PTT Outdoor

01 December, 2009

Aina Alyssa demam Kuning

Lepas keluar dari wad pada petang Khamis, 19 Nov, ingatkan anak & bini aku dah boleh rilek berpantang kat rumah je. Tapi rupanya hari-hari kena berulang alik ke klinik kesihatan untuk buat blood test bagi memantau tahap demam kuning/jaundis pada anak aku.

~ 22 Nov.2009, Ahad; Tahap kuning makin tinggi. Aina terpaksa ditahan di wad NICU Hospital Sg. Buloh (termasuk ibunya sekalilah). Dibogelkan, mata ditutup dan diletak bawah lampu biru (phototerapi).



~ 24 Nov.2009, Selasa; Setelah lebih kurang 30 jam duk bawah lampu (aku tengok kat meter lampu tu), kuning dah turun sikit dan petang ni dah boleh keluar wad. Lega, tak payah ulang alik hospital lagi.

~ 25 Nov.2009, Rabu; Pagi pergi Jabatan Pendaftaran Shah Alam, daftar kelahiran & buat surat beranak. Sebulan lagi datang ambik MyKid pulak. Hari ni Aina dah genap umur 7 hari. Ikut sunnah, cukur rambut sampai botak. Tak payah majlis cukur jambul. Bagi menyusu kenyang-kenyang, bila dah lena, dengan lafaz bismillah, aku sendiri cukur sampai botak...selamat. Simple-simple sudah, tak payah nak beradat sangat.



~ 26 Nov.2009, Khamis; Masih kena pergi klinik buat blood test. Petang, bini aku dah start berurut, 3 kali mulai hari ni. Aku seperti biasa menjalankan tugas-tugas seorang surirumah & bapak mithali. Chehh! Bagi peluang bini rilek sementara aku bercuti panjang ni.

~ 27 Nov.2009, Jumaat; Hari Raya Aidil Adha. Raya di rumah sendiri je sebatang kara, huhu...Tiada sambutan. Bawa anak-anak bujang pegi solat raya. Lepas tu balik lepak kat rumah je. Nasib baik jiran sebelah bagi ketupat & rendang, ada la sikit suasana raya. Petang masak mi rebus, akak tiri aku nak datang tengok baby.

~ 1 Dis.2009, Selasa; Setelah bercuti panjang selama 13 hari, esok dah start kerja. Arrgghhh malasnya. Lepas ni bini aku kena pandai-pandai la menguruskan diri sendiri & baby.

21 November, 2009

Selamat Datang Aina Alyssa

19 November 2009, Aina Alyssa selamat tiba ke dunia ini, awal dua hari dari tarikh jangkaan...sedikit catatan ringkas proses kelahiran:


 

2.00 am - Bini aku dah mula rasa lain macam...kekerapan sakit akibat kontraksi mula terasa setiap 20-30 minit. Pengalaman lepas mengajar kami supaya rilek...awal lagi tu. Aku biarkan bini aku melayan sakitnya dan aku sambung tidur...krohhkkkhhh... cheiitt...tak guna punya laki...haha

5.30 am - Bila sakit dah makin kerap (setiap 5 minit) bini aku terus kejutkan aku. It's coming! Kejutkan anak-anak bujang aku tu dan call makcik Taska.

5.45 am - Lepas hantar anak-anak ke Taska terus pecut ke Hospital Sg. Buloh. Nasib baik juga awal pagi macam ni jalan clear...lampu merah pun langgar je.

6.10 am - Daftar masuk. Bini aku dibawa masuk dewan bersalin. Takde pulak keluar air ketuban. Mungkin nanti doktor yang akan pecahkan. Aku isi borang apa yg patut...tunggu luar sekejap.

6.16 am - Nurse panggil masuk. Bini aku tengah meneran, dah nampak rambut baby. Walaupun dah anak dua tapi ini pengalaman pertama aku tengok betapa sukarnya seorang wanita melahirkan anaknya. Sungguh teruja + terharu + insaf.

