23 January, 2017

Catatan Pendakian Gunung Baling

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

20 Januari 2017 (Jumaat)
10.30 malam - Berkumpul dan bertolak dalam hujan dari R&R Rawang, 10 orang, 3 kereta.

21 Januari 2017 (Sabtu)
12.30 malam - Singgah mengeteh/mengopi di R&R Sungai Perak.
1.00 pagi - Teruskan perjalanan... mata dah segar lepas pekena kopi jantan.
4.00 pagi - Sampai di Masjid Sultanah Bahiyah, Pekan Baling, tidur-tidur ayam dalam kereta sementara menanti waktu subuh.
6.10 pagi - Solat subuh berjemaah... kemudian tambah seorang ahli lagi baru sampai dari Sg.Petani.
7.00 pagi - Sarapan di di sebuah gerai di pekan Baling...
7.45 pagi - Bergerak ke kaki gunung dalam kemalasan (perut dah berat).
8.15 pagi - Memulakan pendakian, ramai juga pendaki dari grup lain. Awal pendakian ni trek tanah sederhana pacak tapi sangat licin disebabkan hujan malam tadi.
9.30 pagi - Sampai di Gua Kambing... takde pulak nampak kambingnya...
10.00 pagi - Teruskan perjalanan, trek berubah dari tanah licin kepada trek berakar, berbatu kapur dan berhutan buluh. Ada dua kawasan trafik jam disebabkan perlu melalui  celah batu yang sempit, kelebihan kepada yang berkaki panjang boleh panjat batu ikut tepi trek.
10.45 pagi - Sampai kat satu checkpoint yang ada view menarik, boleh nampak Gunung Pulai dari sini, lepak lama di sini sambil bergambar sakan. Sesekali pemandangan G.Pulai dilitupi kabus.
12.00 tengahari - Baru naik ke puncak yang dah tak berapa jauh pun. Bergambar kat signboard di puncak setinggi 546 m / dpl dan beberapa lagi port menarik untuk bergambar. Boleh nampak keseluruhan pekan Baling dari puncak ni.
1.00 tengahari - Cuaca baik tak panas sangat, mula bergerak turun ikut jalan yang sama.
2.15 petang - Berehat sebentar di Gua Kambing, sempat shooting mannequin berjemaah.
4.00 petang - Sampai semula di tempat permulaan mendaki. Agak lewat sebab seorang ahli tercedera, jatuh tergelincir sampai terhentak kepala masa menuruni trek tanah licin tadi... mujur tak berapa serius. Bersihkan diri di masjid, disusuli solat jamak zuhur & asar.
5.00 petang - Lepak gerai Brangan Corner, pekena air kelapa, mi kari, mi sup dan laksa sedap, bertambah sedap bila dibelanja oleh tuan rumah, terima kasih semoga bertambah murah rezeki.
6.00 petang - Bertolak ke Penang.
8.00 malam - Sampai di tempat penginapan di TM Resort Tanjung Bungah.
10.00 malam - Keluar makan pekena char kuey teow & pasembor kat Gurney Drive.



22 Januari 2017 (Ahad)
11.30 pagi - Dari pagi tadi bermalasan di tempat penginapan, sarapan nasi lemak pun ada orang yang tapaukan, terima kasih :), hampir tengah hari baru check out.
12.00 tengahari - Jalan-jalan cari makan... Nasi Kandar Line Clear.
1.00 tengahari - Sementara sebahagian ahli pergi shopping jeruk, sebahagian yang lain gi massage kaki, melegakan urat-urat yang tegang.
2.30 petang - Bertolak balik ke KL. Terima kasih semua geng, jumpa lagi.




