PTT Outdoor

15 October, 2009

Pisangku berbuah lagi (Pisang AKU la bukan Pisang AWAK!)

~ Kata pepatah, sebatang pokok pisang takkan berbuah dua kali, memanglah. Tapi dua batang pokok pisang dalam satu rumpun boleh berbuah serentak, macam pokok pisang lemak manis yang aku tanam depan rumah aku ni.


 ~Tengok gambar atas kiri, sebatang lagi dah keluar jantung pulak... Alhamdulillah, tak putus-putus rezeki aku sekeluarga...dan jiran-jiran juga dapat merasa.

~ gambar bawah kiri... tegang juga urat perut kalau angkat setandan pisang ni... hihi

~ gambar bawah kanan... "I am Banana Boy!" kata anak kedua aku ni setiap kali makan buah pisang.


Sungguh teruja untuk menikmati hasilnya, terutama anak-anak aku yang suka bebenor makan buah pisang, pisang goreng, cekodok pisang, lempeng pisang, lepat pisang, pengat pisang, apam pisang, kek pisang, kerepek pisang dan makanan-makanan lain yang ada bahan dari pisang. Hmmm...nasib baik kulit pisang tak boleh dimakan!


Kepada yang tak suka pisang, ni aku kongsikan info betapa berkhasiatnya buah pisang:
Khasiat Buah Pisang 
Perhatian: Jangan sekali-kali menyimpan pisang dalam peti sejuk. Lepas baca anda semua pasti akan pandang tinggi pada buah pisang. 
Pisang mengandungi 3 jenis gula semulajadi – sukrosa, fruktosa dan glukosa yang digabungkan dengan gentian. Pisang memberikan tenaga kepada manusia dengan kadar segera dan berterusan. Kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa 2 biji pisang mempunyai cukup tenaga untuk senaman selama 90 minit. Tidak hairanlah pisang dijadikan buah utama kepada atlit terkenal dunia. 
Bukan itu saja, malah pisang juga amat sesuai untuk mencegah dan merawat beberapa jenis penyakit, menjadikannya amat sesuai dalam pemakanan kita seharian. 
Tekanan: Merujuk kepada survey terbaru yang dijalankan oleh MIND terhadap pesakit-pesakit tekanan jiwa, kebanyakan daripada mereka kembali pulih selepas makan pisang. Ini kerana pisang mengandungi tryptophan, iaitu sejenis protin yang bertukar kepada serotonin dalam tubuh manusia, yang menyebabkan kita tenang, mengembalikan mud dan secara amnya membuatkan kita berasa gembira. 
PMS: Lupakan pil-pil hospital – makan sahaja pisang. Vitamin B6 yang terkandung mampu meneutralkan paras glukosa dalam darah, yang boleh mengembalikan mood anda. 
Anemia: Dengan kandungan zat besi yang tinggi, pisang mampu mengawal pertumbuhan hemoglobin dalam darah, yang secara tak langsung membantu dalam kes-kes anemia. 
Tekanan Darah Tinggi: Buah tropikal unik ini mengandungi kadar potassium yang tinggi – garam rendah, menjadikannya sempurna untuk menstabilkan tekanan darah. 
Kuasa Minda: Kajian dibuat terhadap 200 pelajar di sebuah sekolah di mana semasa peperiksaan dijalankan, mereka diberi makan pisang untuk sarapan, rehat, dan makan tengahari. Keputusannya, buah pisang yang mengandungi kadar potassium yang tinggi dapat membantu pembelajaran dengan menjadikan pelajar-pelajar itu lebih cekap (alert). 
Penghadaman: Gentian tinggi, jadikan pisang sebagai diet seharian anda pasti membantu menstabilkan tindakan usus kecil dan besar. 
Keletihan: Salah satu cara terbaik untuk mengurangkan keletihan ialah dengan membuat minuman pisang susu campur madu. Pisang bertindak menyejukkan perut dan dengan bantuan madu dapat membina semula kandungan gula dalam darah yang berkurangan akibat keletihan, manakala susu pula memperbetulkan sistem hidrasi semula anda. 
Panas Jantung: Pisang mempunyai kesan anti-asid semulajadi dalam badan. Oleh itu, jika anda menghadapi rasa panas di jantung, cuba makan pisang untuk pemulihan yang baik. 
Demam Pagi: Jadikan pisang sebagai snek setiap hari untuk membantu memelihara kadar gula dalam darah untuk mengelakkan demam pagi. 
