25 Julai 1975, bersamaan 16 Rejab 1395, Jumaat 12.00 pm - Lahirlah seorang bayi comel (agaknya) di Kg Paya Siput, Lanchang, Pahang. Itu aku! Anak kacukan cina (bapak aku) + jawa (mak aku). Disambut sendiri oleh nenek aku yang juga merupakan bidan kampung bertauliah.
Krisis rumahtangga melanda. Umur aku baru kira-kira tiga bulan, abah & mak bercerai. Aku & mak balik duduk dengan atuk & nenek aku. Hidup memang susah masa tu. Atuk cuma kerja kampung. Mak terpaksa kerja di kilang getah dan aku dijaga oleh nenek (kalau dia tak sibuk membidankan/mengurut orang) & makcik-makcik aku.
1981 – Dah sekolah tadika St. John di Mentakab, 11 km dari rumah, kena naik bas sekolah. Masa ni abah & mak masing-masing dah kahwin lain. Mak kahwin dengan seorang duda anak 4 dan tinggal di sebuah felda di Triang. Mula-mula mak bawa aku duduk sama, tapi bertahan lebih kurang sebulan je sebab asyik kena buli dengan adik beradik tiri aku, terus nenek aku ambil balik duduk dengan dia. Aku jumpa mak masa cuti sekolah je. Kesian mak menderita dalam diam tak dapat nak jaga anaknya yg comel ni. Dan aku, sebab dah terbiasa hidup macam ni dari kecik, tak ambil kisah pun. Dah takdir, terima sajalah.
Dengan suami baru, mak dapat lagi dua orang anak perempuan. Abah aku pulak kahwin dengan anak dara. Hubungan aku dengan abah agak dingin, bercakap pun cuma sepatah dua. Aku cuma jumpa abah sebulan sekali je, itupun sekejap je pasal nak ambik duit belanja nafkah aku.
1982 – Masuk Darjah 1 kat Sek. Ren. Abu Bakar, Mentakab. Aku ingat lagi nama kelas aku masa tu, 1 Oren...hahaha. Sekolah sini sampai darjah 2 Oren je. Nasib baik takde kelas 2 Sirap!
inilah budak-budak kelas 2 Oren...
1984 – Darjah 3, bertukar ke sekolah yang baru dibina dekat kawasan kampung aku, hanya 1km dari rumah, Sek. Keb. Desa Bakti, Mentakab. Pergi sekolah jalan kaki je. Nama kelas aku dah tak ingat pasal ala-ala skema macam Bersih, Cekap, Amanah. Cer bagi nama Oren senang la nak ingat...hehe.1985 – Darjah 4. Disunatkan beramai-ramai tanpa belas kasihan kat Sek. Keb. Rantau Panjang, Lanchang. Lebih kurang 30 orang yg nak disunatkan termasuk beberapa sepupu aku, dan aku dapat angka giliran no. 3 kalau tak silap aku. Lega, tak payah tunggu giliran lama sangat, seram juga dengar budak-budak sebelum aku menjerit kesakitan. Macam mana la kalau aku dapat giliran ke-30...mau terkencing aku agaknya.
1986 – Exam Penilaian Darjah 5, dapat 3A 2B...kira OK le tu. Walaupun aku agak nakal dan malas belajar, tapi alhamdulillah aku dikurniakan otak yg agak cerdas dan hati yang agak terang... aku agak je tu. Masa sekolah rendah ni, kalau exam aku sentiasa dalam ranking top-5 laa. Sekarang ni penilaian darjah 5 dah takde, ganti dgn UPSR.
