PTT Outdoor

31 July, 2015

Bolasepak Persahabatan: Statistik FC Zon Tengah vs TRWLK

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


~ Perlawanan persahabatan ini menjadi medan pemilihan pemain untuk mewakili skuad 9 sebelah Zon Tengah dalam sukan antara zon Jabatan Perangkaan Malaysia yang akan berlangsung dari 3-6 September 2015 di UIAM cawangan Pahang di Gambang.

~ Sempatlah aku main sekejap, sekadar untuk memberi sokongan kepada pemain-pemain muda, dan sekadar untuk memenuhi 1 kuota pemain veteran dalam skuad ni.. hihi.

~ Perlawanan diadakan di atas permukaan padang tiruan berwarna biru di NPNG Sports Centre, Damansara Damai antara Statistik FC Zon Tengah menentang Kelab Penyokong Kelantan The Red Warriors Lembah Kelang (TRWLK) berkesudahan TRWLK menang 2-1.


25 July, 2015

Melangkah ke usia 40 tahun

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera. 

Alhamdulillah... masih diberi kesempatan untuk menikmati kehidupan pada usia 40 tahun... bermakna makin singkat tempoh aku transit kat dunia ni. Aku kongsikan info ni sebagai peringatan untuk diri sendiri dalam menghabiskan sisa-sisa hidup aku yang entah berapa lama lagi agaknya..


Oleh Tuan Ibrahim Tuan Man

(Petikan dari Harakahdaily.net) 


Bila ada persoalan tentang umur 40 tahun manusia, saya terfikir sejenak. Belum pernah saya membincangkannya dengan sesiapa sebelum ini. 

Bila saya cuba mengajak kepada perbincangan, ramai yang berkata itu cuma psikologi barat untuk menggambarkan kehidupan mesti enjoy dan berseronok, dan pada umur ini barulah fikir tentang masa depan.



Ramai tidak sedar dalam al-Quran ada menyentuh tentang usia ini. Tentu ada yang sangat penting, perlu diperhatikan dan diambil serius akan perkara ini. Allah swt. berfirman,


حَتَّى إَذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِيْنَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِى أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِى أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِى فِى ذُرِّيَّتِى إِنِّى تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّى مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ

“Apabila dia telah dewasa dan usianya sampai empat puluh tahun, ia berdoa, “Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.” (al-Ahqaf: 15)

Usia 40 tahun disebut dengan jelas dalam ayat ini. Pada usia inilah manusia mencapai puncak kehidupannya baik dari segi fizikal, intelektual, emosi, mahupun spiritualnya. Benar-benar telah meninggalkan usia mudanya dan melangkah ke usia dewasa yang sebenar.

Doa yang terdapat dalam ayat tersebut dianjurkan untuk dibaca oleh mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas. Di dalamnya terkandung penghuraian yang jelas bahawa mereka; telah menerima nikmat yang sempurna, kecenderungan untuk beramal yang positif, telah mempunyai keluarga yang harmoni, kecenderungan untuk bertaubat dan kembali kepada Allah

Pada ayat yang lain, firman Allah;

أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُمْ مَا يَتَذَكَّرُ فِيْهِ مَنْ تَذَكَّرَ وَجَاءَكُمُ النَّذِيْرُ


"Apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam tempoh yang cukup untuk berfikir bagi orang-orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepadamu pemberi peringatan? "(al-Fathir: 37)


Menurut Ibnu Abbas, Hasan al-Bashri, al-Kalbi, Wahab bin Munabbih, dan Masruq, yang dimaksud dengan “umur panjang dalam tempoh yang cukup untuk berfikir” dalam ayat tersebut tidak lain adalah ketika berusia 40 tahun.


Menurut Ibn Kathir, ayat ini memberikan petunjuk bahawa manusia apabila menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Apabila itu berlaku menjelang usia 40 tahun, maka Allah memberikan janjiNya dalam ayat selepas itu: (maksudnya) Kematangan.


Usia 40 tahun adalah usia matang untuk kita bersungguh-sungguh dalam hidup. Mengumpulkan pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang kejahilan ketika usia muda, lebih berhati-hati, melihat sesuatu dengan hikmah dan penuh penelitian. Maka tidak hairan tokoh-tokoh pemimpin muncul secara matang pada usia ini. Bahkan Nabi s.a.w, seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas:


“Dibangkitkan Rasulullah s.a.w pada usia 40 tahun” (riwayat al-Bukhari).

Nabi Muhammad saw. diutus menjadi nabi tepat pada usia 40 tahun. Begitu juga dengan nabi-nabi yang lain, kecuali Nabi Isa as. dan Nabi Yahya as.

Mengapa umur 40 tahun begitu penting?

Menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyah usia manusia diklasifikasikan menjadi 4 (empat) period, iaitu:
1. Kanak-kanak ( sejak lahir hingga akil baligh )
2. Muda atau syabab ( sejak akil baligh hingga 40 tahun )
3. Dewasa ( 40 tahun hingga 60 tahun )
4. Tua atau syaikhukhah ( 60 tahun hingga mati )

Usia 40 tahun adalah usia ketika manusia benar-benar meninggalkan masa mudanya dan beralih kepada masa dewasa penuh. Kenyataan yang paling menarik pada usia 40 tahun ini adalah meningkatnya minat seseorang terhadap agama sedangkan semasa mudanya jauh sekali dengan agama. Seolah-olah macam satu fitrah di usia ini ramai yang mula menutup aurat dan mendekati kuliah-kuliah agama.


Salah satu keistimewaan usia 40 tahun tercermin dari sabda Rasulullah saw;


لعَبْدُ الْمُسْلِمُ إِذَا بَلَغَ أَرْبَعِيْنَ سَنَةً خَفَّفَ اللهُ تَعَالَى حِسَابَهُ ، وَإِذَا بَلَغَ سِتِّيْنَ سَنَةً رَزَقَهُ اللهُ تَعَالَى الْإِنَابَةَ إِلَيْهِ ، وَإِذَا بَلَغَ سَبْعِيْنَ سَنَةً أَحَبَّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ ، وَإِذَا بَلَغَ ثَمَانِيْنَ سَنَةً ثَبَّتَ اللهُ تَعَالَى حَسَنَاتِهِ وَمَحَا سَيِّئَاتِهِ ، وَإِذَا بَلَغَ تِسْعِيْنَ سَنَةً غَفَرَ اللهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ وَشَفَّعَهُ اللهُ تَعَالَى فِى أَهْلِ بَيْتِهِ ، وَكَتَبَ فِى السَّمَاءِ أَسِيْرَ اللهِ فِى أَرْضِهِ – رواه الإمام أحمد


“Seorang hamba muslim bila usianya mencapai 40 tahun, Allah akan meringankan hisabnya (perhitungan amalnya). Jika usianya mencapai 60 tahun, Allah akan memberikan anugerah berupa kemampuan kembali (bertaubat) kepadaNya. Bila usianya mencapai 70 tahun, para penduduk langit (malaikat) akan mencintainya. Jika usianya mencapai 80 tahun, Allah akan menetapkan amal kebaikannya dan menghapus amal keburukannya. Dan bila usianya mencapai 90 puluh tahun, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan dosa-dosanya yang dahulu, Allah juga akan memberikan pertolongan kepada anggota keluarganya, serta Allah akan mencatatnya sebagai tawanan Allah di bumi. (riwayat Ahmad)


Hadis ini menyebut usia 40 tahun paling awal memiliki komitmen terhadap penghambaan kepada Allah swt. sekaligus konsisten terhadap Islam, maka Allah swt. akan meringankan hisabnya. Orang yang usianya mencapai 40 tahun mendapatkan keistimewaan berupa hisabnya diringankan. Tetapi umur 40 tahun merupakan saat harus berhati2 juga. Ibarat waktu, orang yang berumur 40 tahun mungkin sudah masuk senja. Abdullah bin Abbas ra. dalam suatu riwayat berkata, “Barangsiapa mencapai usia 40 tahun dan amal kebajikannya tidak mantap dan tidak dpt mengalahkan amal keburukannya, maka hendaklah ia bersiap-siap ke neraka.”


Imam asy-Syafi’i tatkala mencapai usia 40 tahun, beliau berjalan sambil memakai tongkat. Jika ditanya, jawab beliau, “Agar aku ingat bahwa aku adalah musafir. Demi Allah, aku melihat diriku sekarang ini seperti seekor burung yang dipenjara di dalam sangkar. Lalu burung itu lepas di udara, kecuali telapak kakinya saja yang masih tertambat dalam sangkar. Komitmenku sekarang seperti itu juga. Aku tidak memiliki sisa2 syahwat untuk menetap tinggal di dunia. Aku tidak berkenan sahabat-sahabatku memberiku sedikit pun sedekah dari dunia. Aku juga tidak berkenan mereka mengingatkanku sedikit pun tentang hiruk pikuk dunia, kecuali hal yang menurut syara’ lazim bagiku. Di antara aku dan dia ada Allah.”


Lantas, apa yang harus kita lakukan menginjak usia 40 tahun?

1. Meneguhkan tujuan hidup
2. Meningkatkan daya spiritual
3. Menjadikan uban sebagai peringatan
4. Memperbanyak bersyukur
5. Menjaga makan dan tidur
6. Menjaga istiqamah dalam ibadah.

Jika ada yang mengatakan bahawa: Life began at forty, saya cenderung berpendapat kehidupan yang dimaksudkan ialah kehidupan terarah kepada mendekatkan diri kepada penciptaNya dengan sebenar-benarnya. Tetapi satu perkara yang kita harus sentiasa sedar bahawa kematian memanggil kita bila-bila masa tanpa tanda, tanpa alamat dan tanpa mengira usia. Jika kita beranggapan harus menunggu usia 40 tahun untuk baru memulakan kehidupan yang dimaksudkan di atas, maka rugi dan sia-sia lah hidup kita jika umur kita tidak panjang.


Maksud sabda Nabi Muhammad S.A.W ,” Orang yang bijak adalah orang yang selalu mengingati mati”.

