PTT Outdoor

19 October, 2014

Mendaki Bukit Tabur East, Taman Melawati

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

19 Oktober 2014 ~ Setelah mendaki Bukit Tabur West beberapa tahun lalu, kali ni nak mendaki Bukit Tabur East pulak bersama grup Putrajaya Adventure Team (PAT). Disertai agak ramai juga pendaki, kira-kira 30 orang, termasuk seorang anak kecil berumur 3 tahun++ . Ini catatan ringkas log pendakian pada hari tu:

INFO: 
~ Bukit Tabur dengan ketinggian 396 meter terletak di Taman Melawati, Gombak. Bukit yang membentuk rabung kuarza yang dikatakan terpanjang di dunia sepanjang lebih kurang 14 km ini berada dalam Hutan Simpan Hulu Gombak Tambahan 1 dan ianya boleh dilihat dari lebuhraya MRR2. Dari atas bukit boleh nampak pemandangan indah sekitar Ulu Kelang, bandaraya Kuala Lumpur, UIAM Gombak, lebuhraya Karak serta tasik Empangan Klang Gates.

~ Terdapat empat trek di Bukit Tabur: West (446 meter d.p.l), East (275 meter), Far-East (tiada info ketinggian buat masa ni) dan Extreme (396 meter). Di sesetengah tempat, treknya sangat berbahaya dengan laluan rabung sempit serta terpaksa memanjat tebing berbatu yang curam. Banyak kes kemalangan terjatuh gaung dan kematian terjadi di sini terutamanya di Tabur West. Tidak digalakkan mendaki ketika hujan kerana laluan akan menjadi licin dan berbahaya.

~ Walaupun ramai yang main redah je, Permit Memasuki Hutan Simpan sepatutnya perlulah diperolehi terlebih dahulu daripada Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah dengan bayaran sebanyak RM5/seorang.

~ Dah malas pulak nak tulis, aku dah jumpa info yang lebih lengkap, sila ke SINI.

                                                           gambar dari kamera hp aku


LOG:
6.30 AM ~ Berkumpul di gerai nasi ayam dekat Balai Polis Tmn Melawati utk sarapan.

7.30 AM ~ Bergerak ke starting Point berdekatan pintu masuk Empangan Klang Gates.

8.30 AM ~ Memulakan pendakian secara santai. Berhati-hati dengan struktur batu yang agak longgar, ada batu-batu yang bergolek ke bawah, termasuk sebiji batu sebesar penumbuk yang kena tepat kat kepala aku...adehh... pening sekejap nasib baik tak pecah kepala. Di awal pendakian, trek Tabur East ni agak mencanak tapi taklah terlalu sukar berbanding Tabur West, cuma puncak terakhir yang menegak agak mencabar terutama bagi yang gayat. Kena panjat bergilir-gilir dengan sokongan tali .

11.30 AM ~ Sampai di puncak. Minum pagi berserta hotdog disediakan oleh Cif & krew.

1.00 PM ~ Mula turun. Agak lama menunggu giliran untuk menuruni puncak terakhir tadi seorang demi seorang. Balik ikut trek kebun dan keluar melalui Kg. Klang Gates.

2.30 PM ~ Sampai di parking. Makan nasi ayam di Taman Melawati sebelum bersurai.


                                     gambar yang dibelanja oleh kawan-kawan dan penganjur


~ Terima kasih kepada penganjur Putrajaya Adventure Team (PAT) kerana menganjurkan pendakian ini serta semua peserta yang bekerjasama menjayakan trip ni. Ramai sangat sampai tak sempat nak kenal semua. Jumpa lagi.

10 October, 2014

Gajah liar masuk kampung

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Baru-baru ni sekumpulan gajah liar masuk kampung aku... banyak juga tanaman keluarga aku dimusnahkan. Dah 3-4 kali juga rasanya kejadian ni berlaku. Bila ada kes gajah masuk kampung, nampak macam kampung aku ni jauh sangat di pedalaman, tapi sebenarnya kampung aku ni cuma 10 km dari bandar Mentakab dan tak jauh pun  dari jalan besar (jalan lama KL-Kuantan). Cuma di belakang kampung tu bersempadan dengan hutan simpan.

Harap-harap gajah-gajah ni tak mengancam keselamatan dan nyawa penduduk kampung aku dan semoga pihak berkuasa terutama PERHILITAN dapat mengatasi segera masalah ini. Ironinya, gajah-gajah ni masuk kebun keluarga aku pada malam pasukan bolasepak Pahang tewas kepada Perak dalam perlawanan terakhir Liga Super 2014... kecewa le tu kot Pahang kalah, habis semua dihogohnya...hihi.

