PTT Outdoor

21 April, 2011

Mengapa perlu membaca Al-Quran, walaupun tidak memahaminya

Lama tak update blog ni, penat juga aku nak membersihkan sawang, mengusir khinzir hutan yg dah bersarang kat sini, seterusnya menebas semak samun yg makin meninggi. Kali ni cuma nak buat entri untuk peringatan diri sendiri je...

Ini adalah satu kisah yang sangat menarik. Semoga dengan cerita ini hati anda akan terbuka tentang membaca Al-Quran. Kisah ini dipetik daripada kisah yang ditulis dalam Bahasa Inggeris.


Mengapa Kita Membaca Al-Quran, sedangkan kita tidak memahami sepenuhnya apa yang di baca?.

Ada seorang Atuk tua tinggal bersama cucu lelakinya di sebuah bukit di pendalaman. Setiap pagi Atuk bangun awal pagi duduk di meja makan dan membaca Al-Quran. Cucunya ingin menjadi seperti Atuk dan meniru seberapa boleh akan bacaan yang dibaca oleh Atuknya.

Pada suatu hari cucunya bertanya, ‘Atuk! saya cuba membaca Al-Quran macam Atuk baca tapi saya tak faham pun, dan jika saya faham sekali pun saya akan lupa sebaik sahaja saya menutupinya. Apa bagusnya bila kita membaca Al-Quran?’

Sedang orang tua itu meletakkan arang batu ke dalam dapur pemanas badan, dengan perlahan dia menoleh kepada cucunya sambil berkata, ‘ Bawa guni arang batu ini ke sungai dan bawakan saya seguni air.’ Budak lelaki itu buat seperti apa yang disuruh, tetapi semua air itu membocor keluar sebelum dia sampai ke rumah.
Orang tua itu ketawa dan berkata. ‘ Awak hendaklah berjalan lebih cepat untuk yang akan datang,’ dan meminta cucunya ke sungai bersama dengan guni arang batu untuk cuba sekali lagi.

Kali ini budak lelaki itu berjalan lebih laju, sekali lagi guni itu kosong sebelum dia tiba ke rumah. Terlalu letih, dia memberitahu Atuknya bahawa mana mungkin untuk membawa air di dalam guni, dan dia pergi untuk mengambil baldi. Orang tua itu berkata, ‘ saya tidak mahu sebaldi air, saya mahu seguni air. Anda tidak cukup kuat mencubanya.’ dan dia menuju ke pintu melihat cucunya mencuba lagi.

Pada ketika itu, budak lelaki itu sudah tahu bahawa tidak mungkin dapat membawa air di dalam guni hingga ke rumah, tetapi untuk tidak menunjukkan apa-apa reaksi kepada Atuknya dia berlari seberapa laju yang dia boleh, semua air yang di bawa masih membocor keluar sebelum dia sampai ke rumah.

Budak lelaki itu sekali lagi pergi ke sungai dan berlari secepat mungkin dengan seguni air, tetapi apabila sampai kepada Atuknya, guni tersebut sekali lagi kosong. Meletihkan, katanya, ’ tengok Atuk, tak guna!’ ‘

Jadi anda fikir ianya tidak berguna?’ Orang tua itu berkata,’ tengok guni itu.’ Budak lelaki itu melihat akan guni tersebut dan buat kali pertamanya dia sedar bahawa guni tersebut sudah berubah. Ia telah bertukar daripada guni lama yang kotor bekas arang batu menjadi begitu bersih, luar dan dalam. ‘Cucuku, itulah yang akan berlaku jika anda membaca Al-Quran.

Anda mungkin tidak faham ataupun ingat kesemuanya, tetapi apabila anda membacanya, anda akan berubah dengan sedirinya, dalaman dan luaran. Itulah kurniaan Allah s.w.t. dalam kehidupan kita.’

::[ Pengukir Kata ]::

Cilok dari FB.

