PTT Outdoor

18 September, 2016

Cuti Aidil Adha @ Sitiawan - Morib - KLCC

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ 11-13 September; Along baru habis periksa UPSR, sekolah pun bercuti seminggu sempena Aidil Adha. Kami laki bini pun ambik cuti seminggu. Balik beraya bersama mertua di rumah kakak ipar di Sitiawan. Lepas solat raya, sempat memancing di sungai belakang rumah kakak ipar. Dapatlah ikan duri sebesar lengan budak 4-5 ekor, jadilah dapat lepas gian lama tak mancing.

~ 14-15 Sept.; Balik dari beraya di Perak, bawa anak-anak bercuti 2H 1M di Gold Coast pulak... bukan di Australia tapi di Morib je. Sebelum tu buat Mykad Along di JPN Shah Alam sempena cukup umur 12 tahun. Lepas tu terus ke Morib. Nak chek-in hotel pun makan masa sejam setengah, almaklum le cuti sekolah. Mujur water theme park tu buka sampai 11.00 malam. Maka dari malam sambung pulak siang esoknya anak-anak mandi manda dengan gumbira sampai kecut.

~ 17 Sept; Ada sikit urusan di KL. Selesai urusan, singgah ronda-ronda di KLCC. Kesian si Along & Aina tak pernah ke KLCC katanya, cuma si Angah je yang pernah pergi sini masa ikut rombongan sekolahnya ke Petrosains. Nama je duduk dekat dengan KL tapi anak-anak ada yang tak pernah jejak kaki tengok bangunan tertinggi kat Malaysia ni...kih3. Kalau takde hal penting aku memang dah malas nak masuk KL ni... sesak dan serabut. Tapi singgah juga la kali ni demi anak-anak.


Wassalam.


03 September, 2016

UPSR 2016: Good Luck Along!

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Anak sulung aku bakal menduduki UPSR bermula pada 5 September 2016. Tahun ni dah buat format baru dengan 6 subjek yang wajib diambil oleh calon. Banyak program yang dijalankan pihak sekolah untuk kecemerlangan pelajar. Antaranya program motivasi, bengkel menjawab soalan, kelas tuisyen setiap malam isnin & selasa, kelas tambahan setiap sabtu, dan juga menganjurkan program solat hajat & bacaan surah Yasin bersama ibu bapa.

~ Si Along pun nampaknya ada juga usaha nak belajar, walaupun nampak macam penat dengan macam-macam program, selain petangnya kena sekolah agama pulak. Dalam exam percubaan, walaupun keputusannya taklah berapa cemerlang, ada juga nampak peningkatannya.




~ Sebagai ibubapa pulak, usaha terakhir cumalah menitipkan doa dan memberi galakan dan motivasi agar lebih bersemangat belajar dan menjawab soalan dengan baik. Bagi kami, tak perlu memberi tekanan dalam mengejar kecemerlangan kerana bakat, minat dan kecenderungan anak-anak memang berbeza antara satu sama lain. Kalau tak berapa cemerlang dalam peperiksaan tak semestinya akan gagal dalam hidup. Walaupun kejayaan anak-anak dalam pelajaran memberi kepuasan dan kebanggaan kepada ibubapa, tapi kami lebih bahagia kalau anak-anak menjadi manusia yang berakhlak mulia dan memberi manfaat kepada orang lain.

~ 2 minggu lepas habis UPSR ni, ada satu exam lagi; Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) pulak. Apa-apapun, selamat menjawab Along. 


13 August, 2016

Futsal Antara Seksyen JP Selangor: POG Juara Lagi!

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah... P.O Gombak aka POGback berjaya mempertahankan kejuaraan futsal inter-seksyen JP Selangor. Menang dengan rekod tanpa kalah, jaringan terbanyak dan bolos paling sikit.


Memandangkan aku dah masuk kategori veteran, bagilah pemain-pemain muda yang bertungkus lumus dan bekerja keras. Bila team dah leading, barulah supersub veteran ni masuk, ringan sikit tugas pakcik...kih3. Tahniah buat semua.


04 August, 2016

Alkisah Ramadhan & Syawal 2016

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Hari ni hari terakhir dalam bulan Syawal 1437H. Bersawang dah blog ni lama tak update... sibuk melampau campur malas sebenarnya... haha.

Ramadhan

~ Along (12 tahun) macam biasa berjaya berpuasa penuh tahun ni tanpa sebarang rungutan lapar dahaga. Angah (10 tahun) pulak berjaya berpuasa selama 28 hari, tertinggal sehari sebab sakit perut katanya. Aina (7 tahun) pulak baru belajar puasa setengah hari. Walaupun sering mengadu penat dan dahaga, dapat juga 10 hari puasa penuh. Waktu bangun sahur pun taklah susah sangat nak kejutkan mereka. 

