25 March, 2018

Memancing di Rakit To' Wan

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Dah lama tak mancing laut. Nak mancing atas bot dah tentu mabuk. Jadi pancing kat kelong @ rumah rakit pun jadi la.

Lokasi: Rakit To' Wan. Naik dari jeti nelayan Kg. Teluk Nipah, Pulau Indah, Klang... kemudian kena naik bot kira-kira 10 minit ke rakit yang terletak di laluan air laut antara 2 buah pulau iaitu Pulau Indah dan Pulau Carey.

Pemancing terlibat: 14 orang.

Masa: 12 jam; kami memancing dari 9.00 pagi hingga 9.00 malam. Kalau nak memancing malam, masuk 9.00 malam, sampai 9.00 pagi esoknya. 

Harga & kemudahan: Rakit To' Wan ada 3 rakit... Ania, Senangin & Sembilang. Kami ambil Rakit Senangin, harga & kemudahannya boleh rujuk gambar di bawah.




Umpan: Udang hidup, udang pasar, umpun-umpun dan juga isi ikan.

Hasil tangkapan:  Ikan duri, tetuka, anak tetanda dan yang paling banyak semestinya ikan gelama. Turut memeriahkan suasana bila dapat si pengacau umpan iaitu ikan buntal dan sesirat. Spesis sasaran lain di sini seperti senangin dan sembilang takde pula yang sangkut. Apapun ikan gelama tu lepaslah nak buat lauk, memang sedap makan ikan segar yang belum kena ubat.

24 March, 2018

99 Wonderland Park, Selayang

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Cuti sekolah penggal pertama, sempatlah bawa anak-anak berjalan ke 99 Wonderland Park, Selayang. Disebabkan masuk percuma selama sebulan ditambah pula sekarang cuti sekolah, redha ajelah kalau tersangkut dalam kesesakan.


Masuk 5.30 pm, kami menyusuri trek mengelilingi tasik sejauh kira-kira 2.3 km, dan balik menjelang maghrib. Waktu malam lebih cantik dengan kerlipan lampu-lampu LED, tapi malas nak tunggu sampai malam, serabut tengok ramai sangat manusia...hihi.

Maklumat lanjut di SINI


18 March, 2018

BBR Trail Run 0.2 Challenge

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Masuk acara larian pertama tahun ni... trail run di Sungai Buaya, Rawang. Ada kategori 5km Fun Run & 15 km, aku masuk acara 15km. Laluan bercampur melalui jalan kampung, kebun getah dan trek hutan... ada landai dan banyak juga turun naik bukit. Bagi aku rasanya lebih seronok berlari dalam acara trail berbanding berlari di jalanraya. Rasa lebih nyaman, damai dan tenang dalam suasana semulajadi.


~ Berjaya menamatkan larian dalam masa 2 jam 48 minit (jauh ditinggalkan juara yang sampai garisan penamat dalam masa 1 jam 11 minit je...hehe). 2 km terakhir kaki dah nak kejang, dah tak mampu nak berlari, kita jalan heret kaki je lah. Yang penting dapat sampai ke garisan penamat, sambil dapat meningkatkan stamina sebagai latihan persiapan trip mendaki Gunung Murud, Sarawak pada bulan April nanti.

10 March, 2018

Persiapan Menjelang Kematian

Berikut adalah intipati kuliah "Persiapan menjelang kematian" bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani.. sebagai peringatan untuk diri sendiri dan juga sahabat-sahabat.

Penyesalan tidak berguna lagi dalam 3 keadaan:

1. Ketika mana melihat datangnya Malaikat Maut,

2. Bila roh sampai di halkum, dan

3. Ketika jenazah kita diturunkan di liang lahad.



Amalan-amalan yang perlu dilakukan ketika hidup... yang amat diinginkan oleh ahli kubur:
1. Perbanyakkan membaca al Quran.
2. Perbanyakkan membaca surah al-Zahrawayn (dua cahaya yang bersinar)... iaitu surah al Baqarah dan Ali Imran, kelak mendapat syafaat di Padang Mahsyar.
3. Perbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW.
4. Melazimi membaca surah Al-Mulk sebelum tidur setiap malam.
5. Melazimi membaca Ayatul Kursi selepas solat fardhu.
6. Perbanyakkan membaca Sayyidul Istighfar.
7. Sentiasa beristigfar dan bertaubat kepada Allah Taala.
8. Perbanyakkan bersedekah dan berwakaf.
9. Melazimi membaca doa Nabi Yunus a.s 40x ketika sakit menjelang kematian, pasti diberikan pahala orang yang mati syahid.
10. Mengamalkan solat sunat Dhuha setiap hari yang menghapuskan dosa-dosa terdahulu.
11. Menghidupkan akhir malam dengan solat Tahajjud.
12. Menghadiri majlis ilmu (taman syurga). Antara kelebihan mendapat ketenangan dan rahmat, dipermudahkan jalan menuju syurga, beroleh ganjaran pahala.
13. Menziarah kubur dan duduk disisinya sambil mendoakan si mati.
14. Amalkan doa 3x sehari seperti yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W
"Subhanakallahumma wabihamdika astaghfiruka wa atubu ilaih."

