30 December, 2017

Road Trip 7 Hari 7 Malam Jelajah Johor - Hari 3

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Baca:
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Intro
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 1
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 2



KLUANG - MUAR - LEDANG - BATU PAHAT

~ 24/12/2017; Ahad - 7.20 pagi; Check out dari YZ Homestay, sempat bergambar di homestay yang berlatarbelakangkan Gunung Lambak. Seterusnya 8.7km mencari sarapan ke kopitiam Kluang Rail Coffee yang merupakan ikon Kluang yang famous. Kopitiam yang terletak dalam Stesen Keretapi Kluang ni adalah premis asal yang beroperasi sejak tahun 1938 dan dah banyak cawangan seluruh negara.

Menu specialnya adalah kopi yang diproses sendiri dan roti bakar yang dibakar dengan arang dan disapu dengan kaya buatan sendiri juga. Kami pesan telur setengah masak juga. Masa kami sampai penuh dengan pelanggan, mujur rezeki kami ada satu meja kosong, sampai ada yang terpaksa berdiri menunggu meja kosong. Kalau nak lebih selesa boleh pergi dua lagi cawangan lain di Kluang ni yang lebih besar.



~ 8.30 pagi; mulakan perjalanan ke Tangkak untuk menghadiri kenduri kahwin sebelah atuk saudara. Masih awal pagi, cadang singgah di Muar dulu. Masuk Lebuhraya PLUS tol Ayer Hitam dan keluar tol Pagoh. 107km jalan-jalan cari makan lagi di Muar.

~ 10.30 pagi; tiba di Restoran Mee Bandung Abu Bakar Hanipah, Jalan Abdullah, Muar. Berkongsi kedai yang sama dengan Wah San Kopitiam, kedai kecik ni antara yang famous la kat Muar ni. Kat dinding kedai penuh dengan gambar tauke kedai dengan tokoh-tokoh yang pernah datang makan kat sini. Dah sampai Muar ni orang kata tak sah kalau tak pekena mi bandung. Makan roti bakar kat Kluang tadi kira ringan-ringan je tu...hehe. Ikut selera aku memang sedap la mi bandung kat restoran ni... kuahnya pekat rasa udangnya, khabarnya resepi warisan keluarga sejak 1930 lagi. Lepas makan kalau nak tapau perencah mi bandung pun ada kat restoran ni.

~ 11.00 pagi; 3km ke Sekolah Menengah Sains Muar, Tanjung Agas, Muar. Nak bergambar je kat papan tanda sekolah ni...hehe. Tempat jatuh lagi dikenang... pernahlah merasa belajar di sekolah berasrama penuh ni dua tahun masa Tingkatan Enam tahun 1993-94. Masa tu ada satu program perintis oleh Kementerian Pendidikan yang memperkenalkan Kolej Tingkatan Enam yang mengumpulkan pelajar terpilih seluruh Malaysia yang dapat keputusan SPM agak baik tapi tak berjaya masuk universiti. Hakikatnya kelas Tingkatan Enam tu cuma menumpang je kat sekolah ni sebab tiada premis sendiri. Cadang nak tunjuk kat anak-anak pagar mana yang ayah diorang panjat masa 'fly' dulu... tapi tak jadi la risau anak-anak terikut pulak kalau masuk asrama. Jangan ikut perangai ayah ye anak-anakku..hehe.



~ 11.10 pagi; 6km ke Don Hu Jurassic Park Garden, Jalan Pintasan Muar, Kg Sabak Awor. Ini antara tarikan baru di Muar. Diasaskan oleh pemiliknya tauke nurseri tapak semaian yang minat sangat kat spesis dinosaur sampai sanggup import hampir 30 patung dinosaur dari China...siap boleh bergerak-gerak lagi. Yang bagusnya masuk percuma je, cuma kena keluar duit kalau nak beli pelbagai cenderahati dinosaur atau kalau nak main beberapa permainan untuk budak-budak.



~ 11.30 pagi; 20km ke Pengkalan Besar, Tangkak yang terletak dalam daerah Ledang… menghadiri kenduri kahwin anak Pak Selamat iaitu anak atuk saudara aku yang merupakan adik arwah nenek. Masa kenduri ni lah nak jumpa dan kenal saudara-mara jauh yang jarang ditemui.



~ 3.00 petang; Ikut perancangan hari ni nak bermalam di Batu Pahat. Jadi kami berpatah balik ke Muar dulu. 22km ke Masjid Jamek Sultan Ibrahim. Masjid tertua di Muar yang dibina pada 1890an ini terletak di tebing muara Sungai Muar. Solat jamak zuhur & asar di sini. Nun jauh di seberang sungai kelihatan juga Masjid Sultan Ismail, masjid terbesar di Muar yang dibina pada 2002 tapi rekabentuknya adalah replika kepada Masjid Jamek Sultan Ibrahim ni.



Kemudian ronda-ronda sekejap ke Taman Tanjung Emas, tak jauh dari masjid. Taman rekreasi ni ada laluan siar kaki sepanjang tebing sungai, ramai orang melepak dan memancing di sini. Ada juga perkhidmatan bot dari jeti taman ni iaitu Muar River Cruise yang menyusuri Sungai Muar selama kira-kira 45 minit untuk menikmati pemandangan sepanjang sungai dan sebahagian bandar Muar. Tapi kerana kesuntukan masa kami terpaksa meneruskan perjalanan.

~ 4.00 petang; 64.5km ke Pantai Minyak Beku, Batu Pahat. Tempat tumpuan untuk bersantai petang-petang dan memancing... tapi tak sesuai untuk mandi sebab pantainya berbatu. Di pantai ni juga terdapat satu perigi kecik yang dipahat untuk mendapatkan air tawar oleh tentera siam semasa berundur selepas tewas ketika menyerang Kesultanan Melaka dulu. Itulah sejarahnya asal-usul Batu Pahat mendapat namanya yang tertulis kat batu tanda dekat perigi ni. Cuba cari port untuk pasang khemah tapi rasa macam tak berapa sesuai je.



~ 6.30 petang; 2.3km terjah ke Minyak Beku Agrotourism Resort, menginap kat chalet pulak malam ni. Chalet biasa-biasa je tapi harga lebih kurang macam hotel juga musim cuti sekolah ni... bolehlah untuk menginap semalaman.

~ 8.30 malam; lepas solat jamak maghrib & isya’, 13km jalan-jalan cari makan ke Mee Racun Tulang Sri Jaya, antara tempat makan yang famous kat Batu Pahat. Tertanya-tanya juga apa racun yang diletak dalam mi tu sampai sedap sangat khabarnya. Tapi malangnya tutup pulak. 5km pulak ke BP Walk, makan western food biasa-biasa je kat Ramly Cafe.

~ 10.00 malam; Jauh perjalanan hari ni, anak-anak dah penat dan mengantuk, 10km balik ke tempat penginapan, Minyak Beku Agrotourism Resort.

Sekian catatan hari ketiga.


No comments :

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
tapi jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen... terima kasih.

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...