 

22 July, 2015

Sehari di Kidzania Kuala Lumpur

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Lepas raya, Along, Angah dan Aina pasti sibuk menghitung duit raya, Biasanya separuh disimpan untuk kegunaan masa depan, separuh lagi dibelanjakan. Daripada dibelanjakan tak tentu arah, lebih baik dibelanjakan untuk perkara-perkara yang berfaedah.

~ 22 Julai 2015 (Rabu) bersamaan 6 Syawal, kami sekeluarga ke KidZania Kuala Lumpur, yang terletak di The Curve NX, sebelah IKEA... Mutiara Damansara. Hari ni sepatutnya hari pertama bersekolah selepas cuti raya. Tapi kami buat keputusan pergi weekday sebab dengar khabarnya kalau weekend orang ramai sangat. Tak apalah ponteng sehari sebab ini pun salah satu proses pembelajaran juga.

~ Dalam bangunan KidZania ni, dibina sebuah bandar seperti dunia sebenar, di mana kanak-kanak boleh belajar dan merasai pengalaman hidup sebenar macam orang dewasa. Mereka akan belajar cara mendapatkan duit dengan bekerja, cara belanjakan duit, simpan duit dan menimba pengalaman dengan bekerja dalam berbagai bidang. Jadi boleh nampak sikit sebanyak gambaran sebenar alam pekerjaan yang mungkin jadi cita-cita mereka.

~ Waktu operasi: Isnin-Jumaat dari 10 pagi - 5 petang manakala hujung minggu, cuti sekolah dan cuti umum ada dua sessi; 10 pagi - 3 petang dan 4 petang - 9 malam. Jadi lebih untung pergi weekdays, masanya lebih lama.

~ Harga tiket memang le agak mahal tapi boleh jimat sikit kalau beli online. Mak bapak yang tak terlibat dalam aktiviti pun kena beli tiket juga... adehh... patutnya mak bapak bayar RM10 dah le.

~ Masuk je ke dunia KidZania, mereka akan diberi cek bernilai 50 Kidzos (matawang dalam Kidzania) sebagai modal permulaan untuk meneroka bandar Kidzania. Cek tu kena tunaikan sendiri di bank. Di bank juga boleh buat akaun simpanan minimum 50 Kidzos dan boleh juga buat kad ATM. Simpanan boleh dikeluarkan kalau nak datang lagi ke sini.

~ Setiap kerja akan dibayar gaji, tapi kalau guna perkhidmatan misalnya masuk kelas memasak atau masuk salun kecantikan kenalah bayar... semuanya menggunakan matawang Kidzos. Jadi duit 50 Kidzos tu boleh bertambah lagi kalau rajin kerja.

~ Tempoh setiap aktiviti lebih kurang 15-30 minit, tak termasuk masa beratur menunggu giliran. Jadi kalau pergi hari cuti mungkin kena beratur lama.

~ Ibu bapa tak dibenarkan masuk ke dalam premis/kedai, cuma boleh tunggu dan ambil gambar dari luar je. Tapi di setiap premis akan ada jurukamera khas yang ambil gambar anak-anak. Sebelum balik boleh singgah kedai gambar untuk beli gambar mana yang berkenan siap frame. tapi kena standby RM lah ye.

~ OK jom tengok gambar aktiviti yang sempat anak-anak cuba (gambar diambil pakai kamera hp je):

1. Tunaikan cek di CIMB Bank... hanya kanak-kanak dibenarkan masuk ke bank ini
2. Along & Angah belajar memasak di Ayam Brand Cooking School
3. Aina dapat kerja di kedai permata Karatz Jewellery
4. Taklimat kepada ahli bomba sebelum bertugas memadam kebakaran
5. Lori bomba yang dinaiki untuk memadam kebakaran hotel... betul-betul kena pancut air ni


1. Dental Care... kalau jadi doktor gigi nanti boleh la cabut gigi ayah free
2. Kerja merayau-rayau hantar kiriman Poslaju 
3. Aina buat facial di KURLZ Beauty Salon
4. Angah jadi cashier, Along jadi customer di Kedai Runcit Z-Mart
5. Lepak jap makan aiskrim 


1. Aina belajar buat kraftangan di STABILO Arts & Crafts Studio
2. Belajar melukis & mewarna di Painting School
3. Maklumat yang ada di setiap pintu masuk premis
4. Kerja di OREO Cookie Factory... selain dapat gaji, dapat juga makan biskut OREO
5. Makan dulu... jangan membazir, mahal tuu


1. Kalau jadi polis jangan makan rasuah ye anak-anak...
2. Jadi penari kebudayaan buat persembahan sempena raya
3. AirAsia Flight Simulator... belajar jadi pilot
4. Jadi jurutera komputer di Z-Tech Computer Factory
5. Dapat kerja di Lifebuoy Health Institute... buat shower gel
6. Dapat minum Vitagen free lepas kerja di Vitagen Marigold Milk Factory


1. Kerja di makmal buat vitamin Pharmaniaga
2. Mintak kerja jururawat je di KPJ Specialist Hospital
3. Sekali dapat jadi doktor pakar bedah pulak...
4. Bergambar di lobi
5. Nak balik dahh...


