16 January, 2017

Kelebihan Menghafal al-Qur'an

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Al-Qur’an merupakan Kalam Allah yang mengandungi lebih daripada 6000 ayat. Al Qur’an akan memuliakan sesiapa yang beramal dengan kandungannya. Terdapat sebahagian daripada kita yang mampu menghafal keseluruhan daripada ayat-ayat al-Qur’an ini. Sudah tentu para hafiz dan hafizah ini bukan sebarang orang. Apakah penghormatan Allah kepada para penghafaz ini? Bagi para penghafaz al-Qur’an mereka mendapat kemuliaan di dunia dan akhirat.

kredit gambar dari SINI
 
Kelebihan di dunia

1. Sebaik-baik dan semulia-mulia manusia ialah yang belajar dan mengajar Al-Quran. Nikmat mampu menghafal  al-Qur’an sama dengan nikmat kenabian. Cuma bezanya ia tidak mendapat wahyu.
“Barangsiapa yang membaca (hafal) al-Qur’an, maka sungguh dirinya telah menaiki darjat kenabian, hanya saja tidak diwahyukan kepadanya.” (Riwayat Hakim).

Al-Qur’an menjanjikan kebaikan, barakah dan kenikmatan bagi penghafalnya “ Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari al-Qur’an dan mengajarkannya (Riwayat Bukhari dan Muslim).

2. Seorang yang hafal al-Qur’an lebih disayangi dan dihargai oleh Rasulullah s.a.w. Sabda Rasulullah s.a.w: 
 "Daripada Jabir Bin Abdullah ra. Bahawa Nabi s.a.w menyatukan dua orang daripada orang-orang yang gugur dalam perang Uhud dalam satu liang lahad. Kemudian Nabi s.a.w. bertanya, "dari mereka berdua siapakah paling banyak hafal al Qur’an?" Apabila ada orang yang dapat menunjukkan kepada salah satunya, maka Nabi s.a.w memasukkan mayat itu terlebih dahulu ke liang lahad." (Riwayat Bukhari).

3. Kepada hafiz al-Qur’an, Rasul menetapkan bahawa ia berhak menjadi Imam solat berjamaah. Rasulullah S.A.W bersabda “ Yang menjadi Imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya” (Riwayat Muslim).

4. Barangsiapa yang beramal dengan al-Qur’an maka akan terselamat dari kesesatan di dunia dan kesusahan di akhirat. Hatinya juga sentiasa aman tenteram. Daripada Abdullah bin Mas‘ud r.a., Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Qur’an kerana Allah tidak akan menyeksa hati orang yang menghafal al-Qur’an. Sesungguhnya al-Qur’an ini hidangan Allah, sesiapa yang memasukkannya, ia akan aman. Dan sesiapa yang mencintai al-Qur’an, maka hendaklah ia bergembira.” (Riwayat al-Darimi)

5. Hafiz al-Qur’an adalah keluarga Allah yang berada di atas bumi. “ Sesungguhnya Allah mempunyai keluarga di antara manusia, para Sahabat bertanya, “Siapakah mereka Ya Rasulullah ? Baginda menjawab: “Iaitu ahli al-Qur’an (orang yang membaca atau menghafal al-Qur’an dan mengamalkan isinya). merekalah keluarga Allah dan orang yang istimewa bagi Allah.” (Riwayat lbn Majah)

6. Menghormati seorang hafiz al-Qur’an bererti mengagungkan Allah. Sabda rasulullah s..a.w  "Di antara perbuatan mengagungkan Allah adalah menghormati Orang Islam yang sudah tua, menghormati orang yang menghafal al-Qur’an yang tidak berlebih-lebihan dalam mengamalkan isinya dan tidak membiarkan al-Qur’an tidak di amalkan, serta menghormati kepada penguasa yang adil." (Riwayat Abu Daud).


Kelebihan di Akhirat

1.Al-Qur’an akan menjadi penolong (Syafaat) bagi penghafal al-Qur’an. Dari Abu Ummamah RA ia berkata,”Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu al-Qur’an, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi Syafaat pada hari kiamat bagi para pembacanya (penghafalnya)”. (Riwayat Muslim).

2.Hafiz al-Qur’an juga dapat memberi syafa’at untuk masuk syurga kepada 10 orang dari ahli keluarganya yang telah wajib masuk neraka. Mafhum sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa membaca al-Qur’an dan menghafalnya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dan memberikannya hak syafaat untuk 10 orang anggota keluarganya yang mereka semuanya telah ditetapkan untuk masuk neraka.” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Nasa’i)

3. Menghafal al-Qur’an akan meninggikan darjat manusia di Syurga. Darjat dan tingkatan syurga untuk ahli al-Qur’an ialah sebanyak mana ayat yang dibaca sewaktu di dunia. Daripada Aisyah r.ha., Rasulullah s.a.w. bersabda, mafhumnya: “Jumlah tingkatan—tingkatan syurga sama dengan jumlah ayat-ayat al-Quran. Maka tingkatan syurga yang dimasuki oleh penghafal al-Quran ialah tingkat yang paling atas, tidak ada tingkat lagi sesudah itu.” (Riwayat al-Baihaqi dan al-Hakim)

4. Para penghafal al-Qur’an akan bersama para Malaikat yang mulia dan taat. “ Dan perumpamaan orang yang membaca al-Qur’an sedangkan ia hafal ayat-ayatnya bersama para Malaikat yang mulia dan taat (Muttafaqun alaih).

5. Manusia yang paling dicintai Allah ialah mereka yang paling pandai dalam ilmu al-Qur’an.

6.Hafal al-Qur’an adalah bekalan yang paling baik di akhirat. Sabda rasulullah s.a.w: "Daripada Jabir bin Nufair, katanya rasulullah s.a.w. bersabda; "Sesungguhnya kamu tidak akan kembali menghadap Allah dengan membawa sesuatu yang paling baik daripada sesuatu yang berasal daripada-Nya iaitu al-Qur’an”.

7. Pendamping al-Qur’an akan dipakaikan mahkota dan pakaian kemuliaan dan akan mendapat keredhaan dari Allah Ta’ala, begitu juga kedua orang tuanya. Sesiapa yang membaca al-Qur’an, membacanya, mempelajarinya dan mengamalkannya maka dipakaikan mahkota dari cahaya pada hari kiamat. Cahayanya seperti cahaya matahari dan kedua orang tuanya dipakaikan dua jubah (kemuliaan) yang tidak pernah didapatkan di dunia. Keduanya bertanya, “Mengapa kami dipakaikan jubah ini? Dijawab,”Kerana kalian berdua memerintahkan anak kalian untuk mempelajari al-Qur’an.” (Riwayat al-Hakim).


Begitulah kemulian yang diberikan kpd para penghafaz al-Qur’an. Kemungkinan sebahagian besar umat Islam bukan penghafaz al-Qur’an. Maka kita mesti perlu bercita-cita untuk menjadikan salah seorang dari keturunan kita (termasuk anak atau cucu) untuk menjadi penghafaz al-Qur’an. Insyaa Allah niat kita akan dimakbulkan oleh Allah SWT.

 

No comments :

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
tapi jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen...

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...