INFO: Bukit Kutu terletak di Kuala Kubu Bharu (KKB), Hulu Selangor. Timbul kekeliruan tentang ketinggian sebenar bukit ini dari paras laut sebab melalui carian google malah pada papan tanda di puncak bukit juga ketinggiannya berbeza-beza. Ada yang kata ketinggiannya 1053 meter (3455 kaki), ada yang kata 1090 meter (3576 kaki) dan ada yang kata 1100 meter (3609 kaki). Tapi aku anggap ketinggiannya adalah 1053 meter berdasarkan papan tanda terbesar yang ada di puncak Bukit Kutu ni... haha. Disebabkan ketinggiannya yang melebihi 1000 meter, ramai pendaki menganggap bukit ni dah boleh dianggap gunung.
~ Pendakian bukit ni bermula dari Kg. Orang Asli Pertak, mengambil masa lebih kurang 4 jam, manakala perjalanan turun kira-kira 2 jam. Info selanjutnya di SINI.
~ Pada 27-28 September 2014, aku menyertai trip mendaki Bukit Kutu yang dianjurkan oleh Putrajaya Adventure Team (PAT) yang diketuai oleh Cif Pendaki Putrajaya. Biasanya orang pergi balik hari (dayhike) je tapi kali ni kami merancang untuk berkhemah di puncak... nak layan pemandangan sunset dan sunrise. Ini catatan ringkas perjalanan kami.
PESERTA: Hanya 10 orang pendaki... Cif, Abs Leo, Pak Atan dan anaknya Alang (peserta termuda berumur 12 tahun), Uncle Danny (peserta tertua berumur 63 tahun), Opie, Fakha, Fuad, Shahrul dan aku. Kesemuanya jantan-jantan perkasa. Bagi sesetengah orang mungkin rasa tak meriah tanpa kehadiran gadis-gadis, tapi bagi aku ok jer.. hehe.
27 September (Sabtu)
8.00 AM ~ berkumpul sambil bersarapan di Restoran Fazlina Maju, KKB. Tapau barang keperluan apa yang patut di sini.
10.00 AM ~ bergerak ke tempat permulaan di Kg Orang Asli Pertak. Sempat singgah bergambar di Empangan Sungai Selangor yang semakin kering airnya. Sampai di tempat permulaan, agihkan ration dan barang keperluan serta mendengar taklimat ringkas dari Cif.
11.30 AM - memulakan pendakian. Trek permulaan melalui jalan landai sahaja dan perlu melintasi sungai 3 kali. Lintasan pertama dan kedua melalui dua jambatan besi (jambatan kedua telah roboh tapi masih boleh dilintasi dengan berhati-hati). Lintasan ketiga perlu meredah sungai. Lepas tu barulah jumpa trek hutan dan mula mendaki. Treknya taklah terlalu sukar kecuali di beberapa tempat agak licin kalau hujan, terpaksa merangkak di bawah rimbunan buluh tumbang dan banyak lebah di beberapa tempat rehat. Dalam perjalanan ke puncak terdapat dua buah gua iaitu Gua Air (terdapat sumber air mengalir dalam gua, boleh top up air di sini) dan Gua Kambing atau disebut juga sebagai Batu Tedung (kawasan berbongkah batu besar yang cantik).
6.50 PM ~ Selamat sampai di tapak perkhemahan, sebuah kawasan lapang berdekatan puncak. Khabarnya kawasan lapang ni adalah bekas runtuhan rumah rehat pegawai-pegawai British semasa zaman penjajahan dulu. Akibat dibom tentera Jepun, yang tinggal cuma dua buah perigi (salah satunya masih boleh digunakan), tangga batu dan menara cerobong asap... sejarahnya boleh rujuk di SINI. Perjalanan yang biasanya cuma 4 jam dah jadi 7 jam disebabkan kami banyak kali berhenti rehat dan mendaki dengan langkah yang sangat santai... hehe. Sempat memasang khemah (ground n fly sheet) sebelum hari gelap. Cuaca berkabus maka tak dapatlah nak tengok pemandangan matahari terbenam di puncak.
8.00 PM ~ Makan malam dengan roti tortilla yang disediakan oleh Cif. Lepas makan sempat buat sesi ice-breaking memandangkan kami cuma 10 orang jadi taklah makan masa lama sangat. Suhu malam yang sejuk dan nyaman membuatkan mata cepat layu....zzzzzz
di Empangan Sungai Selangor
pemandangan sepanjang perjalanan
gambar paling rare... akupun tensen kalau jadi ular kapak ni...
nak rilek2 pun tak senang...hihi
di Gua Kambing... khabarnya orang asli pernah nampak kambing di sini
28 September (Ahad)
~ Lepas subuh, naik ke puncak Bukit Kutu yang taklah berapa jauh dari campsite... lebih kurang 5 minit mendaki. Perlu mendaki set tangga yang agak tinggi dan menegak. Puncaknya terdiri dari bongkah batu yang sempit, cuma boleh memuatkan 4-5 orang. Kalau ramai kena bergilir-gilir la nampaknya. Sangat perlu berhati-hati di puncak ni kerana di sekelilingnya gaung yang sangat dalam... kalau terjatuh insya Allah meninggal. Kalau gayat sebaiknya duduk je jangan berdiri.
campsite kami dari pertengahan trek ke puncak
hati-hati di puncak ni... utamakan keselamatan
dah macam tugu negara pun ada
mohon terus diberikan kekuatan untuk menikmati keindahan alam ciptaan-Nya
~ Pagi ni cuaca baik cuma sedikit berjerebu, jadi dapatlah menikmati pemandangan matahari terbit yang cukup indah. Dari puncak boleh nampak pemandangan 360 darjah, boleh nampak empangan, bandar KKB serta banjaran gunung-ganang seperti Gunung Rajah dan Gunung Ulu Semangkuk.
indahnya sunrise di puncak Bukit Kutu
~ Dah puas menikmati keindahan alam ciptaan-Nya, turun semula dan trekking kira-kira 5 minit menuju satu lagi kawasan tinggalan banglo lama. Banglo yang kedua ni masih nampak bentuknya, ada tangga, pintu dan bilik-bilik. Ada versi cerita yang mengatakan ini runtuhan sebuah klinik/hospital untuk pesakit kusta... entahlah. Lepas bergambar balik semula ke campsite untuk bersarapan seterusnya berkemas untuk balik.
bergambar di chimney sebelum balik...
~ Perjalanan turun cuma memakan masa lebih kurang 2 jam lebih. Tengah hari sampai di tempat permulaan, jumpa sungai berendam dulu la untuk menyegarkan badan. Lebih kurang jam 3.00 pm kami bergerak ke parking kereta dan balik ke bandar KKB. Lepak makan nasi di Restoran Fazlina Maju lagi seterusnya pulang ke destinasi masing-masing.
~ Terima kasih kepada semua peserta yang bekerjasama menjayakan trip ni dan ribuan terima kasih kepada penganjur team P.A.T khususnya Cif Pendaki Putrajaya yang banyak berkongsi ilmu.
Kredit kepada tuan punya gambar:
~ Cif Pendaki Putrajaya dengan kamera GoPro-nya
~ Opie (Fazrils Zulkarnain) dengan DSLR-nya
