Sebelum ni bukan taknak tengok tapi takde peluang. Anak pertama lahir kena operate, so aku tak dibenarkan masuk. Anak kedua pulak kelam kabut punya pasal bini aku nak terberanak tengah2 malam, aku terbawa anak sulung aku sekali pergi hospital. Budak kecik takleh masuk labour room. Kalau aku masuk temankan bini aku sapa pulak nak jaga anak sulung aku kat hospital tu (masa tu baru umur 2 tahun).

So kali ni memang aku nak sangat tengok...apa nak jadi, jadilah!...dan impian aku tercapai akhirnya. Aku juga nak test sama ada aku ni spesis jantan mabuk darah atau tak. Dan terbukti aku steady je...apa barang tengok darah pun nak mabuk!!! (Ayat berlagak nak mampus!)

6.25 am - Setelah berhempas pulas bertarung nyawa untuk melahirkan satu nyawa baru, akhirnya bini aku selamat melahirkan seorang heroin seberat 3.1 kg (macam dadah la pulak) yang kami idam-idamkan selama ni (almaklumlah dah ada dua hero). Alhamdulillah. Lepas tu heroin aku tu dibersihkan dari segala darah dan lendir, aku qamatkan, kemudian nurse suruh aku keluar dulu untuk proses pembersihan segala yang dah keluar dan belum keluar dan juga penjahitan segala yang dah koyak rabak. Kesian bini aku...aku insaf ni... Terima kasih kerana telah bertarung nyawa melahirkan zuriat kita.


7.00 am - Setelah semua dah selesai, aku dipanggil masuk semula untuk bersama anak bini. Nurse menghulurkan sebuah buku 'Husband Friendly' untuk para suami meluahkan perasaan, dan aku tulislah cincai2 je apa yang terlintas.


Kemudian kedua-dua ibu & anak dihantar masuk ke wad bersalin. Aku pun follow sekali untuk hantar beg barang2 keperluan ibu & anak. Lepas tu aku balik rumah, basuh uri bersih2 dan tanam bawah pokok pisang depan rumah aku.

12.00 pm - Aku ingat nak ke hospital. Tapi bini aku sms, mungkin petang ni dah boleh balik. Jadi petang ni je la aku pergi hospital.

4.30 pm - Pergi hospital, selesaikan segala urusan pembayaran bil (yg tak payah bayar pun..hehe, biasa ler org gomen). Dah boleh bawa anak bini balik rumah.

*Kami laki bini sepakat untuk menamakan puteri kami ini Aina Alyssa. Aina bermaksud 'mempunyai mata yg cantik' (korang tengok mata anak aku tu cantik ke? cantiklah kot...) Tapi aku tak jumpa pulak apa maksud Alyssa tu. Saja je nak bagi nampak canggih & glamer sikit.... hohoho!

Apapun, tak kisahlah walaupun nama tu takde makna, asalkan jangan ada makna yang tak elok, sudah. Memanglah kita digalakkan bagi nama yang elok-elok maknanya, tapi bagi aku, apalah ada pada nama. Sedangkan yg bernama Muhammad sekalipun ada yg jadi perompak, Abdullah pun ada yg jadi pembunuh, Abdul Rahman pun ada yg jadi perogol, atau Siti Khadijah pun ada yg jadi pelacur. So what? Yang penting cara kita mendidik anak-anak. Aku harap aku mampu mendidik anak-anak aku jadi anak yg soleh & solehah, yg dapat mendoakan aku yg tak berapa soleh ni bila aku dah mati nanti. Sekian adanya.

* Aina Alyssa bila dah besar nanti bolehlah baca macam mana Aina sampai ke dunia ni ye...

09 November, 2009

Kongsi pengalaman ajar anak guna tandas...