~ Hoh! Apa lagi, pergi la ambik Quran yg dah berhabuk dalam lemari tu,bawak-bawak la dibaca. Ada sesetengah orang tu pulak, Quran dibuat maskahwin/hantaran kahwin tapi lepas kahwin sampai anak dah berderet Quran tu cuma jadi perhiasan je. Apa??? kat rumah ko takde Quran??? Itu lagi haru, ko mengaku ko Islam tapi kat umah Quran pun takde... astaga!

~ Perkembangan terkini: Aku sedang mengikuti kelas Bahasa Arab di mana tenaga pengajarnya adalah anak sulung aku yg baru darjah 1 tu..heheh. Almaklumlah masa bapaknya ni kecik-kecik dulu mana ada belajar Bahasa Arab, mana ada sekolah agama. Bahasa Al-Quran tu beb, kenalah usaha belajar walaupun cuma yg basic je. Ok lah, aku share sikit apa yg aku dah belajar...


Sorsurun - Lipas
Zababun - Lalat


OK, itu je yg aku tau setakat ni, anak aku baru ajar sampai situ.

21 March, 2011

Restoran Chiangmai @ Sg. Buloh


Dibelanja oleh abang ipar yg tengah kaya baru dapat bonus di Restoran Chiangmai Sg. Buloh. Makanan kat sini tersangatlah pedas. Tak sesuai utk sesetengah golongan masyarakat terutama budak2 tapi sangat sesuai dgn tekak aku.


Kalau datang sekeluarga seramai 10 org tapi takde bajet sebanyak RM366 jangan sekali-kali berani datang makan kat sini. Sapa berani? Kalau takde orang belanja aku pun tak berani! Hehehh.

08 March, 2011

3 Hari 2 Malam @ Kota Kinabalu / Kundasang / Ranau

Percutian ni dah plan sejak tahun lepas lagi sebab tiket penerbangan Air Asia dibeli pada harga murah masa ada promosi. Sejak dari puteri bongsu aku belum pandai berjalan sampai la sekarang ni dah berlari2 anak. pejam-celik2x dah sampai masa untuk terbang. Sebulan sebelum berangkat aku booking hotel melalui booking.com. Ikuti catatan perjalanan aku (semuanya aku sumbat dlm satu entri ni je), mungkin sikit sebanyak boleh dijadikan panduan kepada kawan2 yg belum pernah ke sana.

HARI PERTAMA, 4 MAC 2011 (JUMAAT)

~ Malas nak drive ke LCCT, parking kereta kat KL Sentral, naik bas je. Ada dua syarikat bas kat aras LG KL Sentral ni; Skybus (bas rasmi Air Asia) & Aerobus, menyediakan perkhidmatan ulang-alik KL Sentral - LCCT setiap setengah jam. Perjalanan memakan masa lebih kurang 1 jam. Nak naik ERL mahal sangat tambangnya.


~ Flight dari KL 3.10 pm, sampai KK 5.40 pm (dah hampir waktu senja kat sini). Teruja nampaknya anak2 aku pertama kali naik kapal terbang. Ini kali pertama anak bini aku sampai ke Sabah, aku pulak kali ke-2 selepas trip
mendaki Gunung Kinabalu tahun 2009. Sesudah melepasi kaunter imigresen, terus contact owner kereta sewa yg aku dah booking seminggu sebelum tu. Dapat sewa Proton Persona dgn harga RM 120 sehari (aku sewa dua hari). Kira murahlah juga tu. Kalau ada yg berminat boleh contact  Adie, 014-5586425 & 016-5829313.


~ Dari airport melilau sekejap mencari Kinabalu Daya Hotel. Dah jumpa hotel satu hal lagi nak mencari parking punyalah seksa (silap pulak cari hotel yg tak sediakan tempat parking, ditambah pulak sebab weekend ramai pelancong ), terpaksalah parking jauh sikit dari hotel. Lepas check in, lepak bilik jap sambil mandi-manda utk menyegarkan badan.