1987 – Darjah 6, entah macam mana dilantik jadi pengawas, walaupun agak nakal. Bergaduh je kejenya, kacau orang, pow duit kat budak-budak junior untuk menambahkan duit belanja aku yang sikit tu. Alah, pow seposen sorang je, kalau pow 5 orang dah dapat lima posen... (Amaran: jangan tiru aksi ini di sekolah!). Masa rehat cikgu suruh bertugas tapi aku pergi main bola atau main guli kat padang...hehe
Darjah 6
Kalau kat kampung, aku mengamalkan prinsip harta orang harta aku, kebun orang kebun aku... dahlah curik buah kat kebun orang, siap pergi jual lagi, teruk betul bila dikenang balik. Yang paling aku tak boleh lupa, kenakalan aku pernah hampir meng'arwah'kan sorang budak masa berkubang dalam kolam ikan orang. Gaduh pasal apa entah, aku benamkan kepala dia dalam kolam sampai hampir lemas, naik biru pucat dah muka dia. Kawan-kawan angkat ke tebing badan dia dah lembik semacam je. Bila diorang pergi mengadu kat bapak dia, aku pun cabut lari la. Agaknya pastu bapak dia yang kebetulan ustaz yang ajar aku mengaji mengadu kat atuk aku, kena kejar pulak dengan batang kayu keliling kampung.Bila tertangkap, atuk aku libas cukup-cukup pastu dia ikat aku kat pangkal pokok dan dibiarkan sampai malam. Meraung la aku ketakutan. Agak-agak dah lama juga lepas tu nenek aku datang lepaskan...lega. Nenek memang kool! Lepas peristiwa tu, ustaz tu dah tak nak ajar aku mengaji dah. Cerita bab mengaji ni, tak silap aku ada 6 orang ustaz yg silih berganti mengajar aku. Dua daripadanya separuh jalan tak nak ajar aku pasal bengang aku belasah anak diorang...hahaha kelakar pulak bila diingat balik.
Pernah juga aku baling batu kat sorang budak perempuan sampai berdarah dahi lalu bapaknya mengadu kat atuk aku. Apalagi, makan talipinggang la aku jawabnya. Atuk aku ni memang agak brutal dan panas baran orangnya, almaklumlah bekas guru silat merangkap pengikut Kiai Salleh Selendang Merah. Mungkin sebab kenakalan aku, satu buah silat pun dia tak turunkan kat aku. Yang selalu aku dapat, 'buah tangan' dia je. Terpaksalah menuntut kat guru lain. Walaupun gitu, aku tau atuk sayangkan aku.
1988 – Naik Tingkatan 1 kat S.M Datuk Bahaman, Lanchang. Abah aku dah sound, kalau nak dia tanggung belanja sekolah, aku kena duduk dengan dia sambil tolong kerja-kerja kat kilang perabot rotan dia. Hubungan abah dengan keluarga sebelah mak aku memang tak berapa baik. Atuk & nenek yang hidup susah terpaksa (agaknya) melepaskan cucu kesayangan mereka ni tinggal bersama abahnya.
Tingkatan 1... keciknya aku...
1989 – Tingkatan 2. Takde rasa gembira duduk dengan abah. Sebelum pegi sekolah (petang) kena kerja cuci rotan dulu, kawan takde, jiwa kacau. Cuma makan pakai agak mewah, badan aku pun agak debab time ni...melantak je kejenya. Tapi pelajaran makin merosot, kalau exam, gerenti duk kat ranking no. 20 ke atas dalam kelas. Seingat aku pernah juga dapat no.2 dari belakang, hehe...mengabihkan boreh betul.
Tingkatan 2
Sejak hari tu aku dah tak pernah jumpa abah aku lagi (termasuk mak tiri & adik2 tiri aku), dan dia pun tak pernah nak jumpa aku, walaupun rumah tak jauh mana. Tak tau kenapa. Agaknya masing-masing sama-sama keras hati kot. Terus terang, sebenarnya aku takde perasaan apa-apa kat abah aku tu...sayang pun tak, benci pun tak, marah pun tak...ntahlah susah nak diterangkan.
1990 - Tingkatan 3. Atuk & nenek pun dah tak berapa sihat. Pencari rezeki keluarga ni sekarang adalah Achik (makcik aku yang belum kahwin) dan adiknya Busu (pakcik aku) yang masih tinggal bersama kami walaupun dah kahwin. Diorang yang hanya kerja kilang getah jugalah yg menanggung persekolahan aku seadanya. Akupun time lepas waktu sekolah & cuti sekolah, kerja part time kat kilang papan, lepaslah buat belanja sekolah sikit-sikit dan err...belanja rokok. Hampeh!
Tingkatan 3
Bersambung Part 2.......
No comments :
Post a Comment
Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
namun jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen untuk memudahkan komunikasi... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen... terima kasih.