31 December, 2016

Hobi Mendaki Gunung

Dan Kami jadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan di celah-celahnya jalan-jalan laluan, supaya mereka mendapat petunjuk.(Surah Al-Anbiyaa':31)
  
 
Ini cerita tentang sedikit pengalaman mendaki gunung… dari kacamata seorang pendaki yang taklah berapa tegar! (naik gunung dalam setahun tu ada la 4-5 kali je). Mungkin sikit sebanyak boleh dijadikan panduan kepada pendaki-pendaki baru. Entri ini agak panjang, kalau rajin baca, tak nak sudah! Tujuan aku tulis entri ni pun cuma untuk mendokumentasikan dan berkongsi pengalaman aku dengan anak cucu aku nanti.


ASAL-USUL

~ Masa zaman sekolah asrama tahun 1994 kat Muar dulu, aku dan kawan-kawan pernah la buat satu aktiviti perkhemahan haram masa cuti hujung minggu kat air terjun Gunung Ledang (kononnya haram pasal pergi berkhemah tanpa pengetahuan cikgu dan warden). Nak ke campsite tu kami terpaksa mendaki entah berapa puluh ratus anak tangga (kalau tak silap nama tempat tu Bukit Semput…cheh..patut pun semput nak sampai ke situ!). Campsite tepi air terjun tu juga terletak dalam laluan untuk mendaki Gunung Ledang. Bila tengok ramai pendaki lalu dekat campsite kami tu, teringin pulak aku nak join. Tapi aku nak mendaki dengan sapa? Geng aku nak lepak air terjun je.  Mulai hari tu la aku pasang impian untuk mendaki gunung suatu hari nanti. 


MULA TERJEBAK

~ Tahun 1996, join xpdc ke Taman Negara Kuala Tahan dgn kawan-kawan sekerja (masa ni kerja kat Genting Highlands). Kat sini ada la mendaki satu bukit... Bukit Teresik yang ketinggiannya cuma lebih kurang 335 meter.

~ Tahun 1999,  kelab sukan pejabat aku menganjurkan aktiviti mendaki Gunung Datuk di Rembau, N9.  Gunung yang tak berapa tinggi tu menjadi gunung pertama berjaya aku daki sampai ke puncaknya. 

~ Tahun 2001, aku join satu grup mendaki, Discovery Challenge (DC) Group yang agak aktif menganjurkan aktiviti mendaki pada masa tu. Sepanjang tahun 2001 boleh dikatakan setiap bulan aku join xpdc mendaki dengan grup ni sehinggalah tahun 2003

~ Tahun 2003; tak sangka pulak seorang gadis yang aku jumpa atas puncak gunung akan menjadi jodoh aku. Gadis yang kini tidak gadis lagi itu sudah menjadi ibu kepada 3 orang anak aku. Lepas kahwin, seingat aku cuma 4-5 kali aku mendaki. Kesibukan menguruskan rumahtangga, anak-anak yang masih kecil, kekangan masa di samping faktor kewangan yang tak berapa ada lebihan, menyebabkan aku terpaksa berehat seketika dari aktiviti mendaki. Lagipun bapak mithali macam aku takkan la tergamak pergi berpoya-poya meninggalkan anak bini…chewah!  

~ Oopss, selingan sikit.... aku pernah juga terfikir nak beri nama anak aku dengan nama Bahlawan, perkataan Arab bermaksud Pendaki Gunung. Tapi sebab rasa macam pelik je, tak jadilah aku nak bagi nama tu…hehe! Tapi kalau korang sanggup silakan… cuba bagi nama anak korang Muhammad Bahlawan bin Meon… atau Nur Bahlawani bt Buntat… hmm… nampak macam ok jugak! Hihi!


Gunung Stong-Baha-Ayam, Dabong, Kelantan


TARIKAN

~ Apa yang best sangat mendaki gunung ni? Aku rasa aku ni termasuk dalam kategori pencinta alam semulajadi kot... masa kecik suka main dalam hutan belukar, suka tengok pokok menghijau, suka bau dan bunyi hutan... mungkin sebab tu lah aku mudah jatuh cinta dengan aktiviti mendaki gunung ni. 