Gigitan Nyamuk: Sebelum menggunakan krim gigitan serangga, cuba sapukan kawasan bekas gigitan nyamuk dengan lapisan dalam kulit pisang. Ramai yang telah berjaya mengatasi kegatalan akibat gigitan nyamuk dengan cara ini. 
Saraf: Pisang mengandungi kadar vitamin B yang tinggi yang dapat membantu menenangkan sistem saraf anda. 
Obesiti dan Tekanan Kerja: Kajian di Institut Psikologi di Austria mendapati tekanan kerja menjadi pemangkin kepada pengambilan makanan seperti coklat dan kerepek. Berdasarkan 5,000 pesakit hospital, kajian mendapati kebanyakan pesakit obes membuat kerja-kerja tekanan tinggi. Laporan juga menyatakan, untuk mengatasi masalah ini, kita perlu mengawal kadar gula dalam darah dengan mengambil makanan karbohidrat tinggi setiap 2 jam untuk mengekalkan kadar yang stabil. Makanlah pisang. 
Ulser: Pisang amat baik dalam pencegahan ulser kerana ia bersifat lembut dan tidak mencederakan organ dalaman kita. Ia juga bertindak sebagai peneutral lebihan asid serta mengurangkan kepedihan dengan bertindak menyaluti lapisan dinding perut kita. 
Kawalan Suhu: Ramai yang percaya bahawa dengan memakan pisang, ia dapat menurunkan suhu kedua-dua fizikal dan emosi kepada ibu-ibu mengandung. Di Thailand sebagai contoh, ibu mengandung mengambil pisang untuk memastikan bayi yang dilahirkan itu menjadi seorang yang penyabar (cool). 
Seasonal Affective Disorder (SAD): Penyakit ini merupakan simptom yang terjadi akibat daripada kurangnya pendedahan kepada cahaya matahari. Pisang dapat membantu pesakit ini kerana ia mengandungi tryptophan semulajadi yang membaikpulih mud kita. 
Ketagihan Rokok & Tembakau: Pisang dapat membantu perokok yang ingin berhenti merokok. Vitamin B6, B12, potassium dan magnesium yang terdapat dalam pisang, ia dapat membantu tubuh kita dalam membaikpulih kesan nikotin terhadap tubuh. 
Stres: Potassium merupakan bahan mineral vital, yang membantu menormalkan degupan jantung, menghantar oksigen kepada otak dan mengimbangi kandungan air dalam tubuh. Bila kita stres, kadar metabolisma kita naik, menyebabkan kadar potassium menurun. Keadaan ini dapat diimbangi semula dengan bantuan snek pisang yang tinggi potassium. 
Strok: Mengikut kajian dalam buku ‘The New England Journal of Medicine‘, mengambil pisang sebagai diet harian mampu mengurangkan risiko kematian akibat strok sebanyak 40%! 
Lain-lain Penyakit Kulit: Pengamal perubatan semulajadi (alternatif) berpendapat, untuk menghilangkan pelbagai masalah kulit, termasuk jerawat, kudis, parut, kurap, dan sebagainya, ambil sekeping kulit pisang, tampalkan sebelah dalam kulit pisang itu pada tempat yang ingin dirawat dengan menggunakan plaster luka biasa atau pun plaster bedah. 
Jadi, pisang memang merupakan ubat semulajadi kepada banyak penyakit. Jika dibandingkan dengan epal, pisang mempunyai 4 kali ganda kandungan protin, 2 kali karbohidrat, 3 kali fosforus, 5 kali vitamin A dan zat besi, dan 2 kali vitamin dan mineral lain. Ia juga kaya dengan potassium dan merupakan salah satu makanan terbaik yang mudah didapati. Jadi mungkin inilah masa untuk berubah kepada kata yang biasa disebut-sebut, “Sebiji pisang sehari dapat menjauhkan doktor!” 
Kesimpulannya, pisang adalah penyebab utama kenapa monyet-monyet di hutan selalu sihat dan bahagia setiap masa dan ketika! Satu lagi; ingin kilatkan kasut?? Ambil bahagian dalam kulit pisang, sapukan secara terus kepada kasut anda, kemudian kilatkan dengan kain kering. Menakjubkan!
Khasiat Buah Pisang; sumber dari soleh.net

09 October, 2009

Kemeriahan Majlis Jamuan Raya P.O Gombak

Acara: Majlis Jamuan Aidilfitri di tempat kerja aku.

