30 June, 2020

Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Penangan virus pandemik Covid-19, bermulalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan Malaysia untuk mengekang penularan wabak ni... pertama kali dalam sejarah Malaysia ni rasanya.

~ Disebabkan semua pejabat kerajaan, sekolah dan premis perniagaan bukan keperluan diarah tutup, maka berkurunglah kita di rumah masing-masing... Hanya ketua keluarga boleh keluar beli barang keperluan dan setiap kali nak masuk kedai diwajibkan pakai pelitup muka, pencuci tangan dan ada penjarakan sosial. Aku pun 2-3 hari sekali je baru keluar ke kedai sebab malas nak beratur panjang... sekali keluar tu pun ambil masa 4-5 jam sebab kena beratur lama dan kena pergi 4-5 kedai nak mencukupkan barang keperluan.

~ Walaupun ofis tutup, kerja tetap kena jalan... malah rasanya macam lebih banyak dari biasa. Ada pro & kontranya Bekerja Dari Rumah (BDR) ni... Seronok pasal dapat lebih masa bersama keluarga, tak perlu menyabung nyawa di jalanraya dan tak perlu terkejar nak punch kad. Tapi dalam masa yang sama kerja dah tak tentu masa kadang kena berjaga sampai 2-3 pagi bila dah dekat dateline, bos pulak tanya pasal kerja dah tak kira masa... demi tugas layankan saja... buktikan pada bos kita boleh BDR... kalau boleh BDR sampai pencen pun aku sanggup.

~ Masa lapang aku banyak dihabiskan dengan bertukang dan berkebun di tanah depan rumah aku yang sekangkang kera. Nanti kalau rajin aku buat satu posting lain hasil pertukangan dan kebun aku tu. Si ibu pulak banyak menghabiskan masa dengan memasak macam-macam resepi. Manakala anak-anak sibuk dengan kelas online Google Classroom dan menyiapkan tugasan dari cikgu masing-masing. Terpaksalah mak bapak berkongsi hp dengan anak-anak. Habis kerja sekolah main gajet atau tengok tv pulak berjam-jam... sesekali bermain permainan saidina & sahibba sekeluarga. Sambil-sambil tu dapat juga melatih anak-anak bergotong-royong mengemas rumah, cuci bilik air, belajar memasak menu mudah dengan ibunya.. serta tolong ayah bertukang dan berkebun. Ada hikmahnya PKP ni, dapat mengeratkan lagi hubungan ibu bapa dan anak-anak dengan meluangkan lebih masa bersama.

~ 24/4/2020 - bermulanya 1 Ramadhan. Tiada bazar Ramadhan tapi kalau malas nak masak boleh je order online. Alhamdulillah dapat bersolat terawih dan witir berjemaah sekeluarga setiap malam. Gilir-gilir jadi imam, bilal dan siak dengan anak-anak bujang.

~ 1/5/2020 - Happy B'day Along. Pertama kali dapat sambut b'day dia di rumah selepas 4 tahun tinggal di asrama.

~ 24/5/2020 - Pertama kali dalam hidup menyambut hari raya Aidilfitri di rumah sendiri sebab sekatan perjalanan, tak dibenarkan balik kampung rentas negeri... Malam sebelum raya sempat bakar lemang dengan beberapa jiran untuk hidangan di pagi raya. Pertama kali juga jadi imam dan khatib solat sunat Aidilfitri... kalau tak kerana PKP mana ada orang nak bagi aku jadi imam solat raya hehe. Selesai solat dan khutbah raya, sesi video call bersama keluarga yang jauh di mata. Walaupun masa raya ni dalam tempoh PKP Bersyarat di mana dibenarkan berziarah sesama jiran terdekat dan saudara mara dalam negeri yang sama... dengan syarat patuhi SOP penjarakan sosial serta tak lebih 20 orang dalam satu rumah, tapi kami memilih tak keluar ke mana-mana... kurangkan risiko setakat yang boleh.