~ Aktiviti mendaki gunung ni memang banyak dugaan dan cabarannya. Tapi segala kesukaran dan kepenatan terubat sekelip mata bila dapat menikmati keindahan alam ciptaan-Nya sepanjang perjalanan menuju puncak, melalui kawasan air terjun bertingkat-tingkat, dengan kepelbagaian flora dan faunanya. Perasaan bila sampai ke puncak  pulak sukar nak digambarkan… ,  terasa bebas dan puas. Segala susah payah dan penat lelah terbalas bila dapat menikmati keindahan panorama dari puncak gunung. Bayangkan dapat makan,minum dan tidur di atas awan, menikmati pemandangan matahari terbit dan terbenam dari puncak gunung,  melihat hamparan luas bumi dari tempat tinggi, menikmati cuaca dingin dan menghirup udara nyaman tanpa pencemaran… hanya orang yang dah sampai ke puncak je yang tahu betapa nikmatnya. 

~ Mengeratkan silaturrahim dan dapat berjumpa kenalan baru dari berbagai lapisan masyarakat yang mempunyai minat yang sama, silap-silap boleh bertemu jodoh macam aku… sebenarnya ramai lagi rakan-rakan pendaki yang bertemu jodoh sesama sendiri.

~ Memupuk semangat kerjasama misalnya semasa aktiviti memasak, ambil air, cari kayu, pasang khemah, merentas halangan, membantu rakan yang cedera atau menemani rakan yang mengalami keletihan melampau (kalau istilah di gunung biasanya disebut pewai), dan sebagainya.

~ Walaupun selepas balik dari mendaki gunung, boleh dikatakan seluruh badan akan rasa sakit-sakit, tapi rasa kejang, lenguh dan sengal itu hanyalah bersifat sementara. Dalam jangka panjang aktiviti ini dapat menyihatkan dan menguatkan stamina dan otot badan kita serta dapat mencegah penyakit, seperti mengurangkan risiko serangan jantung, stroke, mencegah kanser, osteoporosis, kencing manis, depresi, membakar lemak dan melangsingkan badan. Bagaimanapun dengan syarat mestilah amalkan juga gaya hidup sihat, menjaga makan minum serta tak merokok. Ini tidak, tengah pewai berhenti jap hisap rokok, lepas je mendaki mesti melantak tak ingat punya...hihi. Info lanjut rujuk di SINI.

~ Bagi yang gayat, inilah peluang untuk mencabar diri melawan ketakutan berada di tempat tinggi.

~ Aktiviti mendaki gunung ni juga mengajar aku satu perkara; seberat manapun cabaran dan halangan yang kita hadapi di depan kita, asalkan kita optimis dan bermotivasi, kita akan mampu mencapainya. 



di puncak Gunung Santubong, Sarawak

CABARAN

~ Aktiviti mendaki gunung ni betul-betul menguji ketahanan mental dan fizikal. Pendakian bukan setakat membawa badan saja, tapi juga kena angkut bebanan beg berisi barangan keperluan seperti pakaian, makanan, khemah dan beberapa peralatan lain, khususnya pendakian yang memerlukan kita bermalam dalam hutan beberapa hari. Sesetengah gunung juga tiada punca air untuk minuman, jadi nak tak nak terpaksa angkut air dari bawah. Kadang-kadang terpaksa pulak bawa beg rakan pendaki lain yang cedera, kejang otot atau pewai (biasanya dialami oleh pendaki baru atau yang veteran… itulah orang suruh training tak nak training!).

~ Jadi sesapa yang nak join aktiviti ni sepatutnya mempunyai kesihatan dan kekuatan fizikal yang baik dan pastikan badan tu betul-betul fit, buatlah latihan kecergasan (jogging, main bola, berenang, dsb) sebelum ikut mana-mana  aktiviti mendaki. Jangan lupa juga buat latihan regangan (warming up) sebelum memulakan pendakian bagi mengelak kecederaan. Berjalanlah mengikut langkah sendiri dan ambil masa serta tahu had kekuatan fizikal anda. Kekuatan mental pun penting. Sentiasa berfikiran positif dan sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi sebarang situasi.Walaupun badan rasa dah tak larat sekalipun, kalau mental kuat kita tetap akan berusaha ke puncak walaupun terpaksa merangkak atau mengesot sekalipun. Kalau mental tak kuat, tak sampai setengah pendakian maka ramai la yang merengek nak balik. Mulalah terlintas di fikiran; “Apa kejadah la yang aku buat kat gunung ni… duk rumah tengok tv kan lagi bagus…!!!”.