~ Nak makan? Dalam Kidzania ada kafe dan kedai makan seperti Marrybrown tapi harga makanan memang mahal. Misalnya harga seketul burger mencecah RM9.00 dan satu set nasi+lauk+sayur+air mencecah RM17.00++. Makanan dari luar tak dibenarkan bawa masuk, tapi rasanya boleh je seludup... masa kami masuk tu takde sapa cek pun... hihi. Oopps... nak makan minum kena guna matawang RM ye... duit Kidzos tak laku!

~ Baki duit Kidzos yang tak habis boleh dibelanjakan untuk beli barang di kedai souvenir, atau simpan dalam bank (boleh guna next visit) atau kalau tak sempat ke bank macam kami bawa balik je simpan kat rumah... hehe.

~ 4.50 petang; seluruh bandar Kidzania bergema dengan lagu tema dan tarian khas oleh pekerja-pekerja Kidzania beramai-ramai di depan premis masing-masing menandakan operasi dah nak tutup.

~ Dari 10 pagi - 5 petang, sempatlah buat 20 jenis aktiviti/pekerjaan termasuk satu lagi aktiviti sebagai Secret Agent yang tak dapat diambil gambar sebab dalam premis tertutup (memang secret betul tu). Walaupun tak perlu beratur panjang, ada banyak lagi aktiviti/pekerjaan yang tak sempat Along, Angah & Aina cuba... nampaknya kena datang lagi lain kali... lain bulan... lain tahun... atau lepas raya tahun depan kot...hihi. Insya Allah jika ada rezeki lebih kita datang lagi sebab kunjungan ke sini memang berbaloi untuk anak-anak.

Nak tau aktiviti-aktiviti lain yang boleh dicuba di KidZania, rujuk peta lengkap di SINI



21 July, 2015

Salam Aidilfitri 2015

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Salam Aidilfitri, maaf zahir batin dari kami sekeluarga buat semua yang mengenali kami. Maaf atas segala keterlanjuran perkataan mahupun perbuatan. Mohon dihalalkan yang termakan dan terminum. Mohon dihalalkan segala hutang piutang jika ada.. (bab nak halalkan hutang ni payah la kot... haha)


~ Tahniah buat Angah yang berjaya puasa penuh tahun ni. Aina pulak baru belajar puasa setengah hari, itupun bila hari cuti je, masa kat sekolah tadika tak larat katanya. Along pulak dah masuk tahun ke-3 dia puasa penuh.

~ Tahun ni giliran beraya rumah mertua di Ipoh. Tak begitu meriah kali ni kerana raya pertama kebanyakan ipar duai beraya dulu di rumah mertua masing2.

~ Malamnya lepak di Dataran KTM Ipoh... waktu malam memang meriah kat sini dengan aktiviti main kasut roda dan skuter kecik. Kasut roda boleh disewa RM5 sejam manakala skuter kecik RM10 selama 20 minit. Kalau jatuh terseliuh boleh juga urut kaki kat sorang tukang urut yang selalu lepak sini, harga cuma RM10 selama setengah jam. Kat Dataran KTM ni juga ada air pancut dengan lampu berwarna-warni menambahkan lagi suasana 'happening' kat sini.

~ Petang raya kedua, balik ke rumah kami di Sg Buloh... balik menjenguk kucing2.

~ Raya ketiga hingga kelima baru balik Pahang kampung koi yg tercinta... hihi. Raya2 pun sempat masuk dusun kutip durian.

~ Alhamdulillah tahun ni tak terperangkap dalam trafik jem!

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.


14 June, 2015

Mendaki Gunung Mulu & Pinnacles, Sarawak

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Log XPDC Mendaki Gunung Mulu & Pinnacles: 5-13 Jun 2015 

Line up 9 orang: Sham Castello, Abg.Haris, Mongkut, Leong, Hamdan, Fuzzy, aku serta dua gadis sebagai penyeri, Aisya & Azimah.

*Innalillahi wainna ilaihi raaji'uun. Salam takziah buat keluarga semua 18 pendaki yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di Gunung Kinabalu, Sabah pada jam 7.15 pagi, 5 Jun 2015, hari yang sama kami berangkat ke Miri. Siapa sangka Sabah boleh kena gempa bumi kuat.
*Catatan masa adalah berdasarkan masa aku yang jalan santai2 je. Yang laju pastilah sampai lebih awal.
*Masa di Mulu lebih kurang awal sejam berbanding semenanjung. Subuh kat sini 4.50am, pukul 6.00am dah cerah kat sini.
*Aku tak banyak ambil gambar pun, cuma menumpang kasih kat kamera canggih orang lain. Terima kasih kepada Aisya, Fuzzy, Hamdan, Abg.Haris & Leong yang sudi belanja gambar... hihi.


4 JUN 2015 (KHAMIS)
8.00pm – Perjumpaan team xpdc bersama abg. gogo Sham Castello @ Restoran Half Moon, Serdang.
~ pekena nasi arab, briefing, agihan rations & tshirt.


