24 April, 2017

Memancing di Kolam Pancing D'Kali, Batang Kali

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Baru nak berjinak-jinak memancing di kolam pancing air tawar, kami sekeluarga menghabiskan cuti hujung minggu dan juga sempena pertabalan Agong yang baru di Kolam Pancing D'Kali, Batang Kali.

~ Orang Rumah dan anak-anak pun bersemangat nak ikut memancing, layankan aje. Nak mancing siang mungkin ramai orang, jadi kami buat keputusan datang waktu malam.


~ Kat kolam ni siap ada pondok kecik lengkap dengan lampu dan kipas meja, jadi kami siap bawa toto senang anak-anak nak tidur bila dah ngantuk. Kalau hp habis bateri pun boleh cas guna plug yang ada. Tandas pun ada berdekatan pondok.

~ Bayaran memancing malam adalah RM45 untuk satu joran, boleh mancing selama 7 jam. Kalau siang harga lain sikit; RM35 untuk 3 jam dan tambahan RM6 untuk setiap jam berikutnya. Harga tu juga dah termasuk ranking jackpot untuk ikan terberat.

~ Hanya ikan bersaiz 5kg ke bawah yang boleh dibawa balik. Tapi kalau tak nak bawa balik pun takpe, boleh dijual semula kepada pihak kolam dengan harga RM1 untuk ikan bersaiz 8kg ke atas dan RM2 untuk ikan bersaiz 8kg ke bawah. Kalau dapat ikan besar, tak perlu susah payah, boleh panggil je pekerja kolam untuk tangguk ikan bawa naik dan bawa ke tempat timbang.

~ Ada dua buah kolam di sini. Kolam A yang lebih besar untuk ikan-ikan bersaiz mega mencecah 20-30 kg, manakala kolam B kecik sikit. Kolam terletak bersebelahan sungai, ada saluran paip air dari sungai masuk ke kolam jadi ikannya tak berbau hanyir sangat.

~ Jenis ikan: rohu, pacu, tongsan, patin, mekong, cat fish dan talapia pun ada.

~ Umpan kolam air tawar ni nak cerita agak complicated juga. Ada pelbagai resepi campuran dedak, roti dan pallet dengan pelbagai campuran perisa untuk menarik ikan. Kena try & error. Boleh tanya kawan-kawan yang lebih berpengalaman dan boleh google je resepi.


~Hasilnya: 6 ekor ikan rohu termasuk seekor yang agak besar seberat lebih 5kg, 4 ekor pacu dan seekor tongsan seberat 7kg++. Seronok Orang Rumah dan anak-anak dapat tarik ikan besar.


10 April, 2017

Mendaki Gunung Berembun & Gunung Telapak Buruk B24 Liberator Aircraft Crashed Area

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

INFO:
~ Jangan keliru! Ada 3 gunung dengan nama yang sama iaitu Gunung Berembun di Cameron Highlands, di Terengganu (CBL) dan yang kami daki kali ni di Jelebu, Negeri Sembilan.
~ Ketinggian Gunung Berembun, N.Sembilan ini adalah 1014 meter / 3326 kaki dari paras laut.
~ Pendakian ke Gunung Berembun boleh digabungkan sekali dengan misi menjejak peninggalan sejarah iaitu sebuah bangkai Pesawat Pengebom B24 Liberator milik Tentera British yang telah terhempas berhampiran Gunung Telapak Buruk sewaktu Perang Dunia ke-2 tahun 1945 dulu.
~ Ketinggian Gunung Telapak Buruk pula adalah 1193 meter / 3913 kaki dari paras laut. Terdapat menara telekomunikasi dan stesen pemancar di puncaknya dan boleh naik 4WD/lori melalui jalan berturap untuk sampai ke puncaknya.
~ Ada dua laluan untuk ke Gunung Berembun dan Aircraft Crashed Area ni;
    1. Loji Air Pantai; Pendakian selama kira-kira 4-5 jam ke Gunung Berembun dulu kemudian
        sejam setengah lagi ke Aircraft Crashed Area, kemudian turun semula ke Loji Air Pantai.  
    2. Gunung Telapak Buruk; Parking kereta di Loji Air Pantai, kemudian naik 4WD/lori sewa ke
        puncak Gunung Telapak Buruk kemudian trekking kira-kira sejam ke Aircraft Crashed Area,
        kemudian ke Gunung Berembun sebelum turun semula ke Loji Air Pantai.


09/04/2017 (Ahad) - Ini Log Pendakian ke Gunung Berembun dan Gunung Telapak Buruk Air Crashed Area, Negeri Sembilan bersama 28 orang pendaki diketuai oleh Bro Anaqi Shaiful & krew. Ini juga latihan terakhir aku sebagai persediaan misi mendaki gunung kedua dan ketiga tertinggi di Malaysia, iaitu Gunung Trus Madi dan Gunung Tambuyukon di Sabah hujung bulan ni.

~ 06.00 am; Berkumpul di Masjid Kariah Kampung Pantai dan solat subuh di sini. Tak pasti kenapa
                    dinamakan Kg. Pantai walaupun takde pantai di sini.
~ 07.00 am; bergerak ke starting point, Loji Air Pantai... dari masjid masuk simpang ke kanan di
                    belakang Balai Polis Pantai, jalan terus sampai hujung akan jumpa Loji Air Pantai. Ada
                    pondok Jabatan Perhutanan untuk bayar permit masuk hutan.
~ 07.30 am; Sarapan nasi lemak, taklimat pendakian dan panaskan badan.
~ 08.00 am; Start hiking.
~ 09.00 am; Sampai di Lata Berembun. Cantik air terjunnya, balik nanti boleh singgah berendam.
~ 10.00 am; Tiba di Gua Kambing. Trek dari tempat permulaaan ke Gua kambing ni agak landai,
                    cuma sedikit je mencanaknya. Rehat sekejap di sini.




~ 10.35 am; Teruskan perjalanan, trek selepas Gua Kambing ni pacak non-stop selama kira-kira 35
                    minit, lepas tu trek agak landai.
~ 11.40 am; tiba di puncak Gunung Berembun, lepak sebentar menunggu rakan-rakan lain sampai.



~ 12.20 pm; Teruskan perjalanan ke crashed area, trek bercampur.. ada turun naik dan ada trek landai.
~ 01.40 pm; Tiba di checkpoint Gunung Telapak Buruk Aircraft Crashed Area dalam hujan. Dari
                    checkpoint ni kena trekking turun kira-kira 5 minit je ke tapak bangkai pesawat
                    yang bertaburan di sekitar lembah. Nak naik balik trek agak pacak juga. Makan tengahari
                    nasi himpit kuah kacang yang gogo sediakan.



~ 02.40 pm; Hujan masih turun. Mulakan perjalanan turun.
~ 03.50 pm; Tiba di Gunung Berembun tanpa disinggahi.
~ 05.40 pm; Sampai Lata Berembun, sungai yang tadinya jernih kini dah keruh dan deras dilanda
                    kepala air. Tak dapat le nak mandi. Solat jamak zuhur & asar dan lepak sekejap di sini.
~ 06.50 pm; Siapkan headlamp dan trekking ke tempat permulaan. dijangka sampai bawah lepas maghrib.
~ 07.45 pm; Selamat sampai di tempat permulaan, Loji Air Pantai. Bersihkan diri di Masjid Pantai.

P/S: Jaga-jaga sesapa yang nak ke sini. Banyak juga pacat kat trek Gunung Berembun ni terutamanya masa musim hujan. Mujur takde seekor pun yang sempat menghisap darah aku... hihi.


Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...