PTT Outdoor

08 January, 2018

Sekolah Sesi 2018

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Ini sekadar catatan persekolahan anak-anak.

Along : Tahun ni Along dah masuk tingkatan 2. Sudah berpindah ke kompleks pengajian dan asrama yang baru dibina... dalam suasana kampung yang lebih tenang. Semoga lebih bersemangat dalam belajar dan hafazannya.

Angah : Angah dah tahun 6, tahun yang sibuk sebab nak menghadapi UPSR & PSRA di sekolah agama. Tahun ni dah kena pergi kelas tambahan kat sekolah yang wajib kena pergi setiap Sabtu. Nampaknya kalau kami nak balik kampung atau nak ke mana-mana kena merancang dulu melainkan ada kecemasan. Tahun ni juga dah perlu pergi kelas tuisyen subjek Math & B.I yang memang agak lemah.

Aina : Dah masuk tahun 3 anak dara ayah ni. Terasa begitu cepat masa berlalu. Tahun ni Aina bersekolah kebangsaan sesi petang, tak sama dengan Angah yang bersekolah sesi pagi.

Harapan ayah dan ibu semoga dipermudahkan segala urusan anak-anak dalam pelajaran. Bagi kami asalkan anak-anak dah usaha dan belajar, tak dapat A pun tak apa (kalau dapat A itu bonuslah). Selebihnya serahkanlah pada takdir. Kalau result cemerlang tapi akhlak buruk pun tak guna juga. Yang paling penting taat pada perintah Allah dan ajaran Rasul-Nya, tinggi akhlaknya, taat dan hormat pada ibu bapa dan guru, insya Allah berjaya dunia akhirat.

Sekian kisah 3 beradik kembali ke sekolah.



31 December, 2017

Road Trip 7 Hari 7 Malam Jelajah Johor - Hari 7

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Baca:
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Intro
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 1
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 2
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 3
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 4
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 5
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 6



JOHOR BAHRU - KULAI - PONTIAN - BATU PAHAT - SUNGAI BULOH

~ 28/12/2017; Khamis - Hari terakhir di Johor. Malam tadi dah makan besar... pagi ni sarapan maggi & mamee hot cup dalam bilik hotel je. New Boutique Hotel ni tak sediakan pakej sarapan. Hari ni keluar lewat sikit.

~ 9.20 pagi; 31km ke Johor Premium Outlet (JPO), Indahpura, Kulai. Tempat shopping pakaian ori jenama antarabangsa. Singgah sini nak tengok-tengok je dah alang-alang sampai Johor ni. Walaupun orang kata harga agak murah bila ada sale barang yang dah agak outdated, tapi bagi aku tetap mahal juga. Tapi sempat jugalah orang rumah sambar kasut Vincci sepasang... buat menggantikan kasutnya yang dah haus akibat banyak sangat berjalan sepanjang kat Johor ni... hihi. Sebelum meninggalkan JPO singgah makan crepe & aiskrim... makan ringan-ringan pun kenyang. Waktu operasi JPO ni dibuka dari 10am-10pm. Kawasan luas meliputi 130 outlet, sedialah untuk berjalan jauh kalau nak datang sini ye…



~ 11.45 pagi ; 67km ke Taman Negara Tanjung Piai, Pontian. 1.20 tengah hari baru sampai. Merupakan penghujung paling selatan tanah besar benua Asia. Buka 8.30am-6pm. Kawasan hutan paya bakau yang kaya dengan flora dan fauna. Boleh dijelajahi dengan berjalan kaki atas laluan pelantar kayu hingga sampai di glob iaitu mercu tanda yang didirikan untuk menandakan telah sampai di penghujung paling selatan tanah besar benua Asia. Ada satu lagi laluan boleh diikuti yang berakhir di penghujung jeti memancing. Keseluruhan taman ni boleh dijelajahi dalam masa kira-kira 45 minit - 1 jam. Tapi bagi aku tak berapa selesa nak menjelajah taman negara ni... perut buat hal...hihi..huhu!



