tidur pun pekena durian dulu...boleh dikatakan tiada hari tanpa durianlah. Baik dalam bentuk buah mahupun dalam bentuk tempoyak.... Walau macam manapun, sejak setahun dua ni pengeluaran buah durian (dan buah2 lain juga) kat kampung aku ni semakin berkurangan sebab adanya gangguan dari beberapa jenis makhluk. Bukan disebabkan oleh 'Hantu Durian' tapi disebabkan oleh berpuluh-puluh ekor kera & beruk yang semakin beranak pinak kat belukar belakang kampung.


- Satu kelemahan kera/beruk ni adalah dia tak pandai nak kupas/kopek durian (berbanding dengan si tupai yang memang pakar menebuk lubang). Mungkin sebab bengang dan dengki punya pasal, banyaklah buah2 durian yang belum matang gugur dikerjakan mereka. Sebagai langkah proaktif, penduduk kampung telah menubuhkan satu skuad penembak tepat dalam usaha memerangi puak kera & beruk tersebut (eleh...guna lastik je sebenornye pun).

Sekian saya melaporkan dari Dusun Durian Desa Bakti, Mentakab, Pahang!

.

30 June, 2011

Catatan Perjalanan Jun 2011

Agak sibuk bulan ni sampai takde masa nak update blog (sebenarnya perasan sibuk + malas). Untuk memastikan blog aku ni tak bersawang, jadi aku update la satu entri ringkas tentang peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam hidup aku sepanjang bulan Jun ni.

12 Jun (Ahad)- Pergi kenduri kahwin kawan sepejabat (Pojie) kat Ulu Langat. Lepas kenduri, singgah Menara Tinjau Ampang (Look Out Point). Kali terakhir lepak kat sini kira-kira 8 tahun lepas, dah banyak perubahan yang berlaku.

Kalau dulu kat puncak tu cuma hutan, sekarang dah ada 4-5 restoran western food, bertambah happening dan sesuai la untuk melepak sambil menikmati pemandangan keseluruhan KL, lagi cantik kalau lepak waktu malam.



17 Jun (Jumaat) - Ambil cuti hari ni. Melalui fasa baru dalam hidup, bila kena pergi sekolah untuk mengambil report card anak sulung aku yang dah darjah 1. Dapat no. 3 dari 39 murid dalam kelas dia... kira OK lah tu. Sedikit dialog antara seorang cikgu dgn seorang bapak murid:

Cikgu: "Prestasi anak encik dalam exam setengah tahun ni bagus, cuma agak lemah dalam subjek Math. Lagi satu perangai dia nakal sangat...selalu buat bising, main kejar-kejar dalam kelas, kacau budak lain,dll.".

Bapak: "Errr... mana yang baik dan buruk saya dah bagitau kat dia, depan saya dia kata OK... belakang saya kalau dia tak ikut juga, saya nak buat macam mana lagi cikgu.... Mungkin ini penyakit keturunan agaknya (bapaknya dulu pun memang lemah Math dan perangainya agak nakal sikit...ngeh3). Cikgu sabor je la ye..."


23 Jun (Khamis) - Ambil cuti lagi, kali ni sempena hari sukan sekolah anak aku pulak. Apa jadah la pulak sukan buat hari bekerja ni? Ohh... sukan sekolah ni terpaksa dibuat dua kali sebab muridnya terlampau ramai. Sukan untuk Tahun 1,2 & 3 diadakan hari ni, untuk tahun 4,5 & 6 pulak dibuat hari Sabtu.

Ehh... si Along cuma masuk acara sukaneka je rupanya, semalam dia kata masuk acara lumba lari??? Ada-ada je lah budak ni!

01 June, 2011

Lagu untuk biniku

Biniku
Seri mewangi bagai disiram selautan kasturi

Biniku
Termanis senyummu biar ku telan selautan hempedu
Dialah biniku selalu

Tak peduli kata orang terhadap dirinya
Aku tahu dia biniku
Tak peduli nista yang terlempar padaku
Dia tahu dia biniku

Cinta kan bermakna jika sama saling memahami
Cinta kan bercahaya jika disulami cinta suci

Binikuku
Terindah padamu kerna tak pernah meminta selain cinta
Dialah biniku selama-lamanya

Di kala hidup ini rasa tak bermaya
Dia datang membawa harapan
Di kala hari-hariku menjadi gelita
Dia datang membawa cahaya

Cinta ku bermakna kerna sama saling memahami
Cinta ku bercahaya kerna disulami cinta suci
Biniku...

Itulah lagu untuk biniku, diubahsuai dari lagu Gadisku (Search)... sempena ulangtahun ke-8 perkahwinan kami. Nak berjiwang sangat aku tak berapa reti, jadi lirik di atas jelas menerangkan maksudnya.

.
Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...