PTT Outdoor

25 January, 2009

Transformasi kereta buruk aku!

~ Ini kereta pertama aku. Dah habis bayar. Fizikal luarannya dah hampir ke tahap untuk dijadikan tukun tiruan. Pernah juga dihempap dahan reput. Tapi enjin masih OK. Jadi rasanya nak pakai je la sampai reput. Buat masa ni malas nak menambah hutang lagi. Peduli apa aku dengan orang lain yang berkereta baru yang besar menjalar. Kereta besar bermakna hutang pun besar. (Hehe...ini ayat nak menyedapkan hati je sebenarnya. Kereta ni aje yang termampu aku pakai buat masa ni, bersesuaian dengan 'periuk nasi' aku yang kecik!)

~ Sebelum mereput, aku buat la transformasi sikit.



~ Cat baru je sebenarnya hehe, asal nampak lawa sikit pada pandangan mata aku sudah! Tiada modifikasi pada enjin, suspensi dll...semua standard. Tak percaya? Nak test? Jangan! Tak sanggup aku makan asap kereta korang!

03 January, 2009

Sg. Klah Hot Spring, Sungkai

- Dalam perjalanan nak balik Sungai Buloh dari Ipoh, ikut jalan lama, tergerak hati nak singgah Sg Klah Hot Spring, Sungkai ...bawa anak-anak mandi-manda. Air panas ada, air suam ada & air sejuk dari gunung pun ada.

- Selain mandi-manda, aktiviti-aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini seperti merebus telur ayam di tempat yang dikhaskan (kepanasan airnya menghampiri tahap didih agaknya). Bila telur dah masak sudah tentulah disusuli aktiviti memakan telur rebus. Takkan dah rebus nak buang begitu sahaja...ye tak? 

Kalau tak nak mandi, cukuplah sekadar merendam kaki di Taman Terapi. Di sini juga terdapat laluan refleksologi dalam air panas...dan kau boleh berjalan di dalamnya untuk merasai sedikit kesakitan di tapak kaki tapi kesannya boleh melegakan urat saraf di seluruh badan. Cubalah!


 Amaran: Mengikut petua orang lama; lelaki tak elok mandi air panas selalu...boleh rosak benih nanti, tak berzuriat pulak korang. Dan aku tak nak bertanggungjawab kalau 'telur' korang jadi telur setengah masak pulak nanti... haha!

02 January, 2009

Cuti-Cuti Malaysia: Jelajah Perak 2008

Menghabiskan cuti panjang hujung tahun bersama keluarga dengan menjelajah negeri Perak. Main redah je. Ikuti catatan ringkas perjalanan kami:

- 26 Disember; Bertolak dari Sungai Buloh melalui Jalan Kuala Selangor - Sabak Bernam - Teluk Intan - Teluk Batik - Lumut. Menginap semalaman di chalet Pantai Teluk Senangin, Lumut. Agak jauh tersorok ke dalam dari jalan besar. Chalet buruk yang cuma ada tilam & bantal tapi harganya RM 70. Bekalan elektrik dijana generator membuatkan tidur malam agak terganggu disebabkan bunyi bisingnya. 


- 27 Disember; Bertolak ke Taiping. Jalan-jalan cari makan dan cari pasal di sekitar Taiping; Zoo Taiping, Taman Tasik Taiping, makan yong tau foo kat balai bomba. Malam lepak kat hotel je. Anak bini dah penat!
 
- 28 Disember; Pagi nak naik Bukit Larut tapi tiket 4WD 'sold out'. Pergi pulak Kuala Gula tapi 'under renovation'. Musim cuti sekolah ni banyak betul halangannya. Ronda-ronda ke Kuala Kurau, Bagan Serai dan Bukit Merah. Lepas tu patah balik semula ke Taiping & Kuala Sepetang. Menjelajah hutan bakau Kuala Sepetang dan naik bot menyusuri sungai Kuala Sepetang. Nak balik singgah dulu pekena mi udang paling top di Kuala Sepetang, mi udang Makteh. Rasanya biasa saja mengikut selera tekak aku. Mungkin yang membuatkan ianya 'special' sebab udangnya banyak (kena selak udang baru nampak mi). Pastu balik Ipoh rumah mertua.

- 29 Disember; Jalan-jalan rumah saudara mara di sekitar Ipoh shj.

- 30 Disember; Bawak mertua sekali pergi ke rumah abang ipar yg bertugas sebagai tentera di Kroh (Pengkalan Hulu). Petang ronda-ronda sekitar kedai kat sempadan Siam & Pekan Kroh. Nak masuk Siam (Betong) hujan lebat pulak. Malam mandi kolam air panas Ulu Legong Hot Spring, Baling (oops...macam mana boleh ter'masuk' Kedah pulak ni?). Meriah betul kat sini. Kata abang ipar aku, kalau malam cuti ramai yang lepak sampai ke subuh. Pukul 1.00 pagi baru balik ke rumah abang ipar di Kroh.

- 31 Disember; Bertolak balik Ipoh. Singgah Pekan Grik beli lauk nak buat BBQ. Mandi-manda, lepak & BBQ di Lata Kekabu, Sauk. Elok-elok panas terik tiba-tiba hujan pulak. Balik singgah beli ikan pekasam Tasik Raban. Petang baru sampai Ipoh.