~ 2.30 petang; 30km ke bandar Pontian. Solat jamak zuhur dan asar di Masjid Jamek Bandar Pontian. Kemudian singgah makan tengah hari di restoran Nasi Ayam Haji Ali, Taman Merdeka, Pontian. Sedap juga nasi ayamnya, kuah sos dan kicap nasi ayamnya tersedia atas meja boleh tambah sendiri.

~ 5.00 petang; Masa untuk balik… 73km menuju Ayer Hitam, ikut jalan lama tepi laut menghala ke Batu Pahat, melalui pekan Ayer Baloi, Benut dan Rengit. Sampai Ayer Hitam singgah gerai durian makan kat situ juga, siap ada lebih kami tapau dalam bekas plastik.

~ 6.40 petang; 276km (kira-kira lagi 3 jam perjalanan) untuk balik ke rumah… Dari Ayer Hitam memasuki Lebuhraya PLUS. Singgah solat jamak maghrib dan isyak di Kawasan Rehat Pagoh. Alhamdulillah selamat sampai di rumah pada jam 10.40 malam. Penat tapi puas.


FAKTA

* Jumlah jarak keseluruhan perjalanan pergi dan balik sepanjang jelajah 
meliputi 9 daerah di Johor selama 7 hari 7 malam ni adalah 1905 km

* Sepanjang 7 malam pengembaraan kami ni, kami bermalam di 7 jenis penginapan yang berbeza juga. Malam pertama sebaik sampai di Mersing kami bermalam di masjid, kemudian berkhemah di Mersing, diikuti homestay di Kluang, chalet di Batu Pahat, tumpang rumah saudara di Kota Tinggi, bermalam di kelong Ulu Tiram, dan akhir sekali hotel di JB... menarik kan?

* Kos petrol, tol & parkir, penginapan, bayaran tiket masuk tempat-tempat menarik, makan minum, ada shopping sikit-sikit dan perbelanjaan lain seperti dobi, umpan memancing, cenderahati dan sebagainya = Lebih kurang RM3200

Sekian catatan perjalanan untuk jelajah kali ni. Kami bukanlah orang kaya. Kena menabung lama juga untuk mencapai impian pengembaraan kami. Tujuan utama perkongsian pengalaman ni pun sebagai kenangan pengembaraan kami sekeluarga buat tatapan anak cucu nanti. Mungkin juga boleh menjadi panduan atau inspirasi kepada orang lain kalau ada yang berminat. Wassalam.

"Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan kepada Allah jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula."
(Surah Al-Mulk: ayat 15)



Road Trip 7 Hari 7 Malam Jelajah Johor - Hari 6

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Baca:
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Intro
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 1
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 2
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 3
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 4
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 5


DAERAH JOHOR BAHRU

~ 27/12/2017; Rabu - 7.10 pagi; lepas solat subuh terus bersiap nak check out dari KSR Rakit Resort, naik bot kira-kira 5 minit je balik ke Jeti KSR, Kg. Pasir Salam, Ulu Tiram.



~ 7.30 pagi; Misi pagi ni mencari tempat sarapan. 42km ke Jalan Petri, Johor Bahru. Pagi ni agak sesak jalan nak ke JB maklumlah hari bekerja. . 8.50 pagi barulah sampai tempat yang dituju...Restoran ZZ Sup Tulang. Menu istimewa di sini adalah mi rebus tulang, sup tulang, dan lontong kering. Waktu buka 7am-1am. Memang berselera makan mi rebus dan lontong keringnya yang sedap, tambah pulak makan dalam suasana nyaman di wakaf bawah pokok rendang.



~ 9.30 pagi; 20km ke Legoland Malaysia Theme Park, Nusajaya. Perbelanjaan terbesar setakat ni. Mulanya tak rancang nak ke sini bila memikirkan harga tiket yang mahal. Tapi bila dapat free voucher dari KFC masuk Legoland percuma untuk 2 orang kanak-kanak umur 3-11 tahun, dengan syarat perlu beli 2 tiket dewasa harga penuh... bolehlah dipertimbangkan sebab boleh jimat sikit. Kanak-kanak umur 12 tahun ke atas dah kira harga dewasa.