Minggu lepas isteri aku bercuti seminggu. Peluang baik untuk mula ajar Aliff, anak kedua kami yang berumur 2 tahun 11 bulan tu guna tandas. Lewat sikit berbanding abangnya yang dah pandai kencing berak kat tandas semasa umur 2 tahun setengah. Ini bermakna seminggu jugalah tak hantar dia ke taska... abangnya pergi sorang. Penat dan hangin jugalah nak mengajar budak ni guna tandas, tapi memandangkan dia dah nak dapat adik tak lama lagi, kenalah juga ajar. Dapat jimat kos sikit tanpa perlu beli dua saiz diapers yang berbeza.


Peringatan: Tahap kesabaran yang tinggi amat diperlukan untuk mengajar anak guna tandas. Mungkin sesetengah orang akan rasa macam nak tangan-tangankan je anak mereka dalam proses itu... tapi ingatlah kita semua pun kencing dan berak bersepah juga masa kecik dulu... entah-entah lebih teruk lagi mungkin ada antara korang yang mungkin makan najis (atau dalam bahasa halusnya taik) sendiri agaknya. Yuck!


3 Hari Pertama... Memang confirm la kencing dan berak bersepah tanpa keraguan lagi. Dari pagi sampai ke petang 5-6 kali jugalah tukar seluar dan penat menge'mop lantai kerana disirami 'air mawar' dan 'kek coklat' anak aku. Soalan wajib setiap 10-15 minit berbunyi "nak kencing/berak tak???" dan "nak kencing/berak kat mana???" sentiasa berkumandang dalam rumah aku. Dengan konfidennya dia menjawab... "kat tandas..." tapi 'hasil pengeluarannya' tetap terbarai juga. Peringatan wajib setiap 10-15 minit berbunyi "kalau rasa nak kencing/berak cakap kat ayah/ibu ye..." tapi yang hanginnya dia cakap hanya selepas dia melepas. Cheiit!!!

Hari Ke-4 Ada kemajuan! Dah pandai kencing kat tandas walaupun 'air mawar' masih tercicir dalam perjalanan menuju ke tandas. Dah pandai juga beritahu bila nak berak tapi bila letak atas mangkuk tandas (siap ada alas untuk budak-budak gambar kartun) tak pulak keluar hasilnya.

Hari Ke-7 Sukses! Nak kencing terus pergi sendiri ke tandas tanpa beritahu ayah & ibunya, tanpa ada keciciran lagi. Bermakna dia dah dapat mengawal otot kemutan menahan kencingnya. Dah pandai juga basuh anu sendiri lepas kencing. Nak berak pulak dia cakap, letak atas mangkuk tandas terus berjaya menghasilkan pelaburan pertamanya (basuh berak akulah yg basuhkan...tak konfiden bersih kalau dia basuh sendiri). Buat masa ni cuma ajar tak pakai diapers waktu siang dulu. Tidur malam masih pakaikan lagi (tak larat nak jemur toto je). Begitu juga nak pergi jalan-jalan...buatnya tengah jalan cakap nak berak...jalan jem pulak tu, tak pasal-pasal kereta aku jadi jamban bergerak pulak nanti...huhu.

