05 March, 2018

Mendaki Bukit Senaling, Kuala Pilah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Info : 
~ Bukit Senaling terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Senaling - Inas, daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Bukit Senaling menjadi viral di kalangan pendaki sejak setahun dua kebelakangan ini disebabkan oleh pemandangan awan karpet yang terbentuk di sekitar puncak bukit tersebut. 

~ Ketinggian bukit ini hanya 394m /1293 kaki sahaja dan pendakian hanya mengambil masa lebih kurang 1 jam hingga 1 jam setengah bergantung kepada kemampuan masing-masing. Laluan trail boleh dikatakan santai-santai sahaja... bukitnya tak terlalu curam, sesuai untuk beginner dan anak-anak kecil.

~ Aktiviti pendakian diuruskan oleh Persatuan Belia Kg. Ulu Senaling iaitu US Hikers. Bayaran RM15 dikenakan kepada setiap peserta yang ingin mendaki, atau RM20 jika inginkan pakej buffet sarapan pagi. Pendaftaran masuk perlu dibuat kerana jumlah pendaki dihadkan  kepada 200 pendaki sahaja dalam sehari bagi mengelakkan kesesakan semasa berada di puncak serta faktor keselamatan. Walaupun ada terdengar suara-suara tak berpuas hati dengan kadar bayaran dan rasa macam tak perlu pun ada jurupandu arah, tapi dah masuk tempat orang ikut sahajalah, sekurang-kurangnya permit masuk hutan simpan dah diuruskan dan dapat juga membantu menjana ekonomi penduduk tempatan.


4 Mac 2018 (Ahad) 


~ 1.00 amTiba di Petronas Senaling... tempat berkumpul. Perjalanan dari KL bersama Awe sahabat lama, mengambil masa lebih kurang 2 jam. Melelapkan mata dalam kereta seketika sementara menunggu jurupandu US Hikers tiba jam 5.00 pagi.

~ 5.45 am - dari Petronas Senaling, dibawa kira-kira 2 km ke tempat parkir kenderaan iaitu tempat permulaan pendakian berhampiran rumah penduduk kampung. Kena daftar masuk dulu sebelum memulakan pendakian, senarai nama diperiksa terlebih dahulu bagi memastikan pendaki yang telah mendaftar sahaja yang dibenarkan mendaki.

~ 6.00 am - Kumpulan kami geng baju merah seramai 13 orang memulakan pendakian menyusuri jalan tanah merah melalui tanah milik persendirian yang merupakan kawasan penanaman semula kelapa sawit. 

~ 6.40 am - Berhenti seketika menunaikan solat subuh di pertengahan pendakian. Kemudian teruskan perjalanan dan berhenti di satu tempat lapang menikmati pemandangan waktu fajar.

~ 7.00 am - Mula memasuki trail hutan dan kemudian melalui kawasan permatang.

7.30 am - Setelah berjalan dengan rentak santai-santai je, akhirnya sampai di puncak. Terdapat beirut di sini (kalau ada yang tak tau, beirut bermaksud penanda puncak berbentuk segitiga yang diperbuat dari besi). Suhu nyaman dengan angin dingin bertiup sesekali. Pemandangan 360 darjah. Alhamdulillah dalam pendakian kali pertama ni dapat menikmati pemandangan matahari terbit dan awan karpet yang luas terbentang berlatarbelakangkan bukit-bukau saujana mata memandang... subhanallah indahnya. Ada sahabat yang kata pernah naik 4 kali tapi belum ada rezeki nak tengok pemandangan awan karpet tu.



~ 9.30 am - Setelah puas bergambar dan sempat juga terjebak dalam aktiviti senaman panama dance yang sedang viral sekarang ni, kami mula bergerak turun dan sampai di parkir kereta kira-kira setengah jam kemudian. Sebolum bertolak balik, singgah makan nasik dongan gulai masak lomak cili api kek medan selero Kolo Pilah... ehh tetibo tercakap nogoghi lak ni.. kih3.

Kepada mereka yang ingin menikmati pemandangan awan karpet dengan pendakian yang santai, Bukit Senaling merupakan tempat yang sesuai. Sila hubungi US Hikers melalui no. telefon seperti yang terpapar di banner di atas untuk sebarang pertanyaan berkaitan pendakian Bukit Senaling. Jangan tanyo den yo... tak ghoti den nak jawab!


4 comments :

  1. wahhh...seronok juga hiking ni, lama dah tinggal xtvt lasak ni, last panjat gunung ledang dengan geng2 kelab anti dadah time sekolah menengah dulu...huhu tahun 1998, dah 20 tahun berlalu..hahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. mmg seronok eita... tak salah nak mula hiking balik...mulakan dgn bukit2 dulu pun xpe

      Delete

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
tapi jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen... terima kasih.

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...