Kehadiran: Semua anggota tetap & sambilan P.O Gombak

Jemputan: Big boss, boss-boss, boss kecik, chief-chief & staff admin dari HQ Shah Alam & P.O Kajang.

Tema Pakaian: Baju raya laa...

Aturcara: Makan, melantak, mencekik, mentekedarah dsb sambil dihiburkan dengan sumbangan lagu karaoke yang sumbang oleh staff-staff tuan rumah.

Menu: Macam-macam ada...menu utamanya nasi tomato, lemang & rendang, satay & nasi himpit dll. Semuanya cukup makan malah boleh makan 2nd round pastu boleh tapau lagi. Cleaner Indon & security guard Bangla pun dapat makan. Malas nak cerita, tengok je la gambar-gambar ni:



Gambar-gambar dicilok dari facebook boss aku...hehe, jangan marah boss!

30 September, 2009

Alkisah Raya 2009

- Raya tahun ni giliran beraya di kampung isteri (taman perumahan sebenarnya). Sejak kahwin aku dan isteri tiada masalah nak beraya kampung siapa dulu. Aku selalu tak faham kenapa ada suami isteri selalu berkrisis pasal nak beraya kampung sendiri je. Berkorbanlah sikit, tolak ansur dan ikut sajalah giliran, apa susah? Kalau tiap-tiap tahun kau nak beraya kampung sendiri je, aku cadangkan kau kahwinlah dengan anak yatim piatu yang tak ada kampung, adik beradik mahupun saudara mara.

- 29 Ramadhan/19 September:
Kami sekeluarga balik ke Ipoh sehari sebelum raya. Musim raya seperti biasa, perjalanan 2-3 jam boleh menjadi 4-5 jam... Di Lebuhraya Utara-Selatan nampak sayup-sayup di depan sana kenderaan beratur panjang tersangkut dalam kesesakan. Lari ikut jalan lama sama saja sesaknya. Nak sangat raya kat kampung, terima saja hakikat tu dan jangan banyak membebel. Kalau tak nak traffic jam tahun depan kau cubalah raya kat KL... "Insya Allah kau boleh bentang toto baring atas jalan"...kata kawan aku yang pernah beraya kat KL.

- 1 Syawal/20 September:
Beraya di rumah mertua tak lah meriah sangat (atau sebenarnya tak meriah langsung...hehe). Lepas solat raya, balik rumah untuk sessi bermaaf-maafan. Lepas tu melepak je tengok tv. Tiada kelibat budak-budak datang beraya kerana dikelilingi jiran-jiran India dan Cina. Cuba contact beberapa kawan di Ipoh tapi tak dijawab, mungkin sibuk atau mereka tak bagi aku datang beraya, huhu. Akibat kebosanan yang amat sangat, aktiviti hari raya pertama aku penuhi dengan acara melantak/mentekedarah/mencekik lemang dan rendang, serta nasi himpit dan kuah kacang buatan mertua aku yang sedap tu, tengok tv, juga baca suratkhabar dan koleksi majalah Mastika kegemaran mertua aku. Malam pulak tengok bola perlawanan 'derby' antara Manchester United vs Manchester City dengan ipar-ipar dan pak mertua yang juga kaki bola. Kesudahannya M.U menang 4-3... Yay!

- 2 Syawal/21 September: 
Pagi sampai tengahari masih melepak di rumah. Petang barulah keluar beraya ke rumah rakan sepejabat di Kuala Sepetang, Taiping sampai malam.

