Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Al-Qur’an merupakan Kalam Allah yang mengandungi lebih daripada 6000
ayat. Al Qur’an akan memuliakan sesiapa yang beramal dengan kandungannya. Terdapat
sebahagian daripada kita yang mampu menghafal keseluruhan daripada ayat-ayat al-Qur’an
ini. Sudah tentu para hafiz dan hafizah ini bukan sebarang orang. Apakah penghormatan Allah kepada
para penghafaz ini? Bagi para penghafaz al-Qur’an mereka mendapat kemuliaan di
dunia dan akhirat.
 |
| kredit gambar dari SINI |
Kelebihan di dunia
1. Sebaik-baik dan semulia-mulia manusia
ialah yang belajar dan mengajar Al-Quran. Nikmat mampu menghafal al-Qur’an sama dengan nikmat kenabian. Cuma bezanya
ia tidak mendapat wahyu.
“Barangsiapa yang membaca (hafal) al-Qur’an, maka
sungguh dirinya telah menaiki darjat kenabian, hanya saja tidak diwahyukan
kepadanya.” (Riwayat Hakim).
Al-Qur’an menjanjikan kebaikan, barakah dan
kenikmatan bagi penghafalnya “ Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari
al-Qur’an dan mengajarkannya (Riwayat Bukhari dan Muslim).
2. Seorang yang hafal al-Qur’an lebih
disayangi dan dihargai oleh Rasulullah s.a.w. Sabda Rasulullah s.a.w:
"Daripada Jabir Bin Abdullah ra. Bahawa Nabi s.a.w menyatukan dua orang
daripada orang-orang yang gugur dalam perang Uhud dalam satu liang lahad.
Kemudian Nabi s.a.w. bertanya, "dari mereka berdua siapakah paling banyak
hafal al Qur’an?" Apabila ada orang yang dapat menunjukkan kepada salah
satunya, maka Nabi s.a.w memasukkan mayat itu terlebih dahulu ke liang
lahad." (Riwayat Bukhari).
3. Kepada hafiz al-Qur’an, Rasul menetapkan
bahawa ia berhak menjadi Imam solat berjamaah. Rasulullah S.A.W bersabda “ Yang
menjadi Imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya” (Riwayat Muslim).
4. Barangsiapa yang beramal dengan al-Qur’an
maka akan terselamat dari kesesatan di dunia dan kesusahan di akhirat. Hatinya
juga sentiasa aman tenteram. Daripada Abdullah bin Mas‘ud r.a., Nabi s.a.w. bersabda
yang bermaksud: “Bacalah al-Qur’an kerana Allah tidak akan menyeksa hati orang
yang menghafal al-Qur’an. Sesungguhnya al-Qur’an ini hidangan Allah, sesiapa
yang memasukkannya, ia akan aman. Dan sesiapa yang mencintai al-Qur’an, maka
hendaklah ia bergembira.” (Riwayat al-Darimi)
5. Hafiz al-Qur’an adalah keluarga Allah
yang berada di atas bumi. “ Sesungguhnya Allah mempunyai keluarga di antara
manusia, para Sahabat bertanya, “Siapakah mereka Ya Rasulullah ? Baginda
menjawab: “Iaitu ahli al-Qur’an (orang yang membaca atau menghafal al-Qur’an
dan mengamalkan isinya). merekalah keluarga Allah dan orang yang istimewa bagi
Allah.” (Riwayat lbn Majah)
6. Menghormati seorang hafiz al-Qur’an
bererti mengagungkan Allah. Sabda rasulullah s..a.w "Di antara perbuatan mengagungkan Allah
adalah menghormati Orang Islam yang sudah tua, menghormati orang yang menghafal
al-Qur’an yang tidak berlebih-lebihan dalam mengamalkan isinya dan tidak
membiarkan al-Qur’an tidak di amalkan, serta menghormati kepada penguasa yang
adil." (Riwayat Abu Daud).
Kelebihan di Akhirat
1.Al-Qur’an akan menjadi penolong (Syafaat)
bagi penghafal al-Qur’an. Dari Abu Ummamah RA ia berkata,”Aku mendengar
Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu al-Qur’an, sesungguhnya ia akan
menjadi pemberi Syafaat pada hari kiamat bagi para pembacanya (penghafalnya)”.
(Riwayat Muslim).
2.Hafiz al-Qur’an juga dapat memberi
syafa’at untuk masuk syurga kepada 10 orang dari ahli keluarganya yang telah
wajib masuk neraka. Mafhum sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa membaca al-Qur’an
dan menghafalnya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dan
memberikannya hak syafaat untuk 10 orang anggota keluarganya yang mereka
semuanya telah ditetapkan untuk masuk neraka.” (Riwayat al-Tirmizi dan
al-Nasa’i)
3. Menghafal al-Qur’an akan meninggikan
darjat manusia di Syurga. Darjat dan tingkatan syurga untuk ahli al-Qur’an
ialah sebanyak mana ayat yang dibaca sewaktu di dunia. Daripada Aisyah r.ha.,
Rasulullah s.a.w. bersabda, mafhumnya: “Jumlah tingkatan—tingkatan syurga sama
dengan jumlah ayat-ayat al-Quran. Maka tingkatan syurga yang dimasuki oleh penghafal
al-Quran ialah tingkat yang paling atas, tidak ada tingkat lagi sesudah itu.”
(Riwayat al-Baihaqi dan al-Hakim)
4. Para penghafal al-Qur’an akan bersama
para Malaikat yang mulia dan taat. “ Dan perumpamaan orang yang membaca
al-Qur’an sedangkan ia hafal ayat-ayatnya bersama para Malaikat yang mulia dan
taat (Muttafaqun alaih).
5. Manusia yang paling dicintai Allah ialah
mereka yang paling pandai dalam ilmu al-Qur’an.
6.Hafal al-Qur’an adalah bekalan yang
paling baik di akhirat. Sabda rasulullah s.a.w: "Daripada Jabir bin
Nufair, katanya rasulullah s.a.w. bersabda; "Sesungguhnya kamu tidak akan
kembali menghadap Allah dengan membawa sesuatu yang paling baik daripada
sesuatu yang berasal daripada-Nya iaitu al-Qur’an”.
7. Pendamping al-Qur’an akan dipakaikan
mahkota dan pakaian kemuliaan dan akan mendapat keredhaan dari Allah Ta’ala,
begitu juga kedua orang tuanya. Sesiapa yang membaca al-Qur’an, membacanya,
mempelajarinya dan mengamalkannya maka dipakaikan mahkota dari cahaya pada hari
kiamat. Cahayanya seperti cahaya matahari dan kedua orang tuanya dipakaikan dua
jubah (kemuliaan) yang tidak pernah didapatkan di dunia. Keduanya bertanya,
“Mengapa kami dipakaikan jubah ini? Dijawab,”Kerana kalian berdua memerintahkan
anak kalian untuk mempelajari al-Qur’an.” (Riwayat al-Hakim).
Begitulah kemulian yang diberikan kpd para
penghafaz al-Qur’an. Kemungkinan sebahagian besar umat Islam bukan penghafaz
al-Qur’an. Maka kita mesti perlu bercita-cita untuk menjadikan salah seorang
dari keturunan kita (termasuk anak atau cucu) untuk menjadi penghafaz
al-Qur’an. Insyaa Allah niat kita akan dimakbulkan oleh Allah SWT.