Ini berita yang dipetik dari Sinar Harian 

MENTAKAB – Beberapa keluarga di Kampung Desa Bakti, di sini dikejutkan dengan kehadiran tiga gajah liar yang berkeliaran di dalam kampung tersebut pada tengah malam bermula dua hari lalu.

Seorang penduduk, Zabidah Ibrahim 66, berkata, gajah liar yang berkeliaran di halaman rumah tidak berpagar itu telah memusnahkan beberapa tanaman seperti kelapa dan pisang miliknya. Menurutnya, paling menakutkan apabila gajah itu memakan pokok pisang dan kelapa yang terletak hanya tiga meter dari pintu dapur rumahnya.

“Sepanjang 26 tahun tinggal di sini, tiga tahun kebelakangan ini semakin kerap gajah liar memasuki kawasan kampung dan kami sembilan keluarga di sini antara yang kerap berhadapan dengan haiwan itu. Ini serangan ketiga sepanjang saya tinggal di sini, walaupun gajah ini tidak membahayakan kami tetapi ia telah memusnahkan tanaman pokok buah-buahan milik kami. Sejak dua hari lalu, saya kerugian apabila enam pokok kelapa dan berpuluh pokok pisang ditumbangkan gajah liar ini,” katanya.

Zabidah berkata, pada Isnin lalu jam 4.30 pagi, dua gajah liar memakan pokok kelapa dan pisang dalam kawasan halaman rumahnya. Menurutnya, kumpulan gajah itu bertambah kepada tiga ekor, semalam dan pergerakan haiwan liar itu semakin jauh ke dalam kampung menyebabkan lebih banyak kerosakan tanaman penduduk.

Seorang lagi penduduk, Md Hairuman Ramli 38, berkata, meskipun rumah dan tanaman buah-buahan miliknya tidak diancam gajah liar tetapi dia turut mengambil berat soal keselamatan penduduk. Menurutnya, kampung tersebut bersempadan dengan kawasan Hutan Simpan Kemasul yang menjadi habitat banyak gajah liar.

“Saya tahu ada serangan gajah dalam kampung kami tetapi tidak menyangka serangan kali ini agak teruk kerana gajah berkeliaran dan memasuki jauh ke dalam penempatan penduduk. Diharap tindakan segera dapat dilakukan pihak berkuasa terutama Jabatan Perhilitan dalam mengatasi masalah ini,” katanya.
Hairuman (kiri) dan Zabidah melihat pokok pisang yang musnah kira-kira tiga meter dari pintu dapur rumahnya 

Sementara itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Desa Bakti mengesahkan Jabatan Perhilitan telah meninjau kumpulan gajah liar itu dan akan mengambil tindakan segera menghalau gajah jauh ke dalam hutan.


UPDATE: Seekor gajah liar telah berjaya ditangkap menggunakan tembakan ubat pelali oleh Jabatan Perhilitan, manakala yang lain sempat melarikan diri. Operasi pemindahan ke habitat asal yang lebih sesuai akan dibantu melalui komunikasi antara gajah denak dengan gajah liar. Tapi mengikut kata Perhilitan, kos pemindahan seekor gajah sangat tinggi sebenarnya... mencecah puluhan ribu juga khabarnya.

Menurut beberapa sumber, ada saksi pernah ternampak puluhan ekor gajah dalam hutan simpan tersebut. Hutan habitat asalnya telah diceroboh dan diterokai untuk tanaman getah... hmmmm... patutlah masuk kampung cari makan... puncanya tangan-tangan manusia juga... :

06 October, 2014

Salam Aidil Adha...Berkelah di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

5 Oktober 2014 (Ahad) ~ Salam Aidil Adha. Kami cuma mengorbankan diri dengan tak pulang ke kampung, sebaliknya cuma beraya di rumah sendiri. Selesai solat raya dan tolong melapah seekor lembu yang dikorbankan di kejiranan aku, melepak saja di rumah bersama keluarga.

6 Oktober 2014 (Isnin) ~ Cuti gantian sebab raya semalam jatuh hari ahad. Pagi tu kami merancang nak berkelah di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu. Masa pergi Bukit Kutu minggu lepas, ternampak satu port baik untuk berkelah sebab bebas dari pencemaran, insya Allah mintak dijauhkan dari virus kencing tikus. Airnya juga taklah terlalu dalam dan deras jadi sesuailah untuk budak-budak main air.


