06 May, 2017

Mendaki Gunung Tambuyukon, Sabah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

sambungan dari entri sebelum: Mendaki Gunung Trus Madi via Kainggaran, Tambunan

30 April - 05 Mei 2017 (Ahad-Jumaat) - Ini catatan pendakian ke Gunung Tambuyukon, Sabah, dianjurkan oleh Nature Explorer diketuai Sham Castello dengan peserta seramai 9 orang; Sham, Syida, Big, Efie, En.Fuad, Mr. Khoo, Yuen, Ding & aku... diiringi 3 orang guide keturunan Dusun iaitu Junik, Richard dan Diani.


INFO:
~ Gunung Tambuyukon yang terletak di Banjaran Crocker adalah gunung ketiga tertinggi di Malaysia, setinggi 2579 meter / 8461 kaki dari paras laut.
~ Gunung yang diuruskan oleh Sabah Parks ini meliputi 3 buah daerah iaitu Ranau, Kota Marudu dan Kota Belud, namun puncak Gunung Tambuyukon terletak dalam daerah Ranau.
~ Terdapat 2 laluan pendakian iaitu dari Substation Kg. Monggis di Ranau (trek sejauh 14km) dan dari Substation Serinsim, Kota Marudu (trek sejauh kira-kira 20km).
~ Substation adalah stesen kecil yang diwujudkan oleh pihak Sabah Parks bagi memudahkan renjernya untuk memantau kawasan sempadan taman-taman Sabah yang luasnya menjangkau lebih 100km serta turut digunakan unit penyelidikannya untuk membuat kajian flora dan fauna.
~ Hanya 1 kumpulan pendaki seramai 9 orang sahaja dibenarkan mendaki dalam satu masa, maka perlu buat tempahan dengan Sabah Parks bagi menetapkan giliran mendaki. Juga ditetapkan seorang guide akan mengiringi setiap 3 pendaki.


30 April 2017 (Ahad)
02.15 pm - Sebaik turun dari Gunung Trus Madi, dari Tambunan kami bergerak menaiki van yang kami sewa ke Kinabalu Park, Kundasang sejauh kira-kira 78km untuk urusan pendaftaran mendaki Gunung Tambuyukon esoknya.
04.00 pm - Tiba di Kinabalu Park, urusan pendaftaran ada sikit masalah akibat sedikit miscommunication, namun berjaya diselesaikan menjelang maghrib... maghrib awal di sini 6.20 dah masuk waktu.
07.00 pm - Makan malam sdn bhd di Restoran Panataran, seberang jalan depan Kinabalu Park.
07.30 pm - Bertolak ke Substation Kg. Monggis, Ranau sejauh 68km.
09.00 pm - Sampai Substation Monggis, ada rumah penginapan dibina Sabah Parks tapi tiada pula orang yang menjaga, nak hubungi renjer, liputan telefon pun tiada, kami ambil keputusan tidur di pondok tepi sungai je... itu pun dah cukup selesa, tidur bertemankan bunyi unggas dan deruan air sungai lagi heaven!