HARI PERTAMA;  5 JUN 2015 (JUMAAT)
KLIA2 - Miri 
4.10pm – Berlepas ke Miri (AirAsia). Yang lain2 dah gerak pagi & tengahari tadi.
6.20pm – Tiba di Miri Airport. Sama flight dengan Azimah & Hamdan rupanya. Check in Miri Trail Guesthouse... bangunannya kat seberang airport je.
9.00pm - Naik teksi ke bandar Miri. Dinner ramai2@Rest.Muara - menu specialnya nasi lalapan, lebih kurang macam nasi ayam penyet tapi boleh tukar lauk ayam/daging/keli/bawal dsb.
10.00pm- sempat layan Midnite Busker nyanyi kat seberang jalan depan restoran ni. Lepas tu balik Miri Trail Guesthouse tumpang kereta yang disewa Fuzzy & Aisya.

nasi lalapan@restoran muara, miri


HARI KE-2;  6 JUN 2015 (SABTU)
Miri - Mulu Park HQ - Lang Cave & Deer Cave 
6.30am - Sarapan mee kolok kat restoran bawah Miri Trail Guesthouse.
9.00am – Berlepas ke Mulu naik Maswings 64-seater ATR.
9.20am – Tiba di Mulu Airport.
~ naik van ke Mulu Park HQ. RM 5 per pax (5 minit je dah sampai.. boleh jalan kaki je kalau sanggup)
~ sampai pejabat Mulu Park HQ, register kemudian dipakaikan gelang yang kena pakai sepanjang berada kat Mulu ni. Bangunan pejabat ni sekali dengan kafe, kedai souvenir dan muzium mini.
~ Check in hostel Tongkat Ali, lengkap dengan katil (siap selimut & tuala), shower (ada water heater), pantri (ada cerek, cawan & pinggan). Nak masak maggi boleh la, nak makan berat kena pergi kafe.
~ Asingkan barang2 & rations yang nak dibawa untuk naik G.Mulu dan ke Pinnacles. Barang yang tak diperlukan boleh disimpan kat stor Mulu Park HQ. Selamat, tak perlu bayar dan paling penting meringankan sikit beban nak kena pikul.
12.00pm - lunch makan maggi je... malas nak ke kafe. Lepas makan terlelap kejap.
2.30pm – Trekking ke Lang & Deer Cave. Guide: Henry (etnik Penan). Aktiviti santai2 menjelajah gua sambil menikmati keindahan stalagtite & stalagmite sambil menghidu harumnya bau guano.
5.30pm - bergegas keluar gua menuju pelantar khas untuk tengok kelawar... lama juga lepak menunggu.
6.00pm – menjelang senja, tengok berjuta-juta kelawar keluar cari makan dari dalam Deer Cave (bat exodus). Membentuk formasi menarik tak putus2.
6.20pm - Kelawar belum habis keluar, kami balik ke Mulu Park HQ, jauh lagi nak jalan 3km ni.
7.30pm – Dinner sendiri2 kat kafe. Harga boleh tahan... Nasi goreng mamak RM11.50 + milo panas RM3.50.
8.30pm – Briefing oleh guider, Peter (etnik Lunbawang) & Suki (Penan).

1. sarapan dulu   2. ini 64-seater maswings atr, bukannya bas    3. sampai airport mulu   4. riang sungguh mereka        5.sampai2 je wajib bergambo kat signboard dulu

1. hostel tongkat ali   2. menuju gua   3. dalam deer cave   4. hiasan gua   5. gua di pintu gua   6.menuju pelantar khas 7.menunggu kelawar   8. akhirnya keluar juga dia


HARI KE-3;  7 JUN 2015 (AHAD)
Mulu Park HQ - Camp 1 - Camp 2 - Camp 3 (13.9 km)
7.30am – Sarapan disediakan di kafe. Tapi dah makan bubur segera + kopi 3in1 kat hostel tadi... nasi lemak tu aku tapau untuk lunch nanti.
8.30am – Start trekking. Trek landai je.
9.20am – Tiba di Paku Waterfall... air terjun yang unik sebab keluar dari dalam gua... Take 5.
10.15am – Menyeberangi sungai besar pertama.
11.15am – Menyeberangi sungai besar ke-2 (antara 2 sungai ni akan melintasi beberapa anak sungai lain)
11.30am – Tiba di Camp 1.
~ Ada sungai  kat sini. Kem ni lengkap dengan pondok, peralatan memasak & sleeping mat tebal.
~ lunch nasi lemak kat sini.
12.20pm – Sambung trekking. Trek turun naik.
1.50pm – Tiba Camp 2. Kem ni cuma kawasan lapang. Ada punca air di sini.
2.40pm – Sambung trekking: Trek masih turun naik bukit.
3.00pm - solat jamak zuhur dan asar.
3.10pm - teruskan perjalanan, trek dah mula pacak.
6.25pm – sempat juga sampai campsite Camp 3 (1350m/4429ft d.p.l) sebelum gelap.
~ Mandi, solat. Kem ni ada tangki tadahan air hujan. Lengkap dengan bilik air, pondok, peralatan memasak, dapur gas & pinggan mangkuk.
~ Menu dinner: Nasi putih, daging salai masak lemak, sayur tumis bendi.
~ adehh... kat sini pulak gigi nak sakit... seksa nak kunyah daging...
~ Dari Mulu Park HQ ke Camp 3...awas... banyak pacat berkeliaran.