~ Untuk ke port ni perlu trekking kira-kira 1 km melalui trek yang agak landai, dua kali menyeberangi sungai menggunakan dua jambatan besi dan sekali lagi lintas sungai dengan meranduk air. Sebenarnya di sebelah bawah pun boleh berkelah, tapi biasanya ramai pengunjung dan banyak pulak sampah. 3.00 PM - cuaca mula mendung... masa untuk balik. Kira puaslah anak-anak mandi-manda dari pagi sampai petang.

28 September, 2014

Mendaki Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

INFO: Bukit Kutu terletak di Kuala Kubu Bharu (KKB), Hulu Selangor. Timbul kekeliruan tentang ketinggian sebenar bukit ini dari paras laut sebab melalui carian google malah pada papan tanda di puncak bukit juga ketinggiannya berbeza-beza. Ada yang kata ketinggiannya 1053 meter (3455 kaki), ada yang kata 1090 meter (3576 kaki) dan ada yang kata 1100 meter (3609 kaki). Tapi aku anggap ketinggiannya adalah 1053 meter berdasarkan papan tanda terbesar yang ada di puncak Bukit Kutu ni... haha. Disebabkan ketinggiannya yang melebihi 1000 meter, ramai pendaki menganggap bukit ni dah boleh dianggap gunung.

~ Pendakian bukit ni bermula dari Kg. Orang Asli Pertak, mengambil masa lebih kurang 4 jam, manakala perjalanan turun kira-kira 2 jam. Info selanjutnya di SINI.

~ Pada 27-28 September 2014, aku menyertai trip mendaki Bukit Kutu yang dianjurkan oleh Putrajaya Adventure Team (PAT) yang diketuai oleh Cif Pendaki Putrajaya. Biasanya orang pergi balik hari (dayhike) je tapi kali ni kami merancang untuk berkhemah di puncak... nak layan pemandangan sunset dan sunrise. Ini catatan ringkas perjalanan kami.

PESERTA: Hanya 10 orang pendaki... Cif, Abs Leo, Pak Atan dan anaknya Alang (peserta termuda berumur 12 tahun), Uncle Danny (peserta tertua berumur 63 tahun), Opie, Fakha, Fuad, Shahrul dan aku. Kesemuanya jantan-jantan perkasa. Bagi sesetengah orang mungkin rasa tak meriah tanpa kehadiran gadis-gadis, tapi bagi aku ok jer.. hehe.

27 September (Sabtu) 
8.00 AM ~ berkumpul sambil bersarapan di Restoran Fazlina Maju, KKB. Tapau barang keperluan apa yang patut di sini.

10.00 AM ~ bergerak ke tempat permulaan di Kg Orang Asli Pertak. Sempat singgah bergambar di Empangan Sungai Selangor yang semakin kering airnya. Sampai di tempat permulaan, agihkan ration dan barang keperluan serta mendengar taklimat ringkas dari Cif.

11.30 AM - memulakan pendakian. Trek permulaan melalui jalan landai sahaja dan perlu melintasi sungai 3 kali. Lintasan pertama dan kedua melalui dua jambatan besi (jambatan kedua telah roboh tapi masih boleh dilintasi dengan berhati-hati). Lintasan ketiga perlu meredah sungai. Lepas tu barulah jumpa trek hutan dan mula mendaki. Treknya taklah terlalu sukar kecuali di beberapa tempat agak licin kalau hujan, terpaksa merangkak di bawah rimbunan buluh tumbang dan banyak lebah di beberapa tempat rehat. Dalam perjalanan ke puncak terdapat dua buah gua iaitu Gua Air (terdapat sumber air mengalir dalam gua, boleh top up air di sini) dan Gua Kambing atau disebut juga sebagai Batu Tedung (kawasan berbongkah batu besar yang cantik).

6.50 PM ~ Selamat sampai di tapak perkhemahan, sebuah kawasan lapang berdekatan puncak. Khabarnya kawasan lapang ni adalah bekas runtuhan rumah rehat pegawai-pegawai British semasa zaman penjajahan dulu. Akibat dibom tentera Jepun, yang tinggal cuma dua buah perigi (salah satunya masih boleh digunakan), tangga batu dan menara cerobong asap... sejarahnya boleh rujuk di SINI. Perjalanan yang biasanya cuma 4 jam dah jadi 7 jam disebabkan kami banyak kali berhenti rehat dan mendaki dengan langkah yang sangat santai... hehe. Sempat memasang khemah (ground n fly sheet) sebelum hari gelap. Cuaca berkabus maka tak dapatlah nak tengok pemandangan matahari terbenam di puncak.