Bila masa sesuai ajar anak guna tandas?
SECARA purata, kebanyakan kanak-kanak mula belajar menggunakan tandas sekitar usia dua tahun. Tetapi, seperti juga dalam proses perkembangan kanak-kanak, setiap kanak-kanak adalah berbeza. Kanak-kanak yang berusia sehingga 20 bulan lazimnya lebih cenderung membuang air kecil. Ini sekali gus menyukarkan mereka menahan keinginan ke tandas. Tambahan pula, aspek pengendalian pakaian masih menjadi masalah kepada mereka. 
Di Barat misalnya, sesetengah ibu bapa merasakan ia lebih mudah melatih anak menggunakan tandas sewaktu musim panas. Pada waktu ini, kanak-kanak lebih mudah diuruskan dengan pemakaian pakaian yang minimum. Senario ini mungkin boleh diaplikasikan untuk anak kita memandangkan cuaca di Malaysia yang pada kebanyakan masanya panas. 
Mendidik anak cara menggunakan tandas juga memerlukan sedikit strategi dan kesediaannya untuk belajar. Berbanding anak perempuan, anak lelaki memerlukan masa yang lebih lama untuk belajar. Malah, mereka turut perlu menguasai teknik membuang air kecil kerana kebanyakan anak lelaki akan belajar duduk di atas mangkuk tandas terlebih dahulu. Dalam hal ini, ada baiknya jika ahli keluarga yang lebih tua seperti bapa atau adik-beradik lelaki yang lain menunjukkan caranya. 
Bilakah masa yang sesuai untuk anak belajar pengurusan tandas? Kesediaan anak itu boleh dilihat menerusi beberapa petanda ringkas: 
* Kekal kering selama beberapa jam setiap hari  
* Menunjukkan minat apabila anda, pasangan atau adik-beradik yang lain ke tandas. 
* Mengalami sakit perut secara kerap pada bila-bila masa misalnya selepas bersarapan. 
* Menunjukkan petanda ingin ke atas apabila anak mencangkung atau menghasilkan bunyi yang tidak enak. 
* Memberi isyarat bahawa lampinnya sudah basah. 
Bilakah masa sesuai ibu bapa patut bertindak memaksa anak belajar tentang penggunaan tandas? 
Mengajar anak tentang penggunaan tandas sewaktu berada dalam keadaan tertekan bukan satu idea yang baik. Antaranya termasuklah: 
* Kehadiran orang baru dalam keluarga misalnya bayi. 
* Memulakan sistem penjagaan anak yang baru. 
* Pertukaran tempat tidur. Misalnya dari katil bayi ke katil sebenar. 
* Pemindahan rumah. 
* Masalah keluarga. 
* Apabila ahli keluarga sakit. Info: 
* Berikan pujian setiap kali anak berjaya membuang air kecil dan besar di tandas atau dalam bekas khas yang disediakan (potty). 
* Jangan terlalu mendesak. Mendidik anak yang lebih dewasa kadang kala memerlukan pendekatan berbeza. 
* Tiada yang sempurna. Elakkan daripada menaruh harapan tinggi buat mereka yang baru belajar. 
* Sediakan pakaian yang mudah dipakaikan oleh si kecil. Jika perlu, latih anak untuk memakai seluar untuk 'latihan' terlebih dahulu. 
* Jangan sesekali memaksa anak ke tandas atau duduk di atas bekas khas. Ini hanya akan membuatkannya tertekan, tidak gembira dan melambatkan proses pembelajaran anak. 
* Kebanyakan kanak-kanak takut mendengar bunyi jirusan air dalam tandas dan tidak suka melihat najis dibawa arus air. Jadi jiruslah air apabila anak sudah memberi perhatian kepada perkara lain. 
* Jika sekali-sekala anak terjaga dengan lampin yang kering pada sebelah pagi, ini adalah petanda baik bahawa lampin mungkin tidak diperlukan lagi. 
* Belajarlah mengawal perasaan anda jika anak terkencing atau 'terbasahkan' lampinnya. 
*Pastikan anda mengajar anak membasuh tangan selepas menggunakan tandas atau menyentuh bekas khas itu.
Dipetik dari Kosmo!

01 November, 2009

Perjalanan 9 bulan dalam rahim ibu...

Bayi dalam kandungan isteri tersayang sudah genap 37 minggu berada dalam rahim ibunya. Aku sebagai bapaknya pun terasa lama, inikan pula ibu yang mengandungkannya selama 9 bulan, dengan perut memboyot seperti lori terlebih muatan...dengan berbagai masalah dan kesan kehamilan seperti loya, mengidam, sakit kaki, sakit pinggang, perubahan emosi dsb, terasa kesian bercampur kagum.