Harga penuh tiket dewasa RM199x2= RM398, Angah dan Aina masuk percuma, manakala Along masuk guna tiket promosi MyKad berharga RM149. Total RM547. Bayaran parkir pulak RM10 sekali masuk. Belum kira makan minum kat dalam Legoland yang pastinya harga lebih mahal berbanding kat luar. Mungkin sekali ni je lah ayah bawa anak-anak ke sini ye...

Waktu operasi Legoland ni bermula 10am-7pm. Jadi kenalah manfaatkan harga tiket masuk yang mahal tu dengan menghabiskan masa seharian dalam Legoland ni. Ada 8 bahagian semuanya dalam Legoland iaitu The Beginning, Miniland, Lego Technic, Lego Kingdoms, Imagination, Land of Adventure, Lego Ninjago World dan Lego City. Rujuk peta Legoland di SINI. Dikecualikan Legoland Waterpark sebab kena beli tiket berasingan atau kena beli tiket kombo kalau nak masuk kedua-dua Legoland Theme Park dan Legoland Waterpark sekaligus.

The Beginning

Miniland

Lego Technic

Lego Kingdoms

Imagination

Land of Adventure

Lego Ninjago World

Lego City

Alhamdulillah sempat habiskan semua bahagian (walaupun tak sempat main semua permainan). Memandangkan sekarang musim cuti sekolah, ramai sangat pengunjung termasuk dari luar negara, nak main setiap permainan kena beratur panjang. Mujurlah juga ada Along yang pernah datang ke sini ikut rombongan sekolahnya selepas UPSR dulu... dialah yang jadi penunjuk arah. Alhamdulillah juga kerana cuaca hari ni cukup baik... tak hujan dan tak panas sangat. Kalau hujan ada permainan yang akan ditutup, rugi la sebab tiket tak boleh refund.

Rasanya harga tiket masuk ke sini boleh dikatakan berbaloi jugalah kerana ada lebih daripada 40 jenis permainan, pertunjukan dan tarikan. Tumpang seronok tengok anak-anak gembira. Seronok sangat nampaknya sampaikan dah tengah hari pun diorang macam tak lapar je, jadi kami makan waffle aiskrim je... bagus... bagus... jimat sikit... haha!

~ 7.30 malam; keluar dari Legoland, 22km ke New Boutique Hotel, di tengah pusat Bandaraya JB. Malam terakhir di Johor ni kami nak merasa duduk hotel la pulak. Dah tempah awal-awal family room RM167 melalui booking.com.

~ 9.00 malam; selesai mandi dan solat jamak maghrib dan isyak, keluar 12km ke Kampung Senibong, Permas Jaya, JB. Tempat ni memang terkenal di kalangan penggemar makanan laut sama ada warga tempatan mahupun Singapura. Ada beberapa restoran di sini tapi kami singgah di restoran yang paling depan sekali iaitu Selera Senibong Seafood (SSS). Terletak di tebing Selat Johor, sambil makan boleh layan pemandangan kerlipan cahaya lampu dari negara jiran, Singapura.

Anak-anak dah lapar, keletihan seharian di Legoland tadi dan si Aina pun dah mengantuk... dan aku pun dah malas nak fikir dan pilih lauk, kami pesan menu yang dah ada dalam set je lagi senang. Dalam set tu ada ketam masak telur masin, siakap stim halia, udang butter, sotong goreng tepung, kupang masak cili kering, tomyam campur dan sayur kailan ikan masin serta air satu jag. Malas cerita banyak, senang cerita semua sedap dan makan pun puas hati. Dah melantak tak ingat dunia, masa bayar pun kena buat-buat puas hati juga la jangan tak puas hati pulak... hehe.


~ 11.00 malam; 12km balik ke tempat penginapan, New Boutique Hotel.


Sekian catatan hari keenam.


30 December, 2017

Road Trip 7 Hari 7 Malam Jelajah Johor - Hari 5

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Baca:
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Intro
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 1
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 2
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 3
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 4


KOTA TINGGI - JOHOR BAHRU

~ 26/12/2017; Selasa - 7.15 pagi; Check out dari rumah Yob (macam hotel la pulak ada check out...hehe). Dah pesan awal-awal kat Kak Yong tak payah masak sarapan untuk kami sebab nak keluar awal jalan-jalan cari makan di Johor Bahru, tapi dia yang juga meniaga nasi lemak tetap juga bekalkan nasi lemak... terima kasih Kak Yong.