~ 1/6/2020 - Ulangtahun perkahwinan yang ke-17. Dah boleh masuk bertugas di pejabat, tapi siapa nak mohon BDR dibenarkan, dengan syarat bagi justifikasi kukuh seperti terpaksa menjaga anak kecik sebab taska tutup dan sebagainya. Aku pun tak melepaskan kesempatan mohon BDR juga selagi ada peluang hihi... Masuk pejabat 2x seminggu je... yang penting kerja jalan dan selesai seperti yang diamanahkan.


~ 26/6/2020 - Baru berkesempatan balik kampung menziarahi keluarga setelah sekian lama. Balik semula dengan membawa bersama kucing baru dari kampung... si Oneng.


Catatan PKP 

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
18 Mac -12 Mei 2020

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)
13 Mei - 9 Jun 2020

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)
10 Jun - 31 Ogos 2020

~ Semua pejabat di seluruh Malaysia diarah tutup dan kerja-kerja dilaksanakan sepenuhnya dari rumah. 
~ Kedai menjual keperluan asas dan makanan sahaja boleh dibuka, dengan hanya beberapa orang sahaja dibenarkan berada di dalam kedai. Pelanggan perlu mematuhi SOP penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan pencuci tangan. Sebelum masuk kedai perlu daftar dan diambil suhu badan sebelum dibenarkan masuk kedai. Maka terpaksalah beratur panjang setiap kali ke kedai.
~ Pita pelekat dilekatkan di atas lantai kedai untuk menentukan jarak selamat 1 meter di antara pelanggan.
~ Ramai orang memakai penutup muka dan sarung tangan apabila keluar rumah.     
~ Restoran dan kedai-kedai makan ditutup, hanya dibenarkan bungkus sahaja. 
~ Semua premis perniagaan termasuk kilang-kilang selain daripada ‘Servis Keperluan’ (Essential Services) yang disenaraikan mestilah menutup premis masing-masing.
~ Semua sekolah dan institusi pendidikan ditutup sepenuhnya dan pembelajaran dilaksanakan secara atas talian melalui Google Classroom/Meet/Whatsapp/Telegram. Ibu bapa terpaksalah bergilir guna gajet dengan anak-anak.
~ Semua acara sukan di seluruh dunia dibatalkan serta merta... tak meriah rasanya tak dapat tengok live bola.
~ Semua aktiviti pelancongan dan acara hiburan dibatalkan.
~ Majlis perkahwinan dan pelbagai sambutan majlis yang melibatkan perhimpunan ramai tidak dibenarkan.
~ Tiada lagi solat berjemaah di masjid dan surau, dan rumah-rumah ibadat ditutup.
~ Taman permainan kanak-kanak ditutup.
~ Berlakunya pembelian panik barangan keperluan termasuk topeng muka dan cecair pembersih tangan.
~ Sekatan jalan raya oleh polis & tentera di lokasi strategik dan pergerakan terhad kepada urusan penting sahaja tidak melebihi radius 10 km dari tempat kediaman.
~ Harga minyak jatuh sehingga RM1.25 seliter, tapi apa guna sebab tak boleh nak ke mana-mana.
~ Tiket kapal terbang murah, namun tidak boleh keluar melancong.
~ Sidang media dari Kementerian Kesihatan bagi kemaskini kes baru, yang telah sembuh dan pesakit yang meninggal dunia dilakukan setiap hari.
~ Jalan raya menjadi kosong tanpa kelibat manusia.
~ Pekerja kesihatan menjadi takut untuk pulang ke rumah dan berjumpa keluarga bimbang menjangkiti ahli keluarga.
~ Bantuan Prihatin Nasional oleh Kerajaan dimasukkan dalam akaun masing-masing. Alhamdulillah tq PM. Sedikit sebanyak dapat meringankan beban terutamanya untuk yang terkesan dengan sekatan aktiviti perniagaan.

Itulah antara perkara-perkara yang berlaku ketika peringkat awal PKP, sebelum dilonggarkan sikit demi sikit ketika PKPB & PKPP - buat renungan sepanjang hidup di bumi Allah Taala... begini rasanya bila sebahagian nikmat hidup ditarik balik buat seketika...


1 comment :

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
namun jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen untuk memudahkan komunikasi... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen... terima kasih.

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...