8.00 PM ~ Makan malam dengan roti tortilla yang disediakan oleh Cif.  Lepas makan sempat buat sesi ice-breaking memandangkan kami cuma 10 orang jadi taklah makan masa lama sangat. Suhu malam yang sejuk dan nyaman membuatkan mata cepat layu....zzzzzz


di Empangan Sungai Selangor

pemandangan sepanjang perjalanan

gambar paling rare... akupun tensen kalau jadi ular kapak ni...
nak rilek2 pun tak senang...hihi

di Gua Kambing... khabarnya orang asli pernah nampak kambing di sini


28 September (Ahad)
~ Lepas subuh, naik ke puncak Bukit Kutu yang taklah berapa jauh dari campsite... lebih kurang 5 minit mendaki. Perlu mendaki set tangga yang agak tinggi dan menegak. Puncaknya terdiri dari bongkah batu yang sempit, cuma boleh memuatkan 4-5 orang. Kalau ramai kena bergilir-gilir la nampaknya. Sangat perlu berhati-hati di puncak ni kerana di sekelilingnya gaung yang sangat dalam... kalau terjatuh insya Allah meninggal. Kalau gayat sebaiknya duduk je jangan berdiri.

campsite kami dari pertengahan trek ke puncak

hati-hati di puncak ni... utamakan keselamatan

dah macam tugu negara pun ada

mohon terus diberikan kekuatan untuk menikmati keindahan alam ciptaan-Nya

~ Pagi ni cuaca baik cuma sedikit berjerebu, jadi dapatlah menikmati pemandangan matahari terbit yang cukup indah. Dari puncak boleh nampak pemandangan 360 darjah, boleh nampak empangan, bandar KKB serta banjaran gunung-ganang seperti Gunung Rajah dan Gunung Ulu Semangkuk.

indahnya sunrise di puncak Bukit Kutu


~ Dah puas menikmati keindahan alam ciptaan-Nya, turun semula dan trekking kira-kira 5 minit menuju satu lagi kawasan tinggalan banglo lama. Banglo yang kedua ni masih nampak bentuknya, ada tangga, pintu dan bilik-bilik. Ada versi cerita yang mengatakan ini runtuhan sebuah klinik/hospital untuk pesakit kusta... entahlah. Lepas bergambar balik semula ke campsite untuk bersarapan seterusnya berkemas untuk balik.


bergambar di chimney sebelum balik...

~ Perjalanan turun cuma memakan masa lebih kurang 2 jam lebih. Tengah hari sampai di tempat permulaan, jumpa sungai berendam dulu la untuk menyegarkan badan. Lebih kurang jam 3.00 pm kami bergerak ke parking kereta dan balik ke bandar KKB. Lepak makan nasi di Restoran Fazlina Maju lagi seterusnya pulang ke destinasi masing-masing.

~ Terima kasih kepada semua peserta yang bekerjasama menjayakan trip ni dan ribuan terima kasih kepada penganjur team P.A.T khususnya Cif Pendaki Putrajaya yang banyak berkongsi ilmu.

Kredit kepada tuan punya gambar:
~ Cif Pendaki Putrajaya dengan kamera GoPro-nya
~ Opie (Fazrils Zulkarnain) dengan DSLR-nya


21 September, 2014

Sepetang di Bukit Bendera (Penang Hill)

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Selesai majlis persandingan Fain & Farah di Ayer Itam, masih awal lagi untuk balik ke tempat penginapan. Kami membuat keputusan (spontan) untuk ke Bukit Bendera (Penang Hill)... tak jauh dari Ayer Itam tu. Cuma ikut papan tanda sampailah kami di stesen keretapi kabel Bukit Bendera.

~ Tempat letak kereta dengan kadar RM4 sekali masuk disediakan di sebelah belakang pintu masuk. Kena pandu turun sikit kemudian belok kiri dan naik bukit sikit. Dari tempat letak kereta ada jalan pintas untuk pejalan kaki ke pintu masuk.