1. nasi lemak & bot   2. nikmatnya makan tepi sungai   3. suasana kat kafe   4. baru lepas briefing  5. trekking bermula  6.paku waterfall
1. cross sungai pertama   2. cross sungai kedua   3. check pacat   4. pondok di camp1   5. dalam camp1   6.pondok di camp3



HARI KE-4;  8 JUN 2015 (ISNIN)
Camp 3 - Camp 4 (4.8 km)
7.00am – Sarapan: kueyteow goreng, kopi O & tapau nasi+sambal ikan bilis untuk lunch.
8.30am – Start trekking: Trek campur2 pacak, turun naik & landai. Trek berlumut cantik... mossy forest.
~ Jalan santai2 je... pantang jumpa port baik mesti berhenti lepak. Layan si Mongkut berasap & Leong berkabus... haha.
12.20pm - berhenti lunch & buka dapur haram pekena air neslo panas... nikmat betul 
2.00pm - sampai Camp 4 (1823m/5980ft d.p.l). Suhu agak sejuk dan berkabus kat sini ditambah pulak bila angin bayu/angin lalu bertiup.. Mungkin sebab tu pondok kat sini dindingnya bertutup habis.
~ Ada tangki tadahan air hujan dan bilik air.
~ Tak jauh di belakang pondok ada helipad. Dari helipad ni kalau cuaca cerah boleh nampak puncak G. Mulu, G.Benarat, G.Api dan airport Mulu.
4.00pm - Mandi, solat & borak. Banyak masa lepak sini sementara tunggu awal pagi esok nak naik puncak.
6.00pm- dinner: nasi putih, kari sardin, sambal terung goreng & sambal kicap. Tidur awal... hujan sepanjang malam tapi entah kenapa tidur tak berapa lena.

1. mossy forest  2. nephentes lowii banyak di sini   3. komplot dapur haram   4. pondok di camp4   5. helipad yang berkabus  6.hidangan malam



HARI KE-5;  9 JUN 2015 (SELASA)
Camp 4 - Puncak G.Mulu - Camp 4 - Camp 3 (10.8 km)
3.20am – Kuatkan semangat bangun di awal pagi yang dingin... misi ke puncak... daypack je. Trek turun naik kemudian pacak. 
5.20am – sampai puncak tipu 1... trek dari sini memang azab pacaknya. Kena banyak pakai tali dan berpaut pada akar pokok.
5.55am – sampai puncak tipu 2... ada kawasan lapang. Hari dah nak siang, solat subuh sini. Boleh nampak puncak Mulu dari sini. Ikut trek permatang.
6.10am – Alhamdulillah... berjaya sampai di puncak G.Mulu (2376m/7795ft d.p.l).
~ Ada pondok kecik, beirut yang dah tumbang dan tiang pemancar radio.
~ jalan ke depan sikit ikut lorong tikus cari port baik untuk tengok sunrise. Subhanallah... malam tadi hujan sepanjang malam... pagi ni cuaca cukup cerah. Suhu 18'C.
~ View 360º. Dari puncak boleh nampak G.Api, G.Benarat, G.Buda, G.Murud & Bukit Batu Lawi.
~ Tahniah buat Leong & Mongkut yang berjaya grad G12 kat sini...
7.10am – Sejam di puncak, cukup puas hati, gerak turun semula ke Camp 4. Azab nak naik... azab juga nak turun... adehhh... memang tangkap lutut punya. Amalkan teknik turun gostan, turun ketam & berpaut kat pokok untuk mengurangkan tekanan pada lutut.
9.00am – Tiba di Camp 4, sarapan mi goreng. Tapau nasi lauk sambal ikan bilis untuk lunch. Berkemas untuk turun semula ke Camp 3.
10.55am - gerak turun santai.
3.00pm – Tiba di Camp 3 - Mandi, solat & rehat.
6.00pm - Dinner: menu nasi putih, sambal paru, sayur suhun+kobis, kopi O. Dari petang tadi hujan sampai ke malam.

pemandangan & aksi di puncak gunung mulu


HARI KE-6;  10 JUN 2015 (RABU)
Camp 3 - Camp 1 - Mulu Park HQ (13.9 km)
6.00am – Sarapan nasi goreng sambal paru lebihan lauk semalam & kopi O. Tapau nasi untuk lunch.
9.00am – Mula trekking turun ke Mulu Park HQ.
11.00am – Tiba di Camp 2, terus je tak singgah.
12.00pm – Tiba di Camp 1, mandi sungai & lunch. Jumpa group mat saleh dari  South Africa 2 orang baru nak naik ke puncak Mulu. 1 couple dari France patah balik sebab awek tu injured dagu terbelah sikit... jatuh masa cross sungai.
12.50pm – Sambung trekking dalam hujan.
1.30pm – Menyeberangi sungai besar 2.
1.53pm – Menyeberangi sungai besar 1.
2.20pm - Sampai Paku waterfall. Air terjun yang asalnya 1 dah jadi 3 sebab hujan. Lepak sini 20 minit.
3.40pm - Tiba di Mulu Park HQ... Alhamdulillah semua selamat. Lepak di kafe. Line hp takde kat Mulu Park ni, terpaksa bayar RM5 untuk wifi selama 12 jam... dapat la tau perkembangan famili & dunia luar. Lepas tu balik hostel yang sama.
6.00pm – Dinner sendiri2 di restoran luar Mulu Park, Cave'fe de Mulu....makan nasi ayam pansoh RM13.
9.00pm – Agih ration untuk trip ke Pinnacles esok.

