30 December, 2017

Road Trip 7 Hari 7 Malam Jelajah Johor - Hari 1

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Baca:
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Intro



SUNGAI BULOH, SELANGOR -  MERSING, JOHOR

~ 21/12/2017; Khamis - Dimulakan dengan solat Isyak, solat sunat musafir serta memohon doa agar dikurniakan kesihatan dan cuaca yang baik (maklumlah hujung tahun musim tengkujuh), mohon juga dicukupkan perbelanjaan serta mohon dilindungi dari segala keburukan. 

~ 8.45 malam; kami memulakan perjalanan sejauh 381km ke Mersing. Dari lebuhraya PLUS keluar Tol Ayer Hitam, seterusnya ikut jalan biasa ke Mersing. Selepas bandar Kluang menuju Mersing jalan agak berliku dan sunyi tak banyak kereta, tak berani bawa laju.

22/12/2017; Jumaat2.30 pagi; tiba di Masjid Jamek Bandar Mersing yang terletak atas bukit. Bentang toto di ruang luar masjid, tidur sekejap sementara tunggu waktu subuh. Selesai solat subuh, layan pemandangan sunrise sebahagian bandar Mersing dari atas bukit. Lupa pulak hari ni cuti hujung minggu bagi negeri Johor... patut nampak lengang je pagi ni.




~ 7.15 pagi; 1.5km ke Taman Rekreasi Mersing yang terletak tepi laut, ada mercu tanda Gerbang Mahkota sesuai untuk bergambar. Kemudian ronda-ronda sekitar Jeti Mersing. Kalau nak ke pulau-pulau sekitar Mersing termasuk ke Pulau Tioman akan naik feri dari sini.

~ 8.00 pagi; 11.4km jalan-jalan cari makan sarapan ke kedai makan Nasi Goreng Tidur, Jalan Air Papan. Kedai kayu tanpa papan tanda tapi ada dalam waze ni pernah viral juga, khabarnya menu istimewanya nasi goreng yang dihidang bersama semangkuk sup daging sedap sangat sampai boleh tertidur dibuatnya. Bila dah rasa sendiri, terbukti memang sedap, mujurlah tak sampai tertidur. Roti jala dan kuah kari ayam pilihan Angah pun sedap.



~ 9.00 pagi; 9km menyusuri jalan tepi pantai menghala ke Mersing melalui Jalan Makam. Ada beberapa gerai menjual keropok lekor, keropok kering dan satar. Kami singgah di gerai Perusahaan Keropok Hj Ramli, beli sikit produk keropok untuk makan sendiri dan juga untuk jiran depan rumah yang tolong bagi makan kucing kami si Oyen sepanjang seminggu ketiadaan kami.

~ 9.30 pagi; 11.5km berpatah balik menuju Pantai Air Papan. Ada banyak chalet di sini. Cuaca cerah tapi keadaan ombak agak kuat, mungkin tanda permulaan musim tengkujuh. Bendera merah pun dah berkibar tanda amaran dilarang untuk mandi-manda. Khabarnya banyak kes lemas juga di pantai ni. Jadi kami lepak-lepak ambik angin dan bergambar je di pantai ni.



~10.30 pagi; 13.5km ke Teluk Gorek Chalet & Campsite, Pantai Teluk Gorek, Kg Tanjung Resang, Endau. Tempat yang sangat sesuai untuk berkhemah, lengkap segala kemudahan seperti wakaf dengan tempat untuk bbq, tandas, bilik mandi, dewan, surau dan lampu yang menerangi kawasan khemah. Kalau tak minat berkhemah boleh tidur di chalet. Bayaran untuk berkhemah adalah RM5/seorang tak kira umur, manakala sewa wakaf RM20 untuk 24 jam. Selesai pasang khemah dan hammock, bagi peluang anak-anak mandi laut sekejap. Ombak di Pantai Teluk Gorek ni tak sekuat seperti di Pantai Air Papan tadi, mungkin sebab terletak di kawasan berteluk... pantainya pun landai  jauh sampai ke tengah.

~ 1.00 tengahari; 1km ke Masjid Tanjung Resang. Solat jumaat, dijamak bersama asar. Aina dan ibunya tinggal di khemah. Lepas solat kami ambil diorang untuk jalan-jalan cari makan tengah hari.

~ 2.30 petang; 13km ke Pantai Penyabung, Endau. Makan nasi dengan seafood celup tepung di Gerai Ikan Celup Tepung di medan selera depan Jeti Penyabung. Pekena ikan, ketam dan udang celup tepung segar dan panas-panas memang menyelerakan. Keropok lekor dan pisang goreng cicah sambal kicap ala Johor pun ada. Harga pun agak murah, contohnya harga ketam celup tepung RM3-5 seekor ikut saiz... memang puas hati makan.

~ 3.30 petang; 18km ke Bandar Endau, sempadan Johor - Pahang. Cari ATM, bekalan air mineral serta beli ayam dan sosej untuk bbq malam nanti.

~ 5.00 petang; 26km balik ke Teluk Gorek Chalet & Campsite, bagi anak-anak sambung main pasir dan mandi laut puas-puas sampai menjelang senja.



~ 7.30 malam; Lepas solat jamak maghrib dan isyak di surau, dinner ala-bbq tapi guna stove panggang dalam kuali ajaib je... malas nak bakar arang... hehe. Nak makan nasi pun malas jadi kami meratah ayam & sosej je... kenyang juga. Lepas makan, layan video lama-lama dalam tablet... terhibur dengan telatah lucu Along, Angah & Aina masa kecik-kecik dulu.



~ 10.30 malam, mata aku dah mengantuk almaklumlah malam tadi memandu dapat tidur sejam dua je bila sampai masjid. Orang rumah dan anak-anak tidur dalam khemah, aku pulak tidur dalam hammock je... memang syok tidur bertemankan bunyi ombak dan nyamannya hembusan angin malam...

Sekian, catatan hari pertama.


No comments :

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
tapi jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen... terima kasih.

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...