~ Tahniah kepada Along, Angah dan Aina. Walaupun belum wajib berpuasa, nak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tiada sebarang unsur paksaan untuk mereka berpuasa... cuma menggunakan teknik pujukan, teknik melekakan dengan bawa ronda-ronda naik motor sebelum waktu berbuka dan juga menjanjikan sedikit ganjaran duit raya lebih sikit dari ayah dan ibunya ni.

~ Tahniah buat Along kerana berjaya mencapai azamnya tak nak tinggal solat terawih dan witir. Angah pulak dapat solat terawih 4 rakaat je lepas tu tidur kat belakang... penat le tu.


Syawal



~ Tahun ni giliran beraya di Pahang dulu. Balik kampung dua hari sebelum raya. Beraya sekitar Bera - Mentakab - Lanchang. Petang raya kedua, balik ke rumah kami di Sg Buloh... balik menjenguk kucing- kucing... si Oyen, Taro & Tompok.

~ Raya ketiga balik Ipoh pulak. Cuma beraya di sekitar Ipoh je. Memandangkan dah raya ke -3, ramai ipar duai yang tak sempat berjumpa... tapi masih tetap meriah. Owh... ada juga sambutan hari lahir untuk ahli keluarga yang lahir bulan Julai... terima kasihhh.

~ Alhamdulillah tahun ni tak terperangkap dalam trafik jem!

~ Birthday tahun ni jatuh dalam bulan Syawal. Terima kasih kepada semua sahabat yang mengucapselamat di FB & whatsapp... aku doakan semoga segala doa yang baik-baik yang sahabat semua doakan untuk aku akan berbalik kepada sahabat semua... agar kita semua sama-sama panjang umur, murah rezeki, dipermudahkan segala urusan dan paling penting hidup kita diberkati, dirahmati dan diredhai oleh-Nya... amiin.

~ Salam Aidilfitri, maaf zahir batin dari kami sekeluarga buat semua yang mengenali kami. Maaf atas segala keterlanjuran perkataan mahupun perbuatan. Mohon dihalalkan yang termakan dan terminum. Mohon dihalalkan segala hutang piutang jika ada.. (bab nak halalkan hutang ni payah la kot... haha)


01 May, 2016

Selamat hari lahir ke-12, Along

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

” Ya Allah, panjangkanlah umur anak kami ini, terangilah hatinya, teguhkanlah imannya,
bagusilah amal perbuatannya, lapangkanlah rezekinya,
dekatkanlah menuju kebaikan, jauhkanlah dari keburukan.
Ya Allah, kabulkanlah doa kami ini, agar anak kami menjadi anak yang soleh,
yang sentiasa taat kepadaMu dan berbakti kepada kedua orang tuanya”Amin ya rabbal ‘Alamin

Amalan Ketika Menyambut Hari Lahir

Apabila tibanya tarikh dan hari lahir, maka akan bertambahlah usia kita seiring tempoh kehidupan kita di dunia. Semakin banyak menyambut hari lahir, sesungguhnya hari kita adalah semakin tua. Ramai orang yang menyambut hari lahir dengan mengadakan jamuan makanan dan menjemput rakan-rakan serta saudara-mara untuk turut sama meraikannya. Tidak kurang juga yang mengadakan majlis keraian yang disertai dengan tari-menari dan hiburan yang agak berlebihan. Terpulang pada diri masing-masing.

Namun, bagi kita umat Islam, dalam apa pun urusan kita, adalah perlu untuk kita menilai terlebih dahulu apakah bentuk sambutan yang akan kita adakan, agar sambutan tersebut tidak tersasar dari kehendak Islam. Atau dalam erti kata lain, tidak menyerupai kaum atau agama orang lain. Nabi SAW addda menyebutkan tentang larangan menyerupai kaum lain, seperti mana hadis yang bermaksud,

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, dia dikira dari kaum tersebut.”
 (Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban)

Islam telah mengajar kita untuk bersifat sederhana dalam mengadakan sesuatu majlis agar tidak terdapat perkara yang tidak baik seperti maksiat atau pembaziran. Upacara memotong kek, meniup lilin di atas kek serta dinyanyikan lagu (seperti lagu ‘Happy Birthday To You’) adalah merupakan sambutan yang tidak terdapat dalam ajaran Islam.


AMALAN YANG PERLU DILAKUKAN

Seharusnya kita sebagai umat Islam perlu menggunakan garis panduan ajaran Islam dengan sebaiknya sebagai petunjuk jalan dalam kehidupan. Ini juga termasuklah dalam hal menyambut hari lahir, yang sering kali dianggap perkara kecil atau biasa bagi masyarakat yang menyambutnya dengan pelbagai perkara, yang adakalanya tersasar dari objektif sebenar memperingati hari kelahiran. Berikut adalah antara amalan-amalan yang boleh atau perlu dilakukan sewaktu tiba ulangtahun kelahiran. Antaranya:

1. Melahirkan Rasa Syukur Dan Gembira
Kita perlu melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT kerana masih lagi diberi nikmat dan anugerah kesihatan dan nyawa bagi meneruskan kehidupan, serta gembira atas nikmat umur yang dikurniakanNya. Firman Allah SWT di dalam surah ad-Dhuha ayat 11 yang bermaksud,

“Dan terhadap nikmat TuhanMu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebutkannya 
(dengan bersyukur).”