~ Cuaca ekstrim juga memberi cabaran yang amat getir. Banyak kali juga aku mendaki sambil menahan kesejukan dalam hujan, kadang-kadang disertai juga angin kencang. Kalau tiada tempat berteduh nak tak nak redah sajalah. Mungkin kita pernah dengar pendaki maut disambar petir seperti yang pernah berlaku di Gunung Rajah. Itupun salah satu risiko tapi bagi aku cuma kes terpencil sebab kalau tak mendaki pun ada juga yang mati kena petir. Ajal maut kan di tangan Tuhan, kalau dah nak mati tu tak kira tempat. Apapun kita perlulah mengambil langkah sepatutnya untuk mengelakkan perkara buruk dari berlaku. Jika angin kuat, hujan lebat, guruh atau petir, tangguh dan hentikan aktiviti atau perjalanan. Cari tempat perlindungan berdekatan dan elakkan berlindung berhampiran pokok besar. Jika berlaku ribut petir ketika kita berada di puncak, cepat-cepatlah turun semula ke aras yang lebih rendah. Selain tu, kalau kena hujan ditambah pulak suhu kawasan pergunungan yang memang sejuk, juga boleh menyebabkan hipotermia. Aku pernah tengok rakan pendaki aku kena hipotermia tapi masa tu tak tau nak buat apa cuma tukar pakaian dia kepada pakaian kering, sapu minyak angin panas, selimutkan dan bagi minuman panas. Alhamdulillah OK. Sebaiknya setiap pendaki digalakkan membawa sendiri bekalan ubatan termasuk minyak urut mengikut keperluan masing-masing.

~ Keadaan laluan/trek – Lain gunung lain keadaan laluan yang akan ditempuhi. Sesetengah gunung, kita perlu menyusuri jalan pembalakan semata-mata untuk ke kaki gunung (kadang-kadang terpaksa naik kenderaan 4WD). Laluan berbatu, berselut, trek runtuh,semak berduri, merangkak di bawah akar/balak tumbang/buluh, tebing curam di kawasan rabung atau permatang (laluan sempit manakala kiri kanan terdapat gaung yang dalam), memanjat tebing menggunakan tali, trekking waktu malam dan laluan menaik kemudian menurun bukit silih berganti, adalah perkara biasa. Seboleh-bolehnya pastikan aktiviti hiking / trekking tamat sebelum hari gelap. Jika terpaksa berjalan dalam gelap pastikan berjalan dalam satu kumpulan yang besar. Kadang-kadang kita perlu beberapa kali meredah air untuk menyeberangi sungai. Selain tu, selepas hujan laluan akan menjadi sangat licin dan kemungkinan terjadinya banjir kilat di mana anak sungai yang sebelumnya mudah kita seberangi tiba-tiba bertukar menjadi sungai besar lagi deras airnya dilanda kepala air. Terkandaslah jawabnya macam yang aku pernah alami di Gunung Stong dan Endau-Rompin. Sebaiknya bawa bekalan makanan kecemasan yang disimpan dalam beg.

~ Kemalangan – Biasalah bagi aktiviti yang agak ekstrim macam ni, risiko kemalangan dan kecederaan tak dapat dielakkan manakala sesetengahnya berlaku disebabkan kecuaian sendiri. Jatuh tergelincir hingga mengalami kecederaan serius dan terpaksa diselamatkan pasukan penyelamat adalah perkara yang biasa kita dengar.  Malah ada juga kes kematian pendaki akibat kemalangan semasa mendaki. Pernah juga berlaku kematian akibat kebocoran gas dalam khemah seperti yang pernah berlaku di Gunung Korbu. Penting juga diingatkan, sebelum memulakan pendakian, sebaik-baiknya dapatkan maklumat berkenaan keadaan laluan/trek/rentis, cuaca, peralatan yang perlu dan peraturan/permit memasuki hutan. Beritahu rakan atau keluarga berkenaan perancangan perjalanan anda. Kemudian melaporkan diri di balai polis berdekatan untuk kemudahan semua pihak jika berlaku kemalangan. Dulu-dulu aku kalau turun dari puncak gunung, biasanya aku berlari je pasal nak cepat sampai ke kaki gunung atau sebab nak ‘rescue’ kawan-kawan yang cedera atau pewai. Sebagai pendaki yang taklah berapa otai, aku nak juga nasihatkan pendaki-pendaki muda supaya tak payahlah buat macam tu. Bukan saja terdedah kepada kemalangan tapi juga memberi kesan kepada lutut bila korang semakin berumur. Kalau semua kau main lompat je lama-lama tangkap lutut juga woo! Inilah yang aku tengah menanggung ni…adehh sakitnya lutut pakcik!

