23 December, 2018

Berkhemah di The Nahara, Kalumpang 2.0

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Keseronokan berkhemah di The Nahara, Kalumpang tiga tahun lepas membuatkan anak-anak ajak repeat. Kebetulan cuti panjang 4 hari sempena krismas dan on de way balik kampung di Ipoh, kami singgah berkhemah semalaman di The Nahara.


~Tempat ni diselenggara dengan baik... persekitaran cantik dan bersih. Tempat parking pun banyak, ada banyak wakaf untuk lepak dan buat bbq, chalet, tandas yang bersih, surau, padang, tapak khemah dan sungai yang bersih.


~ Bayaran untuk berkhemah (bawa sendiri) adalah RM15 sekepala untuk dewasa dan RM7 untuk kanak-kanak. Kalau takde khemah boleh sewa. Boleh juga sewa chalet pada harga RM150 dan RM300 satu malam atau banglo 5 bilik berharga RM1800 satu malam... sesuai untuk keluarga yang datang ramai-ramai. 

~ Kami sampai lebih kurang jam 3.30 petang. Anak-anak sempat mandi sekejap je sebab tetiba hujan lebat masa aku dan orang rumah baru nak pasang khemah. Mujur hujan petang je, malam dan keesokannya cuaca baik... berendamlah anak-anak sampai kecut.



~ Kami berkhemah bersebelahan wakaf/gazebo yang kami sewa dengan harga RM40, tapi cuma dapat sewa untuk 12 jam je sampai 7.00 pagi esoknya sebab lepas tu dah ada orang lain tempah. Lain kali kalau nak guna wakaf kena tempah dulu sebab bilangan wakaf agak terhad. Ada juga wakaf yang lebih besar sewanya RM60.

~ Makanan : Dinner nasi lauk ayam panggang dalam kuali ajaib & sosej je. Sarapan maggi & roti john. Lunch pulak nasi lauk ikan pari hasil pancingan kelong berkat baru-baru ni. Alhamdulillah juga rezeki kami memang murah dengan makanan yang dihantar oleh jiran wakaf sebelah... mi goreng dan macaroni carbonara, terima kasih bebanyak... semoga murah rezeki kalian.




19 December, 2018

Memancing di Kelong Berkat Samudera, BNO Sabak Bernam

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Setelah dua kali memancing di Kelong Kupang Sabak Bernam, kali ni cuba kelong lain yang terletak berdekatan iaitu Kelong Berkat Samudera. Naik bot pun dari tempat yang sama di jeti nelayan Kg. Banting, BNO.

~ Perjalanan : dari jeti ke kelong mengambil masa sekitar 20 minit. Dekat jeti air agak cetek dan berlumpur, kena tunggu air pasang barulah bot boleh bergerak. Naik kira-kira jam 6.00pm dan balik keesokan harinya sekitar waktu yang sama.

~ Harga : kalau ambik satu kelong RM500 untuk 24 jam, maksimum boleh masuk 12 orang.... Umpan, ais dan makanan bawa sendiri. 

~ Kemudahan : 1 bilik kecik untuk tidur dan solat, tandas, dapur dengan peralatan masak dan bekalan elektrik dari bateri (malam sahaja). Kelebihan guna bateri suasana tak bising berbanding pakai genset. Diingatkan tiada plug untuk mengecas hp ye... jadi bawalah powerbank sendiri siap-siap. Keluasan kelong agak besar, memang selesa memancing.

~ Makan : makan malam tapau je siap-siap sebelum naik bot. Supper dengan maggi. Sarapan esoknya ringan-ringan je dengan roti cicah sardin. Untuk makan tengah hari masak special sikit; asam pedas ikan kitang, gelama goreng dengan keropok papadom... berselera betul makan berjemaah atas kelong.

~ Cuaca : Alhamdulillah cuaca baik, cuma dilanda hujan gerimis sekejap petang tu. Esoknya pulak cuaca panas, kalau pakai baju lengan pendek rentunglah jawabnya. Air pun tak laju sangat... guna batu ladung no.5/6/7 pun dah ok.

~ Umpan : sotong kurita hidup, udang hidup, udang pasar dan juga perumpun. Kalau umpan habis boleh cari umpan anak ikan bilis guna apollo kat bawah kelong. Umpan udang hidup kurang laku di sini.


~ Hasil : Kali ni aku tak merasa nak menaikkan ikan besar, cuma melayan tuka, gelama dan kitang. Apapun alhamdulillah hasil tangkapan kami agak lumayan... ikan bergred yang berjaya dinaikkan adalah 5 ekor pari dan 7 ekor jenahak. Ikan lain kitang, tuka, duri, sembilang, malong dan semestinya ikan paling glamour adalah gelama. Lepaslah nak buat lauk 2-3 hari, memang sedap dan manis rasa ikan segar yang belum kena bahan pengawet. Tak ketinggalan masuk senarai adalah si buntal tapi terpaksa la dicampak balik ke laut. Lain kali insya Allah boleh repeat kelong ni.


09 December, 2018

Berkelah di Rimba Rekreasi Bukit Bertangga, Bera

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Cuti sekolah. Bawa anak-anak dan anak buah berkelah di Rimba Rekreasi Bukit Bertangga, Felda Kumai, Bera. Di kalangan orang tempatan popular dengan nama Air Terjun Bukit Bertangga. Tak jauh dari rumah mak aku sebenarnya, tapi selama ni tak terlintas pulak nak singgah. Masa kami di sini taklah ramai sangat orang, mungkin sebab lokasinya yang agak terpencil.

~ Orang kata ada dua tingkat air terjun setinggi 20 & 30 meter, tapi tak sesuai untuk mandi sebab kolamnya kecik malah perlu mendaki melalui cerun berbatu yang agak berbahaya. Jadi kami mandi kat sungai bahagian bawah je yang taklah dalam sangat... sesuai la untuk budak-budak.



~ Jabatan Perhutanan Pahang ada menyediakan kemudahan pondok rehat, tandas, bilik persalinan, parkir kereta dan tapak perkhemahan. Makanan kena bawa sendiri sebab tiada gerai menjual makanan di sini.

~ Mandi lebih kurang dua jam je di sini, anak-anak yang kecik dah menggigil kesejukan... boleh tahan sejuk airnya.

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...