14 January, 2019

Memancing di perairan Pulau Angsa & Pulau Ketam

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Trip memancing kali ni di sekitar perairan Pulau Angsa dan Pulau Ketam. Kami berlima naik bot dari Jeti Sementa, Kelang. Pakej memancing pagi sampai petang bersama tekong Iwan, RM500 satu bot, siap umpan hidup dan ais.

~ Umpan yang dibekalkan adalah sotong kurita, udang lipan dan udang hidup. Kalau nak guna umpan lain seperti pumpun atau udang pasar kenalah beli sendiri.


~ Mula-mula kami dibawa memancing di perairan berdekatan Pulau Angsa. Kemudian berpindah randah hinggalah ke perairan Pulau Ketam dan lokasi berdekatan rumah rakit, sangkar ikan dan lokasi berdekatan Northport. Mujurlah dapat tekong yang rajin berpindah lokasi bila ikan dah kurang mengusik umpan.

~ Alhamdulillah tak mabuk sebab waktu kami pergi ni air mati, jadi laut tenang tak bergelora sangat.  Apahal pun sebelum naik bot kena telan juga ubat mabuk sebagai ikhtiar. Ubat mabuk biasa je cap Hurix (Travel-Care). Cuaca hari tu cerah dan panas. Struktur laut pun tak begitu dalam sangat, sekitar 10-15 meter lebih kurang.

~ Hasil yang diperolehi antaranya pari, jenahak, tetanda, tuka, semilang, bolos, baguk, gerut, duri, gelama dan tak ketinggalan si buntal.... Alhamdulillah dikurniakan rezeki yang agak lumayan juga.


12 January, 2019

Sekolah Sesi 2019

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Ini sekadar catatan persekolahan anak-anak.

Along : Sedar tak sedar tahun ni anak bujang aku ni dah tingkatan 3... dah membesar lebih tinggi dari ibunya. Tahun ni balik ke asrama lewat 2 minggu dari sekolah biasa sebab menunggu bangunan asrama baru dan kompleks pengajian yang baru dibina siap sepenuhnya... Kompleks maahadnya ada kemudahan serba lengkap tapi dalam suasana kampung yang lebih tenang. Semoga lebih bersemangat dalam belajar dan hafazannya.

Angah : Dah naik tingkatan 1 tahun ni... bersekolah sesi petang je. Dah tak sekolah agama ni pagi ada banyak masa terluang... bolehlah dipertanggungjawabkan untuk basuh baju sekolah sendiri... belajar berdikari macam Along. Tahun lepas sibuk dengan exam PSRA & UPSR, tahun ni bolehlah bertenang sikit. Keputusan PSRA; Angah dapat 2A dengan pangkat keseluruhannya Jayyid... kira baik juga tu walaupun tak capai tahap Mumtaz... tahniah Angah. Keputusan UPSR pulak, alhamdulillah lulus semua subjek walaupun takde A... tahniah Angah. UPSR je punnn... masih jauh lagi perjalanan hidup tu, tak berapa cemerlang dalam UPSR tak semestinya akan gagal dalam hidup... Bila dua orang anak dah masuk sekolah menengah ni, tetiba terasa makin tua pulak kih3.

Aina : Dah masuk tahun 4 anak dara ayah ni. Tahun ni Aina macam biasa bersekolah agama sesi pagi dan sekolah kebangsaan sesi petang. Tahun ni terpaksa hantar Aina ke taska transit lepas habis sekolah agama sebab ibunya dah tak boleh kerap sangat keluar pejabat ambik dan hantar anak-anak. Bos baru garang katanya.


Harapan ayah dan ibu semoga dipermudahkan segala urusan anak-anak dalam pelajaran. Yang penting jaga akhlak,  insya Allah berjaya dunia akhirat.

Sekian kisah 3 beradik kembali ke sekolah.

P/S - Tahun ni dah boleh pakai kasut sekolah warna hitam... memang sangat memudahkan sebab tak perlu kerap basuh (dah masuk 2 minggu sekolah pun masih tak kotor). 4-5 tahun lepas masa anak-anak kecik lagi dan kasut sekolah diorang bapaknya ni tolong basuhkan, aku pernah hantar cadangan kat FB Menteri Pendidikan yang dulu agar dipertimbangkan tukar kasut kepada warna hitam. Walaupun mungkin cadangan aku masa tu dibakulsampahkan tapi alhamdulillah zaman menteri baru ni cadangan aku terlaksana akhirnya... heheh.


05 January, 2019

Berkelah di Air Terjun Serendah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Sekolah dah buka, tapi Along masih bercuti sampai minggu depan sebab maahadnya buka lambat sikit berbanding sekolah biasa. Jadi sementara cukup korum ni, bawa anak-anak berkelah lagi, kali ni di Air Terjun Serendah pula.

~ Air terjun ni jaraknya cuma kira-kira 4 km dari simpang lampu isyarat Kg. Dato' Harun, Serendah. Kena lalu Kg Orang Asli dan Pusat Serenti Serendah. Sekarang dah ada apps Waze tak payah cerita banyaklah kot pasal arah nak ke sini.

~ Kami keluar awal pagi. Tak jauh sebelum sampai air terjun, akan jumpa Kolam Pancing Mando di sebelah kiri. Memang dah rancang nak singgah memancing, hajatnya nak bagi peluang anak-anak merasa tarik ikan besar. Sempatlah bancuh umpan dedak perisa strawberi semalam. Memancing 3 jam kena bayar RM35 satu joran. Persekitaran kolam bersih dan cantik, disediakan juga pondok-pondok kecil lengkap dengan kipas. Namun rezeki tak menyebelahi, membangaulah kami selama 3 jam tu termasuk 3-4 orang pemancing lain termenung tak dapat ikan. Padahal banyak je ikan berjoget-joget di tengah kolam. Cuma ada sorang pakcik tu yang dapat naikkan 2 ekor patin. Mungkin umpan kami tak menepati citarasa ikan-ikan di sini.

~ Kecewa memancing, kami ke air terjun pulak. Bayaran masuk cuma RM1 je untuk satu kereta. Di sini ada gerai makanan, surau, tapak perkhemahan yang luas, taman permainan kanak-kanak, pondok rehat serta tandas yang bersih. Di depan air terjun ada 3 pondok batu yang sentiasa lembab kena percikan air terjun... siapa cepat dia dapat.


~ Air terjunnya jernih, sejuk dan menyegarkan. Walaupun rendah je tapi deras airnya terutama di bawah air terjun yang katanya ada pusaran air. Terdapat juga tempat cetek yang sesuai untuk kanak-kanak tapi kena sentiasa perhatikan supaya tak pergi ke tempat yang agak dalam. Khabarnya pernah juga berlaku kes kematian di sini akibat kejadian kepala air. Jadi sentiasalah peka dengan keadaan cuaca... agak-agak nampak cuaca gelap atau hujan tu cepat-cepatlah naik.

~ Waktu kami di sini alhamdulillah cuaca baik... dapatlah anak-anak mandi-manda puas-puas sebelum berangkat balik menjelang jam 3.00 pm.


01 January, 2019

Selamat datang Nine

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Memperkenalkan... ahli keluarga baru kami... anak kucing betina yang baru dipungut dari kampung di Pahang.

~ Sebab asal dari Pahang, dan sebab dia kucing betina... kita bagilah nama dia Nine (sebutannya Ni-Ner), sempena nama anak tok lebai dalam lagu Makwe Koi... hehe.


~ Harapnya kehadiran Adik Nine dapatlah diterima dengan baik oleh Abang Oyen... wah makin obes nampaknya Abang Oyen sekarang ni.


Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...