Seterusnya 38.5 km dari Taman Kemang, Kota Tinggi ke Gerai Kacang Pool Haji, Medan Selera Bomba Larkin. Orang kata wajib cuba kalau sampai Johor Bahru... Set lengkap menu ni terdiri daripada roti bakar lembut, telur mata dan semangkuk kuah kacang pool untuk dicicah dengan roti. Memang sedap bagi kami yang pertama kali makan ni. Harga satu set RM6. Kami cuba juga kuih Pepes di gerai sebelah. Macam otak-otak tapi bahan utamanya dari ayam dan rasa rempahnya lain sikit... pun sedap juga.



~ 9.00 pagi; 1.5km ke Stadium Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunos atau lebih dikenali sebagai Stadium Larkin... home of JDT F.C. Disebabkan aku bukan penyokong JDT jadi kenalah tunjuk reaksi tak suka JDT... penyokong JDT jangan marah haa... Di hati aku tetap Hogoh Pahang Hogoh... haha.



~ 9.20 pagi; 6km ke Zoo Johor. Harga untuk dewasa RM2, kanak-kanak RM1. Wow...terbaik la orang Johor. Inilah zoo paling murah di Malaysia...malah mungkin di dunia kot. Jangan underestimate dengan harganya yang murah tu. Walaupun kawasan tak berapa besar tapi banyak jugalah haiwan dalam tu... memang puas hati. Aiskrim yang dimakan oleh anak-anak aku pun lagi mahal dari harga tiket...hihi.



~ 11.20 pagi; jalan-jalan cari makan tengah hari sejauh 27km ke Restoran Seri Pantai,  Asam Pedas Kampung Sungai Melayu, Gelang Patah. Terletak di tebing Sungai Melayu, berdekatan Singapura. Dari sini juga boleh nampak nun dari jauh bangunan-bangunan tinggi di Danga Bay. Jalan nak masuk ke sini kena melalui ladang kelapa sawit dan agak jauh ke dalam... mujur la ada waze.

Menu istimewanya pastilah masakan asam pedas. Kami pesan asam pedas ikan sembilang, kupang masak halia, sayur campur dan telur dadar untuk anak-anak yang tak tahan pedas... Along je yang dah boleh tahan makan pedas. Memang sedap kuah asam pedasnya yang pekat dengan ikan sembilang yang segar. Berpeluh makan walaupun mulut ada ulser aku hentam sajalah sedap punya pasal.

~ 1.00 tengah hari; 28km ke Masjid Negeri Sultan Abu Bakar yang dibina tahun 1900. Ditutup kerana sedang dalam penyenggaraan. Tapi disediakan ruang solat di bangunan bersebelahan. Solat jamak zuhur & asar di sini.



~ 2.30 petang; 1.5km ke Muzium Diraja Abu Bakar yang juga merupakan Istana Besar Johor. Malangnya tutup pulak masa kami sampai depan pintu pagar.

~ 3.00 petang; 42km ke Jeti Kampung Salam Rakit, Ulu Tiram. Dari jeti yang terletak di perkampungan orang asli Kg. Pasir Salam ni, akan naik bot selama kira-kira 5 minit ke kelong KSR Rakit Resort, sebuah kelong yang besar dan selesa. Lengkap dengan kemudahan bilik penginapan, kedai makan, tempat bbq, surau, tandas dan bilik mandi. Bayaran memancing RM30 seorang untuk 24 jam, kanak-kanak bawah 12 tahun percuma.

Sengaja aku pilih ke sini, nak bagi anak-anak merasai pengalaman memancing dan tidur atas kelong pulak. Atas kelong ada disediakan umpan udang hidup berharga RM1 seekor. Umpun-umpun pula boleh dibeli kat tepi rumah orang asli berdekatan jeti. Umpan lain dan ais kena bawa sendiri.