- 3 Syawal/22 September: 
Pagi sampai tengahari, keluar beraya dengan keluarga mertua ke rumah saudara mara di sekitar Ulu Chepor dan Taman Meru, Jelapang. Petang lepas Asar, balik ke rumah sendiri di Sungai Buloh untuk menjenguk anak-anak yang mungkin kelaparan (anak kucing daa...)

- 4-7 Syawal/23-26 September:
Balik ke kampung-kampung aku di Pahang. Disebabkan abah & mak aku berpisah sejak aku masih kecil serta masing-masing dah kahwin lain, maka ada 3 tempat yang wajib aku singgah/ziarah/balik beraya;... iaitu rumah abah aku di Lanchang, rumah mak aku di sebuah perkampungan Felda di Bera, serta rumah pusaka peninggalan arwah atuk & nenek tempat aku dibesarkan di Mentakab. Tak lupa juga rumah saudara mara lain.

Sedikit gambar dalam mood raya


- 8 Syawal/27 September:
Sudah balik ke rumah sendiri di Sungai Buloh. Alhamdulillah, selamat dalam perjalanan pergi dan balik. Hari ni hari terakhir cuti raya. Keluarga mertua pulak datang beraya kat rumah aku. Esoknya dah mula kerja. Terasa malas nak mula kerja bila dah cuti lama. Apapun, disebabkan orang Melayu raya selama sebulan, aku dengan rela hati akan sudi memenuhi undangan rumah terbuka kawan-kawan sepanjang bulan Syawal ni. Rumah aku??? Aku tak pernah buat majlis rumah terbuka, tapi rumah aku sentiasa terbuka untuk kawan-kawan datang beraya. Sila telefon dulu sebelum datang. Tapi disebabkan keadaan isteri aku yang sedang memboyot ni, tiada jaminan untuk dihidangkan menu istimewa dan kau harus bersedia & rela untuk makan saja apa yang ada. Wassalam

14 September, 2009

Selamat Hari Raya Aidil Fitri & Top 5 lagu-lagu raya pilihan aku

Seminggu lagi menjelang raya, ramai sibuk membuat persiapan. Membeli-belah keperluan raya, baju raya, kuih raya, perabot raya, pergi bank tukar duit raya...dan lain-lain kehendak yang semuanya pasal nak raya sakan.

Raya punya pasal, jangan sampai bergolok bergadai atau sampai menghulurkan salam aidilfitri kepada ahlong sudahlah ye...cukuplah berbelanja ala kadar mengikut kemampuan sendiri.

 Seminggu dua sebelum raya ni, suasana nak raya dihangatkan lagi dengan alunan lagu-lagu raya lama dan baru. Dalam banyak-banyak lagu raya, lagu lama juga yang lebih diminati, lebih menusuk kalbu dan lebih membuatkan orang yang mendengarnya tak sabar-sabar nak raya...cheh!

Akhir kata Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang mengenali aku...dengan rasa rendah diri aku mohon maaf zahir batin atas segala keterlanjuran, terkasar bahasa (termaki, terkutuk, tercarut...), terkasar perbuatan (terlempang, terpukul) , terambil barang, ter'pau duit kawan2 dan semua 'ter' lain yang sewaktu dengannya. Dan dengan hati tulus ikhlas aku juga memaafkan segala dosa dan kesilapan kau, kau dan kau terhadap aku... jangan buat lagi ye.

Layan Top 5 lagu-lagu raya yang paling aku minat ni...


1. Suasana Hari Raya (Anuar & Ellina)
Lagu raya yang rancak ni diminati sejak zaman aku masih berhingus. Maklumlah penyanyinya pun budak-budak, maka kesannya terasa lebih dekat dengan budak-budak juga.




2. Suatu Hari Di Hari Raya (M.Nasir)
Sebuah lagi lagu raya yang rancak tapi mempunyai lirik yang sungguh syahdu... "Suatu hari di hari raya, ku lihat wajah suci ibuku, ku lihat wajah kasih ayahku, ku gembira. Mungkin inilah dia kebahagiaan."