~ Badan dah segar, nafsu utk membaham mula meluap-luap. Sebenarnya kat pusat bandar KK ni terdapat pelbagai makanan & juadah terutamanya makanan laut. Jalan punya jalan, kami buat keputusan makan ikan bakar kat belakang Pasar Filipina. Dengar cerita kat sini banyak pilihan ikan/sotong/udang segar yang baru naik dari laut. Harganya pun agak berpatutan, ada yg mahal ada yg murah... tengok jenis & saiz ikan la. Suasana kat sini pun meriah walaupun agak kurang selesa. Tapi bila dah lapar apadahal... tambah pulak kat sini aku dapat cuba sesuatu yg baru... makan sejenis rumpai laut (lupa apake namanya) dan makan umai (hirisan isi ikan mentah diperah asam limau macam salad la lebih kurang). Kalau dah muak makan seafood boleh order kepak ayam panggang bersebelahan kedai ikan bakar ni.


~ Dah kenyang, jalan2 window shopping sekitar Pasar Filipina & sekitar Pasar Malam Sinsuran. Lepas tu terus balik hotel pasal anak2 dah meragam kepenatan.




HARI KEDUA, 5 MAC 2011 (SABTU)


~ Isi minyak kereta RM 60.00. Banyak tempat nak pergi hari ni, mana yg sempatlah. Lepas subuh, lebih kurang pukul 6.30 pagi (masa ni dah terang) terus bertolak ke Kinabalu Park, Kundasang... 91 km dari KK, kalau memandu secara berhemah mengambil masa sejam setengah. Kalau memandu secara tak berhemah Insya Allah tak sampai langsung sebab jalan yg banyak selekoh tajam di kawasan berbukit bukau silap2 mungkin masuk gaung.

~ Kami target nak sampai awal sebab nak tengok puncak Gunung Kinabalu. Orang kata bila dah jam 9.00 pagi ke atas, puncak gunung dah dilitupi awan tebal. Kena tunggu lewat petang baru puncak muncul semula (bergantung kpd cuaca juga silap2 tak nampak terus). Kami sampai ke Kinabalu Park jam 8.00 pagi, sempatlah bergambar berlatarbelakangkan puncak Kinabalu yg tersergam indah. Sebelum tu nak masuk kena bayar RM 3.00 sekepala. Lepas tu memandu naik sikit lagi melalui jalan yg sempit ke Pondok Timpohon, tempat permulaan utk mendaki Gunung Kinabalu. Melepak jap kat situ kemudian turun balik utk sarapan kat satu kedai di simpang Kinabalu Park tu (lupa nama kedai tu).




~ Dari Kinabalu Park, bergerak lagi 10 km ke Pekan Kundasang (lalu je tak singgah pun) dan lebih kurang 31 km lagi ke Poring Hot Spring melalui pekan Ranau. Poring merupakan nama KadazanDusun utk sejenis spesies pokok buluh yg banyak tumbuh di kawasan tu. Kat Kolam Air Panas Poring ni ada kolam takungan air panas,suam & air sejuk dari gunung. Setakat nak rendam kaki je pun boleh. Nak lebih privacy, boleh sewa jakuzi tertutup dgn kadar berpatutan. Anak2 aku bila dah nampak air mulalah merengek nak mandi. Sebagai bapak mithali aku bagi can la mandi setengah jam kat Rock Pool, kolam air gunung.

~ Selain berendam air panas, kat kawasan Air Panas Poring ni juga ada Canopy Walkway (sepanjang 157.8 m dan setinggi 41 meter atas pokok), Taman Kupu-Kupu, Taman Orkid, Gua Kelawar dan dua Air Terjun Kipungit & Langanan (kena trekking jauh sikit  le). Memandangkan aku bawa anak kecik, sampai setakat kolam air panas ni cukuplah, mungkin lain kali boleh jelajah jauh sikit. Bayaran masuk ke sini RM3.00 (dewasa) dan RM1.00 (kanak-kanak).