Malam ni kami makan nasi lemak yang dibekalkan Kak Yong tadi... berselera makan sambil menikmati pemandangan indah dan angin laut atas kelong. Mula memancing pukul 5.30 petang, sampai pukul 12.30 tengah malam hanya 3-4 ekor ikan kecik yang mampu dinaikkan. Umpan udang hidup langsung tak berusik. Pemancing lain pun aku tengok sama je sunyi tak dapat ikan. Mungkin masa ni air tak berapa cantik kot.

kredit: gambar kelong dari udara tu ambil dari FB kelong
Kalau tengok kat FB kelong ni, antara ikan yang selalu dinaikkan seperti siakap, tetanda, kerapu, senangin dll. Kalau pakai apollo pun ada je tamban, caru, kitang, anak talang dll dinaikkan. Nampaknya takde rezeki kali ni nak bagi anak-anak dan orang rumah aku merasa tarik ikan besar sikit. Maka takdelah nampaknya sesi bergambar dengan ikan tangkapan kali ni. Nak ambik gambar dengan ikan duri besar 2 jari tak sampai hatilah pulak...huhu. Menjelang pukul 12.30 malam, hujan turun dengan lebatnya, lebih baik la aku masuk bilik... tidur lagi sedap. Anak bini pun lagi awal pukul 10.00 malam dah tidur.


Sekian catatan hari kelima.


Road Trip 7 Hari 7 Malam Jelajah Johor - Hari 4

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Baca:
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Intro
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 1
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 2
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 3


BATU PAHAT - KOTA TINGGI

~ 25/12/2017; Isnin. Cuti Umum Hari Krismas - 7.30 pagi; Check out dari Minyak Beku Agrotourism Resort, bergambar sekitar kawasan chalet. Seterusnya misi mencari sarapan. Kata orang kalau sampai Batu Pahat tak sah kalau tak makan nasi beriani. 11km ke Gerai Nasi Beriani Mohd Shah, Gerai No.13&14, Kompleks Niaga Benteng Peserai, depan Hospital Putra Batu Pahat; antara beriani terbaik di Batu Pahat. Pagi-pagi lagi dah pekena nasi beriani... memang sedap la nasi beriani lauk  ayam dan kambingnya. Harga pun berpatutan. Dibuka dari 8am-10pm.



~ 8.40 pagi; 3.5km singgah di Dataran Penggaram, Batu Pahat. Bergambar kat arca tangan sedang memahat batu yang menjadi mercu tanda Batu Pahat. 



~ 9.00 pagi; Hari ni ke daerah Kota Tinggi pulak. 182km ke Pantai Desaru, Bandar Penawar, Kota Tinggi (melalui Lebuhraya PLUS masuk Tol Ayer Hitam & keluar ke Lebuhraya  Senai-Desaru).

~ 11.30 pagi;  sampai di Pantai Desaru... Cuaca baik, lepak sekejap menikmati angin laut. Pantainya cantik memutih dengan pasir halus. Tapi macam kat Pantai Air Papan, Mersing juga... ombaknya yang kuat agak bahaya untuk mandi manda. Mungkin sebab dah hampir musim tengkujuh. Baru tadi terdengar berita kat radio ada kejadian hampir lemas di Pantai Air Papan sehari selepas kami meninggalkan Mersing.  

~ 12.30 tengah hari; selepas membeli seluar di gerai jualan berhampiran pantai untuk Aina yang 'kebasahan', kami meninggalkan Pantai Desaru. 22km menuju ke Felda Semenchu, Kota Tinggi. Hajatnya nak menziarahi Maklong aku yang cuma pernah jumpa 3-4 kali sepanjang hidup ni, tapi cuba call tak dapat-dapat... terjah sajalah. Rupa-rupanya dia tiada di rumah mengikut anaknya berjalan ke Kluang. Cuma dapat jumpa sepupu aku Abang Mahdi yang aku pun tak pernah jumpa sebelum ni... peramah sangat orangnya. 



~ 1.30 tengah hari; selepas berkirim salam pada Maklong, kami menuju ke bandar Kota Tinggi sejauh 31km untuk cari makan tengah hari. Sampai di sana pukul 2.00 petang, anak-anak ternampak papan tanda besar Ayam Goreng Epik di Restoran Marrybrown, Kota Tinggi Plaza. Memandangkan kami pun tak pernah cuba ayam goreng Marrybrown ni... layan je lah selera anak-anak... boleh tahan pedasnya ayam epik ni... 