~ Misteri Nusantara – Sedangkan kat kampung dan bandar pun ada unsur-unsur mistik, inikan pulak kat hutan dan gunung…  memang tempat jin bertendang laa. Tapi setakat ni aku belum pernah ternampak, terdengar mahupun terhidu apa-apa yang pelik semasa mendaki gunung. Tengok rakan pendaki yang kena rasuk tu pernahlah. Bukan nak cakap besar dan aku pun bukannya berani sangat, jadi lagi bagus la tak mengalami perkara-perkara mistik ni. Tapi kalau dengar cerita kawan-kawan memang banyak cerita seram ni. Antaranya terjumpa makhluk berambut panjang mengilai atas pokok, terjumpa ahli keluarga yang dah lama meninggal, terserempak lembaga menyerupai muka kita sendiri atau muka kawan-kawan tapi sebenarnya kawan tu tengah syok tidur, disesatkan hingga berpusing-pusing di laluan yang sama, dan macam-macam lagilah! Malas dah aku nak cerita banyak-banyak nanti korang terkencing pulak. Yang penting jaga mulut dan kelakuan sepanjang berada dalam hutan dan gunung. Amalkan juga membaca doa dan ayat-ayat Al-Quran sebelum memulakan perjalanan dalam hutan. 

~ Sesat – Aku belum pernah, dan tak ingin mengalaminya. Selain disesatkan secara misteri, sesat juga berlaku biasanya disebabkan pendaki terpisah agak jauh dengan rakan-rakan lain, berpunca daripada tahap kecergasan masing-masing yang berbeza. Dah tertinggal tak tahu jalan pulak, tu yang jadi sesat tu. Kadang-kadang kita terleka melihat keindahan alam, atau leka bergambar/ambil gambar… sedar-sedar dah kena tinggal seterusnya tersesat kalau tak tahu jalan. Sebaiknya elakkan jalan berseorangan, jangan berpecah dan sentiasa bersama kumpulan. Jika rasa dah tersesat jangan panik, berehat sebentar dan banyakkan berdoa agar diberi petunjuk dan pertolongan dari-Nya, kemudian berpatah balik supaya anda mudah dicari dan ditemui. Tinggalkan juga tanda/ jejak bahawa anda pernah melalui jalan itu seperti mematahkan ranting pokok, membuat tanda anak panah dari kayu atau menyusun batu-batu kecil yang akan memudahkan pasukan pencari dan penyelamat mencari anda. Sangat penting juga bawa wisel untuk beri isyarat jika tersesat. Info lanjut boleh rujuk di SINI. Kalau kita ingat kisah yang terjadi kepada Umaisarah pada tahun 2009 yang sesat berbelas hari dalam hutan semasa mendaki Gunung Tahan, kira respek jugalah pengalaman dia ‘survive’ dalam hutan tu. Ada juga yang hilang terus tanpa dapat dikesan seperti yang berlaku kepada Hassan Ayat yang hilang ketika menuruni Gunung Yong Yap... juga pada tahun 2009.

~ Haiwan liar – Biasalah kan…dalam hutan memanglah tempat dia. Banyak haiwan dan serangga berbisa seperti ular, lipan, kala jengking, lebah, tebuan, penyengat, agas dan semut yang boleh memudaratkan kita dalam hutan. Haiwan yang tak berbisa tapi menghisap darah seperti pacat dan nyamuk pun boleh mencabar kesabaran kita. Kalau dah dalam hutan tu, lebih baik korang berharap tak terserempak dengan haiwan buas seperti harimau, beruang atau gajah.  Walaupun orang kata haiwan-haiwan ni seboleh-bolehnya cuba mengelak dari terserempak dengan manusia, tapi kalau dah terserempak mungkin buruk padahnya. Jika terserempak dengan hidupan liar, elakkan pertembungan secara berhadapan. Sebaik-baiknya berundur perlahan-lahan dan jangan sesekali membuat pergerakan yang boleh membuatkan hidupan liar terkejut dan rasa tercabar. Pengalaman aku, pernahlah terhidu betapa hamisnya bau pak belang, dan biasa juga terjumpa kesan tapak kaki harimau, beruang dan gajah, kadang-kadang dengan najisnya yang masih baru. 

~ AMS – Bila berada di ketinggian melebihi 2400 meter (8000 kaki)  dari aras laut, sesetengah orang akan mengalami gejala Acute Mountain Sickness (AMS). Tanda-tandanya seperti pening kepala tahap dewa, loya-loya dan muntah-muntah. Aku pun tak tau punca sebenar gejala ni sebab aku pernah dengar pendaki yang betul-betul fit pun boleh kena, jadi aku rasa tahap kecergasan bukan faktornya. Aku pernah rasa kena AMS ni masa mendaki Gunung Kinabalu, azabnya menahan sakit kepala sampaikan aku terpaksa hantuk kepala kat batu untuk melegakan kesakitan. Agak hilang kewarasan masa tu. Dah makan ubat pun takde kesan. Kalau ikut kata guide, takde cara lain…hentikan pendakian, turun balik ke aras yang lebih rendah dan berehat… insya Allah OK.