Amalan-amalan bagi orang sakit:
1. Melazimi zikir 40x
لا اله الا انت سبحا نك إني كنت من الضالمين
2. Perbanyakkan selawat ke atas Nabi aS.
3. Perbanyakkan membaca surah al Ikhlas. Sesiapa yang membaca surah ini hingga kematiannya, tidak akan mendapat fitnah kubur dan diamankan dari himpitan kubur dan dipermudahkan melintasi titian sirat menuju syurga.
4. Lazimi membaca al Hauqalah, akan termasuk dalam kalangan umat Muhammad yang tidak dihisab dan tidak diazab.
لا اله إلا الله والله أكبر ولا حول ولا قوة إلا بالله العلي العضيم.
5. Membaca zikir-zikir yang warid daripada Nabi S.A.W.
6. Sentiasa berada dalam keadaan berwudu' dan bersugi serta memakai bau-bauan.
7. Hadapkan muka ke arah kiblat semasa berzikir, membaca Qur'an dan sebagainya.

Amalan ketika menziarah orang sakit:
1. Mendoakan keselamatan kepada pesakit.
2. Sentiasa pastikan pesakit berada dalam keadaan wudu'... "Janganlah engkau tidur melainkan dalam keadaan berwudu' kerana roh akan dibangkitkan seperti pada saat ia dicabut."
3. Bacalah surah Yaasin di samping orang sakit/nazak.
4. Bacalah surah al-Ra'du di samping orang sakit/nazak.
5. Ucap kalimah syahadah berulang kali di telinga orang yang sedang nazak.
لا إله إلا الله محمد رسول الله
6. Ketika menutup mata seseorang yang baru meninggal dunia, bacalah;
بسم الله وعلى ملة رسول الله

Semoga rahmat dan kasih sayang Allah Ta'ala sentiasa menaungi kita!


05 March, 2018

Mendaki Bukit Senaling, Kuala Pilah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Info : 
~ Bukit Senaling terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Senaling - Inas, daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Bukit Senaling menjadi viral di kalangan pendaki sejak setahun dua kebelakangan ini disebabkan oleh pemandangan awan karpet yang terbentuk di sekitar puncak bukit tersebut. 

~ Ketinggian bukit ini hanya 394m /1293 kaki sahaja dan pendakian hanya mengambil masa lebih kurang 1 jam hingga 1 jam setengah bergantung kepada kemampuan masing-masing. Laluan trail boleh dikatakan santai-santai sahaja... bukitnya tak terlalu curam, sesuai untuk beginner dan anak-anak kecil.

~ Aktiviti pendakian diuruskan oleh Persatuan Belia Kg. Ulu Senaling iaitu US Hikers. Bayaran RM15 dikenakan kepada setiap peserta yang ingin mendaki, atau RM20 jika inginkan pakej buffet sarapan pagi. Pendaftaran masuk perlu dibuat kerana jumlah pendaki dihadkan  kepada 200 pendaki sahaja dalam sehari bagi mengelakkan kesesakan semasa berada di puncak serta faktor keselamatan. Walaupun ada terdengar suara-suara tak berpuas hati dengan kadar bayaran dan rasa macam tak perlu pun ada jurupandu arah, tapi dah masuk tempat orang ikut sahajalah, sekurang-kurangnya permit masuk hutan simpan dah diuruskan dan dapat juga membantu menjana ekonomi penduduk tempatan.


4 Mac 2018 (Ahad) 


~ 1.00 amTiba di Petronas Senaling... tempat berkumpul. Perjalanan dari KL bersama Awe sahabat lama, mengambil masa lebih kurang 2 jam. Melelapkan mata dalam kereta seketika sementara menunggu jurupandu US Hikers tiba jam 5.00 pagi.

~ 5.45 am - dari Petronas Senaling, dibawa kira-kira 2 km ke tempat parkir kenderaan iaitu tempat permulaan pendakian berhampiran rumah penduduk kampung. Kena daftar masuk dulu sebelum memulakan pendakian, senarai nama diperiksa terlebih dahulu bagi memastikan pendaki yang telah mendaftar sahaja yang dibenarkan mendaki.

~ 6.00 am - Kumpulan kami geng baju merah seramai 13 orang memulakan pendakian menyusuri jalan tanah merah melalui tanah milik persendirian yang merupakan kawasan penanaman semula kelapa sawit. 

~ 6.40 am - Berhenti seketika menunaikan solat subuh di pertengahan pendakian. Kemudian teruskan perjalanan dan berhenti di satu tempat lapang menikmati pemandangan waktu fajar.

~ 7.00 am - Mula memasuki trail hutan dan kemudian melalui kawasan permatang.

7.30 am - Setelah berjalan dengan rentak santai-santai je, akhirnya sampai di puncak. Terdapat beirut di sini (kalau ada yang tak tau, beirut bermaksud penanda puncak berbentuk segitiga yang diperbuat dari besi). Suhu nyaman dengan angin dingin bertiup sesekali. Pemandangan 360 darjah. Alhamdulillah dalam pendakian kali pertama ni dapat menikmati pemandangan matahari terbit dan awan karpet yang luas terbentang berlatarbelakangkan bukit-bukau saujana mata memandang... subhanallah indahnya. Ada sahabat yang kata pernah naik 4 kali tapi belum ada rezeki nak tengok pemandangan awan karpet tu.



~ 9.30 am - Setelah puas bergambar dan sempat juga terjebak dalam aktiviti senaman panama dance yang sedang viral sekarang ni, kami mula bergerak turun dan sampai di parkir kereta kira-kira setengah jam kemudian. Sebolum bertolak balik, singgah makan nasik dongan gulai masak lomak cili api kek medan selero Kolo Pilah... ehh tetibo tercakap nogoghi lak ni.. kih3.

Kepada mereka yang ingin menikmati pemandangan awan karpet dengan pendakian yang santai, Bukit Senaling merupakan tempat yang sesuai. Sila hubungi US Hikers melalui no. telefon seperti yang terpapar di banner di atas untuk sebarang pertanyaan berkaitan pendakian Bukit Senaling. Jangan tanyo den yo... tak ghoti den nak jawab!


Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...