~ Lepas tu kami berkejar pula ke "Tagal" Sg. Moroli, Kg Luanti Baru, Ranau. Dari Poring keluar semula ke jalan nak ke Ranau, belok kiri ke jalan nak ke Telupid/Sandakan. Dari simpang tu ke Kg Luanti jaraknya kira-kira 20 km. Tagal ni adalah satu sistem pemuliharaan/perlindungan sungai oleh penduduk tempatan di mana dilarang sama sekali menangkap sebarang hidupan dlm sungai mahupun mencemarkan air sungai. Bayaran masuk ke tempat ni RM 5.00 (dewasa) & RM 2.00 (kanak2). Dgn tiket tu boleh la setakat nak rendam kaki sambil merasai urutan spa ikan kelah selama 15 minit. Lepas tu beli pulak makanan ikan sepeket kecik berharga 20 sen, tapi pembelian makanan ikan dihadkan supaya ikan2 tu tak kenyang sangat. Kalau kenyang sangat mungkin orang lain yg datang kemudian ikan2 tu buat tak reti je la kot. Tapi kalau nak mandi bersama ratusan ikan kelah yg jinak tu, bayarannya RM10.00 (selama 15 minit juga). Lagi puas hati dapat berendam sambil diurut (sebenarnya ikan tu gigit sel2 kulit mati), mula2 rasa geli2 tapi lama2 syok pulak, 15 minit macam tak cukup. Tapi bila tengok ikan besar2 lengan tu, dlm hati aku kalau dapat tangkap ni goreng pun sodaappp...heheh. Bini aku & 2 anak bujang aku tu pulak main kat tepi2 je pasal takut + geli.



~ Kira-kira 50 meter dari Sg. Moroli tu, ada simpang ke ladang Sabah Tea. Ladang Sabah Tea dibuka untuk lawatan orang ramai setiap hari dari 8.00 pagi hingga 4.30 ptg kecuali hari cuti umum. Masuk percuma je tapi utk lawatan ke kilang teh dan tour guide dikenakan bayaran RM10.00 dan RM30.00 (sekali dgn lunch). Teh yg ditanam di sini mengunakan bahan2 organik maka teh yg dihasilkan sangat bermutu tinggi dan terjamin kebersihannya. Syok juga melepak kat restoran yg ada kat sini sambil menikmati pemandangan ladang teh yg luas terbentang (walaupun nampak macam tak seluas Ladang Teh Boh, Cameron Highlands) dan sambil tu boleh menikmati hidangan teh yang baru dipetik dan masih fresh lagi. Kat sebelah restoran tu juga ada kedai menjual barangan cenderamata dan Sabah Tea yg telah dipek cantik2.

~ Dari ladang Sabah Tea kami patah balik ke Kundasang, singgah kat deretan gerai menjual sayur2an, buah2an & bunga2an yg semuanya segar2 belaka baru dipetik dari ladang. Kat sini  kami cuma beli buah2 dan keropok sikit, habis takkan nak beli sayur bawa balik pulak. Masa ni dah hampir pukul 5.00 petang, hujan pulak dah turun renyai2, anak2 aku pulak dah terbongkang kepenatan kat seat belakang, kami pun terus balik ke KK... target nak sampai KK sebelum gelap. Disebabkan aku ni rabun ayam, tak berani pulak aku nak drive malam2 kat jalan yg aku tak biasa. Agak terkilan juga dah sampai area Kundasang/Ranau ni kami tak sempat melawat Mesilau Dairy Farm (ladang lembu ala New Zealand), Viviane Rafflesia Garden (boleh tengok bunga Rafflesia kalau kena musimnya) & Kundasang War Memorial Park (taman peringatan mangsa perang dunia ke-2). Biasalah dengan adanya anak2 kecik, pergerakan akan jadi sedikit lambat sebab nak melayan kerenah diorang. Mungkin lain kali lah kot.