3. Dari Jauh Kupohon Maaf (Sudirman)
Lagu raya yang hampir menyebabkan aku dibuang kerja tahun 1996 masa pertama kali kena kerja pada hari raya. Masa tu kerja di Genting Highlands, hari cuti lagi ramai orang datang, mana nak dapat cuti. Dengar je lagu ni time kerja, terasa sayu je hati ni terus aku cabut selamba je balik kampung. Bila balik bertugas, boss tambah 'cuti' lagi 1 hari (gantung kerja)... haha





4. Ku Pohon Restu Ayah Bonda (Al-Jawaher)
Ramai yang tak tau penyanyi asal lagu ni terutama generasi baru. Tapi versi Mamat pun OK juga. Cuma rasa lain macam dengan lirik ni... "Kan ku sujud di kakimu, bila kita bertemu,.". Huh? Boleh ke sujud sesama manusia?




5. Kepulangan Yang Dinanti (Aman Shah)
Adakah mak aku ternanti-nanti kepulangan (kedatangan lebih tepat) anaknya ini? Mestilah...aku kan anak jantan kesayangan...hehe. Apapun aku suka irama lagu ni.




Berhati-hati di jalanraya & lebuhraya, jangan sampai terlanggar balairaya di kampung anda. Wassalam...

06 September, 2009

Alkisah Ramadhan 2009

Salam 16 Ramadhan.



Puasa Ramadhan
Terus terang saja, aku berjaya berpuasa penuh hanya dalam 2-3 tahun kebelakangan ini saja. Sebelum itu tak pernahnya cukup, ada je kantoinya. Mungkin sebab kurangnya penerapan keimanan semasa zaman kanak-kanak (aku bukanlah terdidik dalam persekitaran yang baik-baik macam kau), ditambah pula kenakalan zaman remaja dan seterusnya menjadi kebiasaan bila usia mencecah dewasa. Dan aku tak peduli apa anggapan kau terhadap aku. Apa yang penting (bukan kerjasama...dah basi dah ayat wonderpet tu)...apa yang penting aku mahu, cuba dan sedang berubah menjadi lebih baik...walaupun mungkin tak sebaik kau.



Solat Tarawih
Agaknya blog ni tak ber'update dalam bulan Ramadhan ni mungkin sebab tuan punya blog ni menumpukan sepenuh perhatian untuk beribadah. Hmmm...tak juga. 

Sehingga pertengahan Ramadhan ni, baru 4-5 kali aku ke masjid untuk bertarawikh. Dari pemerhatian aku yang jahil ni, di awal Ramadhan begitu ramai yang bertarawikh. Bila dah pertengahan, jemaah tarawikh semakin kurang...kurang dan kurang...kenapa agaknya ye??? Ke mana pulak mereka ni pergi??? 

Bazar Ramadhan 
Sehingga 16 Ramadhan, baru 4 kali aku ke bazar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka. Aku dan isteri ada sedikit masalah mental dalam memutuskan makanan yang patut dibeli. Rambang mata dibuatnya, tengok tu sedap...tengok ni pun sedap... Akhirnya hanya beli sejenis kuih atau sekeping murtabak atau sebuku roti john dan sebungkus air. Belum pernah lagi beli lauk pauk sebab dah serik terkena semasa Ramadhan yang lepas-lepas... Ada yang mahal nak mampus...ada yang tak sedap langsung...ada yang dah nak basi... Lebih baik lah kami masak sendiri...tak sakit hati. 

Berbuka 
Kebiasaannya kami berbuka hanya dengan minum air, sedikit kurma dan sedikit kuih-muih. Selepas solat maghrib barulah makan yang berat-berat. Kalau terus berbuka dengan makanan berat...alamatnya tersandar dan terbongkanglah macam ular sawa lepas tu... 

Berbuka di luar 
Setakat ni baru dua kali berbuka puasa di luar. Itu pun sebab isteri aku dah blur tak tau nak masak apa dah. Sekali-sekala perlu juga bertukar selera. 

Sahur 
Isteri aku bangun pukul 4.45 am...dialah yang biasanya memasak menu ringkas untuk bersahur. Aku yang bangun pukul 5.00 am ni hanya jadi tukang kemas, tukang makan dan tukang basuh pinggan je. Kalau hari bekerja, memang tak tidur terus selepas subuh...kalau tidur alamatnya terlajak perahulah jawabnya. Tapi bila hari cuti, lepas subuh sambung tidur balik lah... (jangan ikut perangai ni...tak elok tu!) 