pondok tempat kami bermalam di Substation Monggis

Kredit: Melissa Chin, Sabah Tourism Board


01 Mei 2017 (Isnin) : Substation Monggis - Kem Kepuakan.
* Cuti Hari Pekerja bersamaan harijadi Along. Ini pertama kali tak bersama Along ketika hari lahirnya, lagipun dia dah tinggal di asrama, tetap tak boleh dilawati sebab di luar waktu lawatan.
07.30 am - Masak sarapan dan lunch pack bersama-sama. Sarapan agak berat pagi ni menggantikan dinner malam tadi yang tak sempat dimasak... nasi lauk ikan goreng, sambal tumis dan sayur... sup ikan pun ada.
10.40 am - Setelah mendengar taklimat pendakian oleh guide Mr. Junik, kami memulakan pendakian menuju tempat perkhemahan di Kem Kepuakan. Kalau naik Trus Madi kelmarin boleh bersenang lenang bawa beg daypack je, tapi hari ni dah mula kena pikul bebanan beg berat termasuk ration. Awal pendakian trek landai dan mudah, banyak pokok tongkat ali di tepi trek.
12.00 pm - Tiba di KM2.2, Pondok Kulat, rehat 15 minit. Ada trek ke Air Terjun Kikulat sejauh 800 meter, tapi masa tak mengizinkan untuk kami terokai.
01.00 pm - Tiba di KM4, Pondok Kera; solat jamak zuhur & asar, makan lunch pack nasi putih + sambal bilis tempe + telur dadar, dalam hutan makan apa pun sedap.
01.50 pm -Teruskan perjalanan.
03.40 pm - Selepas melewati KM6, tiba di Kem Wuluh, rehat 20 minit. Di setiap pondok Kulat, Kera dan Wuluh ni ada tangki air untuk refill air minum. Ada tandas juga di sini. Selepas pondok di Kem Wuluh ni, kami menyeberangi Sungai Wuluh (sungai kecik je, boleh pijak atas batu) kemudian trek pacak. Masih teringat ungkapan guide; campsite tak jauh sudah...naik 1 kali, turun 1 kali... sampai!
05.15 pm - Setelah lebih sejam mencungap melayan trek pacak, akhirnya selamat tiba di Kem Kepuakan, di tepi Sungai Kepuakan. Lega dapat mandi. Menurut guide, keindahan sungai ni dah tak seperti dulu, terjejas teruk selepas kejadian gempa bumi yang melanda Sabah pada 2015 lalu. 
08.00 pm - Dinner : Daging blackpepper, sayur goreng cendawan, ikan pari masin goreng... sungguh menyelerakan, terima kasih achik kantin.
09.00 pm - Tidur awal malam ni, esok nak bangun awal pagi... kena kerja berat. Ketinggian Kem Kepuakan ni cuma kira-kira 1006 meter dari paras laut, bayangkan esok kena mendaki lebih 1500 meter lagi untuk ke puncak Gunung Tambuyukon setinggi 2579 meter.

sebelum memulakan pendakian di starting point Substation Monggis
abam jalan sorang2 je takde sapa nak temankan..hihi


02 Mei 2017 (Selasa) : Kem Kepuakan - Puncak Tambuyukon - Kem Kepuakan.
03.45 am - Sarapan nasi goreng. Daypack ke puncak. Kena menyeberang Sg. Kepuakan kemudian mengharungi trek pacak dan licin akibat hujan sikit malam tadi.
05.50 am - Setelah melepasi KM10, jumpa simpang ke Substation Serinsim (juga trek yang sama untuk ke Gunung Nambuyukong), tak lama kemudian tiba di KM10.8, Kem Musang, last waterpoint sebelum puncak. Solat subuh di sini.
06.30 am - Teruskan perjalanan.
08.28 am - Tiba di KM12.6, Jeneral Camp, dinamakan sempena seorang jeneral yang pernah mengetuai satu pasukan tentera yang  melalui trek ni. Rehat setengah jam.
09.00 am - Teruskan perjalanan, trek mula berubah dari hutan berlumut kepada pokok-pokok renek,  bonsai serta terdapat banyak periuk kera@nephentes dari berbagai spesis. Kemudian kami turut melalui kawasan berbatu (Rock Garden)... cantik pemandangan di sini tapi jaga-jaga kehadiran ular di celah batu.
10.40 am - Tiba di KM13.6, Rajah Camp, checkpoint terakhir sebelum puncak, rehat 10 minit mencari kekuatan dan semangat sebab rasa dah jauh sangat berjalan tapi tak juga sampai-sampai...
11.25 am - Alhamdulillah, berjaya tiba di puncak Gunung Tambuyukon (2579 meter / 8461 kaki). Tahniah kepada semua terutama yang dah grad G5/G12. Puncak dikelilingi tumbuhan renek/bonsai. Dari puncak, boleh turun depan sikit ke permatang, ada kawasan lapang mengadap Gunung Kinabalu dan ada punca air dari lopak. Sayangnya cuaca berkabus, tiada pemandangan... kalau cuaca cerah boleh nampak jelas Gunung Kinabalu dari sini. Kata guide kalau sampai awal pagi biasanya tak berkabus.  Lunch nasi goreng, lepas tu tidur sekejap sementara menunggu En.Fuad, pendaki paling otai berusia 60 tahun sampai.
01.10 pm - Tunggu otai tak sampai-sampai, kami ambil keputusan untuk mula turun. Tak lama kemudian terserempak beliau bersama guide Mr. Junik yang mahu meneruskan pendakian ke puncak... Lambat sikit sebab beliau tekun mengambil gambar pelbagai jenis flora... ok, kami turun dulu.
04.00 pm - Tiba di Kem Musang, solat jamak zuhur asar.
04.45 pm - Teruskan perjalanan.                            
06.10 pm - Selamat tiba di campsite Kem Kepuakan... lega dapat sampai sebelum hari gelap.
08.00 pm - Dinner malam ni; nasi putih + telur itik masak lemak + ikan masin + sayur.