~ Sampai KK dah senja, melepak jap kat Waterfront KK sambil menikmati pemandangan matahari terbenam. Perut pun dah lapar kami makan ikan bakar lagi kat tempat semalam, belakang Pasar Filipina. Lepas tu jalan2 kat dalam Pasar Filipina (agak mahal souvenir & barangan mutiara kat sini, perlukan skill tawar menawar yg tinggi), Pasar Ikan Masin (macam2 benda yg dah dimasinkan ada kat sini kecuali telur masin), dan lepas tu ke Pasar Malam Kg. Air ( aku rasa kat sini harga lebih murah berbanding Pasar Filipina). Bini aku ada la shopping sikit, aku pulak tak beli apa2 sebab aku mengamalkan konsep 'Destinasi Bajet'. Aku datang sini nak berjalan je, bukan nak shopping (sebenarnya bajet aku ngam2 je, heheh). Kemudian terus balik hotel, turunkan anak bini depan lobi hotel, dan lepas tu ada la dekat 7 kali aku tawaf keliling hotel tu baru dapat parking. Mandi & terus tido, penat sungguh berjalan sehari suntuk.





HARI KETIGA, 6 MAC 2011 (AHAD)

~ Hari terakhir. Walaupun flight kami petang ni pukul 6.30 pm, pagi ni kami terus checkout je dari hotel. Kemudian sarapan kat kedai mamak sebelah hotel tu. Lepas tu jalan kaki je meronda sekitar pusat bandar KK:

- KK Esplanade (yg ada mercutanda ikan layaran & lumba2 tu), 

- Pasar Basah KK (saja bawa anak2 tengok hasil laut segar yg baru naik dari laut, harga memang murah, tak silap aku kat pasar ni lah ramai org Semenanjung beli seafood segar siap boleh packing sekali dlm kotak utk bawa naik flight)


- Pasar Tamu Jalan Gaya. Diadakan hanya pada hari Ahad dari 6.30 pagi hingga 1.00 tengahari. Kebanyakan barangan yg dijual lebih kurang sama macam mana2 pasar minggu/pekan sehari kat tempat2 lain. Ada la sikit keunikan seperti ada persembahan kebudayaan dan hasil kraftangan suku2 kaum kat Sabah ni serta banyak gerai menjual haiwan peliharaan, selain dari tu bagi aku biasa2 saja.

~ Dah penat berjalan kaki, naik kereta pulak ke  Menara Tun Mustapha (Menara Yayasan Sabah). Cuma singgah bergambar je kat salah satu mercu tanda KK ni.



~ Lepas tu ke Kampung Warisan/Muzium Sabah kat jalan nak ke Penampang. Sebenarnya aku tak minat sangat masuk muzium ni. Suasana suram dlm muzium tambah menyuramkan minat aku masuk ke sana walaupun tiket cuma RM 1.00 shj. Apapun kami masuk Kg. Warisan dulu, dapat mengenal jenis2 rumah berbagai suku kaum kat Sabah. Lepas tu barulah masuk muzium sekejap.

~ Tengahari, perut dah lapar pulak, pergi ke Pantai Tanjung Aru (7 km je dari pusat bandar KK), makan tengahari kat food court Anjung Perdana, suasana bersih & selesa betul2 tepi pantai. Macam2 ada kat sini... ikan bakar, kepak ayam madu, masakan bergoreng dll.  Ramai juga orang makan kat sini, tapi harga makanan kat gerai yg kami makan tu boleh tahan mahalnya. Gerai2 lain aku tak pasti pulak. Lepas makan lepak je la kat tepi pantai tu sambil melayan kerenah anak2.



~ 3.00 pm, hujan,nak ke airport pun awal lagi, minyak kereta pun ada lagi, patah balik ke pusat bandar KK. Singgah ke Menara Tinjau Bukit Signal. Takde apapun kat sini cuma ada dua buah platform untuk melihat pemandangan sebahagian pusat bandar KK ni...dari sini juga boleh nampak gugusan pulau2 kat Taman Laut Tuanku Abdul Rahman (kali ni tak sempat kami nak pergi). Lepak sekejap kat sini, hujan masih turun dan kami terus ke airport.