16 January, 2017

Kelebihan Menghafal al-Qur'an

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Al-Qur’an merupakan Kalam Allah yang mengandungi lebih daripada 6000 ayat. Al Qur’an akan memuliakan sesiapa yang beramal dengan kandungannya. Terdapat sebahagian daripada kita yang mampu menghafal keseluruhan daripada ayat-ayat al-Qur’an ini. Sudah tentu para hafiz dan hafizah ini bukan sebarang orang. Apakah penghormatan Allah kepada para penghafaz ini? Bagi para penghafaz al-Qur’an mereka mendapat kemuliaan di dunia dan akhirat.

kredit gambar dari SINI
 
Kelebihan di dunia

1. Sebaik-baik dan semulia-mulia manusia ialah yang belajar dan mengajar Al-Quran. Nikmat mampu menghafal  al-Qur’an sama dengan nikmat kenabian. Cuma bezanya ia tidak mendapat wahyu.
“Barangsiapa yang membaca (hafal) al-Qur’an, maka sungguh dirinya telah menaiki darjat kenabian, hanya saja tidak diwahyukan kepadanya.” (Riwayat Hakim).

Al-Qur’an menjanjikan kebaikan, barakah dan kenikmatan bagi penghafalnya “ Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari al-Qur’an dan mengajarkannya (Riwayat Bukhari dan Muslim).

2. Seorang yang hafal al-Qur’an lebih disayangi dan dihargai oleh Rasulullah s.a.w. Sabda Rasulullah s.a.w: 
 "Daripada Jabir Bin Abdullah ra. Bahawa Nabi s.a.w menyatukan dua orang daripada orang-orang yang gugur dalam perang Uhud dalam satu liang lahad. Kemudian Nabi s.a.w. bertanya, "dari mereka berdua siapakah paling banyak hafal al Qur’an?" Apabila ada orang yang dapat menunjukkan kepada salah satunya, maka Nabi s.a.w memasukkan mayat itu terlebih dahulu ke liang lahad." (Riwayat Bukhari).

3. Kepada hafiz al-Qur’an, Rasul menetapkan bahawa ia berhak menjadi Imam solat berjamaah. Rasulullah S.A.W bersabda “ Yang menjadi Imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya” (Riwayat Muslim).

4. Barangsiapa yang beramal dengan al-Qur’an maka akan terselamat dari kesesatan di dunia dan kesusahan di akhirat. Hatinya juga sentiasa aman tenteram. Daripada Abdullah bin Mas‘ud r.a., Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Qur’an kerana Allah tidak akan menyeksa hati orang yang menghafal al-Qur’an. Sesungguhnya al-Qur’an ini hidangan Allah, sesiapa yang memasukkannya, ia akan aman. Dan sesiapa yang mencintai al-Qur’an, maka hendaklah ia bergembira.” (Riwayat al-Darimi)

5. Hafiz al-Qur’an adalah keluarga Allah yang berada di atas bumi. “ Sesungguhnya Allah mempunyai keluarga di antara manusia, para Sahabat bertanya, “Siapakah mereka Ya Rasulullah ? Baginda menjawab: “Iaitu ahli al-Qur’an (orang yang membaca atau menghafal al-Qur’an dan mengamalkan isinya). merekalah keluarga Allah dan orang yang istimewa bagi Allah.” (Riwayat lbn Majah)

6. Menghormati seorang hafiz al-Qur’an bererti mengagungkan Allah. Sabda rasulullah s..a.w  "Di antara perbuatan mengagungkan Allah adalah menghormati Orang Islam yang sudah tua, menghormati orang yang menghafal al-Qur’an yang tidak berlebih-lebihan dalam mengamalkan isinya dan tidak membiarkan al-Qur’an tidak di amalkan, serta menghormati kepada penguasa yang adil." (Riwayat Abu Daud).


Kelebihan di Akhirat

1.Al-Qur’an akan menjadi penolong (Syafaat) bagi penghafal al-Qur’an. Dari Abu Ummamah RA ia berkata,”Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu al-Qur’an, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi Syafaat pada hari kiamat bagi para pembacanya (penghafalnya)”. (Riwayat Muslim).