1. babai camp3...kata aisya yg tak sabar2 nak balik mulu park   2. sampai camp1   3. mandi sungai kat camp1   4.berendam sekejap kat paku waterfall


HARI KE-7;  11 JUN 2015 (KHAMIS)
Mulu Park HQ - Wind Cave & Clearwater Cave - Bt Bungan - Kuala Litut (10.9 km -naik bot)
Kuala Litut - Camp 5 (9.2 km)
5.30am – Mandi, solat & sarapan nasi lemak kat cafe. Misi ke2 mendaki Pinnacles bermula. Line up tinggal 8 orang, Mongkut balik KL hari ni, malas nak repeat Pinnacles katanya.
9.15am – Naik bot menyusuri Sg. Melinau ke Kuala Litut, satu bot 4 orang.
~ singgah Batu Bungan.. perkampungan kaum Penan... ada pasar kraftangan boleh shopping & boleh asah skill menyumpit di sini.
~ teruskan perjalanan, singgah menjelajah Wind Cave & Clearwater Cave (Guide: Esther- etnik Berawan)
~ lepas keluar gua, lepak mandi sungai yang jernih, punca airnya keluar dari dalam Clearwater Cave.
1.00pm – teruskan perjalanan dengan bot. Nampaknya penumpang bot depan yang lebih muatan kena turun tolak bot sebab air sungai cetek... bot kami terselamat mungkin sebab lebih ringan.
1.37pm – Sampai di Kuala Litut.
1.51pm – Mula trekking ke Camp 5. Trek landai & santai... Dalam 1 km trekking sampai Kuala Berar, kena lalu 2 jambatan gantung menyeberangi sungai besar. Jalan berempat dengan Fuzzy, Aisya & Azimah. Abg guide si Gary follow belakang. Geng Santai dah dibubarkan.. aku masuk Geng Kipas pulak.. haha.
4.20pm – Sampai Camp 5 yang terletak di tengah-tengah antara G.Api & G.Benarat.
~ Makan bihun sup panas2 +  kicap cili padi kow2. Tak sempat lunch tadi, bila dah lapar makan apa pun sedap.
~  Ada sungai boleh mandi-manda kat sini... sambil mandi layan pulak maggi cup tepi sungai memang heaven rasanya...
~ Kat sini ada bangunan kayu dengan bilik2 yang lengkap dengan sleeping mat tebal. Boleh juga sewa kelambu RM10.
~ Ada pantry yang besar boleh masak berjemaah, lengkap dengan dapur gas, peralatan memasak & pinggan mangkuk.
~ Ada bekalan elektrik (guna solar & generator). Tapi taklah cukup power untuk charge bateri kamera / hp kat sini. Bilik air pun ada. Memang selesa sangatlah lepak kat Camp 5 ni.
6.30pm – Briefing oleh guider; Undi & Gary (kedua-duanya etnik Iban) tentang keadaan pendakian esok.
8.00pm- Dinner: nasi putih lauk masak lemak nenas ikan masin, sayur kacang botor berfungus, papadom & air kundur.
10.00pm- tidur awal untuk pendakian Pinnacles esok. Hujan sepanjang malam, harap pagi esok cerah macam naik puncak G. Mulu.

1&2.wefie dulu sebelum naik bot  3.bot berlepas   4.azimah sengih je lebih belinya tak@bt bungan   5&6.mari menyumpit   7.di kg bt bungan berlatarbelakangkan gunung benarat

1.di pintu gua angin   2.laluan menuju clearwater cave   3.penunggu gua   4.r&r di pintu masuk clearwater cave   5.view dalam clearwater cave   6.clearwater river

1.geng tolak bot   2.on the way dari kuala litut   3.sampai camp5   4.sungai di depan camp5   5.awas banyak lebah penghisap peluh   6.pekena megi cup tepi sungai   7.chef leong masak penuh gaya   8&9.dinner sedaapp