Namun perasaan simpati itu bertukar menjadi jeles bila aku terbaca sepotong hadis riwayat al-Hassan bin Safwan, Tabrani dan Ibnu As-Sahin dan Salamah menjelaskan tentang kelebihan yang diperolehi wanita yang mengandung, melahir, menyusu dan memelihara anaknya:
"Apakah redha hai golongan wanita bahawasanya seorang wanita yang sedang hamil daripada suaminya yang telah menikahi dengan halal (menurut syariat Islam). Allah memberikan pahala kepadanya sebagaimana pahala orang berjihad fisabilillah. Apabila ia berasa sakit untuk melahirkan anaknya, maka ia mendapat pahala yang banyak sekali sehingga manusia tidak mengerti berapa banyaknya pahala itu. Apabila telah lahir lalu disusui anak, bagi ibu itu setiap teguk dari susunya, Allah memberi dia pahala satu kebaikan. Apabila si ibu semalaman tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah memberi pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah."
Maka ingatlah pesanan ini anak-anakku, sesungguhnya 'Syurga itu di bawah tapak kaki ibu' kerana pengorbanan ibumu mengandung, melahir, menjaga dan mendidikmu memang melayakkan untuk ibumu mendapat penghormatan itu. Tapi ingat anakku, itu hanyalah perumpamaan. Janganlah kau mengada-ngada dan memandai-mandai untuk melihat dan meneropong tapak kaki ibumu, kau tak akan nampak syurga di situ. Sebenarnya ayah risau kau akan ternampak 'syurga ayahmu' kat area situ! Hohoho! Cukuplah aku melalut.

Kemungkinan bila-bila masa dalam dua tiga minggu lagi anak aku yang ketiga akan keluar melihat dunia (kalau jangkaan doktor tepat). Beg berisi barang kelengkapan untuk dibawa ke hospital telahpun disiapkan dan dah masuk dalam kereta. Isteri aku pun sudah mula bercuti seminggu, menghabiskan cuti-cuti yang tak boleh dibawa ke tahun depan... Tolong doakan mereka sihat serta selamat melahirkan dan dilahirkan. Terima kasih.

Hayati video ini...kita semua pernah berada di situ selama 9 bulan!



Pesan aku: Sesapa yang tergamak menderhaka kepada ibu yang bertarung nyawa melahirkan kau...memang celakalah hidup kau! Walaupun perangai mak kau macam celaka sekalipun (mungkin buang kau merata-rata masa kau lahir dulu)...cubalah jangan derhaka dan doalah yang baik-baik untuk ibu kau...OK

15 October, 2009

Pisangku berbuah lagi (Pisang AKU la bukan Pisang AWAK!)

~ Kata pepatah, sebatang pokok pisang takkan berbuah dua kali, memanglah. Tapi dua batang pokok pisang dalam satu rumpun boleh berbuah serentak, macam pokok pisang lemak manis yang aku tanam depan rumah aku ni.


 ~Tengok gambar atas kiri, sebatang lagi dah keluar jantung pulak... Alhamdulillah, tak putus-putus rezeki aku sekeluarga...dan jiran-jiran juga dapat merasa.

~ gambar bawah kiri... tegang juga urat perut kalau angkat setandan pisang ni... hihi

~ gambar bawah kanan... "I am Banana Boy!" kata anak kedua aku ni setiap kali makan buah pisang.


Sungguh teruja untuk menikmati hasilnya, terutama anak-anak aku yang suka bebenor makan buah pisang, pisang goreng, cekodok pisang, lempeng pisang, lepat pisang, pengat pisang, apam pisang, kek pisang, kerepek pisang dan makanan-makanan lain yang ada bahan dari pisang. Hmmm...nasib baik kulit pisang tak boleh dimakan!