~ Kat airport Terminal 2, pulangkan kereta sewa dan bawa anak2 makan KFC... nanti dlm flight takdelah anak2 merengek lapar pulak. Nak beli makanan dlm flight faham2lah mahal nak mampus. Flight kami berlepas pukul 6.30 ptg dan selamat sampai LCCT pukul 9.00 malam. Dari LCCT naik bas ke KL Sentral... masa nak ambik kereta sekali terkena bayar parking sampai RM90.00 untuk 3 hari...adoiii... aku pun tak tau mana parking murah kat area KL Sentral ni... kalau macam ni baik parking kat LCCT terus...bayar pun lebih kurang je. Walau macam mana pun alhamdulillah selamat pergi dan balik. Wassalam.



27 February, 2011

Team Building @ Dusun Eco Resort

Dalam kesibukan kerja, sempat jugalah ofis aku mengadakan program team building kat Dusun Eco Resort, Bentong, dengan tujuan untuk meningkatkan semangat berpasukan dan silaturrahim sesama rakan sekerja aku di P.O Gombak. Disertai juga 6 org wakil dari P.O Kajang. Ni aku buat catatan sikit:

Hari Pertama;  26 Feb. 2011 (Sabtu) 

~ 8.30 am, berkumpul dan bertolak dari pejabat, sampai di Dusun Eco Resort pada 9.30 am. Check in dan sarapan nasi bungkus. Lepas tu pasang khemah, bagi taklimat sikit & pembahagian kumpulan. Aktiviti pertama, rentas halangan. Ada 12 halangan yang agak mencabar perlu ditempuhi. Tapi aku rasa halangan terakhirlah yg paling mencabar bila terpaksa merangkak dlm kubang berlumpur. Masing2 dah macam khinzir je baunya.

~ Habis je aktiviti rentas halangan, terus buat aktiviti kedua iaitu berakit. Peserta dibahagi dua kumpulan dan kena buat rakit sendiri (bahan2 buluh, tali & pelampung dibekalkan). Walaupun rakit kumpulan aku siap paling awal, tapi bila sampai giliran aku naik je... 2-3 kali rakit tu terbalik. Balancing lari kot!



~ Lepas berakit, balik ke khemah, masak utk makan tengahari. Nasib baik ada staff veteran yg tak larat join aktiviti yg tolong masak... legalah sikit kami yang kepenatan ni. Terima kasih kpd Chef Dir & Co. Kalau dah dalam hutan ni masak bodoh2 pun semuanya sedap dibaham. Lepas makan, aktiviti bebas... semestinya diisi dengan aktiviti meniduri diri masing2.

~ Petang, aktiviti riadah ringan2... main sepakraga bulatan & mandi kolam.

~ Malam diiisi dgn program kerohanian; solat maghrib & isya' berjemaah, diselitkan dgn kuliah maghrib secara santai oleh al-fadhil bos kami sendiri... Lepas tu aktiviti bakor-membakor ayam utk dinner & aktiviti berkumpulan secara santai juga sebelum tido.



Hari Kedua;  27 Feb. 2011 (Ahad)
~ Lepas solat subuh berjemaah, sarapan & mengemaskan khemah masing2, bersiap sedia utk check-out dari tapak perkhemahan. Acara yg wajib dah habis, kaum ibu termasuklah bos aku memilih utk terus balik ke pangkuan laki bini masing2.

~ 15 peserta lelaki yg tinggal memutuskan utk main paintball. Perjalanan ke gelanggang paintball sungguh mencabar, kena mendaki 200 anak tangga. Tapi rasa teruja mengatasi segalanya sebab kebanyakannya tak pernah main paintball (termasuk aku). Kami diberi 150 biji peluru (RM 35.00).

~ Memandangkan ini pengalaman pertama, kami minta pada instructor supaya permainan dijalankan secara 'no rules'... main la sampai habis peluru. Dah kena tembak pun takde hal boleh main lagi... sampai ada mamat yg gila menembak habis peluru dlm masa tak sampai 3 minit. Syok juga main perang2 ni, teringat zaman kecik2 dulu.