kepuasan di puncak
antara flora & fauna sepanjang trek.... kredit to En.Fuad

03 Mei 2017 (Rabu) : Kem Kepuakan - Substation Monggis
Pagi - Sarapan bihun goreng + sup sayur. Lepas tu sempat meninggalkan tanda@memerut dan mandi-manda kali terakhir di Sungai Kepuakan ni.
10.45 am - Mulakan perjalanan balik.
03.20 pm - Selamat tiba di starting point, Substation Monggis. Bersihkan diri di Sg. Kikulat, sungai di sebelah pondok. Malam ni tidur 1 malam lagi di pondok yang sama masa hari pertama sampai.
Malam - Bergotong-royong masak untuk dinner. Menu malam ni nasi putih + capati + daging salai masak kari + telur dadar + papadom + sayur, makan mewah malam ni menghabiskan stok ration.

selamat tinggal Kem Kepuakan
* Khabarnya trek Tambuyukon ni banyak pacat, tapi cuma seekor yang sempat merasa darah aku. Mungkin sebab masa ni musim panas jadi tak banyak pacat.
* Jarak pendakian dari Substation Monggis ke Puncak Tambuyukon yang ditanda oleh Sabah Parks adalah 14km, tapi bacaan GPS oleh Sham sebenarnya menunjukkan jarak 19.8 km... patutlah terasa jauh benar.
* Dalam perjalanan turun dari puncak, nampak beberapa kesan runtuhan besar tebing gunung akibat gempa bumi yang melanda Sabah pada 2015.
* Kalau ada yang dah tak larat bawa beg, para guide sedia berkhidmat sebagai porter pada kadar RM7/kg/hari (kadar buat masa ni la).


04 Mei 2017 (Khamis) : Substation Monggis - Ranau - Kota Kinabalu
Pagi - Sarapan nasi lemak sambal sotong + telur.
Dalam perjalanan dari Substation Monggis balik ke Kota Kinabalu, kami sempat jalan-jalan sekitar Ranau dan Kundasang; singgah di Poring Hot Spring, Tagal Moroli Kg. Luanti, Sabah Tea dan ladang lembu ala New Zealand... Desa Dairy Farm.
Malam - Bermalam di Kondo Marina Court. Dinner; keluar pekena seafood berhampiran KK Waterfront.

05 Mei 2017 (Jumaat) : KKIA - KLIA 
Pagi-pagi lagi bertolak ke airport, flight jam 7.35 am - 10.20 am;  Alhamdulillah selamat tiba dan misi pendakian berjaya. Petang ni nak hantar Orang Rumah pulak... misi bershopping ke Vietnam mengikut kakak-kakaknya.


No comments :

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
tapi jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen...

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...