Mendidik anak berpuasa 
Anak sulung aku baru umur 5 tahun...ikutkan aku biarlah dulu budak tu. Tunggulah Ramadhan tahun depan bila dah umur 6 tahun bolehlah mula belajar berpuasa suku hari/setengah hari/sepenuh hari. Ada sesiapa yang nak kongsi pengalaman mengajar anak berpuasa??? 

Mengandung dan Puasa 
Islam membenarkan wanita mengandung untuk tidak berpuasa jika bimbang memudaratkan bayi dalam kandungan. Namun beberapa kajian (orang yang kaji bukan aku!) menunjukkan berpuasa semasa mengandung sememangnya selamat asalkan mengamalkan pemakanan seimbang. Isteri aku yang mengandung dah masuk 7 bulan memilih untuk berpuasa. Nampaknya tahun ni isteri aku bakal berpuasa penuh. Taknak cerita banyak pasal ni, di luar bidang kuasa aku! Maklumat lanjut boleh rujuk di SINI 

Cukuplah coretan aku pasal Ramadhan ni. Selamat berpuasa dan semoga puasa aku pun selamat.

01 September, 2009

Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia!!!

Entri ini sekadar peringatan untuk diri sendiri sebenarnya. Juga untuk sesiapa sahaja yang mahu dirinya diberi peringatan. Sudah Bersediakah Kau Ketika Dipanggil Pulang Oleh Allah SWT?!!!

Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan!

Berwudhu'lah kamu sebelum kamu diwudhu'kan!

Bersolatlah kamu sebelum kamu disolatkan!

Tutuplah auratmu sebelum auratmu ditutupkan!
Dengan kain kafan yang serba putih!

Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih.... Walaupun orang yang hadir itu merintih....

Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai.... Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah Dengan empat kali takbir dan satu salam Berserta Fatihah, Selawat dan doa....

Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah

Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus....

Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?

Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud....

Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?

Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian....

Justeru ku menyeru sekelian Muslimin dan Muslimat....

Usunglah dirimu ke tikar Solat....

Sebelum kamu diusung ke liang lahad....

Menjadi makanan cacing dan mamahan ulat!

Iringilah dirimu ke masjid....

Sebelum kamu diiringi ke Pusara!

Tangisilah dosa-dosamu di dunia....

Kerana tangisan tidak berguna lagi di alam baqa'!

Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan!

Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan.. ..

Dengan panggilan 'Izrail yang menakutkan!

Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan!

Kerana ianya berguna untuk yang tinggal....

Bukan yang pergi!

Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan! 

Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan!

Ingatlah di mana saja kamu berada....

Kamu tetap memijak bumi Tuhan!

Dan dibumbungi dengan langit Tuhan!

Serta menikmati rezeki Tuhan!

Justeru bila Dia menyeru,....

Sambutlah seruan-Nya Sebelum Dia.... memanggilmu buat kali yang terakhirnya!

Ingatlah kamu dahulu hanya.... setitis air yang tidak bererti!

Lalu menjadi segumpal darah! 

Lalu menjadi seketul daging!

Lalu daging itu membaluti tulang!

Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti....

Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu....

Yang kalau jatuh ke tanah Ayam tak patuk itik tak sudu!

Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu....

Yang lebih agung dari malaikat!

Lahirmu bukan untuk dunia....

Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat!

Sambutlah seruan 'Hayya 'alas Solaah'....

Dengan penuh rela dan bersedia!

Sambutlah seruan 'Hayya 'alal Falaah'....

Jalan kemenangan akhirat dan dunia!

Ingatlah yang kekal ialah amal....

Menjadi bekal sepanjang jalan!

Menjadi teman di perjalanan.. ..

Guna kembali ke pangkuan Tuhan!

Pada hari itu tiada berguna....

Harta, takhta dan putera....

Isteri, kad kredit dan kereta....

Kondominium, saham dan niaga....

Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia!!!

 
Sumber: Email
Sumber asal: Tak pasti. Kalau kau punya...sila mengaku!
Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...