~ SETAKAT NI JE LAH AKU BOLEH CERITA PASAL MAIN PAINTBALL NI. AKU DAH KENA 3 DAS TEMBAKAN. SATU KAT DADA, SATU KAT KAKI DAN SATU LAGI BETUL2 TEPAT KAT KEPALA. KALAU PELURU BETUL KIRANYA AKU DAH MATI SYAHID DAH NI.

~ Habis je game paintball tu, terus balik dan singgah Hutan Lipur Lentang utk membersihkan diri.

~ Kesimpulannya, boleh dikatakan program team building ni SUKSES! Sekian adanya.

12 February, 2011

Picnic @ DR Campsite, Hulu Langat

~ Suatu hari Sabtu, bawa anak-anak dan dua sepupunya (anak kakak aku) berkelah kat DR Campsite, Kg Lubuk Kelubi, Hulu Langat.

~ Kalau nak parking kereta betul-betul dalam kawasan campsite, jalan masuk agak sempit dan mencabar. Kalau taknak ikut jalan tu, boleh ikut jalan satu lagi tapi kena berjalan kaki jauh sikit (lebih kurang 100 meter) dari tempat parking ke campsite.

~ Sungainya memang cantik dan bersih, sesuai la untuk kanak-kanak mandi-manda. Sedar tak sedar, dari pukul 11.00 am sampai 5.00 pm bebudak tu berendam tengah panas. Naik makan sekejap pastu sambung berendam balik. Habis rentung!

06 February, 2011

Raya Cina yang sesak gila... Ramai yang masuk perlumbaan endurance

~ Tahun Baru Cina, cuti panjang 4 hari, balik Ipoh menunaikan tanggungjawab sebagai anak & menantu menziarahi orang tua kat kampung.

~ Khamis, 3 Feb; pagi raya pertama (ehh macam aidilfitri pulak), perjalanan balik Ipoh berjalan lancar walaupun banyak kenderaan.

~ Jumaat, 4 Feb; menziarahi saudara mara sebelah isteri yang sihat mahupun yang sakit di sekitar Sitiawan. Dalam perjalanan balik sempat singgah pantai Teluk Batik bawa anak mandi-manda. Masa nak balik, tersangkut lebih sejam semata-mata nak keluar dari pantai ke simpang kem TLDM Lumut... sampai Ipoh dah malam... adehhhh!


Sabtu, 5 Feb; 5.00 petang balik KL, kalau balik esok mungkin lagi sesak teruk (kononnya). Tapi aku silap perhitungan, bukan sebab matematik aku lemah... tapi mungkin sebab beribu lagi orang yang fikir sama macam aku... perjalanan dari Ipoh ke KL yang biasanya 2-3 jam dah jadi 7 jam... Hiway dan jalan lama sama je sesaknya. Pukul 12.00 malam baru sampai rumah, adehhh! (lagi). Nasib baik esok cuti lagi, kalau tak gerenti ambik MC.

~ Rupanya ramai lagi kawan-kawan yang senasib... banyak update di status Fesbuk masing-masing  yang mengeluh tersangkut dalam perjalanan dari kampung selama berbelas-belas jam, terutamanya dari utara dan timur. Luar biasa sungguh. Gila wehh sorang kawan aku memandu dari Gerik, Perak ke KL selama 11 jam (biasanya 4 jam). Gila wehh (sekali lagi) sorang jiran aku memandu dari Kota Bharu nak balik ke KL selama 18 jam... nak dekat 24 jam dah tu. Banyak juga kereta yang tersadai (kira terkeluar dari perlumbaan lah tu) akibat kehabisan minyak atau kerosakan enjin.

MORALNYA: 

TERIMALAH HAKIKAT MACAM NI LAH MALAYSIA BILA CUTI MUSIM PERAYAAN, SEMUA NAK BALIK KAMPUNG. KALAU TAK NAK TERSANGKUT DALAM KESESAKAN, DUDUK RUMAH DIAM-DIAM LAGI BAGUS! 
Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...