Esok nak balik Sungai Buloh. Badan dah penat dan poket pun dah tenat. Adehh...

01 January, 2009

Selamat Tahun Baru 2009

Selamat Tahun Baru 2009. Jangan tanya apa azam aku sempena tahun baru ni. Aku tak pernah ada azam baru sebab aku rasa mengarut je azam tahun baru ni. Kalau aku rasa nak berubah kepada sesuatu yg lebih baik maka aku akan lakukan sekarang juga...atau sekejap lagi...atau esok...atau lusa... tapi kenapa perlu aku tunggu sampai tiba tahun baru? Korang macam mana? Terpulang!

21 December, 2008

2nd Birthday Aliff Najmuddin

Harijadi anak kedua aku yang ke-2 tahun. Memandangkan aku seorang yang sangat simple, anak-anak pun aku simple'kan juga. Maka tiadalah sambutan besar-besaran, cuma ajak kawan-kawan anak aku yang dekat-dekat rumah je untuk memeriahkan suasana.

Menikmati sebiji kek buatan sendiri isteri aku dan sedikit kuih muih...sudah! Belikan juga sedikit hadiah kecik dan buatkan sebiji kek lagi untuk dihantar ke taska, biar dapat dimakan beramai-ramai dengan kawan-kawannya...sudah! Asalkan dia tahu ibu & bapaknya ini sayangkan dia sepenuh hati...sudah!
 

Bagi aku membazir je buat parti harijadi besar-besaran...sesetengahnya jemput tetamu satu kampung macam nak buat kenduri kahwin pun ada. Tapi kalau kau dah banyak sangat duit suka hati kau la nak buat besar-besaran pun... (jangan lupa jemput aku... hoho)

Kenapa aku berfikiran macam ni? Mungkin sebab aku dari kecik sampai besar tak pernah rasa ada majlis sambut harijadi. Almaklumlah orang kampung... kehidupan pulak agak susah. Seingat aku masa aku kecik2 dulu adalah sekali tu arwah nenek aku buatkan bubur pulut hitam sempena harijadi aku...walaupun aku sendiri selalu tak ingat dan tak ambil kisah pun pasal harijadi aku sendiri.

Maka kepada anak-anakku... ayah pun tak nak mengajar korang beria-ia sangat nak sambut harijadi... simple2 sudah ok. Selamat Hari Jadi Aliff Najmuddin!

09 December, 2008

Aidil Adha @ Taman Rekreasi Gunung Lang

Cuti raya haji lepas balik beraya di Ipoh, rumah mertua. Biasalah raya haji ni suasana raya tak begitu meriah. Cuti pun singkat, di kampung saudara mara pun tak ramai yang balik. Lepas solat raya dan tengok penyembelihan korban di masjid, tiada aktiviti nak dibuat. Ronda punya ronda sekitar Ipoh ntah camne sampai kat Taman Rekreasi Gunung Lang. Walaupun bini aku orang Ipoh tapi dia pun tak pernah sampai sini, appadaa!

Sedikit info dari Wikipedia...

Gunung Lang yang terletak hanya lima kilometer dari bandar Ipoh adalah salah satu gunung batu kapur yang banyak terdapat di negeri Perak, khususnya di Lembah Kinta. Gunung Lang telah dijadikan kawasan rekreasi oleh Majlis Bandaraya Ipoh(MBI) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan pada tahun 1999. Taman ini dilengkapi dengan tiga buah tasik buatan dari bekas lombong bijih timah.


Tasik yang tenang menghijau dipenuhi dengan pelbagai ikan air tawar 
seperti kap, koi, lampam, patin, keli, talapia.. dll


Naik bot menuju ke seberang... 

mula bergerak meninggalkan jeti 


di pertengahan perjalanan
  
ini nakhodanya...


ada kawan aku orang Ipoh kata, menjelang maghrib tempat ni agak 'keras'...


'keras' bukan sebab banyak batu ye!...sekadar peringatan, tak nak percaya sudah!

latarbelakang: rumah tradisional Perak


taman permainan...awasi anak-anak, banyak monyet di sini



tunggu bot...nak balik dahh...


Cara ke sana:
Jika anda dari bandar Ipoh, anda perlu mengikuti Jalan Kuala Kangsar yang menuju ke Kuala Kangsar. Hanya 5 minit dari dari bandar Ipoh. Jika anda dari Kuala Lumpur, anda hanya perlu keluar dari Lebuh raya Utara Selatan di susur keluar Ipoh Utara 1 km dari situ anda akan temui papan tanda Taman Rekreasi Gunung Lang.

Tempat letak kereta luas di tepi tasik secara percuma. Tambang untuk menaiki bot : RM3 bagi dewasa, RM2 bagi pelajar sekolah menengah, RM1 pelajar sekolah rendah, RM0.50 sen bagi kanak-kanak dan warga emas RM1.50 untuk ke pulau itu sejauh kira-kira 300 meter. Lebih kurang 10 minit je naik bot. Makanan ikan pun banyak dijual di sana.

Maklumat lanjut di Wikipedia


Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...