~ 3.15 petang; 14.5km menuju ke Air Terjun Kota Tinggi. Bayaran masuk untuk dewasa RM7.50, kanak-kanak RM3.50, kereta RM3.00. Sempatlah mandi kira-kira setengah jam sebelum cuaca bertukar mendung, disusuli hujan yang walaupun tak berapa lebat tapi suruh anak-anak naik juga, ambil langkah berjaga-jaga mengelakkan risiko dilanda kepala air. Boleh tengok video dahsyatnya kepala air Air Terjun Kota Tinggi di SINI.



~ 5.30 petang; 14.7km balik semula ke bandar Kota Tinggi, cari Fast Wash & Dry Laundry yang aku dah google siap-siap sebelum bertolak ke Johor. Dah masuk hari keempat ni, masa untuk mendobi pakaian kotor yang dah bertimbun.

~ 7.30 malam; 1.6km ke rumah Yob, abang ipar aku di Taman Kemang, Kota Tinggi. Menziarahi Yob yang tak berapa sihat sambil tumpang bermalam. Dijamu mi goreng sedap masakan Kak Yong. Lepas makan, orang rumah sibuk melipat kain yang didobi tadi.


Sekian catatan hari keempat.

Road Trip 7 Hari 7 Malam Jelajah Johor - Hari 3

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Baca:
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Intro
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 1
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 2



KLUANG - MUAR - LEDANG - BATU PAHAT

~ 24/12/2017; Ahad - 7.20 pagi; Check out dari YZ Homestay, sempat bergambar di homestay yang berlatarbelakangkan Gunung Lambak. Seterusnya 8.7km mencari sarapan ke kopitiam Kluang Rail Coffee yang merupakan ikon Kluang yang famous. Kopitiam yang terletak dalam Stesen Keretapi Kluang ni adalah premis asal yang beroperasi sejak tahun 1938 dan dah banyak cawangan seluruh negara.

Menu specialnya adalah kopi yang diproses sendiri dan roti bakar yang dibakar dengan arang dan disapu dengan kaya buatan sendiri juga. Kami pesan telur setengah masak juga. Masa kami sampai penuh dengan pelanggan, mujur rezeki kami ada satu meja kosong, sampai ada yang terpaksa berdiri menunggu meja kosong. Kalau nak lebih selesa boleh pergi dua lagi cawangan lain di Kluang ni yang lebih besar.



~ 8.30 pagi; mulakan perjalanan ke Tangkak untuk menghadiri kenduri kahwin sebelah atuk saudara. Masih awal pagi, cadang singgah di Muar dulu. Masuk Lebuhraya PLUS tol Ayer Hitam dan keluar tol Pagoh. 107km jalan-jalan cari makan lagi di Muar.

~ 10.30 pagi; tiba di Restoran Mee Bandung Abu Bakar Hanipah, Jalan Abdullah, Muar. Berkongsi kedai yang sama dengan Wah San Kopitiam, kedai kecik ni antara yang famous la kat Muar ni. Kat dinding kedai penuh dengan gambar tauke kedai dengan tokoh-tokoh yang pernah datang makan kat sini. Dah sampai Muar ni orang kata tak sah kalau tak pekena mi bandung. Makan roti bakar kat Kluang tadi kira ringan-ringan je tu...hehe. Ikut selera aku memang sedap la mi bandung kat restoran ni... kuahnya pekat rasa udangnya, khabarnya resepi warisan keluarga sejak 1930 lagi. Lepas makan kalau nak tapau perencah mi bandung pun ada kat restoran ni.

~ 11.00 pagi; 3km ke Sekolah Menengah Sains Muar, Tanjung Agas, Muar. Nak bergambar je kat papan tanda sekolah ni...hehe. Tempat jatuh lagi dikenang... pernahlah merasa belajar di sekolah berasrama penuh ni dua tahun masa Tingkatan Enam tahun 1993-94. Masa tu ada satu program perintis oleh Kementerian Pendidikan yang memperkenalkan Kolej Tingkatan Enam yang mengumpulkan pelajar terpilih seluruh Malaysia yang dapat keputusan SPM agak baik tapi tak berjaya masuk universiti. Hakikatnya kelas Tingkatan Enam tu cuma menumpang je kat sekolah ni sebab tiada premis sendiri. Cadang nak tunjuk kat anak-anak pagar mana yang ayah diorang panjat masa 'fly' dulu... tapi tak jadi la risau anak-anak terikut pulak kalau masuk asrama. Jangan ikut perangai ayah ye anak-anakku..hehe.