2. Mendoakan Antara Satu Sama Lain
Apabila menyambut hari kelahiran seseorang, kita dituntut untuk saling mendoakan antara satu sama lain. Sebaiknya, lagu “Selamat Hari Jadi” ditukarkan dengan yang ungkapan yang lebih bermakna, lebih berkat dan lebih indah. Contohnya, barakallahu fika (untuk lelaki) / fiki (untuk perempuan), tiga kali, dengan menggunakan nada dan melodi yang sama. Ia bermaksud “Semoga Allah memberkati kamu”. Ucapan-ucapan dan doa sebegini lebih dituntut dan dianjurkan oleh syariat Islam.

3. Mengadakan Jamuan Yang Berkadaran
Jamuan adalah sinonim dengan apa jua majlis dan sambutan. Menjamu makan dalam Islam adalah satu bentuk sedekah yang sangat digalakkan. Asalkan tidak membazir. Adalah dianjurkan kita menjemput golongan fakir dan miskin ke majlis kita. Sekiranya ada lebihan makanan, eloklah dibagi-bagikan kepada para tetamu sebagai buah tangan. Selain besar pahalanya, ia boleh menyuburkan lagi rasa kasih-sayang sesama keluarga dan sahabat handai.

4. Mengadakan Majlis Tazkirah Ringkas
Mengadakan majlis tazkirah (nasihat) ringkas, ataupun mengalunkan bait-bait nasyid, selawat yang berupa untaian nasihat bagi menghiburkan para jemputan disamping mengingatkan hadirin bahawa umur adalah amanah Allah s.w.t yang akan ditanya di Akhirat kelak.

5. Memberi Hadiah
Memberi hadiah juga adalah amalan yang sinonim dalam sambutan hari-hari sebegini. Amalan memberi hadiah ini juga dianjurkan oleh Islam kerana ia akan menimbulkan kemesraan dan suasana yang penuh mahabbah (kasih sayang). Hadiah yang diberikan tak semestinya besar dan mahal, tetapi ia akan menjadi tanda ingatan yang ikhlas, di samping menyumbang ke arah melahirkan masyarakat penyayang. Sabda Nabi s.a.w:
“Hadiah-menghadiahlah, kamu akan berkasih-sayang.”

6. Muhasabah Diri
Muhasabah diri (koreksi diri) yang perlu dibuat khasnya pada sambutan ulang tahun ini, ialah dengan menginsafi masa atau umur yang telah berlalu. Renungkan, berapa banyakkah kebaikan amal soleh yang telah kita lakukan. Dan renung pula berapa banyak pula maksiat dan dosa yang telah kita lakukan selama ini. Sekiranya jawapan itu lebih berat kepada kecuaian dan kealpaan, maka mohonlah taubat kepada Allah. Kemudian susuli dengan niat, azam dan perancangan bagaimana untuk mengisi sisa-sisa umur kita yang berbaki ini. Tentunya baki umur kita semakin hari semakin sedikit, bukannya bertambah. Hasil muhasabah diri ini akan menjadikan kita orang yang terus-menerus berhijrah kepada Allah s.w.t.

7. Berbuat Baik Pada Ibubapa
Buat insan yang menyambut hari jadi itu, elok juga pergi menziarahi kedua ibu bapanya (jika tidak lagi tinggal bersama dengan keduanya), kerana merekalah yang merupakan sebab musabab lahirnya dia ke dunia. Pada hari itu, si anak sepatutnya mengucapkan terima kasih dan menghadiahkan sesuatu pada ibu dan ayah mereka. Mudah-mudahan usia kita terus diberkati.


Entri 'Amalan Ketika Menyambut Hari Lahir' dipetik dari SINI.


30 April, 2016

Hari TLDM ke-82

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Selesai menghadiri kenduri kahwin anak abang ipar di Simpang Tiga, Perak, singgah menginap semalaman di rumah baru kakak ipar di Sitiawan.

Petangnya sempat bawa anak-anak dan anak buah ke sambutan Hari Terbuka sempena Hari Ulangtahun TLDM ke-82 di Pangkalan TLDM Lumut. Pengunjung boleh melawat dan masuk ke dalam beberapa kapal perang dan kapal sokongan TLDM.

Kami sampai dah petang, cuma sempat naik satu kapal sokongan je. Dapatlah anak-anak melihat sendiri keadaan dan membayangkan bagaimana kehidupan sebagai seorang tentera laut di kapal tersebut.





Itu sajalah gambar yang sempat diambil, bateri hp dah kong pulak. Nak call ada sorang member lama masa sekolah yang keje navy kat situ pun tak sempat.




Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...