di puncak Gunung Tahan
PESANAN CINTAI ALAM SEKITAR

~ Ramai pendaki gunung yang mendakwa pencinta alam sekitar, tapi cakap tak serupa bikin sebab dalam masa yang sama turut mencemarkan alam sekitar. Seharusnya kita sentiasa mengamalkan bawa keluar apa-apa yang dibawa masuk. Tin-tin makanan, bekas dan pembungkus plastik termasuklah puntung-puntung rokok jangan sesekali ditinggalkan. Sisa makanan hendaklah ditanam di dalam lubang sekurang-kurangnya 30 cm dan dikambus semula tanpa meninggalkan sebarang kesan. Jangan tinggalkan apa-apa sampah di atas trek, terutamanya bungkusan makanan yang dibuka ketika berhenti rehat. Semasa berjalan, kutip apa jua sampah / bahan asing yang tidak sepatutnya berada atas trek dan simpan untuk pelupusan yang sepatutnya.

~ Di tempat-tempat yang disediakan tandas, gunakan kemudahan yang ada sebaik mungkin, selenggarakan dengan sempurna selepas guna dan sebelum meninggalkan kawasan perkhemahan yang terdapat kemudahan tandas. Jika tiada tandas, jangan buang air besar merata-rata mahupun dalam sungai, sebaiknya lupuskan sisa buangan anda dengan menggali lubang dan setelah selesai, jangan lupa pacakkan kayu penanda untuk mengelakkan rakan anda tergali tempat yang sama... kes naya tu. Selain itu, tuala wanita hendaklah dibersihkan dan dibungkus sebaiknya, dinasihatkan dibawa keluar dan elakkan dibuang di dalam hutan.

~ Tinggalkan dan biarkan apa yang dilihat atau ditemui seperti segala batuan, bahan galian, tumbuhan, hidupan liar, serangga, bahan sejarah atau artifak dalam keadaan semulajadi. Jangan gatal-gatal nak bawa balik, takut 'ada' yang suruh pulangkan balik di tempat asalnya. Jangan juga gatal tangan nak menconteng nama 'Saya Was Here' sebab tiada siapa peduli mahupun respek anda dah berjaya sampai ke situ tapi dalam masa yang sama mencemarkan pemandangan semulajadi yang indah. Bak kata pepatah orang putih ni; "Take Nothing But Photograph, Leave Nothing But Footprints, Keep Nothing But Memories."

~ Dan apa guna mencintai alam sekitar... kalau dalam masa yang sama tak mencintai Pencipta alam ini. Buatlah segala suruhan-Nya, tinggalkan segala larangan-Nya. Mendaki...mendaki juga, solat jangan dilupa... tinggalkan maksiat, batas pergaulan hendaklah dijaga.