~ 11.10 pagi; 6km ke Don Hu Jurassic Park Garden, Jalan Pintasan Muar, Kg Sabak Awor. Ini antara tarikan baru di Muar. Diasaskan oleh pemiliknya tauke nurseri tapak semaian yang minat sangat kat spesis dinosaur sampai sanggup import hampir 30 patung dinosaur dari China...siap boleh bergerak-gerak lagi. Yang bagusnya masuk percuma je, cuma kena keluar duit kalau nak beli pelbagai cenderahati dinosaur atau kalau nak main beberapa permainan untuk budak-budak.



~ 11.30 pagi; 20km ke Pengkalan Besar, Tangkak yang terletak dalam daerah Ledang… menghadiri kenduri kahwin anak Pak Selamat iaitu anak atuk saudara aku yang merupakan adik arwah nenek. Masa kenduri ni lah nak jumpa dan kenal saudara-mara jauh yang jarang ditemui.



~ 3.00 petang; Ikut perancangan hari ni nak bermalam di Batu Pahat. Jadi kami berpatah balik ke Muar dulu. 22km ke Masjid Jamek Sultan Ibrahim. Masjid tertua di Muar yang dibina pada 1890an ini terletak di tebing muara Sungai Muar. Solat jamak zuhur & asar di sini. Nun jauh di seberang sungai kelihatan juga Masjid Sultan Ismail, masjid terbesar di Muar yang dibina pada 2002 tapi rekabentuknya adalah replika kepada Masjid Jamek Sultan Ibrahim ni.



Kemudian ronda-ronda sekejap ke Taman Tanjung Emas, tak jauh dari masjid. Taman rekreasi ni ada laluan siar kaki sepanjang tebing sungai, ramai orang melepak dan memancing di sini. Ada juga perkhidmatan bot dari jeti taman ni iaitu Muar River Cruise yang menyusuri Sungai Muar selama kira-kira 45 minit untuk menikmati pemandangan sepanjang sungai dan sebahagian bandar Muar. Tapi kerana kesuntukan masa kami terpaksa meneruskan perjalanan.

~ 4.00 petang; 64.5km ke Pantai Minyak Beku, Batu Pahat. Tempat tumpuan untuk bersantai petang-petang dan memancing... tapi tak sesuai untuk mandi sebab pantainya berbatu. Di pantai ni juga terdapat satu perigi kecik yang dipahat untuk mendapatkan air tawar oleh tentera siam semasa berundur selepas tewas ketika menyerang Kesultanan Melaka dulu. Itulah sejarahnya asal-usul Batu Pahat mendapat namanya yang tertulis kat batu tanda dekat perigi ni. Cuba cari port untuk pasang khemah tapi rasa macam tak berapa sesuai je.



~ 6.30 petang; 2.3km terjah ke Minyak Beku Agrotourism Resort, menginap kat chalet pulak malam ni. Chalet biasa-biasa je tapi harga lebih kurang macam hotel juga musim cuti sekolah ni... bolehlah untuk menginap semalaman.

~ 8.30 malam; lepas solat jamak maghrib & isya’, 13km jalan-jalan cari makan ke Mee Racun Tulang Sri Jaya, antara tempat makan yang famous kat Batu Pahat. Tertanya-tanya juga apa racun yang diletak dalam mi tu sampai sedap sangat khabarnya. Tapi malangnya tutup pulak. 5km pulak ke BP Walk, makan western food biasa-biasa je kat Ramly Cafe.

~ 10.00 malam; Jauh perjalanan hari ni, anak-anak dah penat dan mengantuk, 10km balik ke tempat penginapan, Minyak Beku Agrotourism Resort.

Sekian catatan hari ketiga.


Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...