~ Setiap hujung minggu dan cuti sekolah, Bukit Bendera ni memang ramai pengunjung. Sebaiknya datang awal pagi kalau tak nak beratur panjang. Tiket keretapi dijual mengikut umur dan berbeza antara warga tempatan dan asing. Warga tempatan perlu tunjukkan MyKad untuk pengesahan. Mujurlah ada tiket pakej keluarga pergi-balik iaitu RM19 untuk 2 dewasa dan 3 kanak-kanak... dapatlah kami yang dalam kategori pelancong bajet ni berjimat sikit. Kalau nak lagi jimat, khabarnya ada trek mendaki bukit ni tapi aku pun tak tau mula di mana. Maklumat lanjut harga tiket boleh rujuk di SINI.

~ Dari luar, keretapi ni nampak condong dalam posisi mendaki bukit tapi jangan risau, kita takkan jatuh tertonggeng mahupun terlentang sebab binaan dalamannya dibuat secara menegak. Perjalanan menaiki keretapi kabel berkuasa elektrik menuju puncak cuma memakan masa lebih kurang 7 minit, dengan kekerapan setiap 30 minit. Pergi dan balik kami terpaksa berdiri sebab ramai penumpang (siapa cepat dapat duduk).

~ Ketinggian Bukit Bendera mencecah 823 meter (2700 kaki) dari paras laut. Cuaca di puncak memang nyaman, berangin dan agak dingin dengan suhu kira-kira 21 darjah Celcius walaupun kami sampai pada jam 3.00 petang dengan matahari agak terik.

kredit gambar : penanghill.gov.my
~ Dari puncak, kita dapat melihat hampir keseluruhan sebelah timur Pulau Pinang dan bandaraya Georgetown termasuk Komtar, pemandangan laut, Pulau Jerjak, Jambatan Pulau Pinang lama, tanah besar Seberang Perai dan lain-lain. Teropong turut disediakan untuk melihat pemandangan yang lebih jelas tapi kena masukkan RM1 untuk meneropong selama 5 minit.

~ Di puncak, terdapat kafe, masjid, kuil, pejabat pos, hotel, taman bunga, taman permainan kanak-kanak dan gerai cenderahati. Tarikan terbaru di sini adalah Muzium Burung Hantu (The Owl Museum). Bayaran masuk RM10 untuk dewasa, kanak-kanak masuk percuma.

~ Kalau malas nak berjalan, boleh menaiki kereta buggy meronda sekitar puncak bukit dengan bayaran RM30 selama 25 minit atau RM60 (45 minit).

~ Selain tu boleh melawat Love Lock (khabarnya tiru konsep macam dekat Rome, Paris, Seoul dll) di mana mangga kunci yang siap ditulis nama pasangan bercinta (termasuk suami isteri kot) dimanggakan pada pagar... kononnya sebagai simbol percintaan sehidup semati yang tak mungkin dipisahkan... puuiiiiii. Harga mangga kunci antara RM10-RM30 siap ditulis nama. Kepada pasangan Melayu Islam, aku nasihatkan lebih baik beli buah mangga RM10 dapat 3kg dan dimakan bersama-sama... kemudian bijinya ditanam... tumbuhnya pokok tu pun boleh jadi simbol percintaan jugak... dapat pahala lagi kalau buahnya disedekahkan pulak... kah3.


~ Setelah puas menikmati keindahan dan suasana nyaman di puncak Bukit Bendera, pada jam 5.00 PM kami turun semula dan balik ke tempat penginapan di TM Resort Tanjung Bungah, layan anak-anak mandi kolam pulak.


Selamat Pengantin Baru Fain-Farah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ 19-21 September - Bertolak ke Penang untuk meraikan anak saudara sebelah isteri yang menjadi pengantin baru. Keluarga besar kami menginap beramai-ramai di TM Resort, Tanjung Bungah. Majlis akad nikah dilangsungkan selepas solat Jumaat, manakala majlis persandingan keesokan harinya di Dewan FRU Padang Tembak... dekat-dekat dengan Ayer Itam.


~ Selamat Pengantin Baru buat pasangan Fain & Farah, semoga berkekalan bahagia hingga ke akhir hayat serta dirahmati dan diberkati hingga ke syurga... aamiin.

~ Selesai majlis persandingan Fain & Farah di Ayer Itam, masih awal lagi untuk balik ke tempat penginapan. Kami membuat keputusan (spontan) untuk ke Bukit Bendera (Penang Hill)... tak jauh dari Ayer Itam tu. Nantilah cerita dalam entri lain pulak.

 
Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...