SEDIKIT PENCAPAIAN

~ Gunung Kinabalu, Sabah (via Timpohon & Mesilau) – 4095 meter / 13435 kaki
~ Gunung Mulu, Sarawak - 2376 m / 7795 k)
~ Gunung Tahan, Pahang (via Merapoh-Kuala Tahan) - 2187 m / 7175 k
~ Gunung Korbu, Perak - 2183 m / 7162 k
~ Gunung Yong Belar, Perak-Kelantan - 2181 m / 7156 k
~ Gunung Gayong, Perak - 2173 m / 7129 k
~ Gunung Chamah, Kelantan - 2171 m / 7123 k
~ Gunung Yong Yap, Perak-Kelantan - 2167 m / 7110 k
~ Gunung Ulu Sepat, Perak - 2161 m / 7089 k
~ Gunung Irau, Pahang -  2110 m / 6923 k
~ Gunung Junction, Perak-Pahang-Kelantan - 2071 m / 6796 k
~ Gunung Gedung, Pahang - 2065 m / 6776 k
~ Gunung Brinchang, Pahang -  2031 m / 6663 k
~ Gunung Tok Nenek, Perak - 1904 m / 6248 k
~ Gunung Rajah, Pahang (via Chamang) - 1684 m / 5526 k
~ Gunung Reskit, Pahang - 1666 m / 5466 k
~ Gunung Bubu, Perak - 1657 m / 5437 k
~ Gunung Tangga 15, Pahang - 1539 m / 5049 k
~ Twin Peak, Bukit Fraser, Pahang-Selangor - 1505 m / 4938 k
~ Gunung Ayam, Kelantan - 1504 m / 4934 k
~ Gunung Nuang, Selangor (via Ulu Langat & Janda Baik) - 1493 m / 4898 k
~ Gunung Pangkin, Pahang - 1462 m / 4797 k
~ Pine Tree Hill, Bukit Fraser, Pahang-Selangor - 1448 m / 4751 k
~ Gunung Bunga Buah, Selangor -  1430 m / 4692 k
~ Gunung Baha, Kelantan - 1410 m / 4626 k
~ Gunung Stong, Kelantan - 1399 m / 4590 k
~ Gunung Ulu Semangkuk, Selangor - 1394 m / 4558 k
~ Gunung Ledang, Johor (via Sagil) - 1276 m / 4186 k
~ Gunung Api (Pinnacles), Sarawak - 1245 m / 4085 k
~ Gunung Kenderung, Perak - 1223 m / 4013 k
~ Gunung Gap, Selangor - 1183 m / 3868 k
~ Bukit Kutu, Selangor - 1053 m / 3455 k
~ Gunung Berembun (CBL),Terengganu - 1038 m / 3405 k  
~ Gunung Datuk, N.Sembilan -  885 m / 2904 k
~ Gunung Angsi, N.Sembilan (via Ulu Bendul & Bukit Putus) - 825 m / 2707 k
~ Bukit Berkelah, Pahang -818 m / 2684 k
~ Gunung Santubong, Sarawak – 810 m / 2658 k
~ Bukit Kledang, Perak - 800 m / 2640 k
~ Gunung Tok Wan, Selangor - 675 m / 2215 k
~ Gunung Rajah, Taman Negara Pahang - 576 m / 1890 k
~ Gunung Baling, Kedah - 546 m / 1791 k
~ Gunung Tempurung, Perak (xplorasi gua) - 497 m / 1631 k
~ Gunung Senyum, Pahang (xplorasi gua) - 486 m / 1595 k
~ Bukit Broga, Selangor - 400 m / 1312 k
~ Bukit Putih (Bkt Apek), Selangor - +-400 m (1312 k) 
~ Bukit Saga, Selangor - +-400 m (1312 k) 
~ Bukit Tabur (West, East, Far-East & Extreme), Selangor - 357-396 m / 1171-1299 k
~ Bukit Teresik, Pahang - 335 m / 1099 k
~ Bukit Batu Putih, P.D, N.Sembilan (tak pasti ketinggiannya)


   Trans (merentasi beberapa gunung dalam satu perjalanan):

~ Trans Tahan ,via Merapoh-Kuala Tahan (G.Tahan-Gedung-Reskit-Tangga 15-Pangkin-Rajah)
~ Trans Titiwangsa V2 (G.Yong Yap-Bubu-Tok Nenek-Korbu-Gayong-Junction-Yong Belar)
~ Trans Chamah-Ulu Sepat (Kelantan-Perak)
~ Trans Jelawang 3G (G.Stong-Baha-Ayam), Kelantan
~ TransNasional....??? Itu bas ekspress daaa.....

Laaa….. itu je senarai gunung yang berjaya didaki? Chehh…sembang macam la otai sangat… kui3.


ANAK-ANAK

Sementara tu, anak-anak pun aku dah pernah bawa mendaki bukit dan gunung, tapi cuma level yang mudah-mudah je dulu. Nak melentur buluh biarlah dari rebungnya... biar lebih kenal alam semulajadi, biar lebih mencintai alam sekitar dan biar diorang lebih lasak.

~ Along : Bukit Broga, Bukit Apek, Gunung Tokwan, Gunung Angsi, Gunung Datuk, Pine Tree Hill & Twin Peak.

~ Angah : Bukit Broga, Bukit Apek, Gunung Tokwan, Gunung Angsi, Gunung Datuk, Pine Tree Hill & Twin Peak, Gunung Gap & Gunung Ulu Semangkuk.

~ Aina : Gunung Gap & Gunung Ulu Semangkuk.

Itu je setakat ni. Takpe banyak masa lagi bagi diorang untuk menjelajah gunung-gunung lain... kalau berminat.


BEG


Karrimor Discovery 65 Rucksack


Dibeli pada tahun 1996 berharga RM300++ kalau tak silap. 

Inilah satu-satunya beg hiking yang aku ada dan masih dipakai sampai sekarang, 
masih elok maklumlah digunakan 4-5 kali setahun je.

Sekarang dah tahap barang 'rare' ni.





