PTT Outdoor

23 August, 2014

Mendaki Gunung Angsi

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Seminggu lagi menjelang trip hardcore mendaki Gunung Chamah & Ulu Sepat, hanya sempat jogging dua kali dan training di Gunung Angsi, Negeri Sembilan (ketinggian 825 meter/2076 kaki). Bersama-sama Along, Angah, Kecik, Faliq & Jiha carpool sekereta, kami mendaki ikut trek dari kawasan perkelahan Hutan Lipur Ulu Bendul yang jaraknya ke puncak sejauh lebih kurang 6km. Kalau ikut satu laluan lagi dari Bukit Putus, jarak perjalanan kurang separuh iaitu kira-kira 3km. Dah alang2 nak training baik ikut yang jauh terus.

Kami mula mendaki dengan santai pada jam 10.00 pagi menyusuri trek yang agak landai di tepi sungai. Selepas kira2 sejam kami sampai di Kem Tangga Batu (atau nama glamernya Jeram Kak Lang...). Dari sini kena lintas sungai dua kali. Bila jumpa marking '60 minit ke puncak' barulah trek agak mencanak. Si Angah tiada masalah cuma si Along seperti biasa perlu diberi banyak kata2 perangsang... almaklumlah badan makin subur.

 
Tak berapa jauh dari puncak kami terpaksa melalui Bukit Botak, kawasan tebing yang licin dan curam... mujurlah ada disediakan tali utk memanjatnya. Kami sampai di puncak hampir jam 2.00 petang. Hanya ada 5-6 orang pendaki lain yg kami jumpa di puncak. Berehat sebentar di puncak sambil menikmati bihun goreng dan cempedak goreng yang dimasak oleh ibu mereka subuh2 tadi.

Jam 2.30 petang kami turun semula. Ketika dah nak hampir sampai, hujan turun agak lebat. Sempat mandi sungai sekejap membersihkan diri. Lepas tu lepak makan di Medan Selera Hutan Lipur Ulu Bendul. Lepas maghrib baru bergerak balik KL.

Alhamdulillah, tamatlah trip latihan di Gunung Angsi. Tahniah buat Along & Angah.

19 August, 2014

Al-fatihah buat Mokde

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Salam takziah buat sepupu-sepupuku di atas pemergian Mokde (23.11.1949-18.08.2014). Setelah lama menderita sakit, semoga arwah tenang di sana. Al-fatihah.

 "Tiap-tiap yang bernyawa akan merasakan mati.
Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan." - (Ali Imran:185).

31 July, 2014

Catatan Perjalanan Julai 2014 (Ramadhan & Syawal)

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

19 Julai (Sabtu) - 21 Ramadhan, majlis berbuka puasa bersama rakan sepejabat & keluarga masing-masing. Orang lain buat majlis iftar di restoran/hotel... kami buat di pejabat shj... lebih murah dan menjimatkan. Menunya meriah juga... nasi beriyani, daging kambing panggang sendiri, ayam masak merah, daging masak hitam, dalca, acar, mi kari, murtabak raja, kek lapis Sarawak, sagu santan dan pelbagai kuih-muih dan pencuci mulut lain.



25 Julai (Jumaat) - 27 Ramadhan, hari lahir yang ke.... huh??? .. setahun lagi bakal mencecah angka 4 siri. Apapun... yang bertambah hanya angka... hakikatnya umur aku di dunia ni makin berkurangan. Tak perlu ada sambutan... hanya berbuka seperti biasa.

27-30 Julai (Ahad-Rabu) - Aidilfitri di Pahang. Aku ada banyak keluarga yang wajib diziarahi. Maka kawasan beraya juga agak luas meliputi Lanchang-Mentakab-Temerloh-Bera-Jerantut. Kebetulan pulak sekarang musim buah... jadi kena juga beraya sambil mengutip buah di dusun. Nasib tak baik kena sengat tebuan 3 das semasa memanjat pokok rambutan... terpaksa lepak sejam di unit kecemasan untuk mendapatkan suntikan anti-bisa....huhu.



31 Julai - 2 Ogos (Khamis-Sabtu) - Aidilfitri di Perak. Cuma beraya di sekitar Ipoh & Bidor. Memandangkan dah raya ke -4, ramai ipar duai yang tak sempat berjumpa... tapi masih tetap meriah. Owh... ada juga sambutan hari lahir untuk ahli keluarga yang lahir bulan Julai... terima kasihhh.



Salam Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.
Sekian adanya.

10 July, 2014

Selamat Datang Gebu

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Seekor anak yatim yang ditemui merayau-rayau di tepi pejabat bini aku menjadi ahli keluarga kami yang baru. Agak-agak umurnya baru lebih kurang seminggu... Terpaksalah beli botol susu dan susu tepung untuknya.


Disebabkan warna bulunya yang putih gebu... kami sepakat menamakannya Gebu. Nampaknya akak Memey tiada masalah menerima kehadiran Gebu... ada juga kawan bermain nanti.

18 June, 2014

Menjelajah Gunung, Sungai dan Laut di Sabah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Misi menakluk puncak Gunung Kinabalu yang gagal kerana AMS pada 2009 harus ditebus semula.
~ Terjumpa event ke sana di fb dari 13-17 Jun 2014, kebetulan dianjurkan oleh seorang kawan lama.
~ Pertama kali menggunakan KLIA2 yang baru sebulan beroperasi.