Kepada yang tak suka pisang, ni aku kongsikan info betapa berkhasiatnya buah pisang:
Khasiat Buah Pisang 
Perhatian: Jangan sekali-kali menyimpan pisang dalam peti sejuk. Lepas baca anda semua pasti akan pandang tinggi pada buah pisang. 
Pisang mengandungi 3 jenis gula semulajadi – sukrosa, fruktosa dan glukosa yang digabungkan dengan gentian. Pisang memberikan tenaga kepada manusia dengan kadar segera dan berterusan. Kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa 2 biji pisang mempunyai cukup tenaga untuk senaman selama 90 minit. Tidak hairanlah pisang dijadikan buah utama kepada atlit terkenal dunia. 
Bukan itu saja, malah pisang juga amat sesuai untuk mencegah dan merawat beberapa jenis penyakit, menjadikannya amat sesuai dalam pemakanan kita seharian. 
Tekanan: Merujuk kepada survey terbaru yang dijalankan oleh MIND terhadap pesakit-pesakit tekanan jiwa, kebanyakan daripada mereka kembali pulih selepas makan pisang. Ini kerana pisang mengandungi tryptophan, iaitu sejenis protin yang bertukar kepada serotonin dalam tubuh manusia, yang menyebabkan kita tenang, mengembalikan mud dan secara amnya membuatkan kita berasa gembira. 
PMS: Lupakan pil-pil hospital – makan sahaja pisang. Vitamin B6 yang terkandung mampu meneutralkan paras glukosa dalam darah, yang boleh mengembalikan mood anda. 
Anemia: Dengan kandungan zat besi yang tinggi, pisang mampu mengawal pertumbuhan hemoglobin dalam darah, yang secara tak langsung membantu dalam kes-kes anemia. 
Tekanan Darah Tinggi: Buah tropikal unik ini mengandungi kadar potassium yang tinggi – garam rendah, menjadikannya sempurna untuk menstabilkan tekanan darah. 
Kuasa Minda: Kajian dibuat terhadap 200 pelajar di sebuah sekolah di mana semasa peperiksaan dijalankan, mereka diberi makan pisang untuk sarapan, rehat, dan makan tengahari. Keputusannya, buah pisang yang mengandungi kadar potassium yang tinggi dapat membantu pembelajaran dengan menjadikan pelajar-pelajar itu lebih cekap (alert). 
Penghadaman: Gentian tinggi, jadikan pisang sebagai diet seharian anda pasti membantu menstabilkan tindakan usus kecil dan besar. 
Keletihan: Salah satu cara terbaik untuk mengurangkan keletihan ialah dengan membuat minuman pisang susu campur madu. Pisang bertindak menyejukkan perut dan dengan bantuan madu dapat membina semula kandungan gula dalam darah yang berkurangan akibat keletihan, manakala susu pula memperbetulkan sistem hidrasi semula anda. 
Panas Jantung: Pisang mempunyai kesan anti-asid semulajadi dalam badan. Oleh itu, jika anda menghadapi rasa panas di jantung, cuba makan pisang untuk pemulihan yang baik. 
Demam Pagi: Jadikan pisang sebagai snek setiap hari untuk membantu memelihara kadar gula dalam darah untuk mengelakkan demam pagi. 
Gigitan Nyamuk: Sebelum menggunakan krim gigitan serangga, cuba sapukan kawasan bekas gigitan nyamuk dengan lapisan dalam kulit pisang. Ramai yang telah berjaya mengatasi kegatalan akibat gigitan nyamuk dengan cara ini. 
Saraf: Pisang mengandungi kadar vitamin B yang tinggi yang dapat membantu menenangkan sistem saraf anda. 
Obesiti dan Tekanan Kerja: Kajian di Institut Psikologi di Austria mendapati tekanan kerja menjadi pemangkin kepada pengambilan makanan seperti coklat dan kerepek. Berdasarkan 5,000 pesakit hospital, kajian mendapati kebanyakan pesakit obes membuat kerja-kerja tekanan tinggi. Laporan juga menyatakan, untuk mengatasi masalah ini, kita perlu mengawal kadar gula dalam darah dengan mengambil makanan karbohidrat tinggi setiap 2 jam untuk mengekalkan kadar yang stabil. Makanlah pisang. 