Gunung Kinabalu


SASARAN

~ Tujuan utama aku melibatkan diri dalam aktiviti outdoor, khususnya mendaki gunung ni adalah untuk menikmati keindahan alam ciptaan-Nya, mencabar diri keluar dari kehidupan selesa di rumah serta cuba mengamalkan gaya hidup sihat (walaupun balik dari mendaki mesti sakit-sakit satu badan). 


~ Tak kira bukit mahupun gunung, jika ada kelapangan masa dan bajet aku akan pergi. Tapi tak salah rasanya untuk menetapkan sasaran mendaki gunung yang lebih mencabar untuk mencari pengalaman baru, merasai cabaran yang berbeza di tempat dan suasana yang berbeza serta untuk memenuhi kepuasan diri. 


~ Sasaran untuk menakluk tujuh puncak tertinggi  di Semenanjung Malaysia (G7) iaitu Gunung Tahan, Korbu, Yong Belar, Gayong, Chamah, Yong Yap & Ulu Sepat sudahpun tercapai.

~ Sekarang sedang mencari kelapangan masa dan bajet untuk tambah lagi 4 gunung dengan ketinggian melebihi 2100 m (G7-11) iaitu Gunung Batu Puteh, Irau, Benum dan Gerah. Setakat ni hanya puncak Gunung Irau yang mampu dijejaki.


~ Kemudian kalau mampu tambah lagi lima puncak tertinggi di Borneo (G12) iaitu Gunung Kinabalu, Trusmadi, Tambuyukon, Murud & Mulu. Setakat ni hanya mampu menjejaki Gunung Mulu dan Gunung Kinabalu, itupun setelah dua kali mencuba. Percubaan pertama tewas kerana AMS.


~ Kalau ada rezeki lebih bolehlah mendaki gunung-gunung di negara jiran sekitar Asia Tenggara, seperti Indonesia, Vietnam, Filipina dll. Nak juga merasa mendaki gunung berapi macam di Indonesia.


~ Kalau ada rezeki lebih lagi dan badan masih mampu, teringin juga nak merasa mendaki gunung bersalji macam di Banjaran Himalaya seperti Gunung Kalapattar, Annapurna Base Camp (ABC) atau Everest Base Camp (EBC)... tapi itu kena menabung lama sebab kosnya agak tinggi dan memakan masa yang agak lama (kena ambik cuti panjang tu).


~ Nak mendaki 7 Summit (puncak tertinggi di 7 benua)??? Rasa macam dah di luar kemampuan diri dan kewangan dah tu...hehe.

~ Sama ada sasaran tu dapat direalisasikan atau tidak, kita kena berangan-angan dulu. Ada rezeki insya Allah jadi. Yang pasti aku sentiasa ada perasaan rindu nak menikmati suasana di dalam hutan dan puncak gunung,  jadi kalau panjang umur, belum rasa nak bersara lagi sebab faktor umur bukan penghalang. Malu aku kat Dato’ Hj. Khalid Yunus, Presiden Persatuan Kembara Negara kalau umur dijadikan alasan untuk pencen mendaki gunung. Umur dia dah 60 tahun lebih pun masih aktif mendaki.  Tabik Dato’!

Wassalam.




lagu ni terhasil masa nak belajar buat video, masa nak masukkan lagu latar 
tetiba timbul idea nak ubah lirik biar sesuai dengan cerita dalam video... nyanyi sendiri je,
sumbang pun sumbanglah... semoga terhibur, kalau tak terhibur lantak koranglah.. haha




ADAB MENDAKI GUNUNG MENGIKUT SYARIAT 
TIPS/PANDUAN MENDAKI UNTUK NEWBIE (DAYHIKE)
ILMU MASUK HUTAN 

Catatan Perjalanan Oktober - Disember 2016

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Lama juga tak jenguk blog ni disebabkan kesibukan kerja yang melampaui batas menjelang hujung tahun... sampaikan beberapa hari terpaksa bermalam di pejabat. Dah lama tak menulis malaspun melanda. Jadi aku longgokkan saja dalam satu entri secara suku tahunan beberapa peristiwa penting dalam hidup aku sekeluarga.

5 Oktober 2016 (Rabu) : Along ada lawatan sekolah ke Legoland, sempena meraikan kemerdekaan baru habis UPSR. Nak pergi sekeluarga tak berapa mampu, bagilah dia pergi dengan kawan-kawan sekolahnya, guna baki simpanan duit rayanya dan kami cuma perlu tambah sikit duit belanja je.


20-22 Oktober 2016 (Khamis-Sabtu) : Menghadiri sesi taklimat & review pasal kerja di Hotel DePalma, Kuala Selangor. Hari kedua, roommate terpaksa balik kerana ada hal yang tak dapat dielakkan. Daripada aku duduk sorang-sorang baik angkut anak bini datang sini, dapat juga anak-anak mandi kolam. Balik wajib singgah Bukit Melawati menziarahi lotong-lotong di sana.