2.Hafiz al-Qur’an juga dapat memberi syafa’at untuk masuk syurga kepada 10 orang dari ahli keluarganya yang telah wajib masuk neraka. Mafhum sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa membaca al-Qur’an dan menghafalnya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dan memberikannya hak syafaat untuk 10 orang anggota keluarganya yang mereka semuanya telah ditetapkan untuk masuk neraka.” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Nasa’i)

3. Menghafal al-Qur’an akan meninggikan darjat manusia di Syurga. Darjat dan tingkatan syurga untuk ahli al-Qur’an ialah sebanyak mana ayat yang dibaca sewaktu di dunia. Daripada Aisyah r.ha., Rasulullah s.a.w. bersabda, mafhumnya: “Jumlah tingkatan—tingkatan syurga sama dengan jumlah ayat-ayat al-Quran. Maka tingkatan syurga yang dimasuki oleh penghafal al-Quran ialah tingkat yang paling atas, tidak ada tingkat lagi sesudah itu.” (Riwayat al-Baihaqi dan al-Hakim)

4. Para penghafal al-Qur’an akan bersama para Malaikat yang mulia dan taat. “ Dan perumpamaan orang yang membaca al-Qur’an sedangkan ia hafal ayat-ayatnya bersama para Malaikat yang mulia dan taat (Muttafaqun alaih).

5. Manusia yang paling dicintai Allah ialah mereka yang paling pandai dalam ilmu al-Qur’an.

6.Hafal al-Qur’an adalah bekalan yang paling baik di akhirat. Sabda rasulullah s.a.w: "Daripada Jabir bin Nufair, katanya rasulullah s.a.w. bersabda; "Sesungguhnya kamu tidak akan kembali menghadap Allah dengan membawa sesuatu yang paling baik daripada sesuatu yang berasal daripada-Nya iaitu al-Qur’an”.

7. Pendamping al-Qur’an akan dipakaikan mahkota dan pakaian kemuliaan dan akan mendapat keredhaan dari Allah Ta’ala, begitu juga kedua orang tuanya. Sesiapa yang membaca al-Qur’an, membacanya, mempelajarinya dan mengamalkannya maka dipakaikan mahkota dari cahaya pada hari kiamat. Cahayanya seperti cahaya matahari dan kedua orang tuanya dipakaikan dua jubah (kemuliaan) yang tidak pernah didapatkan di dunia. Keduanya bertanya, “Mengapa kami dipakaikan jubah ini? Dijawab,”Kerana kalian berdua memerintahkan anak kalian untuk mempelajari al-Qur’an.” (Riwayat al-Hakim).


Begitulah kemulian yang diberikan kpd para penghafaz al-Qur’an. Kemungkinan sebahagian besar umat Islam bukan penghafaz al-Qur’an. Maka kita mesti perlu bercita-cita untuk menjadikan salah seorang dari keturunan kita (termasuk anak atau cucu) untuk menjadi penghafaz al-Qur’an. Insyaa Allah niat kita akan dimakbulkan oleh Allah SWT.

 

15 January, 2017

Along dah sekolah menengah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Pejam celik pejam celik, tahun ni Along dah naik sekolah menengah , Angah dah tahun 5, Aina pulak dah masuk tahun 2.

Selamat menempuh alam sekolah menengah buat Along. Walaupun terpaksa berkorban berjauhan dengan keluarga, belajar berdikari dan belajar di sekolah yang bukan aliran biasa, ayah dan ibu sentiasa doakan Along berjaya mencapai cita-cita serta menjadi insan berjaya di dunia dan akhirat.


1. Depan asrama penginapan... rumah berkembar 2 tingkat.
2. Belajar berdikari basuh baju sendiri...
3. Makan berjemaah dengan kawan-kawan di dewan makan.
4. Sesi orientasi dalam kelas.
5. Dapat sentiasa solat berjemaah di masjid.
6. Riadah tiap-tiap petang, harap dapat turun berat badan.


09 January, 2017

Along dah khatam Quran

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Setelah kira-kira 6 tahun belajar mengaji dengan seorang guru mengaji yang tak berapa bertauliah, agak garang dan mengajar secara part time je, akhirnya tamat juga Along mengaji.

Kerana kekangan masa, majlis khatam Quran diadakan secara kecil-kecilan je, cuma dihadiri oleh kira-kira 50 orang... eh silap, 5 orang sahaja. Tiada juga jamuan pulut kuning kerana itu hanyalah adat Melayu semata-mata... sebaliknya Along diraikan dengan hidangan steamboat & bbq ala buffet...


Alhamdulillah, tahniah Along. Semoga dengan khatamnya Along ni akan menjadi penerang jalan hidupnya menjadi insan yang bertaqwa lagi berjaya dunia akhirat. Aamiin.


Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...