HARI KE -8;  12 JUN 2015 (JUMAAT)
Camp 5 - Mini Pinnacles - Pinnacles - Camp 5 (5.8 km)
5.00am – Alhamdulillah cuaca baik. Sarapan bihun sup macam semalam atas permintaan ramai & masak nasi goreng, tapau untuk lunch. Guide kata kena bawa sekurang-kurangnya 3 liter air minum.
~ Team tambah lagi 3 orang mat saleh; Julian & Alice, couple dari Paris yang sedang honeymoon (yang kami jumpa kat Camp 1, patah balik tak jadi naik G.Mulu pasal si Alice injured jatuh kat sungai). Sorang lagi kalau tak silap namanya Greg, solo hiker dari London yang dah sebulan menjelajah Borneo ni... friendly diorang ni.
6.30am – Start trekking, daypack je. Trek mencanak penuh dengan batu-batu tajam. Pakai kasut getah & sarung tangan langkah terbaik.
7.20am – sampai Mini Pinnacles. Take 5.
~ Separuh perjalanan (1.2km/ 645m d.p.l) guide suruh tinggal air separuh, bekalan masa turun nanti.
9.05am – Sampai di tangga pertama, semua sekali ada 17 tangga kena panjat. Kata guide... siapa yang sampai tangga pertama ni lebih dari pukul 11.00am tak dibenarkan naik ke Pinnacles sebab faktor keselamatan... dikhuatiri tak sempat balik ke Camp 5 sebelum malam. Jalan malam di kawasan berbatu tajam sangat berbahaya.
9.45am – Alhamdulillah... berjaya tiba di Pinnacles (1200m/3937 ft d.p.l).
~ Pinnacles sebenarnya merupakan sebahagian daripada Gunung Api (1750m/5740ft d.p.l). Kata guide, tiada trek ke puncak G.Api kerana bentuk muka bumi yang agak ekstrim dan bahaya, katanya lah.
~ Subhanallah, indahnya view Pinnacles walaupun cuaca agak berkabus. Lunch & bergambar sakan.
~ kat puncak Pinnacles ni ada line hp.. sekali on data beribu mesej whatsapp masuk...
11.10am – Gerak turun semula ke Camp 5.
12.55pm - sampai Mini Pinnacles.
1.50pm – Sampai Camp 5... sampai2 terus hujan. Mandi sungai + rehat... aktiviti bebas.
7.30pm – Dinner besar-besaran meraikan kejayaan misi dan nak menghabiskan ration: Nasi putih, sambal sardin, telur mata masak sambal, sayur kangkung, papadom & keropok ikan. Ajak kawan baru mat saleh 3 orang tu makan sekali. Memang meriah.
~ Dari petang sampai ke malam hujan. Lena betul tidur atas sleeping mat tebal tu.

1.boleh tinggal air di sini   2,3&4.antara trek pacak yang perlu dilalui   5.pinnacles sebelum dilitupi kabus
aksi2 di puncak pinnacles   1.lunch@pinnacles   2&3.dinner makan besar



HARI KE-9;  13 JUN 2015 (SABTU)
Camp 5 - Kuala Litut (9.2 km)
Kuala Litut - Mulu Park HQ (10.9 km -naik bot)
Mulu Park HQ - Miri - KLIA2 
~ Hari terakhir di Sarawak.
5.30am – Solat subuh dan sarapan. Lebihan ration diwakafkan kepada guider kat Camp 5.
8.30am – Sempat berpoco-poco sebelum meninggalkan Camp 5. Kemudian start trekking (berlari sebenarnya) balik ke Kuala Litut sejauh 9km.
10.03am – Sampai Kuala Litut & naik bot ke Mulu Park HQ.
10.36am – Tiba di Mulu Park HQ (sampai awal sebab air sungai naik akibat hujan malam tadi dan kami tak perlu menolak bot)
~ bersihkan diri & berkemas di hostel.
12.00pm – Naik 4WD depan Mulu Park HQ ke airport. Check in luggage & solat jamak zuhur & asar kemudian lepak cafe.
2.40pm – Naik flight Maswings ke Miri.
3.00pm – Sampai Miri Airport.
~ lepak makan laksa sarawak di restoran berdekatan Miri Trail Guesthouse.
6.00pm – Balik semula ke airport Miri. Lepak.
9.45pm – Berlepas ke KL (Flight asal 9.05pm tapi delay setengah jam)
11.55pm - Tiba dengan selamat di KLIA2.
Alhamdulillah...xpdc tamat dgn jayanya.

selamat tinggal mulu


Awesome trip & line up. Tahniah buat semua. Terima kasih atas segalanya. Maafkan segala keterlanjuran atau gurauan yang terkasar. Jumpa lagi.


12 June, 2015

Memey dah beranak

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera. 

~ Memey... kucing yang dipungut tepi jalan dan kami bela dari kecik. Pernah 'hilang' seketika tapi tiba-tiba balik ke rumah 6 bulan kemudian.

~ Akibat pergaulan bebas dengan jantan-jantan kurap di luar sana, hari ni Memey dah beranak 4 ekor tapi sekor pun takde kaler macam dia. Seronok betul si Along, Angah & Aina dapat main dengan anak kucing. Sekarang dah ada 6 ekor kucing kat rumah ni termasuk Gebu.


~ Walaupun tak menyaksikan kelahiran mereka kerana berada di Sarawak, pening juga aku memikirkan macam mana kami nak hidup bersama dalam apartment kami yang kecik ni... hihu. Nampaknya nak kena spay jugak si Memey lepas ni. Perlu ke... memey arr...
Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...