9 November 2016 (Rabu): Angah pulak ada lawatan ke A Famosa Water Theme Park, Melaka. 
Tak bawa handphone jadi takde la gambar.

15-17 November 2016 (Selasa-Khamis) : Aina terpaksa bermalam kat wad selama 2 malam. Bermula dengan demam & selsema, masuk hari ketiga pernafasan makin pendek-pendek. Doc sahkan kena jangkitan kuman kat paru-paru, 2 hari berterusan kena masuk gas. Malam pertama ayah jaga, malam kedua ibunya pulak temankan. Alhamdulillah hari ketiga dah beransur sembuh dan boleh keluar hospital.


17 November 2016 (Khamis) : Keputusan UPSR Along dah keluar. Cuma ayah dapat temankan Along ambik result, ibunya masih kat wad jaga Aina. Alhamdulillah, Along dapat 2A 1B 3C. Kira ok lah tu, ada juga A-nya. Tahniah Along. Tapi dengar khabarnya 1 Malaysia ramai cikgu, mak bapak dan pelajar yang meroyan pasal keputusan UPSR merosot selepas diperkenalkan format baru. Rilek la, UPSR je punnn... masih jauh lagi perjalanan hidup anak-anak tu. Tak cemerlang dalam UPSR tak semestinya akan gagal dalam hidup.

Keputusan PSRA kat sekolah agama pun ok lah juga. Pangkat keseluruhannya Jayyid... kira baik juga tu walaupun tak capai tahap Mumtaz.


19 November 2016 (Sabtu) : Selamat hari jadi Aina yang ke 7 tahun... sambut secara sederhana kat rumah je. Alhamdulillah mujur dah keluar wad. Semoga membesar dengan sihat menjadi anak yg solehah, penyejuk mata ayah dan ibu.


25-26 November 2016 (Sabtu-Ahad) : Balik Ipoh menziarahi pak mertua yang kini terlantar di wad, disahkan kanser hati tahap 4. Semoga Apak diberi kekuatan dan kesabaran menghadapi ujian ini.


4 Disember 2016 (Ahad) : Cadangnya nak balik Ipoh lagi minggu ni menziarahi pak mertua, tapi dikhabarkan esok (Isnin) anak-anaknya nak bawa apak berubat di KL, jadi kami tunggu ziarah kat KL je lah. Jadi kami tukar plan pergi melawat pameran MAHA kat Serdang. Dah beberapa tahun dianjurkan, baru kali ni rasa nak pergi. Tak banyak gerai yang kami singgah... orang penuh sesak, cuaca panas terik, pening dan serabut dibuatnya... kena menapak jauh pulak tu dari tempat parking... rasanya ni pertama dan terakhir kot melawat MAHA ni...


6 Disember 2016 (Selasa) : Semalam pak mertuaku tak jadi dibawa berubat ke KL, dia sendiri yang taknak pergi berubat jauh-jauh. Pagi ni dapat berita apak dah nazak. Kira-kira jam 11.00 pagi, apak menghembuskan nafas terakhir pada usia 81 tahun (1935-2016) ketika kami masih dalam perjalanan balik ke Ipoh. Dikebumikan petang tu juga selepas solat asar. Innalillahi wainna ilaihi raaji'uun. Semoga roh apak dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan di kalangan orang beriman. Al-Fatihah.


13-14 Disember 2016 (Selasa -Rabu): Bercuti 2H 1M di Genting Highland yang dah ditempah sebulan sebelumnya. Tujuan utama  demi memenuhi permintaan Along yang nak tengok pertunjukan Ultraman Live @ Genting... sebagai kenangan terakhir menutup zaman kanak-kanaknya... katanya la.  Lagipun tak lama lagi dah nak masuk asrama berpisah dengan keluarga. Oklah layankan saja setakat yang ayah dan ibu termampu...


21 Disember 2016 (Rabu) : Hantar dua ekor kucing kami, Oyen & Taro ke klinik untuk disunatkan (dikasi). Sebagai kucing jantan yang dah meningkat dewasa, si Oyen nampaknya dah mula memancut dalam rumah merata-merata untuk menanda kawasan jajahan takluknya. Orang kata lepas dikasi ni kucing jantan tak memancut dah... harapnya betullah. Dah alang-alang ke klinik baik bawa Taro sekali jalan.


Sekian adanya, selamat tahun baru 2017.


Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...