Ulser: Pisang amat baik dalam pencegahan ulser kerana ia bersifat lembut dan tidak mencederakan organ dalaman kita. Ia juga bertindak sebagai peneutral lebihan asid serta mengurangkan kepedihan dengan bertindak menyaluti lapisan dinding perut kita. 
Kawalan Suhu: Ramai yang percaya bahawa dengan memakan pisang, ia dapat menurunkan suhu kedua-dua fizikal dan emosi kepada ibu-ibu mengandung. Di Thailand sebagai contoh, ibu mengandung mengambil pisang untuk memastikan bayi yang dilahirkan itu menjadi seorang yang penyabar (cool). 
Seasonal Affective Disorder (SAD): Penyakit ini merupakan simptom yang terjadi akibat daripada kurangnya pendedahan kepada cahaya matahari. Pisang dapat membantu pesakit ini kerana ia mengandungi tryptophan semulajadi yang membaikpulih mud kita. 
Ketagihan Rokok & Tembakau: Pisang dapat membantu perokok yang ingin berhenti merokok. Vitamin B6, B12, potassium dan magnesium yang terdapat dalam pisang, ia dapat membantu tubuh kita dalam membaikpulih kesan nikotin terhadap tubuh. 
Stres: Potassium merupakan bahan mineral vital, yang membantu menormalkan degupan jantung, menghantar oksigen kepada otak dan mengimbangi kandungan air dalam tubuh. Bila kita stres, kadar metabolisma kita naik, menyebabkan kadar potassium menurun. Keadaan ini dapat diimbangi semula dengan bantuan snek pisang yang tinggi potassium. 
Strok: Mengikut kajian dalam buku ‘The New England Journal of Medicine‘, mengambil pisang sebagai diet harian mampu mengurangkan risiko kematian akibat strok sebanyak 40%! 
Lain-lain Penyakit Kulit: Pengamal perubatan semulajadi (alternatif) berpendapat, untuk menghilangkan pelbagai masalah kulit, termasuk jerawat, kudis, parut, kurap, dan sebagainya, ambil sekeping kulit pisang, tampalkan sebelah dalam kulit pisang itu pada tempat yang ingin dirawat dengan menggunakan plaster luka biasa atau pun plaster bedah. 
Jadi, pisang memang merupakan ubat semulajadi kepada banyak penyakit. Jika dibandingkan dengan epal, pisang mempunyai 4 kali ganda kandungan protin, 2 kali karbohidrat, 3 kali fosforus, 5 kali vitamin A dan zat besi, dan 2 kali vitamin dan mineral lain. Ia juga kaya dengan potassium dan merupakan salah satu makanan terbaik yang mudah didapati. Jadi mungkin inilah masa untuk berubah kepada kata yang biasa disebut-sebut, “Sebiji pisang sehari dapat menjauhkan doktor!” 
Kesimpulannya, pisang adalah penyebab utama kenapa monyet-monyet di hutan selalu sihat dan bahagia setiap masa dan ketika! Satu lagi; ingin kilatkan kasut?? Ambil bahagian dalam kulit pisang, sapukan secara terus kepada kasut anda, kemudian kilatkan dengan kain kering. Menakjubkan!
Khasiat Buah Pisang; sumber dari soleh.net

09 October, 2009

Kemeriahan Majlis Jamuan Raya P.O Gombak

Acara: Majlis Jamuan Aidilfitri di tempat kerja aku.

Kehadiran: Semua anggota tetap & sambilan P.O Gombak

Jemputan: Big boss, boss-boss, boss kecik, chief-chief & staff admin dari HQ Shah Alam & P.O Kajang.

Tema Pakaian: Baju raya laa...

Aturcara: Makan, melantak, mencekik, mentekedarah dsb sambil dihiburkan dengan sumbangan lagu karaoke yang sumbang oleh staff-staff tuan rumah.

Menu: Macam-macam ada...menu utamanya nasi tomato, lemang & rendang, satay & nasi himpit dll. Semuanya cukup makan malah boleh makan 2nd round pastu boleh tapau lagi. Cleaner Indon & security guard Bangla pun dapat makan. Malas nak cerita, tengok je la gambar-gambar ni:



Gambar-gambar dicilok dari facebook boss aku...hehe, jangan marah boss!
Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...