GUNUNG
~ 14-15 Jun 2014 (Sabtu-Ahad)... misi menakluk Puncak Kinabalu.
~ Line-up 20 orang - Aku, Abg Omar, Abg Shahran, Khairul & Fuziah, Rahmat, Shahrul, Rozan, Kuek & Ling, Balkiss, Loges, Azrul & Ain, Neesa, Zul, Faizal, Aishah, Allen dan Azimah.
~ Dulu ikut Timpohon, kali ni ikut trek Mesilau... lebih jauh 2km, lebih cantik dan treknya ada turun naik.
~ Makan ubat mabuk sejam sebelum mendaki, sebagai ikhtiar mengelak terkena AMS lagi.
~ Mula mendaki 9.00 am, taknak jalan laju-laju macam dulu, biar badan perlahan-lahan menyesuaikan diri dengan alititude tinggi... sampai Laban Rata 4.10 pm dalam hujan renyai.
~ Menginap di dorm Laban Rata Resthouse... satu bangunan dengan tempat makan, tak perlu jalan jauh.
~ Cuma sempat tidur-tidur ayam, 1.30 am dah kena bangun, bersarapan dan alhamdulillah kali ni tak pening.
~ 2.30 am, mula mendaki, sampai puncak Low pada 5.40 am. Alhamdulillah, misi berjaya.
~ Turun semula kali ni ikut Timpohon, sampai Kinabalu Park hampir jam 4.00 pm.
~ Bergerak ke Kota Kinabalu dan menginap di Marina Court Resort Condo.



SUNGAI
~ 16 Jun (Isnin)... misi hari ni mencuba aktiviti ekstrim berakit arus deras (white water rafting) gred 3-5 di Sungai Padas.
~ Seawal jam 6.00 am mula bergerak ke Pekan Beaufort menaiki bas Riverbug, memakan masa 1 1/2 jam.
~ Dari Beaufort perlu naik keretapi antik menuju Pekan Tenom, malangnya kepala keretapi rosak menyebabkan perancangan asal terpaksa dibatalkan.
~ Tukar plan-B, berpatah balik ke KK seterusnya ke Sungai Kiulu, Tuaran.
~ Sg. Kiulu ni gred 1-2 je, sesuai la untuk beginner macam kebanyakan dari kami.
~ Jarak 7.5 km, tempoh hampir 2 jam, makan disediakan....
~ Balik ke KK, singgah rumah kenalan Abg Omar untuk aktiviti penyampaian sijil mendaki dan makan lagi.
~ Balik ke hotel penginapan... aktiviti bebas. Ke Pasar Filipin layan seafood pulak.... makan lagi...



LAUT
~ 17 Jun (Selasa)... aktiviti santai di Pulau Sapi.
~ aktiviti yang ada di pulau ni...snorkeling, selam skuba, flying fox merentasi laut antara Pulau Sapi dan Pulau Gaya dan juga parasailing (naik payung terjun yang ditunda dengan bot).
~ aktiviti sampingan... sesi mencuci mata melihat 'pemandangan indah' di tepi pantai dan upacara mandi tepung untuk seorang birthday girl dalam grup kami.
~ Balik semula ke KK untuk check-out dan sempatlah lagi untuk shopping sementara menunggu penerbangan balik ke KL pada jam 7.25 pm.



Terima kasih kepada semua yang bersama aku mencapai misi menakluk puncak Kinabalu.
Maafkan segala keterlanjuran perbuatan mahupun perkataan.
Terima kasih juga kepada bro Bazri yang sudi menghantar dan menjemput di airport.
Jumpa lagi.


31 May, 2014

Catatan Perjalanan Mei 2014

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Buat entri bergambar je, malas nak tulis panjang-panjang sebab kesibukan melampau.


1/5/2014 (Khamis) - Seluruh Malaysia bercuti hari ni untuk menyambut harijadi Along yang ke-10. Tapi Along (dan Angah juga) mengambil keputusan untuk menyambutnya dengan cara berbeza, iaitu menemani ayahnya (dan kawan-kawan) menjalani latihan untuk misi Kinabalu di Bukit Broga dan Gunung Tok Wan, Semenyih. Balik rumah barulah ada sambutan kecil-kecilan sambil dijamu dengan kek pavlova hasil air tangan ibunya. Selamat hari jadi Along!


10/5/2014 (Sabtu) - Jogging di Taman Tasik Perdana atau nama barunya Taman Botani Perdana. Ingatkan ramai yang training sama, rupanya cuma 3 orang yang datang.


24/5/2014 (Sabtu) - Gunung Datuk menjadi gunung kedua berjaya ditawan oleh Along & Angah selepas Gunung Tok Wan. Turun semula petangnya, berkhemah semalaman di kaki gunung.


27/5/2014 (Selasa) - Secara rasmi diberi peluang meningkatkan potensi diri setahap lebih tinggi. Alhamdulillah, ini anugerah berganda setelah dipilih menerima anugerah khidmat cemerlang. Peningkatan dalam kerjaya bermakna tanggungjawab makin bertambah. Sibuk nak mampus mengalahkan PM le aku lepas ni... haha.


31/5/2014 (Sabtu) - Selesai majlis kenduri kahwin keluarga sebelah mertua di Sitiawan... sebelum balik Ipoh singgah santai di Pantai Teluk Batik.


Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...